Friday, April 30, 2010

Apa Yang Penting? Kerjasama...

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah...hari ini hari terakhir saya dan ahli pasukan kajian membuat penyelidikan di Melaka. Sebelum jam 7.00 pagi kami telah bertolak dari Putrajaya kerana kami perlu sampai ke destinasi sebelum jam 9.00 pagi. Dalam perjalanan, kami teragak-agak sama ada hendak melalui tol Simpang Ampat atau tol Pedas Linggi, yang penting kami perlu cepat sampai ke destinasi. Sebagaimana biasa, kami bertiga belum sempat bersarapan pagi, kalau sampai awal ada lah rezeki, sekurang-kurangnya kami dapat singgah di warung untuk mengalas perut. Ya lah..kalau perut belum diisi kami bimbang ia akan mengganggu konsentrasi sewaktu menjalankan penyelidikan.

Kami tiba agak awal dan ini memberi peluang kepada kami untuk singgah di warung yang berdekatan. Kami tidak memilih, apa yang ada kami makan. Alhamdulillah...lempeng nyior/kelapa dan lontong menjadi pilihan dan ia sungguh menyelerakan. Terkejut sakan kami bertiga kerana untuk tiga orang makan harganya hanya RM5.80 sahaja. Cukup murah sekali..kalau kerja di Melaka agaknya kami pasti lebih jimat berbelanja. Itulah nikmatnya hidup di kawasan kampung, suasana tenang, pencemaran kurang dan kehijauan kiri dan kanan menyebabkan sejuk mata memandang. Sungguh indah ciptaan Allah...

Tiba di destinasi kami mulakan langkah membuat pemerhatian dan seterusnya menjalankan temu bual. Kerjasama erat antara kami amat penting dalam menjalankan tugas. Alhamdulillah...akhirnya misi kami dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kami agak keletihan pada hari ini. Sebagaimana kebiasaanya kami singgah di Seremban untuk solat dan minum sebelum meneruskan perjalanan. Banyak cerita yang kami kongsi, hati budi antara kami cuba diselami kerana kami menjangkakan pasukan kami bukan terhenti setakat ini, kemungkinan dalam kajian lain kami akan digandingkan lagi. Saya tidak memilih dengan siapa saya akan bekerja tetapi apa yang penting kerjasama dan bersedia untuk menerima saya seadanya kerana tiada di antara kita yang sempurna.

Dalam perjalanan pulang kebiasaannya radio IKIM menjadi santapan telinga. Saya amat tertarik mendengar satu ungkapan yang dilontarkan oleh juruhebah bertugas iaitu... “jadikan tuntutan solat sebagai agenda utama dalam kehidupan.." Ya..menurutnya lagi, “jangan kita sampai leka bermesyuarat, berdiskusi dan bekerja sehinggakan kita terlupa agenda solat yang wajib kita dahulukan apabila tiba waktunya”. Ya..saya termalu mendengarnya, termalu dengan diri sendiri, kerana kadang-kala saya juga tergolong dalam kalangan orang yang lupa dan leka, lalai kerana urusan dunia, sedangkan saya dan anda yakin solat dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Ia jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ‘Allah paling rapat dengan hamba-Nya ketika hamba-Nya sedang sujud kepadanya waktu solat”.

Anda dan saya, marilah kita sama-sama berusaha mendapatkan keredhaan Allah, saling ingat-mengingati kerana sebagai manusia kita tidak boleh bersendiri, sahabat sejati amat diperlukan..kerana sahabat lidahnya ringan memberi nasihat, memberi bantuan apabila diperlukan dan berusaha membimbing ke arah kebaikan..carilah sahabat sejati, yang diperlukan bila memerlukan...

Selesai kajian..hidangan disediakan, terima kasih...

Bertemu lagi...

Thursday, April 29, 2010

PhD – Ke Mana Halatuju???

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebenarnya saya amat gembira kerana terdapat adik-adik yang menghargai penulisan saya. Maklum balas yang anda berikan telah mendorong saya untuk terus berkongsi pengalaman sekiranya ia boleh dijadikan panduan. Saya seperti anda juga, dahulunya tercari-cari tempat berpaut untuk menceritakan suka-duka, berkongsi apa yang dirasa kerana kadangkala kita sering tertanya, ‘betulkah apa yang saya rancang? Apa yang patut saya lakukan? Adakah saya tersasar dari landasan? Alhamdulillah..sekiranya persoalan tersebut sering singgah di minda anda, ianya membuatkan anda sering memeriksa dan menilai diri sendiri. Anda tidak perlu risau..elak diri anda daripada terlalu memikirkan masalah kerana anda tidak mempunyai banyak waktu, bertindak dan bergerak, elakkan daripada rasa terkeliru kerana ia menyebabkan anda sentiasa dalam keadaan ragu-ragu.

Bagaimana perkembangan anda setakat ini? Sudah jelas tajuk kajian yang anda ingin jalankan? Yang penting ianya mesti berkaitan dengan bidang pengajian anda dan anda berminat untuk mengkajinya. Pada peringkat awal kemungkinan tajuk anda agak luas skopnya..ia bukan satu kesalahan, ia merupakan satu permulaan. Tajuk yang luas akan memberi ruang untuk anda membaca lebih kerana anda perlu mendalami isu dan masalah yang berbangkit agar latar belakang dan permasalahan kajian anda jelas. Seterusnya anda perlu mengambil langkah kedua; tajuk kajian perlu lebih berfokus, pastikan ia boleh dikaji-reseachable. Researchable topic is one that can be investigated through the collection and analysis of data. Tajuk kajian anda sewajarnya dapat menyumbang kepada pengetahuan atau ilmu baru; serta boleh diurus-manageable, iaitu dengan mengambilkira faktor kepakaran yang ada pada diri anda; keupayaan mendapatkan data dan maklumat; serta tempoh pengajian iaitu bagi menjamin pengajian anda dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Fokus sangat penting kerana anda perlu membuat kajian secara mendalam kerana anda bakal menjadi pakar dalam bidang yang anda terokai.

Harapan saya agar anda semua terus tabah kerana anda sendiri perlu yakin dan percaya yang anda boleh melakukannya..InsyaAllah. Kenalpasti kekuatan anda, nilai keupayaan anda dan hargai usaha anda. Remind yourself several times daily, ‘my attitudes are more important than my intelligence’. At work and at home practise positive attitudes. See the reasons why you can do it, not the reasons why you can’t. Develop an ‘I’m winning’ attitude. Put your intelligence to creative positive use. Use it to find ways to win, not to prove you will lose.

Anda dan saya, elakkan daripada cepat berputus asa kerana ia menyebabkan jiwa kita menjadi resah dan hati menjadi lemah. Berputus asa di tengah perjalanan adalah kerana kesilapan pada titik permulaan. Jadi anda mulakan dengan kaedah yang betul agar kejayaan mampu anda rangkul.

Bertemu lagi...

Wednesday, April 28, 2010

Indahnya Perkongsian

Bismillahirrahmanirrahim...

Minggu ini saya bertugas di luar pejabat, kerana meneruskan tanggungjawab menjalankan penyelidikan di lapangan. Ya, tugas ini walaupun memenatkan tetapi ianya amat menyeronokkan maklumlah saya dapat menimba ilmu dan pengalaman serta mendapat pengetahuan baru apabila berada di tempat sebenar sesuatu kajian dijalankan. Menjalankan kajian bukan satu tugas yag mudah...ilmu sahaja tidak memadai tetapi ia perlu disertakan dengan kesabaran dan komitmen yang tinggi kerana prosesnya mengambil masa yang panjang bermula dengan penyediaan kertas cadangan, pengumpulan data, penganalisisan data dan seterusnya pelaporan kajian.

Semalam saya dan ahli pasukan kajian ke Klang dan hari ini pula ke Melaka. Perjalanan yang jauh tidak terasa kerana kami sering berkongsi cerita. Kerja secara berpasukan amat menyeronokkan sekiranya ada persefahaman, kebersamaan, keserasiaan dan disertai pula dengan semangat kekitaan. Masing-masing perlu bertanggungjawab ke atas tugas yang diamanahkan. Bagi menjalankan penyelidikan, kemahiran amat diperlukan. Ya..setiap orang daripada ahli pasukan kami mempunyai kepakaran yang berbeza. Apabila kepakaran ini dikongsi bersama, pelaksanaan penyelidikan menjadi lebih mudah. Pasukan kami terdiri daripada pegawai yang berpengalaman dan juga pegawai baru. Alhamdulillah kami dapat bekerjasama dengan baik tanpa rasa sangsi dan silu..“Yang berpengalaman dihormati, yang baru disayangi..” barulah keharmonian dapat dijelmakan. Apabila yang baru digandingkan dengan yang lama, proses pembelajaran berterusan berlaku. Ini juga satu persediaan bagi melahirkan pelapis pada masa akan datang.

Sepanjang perjalanan kami bersembang panjang, membincangkan apa yang patut dilaksanakan seterusnya, fokus kami laporan kajian mesti disiapkan, jadi kami sama-sama berkongsi tanggungjawab, melaksanakan tugas sehingga selesai. Amat mendukacitakan sekiranya ada ahli pasukan yang sekadar ingin menjadi penumpang...atau ada juga yang berminat menjadi posmen, menunggu laporan siap untuk ditunjukkan kepada ketua/bos.. tidak adil bukan? Tapi awas!.. Ketua kita tahu siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang suka bercakap sahaja dan siapa yang bekerja sambil lewa. Sesungguhnya, amanah, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas amat penting...jangan bekerja apabila ada ketua/bos sahaja, sempurnakan tugas yang diamanahkan kepada kita, bekerja secara kolektif akan menghasilkan produk yang berkualiti. Saya amat selesa bersama ahli pasukan kajian kerana mereka sentiasa menepati masa, segera dalam menyediakan transkripsi dan laporan pemantauan serta amat mudah memberikan pertolongan dan dibawa berbincang. Syabas sahabat sekalian, teruskan kecemerlangan!!!

Perkongsian ilmu, pengalaman dan kemahiran perlu diteruskan, kalau tidak ilmu yang ada tidak akan menjadi ilmu yang bermanafaat..jangan kedekut membudayakan amalan perkongsian. Elakkan daripada penyakit hati iaitu hasad dengki, irihati dan buruk sangka, kerana ia membinasakan diri, meragut ketenangan, diri sentiasa terasa terancam dan sering resah meniti hari mendatang. Ya..hati yang sakit akan membuahkan penyakit.

Firman Allah SWT; “Wahai orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah pula ada daripada kamu yang mengumpat sebahagian yang lain…(Al-Hujurat:12). Ya, saya dan anda saling memerlukan.

Bersama ahli pasukan...Bersarapan sebelum memulakan tugas

Bertemu lagi..

Tuesday, April 27, 2010

GOLF VS SOLAT???

Bismillahirrahmanirrahim...

Ingin sekali saya berkongsi cerita, ya bukan cerita rekaan tetapi satu kisah benar yang begitu mengkagumkan saya. Begini ceritanya.. pada hari rabu yang lepas, entah apa mimpinya.. saya menerima panggilan telefon dari teman sekampung yang telah 26 tahun terpisah. Kalau berjumpa belum tentu saya dapat mengenali wajahnya, maklumlah mungkin semuanya sudah berubah. Saya seronok bersembang dengannya, membuka balik cerita lama sewaktu kecil dulu…sewaktu kami sama-sama menghadapi saat sukar diuliti kemiskinan dan kepayahan hidup. Teman saya begitu rancak menceritakan tentang kerjayanya dan kehidupan bahagianya bersama keluarga. Alhamdulillah, saya tumpang gembira dengan apa yang telah dikecapi oleh teman saya, satu kurniaan daripada Illahi. Syukurlah.

Petang tadi sekali lagi beliau menelefon saya, katanya dalam perjalanan untuk menuju ke padang golf. Itulah yang dikhabarkan kepada saya. Wow..terkejut saya mendengarnya. Besar sekali perubahan dalam kehidupannya. Sebenarnya, saya sendiri tidak pernah mendekati golf apa lagi untuk memegang kayu golf. Bagi saya golf adalah prestij, golf adalah untuk orang kaya dan berada saja. Maka sekaligus dalam pemikiran saya mentafsirkan bahwa teman saya mungkin telah kaya-raya, hidup mewah sekarang, padanlah selama ini apabila saya pulang ke kampung tidak pernah saya nampak kelibatnya.

Saya bertanyakan dirinya, seronok sangat ke main golf? Apa yang beliau dapat dari golf? jawapannya ringkas saja.. “golf dapat membantu saya lebih berdisplin, fokus dan amanah”. Bagaimana? Tanya saya.. “Ya...nak masukkan bola ke dalam lubang kena fokus, kalau berjanji jam 7.30 pg bermakna 7.30 pg semua mesti ada.. Nak tahu, ribut dan petir saja yang boleh halang saya daripada bermain golf, kalau setakat hujan renyai-renyai permainan masih boleh diteruskan. Saya sendiri sanggup keluar rumah sebelum subuh kerana golf. Yalah...nak pastikan tiba tepat pada waktunya”. Dalam hati saya terdetik..hebatnya penangan golf, kalaulah fokusnya..disiplinnya..dan amanahnya dapat dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari alangkah bagusnya..tak sia-sia bermain golf.

Saya seronok sekali mendengar ceritanya. Saya menjadi semakin teruja untuk mendengar cerita selanjutnya. Tanpa ditanya teman saya menceritakan, “kalau permainan golf bermula pada jam 2.00 petang, apabila masuk waktu Asar, kami berhenti bermain..kami solat dulu...kemudian sambung balik selepas solat dan sebelum masuk waktu maghrib kami berhenti main”. Saya terpegun mendengarnya. Saya amat kagum dan bangga dengan dirinya kerana sedari kecil itulah dia orangnya..amat jaga solat dan sentiasa solat pada awal waktu. Alhamdulillah..beliau mampu mempertahankannya walaupun menjadi pencinta golf sejati. Ya..hebat sekali didikan yang diterima daripada ibubapanya…teman saya tidak pernah tenggelam dengan kesenangan hidup yang dikecapi. Alhamdulillah.

Ya..bermain tak salah, bersukan tak salah..bermain golf juga tak salah..kalau kita sentiasa menjaga solat, tidak mengambil mudah tentang solat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat itu tiang agama, siapa yang mendirikannya bermakna ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah memusnahkan agamanya”. Ya..yakinlah, solat merupakan satu terapi untuk mendidik tingkah laku dan akhlak serta memupuk hati dan jiwa yang bersih. Oleh itu, sebagai peringatan untuk diri saya dan mungkin untuk diri anda juga..dalam kesibukan dan kepayahan, dalam susah dan senang..ingatlah Allah di mana jua kita berada..solat lima waktu jangan dilupa.

Bertemu lagi...

Monday, April 26, 2010

PhD VS Sarjana- Bagaimana Merancang???

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah...kita dapat bertemu lagi. Seronok menulis untuk mereka yang menghargai. Harapan saya ia mampu menjadi suntikan semangat, membantu meningkatkan keyakinan diri dan seterusnya dapat memupuk kecekalan hati anda semua. Saya cukup mengerti, pengembaraan mencari ilmu banyak sekali ujian yang terpaksa dilalui. Maklumlah calon sarjana dan PhD kebanyakannya sudah berkeluarga, sudah berumahtangga... Pastinya selain daripada cabaran dalam penerokaan bidang ilmu baru, anda mungkin juga diuji dengan karenah anak-anak, rajuk suami/isteri dan yang paling saya bimbangi ialah ujian dalaman diri anda sendiri. Justeru itu, binalah kekuatan diri.. pengembaran anda masih jauh… jangan abaikan keluarga, jangan kesampingkan rumahtangga.

Tempoh tiga tahun untuk melangsaikan PhD bukanlah satu jangkamasa yang lama. Anda perlu bergerak pantas, jangan teragak-agak. Uruskan masa anda dengan baik. Rancang apa yang hendak anda lakukan sepanjang tempoh pengajian anda. Yakin, anda boleh melakukannya. Anda perlu mendisiplinkan diri anda, anda kena membawa diri anda sebagai calon PhD kerana anda bukan lagi pelajar ijazah sarjana muda. Anda perlu bergantung kepada diri anda sendiri..komitmen dan kesungguhan anda, penyelia sekadar memberi bimbingan..bermakna, anda perlu bijak mencari, perlu cekap menerokai sendiri apa yang anda mahu dan kehendaki, jangan terlalu bergantung harap kepada pertolongan orang lain..berdikarilah, tetapi jangan lupa anda perlu banyak berbincang dan berdiskusi… MOHON PERTOLONGAN ALLAH SENTIASA.

Sedikit perkongsian pengalaman daripada saya sekiranya boleh dijadikan teladan. Ya..perancangan yang rapi dan sistematik telah dapat membantu saya untuk menjadi lebih berdisiplin semasa belajar. Pertama, saya sediakan jadual untuk tempoh tiga tahun pengajian. Saya berazam pada bulan Ogos 2002 saya akan membentang kertas cadangan kajian, Ogos 2003 pembentangan kemajuan dan Ogos 2004 pembentangan pada peringkat pemantapan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan dengan izin Allah perancangan yang saya buat telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Jadi anda juga boleh merancang seperti saya, atau mungkin anda mampu membuat perancangan yang lebih baik daripada saya. Teruskan…tetapi pastikan apa yang anda rancang, anda perlu berusaha keras untuk mencapainya. Kenapa perlu merancang? Saya bimbang anda leka.. bukan bermakna anda tidak membaca..tetapi berikan masa pada diri anda, selepas tiga atau empat bulan membaca jurnal, tesis, buku dan sebagainya anda perlu mencoret sesuatu di kertas.. mulakan penulisan awal..mungkin latarbelakang kajian, atau masalah kajian..tulis kerana seandainya anda tidak mula menulis, saya khuatir anda tidak tahu apa yang hendak ditulis. Pesanan saya, anda perlu mulakan penulisan sekarang..sedikit demi sedikit kerana gaya penulisan memerlukan teknik yang perlu anda kuasai. Jadi mulakan daripada sekarang kerana sudah hampir enam bulan anda berada di Universiti, sewajarnya sudah ada di fikiran anda bidang/fokus yang hendak dikaji. Tetapi jangan lupa teruskan pembacaan anda, semakin banyak anda baca, semakin banyak idea yang akan diperolehi bermakna semakin luas pemikiran anda.

Think success, don’t think failure. Substitutes success thinking for failure thinking. When you face a difficult situation, “think I’ll win” not I’ll probably lose..” Remind yourself regularly that you are better than you think you are. InsyaAllah moga anda berjaya.

Bertemu lagi...

Di Mana Silapnya???

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari Ahad sebagaimana biasa, saya mengambil peluang untuk membaca beberapa naskah akhbar harian. Saya cukup gerun membaca berita yang dipaparkan. Manakan tidak, berita berkaitan pembuat kek dibunuh ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di dada; lelaki berusia 29 tahun bertindak menggantung diri akibat putus cinta; padah elak dicekup, penuntut kolej mati terjatuh dari tingkat lima pangsapuri; dan biasalah gadis KL merokok; sudah cukup untuk menggoncang jiwa saya. Ini belum lagi berita berkaitan buang bayi, mengandung luar nikah, dadah dan lain-lain lagi yang begitu menyayat hati kita membacanya mutakhir ini.

Bukan tujuan saya untuk menuding jari mencari kesalahan sesiapa, kerana saya dan anda masih belum pasti terlepas daripada permasalahan sebegini. Nauzubillahiminzalik.. Masalah kronik ini bukan berlaku dalam kalangan remaja sahaja tetapi juga di kalangan orang dewasa yang telah berkeluarga. Kenapa jadi begini? Persoalan ini masih belum mendapat jawapan yang pasti. Andaian saya mungkin berlakunya gejala sebegini akibat tekanan hidup, kurang pengetahuan agama, kurang kesabaran atau kepimpinan dalam institusi keluarga yang semakin rapuh. Apapun kita perlu memandang serius perihal ini agar ia dapat dibendung daripada berterusan berlaku. Apakah yang patut saya dan anda lakukan?

Kebiasaannya setiap pagi apabila sampai ke pejabat, isu sebegini sering menjadi topik perbualan saya dan rakan-rakan. Bukan apa kerana ramai antara kami yang telah mempunyai anak remaja. Risau kalau di depan mata nampaknya semua baik tetapi di belakang kita, wallahu'alam apa yang berlaku. Ya Allah, mudah-mudahan Allah pelihara dan merahmati anak-anak kita. Saya teringat kata-kata rakan saya, “kalau anak kita jaga solat, InsyaAllah mereka akan selamat”. Saya amat yakin dengan kata-kata tersebut. Tetapi anak-anak kadangkala solat perlu bersuruh, perlu diingatkan, kalau tidak mereka leka. Sejauh mana kita dapat mengawal mereka.. Bagi saya, mendidik anak-anak banyak menguji kesabaran saya. Kata Ustaz; doa ibubapa amat penting dalam mendidik anak-anak.. Apapun baik atau tidak, suka atau tidak, mereka anak kita.. jangan putus doakan kesejahteraan mereka, jangan jemu mohon pertolongan Allah dan jangan sesekali berkata yang tidak baik kepada anak-anak hatta lintasan dalam hati kita. Mudah-mudahan kita dapat mendidik diri menjadi ibubapa yang cemerlang, penyabar, penyayang dan mengambil berat tentang solat lima waktu anak-anak.

Ya solat merupakan mekanisme pembersih hati dan jiwa yang paling ampuh. Allah SWT berfirman; “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar..” (Al-Ankabut:45); “..Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.." (Al-Baqarah:45). Anda dan saya, kita perlu berusaha, kita tidak mahu generasi akan datang termasuk anak-anak kita hilang halatuju dan lupa akan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sebagai manusia, kadangkala kita terfikir di manakah silapnya kita sebagai ibubapa sehinggakan anak-anak tidak mendengar kata, tidak mengendah nasihat kita. Marilah sama-sama kita mengambil sedikit masa untuk muhasabah diri, di manakah silapnya. Adakah saya dan anda sudah menjadi contoh yang terbaik untuk anak-anak? Halalkah rezeki yang kita suapkan ke mulut mereka? dan adakah kita merupakan anak yang baik kepada ibubapa kita? InsyaAllah kita akan mendapat jawapannya...

Permata hatiku: Amir & Amirah

Moga kalian menjadi anak yang soleh-solehah

Bertemu lagi...


Sunday, April 25, 2010

PhD dan Sarjana: Masih Bersemangatkah Anda?

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya terpanggil untuk terus menulis khusus untuk bakal sarjana dan PhD kerana sebelum ini saya tidak berkemampuan untuk membalas email daripada adik-adik sekalian kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Rasa bersalah tetap ada kerana saya faham adik-adik semua amat mengharapkan bantuan dan bimbingan. InsyaAllah dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang ada, saya akan berusaha untuk membantu adik-adik agar berjaya dalam pencarian ilmu ini. Adik Sharida, Liza, Anita, Amin dan adik-adik yang lain, bagaimana diri kalian semua pada hari ini? Selepas hampir enam bulan melangkah sebagai calon PhD pastikan semangat anda tida pernah pudar dan menurun. Usaha dan kuatkan semangat anda.. jangan biarkan diri hanyut dengan masalah tanpa berikhtiar untuk mengatasinya dengan kadar segera. PhD ialah perjuangan, PhD ialah pengorbanan. Anda kena banyak berkorban, barulah anda dapat menempah kejayaan.

Mari kita sama-sama imbas kembali pada saat permohonan untuk mendapat tajaan/biasiswa. Anda bertungkus lumus menyediakan kertas cadangan apabila dipanggil temuduga. Apabila tiba hari temuduga, pada malamnya anda solat hajat mohon dipermudahkan sewaktu temuduga. Tidak cukup dengan itu, di luar bilik temuduga sewaktu menunggu giliran, mulut anda terkumat kamit tidak berhenti berdoa. Bermakna anda telah melakukan satu permulaan yang baik…Alhamdulillah... Saya masih ingat, ada antara anda saya yang menemuduga. Anda terpilih bermakna anda layak, anda bersedia dan anda mampu meyakinkan panel temuduga yang anda akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dan seterusnya kembali menyumbang dan berkhidmat dengan KPM. Buktikan anda boleh melakukannya. Alhamdulillah sewaktu program intervensi, saya masih dapat bersama anda lagi kerana saya diamanahkan untuk memberi taklimat berkaitan penyediaan kertas cadangan kajian dan reka bentuk kajian. Saya amat teruja melihat air muka anda semua yang begitu berseri dan bersemangat. Ya...menunjukkan betapa anda bersunguh-sungguh untuk melanjutkan pengajian hingga jayanya. Anda telah melepasi satu ujian, anda mampu... Teruskan semangat untuk berjaya, segala rintangan dan dugaan, anda perlu lalui dengan tabah dan sabar.

Pesanan saya, seandainya anda bermasalah, mengalami kebuntuan.. jangan biarkan diri berseorangan. Bincang dengan rakan-rakan atau dengan orang yang anda fikir dapat menegembalikan kekuatan anda. Buat PhD atau sarjana tidak boleh berseorangan…kerana anda saling perlu-memerlukan antara satu sama lain, untuk saling ingat-mengingati untuk mendapatkan kekuatan. Tiga tahun bukan satu tempoh yang lama. Setiap hari anda perlu uruskan masa dengan baik. Kalau anda menggunakan masa untuk membuat kerja sampingan, menambah pendapatan.. bermakna anda silap.. anda diberi cuti bergaji penuh bagi memastikan anda mampu menyiapkan PhD dalam tempoh masa yang diberikan. Tunaikan amanah tersebut sebaik mungkin agar Allah memberkati usaha murni anda dan mudah-mudahan ilmu yang diperoleh menjadi ilmu yang bermanfaat.

Seingat saya, kalau di UKM kolokium kerap diadakan untuk pembentangan kertas usulan, kemajuan dan pemantapan. Dulu saya tidak pernah menggagalkan diri saya untuk menghadiri kolokium tersebut. Ia merupakan satu proses pembelajaran yang sangan berkesan dan bermakna untuk anda. Dalam kolokium anda dapat mendengar kritikan, pembetulan dan penambahbaikan terhadap kertas yang dibentangkan. Dari sinilah anda mula belajar apa yang patut dan tidak patut anda lakukan semasa penyediaan kertas-kertas tersebut. Anda mula kenal peri pentingnya masalah kajian untuk membentuk tujuan dan objektif kajian. Kalau kertas cadangan kajian kabur, bermakna anda belum jelas tentang apa sebenarnya yang anda ingin kaji. Ini bermana anda masih kurang membaca, anda belum cukup menerokai ilmu baru. Usaha lagi tanpa jemu.

Hari ini, setelah hampir enam bulan berada di universiti, tanya diri anda apa yang telah anda perolehi? Peningkatan ilmu, sudah semestinya... Kalau dulu mungkin hanya kenal SPSS tetapi sekarang sudah kenal AMOS. Syabas, ada kemajuan. Sekadar peringatan.. jangan lupa fikir-fikirkanlah bidang yang hendak dikaji, mulakanlah menulis .. kerana apabila tulis anda perlu baca..kemudian edit..baca..edit..baca edit sehingga anda tahu dan faham apa yang anda tulis..apa yang anda hendak kaji. SABAR... Pada peringkat awal ini, mungkin dalam sehari perubahan tajuk berlaku sampai dua tiga kali.. ini dinamakan proses.. jangan risau.. ia berlaku kepada saya dan mungkin juga kepada anda.

Saya amat mengalu-alukan sebarang komen agar saya boleh terus membantu anda sekalian melalui perkongsian lmu dan pengalaman. Teruskan perjuangan.

Bertemu lagi...

Cakna Minda

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini bukan hari kerja. Sambil menyediakan sarapan pagi, saya menonton rancangan Tanyalah Ustaz di TV9. Rancangan ini amat bagus untuk kita tontoni sekurang-kurangnya walaupun sedikit kita akan memperoleh ilmu baru atau membantu memperkukuhkan lagi kefahaman kita terhadap ilmu yang sedia ada. Maklumlah lima hari seminggu bekerja di ofis, kadangkala terasa diri kekosongan dengan ilmu pengubat hati. Ya kita berlumba-lumba untuk hebat di dunia tetapi kita lupa tentang akhirat yang kekal abadi. Kematian tidak mengenal usia, tidak mengira masa dan ketika, yang penting kita perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapinya.

Kematian itu pasti, syurga dan neraka juga benar. Saya dan anda mungkin sering terlupa, lalai dan cuai. Nikmat Allah kita tidak manfaatkan dengan baik. Kita berikrar dengan Allah dalam solat lima waktu "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah jua..." Marilah kita sama-sama merenung sejenak, muhasabah diri kita, nilai balik apa yang telah kita lakukan semalam dan sebelum ini. Adakah kita benar-benar menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa, melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Kita masih belum terlewat, kenapa tidak kita sama-sama berusaha berganding bahu, saling ingat-mengingati ke arah kebaikan. Marilah kita tanamkan azam, bulatkan tekad untuk sentiasa mentaati Allah, mudah-mudahan redha Allah akan menjadi milik kita. Marilah kita sama-sama betulkan iman kita, tingkatkan amalan kita dan sentiasa menjaga keikhlasan hati kita. Perjalanan kita masih jauh.

Menurut Ustaz Zamri tadi, manusia iaitu kita wajib berubah ke arah kebaikan, ia bukan satu pilihan kerana kita semua tak nak masuk neraka, semua nak masuk syurga. Jadi kita perlu sentiasa berfikir sama ada apa yang kita lakukan betul atau salah, mendatangkan dosa atau mendapat ganjaran pahala. Untuk pagi ini saya dan anda, buat permulaannya marilah sama-sama kita menanamkan azam untuk solat pada awal waktu. Masuk waktu, selepas kedengaran laungan Azan, jangan bertangguh lagi… kerana laungan azan menyeru kita untuk bersolat dan menuju kejayaan. Siapa yang tak nak berjaya dalam hidup? Ya..kalau boleh sebelum masuk waktu dah ambil wudhuk kerana tidak sabar untuk menyembah Allah, untuk berdoa kepadaNya memohon keampunanNya dan melefazkan kesyukuran kerana masih dikurniakan dan dikekalkan nikmat yang dianugerahkan kepada kita. Bayangkanlah seandainya Allah menarik balik nikmat tersebut daripada kita.. agaknya mampukah kita menghadapinya?

Untuk itu, marilah kita praktikkan apa yang terkandung dalam surah Al-Asr: Firman Allah; "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.." InsyaAllah saya dan anda, marilah sama-sama kita berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan penuh kesabaran...

Bertemu lagi...

Saturday, April 24, 2010

Ingatlah Waktu Sihat Sebelum Waktu Sakit

Bismillahirrahmanirrahim...

Nikmat Sihat

Alhamdulillah saya masih diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk terus menulis dalam blog ini. Ramai sahabat yang SMS bertanyakan apa yang mendorong saya untuk menulis... Ya pastinya saya ingin sekali berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta ilmu yang sedikit yang ada pada diri saya bersama para pembaca sekalian.

Saya terpanggil untuk menulis selepas saya diuji dengan kesakitan. Alhamdulillah, ujian Allah untuk saya agar saya tidak terus lalai dan leka dengan nikmat dunia semata-semata. Ujian yang saya tempuh telah membuatkan saya sering memikirkan tentang kematian, cukupkah persediaan yang telah saya lakukan untuk melayakkan saya mendapat syurga Allah dan ditempatkan disisi orang yang beriman. Betul kata Ustaz dalam program Tanyalah Ustaz di TV9 bahawa “ujian merupakan guru yang tidak bercakap dan merupakan pendidikan dalam diam”. Tepat sekali. Ujian kesakitan yang menyebabkan saya terlantar di katil selama tiga bulan membuatkan saya sering muhasabah diri. Selama lebih empat puluh tahun menjalani kehidupan, adakah saya berlaku adil dengan diri saya sendiri dan sejauh manakah saya telah menggunakan nikmat Allah untuk melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Beginilah kisahnya... Ujian kesakitan yang menyedarkan aku tentang nikmat sihat. Tidak dapat aku lupakan, tanggal 4 September 2009 aku ke Terengganu kerana urusan kerja. Aku bersama rakan setugas Dr. Latip perlu melaksanakan kajian di lima buah sekolah terpilih di Kuala Terengganu. Sebelum ke Terengganu, aku dapat merasakan badanku agak amat lemah dan tidak bermaya. Mungkin faktor bulan puasa menyebabkan aku agak keletihan.

Setibanya di lapangan Terbang Sultan Mahmud aku sudah tidak mampu melangkah lagi dan terpaksa dipimpin keluar dari balai ketibaan. Abang Hamzah dan adik Ani menunggu ketibaanku. Aku terus dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dimasukkan ke bilik rawatan kecemasan. Mukaku pucat lesi. Doktor terus memberi rawatan segera dan 1 beg darah disalurkan ke badanku. Doktor menjelaskan HB ku hanya 4.0 sahaja, amat rendah dan beliau berasa hairan kerana aku amat berani berhadapan dengan risiko sedangkan hakikatnya aku tidak sedar bahawa keadaan kesihatan ku membahayakan diri sendiri.

Apabila darah dimasukkan, aku menaruh harapan agar segera sembuh dan berpeluang untuk menjalankan tugas rasmi yang diamanahkan kepadaku. Alhamdulillah doktor lebih arif dengan keadaanku dan aku seterusnya dimasukkan ke Wad 5E/F. Keesokannya sekali lagi aku dimasukkan darah kerana HB masih rendah. Pada hari ini dijangkakan dua beg darah akan disalurkan ke badanku. Malangnya apabila darah disalurkan, badanku telah menunjukkan tindak balas tanpa diduga. Aku menggeletar dan kejang serta berpeluh sehingga membasahi baju. Aku terasa badan seperti mengecil dan mengeras, sehinggakan terlintas dif ikiran, masih panjangkah umurku. Pada waktu itu, yang aku ingat hanya Allah, kerana kepadaNya sahaja aku mohon pertolongan dan bergantung harap. Surah At Thalaq ayat 1 hingga 3 bermain di bibir mulut, begitu juga dengan ayat-ayat Kursi. Betapa pada waktu itu aku benar-benar berserah kepadaNya.

Doktor dan jururawat mengambil tindakan segera kerana bimbang akan berlaku sesuatu di luar jangkaan. Doktor segera memberi suntikan kepadaku kerana aku mengalami pendarahan yang agak banyak. Pada petang itu aku sepatutnya dipindahkan ke Wad 1, iaitu Wad7AB tetapi terpaksa ditangguhkan kerana aku perlu diberi perhatian yang rapi akibat tindak balas darah yang dimasukkan ke badanku. Cubaan menyalurkan darah seterusnya tidak dapat dilakukan.

Pada 7 September aku dipindahkan ke Wad 7AB. Aku telah menjalani pemeriksaan dan disahkan mengalami ketumbuhan di dalam perut. Doktor menasihatiku supaya menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut. Aku akur dengan nasihat doktor dan tarikh pembedahan telah ditetapkan pada 8 Disember 2009. Malamnya aku tidak dapat melelapkan mata memikirkan tempoh tiga bulan untuk menunggu pembedahan yang bakal dijalankan dan aku agak takut menunggu ketibaan tarikh tersebut.

Keesokannya aku dilawati oleh Ketua Jabatan iaitu Pakar Sakit Puan Dr Wan Abu Bakar dan beliau memeriksa keadaan kesihatanku. Dr Wan menegaskan aku perlu dibedah segera. Doktor memaklumkan aku akan dibedah pada 15 September 2009. Ini bermakna aku akan dibedah seminggu sebelum hari raya puasa. Berita mengenai tarikh pembedahanku hanya aku maklumkan kepada keluarga terdekat serta sahabat-sahabatku di pejabat. Aku berpesan kepada mereka supaya tidak menghebahkannya kepada orang lain kerana aku memerlukan ketenangan dan rehat secukupnya kerana keletihan akibat pendarahan tanpa henti. Pada saat getir ini, aku hanya ingin mendekatkan diri dengan Allah.

Pada awal pagi 11 September aku telah dikejutkan dengan deringan telefon daripada Dr Amir, Pengarah tempat aku bekerja. Aku hampir menangis dan sebak mendengar suaranya menasihatiku supaya bersabar dan tabah dengan apa yang aku hadapi. Terima kasih Tuan Pengarah, aku amat menghargainya dan ia menjadi satu suntikan semangat untuk aku menghadapi dugaan ini. Aku juga menerima SMS bertalu-talu daripada rakan-rakan, mereka terlalu baik dan tidak putus memberi semangat dan dorongan agar aku tabah menghadapi ujian ini. Aku juga dimaklumkan bahawa di pejabat sewaktu majlis Tadarus al Quran keseluruhan yang hadir pada hari itu turut mengaminkan doa agar aku selamat menjalani pembedahan.

Pada 14 September iaitu sehari sebelum tarikh pembedahan, anak-anakku Amir dan Amirah, suami serta Pak Cik dan Mak Cik tiba dari Kuala Lumpur. Selain itu semua adik beradik juga turut datang menziarahiku. Aku amat beruntung mempunyai keluarga yang prihatin dan penyayang. Pada malam sebelum pembedahan, aku tidak mahu sesiapa pun menemaniku di wad. Aku lebih suka bersendirian kerana ia akan memudahkan aku untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana pembedahan merupakan sesuatu yang serius dan aku tidak pasti sama ada dapat melihat dunia lagi selepas ini. Oleh itu kepada Allah sahaja aku berserah dan kepadaNya sahaja aku bergantung harap.

15 September 2009 tibalah masanya aku akan dibedah. Aku begitu tenang, hilang rasa sedih, gentar dan takut kerana aku perlu menghadapinya. Aku mendapat kekuatan semangat serta keberanian yang luar biasa tanpa diduga. Aku memasuki bilik bedah pada jam 7.30 pagi dan keluar pada pukul 2.30 petang. Selepas itu, aku ditempatkan di bilik HRD selama tiga hari kerana masalah pernafasan. Aku amat terharu kerana keluarga dan abang Hamzah setia menunggu di luar bilik bedah sehingga selesai pembedahan. Aku amat terhutang budi dengan mereka. Aku amat merasai kasih sayang mereka kerana aku mendapat layanan yang sungguh istimewa daripada mereka semua. Aku memperolehi pengalaman yang begitu berharga kerana dapat merasai suasana menyambut hari raya di hospital. Ia benar-benar memberi keinsafan kepadaku kerana kadangkala apabila kita bergembira, kita sering terlupa ada insan lain yang sedang sakit dan menderita. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kerana aku selamat menjalani pembedahan dan masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan di dunia.

Terima kasih kepada semua keluargaku, Mak, Ani, Kak Long, Yah, Mat dan abang Hamzah serta Pakcik Din dan Makcik Minah kerana sentiasa memahami keadaanku, tidak jemu mendoakan aku, sabar dengan kerenahku, budi dan jasa kalian memang tidak terbalas olehku. Untuk anak-anakku Amir dan Amirah, bersyukurlah kerana ummi masih dipanjangkan umur untuk terus bersamamu. Buat adik Mizan dan Sharida aku amat bahagia dengan kasih sayang kalian berdua. Buat rakan-rakan di BPPDP terima kasih di atas ketulusan ingatan dan doa yang berpanjangan. Untuk Dr Amir bin Salleh, ketinggian budi beliau amat aku sanjungi dan hormati, dan terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menziarahiku waktu sakit.

Aku juga amat berterima kasih kepada semua kakitangan di Wad 5E/F dan Wad 7AB HSNZ. Layanan mesra dan kesabaran mereka amat mengkagumkan dan sekali gus ia membantu menaikkan imej hospital kerajaan di mata umum. Tidak lupa jutaan terima kasih kepada Dr Wan Abu Bakar dan ahli pasukan pembedahan kerana telah berjaya melaksanakan misi dengan berkesan dan kepada Dr Muhammad Ilham, terima kasih kerana sentiasa meredakan ketakutanku apabila berhadapan dengan jarum dan suntikan. Kenangan di Hospital Sultanah Nur Zahirah tidak akan dapat aku lupakan.

Bersama anak-anak Amirul Amin dan Amirah Afiqah

Aidilfitri di Hospital SNZ

Bertemu lagi...

Friday, April 23, 2010

PhD: Permanent Head Damage - Sukar ke nak lulus?

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada tahun 2001 saya melangkah ke UKM untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah. Saya begitu bersemangat sekali maklumlah belajar dapat biasiswa KPM dan bergaji penuh pula. Orang kata nak lulus PhD susah. Ya ke? Saya menjadi gerun, boleh ke saya berjaya, malu kalau gagal maklumlah biasiswa dah ambil, rakan sepejabat dah maklum dan orang kampung pun semua dah tahu saya ni bakal bergelar Dr.

Ya, nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Untuk menempa kejayaaan yang paling penting dan utama ialah niat. Niat belajar kerana Allah, satu ibadah untuk menuntut ilmu dan seterusnya menyumbangkan ilmu ke arah mardhotillah - mendapat keredhaan Allah bukannya kerana nak bergelar Dr atau dipanggil doktor.

Hasil niat yang betul, InsyaAllah akan memberi kesan kepada kesunguhan dan komitmen dalam pencarian ilmu. Disiplin diri amat penting. Kalau hari bekerja kita boleh berada di pejabat dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang, tetapi apabila kita buat Phd kenapa kita tidak melakukan perkara yang sama. Uruskan masa dengan baik. Pastikan jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang setiap hari anda berada di perpustakaan..kerana itu yang saya lakukan. Baca, baca dan baca.. anda tidak boleh jemu membaca kerana jika anda tidak minat membaca bermakna anda telah menempah tiket awal untuk menggagalkan diri anda.

Anda perlu bijak memilih bahan yang anda baca berdasarkan bidang anda. Jangan baca sekadar baca, tetapi baca dengan berfokus..awas jangan hadkan pembacaan anda. Sentiasa membuat catatan apa yang anda baca, bukan isi penting sahaja tetapi juga judul, tahun terbit dan penerbit kerana ia mungkin menjadi bahan rujukan anda.

Kadangkala kita terlalu memberi fokus kepada tajuk cadangan kajian. Kenapa risau dengan tajuk? Ya saya masih ingat pesanan penyelia saya Profesor Dr. Robiah Sidin apabila saya hantar kertas cadangan, “Mai, ni kena baca lagi… masih tak cukup.. cuba cari tentang teori…model.. jangan risau tentang tajuk, bila dah banyak baca akan lebih jelas tentang apa yang nak dikaji..” Ya itu lah pesanan sifu saya yang amat saya kagumi. Maka saya akur dengan saranan Prof. Ikut cakap cikgu ni berkat, jadi kena yakin dengan penyelia, hormati mereka kerana mereka yang akan membimbing kita.

Saya tidak pernah berjumpa prof dengan tangan kosong. Saya berusaha unuk mencari bahan yang Prof suruh baca. Kalau tiada di UKM, saya ke UIA, tiada di UIA saya ke UM, tiada di UM saya ke UPM..menerusi internet dan sebagainya. Sepanjang buat PhD, semua perpustakaan universiti saya dah terokai, hinggakan rak bukupun saya boleh hafal. Jadi anda jangan mengalah untuk mencari bahan bacaan yang anda perlukan InsyaAllah ada, yang penting anda kena rajin berusaha. Kalau boleh apa yang penyelia suruh cari, buat.. jangan ambil mudah, kerana ia merupakan satu proses untuk lulus PhD.

PhD ialah satu ujian, memerlukan kesabaran. PhD ialah air mata, saya sering terdengar rakan-rakan mengatakan sewaktu buat PhD lah kadangkala komputer rosak, data hilang dan sebagainya. Masa buat PhD pelbagai dugaan yang mendatang, benar-benar menguji kesabaran. Saya juga tidak terlepas daripada ujian. Mungkin anda akan hilang sabar, tak nak meneruskan pengajian, anda bermasalah dengan penyelia, anda tidak tahu bagaimana nak mula menulis, tak faham bagaimana nak menyediakan proposal..anda kebingungan. Menyesalkah anda menjadi calon PhD???

Jangan toleh ke belakang, kalau saya boleh, anda pasti boleh...InsyaAllah. Ujian, kesulitan dan cabaran merupakan pengalaman dan pelajaran yang amat bermakna untuk menjadikan kita orang yang tinggi kesabarannya. Anda perlu kuat, anda kena bersemangat, sentiasa positif, yakin anda boleh melakukannya. Bagaimana untuk memperoleh ketahanan diri dan kekentalan jiwa dalam menghadapi tribulasi ini? Ya hanya satu ubatnya, minta pertolongan Allah, mohon Allah permudahkan segala urusan, solat hajat setiap malam, solat Tahajjud setiap malam.. banyakkan berdoa, anda jangan terkejut kesannya, anda akan terasa anda mendapat kekuatan dan semangat baru, anda tenang dan anda dapat rasakan kelainan. Yakinlah pertolongan Allah maha hebat.. Ingatlah kepada Allah ketika susah dan senang..

Bersama Prof. Robiah Sidin
Bertemu lagi...


Thursday, April 22, 2010

Nostalgia: Masihku ingat

Bismillahirrahmanirrahim....

Teringin sekali untuk aku berkongsi pengalaman dengan anak-anak, sahabat, adik-adik dan keseluruhan pembaca sekalian. Perkongsian ini bukan untuk menzahirkan kehebatan, tetapi coretan pengalaman sekiranya boleh dijadikan panduan.

Sebenarnya, aku terkenangkan masa kecilku. Anak seorang pengayuh beca roda tiga. Ibu ayah buta huruf, tidak tahu membaca apatah lagi untuk menulis. Aku kagum dan bangga dengan kehebatan mereka, mendidik kami adik beradik. Kami enam beradik sedari kecil diberi didikan yang sempurna. Alhamdulillah kemiskinan keluarga menyebabkan kami sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Kami tidak pernah meminta kerana ayah dan ibu sentiasa memerah keringat mereka untuk kami, walaupun kadangkala kami makan nasi berlaukkan air gula, tetapi kami tetap bahagia dan gembira.

Masih terngiang di telingaku, sebelum tiba waktu maghrib suara ibu kedengaran lantang memanggil untuk memastikan kami semua berada dalam rumah. Menurut mak, waktu maghrib syaitan berkeliaran, tak elok berada di luar rumah. Kami adik beradik akur. Begitulah hebatnya ayah dan mak mendidik kami.

Lantaran kemiskinan, kami adik beradik berusaha keras dalam pelajaran. Mak dan ayah sentiasa memberi dorongan dan sokongan. Cukuplah doa restu mereka mengiringi langkah kami adik beradik ke sekolah. Setiap hari jam 4.00 pagi mak sudah ke dapur menyediakan sarapan, bagi memastikan perut anak-anak diisi sebelum ke sekolah. Ya berkat masakan ibu dan jerit perit ayah mencari rezki, kami adik beradik semuanya berjaya dalam pelajaran. Syukur ke hadrat Allah kerana rahmatNya dan nikmatNya yang melimpah ruah.

Alhamdulillah kami empat beradik bergelar pendidik. Apabila kakak dan aku mula bekerja, yang pertama langkah kami ialah minta ayah berhenti mengayuh beca. Sudah tiba masanya kami menanggung kehidupan ayah ibu, sudah terlalu lama ayah berpanas dan berhujan untuk memelihara kami. Ayah turuti permintaan kami adik beradik, inilah peluang untuk ayah mengenal erti rehat. Kini ayah tiada lagi, yang tinggal hanya emak yang akan kami jaga dan pelihara sehingga ke akhir hayatnya.

Secebis kenangan untuk dijadikan iktibar- untuk para ibu, masaklah dengan air tangan untuk anak-anak dan suami, keberkatanya InsyaAllah berpanjangan. Untuk para bapa, carilah rezeki yang halal dengan hasil usaha sendiri untuk anak dan isteri. Untuk anak-anak, taati kedua ibu bapa, pelihara mereka dan jagalah kebajikan mereka, jangan abaikan mereka kerana ibubapa telah banyak berkorban untuk kita.

Bertemu lagi...

Monday, April 19, 2010

Salam Perkenalan

Assalamualaikum warahmatullah...

Salam Perkenalan... Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada saya untuk terus menulis dan berkongsi ilmu di sini, insyaAllah...

Bertemu lagi...