Monday, May 31, 2010

Mengapa dan Kenapa: Remajaku Jadi Begini?

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya bersama rakan sepejabat sempat bersembang seketika apabila membaca isu semasa yang sungguh mengguris jiwa…apa nak jadi dengan anak-anak remaja kita bakal pemimpin generasi akan datang yang berterusan tersilap langkah dan ramai pula yang mengandung anak luar nikah, apabila dilahirkan tidak kenal siapa ayah, maka anak ditinggalkan, dibunuh dan ditanam.. Betapa nyawa menjadi pertaruhan..maka hiduplah mereka berpanjangan bergelumang dengan dosa yang berterusan kerana hilang sudah arah tujuan. Situasi ini terjadi adakah kerana tiada lagi yang sudi menghulurkan bantuan untuk memberi bimbingan walaupun banyak mata yang memandang juga telinga yang mendengar atau diri sendiri tidak ingin melakukan perubahan kerana asyik melayari keseronokan, kembalilah ke pangkal jalan demi kehidupan pada masa hadapan.

Kerisauan sahaja tiada faedahnya, yang penting sekarang ialah apa yang sebenarnya patut kita lakukan..untuk membantu remaja sekalian, penyakit yang menular usah dibiarkan kerana bimbang mudaratnya lebih besar terhadap sekalian penghuni alam. Ibu, ayah, jiran tetangga serta ahli masyarakat, bagaimana sewajarnya kita memulakan langkah untuk membendung penyakit remaja yang bertindak mengikut selera dan hawa nafsu ini daripada berterusan menguasai diri? Betapa sekarang jelas sudah, kedapatan anak-anak remaja kita gagal mengawal diri, hati dan peribadi..ke mana hilangnya harga diri. Bagi kita, sudah pasti ada tanggungjawab yang perlu dipenuhi mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berkualiti dalam aspek jasmani dan juga rohani kerana kehidupan kita bukan berakhir di sini, akhirat sedang menanti. Bukan masa untuk menunding jari, siapa salah, siapa benar kerana yang paling utama ialah bagaimana untuk mengatasi dan menghulurkan khidmat bakti bagi membantu mengatasi gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.

Untuk anak remaja sekalian...ingin sekali ummi berpesan, hati-hati dalam tindakan, jagalah batas pergaulan, etika pakaian jangan dipermudahkan, menutup aurat satu tuntutan agar diri terpelihara daripada mata liar yang memandang dan yang suka mengambil kesempatan. Duhai anakku, ummi merayu..maruah keluarga perlu dipelihara..kesilapan ibu ayah usah diambil kira kerana betapa besarnya pengorbanan mereka..yang diharapkan hanyalah kebahagiaan anak-anak dan mereka tidak pernah meminta.

Anak-anak sekalian..dengan rasa rendah diri ummi memohon, pilihlah rakan yang bukan tujuan untuk berseronok dan bersuka ria sahaja tetapi carilah sahabat yang boleh membawa anak ummi kepada kebaikan dan saling berpesan dengan kebenaran. Semalam ummi terkejut membaca akhbar, umur masih muda tetapi merelakan tubuh untuk dijamah kerana katanya ketagih sudah. Sedih sungguh hati ummi membaca berita yang begitu sensasi..Ya anak-anak belum terlambat lagi, mulakan langkah carilah orang yang boleh membantu..luahkan saja apa yang terbuku..kerana antara kita masih ada yang prihatin dan penyayang yang bersedia untuk mencurahkan kasih sayang sekiranya anak memerlukan. Jangan biarkan diri hanyut dengan godaan syaitan..apabila bersendirian dalam keadaan resah gelisah dan kegusaran..solat lima waktu jangan diabaikan, baca Al-Quran usah dilupakan..InsyaAllah, yakinlah akan terjelma ketenangan hati serta jiwa yang berpanjangan sebagai penawar segala kelukaan dan kekecewaan.

Rasulullah SAW bersabda; “Tidak mungkin berkumpul iman dan kufur dalam jiwa seseorang, dan tidak mungkin pula bersatu sifat jujur dan dusta padanya sekali gus sebagaimana tidak mungkin bersama sifat khianat dan amanah padanya dalam satu masa” (Hadis Riwayat Ahmad).

Untuk anak ummi dan anak remaja sekalian..belum terlewat untuk memperbetulkan kesilapan kerana ibu bapa dan masyarakat tetap sudi menerima dengan penuh kasih sayang..asalkan diri mahu lakukan perubahan serta pembaharuan. Mohonlah taubat apa yang salah dan tersilap kerana Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Anda dan saya, usah kita memejamkan mata..atau sekadar melihat masalah yang berlaku di sekeliling kita. Gejala buang bayi amat menggerunkan kita, bantulah anak remaja apa yang terdaya, bukan kita hendak menjaga tepi kain orang lain..tetapi kini apa yang berlaku tempiasnya tetap ada walaupun mereka bukan anak-anak kita tetapi umat Islam tetap bersaudara..anggaplah anak orang seperti anak kita kerana tiada ibu bapa yang merelakan anak-anak menjadi porak peranda dan ditimpa masalah yang tidak terduga. Sesungguhnya kepada Allah kita bergantung harap agar kita diberi kekuatan untuk terus membantu mereka yang sangat memerlukan.

Bertemu lagi...

Sunday, May 30, 2010

Enggan Memberi Seronok Menerima

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap hujung minggu seperti biasa, sambil menyediakan sarapan antara jam 7.00 hingga 8.00 pagi saya setia di hadapan televisyen untuk bersama program Tanyalah Ustaz. Perbincangan hari ini sungguh menarik minat saya, “Seronok Memberi” itulah tajuk yang dibual bicara. Alhamdulillah..dapat jugalah ilmu untuk pengisian rohani, pengubat jiwa dan hati. Apabila mendengar pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh pendengar, menyebabkan kita turut sama belajar melalui pengalaman orang lain. Bagaimana menjalani pelbagai liku kehidupan yang terbentang dan yang paling penting proses dan persediaan bagi menghadapi dan mengatasi setiap rintangan. Seandainya kita tiada pengalaman dan pengetahuan untuk membuat keputusan dan menguraikan segala kekusutan, bergurulah dengan orang lain yang memiliki pelbagai bidang kepakaran kerana kalau malu bertanya kita akan sesat jalan selamanya.. Belajar dan terus belajar kerana yang paling penting tanamkan perasaan cinta yang mendalam kepada ilmu agar ia membuatkan kita sentiasa tercari-cari dan merasakan diri masih ketidakcukupan setiap hari dengan ilmu Allah yang luasnya melebihi lautan.

Terdetik juga di hati saya..alangkah cantiknya kalau kita seronok memberi, bukan asyik menadah tangan untuk menerima kerana kalau sentiasa menerima menunjukkan betapa lemahnya diri kita...berterusan mengharapkan bantuan, belas ihsan dan pertolongan sama ada dalam bentuk wang ringgit, melaksanakan tugasan untuk memenuhi sesuatu tujuan atau bagi merealisasikan matlamat yang dicita-citakan. Kadangkala tugasan yang diamanahkan kepada kita, diserahkan kepada orang lain untuk menyelesaikan dan kita mahu bersenang lenang menerima hasil untuk diserahkan kepada majikan. Akhirnya diri sendiri yang rugi kerana tidak melalui proses pembelajaran serta mendapat pengalaman dalam menyempurnakan sesuatu tugasan secara terancang, sistematik dan berkualiti.

Sebenarnya tidak rugi kita memberi..kalau bukan wang ringgit, berilah masa, keringat tenaga, kemaafan, ilmu dan idea kepada sesiapa yang memerlukan. Kadangkala pernah kedengaran di telinga saya “..daripada kita bagi pada orang lain, lebih baik belanja untuk anak isteri..kita yang penat bekerja..senang-senang nak bagi..ini kan rezeki kita, banyak lagi keperluan lain yang boleh kita beli…masing-masing jaga keluarga sendirilah, kenapa nak menyusahkan orang lain..” Ya, berkira sungguh untuk memberi apa yang kita miliki kerana sangat takut berterusan rugi..kerana kita terlupa rezeki itu Allah yang bagi. InsyaAllah..usah risau sahabatku sekalian, semakin memberi semakin murah rezki dan kalau kita permudahkan urusan orang lain, InsyaAllah.. yakinlah Allah akan bantu mempermudahkan urusan kita mungkin caranya sahaja yang berbeza.

Masih ingatkah kita pada kisah sahabat zaman Rasulullah SAW; Abdurrahman bin Auf yang hartanya sungguh banyak tetapi sikapnya tidak melambangkan kekayaanya. Betapa tawadduknya beliau menjadi hamba Allah kerana tidak mahu menjadi hamba harta untuk kesenangan di dunia semata-mata. Pada suatu hari seorang sahabat berkata kepada Abdurrahman, “aku melihat hartamu terlalu banyak, bersedakahlah”. Jawab Abddurrahman, “aku sudah bersedekah…bagaimana hartaku hendak berkurang? Aku infakkan siang hari sebanyak 1000 dinar dan Allah memberikan aku 2000 dinar pada malam hari”. Ya sahabat sekalian, itulah nikmat memberi..Allah akan sentiasa cukupkan malah menambahkan lagi rezki kerana Allah amat suka terhadap orang yang suka memberi, bersedekah, ringan menghulurkan pertolongan, sering memberi sumbangan, meluangkan masa mendengar keluhan, tidak lokek memberikan salam dan menghulurkan senyuman dan sentiasa memberi kemaafan walaupun hatinya sering disakiti oleh teman dan musuh dalam diam.

Usah kita persoalkan keikhlasan hati orang yang memberi kerana itu rahsia Allah yang kita tidak ketahui dan tidak berupaya pula untuk mendasari..terpulanglah kepada pihak yang memberi untuk menilai diri sendiri. Adakah seronok memberi dan menabur budi kerana mengharapkan balasan dan penghargaan diri atau hanya mengharapkan ganjaran pahala sebagai bekalan pada hari akhirat yang bakal menjelang nanti. Sesungguhnya hanya tiga perkara yang tidak akan putus hubungan selepas kematian iaitu pertama, sedekah jariah yang kita lakukan untuk mempermudahkan urusan orang lain dalam kehidupan serta untuk memakmurkan alam; kedua, ilmu yang bermanfaat yang kita sebarkan dan ajarkan kepada orang lain yang berterusan diamalkan dan mendatangkan manafaat yang tidak berkesudahan; dan ketiga, doa daripada anak-anak yang soleh. Begitulah hebatnya hasil daripada nikmat memberi sedekah, memberi ilmu dan memberi didikan kepada anak-anak kerana faedah dan manfaatnya berpanjangan sehingga selepas kematian tidak akan terputus hubungan.

Saya dan anda..marilah kita mulakan langkah, banyak memberi kurang meminta..sudah banyak nikmat Allah yang kita terima kerana Allah tidak pernah berkira dan tidak memilih sesiapa…dengan segala yang ada pada kita baik keluarga, harta dan diri sendiri… Hati-hati dalam mentadbir dan mengurus segala yang dimiliki agar kita tidak tersasar kerana ditakuti mendatangkan dosa dan seterusnya mengheret kita ke dalam neraka kerana kita semua berusaha untuk masuk syurga. Firman Allah SWT; “Dan jika kamu ingin menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu) tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani" (Surah An-Nahl: 18).

Untuk hari ini dan seterusnya, anda dan saya marilah kita panjatkan doa kepada Allah Yang Maha Mengurnia. “Ya Allah bukalah pintu kebaikan dan tutupkan pintu kejahatan dan kemaksiatan buat hambamu ini, limpahkanlah lembayung rahmatMu yang berterusan ke atas kami kerana hambaMu ini memohon keredhaanMu dalam melayari kehidupan ini..” Amin...

Bertemu lagi...

Saturday, May 29, 2010

PUJIAN: Penyakit vs Penghargaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Cuti panjang hujung minggu ini saya mengambil peluang untuk bersama anak-anak di rumah di samping mengemas apa yang patut, maklumlah kalau hari bekerja saya tidak berkesempatan untuk menyelesaikan segala urusan tersebut dengan sempurna. Alhamdulillah anak saya bersedia untuk membantu, memadailah walaupun sekadar menyidai kain dan melipat baju, kerana itu pun sudah cukup untuk meringankan tugasan rutin saya. Anak-anak kalau dipuji sedikit sudah mencukupi, kesannya ringanlah tulang, tidak perlu disuruh berulang kali untuk membantu apa yang boleh. Terkenang sewaktu kecil dulu, saya juga begitu… Apabila dipuji semakin menjadi, yang tak disuruhpun hendak dibuat juga..kerana betapa bangganya dalam diri mendapat pujian yang tidak berbelah bagi daripada ibu dan juga bapa.

Begitulah lumrahnya manusia, pujian diberi kadangkala sebagai sumber inspirasi dan motivasi, pembakar semangat untuk terus memperhebatkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang perlu diterokai sepanjang kehidupan ini. Walau bagaimanapun pujian yang diberikan perlu daripada hati yang tulus ikhlas dan suci, bukan sekadar untuk mengambil hati atau ada udang di sebalik batu. Bagi saya, pujian kalau diberi sekali sekala tidak mengapa tetapi kalau terlalu kerap memberi pujian, khuatir pula penyakit lain yang menimpa. Ada baiknya kalau memberi pujian biarlah berpada-pada, kerana pada asalnya memang tidak ada apa-apa, tetapi mungkin akhirnya mewujudkan perasaan riak dan bangga diri tanpa diduga terhadap mereka yang dipuji. Usah terlalu puji memuji..kerana bimbang ia merosakkan hati, kalau sudah ditimpa penyakit sombong diri, amat sukar pula untuk diubati.

Sekadar untuk kita sama-sama meneliti, pujian yang diterima perlu ditapis, maklumlah risau juga kalau ia sekadar untuk membodek, atau untuk menguji…jadi mudah orang mengenali siapa sebenar diri kita, pantang dipuji terus lupa diri dan menjadi tidak keruan kerana merasakan betapa hebatnya diri. Oleh itu, hati-hati dalam menerima pujian, kerana kadang kala senjata makan tuan, kita enak menerima pujian, modal itu juga nanti yang akan digunakan apabila sudah tiada lagi persefahaman atau wujud perbalahan, yang menyebabkan hubungan menjadi suram.

Anda dan saya, elakkan daripada menghulurkan terlalu banyak pujian dan berwaspadalah apabila menerima pujian..yang boleh menyebabkan kita menjadi lalai dan leka, risau juga penyakit hati akan bertapak..kerana banyak kelemahan dan kekurangan yang kita ada. Pastinya lebih baik kita saling nasihat menasihati, untuk membina akhlak yang terpuji yang sekaligus dapat menghindarkan daripada penyakit bangga dan lupa diri, tentang kehebatan yang dimiliki. Ya kalau kita bersaudara..usah membuatkan sahabat dan saudara kita menjadi “syok sendiri” sampai terlupa akan kekurangan diri dan menyebabkan kita jauh daripada rahmat Ilahi.

Memberi pujian dan menerima pujian..kembalikan kepada yang hak kerana sehebat manakah diri kita sebagai manusia kerana segalanya dipinjamkan oleh Allah kepada kita buat sementara, dan Allah boleh mengambil balik pada bila-bila masa. Oleh itu, bersyukurlah dan peliharalah nikmat Allah sebaik mungkin dengan menggunakannya pada landasan yang betul untuk memakmurkan dunia sebagai bekalan untuk ke akhirat nanti. Segala puji hanya untuk Allah jua yang memberi kurnia tanpa dipinta. Firman Allah SWT; “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat." (Surah An-Nasr: 1-3).

Saya dan anda, kita serupa..sering mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa atas segala perbuatan, persahabatan dan keseluruhan perjalanan hidup kita kerana siapalah kita, kalau nikmat yang dikurnia sudah tiada. Moga-moga kita tidak tergolong dalam kelompok yang lupa akan asal usul kita, merasakan segala yang diperoleh atas usaha dan keringat sendiri sedangkan apa yang dimilki adalah atas kurniaan dan keizinanan Allah Yang Maha Memberi. Justeru, marilah kita sentiasa mengucap setinggi kesyukuran kerana Allah masih memberi peluang untuk terus muhasabah dan membaiki diri dalam tempoh waktu yang kita sendiri tidak ketahui kerana segalanya atas ketentuan Ilahi.

Bertemu lagi...

Friday, May 28, 2010

IKHLASkah Kita? Diri Sendiri Ada Jawapannya

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya bersama rakan-rakan bertungkus lumus menyiapkan laporan kajian, kerana kami perlu siapkannya segera mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Walaupun dalam keadaan tertekan, suasana tetap ceria kerana masih ada gurau senda antara kami disusuli pula gelak ketawa. Bukan apa, sekadar untuk mengurangkan tekanan apabila pemikiran sudah tepu hendak menulis satu ayat pun kadangkala sudah tidak mampu. Yang penting bagi kami, kerja perlu dibereskan mengikut perancangan tidak ada perkara yang boleh dijadikan alasan. Kami tidak pernah berkira dalam melaksanakan tugasan, yang penting kami mendapat sokongan dan dorongan daripada pihak atasan.

Alhamdulillah..indahnya kerja secara berpasukan seandainya semua kita mengambil tanggungjawab dan melaksanakan apa yang diamanahkan, sebab itulah apabila hendak memilih ahli pasukan perlu dikenalpasti mereka yang benar-benar sanggup bekerja bersama-sama bukan hanya tahu mendelegasi sahaja, kerana golongan sebegini akan menyusahkan dan menambah beban kepada kita..bercakap lebih, idea melambak tetapi apabila tiba peringkat pelaksanaan tidak mahu melakukan dan sekadar menjadi pemerhati sahaja serta sanggup membiarkan sahabat yang lain bertungkus lumus untuk mengeluarkan hasil, menyiapkan kerja. Ya..tanyalah diri sendiri, ikhlaskah kita dengan kerja kita? Atau sekadar mengharapkan gaji dan pangkat sahaja, apabila tiada pangkat kita sering kecewa dan mulalah membuat kerja secara sambil lewa.

Dalam organisasi pelbagai ragam dan karenah yang boleh kita saksikan, seronok memerhati bukan apa sekadar memikirkan betapa hebatnya ciptaan Yang Maha Kuasa. Apabila ada peluang bersembang, pelbagai cerita yang kedengaran, ada yang berkata, “kita penat bekerja..tetapi dia yang dapat nama, sedangkan dia sekadar penumpang sahaja..selepas itu lepas tangan begitu sahaja tanpa bertanya khabar tentang susah dan senangnya”. Pelbagai perancangan dilakukan untuk meningkatkan prestasi organisasi termasuk program mentor dan mentee, sudah semestinya harapan kita semua program yang dirancang biarlah terisi jangan sekadar pada nama, kerana langsung tiada faedahnya nanti. Seandainya ingin ia terlaksana..tunaikan tanggungjawab dengan bijaksana agar ganjaran berterusan dapat dinikmati daripada Allah yang Maha Mengurnia.

Kalau kekecewaan melanda diri kerana tidak mendapat penghargaan organisasi, tabahkan hati, berusaha...ikhlaskan diri kerana yakinlah Allah akan memberi kepada orang yang ikhlas berbudi dan berbakti. Kalau untungnya tidak kedapatan di organisasi, InsyaAllah anak cucu kita bakal menikmati..nikmat ganjaran bukannya pangkat dan harta sahaja tetapi kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian tiada ternilai harganya. Kalau berpangkat tetapi keluarga berantakan bukan suatu nikmat namanya, begitu juga banyak harta tetapi sakit sentiasa, dan walaupun kaya raya serta disanjung masyarakat tetapi hati dan jiwa tidak peroleh bahagia dan ketenangan maka segala yang ada akan menjadi sia-sia. Ya..sekadar hebat pada pandangan mata manusia, diri sendiri penuh derita dan belum tentu Allah suka, tiada gunanya...

Kadangkala sebagai manusia, terdetik juga di hati kita, yang pandai mengampu dan bercerita, menunjukkan hebat apabila berhadapan dengan ketua..merekalah akhirnya yang terpilih untuk merangkul pangkat, pingat dan piala. Bagi anda yang dilanda kecewa, ayuh kita ketepikan perasaan gundah gulana..kerana apa yang dinikmati bukan melalui usaha dan kebolehan diri akan menyebabkan jiwa merana, tidak akan peroleh ketenangan kehidupannya kerana walaupun manusia tidak mengetahui sifat dalamannya tetapi balasan Allah tetap ada tunggulah sama ada lambat atau cepatnya saja.

Justeru saya dan anda, tunaikan amanah dan tanggungjawab seikhlas dan sebaik mungkin, hak orang jangan sekali-kali kita ambil kerana untuk menaikkan diri sendiri. Moga kehidupan kita terus aman dan harmoni tanpa diiringi penyakit hati, dengki mendengki kerana tiada faedahnya. Bergembiralah dan bersyukurlah apabila sahabat kita memperoleh rezki apatah lagi memang mereka layak kerana kecemerlangan mereka terbukti dan keikhlasan mereka melaksanakan tanggungjawab dapat diperhati tanpa berterusan mendelagasi tugas sesuka hati…yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing…itulah yang sepatutnya semangat yang perlu diterapkan dalam organisasi.

Moga anda dan saya..sentiasa mengawasi diri sendiri kerana tingkah laku kita sentiasa diperhati bukan sahaja oleh rakan dan sahabat di sekeliling, tetapi juga yang paling penting Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati yang tidak diketahui oleh orang lain. Firman Allah SWT; "Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepada mu dan juga kepada orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan" (Surah Hud: 112). Mudah-mudahan kita di bawah peliharaan Allah SWT sentiasa pada setiap waktu dan ketika.

Bertemu lagi...

Thursday, May 27, 2010

HATI – Raja Dalam Diri

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini sepanjang perjalanan pulang dari Putrajaya saya bertemankan radio IKIM. Asyik sekali mendengar bual bicara berkaitan integriti dan juga penyakit hati. Memang benar, kalau hati berpenyakit sukar sekali untuk mendengar teguran apatah lagi untuk menerima kebenaran. Alhamdulillah..saya masih mempunyai kekuatan untuk mencoret sesuatu dalam ruangan ini sebagai peringatan untuk diri sendiri kerana menyedari kekurangan diri jadi perlu diingatkan setiap hari. Terima kasih sahabat kerana berterusan memberi sokongan dan dorongan agar saya meneruskan perjuangan walaupun sekadar dalam bidang penulisan. Yang penting nawaitu kita..tujuan menulis bukan nak mengenakan sesiapa..sekadar untuk berkongsi pengalaman..yang baik dijadikan pedoman dan yang buruk sila ketepikan kerana bimbang ia akan memudaratkan.

Disiplin diri amat penting agar sesuatu yang ingin kita lakukan tidak akan menjadi hangat-hangat tahi ayam..bersemangat pada peringkat permulaan tetapi akhirnya kecundang kerana tidak istiqamah dalam amalan dan tindakan. Sebagai manusia, sokongan dan dorongan merupakan suatu keperluan..jadi sentiasalah membantu ke arah kebaikan. Azam dan tekad perlu dipastikan agar ianya kesampaian serta dapat ditunaikan walaupun ada unsur luar yang cuba menggagalkan. Apa yang penting kita perlu kuat dan tidak mudah lemah semangat membiarkan diri dipelopori oleh mereka yang tidak ikhlas dan jujur..yang bijak bermain dengan kata-kata tetapi di hati lain bicara. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Bermula sesuatu yang baik (khair) ibarat peti besi (khazanah) dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah bagi orang yang Allah jadikan dia sebagai anak kunci kebajikan dan penghalang kepada kejahatan. Sebaliknya neraka bagi seseorang yang menjadi kunci kepada kejahatan dan penghalang kepada kebaikan” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Ya..bukan senang nak melakukan perubahan, kadangkala panas telinga apabila mendengar teguran dan pandangan, pahit sungguh untuk ditelan dan kalau sudah menjadi kebiasaan, sukar sekali untuk membuat pembaharuan. Ya, terpulanglah..tiada sesiapa yang boleh memaksa dan melarang tetapi bersyukurlah kita kerana ada orang yang sudi menasihati dan mengingatkan…bermakna mereka masih mengambil berat dan mengambil tahu tentang kita. Walaupun hanya sedikit ilmu yang kita ada..sampaikanlah walau satu ayat, moga ilmu menjadi berkat.

Saya sering tertanya diri sendiri kenapa mudah benar kita berprasangka, rasa curiga dan berkecil hati sedangkan hakikatnya berbeza sekali. Kalau kita asyik syak-mengesyaki pastinya ia banyak kerja yang tidak menjadi kerana semuanya menjadi serba tidak kena kerana terlalu banyak membuat andaian dan interpretasi sehinggakan apa yang dipandang dan didengari akan ditafsirkan berdasarkan kamus sendiri. Lumrahnya, tindak-tanduk kita lahirnya daripada hati kerana ia adalah pemacu diri. Ya, segalanya bergantung kepada hati..hati yang sakit akan membuahkan penyakit, kesannya kita tidak dapat mengecapi ketenangan, menjadi gelisah dan tidak tentu arah dan yang pastinya jiwa kita menjadi lemah. Rasulullah SAW bersabda: “Manusia dua matanya ibarat petunjuk, dua telinganya ibarat pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap dan dua kakinya sebagai perutusan, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik maka baiklah bala tenteranya”.

Justeru saya dan anda, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjaga dan mengawal hati kita agar sentiasa bergetar apabila mendengar peringatan dan ayat Allah..rawatlah hati kita agar ia tidak berterusan ditimpa penyakit yang boleh melemahkan jiwa dan seterusnya menjauhkan diri kita daripada agama. Marilah kita sama-sama berdoa; “Ya Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu, tetapkanlah hatiku atas ketaatan kepada-Mu”. Amin. Mudah-mudahan anda dan saya berada di bawah lembayung Rahmat Allah sentiasa.

Bertemu lagi...

Wednesday, May 26, 2010

Senyuman - Lambang Kegembiraan?

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebagaimana biasa tugas rutin saya saban hari ialah menjemput anak pulang dari sekolah. Hari ini di dalam kereta anak saya rancak bercerita tentang rakan sekelasnya yang baru kehilangan ibu dan bapa, yatim piatulah maknanya. Anak saya merasa hairan kenapa riak wajah rakannya langsung tidak menunjukkan tanda kesedihan, apatah lagi tiada air mata yang dizahirkan. Bagi saya, itu bukan sesuatu yang menghairankan..tetapi betapa kagumnya saya mendengar kisah yang dikhabarkan kerana pada awal usia empat belas tahun remaja tersebut telah mampu menahan perasaan, sabar dalam menghadapi dugaan dan berterusan memandang ke hadapan kerana hidup perlu diteruskan dan yang pergi tidak mungkin akan kembali lagi.

Sesungguhnya, ketawa dan senyuman belum tentu menggambarkan ketenangan hati dan kegembiraan seseorang. Nun jauh di sanubari mungkin tertanam kelukaan dan kesedihan yang boleh menghancurkan kehidupan seandainya kita terlampau mengikut perasaan. Masih teringat saya, semasa menonton rancangan TV, kedengaran suara sendu seorang wanita dalam esak tangis yang sungguh menyentuh jiwa dan hati, sehingga pengacara dan ustaz yang mendengarnya turut sebak dan hampir menitiskan air mata. Ya...betapa isteri yang terabai ini, sungguh tinggi pengorbanannya..tidak pernah meminta wang ringgit daripada suami termasuk rumah, kereta dan perbelanjaan harian semuanya diusahakan dan dibeli sendiri kerana katanya beliau sekadar mengharapkan bimbingan, perhatian, kasih sayang serta perasaan timbang rasa daripada suami. Kesian si isteri yang tidak pernah meminta, apa yang diberi diterima sahaja…walaupun penat bekerja makan pakai keluarga tidak pernah diabaikan..selagi ada kudrat beliau sendiri yang melaksanakan. Isteri bersabar puluhan tahun..penderitaan hidupnya tidak dapat dihidu oleh keluarga dan rakan-rakan kerana raut wajahnya tiada langsung melambangkan kelukaan dan kesengsaraan sebaliknya bibirnya sentiasa terukir dengan senyuman. Kata Ustaz..ruginya seorang suami kerana egonya tidak terperi, isteri yang baik hati serta tinggi budi langsung tidak diendahkan lagi..yang penting bagi suami hidupnya tidak susah, asalkan tidak berhadapan dengan masalah. Rayu Ustaz kepada para suami, jangan mengambil mudah tentang tanggungjawab dan nafkah.

Ya..itu baru satu babak cerita..yang mengajar kita supaya mengenali orang yang disapa…mungkin pada pandangan luaran, rakan kita kelihatan gembira tetapi apabila pulang ke rumah kehidupannya penuh sengsara. Jadilah orang yang prihatin dan peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, rakan yang peramah tiba-tiba menjadi pendiam bukan bermakna dia sombong atau tidak mahu berkawan tetapi kemungkinan rakan kita sedang berhadapan dengan kesulitan dan ada kalanya perlu bersendirian.

Saya dan anda, sekiranya kita dalam keadaan tertekan, berhati-hati dalam membuat tindakan...usah mengambil jalan pintas kerana belum tentu kita terselamat dan terlepas daripada masalah dan kegusaran. Sekadar perkongsian bagi membantu mengatasi keresahan dan kegelisahan. Abdullah Ibn Mas’ud berkata: “Bawalah hati mengunjungi tiga tempat. Pertama, ke tempat orang yang membaca al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar bacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan kamu kepada Allah. Ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya pada waktu malam dan ketika itu kamu bangun beribadat kepada Allah dan memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati. Jika selepas melakukan semua itu jiwamu masih tidak tenteram, mintalah hatimu ditukarkan dengan hati yang lain kerana sesungguhnya hati yang kamu miliki sekarang ini bukan hatimu“. Mudah-mudahan hati yang gelisah dan gundah digantikan dengan ketenangan dan kelembutan agar kita lebih tabah dan berani dalam mengharungi liku kehidupan.

InsyaAllah dunia boleh jadi aman seandainya kita sentiasa berusaha melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan yang diamanahlkan kerana setiap kita adalah pemimpin yang mempunyai tanggungjawab terhadap orang yang dipimpin. Anda dan saya, siapalah kita sekadar hamba kepada Yang Maha Esa..terkadang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada secara lisan atau dengan perbuatan. Sesungguhnya, betapa hati kita sangat mencintai ketenangan dan kedamaian, sama-samalah kita berdoa moga Allah kabulkan.

Bertemu lagi...

Tuesday, May 25, 2010

Kemarahan Bukan Penyelesaian

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam mengharungi kehidupan, kita seringkali tersasar walaupun kita berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Apabila situasi begini seringkali berlaku, kita akan dilanda kekecewaan dan kadangkala marah kepada diri sendiri kerana masih tidak mampu mengawal diri dan cepat memendam rasa, apatah lagi apabila idea kita tidak diterima, percakapan kita tidak didengari dan nasihat kita tidak dituruti. Walau bagaimanapun, kita perlu bijak mengawal situasi serta pandai mengurus emosi kerana bimbang padahnya buruk sekali.

Kesilapan orang lain kita mudah nampak, kesilapan diri sendiri jarang-jarang pula kita sedari. Ada kalanya apabila wujud ketidakpuasan hati, perasaan marah mula beraja di dalam diri kerana kita membiarkan emosi menguasai diri dan akal serta pemikiran sudah tidak membawa apa-apa erti. Kemarahan kita bukan suatu ubat yang mujarab sebaliknya ia lahir sekadar untuk memuaskan kehendak diri tanpa berlandaskan logik akal kurniaan Ilahi. Ya..kerana marah ada yang sanggup putuskan silaturrahim, juga sanggup bergaduh dan berperang serta berbunuhan sesama sendiri dan terkini hingga sanggup membunuh diri sendiri. Fenomena sebegini sungguh menjengkilkan, gerun sungguh rasanya apabila memikirkan kenapa kita manusia sanggup diperkudakan oleh syaitan..nafsu ammarah kalau tidak dibendung akan memberi kesan seumur hidup. Rasulullah SAW bersabda; “Marah itu adalah daripada syaitan, syaitan itu adalah daripada api, api boleh dipadamkan dengan air, maka apabila kamu marah berwuduklah” (Riwayat Al-Imam Ahmad).

Saya dan anda, sekadar peringatan..kalau kita tahu marah, orang lain pun ada sifat marah. Tetapi yang membezakan kita dengan orang lain ialah bagaimana kita menguruskan kemarahan. Kita perlu bijak mengurus kemarahan..marah yang melulu menunjukkan betapa kurangnya kesabaran, sewaktu marah lebih baik diam atau menjauhkan diri kerana pada saat itu lebih baik kita menyendiri agar kelemahan kita dapat dikawal rapi. Sabar..sabar..sabar..itulah senjata kekuatan diri untuk kita yang sering diuji. Firman Allah SWT; “Alif lam mim, adakah manusia itu mengira mereka akan dibiarkan begitu sahaja untuk berkata kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah itu mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia juga mengetahui orang yang berdusta.” (Al-‘AnKabut: 1-3).

Justeru..sekiranya dilanda musibah, ditimpa ujian dan cabaran, kemarahan bukannya jalan penyelesaian tetapi kesabaran akan dapat membantu menaikkan darjah keimanan. Marah kita biar bertempat dan berpada. Jangan ia membawa kerosakan kepada hati dan jiwa, natijahnya tindakan kita berlandaskan tuntutan nafsu semata-mata, yang rugi tentulah kita.

Anda dan saya, kita perlu menghormati diri sendiri dan menghormati hak orang lain juga. Janganlah terlalu mengharapkan orang lain menjadi seperti kita kerana Allah jadikan manusia pelbagai ragam, bentuk dan paras rupa. Silaturrahim yang terjalin jangan sekali-kali diputuskan begitu sahaja disebabkan dendam kesumat dan kemarahan luar biasa yang menyebabkan kita terus bersengketa. Bersyukurlah kita masih berpeluang untuk melayari kehidupan di dunia. Justeru..berbuat baiklah kerana saya dan anda tidak akan kerugian apa-apa, amalkan senyum, salam dan sayang kerana umat Islam semuanya bersaudara. Oleh itu, wajarlah kita saling bertolongan antara satu sama lain.

Mudah-mudahan anda dan saya, Allah kurniakan kelembutan hati buat kita agar mudah berlapang dada menerima nasihat dan teguran serta bersedia untuk saling bermaafan atas kesilapan dan kesalahan kerana kita semua serupa sebagai hamba Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Bertemu lagi...

Monday, May 24, 2010

24 Jam - Adakah Belum Mencukupi?

Bismillahirrahmanirrahim...

Hujung minggu berada di rumah, memang terasa sibuk tak menentu, hinggakan tidak tahu apa yang nak dilakukan dahulu. Walau apapun, yang utama dan penting perlu saya dahulukan agar kehidupan seharian berjalan lancar seperti apa yang diimpikan. Di pejabat sekarang 5S iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal menjadi satu budaya yang sedang dipraktikkan. Kenapa tidak saya aplikasikan di rumah sahaja agar tatacara pengurusan rumahtangga lebih terancang dan sistematik, waktu yang ada dapat digunakan secara berkualiti selebihnya apa yang dirancang dapat direalisasikan dengan baik dan berkesan.

Sewaktu di pejabat kita sering merungut tidak cukup masa kerana tugasan yang diamanahkan teringin sekali untuk diselesaikan segera. Bermula jam 7.30 pagi sudah melekat di meja tetapi kerja yang ada tidak dapat disempurnakan juga. Terfikir juga saya..adakah kita gagal dalam menguruskan masa, diri ini mungkin rasa bersalah kalau berjam-jam berada di kafetaria atau bersembang tanpa ketahuan tajuk perkara. Pulang lambat bukan bermakna produktif seandainya masa yang tersedia tidak digunakan secara berhati-hati agar manafaat semaksimum mungkin diberikan kepada organisasi. Segera pulang tepat pada waktunya bukan melambangkan tidak sanggup bekerja lebih masa, tetapi tuntutan rumahtangga juga perlu diberi perhatian secukupnya. Yang penting sewaktu di pejabat elakkan daripada membazir masa, leka bercerita dan melawat dari satu meja ke satu meja kerana bimbang ia boleh mendatangkan dosa. Sabda Rasulullah SAW; “Sesiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Sesiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya..” (Riwayat Baihaqi).

Ya..saban hari terasa benar cepat sungguh masa berlalu, melayari facebook dan internet juga sudah cukup mencuri waktu yang ada. Betapa ruginya kita seandainya kita tidak mengambil berat dan kurang bijak mengendalikan masa kerana seandainya ia tidak diberi perhatian masa tersebut menjadi sia-sia, kerana mana mungkin kita mampu meraih kembali masa yang telah berlalu pergi. Justeru anda dan saya, kita perlu mengurus dan menyusun masa dengan baik....agar kita boleh mengelakkan diri daripada melaksanakan sesuatu yang tidak penting serta tidak berfaedah apatah lagi sekiranya ia dilakukan tanpa matlamat dan hala tuju yang jelas sedangkan perkara yang penting ditinggalkan begitu sahaja. Oleh itu..peri mustahaknya, yang utama perlu diutamakan, yang penting perlu didahulukan dan yang tidak terdesak boleh dikemudiankan.

Yakinlah..apabila kita mampu menyusun masa dengan baik, masa yang ada akan dapat diuruskan dengan sempurna..24 jam sebenarnya sudah memadai, banyak ruang yang boleh diisi..jadi usah kita merungut lagi..masa yang ada dikatakan tidak mencukupi sedangkan Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita ciptaanNya. Firman Allah SWT; “Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan nasihat–menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran”. (surah Al-Asr: 1-3).

Anda dan saya, kita mulakan langkah agar mementingkan masa, elakkan daripada pekerjaan dan perbuatan yang sia-sia kerana masa itu sebenarnya terlalu berharga, tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit dan harta benda untuk mendapatkannya semula. Bukan kita tidak cukup masa, yang paling penting setiap saat, setiap minit, setiap jam dan setiap ketika dimanafaatkan sebaik mungkin supaya masa yang berkualiti penuh terisi kerana banyak tanggungjawab yang perlu dilunaskan, banyak perkara yang perlu dilangsaikan. InsyaAllah..kita berusaha memastikan masa yang ada mencukupi buat kita.

Bertemu lagi...

Sunday, May 23, 2010

Berkualitikah Kasih Sayang Kita???

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi tadi saya dikejutkan dengan deringan telefon daripada seorang teman yang sudah lebih 26 tahun tidak berhubungan..entah apa mimpinya semalam kerana selepas berkahwin dan berkeluarga, terus menghilangkan diri tanpa berita walaupun di antara kami tiada sengketa yang melanda. Tanpa ada syak wasangka saya melayani perbualan dengan ramah mesra kerana bimbang kehilangan sahabat tersayang buat kali kedua. Justeru lebih baik saya beralah saja dan menerima kehadirannya semula dengan tangan terbuka.

Alhamdulillah..inilah dinamakan jejak kasih, kasih sayang yang tulus bertaut semula kerana ianya bukan berpaksikan pangkat dan harta tetapi berdasarkan kerendahan hati dan jiwa kerana saya tidak mahu lupa diri atas segala kurniaan Ilahi yang tidak ternilai ini. Sahabat sejati, saya tidak mahu kehilangan diri anda lagi kerana sudah lama saya tercari-cari, kini sahabat yang disayangi sudah kembali. Seronok mendengar ceritanya, dirinya agak kecewa kerana kesibukan aktiviti setiap hari menyebabkan dia lalai dan leka untuk menguruskan masa secara adil dan saksama untuk diri sendiri, keluarga dan juga untuk agama. Katanya dulu Al-Quran santapan rohaninya setiap hari, tetapi sekarang tidak istiqamah lagi. Semasa di kampus Tahajud menjadi suatu kemestian tetapi sekarang, terbangun malam perihal lain yang lebih diutamakan terlupa langsung kelazatan ibadat sepertiga malam. Ya..setinggi kesyukuran saya rakamkan buat sahabat saya sekarang kerana ingin melakukan perubahan kerana baru tersedar daripada lena yang panjang.

Perkara pertama yang saya luahkan..jadilah diri sendiri, jangan sesekali ingin menjadi seperti orang lain kerana ia akan membawa lebih ketenangan dan kebahagiaan. Orang lain hanya mampu menasihat dan menegur, tetapi kalau hati dan diri tidak ingin berubah kerana memikirkan kehebatan dan segalanya telah mencukupi maka nasihat, teguran dan juga pedoman menjadi sia-sia dan kesemuanya dikesampingkan belaka. Jadi kita perlu bersedia berubah, kerana kadangkala kita tahu yang kita banyak tidak tahu, adakalanya pula kita tidak tahu yang kita sebenarnya tidak tahu walhal percakapan kita didengari, perilaku kita disaksi dan riak wajah kita diperhati. Maka bagi mereka yang berilmu akan dapat menilai dan mentafsir seterusnya menterjermah siapa diri kita yang sebenarnya. Ya..apa yang kita lakukan adalah terjemahan daripada amalan, ilmu, personaliti yang terbit daripada hati kita. Jadi perlu sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata dengan siapa kita bercerita, dan usah melulu dalam tindakan atau perbuatan, sifat marah perlu diketepikan kerana ia melambangkan kurangnya kesabaran.

Bermula hari ini saya dan anda, marilah kita bertekad kembali untuk melaksanakan amalan tambahan pada malam hari sebagai suntikan penawar jiwa dan hati kerana tiada solat lain yang lebih baik selepas solat lima waktu kecuali solat Tahajjud. Rasulullah SAW bersabda; “Laksanakanlah solat malam kerana solat malam itu merupakan kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, merupakan Qurbah (mendekatkan diri) kepada Rabb kamu, merupakan keampunan bagi kesalahan-kesalahan dan pencegah daripada dosa". (Riwayat at-Tarmizi). Yakinlah, kekuatan malam ialah kelembutan dan ketenangan. Sekiranya amalan Tahajjud dijadikan satu kemestian, jiwa kita memperoleh ketenangan, masalah yang dihadapi mudah ditangani, perbuatan kita sering dicontohi dan percakapan kita mudah didengari terutama bagi membantu untuk mendidik generasi masa kini.

Untuk sahabat yang sangat saya sayang, untuk menjadi insan yang terbaik di sisi Allah SWT empat perkara perlu menjadi pegangan iaitu ilmu pengetahuan; kesedaran; kemahuan dan kesabaran. Mudah-mudahan persahabatan kita mendapat rahmat dan keberkatan untuk saling berpesan-pesan dengan kebenaran, walaupun kadangkala pahit untuk diterima dan ditelan tetapi berlapang dadalah bahawa antara kita tiada siapa yang lebih sempurna, tiada siapa yang hebat sebenarnya kerana kita hanya hambaNya. Justeru terlalu merendah diri sesama manusia tiada gunanya malah berbangga diri juga tiada faedahnya apatah lagi kalau disebabkan faktor pangkat dan juga harta kerana belum pasti terjamin kebahagiaan dan syurgaNya. Saya dan anda, sama-sama kita berusaha. InsyaAllah..bantuan Allah akan sentiasa bersama kita kalau kita mahukannya, yang penting tanya diri kita, adakah benar kita mengharapkan pertolongan Allah Yang Maha Esa.

Bertemu lagi ...

Saturday, May 22, 2010

Ego - Wajarkah diPertahankan?

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebagaimana biasa, apabila berseorangan pelbagai perkara yang difikirkan termasuk perihal yang telah berlalu mahupun perancangan untuk masa depan. Berfikir apa yang bakal berlaku, membuatkan kita lebih berhati-hati dalam perancangan dan tindakan tetapi memikirkan apa yang telah terjadi, seelok-eloknya lebih baik dijadikan pengajaran untuk proses penambahbaikan secara berterusan. Saya tertanya diri sendiri setelah lebih empat puluh tahun menjalani kehidupan, bagaimana keadaan diri ini...sudah cukupkah bekalan untuk kemudian hari? Sedangkan masa begitu cepat berlalu pergi...entah esok kita dapat bertemu lagi kerana kematian itu pasti.

Sedari kecil hingga sekarang, terasa benar banyak perubahan..kalau dulu makan berlaukkan air gula dan garam tetapi sekarang berlaukkan ayam serta udang. Kalau dulu hanya berjalan kaki dan berbasikal tetapi sekarang menaiki kereta dan kapal terbang..sungguh besar perubahan yang berlaku...hebat sungguh nikmatMu Tuhan. Dahulu memang bercita-cita untuk ke menara gading tetapi tidak pernah terlintas untuk belajar sehingga ke peringkat PhD...begitulah sudah ketentuan Ilahi...redha dan setinggi kesyukuran atas apa yang dianugerahi. Alhamdulillah..segala puji untukMu Ya Allah.

Ya..dalam kesusahan ada kesenangan..orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa...kalau sesama manusia apabila kita menerima kita tidak terlepas daripada ucapan terima kasih yang tidak terhingga, bagaimana pula tingkahnya apabila kita menerima nikmat pemberian Allah yang tidak terhitung banyaknya dan begitu tinggi nilainya...bersyukurkah kita? Kalau ya jawapannya..apakah pula buktinya???. Anda dan saya, kita juga sering terlupa bahawa apa yang kita lakukan, nawaitu kita dan detik hati kita..kita tidak dapat sembunyikan kerana Allah Maha Mengetahui apa yang kita niatkan. Justeru dalam segala amal perbuatan..niat perlu diperbetulkan kerana kita dambakan untung yang berganda..Kalau sekadar untung di dunia bermakna kita kurang bijak merencana..kenapa tidak dalam masa yang sama kita berusaha mendapatkan ganjaran pahala. Jadi, segalanya bergantung kepada nawaitu kita..kalau kita melakukan sesuatu kerana Allah..maka perbuatan kita akan menjadi satu amal ibadat..baik kita bekerja, kita makan, mahupun kita berpakaian..apatah lagi kalau kita bersedekah dan berbelanja hanya kerana Allah semata-mata bukan untuk menunjuk-nunjuk agar disanjung dan dipuja. Fiman Allah SWT; “Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menghancurkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang menafkahkan harta kerana riak kepada manusia....” (Surah Al-Baqarah 2:264)

Anda dan saya, ayuh sama-sama kita merebut peluang yang luas terbuka, kita belum terlewat, kita masih tidak terlambat untuk bertaubat dan memohon maaf atas kesilapan dan kesalahan, kelalaian dan kealpaan kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ketepikan ego kita..usah pertahankan ia seandainya keegoan mengundang kemudharatan, sendainya prinsip yang dipertahankan melunturkan keimanan, anda mungkin kalah di mata manusia tetapi anda menang di sisi Allah yang Maha Kuasa. Ya....pada usia sebegini, apa yang kita tunggu lagi, kaki sudah tidak pantas melangkah..ingatan sudah ingat-ingat lupa, uban pula sudah menjengah di kepala...jadi perlu bersegera menunaikan suruhan Allah Yang Maha Esa kerana nikmat Allah telah begitu lama kita kecapi..sekarang buktikan kesyukuran kita terhadap Allah Yang Maha Berbudi. Firman Allah SWT; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku) sesungguhnya azabKu amat pedih”. (Surah Ibrahim 14:7)

Bagi anak-anak muda belia, manfaatkan masa muda sebelum tua...lipat gandakan usaha kerana anda begitu bertenaga untuk bekerja dan beribadat, untuk berbakti kepada masyarakat agar kehidupan kalian beroleh berkat. Marilah sama-sama kita berdoa moga perjalanan hidup kita seterusnya kita khususkan untuk Allah semata-mata, agar segala yang bakal kita lakukan terhindar daripada dosa kerana kita semua bercita-cita untuk masuk syurga. Anda dan saya, moga petunjuk dan hidayah Allah dapat memacu kita dalam meneruskan sisa kehidupan yang belum pasti bila kesudahannya. Yang penting kita perlu sentiasa bersedia.

Bertemu lagi...

Friday, May 21, 2010

Budi - Balasan vs Ganjaran

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam mengharungi kehidupan, kita tidak boleh berseorangan kerana kita memerlukan orang lain untuk berinteraksi, berkongsi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Ya..selain menjaga hubungan dengan Allah, kita juga perlu menjaga hubungan sesama manusia...kerana antara kita saling memerlukan agar kehidupan menjadi lebih bermakna dan membahagiakan.. Saya sebenarnya amat takut menerima pertolongan dan amat bimbang sekiranya termakan budi daripada mereka yang memberi dengan mengharapkan pembalasan. Menerima pertolongan dan pemberian memang menyeronokkan tetapi kalau pulangan dan balasan yang diharapkan, ia akan membebankan si penerima.

Sebagai manusia biasa, saya terlalu jarang meminta pertolongan dan belas ihsan sama ada daripada keluarga mahupun sahabat serta jiran tetangga, kerana saya takut akan berlaku ungkitan di kemudian hari. Bukan kerana saya sombong atau mahu menyendiri tetapi saya khuatir saya tidak mampu membalasnya dan tidak layak menerimanya kerana masih ada insan lain yang memerlukan. Memang rakan taulan dan sahabat sekalian baik-baik belaka, sedia menghulurkan bantuan bila-bila masa..cakap sahaja, apa yang tidak ada akan diadakan, apa yang kurang akan dicukupkan dan apa yang salah sering diperbetulkan.

Hanya satu yang saya harapkan, sekadar peringatan untuk saya dan anda sekalian..apabila setiap kali kita memberi pertolongan, menabur budi dan memberi khidmat bakti, jangan sesekali kita ungkitkan apabila berlaku pergeseran, perkelahian atau tidak wujud lagi kemesraan sebagaimana kebiasaan. Tanyalah diri kita, sejauh mana keikhlasan kita apabila memberi atau menghulurkan bantuan tanpa ada sekelumit di hati untuk mendapat balasan atau ganjaran...kita dan Allah sahaja yang tahu jawapannya kerana hati kita tidak pernah berdusta tetapi mulut kita kadangkala menuturkan perkara yang berbeza. Sabda Rasulullah SAW " Tiga golongan yang tidak masuk syurga iaitu yang pertamanya golongan penipu, yang kedua golongan bakhil dan ketiganya ialah golongan yang suka mengungkit-ngungkit (pemberiannya)".

Hati saya sering berkata, seandainya budi yang saya terima, seandainya satu hari saya masih tidak mampu membalasnya..halalkanlah apa yang diberi kerana saya tiada upaya dan kemampuan untuk membayar dan melunaskan budi dan bakti yang dihulurkan, saya tidak meminta, anda yang memberi, Alhamdulillah..saya sekadar menerima kerana saya yakin sebagai umat Islam kita tetap bersaudara dan tidak mahu ada di antara kita yang ditindas dan berterusan menderita. Sebab itu kita sering bertolong-tolongan pada waktu susah dan juga senang kerana ukhuwwah fillah menyatukan kita. Firman Allah SWT; ”Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah kedua antara mereka yang bertelagah, dan bertakwalah kamu kepada Allah, moga-moga kamu beroleh rahmat.." (Al-Hujurat:11)

Saya dan anda...kadangkala kita menghulur, dan adakalanya kita menerima...justeru ungkit-mengungkit bukan satu kemenangan tetapi ia merupakan suatu kekurangan juga kelemahan, kerana ia melambangkan ketidakikhlasan dalam diri kerana setiap yang dihulur pasti ada agenda yang tersembunyi. Ruginya kita kerana yang kita peroleh hanya balasan di dunia sedangkan pahala sebagai bekalan ke akhirat entah ke mana pergi, dilepaskan begitu sahaja tanpa ada kekesalan di hati.

Sebagaimana kebiasaannya kita saling memerlukan untuk berpesan dengan kebenaran, dan berpesan dengan penuh kesabaran..anda dan saya marilah kita sama-sama berdoa agar bantuan Allah sentiasa bersama kita kerana pertolongan Allah tiada tandingannya..

Bertemu lagi...

Thursday, May 20, 2010

Ujian - Satu Anugerah

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah saya telah selamat kembali ke Kuala Lumpur setelah selesai melaksanakan tugas di Sarawak. Sekembali dari Sarawak saya bergegas pula ke Port Dickson kerana bertugas luar selama empat hari untuk menganalisis data dan seterusnya menyediakan laporan kajian bersama rakan sepejabat. Kali ini saya terpaksa berulang alik dari rumah ke Port Dickson setiap hari kerana kesihatan anak saya kurang memberangsangkan, diuji dengan kesakitan…. dan apabila anak merintih sakit, ia merupakan satu ujian yang cukup hebat buat seorang yang bergelar ibu seperti saya. Sebenarnya teringin sekali untuk saya mengambil cuti rehat supaya saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak tetapi di sudut hati kecil pula saya memikirkan tugas yang diamanahkan, akhirnya saya bertekad untuk berada pada siang hari bersama rakan-rakan di PD yang bertungkus lumus menganalisis data kajian, dan sebelah malamnya saya peruntukkan masa untuk bersama anak di rumah.

Sepanjang perjalanan, saya tidak putus-putus berdoa ke hadrat Allah SWT dan kepadaNya saya berserah agar sentiasa melimpahkan rahmat dan memberikan kesihatan yang baik untuk anak.. Saya berkeyakinan kalau kita membantu mempermudahkan urusan orang lain, InsyaAllah ...Allah akan membantu mempermudahkan urusan kita pula. Sihat, sakit, susah dan senang semuanya datang daripada Allah dan atas kehendakNya jua. Allah menguji saya, dan ujian tersebut untuk membantu mematangkan saya dalam tindakan serta dalam membuat keputusan. Ujian adalah pahit apabila kita sedang menghadapinya, tetapi manisnya dapat dirasai apabila kita berjaya mengatasinya.

Kadangkala kita merasa kecewa apabila apa yang kita impikan tidak tercapai dan apa yang kita harapkan tidak dapat direalisasikan. Ya..itulah ujian untuk kita, selagi kita hidup kita tidak dapat mengelakkan diri daripada terus diuji, berterusan berhadapan dengan masalah dan juga tribulasi kerana proses yang kita lalui akan membantu mematangkan kita dalam menjalalni kehidupan yang seterusnya, membuatkan kita lebih berhati-hati dalam memilih sahabat dan jiran tetangga dan seterusnya tidak melakukan sesuatu mengikut selera dan citarasa semata-mata agar cantik dan hebat di pandang mata walaupun sebenarnya Allah murka. Jangan sampai kita terdetik di hati apabila cita-cita tidak kesampaian, hasrat tidak tertunai, dan impian tidak terlaksana..kita merasakan seolah-olah Allah tidak menyayangi kita lagi sedangkan usaha kita tidak seberapa dan doa kita hanya sekali sekala iaitu pada saat getir dan sukar sahaja, tetapi apabila mengecapi kesenangan kita mudah lalai dan leka seolah-olah segalanya hak milik mutlak kita. Firman Allah SWT; “..Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui..” (Surah al_Baqarah:216).

Saya dan anda, marilah kita saling berpesan agar berpada-padalah apabila kita ketawa dan bergembira kerana dalam masa yang sama ada mereka yang menderita. Bagi mereka yang terus diuji dan ditimpa masalah, jangan bersedih dan berduka lara, kerana ingatlah ada orang lain yang lebih sengsara dan derita daripada kita. Anggaplah ujian sebagai hadiah daripada Allah untuk mengingatkan kita di kala kita terlupa dan leka, dan untuk mendidik kita erti kesabaran dan tidak mengenal putus asa. Alhamdulilah hakikatnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kalau kita ingat Allah, Allah tidak akan lupakan kita yang penting sentiasa berdoa memohon pertolongan Yang maha Esa. Firman Allah SWT; “berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan..” (al-Mukmin:60). Mudah-mudahan hidayah Allah sentiasa bersama kita dalam mengharungi liku kehidupan.
Bersama rakan setugas di PD

Bersama rakan setugas di Sarawak

Bertemu rakan setugas ke New Zealand

Terubuk Masin

Kek Sarawak

Seni Sarawak

Bertemu lagi..

Sunday, May 16, 2010

GURU – Dirimu Dalam Ingatan

Bismillahirrahmanirrahim...

Tepat jam 9.00 pagi nanti saya akan terbang ke Sarawak Bumi Kenyalang kerana tuntutan tugas dan kewajipan bagi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Berdebar juga rasa hati kerana inilah kali pertama saya menaiki kapal terbang Air Asia sepanjang saya menjalankan tugas rasmi. Ya..bagaimana agaknya, saya kurang pasti...yang penting selamat sampai ke destinasi. Memang sudah menjadi kebiasaan setiap kali saya bertugas di luar kawasan, anak bongsu saya, wajahnya menjadi tidak keruan kerana tidak mahu ditinggalkan walaupun semalaman. Petang semalam anak saya merengek untuk ke kedai kerana mahu membeli hadiah sebagai tanda sayang penuh ingatan terhadap guru yang memberi didikan dan tunjuk ajar di sekolah. Tanpa berlengah saya menuruti kehendaknya dan saya bersyukur ke hadrat Allah kerana anak saya tidak melupai jasa bakti gurunya yang tanpa jemu dan penuh sabar, berhadapan dengan pelbagai karenah anak murid yang diajar. Syabas anakku, ingat pesan ummi..jasa guru jangan dilupa walaupun ianya sekelumit cuma.

Hari ini 16 Mei hari khusus untukmu guru. Sewajarnya kita semua mengenang jasa guru yang tidak ternilai harganya mendidik kita agar menjadi insan yang berguna. Sehebat mana kita..setinggi mana pangkat dan taraf kita..ianya bermula daripada didikan guru yang tidak pernah jemu mendidik dan memberi tunjuk ajar kerana bagi guru kejayaan dan kecemerlangan murid merupakan satu hadiah yang sangat berharga dan bermakna buat dirinya. Ya cikgu, tugas cikgu sungguh mulia..tidak terbalas segala budi dan jasa. Saya sendiri tidak pernah lupa terhadap guru yang mengajar saya di SK Paloh Kuala Terengganu kerana pada asalnya saya tidak mengenal nombor dan huruf tetapi atas tunjuk ajar guru dan berkat doa ibubapa akhirnya saya mampu membaca, menulis dan mengira.

Guru di SMJK Chung Hwa Wei Sin juga tidak pernah saya lupa atas kesabaran mendidik saya sehingga berjaya melangkah kaki ke menara gading. Cikgu oh cikgu..kini ingatan terhadap kalian kembali segar seolah-olah saya baru meninggalkan alam persekolahan. Kenangan bersama cikgu tidak pernah saya lupakan kerana saya sering menjadi antara murid kesayangan. Saya dididik dan diasuh sebegitu rupa sehinggakan saya menjadi murid yang berani untuk ke hadapan berpidato dan berbahas menyertai pertandingan, memberi hujah dan pandangan serta tegas mempertahankan prinsip dan pendirian. Segala dorongan dan nasihat yang cikgu berikan sebagai bekalan sepanjang perjalanan telah membuatkan saya berani melangkah maju ke hadapan tanpa menoleh kiri dan kanan.

Alhamdulillah...cikgu, muridmu ini masih seperti dulu, terjumpa saja cikgu saya terus meluru, balik ke kampung tidak pernah lupa bertanyakan khabar cikgu walaupun ada antaranya telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah..untukmu cikgu. Ingatan dan kenangan bersama cikgu tidak pernah saya lupakan. Perit jerihmu cikgu amat saya mengerti dan faham kerana saya juga pernah bergelar cikgu dikelilingi murid yang cukup saya sayang. Memang sebagai guru saya tidak pernah mengharapkan balasan memadailah sekiranya mendapat khabar dan mendengar berita murid-murid cikgu semuanya telah berjaya, menceburkan diri dalam pelbagai bidang kerjaya serta mampu menyumbang kepada masyarakat dan juga negara.

Untuk anak-anak yang masih bersekolah, hormatilah guru…nasihat guru jadikan senjata dan jadilah anak murid yang mendengar kata. Doa restu guru amat diperlukan dan ilmu yang cikgu beri mohon dihalalkan supaya mendapat keberkatan dalam pelajaran, agar mudah melekat dalam ingatan dan seterusnya mampu meraih kejayaan dalam peperiksaan sebagai tiket untuk menggapai kejayaan. Jadilah murid yang beradab dan bersopan kerana kalian memerlukan guru untuk hari ini dan pada masa hadapan. Anda dan saya, bersyukur kita ke hadrat Allah Yang Maha Esa..kerana atas jasa guru yang sanggup berkorban apa saja dan dengan keizinan Allah jua akhirnya kita berjaya. Alhamdulillah...Sekalung Penghargaan BuatMu Guru. TERIMA KASIH CIKGU.

Betemu lagi...

Saturday, May 15, 2010

Wanita-Hargai Diri Anda

Bismillahirrahmanirrahim...

Hidup tidak selalunya indah, adakalanya kita terduga dengan perkara-pekara yang tidak disangka-sangka. Harapan kita agar sebarang musibah yang berlaku bukan atas kesilapan sendiri kerana sengaja membahayakan diri. Apabila membuka majalah dan menonton TV, alangkah hiba rasa hati kerana hebatnya sekarang golongan wanita dieksploitasi..untuk melariskan produk jualan termasuk fesyen, bahan kecantikan serta ubat-ubatan. Kecewa sungguh rasanya kerana wanita tidak dipelihara agar kehormatannya sentiasa terjaga. Wanita adalah ibu dan juga isteri..mulianya mereka sebagai pendidik generasi..moga diri kita wanita, mampu menjadi contoh yang terbaik untuk diteladani.

Saya pernah mendengar ustaz berkata, “amat mudah untuk wanita masuk syurga..laksanakan perintah ALLah, jaga solat lima waktu, berpuasa dan taati suami..tanggungjawab mencari nafkah bukannya terbeban ke atas isteri”. Ya..mudah bunyinya tetapi amat sukar untuk melaksanakannya, walaupun kita menyedari jaminan syurga Allah menanti untuk wanita yang mentaati perintah Allah dan mentaati suami. Sebagai wanita, kita perlu berusaha menjaga penampilan diri, perintah menutup aurat perlu sentiasa dipatuhi usah tunggu lagi, tiada istilah tidak bersedia, tiada sebab belum cukup masa..tunaikanlah segera demi menjaga kehormatan kita.

Wanita bukan bahan pameran..untuk ditonton oleh semua orang segala kecantikan dan kejelitaan kerana ia sekadar memberi keseronokan dan kepuasan kepada mata yang memandang sedangkan diri kita seorang wanita sentiasa berada dalam kerugian. Rasulullah SAW bersabda: "Hai Asma‘! Sesungguhnya seseorang perempuan apabila sudah cukup umurnya, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini-sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud). Ya..seandainya kita benar mencintai Rasulullah, usah bertangguh lagi..bersegeralah mengikuti ajarannya kerana terlalu besar hikmah di sebaliknya.

Siapalah yang mampu sentiasa mengawasi dan mendisiplinkan kita, kalau kita sendiri tidak mahu dan tidak berhasrat untuk melakukannya. Apatah lagi, kita dikatakan cukup dewasa dan cukup bijak untuk mengatur kehidupan sendiri, walhal suruhan Allah yang mudahpun kita gagal patuhi. Dalam Islam wanita begitu dimuliakan dan diletakkan pada taraf yang tinggi, kalau ke masjid untuk menunaikan solat pun tidak digalakkan untuk wanita, apatah lagi untuk ke tempat yang lebih terdedah kepada pandangan dan pergaulan bebas bersama lelaki. Bukan maksudnya wanita tidak boleh keluar bekerja, tetapi akhlak dan adab perlu sentiasa dipelihara, batasan pergaulan perlu dijaga dan redha suami itulah kemuncaknya agar pekerjaan dan rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan untuk membantu ekonomi suami. Rasulullah SAW bersabda; “Bagi seorang wanita menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik daripada menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya adalah lebih baik daripada menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya adalah lebih baik daripada menunaikannya di masjid”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad).

Anda dan saya, marilah sama-sama kita berazam dan bertekad untuk segera melakukan perubahan..mungkin pandangan mata dan nafsu mengatakan tidak cantik tetapi pandangan hati dan akal budi menggambarkan darjat, kemuliaan dan kehormatan..kesannya, InsyaAllah..mata-mata nakal tidak berani mengusik apatah lagi untuk menjamah sesuka hati. Ada juga antara kita yang berkata, “jangan nilai seseorang berdasarkan pandangan luaran sahaja… apa yang dipakai…apa yang dibuat..mungkin hatinya baik..siapa yang sangka, wanita yang bertudung pun belum tentu baik hati dan akhlaknya dan bukan jaminan masuk ke syurga”. Begitulah alasan bagi wanita yang culas untuk memakai tudung, kesalahan orang lain dicari-cari untuk menutup kekurangan diri. Ya..tiada salahnya wanita itu bertudung kerana sekurang-kurangnya kewajipannya menutup aurat telah dipatuhi..tetapi bagaimana dengan anda yang belum..bila dan apa nak ditunggu lagi? Yang lain terserah kepada Allah Yang Maha Esa kerana segala penilaian adalah berdasarkan neraca Allah dan rasulNya bukannya berdasarkan lintasan pemikiran kita semata-mata.

Saya dan anda, kita wanita beruntung orangnya..sesuatu yang kita rasa susah apabila kita laksanakan kerana Allah begitu banyak pahalanya begitu juga dengan memakai tudung. Apabila kita menutup aurat setiap saat kita akan mendapat pahala, memasak untuk keluarga serta suami juga pahala dan mendidik anak-anak di rumah juga pahala. Sabda Rasulullah SAW; “Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan dan belanja ikhlas kamu”. (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim). Rebutlah peluang pahala yang terbuka luas seandainya kita menghendakinya.

Bagi yang bergelar lelaki dan suami..bantulah isteri untuk meraih sebanyak pahala agar dapat menjadi bekalan untuk ke syurga..pimpinlah anak isteri agar tidak terus lalai dan leka, bagi sokongan dan dorongan serta peringatan kepada kami yang bergelar isteri serta anak-anak agar melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya kerana kami tidak rela mengheret suami ke neraka disebabkan perlakuan kami yang mungkin tidak mendengar kata serta mengingkari perintah Allah dan RasulNya.

Saya dan anda…ke hadrat Allah kita mohon keampunan, kepada suami kita mohon kemaafan sekiranya kita terlanjur dalam perbuatan, tingkah laku dan juga percakapan kerana kita semua hamba Allah yang kadangkala begitu lemah dalam mengharungi ujian dan cabaran. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa mendapat keberkatan, kerahmatan dan di bawah perlindungan Allah Yang Maha Kuasa.

Bertemu lagi...


Friday, May 14, 2010

Sukarnya Berlaku Adil

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya terpaksa merempuh kesesakan lalulintas yang agak teruk dari Putrajaya sehingga ke Ampang…perlu banyak bersabar, kalau tidak kita akan terasa tertekan. Tambahan pula, saya agak kepenatan setelah seharian menemuduga calon yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat PhD dan Sarjana. Walaupun ia agak memenatkan tetapi saya mendapat kepuasan kerana proses temuduga memberi pengalaman yang bermakna kepada saya. Ya..bagaimana untuk bertanya, perlu menjadi pendengar yang baik, fokus terhadap percakapan calon dan yang paling penting kena bijak menilai terhadap kebolehan, keupayaan dan personaliti mereka. Sebagai panel temuduga kita perlu menyiapkan bekalan diri dengan ilmu serta kebolehan menganalisis, memperhalusi dan menginterpretasi agar penilaian calon dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Sebagai penemuduga kita mempunyai tanggungjawab dan amanah yang begitu mencabar minda untuk dilaksanakan. Semua calon hebat-hebat belaka…kerana mereka memang bersedia dan berpotensi besar. Inilah cabaran buat saya, berdebar-debar menilai calon kerana cukup bimbang saya tidak mampu berlaku adil. Ke hadrat Allah saya pohon agar membantu saya dalam membuat keputusan secara saksama. Saya sebenarnya amat kagum dengan kesungguhan adik-adik yang begitu bersemangat untuk terus menuntut ilmu. Syabas!..saya ucapkan..dan seandainya kali ini tidak berjaya, usah jemu menanam impian dan cita-cita kerana ia merupakan asas yang penting untuk berjaya.

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata, “Sesungguhnya jiwaku ialah jiwa yang mempunyai banyak cita-cita. Aku pernah bercita-cita menjadi amir, aku telah mendapatkannya. Aku bercita-cita menjadi seorang khalifah, juga kutelah dapatkannya. Sekarang cita-citaku adalah syurga dan aku berharap mendapatkannya”. Jadi seandainya kegagalan yang anda terima buat kali ini..kuatkan semangat, tabahkan hati kerana ada hikmah di sebaliknya yang kita sendiri tidak ketahui. Yang penting, cita-cita perlu diteruskan, hasrat hati perlu diperkasakan dan usaha murni perlu diperhebatkan.

Terkenang saya sewaktu dulu..proses yang sama saya lalui untuk mengejar cita-cita, demi untuk membuktikan bahawa orang miskin juga mampu berjaya. Langkah demi langkah saya mendaki. Bermula dari sekolah rendah sehinggalah ke menara gading. Di sekolah rendah saku jarang berisi hanya bekalan makanan sebagai ganti. Di sekolah menengah pula biasiswa diperolehi bagi menampung perbelanjaan setiap hari. Kemiskinan mengajar saya erti ketabahan…kesulitan membuatkan saya menginsafi diri dan keinginan saya semakin memuncak untuk menuntut ilmu setinggi mungkin. Alhamdulillah..tanpa kenal erti jemu saya berterusan mendaki walaupun di kiri kanan saya pelbagai dugaan yang perlu ditempuhi. Angan-angan dan cita-cita melekat di hati..saya berjanji pada diri sendiri, InsyaAllah...akan kupenuhi impian ini suatu hari nanti. Dalam kepayahan akhirnya Allah kabulkan hasrat di hati. Alhamdulillah..setinggi kesyukuran kupanjatkan ke hadratMu Ilahi.

Ya..adik-adik sekalian yang bercita-cita tinggi dan berjiwa besar…teruskan usaha tanpa jemu, elakkan daripada berputus asa kerana ia akan memusnahkan cita-cita.. Sesungguhnya, setiap kesabaran akan diganti dengan kemenangan, setiap kegagalan akan disusuli dengan kejayaan. Yakinlah..cabaran merupakan pengalaman yang manis dan bermakna sekiranya kita bijak menanganinya kerana cabaran merupakan fitrah kepada kehidupan manusia yang InsyaAllah akan dapat membantu menyuburkan tahap keimanan kita..berusaha, bertawakkal..selebihnya terserahlah kepada Yang Maha Esa. Firman Allah SWT; "...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah) sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan perkara yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq: 2-3)

Kita menjalani proses kehidupan yang sama, ada cita-cita..ada impian..dan ada matlamat yang direncanakan..kalau jatuh jangan lupa bangun semula, sekali gagal bukan bermakna gagal selamanya…anda semua boleh, anda berpotensi...dan anda mampu melakukannya, tetapi Allah menguji dengan kesukaran, kerana anda mampu menghadapinya. Selamat maju jaya kepada mereka yang meneruskan cita-cita khusus untuk adik-adik yang cintakan ilmu pengetahuan sebagai pengisian bagi mendidik generasi yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Anda dan saya..adakalanya kita senang..ada kalanya gembira, terkadang kita kecewa dan dukacita. Apa yang kita idamkan kadangkala amat sukar memperolehinya, tetapi apabila telah berada dalam genggaman, semestinya kita amat menghargainya kerana kita telah menghadapi kepayahan dan keperitan untuk mendapatkannya.

Bertemu lagi...

Thursday, May 13, 2010

Kepimpinan: Amanahkah Kita?

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini entah kenapa..fikiran saya menjadi buntu, untuk menulis rasanya bagai tidak mampu..fikiran saya agak terganggu kerana tersilap berbicara kononnya ingin berjenaka menyebabkan sahabat yang amat saya sayangi yang sentiasa bersama saya waktu susah dan senang berkecil hati. Kenapa saya tidak berhati-hati dan gagal memahami situasi, sebak dada saya memikirkannya. Sungguh saya tidak menduga dan memang saya tersalah sangka kerana saya beranggapan sahabat yang sangat saya kasihi cukup mengenali siapa saya, kerana di antara kami termeterai kata, biarlah kita tulus ikhlas dan telus sentiasa..yang penting tiada pengkhianatan antara kita. Itulah yang dinamakan manusia, walaupun kita sentiasa berwaspada kadangkala tergelincir jua..maafkan saya kerana saya juga manusia biasa.

Ya..satu pengajaran berguna buat saya..dalam berkata dan bersuara, apatah lagi kalau kita sebagai ketua, amat penting untuk kita mengenali siapa anak buah kita dan dengan siapa kita berkata-kata. Manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza bukan sahaja paras rupa tetapi termasuk juga ciri-ciri peribadi, akhlak, tutur kata dan juga tahap pemikirannya. Ya..sudah lumrahnya, kita berbeza tetapi dalam perbezaan wujud persamaan kerana antara kita saling melengkapkan. Apabila membicarakan tentang ketua..tentang kepimpinan..alangkah sukarnya menjadi pemimpin..sama ada pemimpin dalam rumah tangga atau pemimpin di tempat kerja kerana kita berhadapan dengan manusia, sudah pasti mereka mempunyai pelbagai ragam, pelbagai cara yang pasti selera mereka juga berbeza. Walau apapun, tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan kerana ia merupakan satu amanah yang tidak boleh dipersiakan. Jadi kenalilah anak buah kita..kerana kita bertanggungjawab ke atas mereka.

Kalau dilihat dengan mata hati, menjadi pemimpin bukannya satu kebanggaan tetapi ia merupakan satu ujian. Ya..semua orang ingin jadi pemimpin..tetapi setiap pemimpin juga perlu dipimpin..kerana bergelar ketua, bergelar bos bukan menandakan kita telah cukup sempurna... Alangkah ruginya seandainya kita menjadi ketua tetapi tidak mampu mendidik anak buah kita..dan berdosalah kita sekiranya kita gagal berlaku adil kepada mereka dan paling mendukacitakan apabila kita dangkal melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang diamanahkan kepada kita. Sabda Rasulullah SAW; “Semua kamu adalah pemimpin, dan setiap pimpinan itu adalah tanggungjawab atas yang dipimpinnya. Seorang iman adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas keluarga yang dipimpinnya. Seorang perempuan adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas penyelenggaraannya. Seorang pembantu rumahtangga adalah pemimpin dalam harta benda majikannya dan dia bertanggungjawab atas pengurusannya. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab atas pimpinannya". (Riwayat Bukhari).

Memang seronok menjadi ketua..kalau memberi arahan sahaja..dan tidak berbuat apa-apa tetapi senangkah hati kita melihat anak buah bersengkam mata untuk membuat kerja. Alangkah moleknya kalau kita sebagai ketua bukan sekadar mengarah sahaja tetapi mengajak anak buah bersama-sama kita berkongsi kepayahan dan kesulitan dalam melaksanakan tugas sehingga akhirnya. Melaksanakan tanggungjawab kepimpinan tidak boleh diambil mudah. Pemimpin yang baik akan terus berusaha melalui proses pembelajaran sendiri, latihan dan pengalaman yang tidak berkesudahan. Perlu mengambil berat cara berkomunikasi…berhati-hati dengan intonasi..kerana dibimbangi disalaherti atau disalahtafsir menyebabkan ada yang terguris hati, mungkin akan mengurangkan motivasi dan hilang semangat untuk bekerja hingga menjejaskan prestasi dan produktiviti.

Ya..kepimpinan perlu mengikut sistuasi… Ada orang yang boleh menerima teguran secara terbuka, tidak kurang pula yang memendam rasa apabila ketua memberi nasihat untuk memperbetulkan cara kerja. Akurlah kita, banyak perbezaan antara manusia…jadi dalam melaksanakan amanah kepimpinan kita perlu bijak mempelbagaikan cara kerana dia tidak sama dengan kita. Justeru memerlukan cara yang berbeza untuk memberi tunjuk ajar, menegur dan menasihat agar sebagai ketua, kita mampu menawan hati mereka untuk terus bekerja bersama kita. Yang penting kita perlu berusaha untuk berlaku adil kepada diri kita dan juga berlaku adil terhadap orang yang di bawah tanggungjawab kepimpinan kita….kerana mereka juga manusia, ada hati dan ada perasaan serta mempunyai maruah dan harga diri yang perlu sama-sama kita hormati. Pemimpin bukan untuk ditakuti..tetapi pemimpin yang baik akan dihormati secara rela hati.

Anda dan saya, mohonlah pertolongan Allah sentiasa..agar kita diberi kekuatan dan petunjuk untuk menjadi pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas kepimpinan. Sesungguhnya pangkat dan harta bukan satu kemegahan tetapi ia merupakan satu ujian dan juga cubaan untuk menguji tahap keimanan kerana segala yang ada bukan milik kita tetapi dipinjamkan kepada kita buat sementara untuk diurus sebaik mungkin kerana ianya hak milik yang Maha Kuasa dan kalau kematian menjenguk tiba, segalanya kita akan tinggalkan jua. Moga saya dan anda menjadi orang yang tidak lupa dan menginsafi diri sentiasa. Ya..siapalah kita, semua milik Allah Yang Maha Esa.

Bertemu lagi...

Wednesday, May 12, 2010

Guru-Murid: Murninya Ikatan

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya masih teringat sewaktu bertugas sebagai guru kira-kira 12 tahun yang lalu di SMK Taman Melawati, bersama rakan guru yang sangat dedikasi dan budaya kerja cemerlang menjadi amalan setiap hari. Tidak hairanlah SMK Melawati menjadi antara sekolah yang cemerlang di daerah Gombak dan menjadi impian ibubapa untuk menempatkan anak-anak mereka ke sekolah tersebut. Saya sangat merindui suasana semasa menjadi guru kerana ia sungguh menyeronokkan dan membahagiakan bersama anak murid yang dahagakan pelajaran sebagai persediaan untuk masa hadapan. Dalam kalangan murid, saya dikenali sebagai seorang guru yang sangat tegas dalam kelembutan. Apabila mereka melakukan kesilapan dan melanggar peraturan, guru disiplin memberi dua pilihan dengan siapa murid sanggup berdepan sama ada dengan saya atau pengetua. Akhirnya pengetua sekolah menjadi pilihan kerana kata mereka ‘”kalau jumpa cikgu Maimunah..habislah saya”. Ya tegas saya bukan bermakna saya mendera tetapi kerana saya sangat sayangkan murid saya dan ingin sekali melihat mereka berjaya kerana kejayaan mereka merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga.

Dalam kalangan guru cukup memahami..kalau waktu pagi murid berlari-lari menghantar buku ke bilik guru, ini semestinya murid saya..kerana pesan saya kepada mereka, sebelum 7.30 pagi tugasan perlu dihantar dan kalau terlewat tidak akan diterima. Alhamdullillah..murid saya begitu akur..namun dalam hati mereka entahlah..saya pun tak tahu, yang penting saya mahu murid saya kenal erti disiplin dan bijak dalam menguruskan masa serta tahu mengikut prosedur. Pernah juga apabila masuk ke kelas saya hanya berdiri sahaja..tanpa mengeluarkan sepatah kata kerana murid asyik nak berkata-kata..jadi saya terus memberi peluang kepada mereka untuk terus berbicara sesama sendiri. Apabila saya berterusan membisu, murid merasakan ada sesuatu yang tidak kena, murid pun diam tanpa disuruh kerana mereka sedar dimana silapnya. Saya tidak marah tetapi sekadar bertanya “berapa minit lagi yang kamu perlukan..2 minit..5 minit, ok saya bagi masa untuk kamu terus bersembang”.

Ya..mereka terus diam membatu kerana mereka faham punca menyebabkan saya kelu membisu. Ya..itulah strategi untuk menawan hati murid. Mengajak mereka bersama saya dalam proses mengajar memberi ilmu. Murid sekarang cepat terasa, kalau dimarah mereka tarik muka, kalau dilarang mereka memberontak..kalau ditegur mereka merajuk. Adakalanya lebih baik diam atau beri peluang saja mereka buat apa yang mereka suka tetapi hendaklah dalam pengawasan kita kerana akhirnya tanpa ditunjuk, tanpa diajar mereka sedar kesalahan sendiri kerana mereka sering bermain dengan emosi. Murid kita masih muda belia..perlu dibimbing perlu diasuh, agar tidak tersasar dalam melayari bahtera kehidupan. Itulah tanggungjawab kita.

Sewaktu saya diamanahkan sebagai penyelia petang..saya amat terharu kerana amat besar perubahan di kalangan murid yang jelas kelihatan. Semua murid perempuan sesi petang tanpa dipaksa tanpa disuruh dengan sukarela mereka memakai tudung apabila ke sekolah. Gembiranya hati saya kerana saya tidak pernah mengeluarkan arahan, apatah lagi untuk memaksa..hanya sekadar dalam perhimpunan memberi nasihat dan pedoman dengan penuh kasih sayang bersama semua guru di sesi petang. Alhamdulillah..kesedaran mereka sunguh mengkagumkan. Syabas dan terima kasih...kalian murid yang cikgu sayang kerana membantu cikgu untuk melahirkan murid yang seimbang agar menjadi insan yang cemerlang. Soal aurat bukan mainan, ia menjadi satu kewajipan yang perlu ditunaikan agar harga diri terus terpelihara dan maruah diri terus terjaga kerana banyak mata liar yang memandang dan suka mengambil peluang. Jangan kita mencari salah orang kerana kita sendiri yang membuka ruang untuk sekalian mata memandang apa yang tidak sepatutnya kita dedahkan.

Ingatlah murid cikgu sekalian...kalau kita mengingkari perintah Allah, maka kita akan tanggung akibatnya kelak. Firman Allah SWT; “Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar malabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya, yang sedemikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab:59). Justeru, kalau kita cinta Allah dan cinta Rasul..maka buktikan kecintaan kita. Segerakan laksana perintahNya kerana diri kita Allah yang punya.

Alhamdulillah ramai anak murid cikgu yang telah berjaya dalam pelajaran, terus cemerlang dalam kehidupan dan mendapat pengiktirafan di mata masyarakat. Syabas murid cikgu sekalian. Setinggi kesyukuran cikgu panjatkan kerana cikgu masih dalam ingatan, walaupun sudah lama terpisah, apabila berjumpa mesra sekali, panggilan cikgu amat saya rindui, apabila dipanggil cikgu saya sangat terharu dan terasa dihargai kerana menjadi guru satu kebanggaaan dan dipanggil cikgu mengimbau kenangan silam, sungguh mesra bersama kalian anak murid yang semua cikgu sayang.

Untuk guru-guru yang terus berbudi dan berbakti, ikhlaskan hati dalam memberi pendidikan, doakan murid kita agar mereka berjaya bukan sahaja dalam pelajaran tetapi yang penting terpelihara iman. Usah jemu mendidik kerana tugas guru tugas yang mulia, gelaran cikgu tiada ternilai harganya. Untuk semua yang bergelar cikgu..empat hari lagi hari guru akan disambut; 16 MEI KHUSUS BUATMU CIKGU.

Bertemu lagi...

Tuesday, May 11, 2010

PhD vs Yakin Diri

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama saya tidak mendekatkan diri dengan adik-adik bakal sarjana dan bakal lulusan PhD. Bukan saya sengaja lupa tetapi suntikan semangat tidak boleh diberi setiap hari, memadailah dua mingu atau sebulan sekali agar anda terus bermotivasi. Saya sering tertanya-tanya..bagaimanakah keadaan anda semua pada hari ini? Tidak lama lagi bulan Jun akan menjengah tiba, satu semester berlalu pergi..tanyalah diri anda ilmu apa yang telah diperolehi, teori apa yang anda telah terokai dan statistik apa yang anda telah pelajari. Anda pasti ada jawapannya…berilah jawapan pada diri sendiri agar anda dapat menilai sejauhmana usaha anda setakat ini.

Membaca..dan terus membaca. Berapa buah buku yang anda telah baca, jurnal dan tesis jangan dilupa kerana bahan bacaan tersebut amat berguna...kerana anda memerlukan latihan minda untuk manganalisis dan mengkritik setiap apa yang anda tatapi...kerana tidak dinamakan PhD sekiranya anda hanya tahu mengingat dan menghafal sahaja. Justeru pencarian dan penerokaan ilmu pengetahuan baru perlu dipertingkatkan agar anda tidak kecundang dalam pengembaraan dan seterusnya gagal di pertengahan jalan.

Bagaimana dengan keyakinan diri anda setakat ini, mampukah anda belayar sampai ke destinasi walupun terpaksa menempuh ribut serta ranjau, onak nan berduri. Adakah anda yakin anda mampu sehingga ke saat ini? Ya inilah masanya untuk anda gunakan kekuatan minda bagi melihat, merenung, mendengar, memahami, menghayati dan menilai dan seterusnya menjana minda yang positif. Kejayaaan menguruskan minda secara positif akan membantu kita untuk menghasilkan sesuatu yang positif dalam diri kita..justeru positiflah diri anda dan minda anda dengan mengatakan, “InsyaAllah saya bertekad teruskan usaha…saya pasti berjaya”. Ingatlah, seandainya anda sendiri tidak yakin anda boleh berjaya, maka anda sudah tentu tidak akan berjaya kerana pandangan diri anda terhadap diri sendiri adalah lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap diri anda kerana anda lebih mengenali siapa anda..kekuatan anda dan kelemahan anda dibandingkan dengan orang lain. Yang penting anda berlaku adil dan jujur terhadap diri anda sendiri. There are two kinds of failure: those who thought and never did, and those who did and never thought.

Sekiranya anda terasa lemah dan seolah-olah mahu menyerah kalah..mohonlah pertolongan ALLah SWT sentiasa kerana Allah maha pemurah lagi maha penyayang.. Firman Allah SWT; "Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita sebaliknya kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman.." (Surah Al-Imran: 139). Jadikanlah Allah tempat mengadu..agar anda mampu memperoleh kekuatan yang luar biasa untuk melalui proses pembelajaran PhD dengan lancar dan terang hati, dan dipermudahkan segala urusan setiap hari. Amalkan membaca surah Alam Nasyrah (melapangkan) setiap hari sewaktu pagi atau petang kerana itulah juga yang saya amalkan agar bantuan Allah kita peroleh apabila berada dalam kekusutan. Firman Allah; “Bukankah kami telah melapangkan untukmu dadamu? dan kami telah menghilangkan daripadanya bebananmu yang memberatkan punggungmu dan kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu, kerana sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sunguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmu hendaknya kamu berharap”. (Al-Insyirah:1-8)

Harapan saya, anda terus melangkah tanpa toleh ke belakang..jangan lupa sentiasa membuat catatan, sekurang-kurangnya anda sudah mula menulis kertas cadangan kajian dan tetapkan matlamat bila untuk dibentang, agar anda akan berusaha keras untuk merealisasikan impian. Mudah-mudahan anda terus bersabar kerana adakalanya anda berhadapan dengan keadaan sukar untuk menulis walaupun hanya sebaris cuma. Itulah ujian..yang dinamakan proses pembelajaran..untuk menguji kesabaran dan memberi kita pengalaman. Proses yang sama saya lalui sewaktu bergelar calon PhD. Saya dan anda, sebenarnya kita sama-sama mengimpikan kejayaan dan mendambakan kecemerlangan terhadap apa yang kita usahakan. InsyaAllah, yakinlah..anda boleh berjaya…teruskan usaha.

Bertemu lagi...

Monday, May 10, 2010

Marah Bukannya Kebencian

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini saya mengelamun sendirian, memikirkan percakapan anak saya pada siang tadi. Saya tegur anak kerana tidak kemas meja belajarnya, buku berserakan..bagi saya kalau suasana kelibut, fikiran turut menjadi serabut. Anak saya apabila ditegur amat sensitif orangnya..katanya, “umi dah marah Aby..ummi tak sayang Aby..” Cepat benar anak saya membuat kesimpulan, ini membuatkan saya selalu berhati-hati dalam percakapan bimbang terguris pula perasaan anak kesayangan. Saya perlu menerangkan kepadanya ummi marah ..ummi tegur sebab ummi sayang.

Begitu juga bagi guru-guru yang memberikan pendidikan kepada anak bangsa, kadangkala guru marah dan menegur disangka guru tidak suka. Guru bertanya dikatakan guru nak mengorek rahsia, guru berdiam diri tidak menyapa dikatakan pula guru tak hiraukan mereka. Saya bersimpati dengan guru..mencabar sungguh profesion kalian..untuk mendidik murid yang kadangkala suka melawan, silap haribulan guru pula yang ketakutan. Sabarlah cikgu jangan risau masih ada murid yang sayang, masih ada yang menghargai kalian, kalau tidak hari ini mendapat balasan..mungkin esok atau lusa, ada murid cik gu yang akan mengenang jasa. Berbeza sungguh murid dahulu dan sekarang. Dulu dengar suara guru sudah ketakutan kerana rasa hormat mereka terhadap guru tiada tandingan, menolong guru satu kemegahan dan dapat mendekati guru merupakan satu peluang keemasan kerana mereka rasakan mereka disayangi.

Marah bukan menandakan kebencian..kemarahan kerana keinginan untuk membuat pembetulan. Saya tertarik dengan artikel Majalah Solusi..iaitu BIARKAN CINTA BERKATA TIDAK..izinkan saya memetik intipatinya untuk dikongsi bersama pada hari ini. Antara coretannya:

“Kadangkala ada isteri sudah semakin toleransi dalam hukum penutupan aurat, malangnya si suami biarkan saja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang dan saiznya yang makin sendat…..isteri ditegur, masam wajahnya, sensitif dan suka merajuk..maka suami jadi jeran dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…”

"Si suami pula kadang-kadang sudah semakin merosot pangamalan Islamnya, semangat Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya luntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti yang tidak menyuburkan Islam dan Imannya..si isteri sekadar melihat dari dekat”

Dua petikan di atas menggambarkan kasih sayang yang tidak berasas… dibiarkan kelemahan, kesilapan dan kesalahan berterusan tanpa ada teguran dan rasa marah…kononya kerana sayang…tetapi ianya sangat merugikan kerana hilanglah proses penambahbaikan berterusan, tiada langsung tindakan pembetulan...tiada istiqamah dalam amalan, jauh sekali untuk saling menguatkan. Sepatutnya, apabila ditegur dan dimarah, segera fikirkan kesilapan yang dilakukan, akuilah kelemahan, seandainya benar kita ingin membuat perubahan. Tanamkan azam dan tekad, untuk memperbetulkan segera apa yang salah kerana kalau dibiarkan berlanjutan bimbang ia akan menjadi barah. Ya, bukan senang untuk membuat perubahan..tetapi kita perlu bersemangat dan bertekad untuk mengatakan tidak kepada yang salah demi untuk menegakkan kebenaran. Sepatutnya kita komited melaksanakan tanggungjawab ‘amar makruf nahi mungkar’ iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran. Saya dan anda, marah kita kerana Allah dan sayang kita juga kerana Allah. Perasaan marah biarlah terkawal agar sifat marah yang sememangnya bertapak dalam diri kita dapat membantu diri untuk bertindak membetulkan keadaan. Cinta dan kasih sayang bukan bererti keakuran dan kepatuhan semata-mata tetapi perlu disulam dengan teguran dan kemarahan, agar yang bengkok dapat segera diluruskan. Sesungguhnya perasaan marah laksana ubat yang berguna tetapi haruslah digunakan secara berhemah agar dapat berperanan mengubat penyakit yang dideritai. (Imam Al-Ghazali - Ihya‘ Ulumuddin).

Marilah sama-sama kita bertekad untuk mengakui kelemahan dan kekurangan diri… berlapang dada sentiasa agar orang lain merasa selesa untuk menegur kita, memarahi kita agar kesilapan tidak kita ulangi lagi. Marah ibu dan bapa terhadap anak, marah suami terhadap isteri dan marah guru terhadap muridnya.. bukan marah biasa kerana MARAH BUKANNYA KEBENCIAN TETAPI TANDA SAYANG. Saya dan anda, moga kita tidak jemu berusaha dan berdoa agar diri kita sentiasa berubah ke arah kebaikan, agar akhlak kita, tindakan kita dan amalan kita pada hari ni lebih baik daripada semalam.

Bertemu lagi...

Sunday, May 9, 2010

Ibu - Erti Sebuah Rindu

Bismillahirrahmanirrahim...

Sekarang jam menunjukkan pukul 4.00 pagi. Inilah rutin saya setiap hari. Pada pagi minggu ini saya perlu menyediakan sarapan untuk anak yang akan mengikuti program Motivasi Alihan Pelajar pada jam 8.00 pagi. Apabila bangun pada awal pagi sebegini setiap hari, saya terkenangkan betapa inilah yang dilakukan oleh ibu saya dahulu. Ibu tidak lena tidur setiap hari kerana bimbang tidak terbangun pada awal pagi untuk menyediakan sarapan kepada anak dan suami. Jam 3.00 pagi ibu sudah ke dapur…kerana kemiskinan, kami sekeluarga tidak mampu miliki jam loceng pengiraan waktu.. Kami agak-agak sahaja dan kokokan ayam menjadi penanda. Bagi ibu apabila tidurnya telah lena, tak kira waktu pukul berapa asalkan terjaga, tanpa berlengah terus ke dapur. Ibu..memang saya sangat sayang kepadamu, hebatnya ibu saya demi anak-anak sanggup melakukan apa saja. Pagi ini saya terlalu merindui ibu yang berada jauh nun di Terengganu.

Ya..wajah ibu tersenyum puas apabila anak-anaknya berebut-rebut makanan yang disajikan.. Dapat pula dibungkus dalam daun pisang kerana kami tidak kenal apa itu tupperware apatah lagi untuk memilkinya. Bekalan ibu kami adik beradik bawa ke sekolah..maklumlah kami sekeluarga tiada wang lebihan untuk berbelanja di kantin, hanya bekalan sebagai ganti untuk di makan pada waktu rehat nanti. Ibu bukan surirumah semata-mata, tanpa mengenal erti rehat..mengambil upah menenun songket dan juga upah menumbuk kopi. Itulah ibu, berusaha keras membantu ayah untuk membesarkan anak-anak yang kecil dan masih bersekolah. Seingat saya, apabila ayah membawa balik makanan, ibu tidak pernah menjamah dahulu, dihulurkan kepada anak-anak bagi memastikan anak dapat makan.. Sekiranya ada lebihan barulah ibu berpeluang merasa makanan itu. Kenapa sekarang tidak kita dahulukan ibu..ibu hanya satu.

Semalam saya menelefon ibu..terdengar sayup suaranya ..penuh syahdu. Kata ibu, “Baliklah Mai..lama Mai tak balik.. sekejap pun tak apa..”. Ya..itu luarahan rasa ibu yang merindu. Spontan saya memberikan penjelasan kepada ibu, “Mak..Mai masih tak kuat lagi untuk berjalan.. Kesakitan pembedahan masih dapat dirasakan. InsyaAllah..apabila sembuh sepenuhnya nanti, Mai tetap akan pulang”. Walaupun itu jawapan yang saya berikan kepada ibu tetapi jauh di dalam hati saya bertekad untuk segera pulang menemui ibu..kerana saya yakin dengan memenuhi permintaan ibu, InsyaAllah..Allah akan membantu saya agar segera sihat seperti sediakala.

Kesian ibu..sekarang pendengarannya agak kurang akibat dilanggar motorsikal yang dipecut laju ketika hujan renyai. Sewaktu itu ibu dalam perjalanan menuju ke surau. Saya masih ingat..kami adik beradik segera pulang menziarahi ibu..Sayu pilu hati kami..melihat ibu bengkak di sana sini. Kami menemani ibu sepanjang waktu di hospital…kerana untuk memastikan ibu tidak kesunyian dan semua keperluan ibu sedaya upaya akan dipenuhi agar tidak ada apa satu pun yang kurang. Alhamdulillah..kakak dan adik-adikku, lega sungguh hati saya mempunyai adik-beradik yang mengambil berat terhadap ibu nan satu, ayah sudah tiada..kewajipan kita semua memelihara dan menjaga ibu. Kami adik-beradik memujuk ibu untuk ke klinik pemeriksaan telinga..untuk ibu menggunakan alat bagi membantu memulihkan pendengarannya tetapi ibu menolak..kerana ibu rasa masih mampu bertahan..katanya asalkan dapat mendengar suara anak dan cucu serta mengikuti kuliah agama yang saban hari diadakan di surau, sudah memadai baginya. Ibu amat rajin ke surau..pantang dengar ada program agama..ringan saja kakinya melangkah..tanpa berfikir panjang, tangkas sekali ibu membuat keputusan..yang penting bagi ibu..segera sampai ke surau.

Alhamdulillah..moga contoh ibu menjadi ikutan anak-anak untuk dibudayakan dalam kehidupan agar ianya mendapat manfaat yang berterusan dan turut diamalkan oleh anak dan cucu kita sekalian. Kenangkanlah diri kita..nikmat yang ada tak terkira..nikmat mata untuk memandang, nikmat telinga untuk mendengar dan nikmat kaki untuk berjalan..itu belum lagi termasuk nikmat kereta, rumah dan harta, sejauh manakah kita gunakan nikmat tersebut ke jalan Allah. Kenapa kita tidak pergunakan sebaik mungkin nikmat tersebut...masjid jarang dijejak..jauh lagi untuk mendengar kuliah agama. Sedangkan kita mempunyai pelbagai kemudahan untuk ke sana, kenapa tidak kita berusaha menggunakan nikmat Allah yang yang dipinjamkan kepada kita untuk mendapat keredhaanNya.

Anda dan saya, fikir-fiirkanlah sentiasa.. Usia semakin meningkat tua..Allah masih bagi peluang untuk kita melakukan perubahan agar kita tidak berterusan leka dengan anak, isteri, suami dan juga harta. Ayuh lakukan perubahan segera, usah tunggu lagi..kerana kematian kita tidak pasti bila. Moga saya dan anda..sentiasa istiqamah dalam amalan dan bersegera melakukan perubahan ke arah kebaikan, redha Allah sama-sama kita harapkan. Untuk para ibu, sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan buat kalian.

Bertemu lagi...

Saturday, May 8, 2010

Ibu – Hanya Satu Tiada Gantinya

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini bertalu-talu saya menerima SMS daripada sahabat-sahabat untuk mengucapkan selamat hari ibu. Alhamdulillah...masih ramai yang mengingati saya, bermakna InsyaAllah mereka juga turut mendoakan kesejahteraan saya di dunia dan akhirat. Begitulah sahabat, sentiasa dalam ingatan tanpa mengira masa dan tempat sama ada dalam keadaan susah ataupun senang. Hari ibu..bagi saya bukan sehari sahaja, setiap hari merupakan hari ibu kerana kita perlu muliakan mereka. Betapa seorang ibu pengorbanannya tiada terhingga. Anda dan saya juga ibu, betapa selepas bergelar ibu barulah kita menyedari akan kehebatan pengorbanan ibu, ketabahannya, kesabarannya, dan kasih sayangnya mencurah-curah serta perjuangannya tiada noktah. Kita mengatakan kita amat sayangkan ibu. Ya..benarkah kita menyayangi ibu??? Manusia lebih mempercayai matanya daripada telinga kerana sikap dan tindakan boleh dilihat dan percakapan hanya boleh didengar. Justeru sikap kita, tindakan kita menterjemahkan kasih sayang kita terhadap seorang yang bergelar ibu.

Ibu sejati bimbang jika tidak dapat memberi, sedangkan seorang anak lazimnya bimbang tidak boleh menerima. Saya amat kesal kerana kedapatan antara kita yang mengakui sayang ibu tetapi tindak tanduk tidak langsung menggambarkan kewujudan kasih sayang itu. Saya teringin sekali berkongsi cerita sewaktu saya di hospital pada tahun lepas. Kebetulan saya berkongsi bilik dengan seorang ibu tua yang sakitnya tiada harapan untuk sembuh. Saban hari kedengaran jelas rintihannya mengadu kesakitan yang dirasai. Alhamdulillah..anak menantu tungu silih berganti, sekadar menunggu tiada erti. Kemudian tiga hari si ibu tidak dapat berkata-kata, ubat yang dimasukkan ke badan sudah tidak boleh menerima…jelas ibu sudah nazak, kenapa anak-anak tidak berusaha untuk membawa pulang ke rumah sekurang-kurangnya dapat menjaga ibu pada saat-saat akhirnya. Menantu ibu datang mengadu kepada saya, katanya dia amat kecewa dalam keadaan nazak begini semua anak-anak enggan membawa balik ibu mereka ke rumah. Anak-anak lebih suka jururawat dan doktor menjaga ibu mereka. Saya memberitahu kepada si menantu, pujuklah suami yang bertugas sebagai guru untuk membawa balik ibunya ke rumah. Apabila suami datang menjengah, si isteri tadi terus bersuara “ bang, kita bawa sajalah mak balik rumah, dah tak ada harapan..kesian mak..tangannya dah lebam-lebam kerana masuk air dan ubat-ubatan..” begitulah pujuk si isteri..tetapi suami buat tak peduli walaupun itu ibunya sendiri. Jawab si suami, “di rumah kita tak ada alat..tak ada tiub untuk masukkan ubat, nak salurkan makanan mahupun air, biarlah doktor dan jururawat yang jaga sebab mereka lebih tahu..ini tugas mereka”. Si isteri terus diam membisu..apa nak dikata, dia hanya menantu sahaja.

Keesokan malamnya iaitu pada malam hari raya, tiada siapa menunggu ibu, tiada lagi anak menantu serta cucu-cucu..mungkin semua sibuk nak menyambut hari gembira..hari raya Aidilfitri. Tanpa teman, tanpa sesiapa di sisi, kedengaran oleh saya hembusan nafas ibu kuat sekali, saya tidak dapat melelapkan mata, maklumlah risau juga apa yang terjadi kerana si ibu sudah nazak berhari-hari. Jam 4.00 pagi jururawat datang memantau si ibu tetapi ibu sudah tidak bernyawa lagi tanpa sesiapa yang berada di sisi pada saat ibu menghembuskan nafas terakhir. Jururawat turut terasa pilu, katanya malang sungguh si ibu, kematiannya keseorangan di pagi raya, tiada kedengaran ayat-ayat Al-Quran dan doa mengiringi pemergian daripada anak-anak yang tersayang sedangkan anak-anak ibu ada yang bergelar ustaz dan juga guru. Oh ibu, begitulah akhirnya nasibmu, moga Allah menempatkan ibu di sisi orang-orang yang soleh dan beriman.

Semalam saya menerima email yang dikirimkan oleh seorang sahabat kepada saya mengenai catatan Penerbit Solusi berkaitan pengalaman Dr Harun Din dan keluarganya. Kisahnya pula amat berbeza dengan pengalaman saya sewaktu di hospital. Izinkan saya untuk memetiknya untuk dikongsi bersama bagi mereka yang belum berkesempatan untuk membacanya. Beginilah kisahnya... Jiran kepada Dr Harun Din (DrHD) menziarah ibunya pada waktu petang selepas asar. Beilau memberi salam tetapi tidak bersambut. Kelihatan olehnya ibu sedang sujud dalam solat. Jirannya kembali ke rumah dahulu dan beberapa minit kemudian datang menjengah lagi tetapi ibu DrHD tetap masih sujud, firasat jirannya ada yang tidak kena, lalu masuk ke rumah mendekatinya. Rupa-rupanya ibu DrHD telah kembali ke rahmatullah semasa sujud menghadap Allah. Ya Allah mulianya kematian ibu DrHD.

Perkara yang mengkagumkan dilakukan oleh keluarga DrHD ialah jenazah ibunya disempurnakan oleh tangan anak-anaknya - mandikan ibu, kapan ibu, sembahyangkan ibu dan kebumikan tanpa diusik oleh orang lain ke atas tubuh ibunya. Ada jiran-jiran yang ingin melakukan tetapi ditolak oleh Dr Harun Din, Ustaz Hassan Din dan dan Ustaz Ishak Din dengan hujah “BERILAH SAYA SEKELUARGA PELUANG MEMBUAT KHIDMAT YANG TERAKHIR UNTUK IBU” Ketika hujah diberikan, seluruh masyarakat yang hadir melinangkan air mata kerana tawadduk dan alimnya anak-anak ibu itu. Paling menyayat hati masyarakat apabila ketiga-tiga beradik itu juga yang turun sendiri ke lubang lahad mengebumikan jenazah ibunya. Ada beberapa orang yang memohon “Wahai Tuan Guru, izinkanlah kami membuat semua ini, menurunkan jenazah ibu”. Permintaan tersebut ditolak oleh DrHD dengan hujah yang sama “BERILAH KAMI ADIK BERADIK PELUANG MENGEBUMIKAN JENAZAH IBU INI BUAT KALI TERAKHIR”. Seluruh yang hadir di kuburan pada waktu itu mengalirkan air mata, betapa tawadduk akhlak anak-anak ibu yag diasuh sehingga sedemikian alim. HEBAT ibu ini membina akhlak dan keilmuan anak-anak mereka. Kisah ini juga telah membuatkan air mata saya menitis tanpa disedari; beruntung sungguh ibu mempunyai anak-anak yang sebegini.

Demikianlah dua kisah berbeza yang sengaja saya paparkan untuk kita jadikan iktibar dan renung-renungkanlah…siapalah kita tanpa ibu dan bapa, kalau mereka sudah tiada, kalau masih ada rasa kasih sayang terhadap mereka sentiasa lah iringi doa untuk mereka, sedekahkan ayat suci Al-Quran jangan dilupa kerana mereka ibubapa kita. Kalau mereka masih ada bersama, jangan sesekali abaikan tanggungjawab kita, pelihara dan jagalah kebajikan mereka, usaha penuhi permintaan mereka selagi ada hayat mereka rebutlah peluang untuk berbakti kepada ibubapa kerana ganjaran pahalanya tiada terhingga dan sememangnya telah menjadi tanggungjawab kita, jadi janganlah dipersia..

Anak lelaki, utamakan dan dahulukan ibu daripada isteri dan bagi para isteri yang cintakan suami, ingatkanlah suami agar merebut masa dan peluang yang ada untuk memelihara dan menjaga ibu yang tercinta kerana tidak sepatutnya menyerahkan tanggungjawab itu kepada kakak atau adik perempuan sahaja. Usah bezakan layanan antara ibu sendiri dan ibu mertua kerana mereka ibu kita. Berlaku adillah kepada ibu kita, kalau tidak kepada kita, kepada siapa lagi ibubapa hendak bergantung harap, menumpang gembira dan bahagia pada hari tua. Tunjukkanlah kasih sayang dengan perbuatan kita bukannya dengan kata-kata dari bibir mulut sahaja. Sentiasa mohon keampunan mereka kerana mungkin ada perbuatan kita yang menyentuh rasa ibu dan bapa. Mudah-mudahan saya dan anda mampu menjadi anak yang soleh dan solehah, yang berterusan berbakti kepada ibubapa tanpa jemu melayani mereka, betapa kita tidak terbalas jasa mereka. Berdoalah kita agar ibu dan bapa sentiasa mendapat pengampunan dan rahmat Allah tidak kira sama ada mereka masih bersama kita ataupun telah kembali ke rahmatullah. SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN BUAT MU IBU...

Bertemu lagi...