Wednesday, June 30, 2010

Terpeliharakah Diri Ini?

Bismillahirrahmanirrahim…

Saya sering terdengar perkataan taqwa, tetapi sukar sekali untuk saya memahami, mendalami dan menghayati maksud taqwa yang sebenar-benarnya. Alhamdulillah, melalui Progam Tanyalah Ustaz telah membuatkan saya mendapat gambaran yang jelas tentang perilaku orang yang bertaqwa. Sungguh terperinci kupasan yang diberi dan sungguh mudah untuk kita mengenali diri sama ada adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT. Setelah mendengar ciri-ciri orang yang bertaqwa, melonjak rasa hati untuk memiliki akhlak serta budi pekerti yang menjurus kepada hamba Allah yang sejati.

Walaupun diri ini tidak dapat merangkul keseluruhan ciri peribadi dalam masa sehari, tetapi InsyaAllah..dengan tekad dan keazaman, hasrat murni yang terpahat dalam hati mohon Allah kabulkan. Sebenarnya jelas sudah di dalam Al-Quran menggambarkan orang yang beriman dan bertaqwa untuk kita semua jadikan pedoman dan mengambil pengajaran. Firman Allah SWT; iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”. (Surah Al-Imran:134).

Ya..jelas tertera kepada kita bahawa antara ciri orang bertaqwa ialah suka bersedekah sama ada waktu susah atau senang. Tanyalah diri kita, sejauh mana amalan sedekah telah kita amalkan. Usah tunggu kaya raya dan banyak wang baru hendak menghulurkan sumbangan, memberi bantuan atau bersedekah. Betapa manisnya bersedekah ketika waktu kesempitan ataupun susah, walaupun wang yang ada hanya sedikit sanggup dihulurkan walaupun cuma seringgit kepada orang yang memerlukan. Sedekah banyak atau sedikit bukannya menjadi ukuran, yang penting kita bersedekah seikhlas mungkin tanpa niat untuk menunjuk supaya orang lain tahu betapa pemurahnya kita.

Alangkah indahnya kalau kita juga mampu menahan marah kerana mereka yang bertaqwa kesabarannya amat hebat. Apabila marah kewarasan akan tergugat kerana kita telah dipengaruhi emosi dan bukannya akal fikiran dalam melaksanakan segala tindakan. Rasulullah SAW bersabda; “marah itu adalah daripada syaitan, syaitan itu adalah daripada api, api boleh dipadamkan dengan air, maka apabila kamu marah berwuduklah” (Riwayat al-Imam Ahmad). Justeru usah kita tunduk kepada syaitan, melayan perasaan marah yang tidak terkawal kerana ianya bukannya ciri-ciri orang bertaqwa. Kemarahan kita menunjukkan betapa rapuhnya hati dan perasaan kita yang gagal mengawal diri dan memelihara kualiti peribadi. Ada kalanya kedapatan mereka yang bangga menunjukkan sifat marahnya, kononnya dialah sahaja yang berani serta tidak gentar untuk berlawan, sedangkan pada hakikatnya akhlak Islam telah diketepikan. Ya..jangan marah-marah, tidak elok suka marah-marah, kerana banyak buruk daripada baiknya. Jadi bersabarlah. Firman Allah SWT; “sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar” (Al-Baqarah 153); “Dan Allah mencintai orang yang sabar” (Al-Imran: 146). InsyaAllah..moga kita tergolong dalam kalangan orang yang dicintai Allah.

Betapa hebatnya diri kita seandainya sentiasa dapat memaafkan orang lain tanpa dipinta. Memberi kemaafan suatu akhlak yang terpuji, juga melambangkan ketaqwaan diri. Ya..kenapa sukar sungguh hendak memberikan kemaafan kepada mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Kemaafan yang dihulurkan tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian sebaliknya keuntungan berganda yang kita dapat. Apabila memberi kemaafan, hati menjadi tenang, pemikiran menjadi lapang, dendam kesumat juga terpadam dan resah gelisah tidak lagi menguasai diri. Usah kedekut memberi kemaafan sedangkan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Siapalah kita yang amat bergantung kepada nikmat dan pertolongan Allah kalau suruhan Allah kita ingkar. Jadi..apa tunggu lagi berilah segera kemaafan setulus hati, walaupun diri kita disakiti. Anggaplah diri kita sedang diuji sejauh mana ketaqwaan kita kepada Ilahi.

Anda dan saya..betapa kita mengharapkan diri ini menjadi hamba yang bertaqwa, menyeru kepada yang makruf dan membantu mencegah yang mungkar. Sebagai hamba Allah, ingin sekali kita mengharapkan petunjuk-Nya agar kita sentiasa akur dengan perintah-Nya. Istighfar, selawat dan zikir usah dilupakan agar penyakit hati dapat dirawat. Mudah-mudahan kita akan dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Marilah kita panjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Allah memelihara keimanan kita kerana sungguh banyak ujian yang menunggu di depan mata yang kadangkala boleh menggugat ketenangan jiwa. “Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah kurniakan kami cara hidup (Din) yang mantap, selamat dari segala bahaya. Kami memohon ya Allah kecukupan daripada segalanya sehingga tidak sampai kami meminta-minta daripada orang lain". Amin...

Mudah-mudahan kita di bawah peliharaan Allah SWT senantiasa kerana kepada-Nya sahaja kita berserah.

Bertemu lagi…

Tuesday, June 29, 2010

Penyesalan VS Penyelesaian

Bismillahirrahmanirrahim…

Mengurus kehidupan sehari-hari membuatkan kita lebih barhati-hati. Kita perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang melanda kerana ada kalanya kita sering berhadapan dengan situasi yang berbeza. Kita tidak perlu cepat melatah atau torgopoh gapah kerana dibimbangi ia menjurus kepada penyesalan akhinya nanti. Mudah melatah, tidak berhati-hati serta sering tergopoh gapah menyebabkan percakapan dan tindakan tidak melalui proses pertimbangan kewarasan pemikiran. Justeru kesannya, kekesalan dan kekecewaan kerana tindakan yang diambil sekadar mengikut perasaan bagi memuaskan nafsu yang menguasai diri.

Saya tertarik untuk berkongsi intipati buku yang saya baca yang bertajuk 'Bawa Hatimu Kepada Tuhan' kerana di dalamnya banyak sungguh pengajaran. Tajuk bicaranya adalah tentang sikap manusia iaitu tentang penyakit dan tabiat buruk yang merupakan ‘ibu kepada segala penyesalan’. Penyakit tidak berhati-hati, kalut dan gopoh gapah terbit daripada kelemahan iman, kelemahan jiwa dan tipu daya syaitan yang akhirnya mendatangkan masalah dan berakhir dengan penyesalan. Anda dan saya, marilah bersama kenali diri kita, adakah kita tergolong dalam kalangan yang sentiasa dalam kekalutan dan tergopoh gapah dalam tindakan? Tabiat berikut jadikan asas penilaian untuk kenal diri secara mendalam. Ya, adakah kita…

  • Bercakap atau berkata-kata sebelum mendalami dan memahami sesuatu perkara. Main cakap sahaja. Betul tak betul belakang kira. Faktanya janganlah tanya. Akhirnya???

  • Menjawab pertanyaan sebelum ia memahami benar-benar sesuatu persoalan dan pertanyaan yang diajukan. Lain yang ditanya lain yang dijawabnya. Akhirnya???

  • Bertindak sebelum berfikir. Maknanya tak fikir dan tak ambil hirau fasal baik buruk natijah sesuatu perkara. Akhirnya???

  • Membuat sesuatu keputusan yang penting sebelum habis merancang dan merencana. Hasilnya kerja tak siap dan tak sempurna. Separuh masak dan sekerat jalan. Akhirnya???

  • Memuji seseorang sebelum diuji. Rupanya yang dipuji itu sang pendusta ataupun pengkhianat. Akhirnya???

  • Mengeji dan mencaci sebelum meneliti. Rupanya yang dikeji insan yang baik hati dan tinggi budi. Akhirnya???
Memang terbukti betapa buruk kesannya seandainya kita tidak berhati-hati, tidak teliti dan tidak membuat perancangan yang rapi kelak diri sendiri yang rugi. Kita tidak mahu menanggung rugi dan malu yang berterusan. Mungkin juga kekurangan ilmu, pengetahuan serta pengalaman menyebabkan kita sering kecundang bertindak melulu tanpa pedoman. Kenapa kita tidak berusaha menggali ilmu untuk membantu mengatasi kekurangan dan kelemahan diri agar tidak berterusan hanyut tanpa kita sedari akibat kejahilan dan kurangnya ilmu pengisian rohani.

Cukuplah bagi kita, menjadikan akhlak Rasulullah sebagai ikutan. Justeru sirah Rasulullah perlu diterokai dan akhlak Rasulullah perlu dikaji dan dipelajari agar kita mengetahui tentang akhlak yang terpuji. Firman Allah SWT; “Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah itu mempunyai teladan yang baik bagi orang yang mengharapkan Allah SWT dan hari akhirat dan sentiasa mengingati Allah dengan sebaik-baiknya” (Al-Ahzab: 21).

Anda dan saya, kita juga masih belum terlambat untuk menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan dan panduan. Usah jadikan Al-Quran sebagai penghias dinding sekadar untuk sedap mata memandang. Yakinlah.. dalam Al-Quran terkandung segala tatacara kehidupan bagi orang yang membaca, memahami dan mengerti serta menghayati akan isi kandungannya. Kita perlu bersegera, usah bertangguh walaupun sekadar seminit jua, jadikan bacaan Al-Quran sebagai kewajipan yang mesti ditunaikan walaupun sedikit tetapi istiqamah setiap hari secara berterusan. Ketenangan jiwa dan kelapangan minda akan diperoleh dengan menjadikan Al-Quran sebagai penawar pengubat hati dan sanubari agar tindak tanduk kita lebih berhati-hati dan tidak kalut serta tergopoh gapah lagi. Firman Allah SWT; “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul” (Al-Isra’ :9).

Harapan saya, usah jemu berdoa memohon kehadrat Ilahi agar petunjuk-Nya sentiasa bersama mengiringi perjalanan hidup kita di bumi Allah ini.. “Ya Allah Ya Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Melimpah kurnia-Nya”. Amin.

Moga kita sentiasa tenang berhadapan dengan ujian dan sentiasa berhati-hati dalam tindakan serta fokus terhadap apa yang sedang kita lakukan.

Bertemu lagi…

Monday, June 28, 2010

Bersangka Baik: Keuntungannya Berganda

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya terserempak dengan seorang rakan lama di pasaraya yang berdekatan sewaktu membeli barang keperluan. Sudah agak lama tidak berjumpa menyebabkan saya tidak dapat mengenali dirinya lagi. Alhamdulillah diri saya masih dikenali dan diingati lalu disapa dan seterusnya rakan saya memperkenalkan diri. Saya sungguh teruja, kami bersembang tanpa henti, bercerita tentang keluarga dan perihal diri sendiri. Ya antara kami banyak sekali perubahan diri, dari saiz badan, ketrampilan diri serta lenggok percakapan cukup jelas perbezaan antara dahulu dan kini. Pengalaman dan ilmu yang dimiliki telah merubah cara gaya dan penampilan tanpa kita sedari.

Bercakap berkenaan ketrampilan diri, ianya bukan berkaitan dengan pakaian yang kita pakai sahaja, tetapi ia juga merangkumi gaya percakapan dan bahasa yang digunakan, lirik mata apabila memandang serta gerak badan sewaktu bersembang. Pembawaan diri turut mencerminkan keyakinan diri, keunggulan peribadi dan ilmu yang dimiliki. Justru berfikir sejenak sebelum berkata-kata adalah lebih baik daripada melulu berbicara, bersopan dan tertib menyusun kata adalah lebih baik daripada tergopoh gapah untuk mengetengahkan idea, dan pandangan mata kita perlu bersahaja agar tidak membangkitkan rasa curiga. Ya jagalah perilaku kita agar ianya tidak tercela kerana diri kita masih ada yang memandang dan melihat seterusnya dinilai siapakah sebenarnya kita.

Alangkah baiknya seandainya kedapatan teman yang dapat membantu menjadi cermin diri, agar kita lebih mengenali diri sendiri. Kesilapan tingkah laku sanggup diteguri agar kelemahan diri dapat diatasi. Rugilah sebuah persahabatan seandainya kesilapan diri dibiarkan berterusan dan akhirnya menjadi bahan bualan, sedangkan diri sendiri tidak menyedari bahawa tutur kata dan tingkah laku tidak disenangi oleh orang yang didampingi.

Sesungguhnya kita masih belum terlewat untuk melakukan perubahan diri. Teguran dan pandangan sahabat usah dipandang sepi walaupun kadang kala terasa malu dengan kekurangan dan kelemahan diri yang tidak disedari. Malu sahaja tidak membawa erti, apa yang penting kesediaan dan kemahuan untuk memperkasakan diri. Elakkan daripada berprasangka yang tidak baik apabila menerima teguran kerana diri sendiri akan kerugian. Bersangka baik lebih menguntungkan, jiwa tenang, dan minda terasa lapang. Sahabat sejati tidak akan membiarkan diri kita berterusan diuliti mimpi dan berada di alam fantasi tetapi sebaliknya kita akan dibawa bersama untuk berpijak di bumi nyata dan berhadapan dengan realiti.

Mulai hari ini, ayuh kita sama-sama berganding bahu dan bertolongan demi memelihara maruah diri dan menjaga keimanan. Sentiasa bersangka baik terhadap nasihat dan pandangan yang diberikan oleh sesiapa sahaja. Usah dibiarkan penyakit hati menguasai diri kita. Syak wasangka akan memusnahkan diri apatah lagi penyakit hasad dan juga dengki akan menggugatkan kesejahteraan diri. Pelihara hati dan jagalah hati, hanya iman yang dapat membantu meningkatkan kualiti peribadi. Rasulullah SAW bersabda; “Di dalam tubuh manusia wujud segumpal darah, jika elok gumpalan darah itu, maka eloklah seluruh tubuh, jika rosak gumpalan darah itu maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu ialah hati”.

Alhamdulillah..anda dan saya, sungguh beruntung diri kita kerana masih ada yang sudi membantu dan menegur terhadap apa jua kesilapan dan kekurangan yang ada. Terimalah teguran dengan lapang dada, bersyukurlah masih ada yang mengambil berat tentang kita. Berdoalah agar bantuan Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita. “Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau tinggalkan kami dalam keadaan yang berdosa kecuali engkau ampunkan dosa kami, tiada dalam keadaan sakit kecuali Engkau sembuhkan penyakit kami, tiada dalam berduka kecuali Engkau hilangkan perasaan kedukacitaan kami, tiada dalam keadaan dizalimi melainkan Engkau memberi pertolongan, tiada dalam keadaan hajat melainkan Engkau tunaikan hajat-hajat kami itu sama ada di dunia dan juga di akhirat.” Amin.

Marilah kita sama-sama ketepikan rasa curiga sesama kita, elakkan persengketaan kerana kita bersaudara. Aturkan langkah untuk hijrah diri kearah yang lebih baik agar kehidupan bukan sahaja mendatangkan faedah kepada diri sendiri tetapi dapat juga memberi manafaat kepada orang lain.

Bertemu lagi...

Sunday, June 27, 2010

Kaya Hati Kaya Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini saya mengambil kesempatan untuk mengemas rak buku di rumah. Sudah agak lama sebahagian buku tidak terusik, kerana waktu yang ada agak terbatas menyebabkan koleksi lama yang begitu berharga jarang-jarang sekali dibelek dan dibaca. Tidak dapat dinafikan, semakin banyak kita membaca, semakin kerdil diri terasa kerana sungguh banyak perkara yang di luar pengetahuan kita dan sangat sedikit ilmu yang ada. Usah diri kita terasa hebat dan bangga seandainya ilmu dan pengetahuan yang ada sekelumit cuma. Apabila mengeluarkan suara dan berkata-kata, orang lain sudah dapat menilai tahap ilmu yang ada dalam diri kita. Jadi, awasi diri agar tidak asyik dengan diri sendiri sehingga terlupa untuk memperbaki diri serta menambah ilmu agar perkara yang Allah murka dapat dihindari.

Saya tertarik untuk berkongsi kisah yang saya baca, iaitu tentang seorang pemuda pada zaman Rasulullah yang cinta kudusnya hanya untuk Allah dan Rasulnya. Apabila pemuda tersebut datang mengadap Rasulullah saw dan Baginda menghulurkan imbuhan kepadanya pemuda itu lalu berkata ”Sesungguhnya demi Allah, tidaklah menyegerakan aku meninggalkan negeri untuk datang ke sini melainkan kerana mahu meminta supaya Rasulullah saw berdoa kepada Allah Azza wa Jalla supaya diampunkan dosaku dan diberi rahmat kepada ku serta Allah menjadi kekayaan dalam hatiku”. Lalu Rasulullah saw berdoa ”Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dia, berilah rahmat kepadanya dan jadikanlah kekayaan didalam hatinya”.(Dari Mimbar Masjid)

Sungguh mengkagumkan kerana pemuda itu terlalu mentah umurnya, tetapi terlalu masak dan matang akal fikirannya, dia mengetahui dan memahami betapa harga Islam itu dan betapa harga keampunan dan rahmat Allah, betapa mahalnya peluang bertemu Rasulullah SAW, sehingga memandang kecil hadiah yang diberikan kepadanya. Pemuda tersebut memandang perkara yang lebih besar daripada itu ialah kebahagiaan di hari akhirat, di samping kebahagiaan di dunia. Ya, pemuda tersebut begitu mendambakan keampunan dan rahmat Allah agar kekayaan hati dan jiwa menjadi miliknya.

Perihal ini benar-benar menginsafi diri saya, kerana kadang kala kita lebih mengharapkan orang lain suka, memuji dan menghormati kita lebih daripada kita mengharapkan keredhaan Allah atas segala tindakan kita. Saya sering tertanya sendiri..tidak yakinkah kita dengan rezki yang Allah bagi sehinggakan kadang kala kita terpaksa menggadai prinsip dan maruah diri serta yang paling menyedihkan ialah suruhan Allah diketepi dan larangan Allah langsung tidak ditakuti. Adakalanya kita lebih takutkan hukuman manusia lebih daripada kemurkaan Allah. Amaran Allah kita seolah-olah tidak ambil peduli sedangkan azab Allah tidak terperi. Firman Allah SWT ” Dan sesiapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dia akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan buta, lalu dia berkata: Wahai Tuhan kenapa Engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta, tidakkah aku dahulu dapat melihat? Allah berfirman: Sebenarnya telah datang kepada kamu peringatanKu tetapi kamu melupakannya, maka pada hari ini kamu dilupakan”. (Surah Thoha: 124-126)

Anda dan saya, marilah kita mengambil contoh dan teladan daripada pemuda yang terlalu matang akalnya, yang memohon Rasulullah saw berdoa untuknya dengan doa yang sangat besar erti dan maknanya agar dikurniakan Allah kaya hati dan kaya jiwanya. Saya teramat malu dengan diri sendiri, terasa kecewa dan sungguh rendah diri, nikmat Allah begitu banyak tidak saya hargai kerana kadangkala masih gagal untuk mengawal diri, tuntutan nafsu masih dilayani, akhlak Rasulullah yang terpuji tidak dapat dicontohi..ya betapa lemahnya diri ini.

Usah kita sedih berduka, kerana Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, justru bersama kita panjatkan doa kehadrat Allah SWT agar kehidupan kita mendapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat. ” Ya Allah ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”. Amin. (Al-Baqarah :201).

Marilah kita mengingatkan diri kita dengan peringatan Allah SWT. Marilah kita menyedarkan diri kita dengan petunjuk dari Allah dan marilah kita menginsafkan diri kita dengan bertaubat untuk kembali kepada ajaran Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah saw serta akhlak Rasulullah dijadikan panduan dan ikutan untuk menguruskan kehidupan.

Bertemu lagi...

Saturday, June 26, 2010

Bertimbang Rasakah Kita?

Bismillahirrahmanirrahim...

Selama lima hari bersama rakan-rakan, sudah pasti banyak kenangan yang terpahat dalam ingatan. Ya bertugas luar kadangkala ada kelebihannya, menyebabkan kita lebih mengenali rakan sepejabat. Kalau di pejabat jarang sekali dapat berbicara panjang, hanya sekadar bertegur sapa kerana tugasan sentiasa menunggu di depan mata jadi masa yang ada dimanafaatkan untuk kerja. Ya apabila bertugas luar sebegini, adalah sedikit waktu untuk berbual mesra, kerana kalau di pejabat peluang ini memang tiada, kerana kami sentiasa mengejar masa, jika tidak masa yang ada berlalu pergi begitu sahaja.

Penyediaan laporan kajian bukan suatu kerja yang mudah, kerana data yang ada perlu dianalisis dengan teliti dan dilaporkan dengan bahasa dan ayat yang senang difahami. Sehubungan itu ketenangan fikiran amatlah perlu agar penulisan lancar dan tidak tersekat di sana sini. Betapa hebatnya kita, pandai menulis dan berkata-kata tetapi ada waktunya, hendak menulis satu ayat pun terasa amatlah sukar kerana fikiran buntu dan idea pun tiada. Ada ketikanya, apabila idea sedang mencurah, gangguan telefon pula yang bertandang ke telinga, tidak dijawab bimbang pula sekiranya kedapatan perkara urgent yang perlu dikhabarkan segera sama ada urusan pejabat atau mungkin berkaitan dengan keluarga.

Pertimbangan sangat penting apabila kita hendak menelefon atau menghantar mesej kepada sesiapa sahaja. Kalau tahu masa bekerja, apabila menelefon elakkan daripada berbicara panjang, memadai bercakap sepatah dua untuk disampaikan isi penting sahaja, usah bercerita dan bersembang untuk suka-suka, kerana rakan kita sedang bekerja. Kita sendiri pasti amat tidak selesa apabila sedang bekerja, rakan menelefon berceloteh panjang apatah lagi butir bicara perkara yang menyentuh hati dan menggangu fikiran kerana ia akan menjejaskan emosi serta tumpuan. Oleh itu, kita amat perlu bertimbang rasa, untuk melontarkan bicara kerana kalau ikut sesedap rasa, menyebabkan orang lain merasa mual dan rimas mendengar percakapan kita, sehingga menyebabkan gangguan dalam melaksanakan tugasan harian.

Ya..bukan sahaja waktu bekerja, waktu berada di rumah pun serupa. Kadangkala kita menefon tanpa mengira masa kerana memikirkan kesesuaian masa sendiri sahaja. Begitu juga dengan saya, amat merasa tidak selesa apabila waktu penat baru balik kerja, tiba-tiba mendapat panggilan telefon yang percakapannya bahasa tidak dijaga, bernada sinis mungkin bertujuan untuk menyakitkan hati saja tanpa sekelumit timbang rasa. Pertimbangkanlah, selepas pulang dari tempat kerja, malamnya perlu mengendalikan urusan keluarga..lainlah kalau belum berumahtangga mungkin kekalutannya tidak sebegini rupa, kerana masa untuk diri sendiri banyak yang ada. Justeru saya merayu..agar dalam diri kita sentiasa ada pertimbangan dalam tindakan dan tuturkata, berlaku adillah bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain kerana kadangkala di luar pengetahuan kita, orang yang disakiti hatinya itu sudah cukup menderita dalam melayari kehidupannya. Usah ditambah beban rakan kita kerana kesannya nanti rakan yang ada akan hilang tanpa diduga dan disedari kerana kehadiran kita telah menambahkan beban duka dan sengsara kerana cukup sudah derita yang ada. Alangkah bagusnya kita, apabila menghubungi rakan, sentiasa berusaha mengembirakan mereka, agar mereka dapat menerima kita sebagai pendorong dan pembakar semangat untuk terus maju ke hadapan.

Anda dan saya..memang adakalanya kita rasa hiba dan sedih dengan tindakan dan tutur kata yang tidak menyenangkan serta mengguris perasaan sama ada daripada rakan, sahabat atau teman yang dianggap akrab. Walau bagaimanapun segalanya perlu kita telan, seandainya tidak mampu berhadapan, cuba elakkan diri daripada rakan sedemikian kerana mudaratnya lebih daripada kebaikan. Walau apapun, ia merupakan satu pengalaman yang boleh dijadikan pengajaran dan pedoman, agar bijak menjalin persahabatan, berpada-pada dalam tindakan, usah semua rahsia ingin diceritakan kelak apabila ada perselisihan, ianya akan menjadi modal terhadap segala ungkitan. Bersabarlah kita..kerana ini juga merupakan satu ujian untuk menguji kita dalam persahabatan. Firman Allah SWT; “Maka bersabarlah; sungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa” (Hud:49).

Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita sentiasa membuat pertimbangan dalam berkat-kata dan bertindak supaya tidak sekadar mengikut selera dan nafsu semata-mata. Hidayah Allah yang kita pohonkan agar diri kita terpelihara daripada perbuatan yang menyebabkan orang lain merasa tidak selesa dan mengguris perasaan mereka. “Ya Allah, sejukkanlah hatiku dengan salji dan kesejukan dan air yang sejuk. Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari dosa-dosa sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih daripada kekotoran”. Amin..

Anda dan saya, kita amat mengharapkan untuk menjadi insan yang mulia, mudah-mudahan kita saling bertolongan untuk merealisasikan hasrat yang diimpikan.

Bertemu lagi…

Tuesday, June 22, 2010

Bual Bicara: Batasnya Ada

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada minggu ini saya bertugas luar, ada tugasan urgent perlu diselesaikan segera. Kami sembilan orang semuanya bertungkus lumus menyiapkan laporan kajian daripada jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang dan bersambung pula pada jam 8.00 hingga pukul 11.30 malam. Kedengaran begitu memenatkan, tetapi kami perlu komited dengan tanggungjawab yang diberikan. Alhamdulillah ahli pasukan kajian semuanya dedikasi dan begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Yang paling penting ialah fokus, InsyaAllah matlamat akan dapat dicapai jua.

Bekerja dalam kumpulan amat banyak faedahnya kerana semangat kebersamaan dan kekitaan dapat dikecapi bersama-sama. Justru itu bagi membantu merealisasikan hasrat, kadangkala kita perlu kurang bercakap..usah berbual tanpa tujuan kerana tanpa kita sedari banyak masa akan terbuang begitu sahaja. Sudah menjadi lumrah manusia, apabila berjumpa suka bercerita. Ya kalau boleh semuanya ingin dikongsi tanpa mengambil kira akan kesan dan akibatnya kalau kedapatan perkara yang perlu dirahsia. Asyik berbicara dan bekata-kata, kadangkala membuatkan kita sering terlupa, bukan semua perkara yang kita dengar dan yang kita tahu perlu kita bercerita. Rasulullah SAW bersabda ”cukuplah seseorang itu boleh dianggap pembohong apabila semua yang dia dengar, dia bercerita” (Riwayat Muslim).

Seronok bercerita bukan sahaja membazir masa secara sia-sia tetapi bimbang pula, semakin banyak kita berbicara semakin bertambah pula dosa. Dalam asyik berkata-kata, tanyalah diri kita, ada atau tidak kita mengata, memburukkan sesiapa atau mereka-reka cerita untuk tujuan berseronok sahaja. Adakalanya kata-kata kita boleh menyakiti, membuat orang lain berkecil hati. Mungkin juga ia boleh menjadi penyebab kepada berlakunya perpecahan antara dua sahabat, atau mempengaruhi jiwa lain untuk membenci atau memandang rendah pada mereka yang menjadi bahan tajuk bicara. Ya takut dan risau sekiranya kerana mulut mengheret kita pula ke neraka.

Ada baiknya kalau kita mendapat atau mendengar khabar berita, pastikan semak dan periksa dahulu akan kebenarannya. Jika apa yang didengar palsu dan rekaan semata-mata lupakan saja ia. Hatta kalau ianya merupakan satu kebenaran sekalipun, tanya pada diri sendiri..patutkah berita tersebut dikongsi dengan orang lain? Kita tidak mahu menjadi agen penyebar fitnah, mencaci dan menyakiti kerana ia adalah perbuatan yang keji. Hari ini mungkin kita bermegah dengan kehebatan kita mengeluarkan hujah tetapi mungkin suatu hari nanti, balasan Allah tidak tertanggung oleh kita apabila akhlak sebenar kita terserlah, maka harga diri langsung tiada lagi, akhirnya mungkin kita akan kehilangan sahabat yang sejati.

Ya benarlah pepatah berkata kerana mulut badan binasa kalau kita tak berjaga-jaga mengeluarkan kata. Berkata mengikut rasa bahayanya bukan terhadap diri sendiri sahaja tetapi juga kepada orang lain yang mendengar isi cerita. Sering kedengaran oleh kita, apabila tersilap berkata-kata sahabat bertukar menjadi musuh, isteri terpisah daripada suami, keluarga berantakan, dan konflik juga boleh berlaku dalam organisasi. Kesannya kepercayaan dan keyakinan sesama sendiri tiada lagi.

Justru, anda dan saya..daripada berterusan bercerita tanpa faedahnya, lebik baik diam sahaja. Berilah fokus kepada kerja, jangan biarkan diri kita kekosongan seolah-olah tiada apa yang ingin dan hendak dilakukan. Kalau kita terlebih masa..pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kita. Marilah sama-sama kita muhasabah diri dan bertekad untuk berkata-kata berkenaan perkara yang baik-baik dan berfaedah sahaja sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga. Nikmat Allah mesti dipelihara, insafilah kerana ada antara kita yang tidak boleh berkata-kata apatah lagi untuk mengeluarkan suara. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar lidah dan lisan kita sentiasa terpelihara kerana lemahnya kita, kurang berhati-hati apabila berbicara, dan mudah terpengaruh mendengar kata-kata yang belum tentu kebenarannya.

” Ya Allah, kurniakanlah kami lidah yang lembut basah kerana mengingti dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-Mu dan tubuh badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-Mu”. Amin
Moga anda dan saya, kita saling memperingati sentiasa, kerana kita mudah dan sering terlupa.

Bertemu lagi...

Monday, June 21, 2010

Maaf: Memberi VS Menerima

Bismillahirahmanirrahim…

Semalam saya amat sukar untuk melelapkan mata, sehingga jam tiga pagi mata saya masih terkebi-kebil. Saya tidak pasti puncanya kenapa, sedangkan sebelum ini sambil membaca pun boleh tertidur. Saya mula muhasabah diri...juga memikirkan mungkin ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada ahli keluarga atau teman rapat. Kadangkala kejadian begini berkait rapat dengan ketenangan hati dan kedamaian jiwa. Mungkinkah ada tingkah yang terlanjur atau kesilapan yang tidak disengajakan menyebabkan perasaan menjadi tidak keruan dan terganggu tidur sepanjang malam. Walau apapun, Alhamdulillah..Allah masih memberi peluang untuk saya memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri.

Ketenangan bukan boleh dibeli dan dicari tetapi ianya adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan amat perlu dihargai. Dalam melayari kehidupan sehari-hari, sudah pasti banyak keputusan yang perlu dibuat, pelbagai tindakan yang perlu diambil. Justeru ketenangan minda amat perlu dititikberatkan agar keputusan dan tindakan menjadi tepat untuk kebaikan semua yang terlibat. Bagi mendapatkan ketenangan, selain hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia juga perlu dijaga. Seandainya ada kesilapan dan kesalahan, ringankan mulut untuk memohon kemaafan. Kadangkala kita merasa hairan, sukar benarkah untuk meminta maaf? Atau rugikah kita apabila memohon maaf? Usah pertahankan ego yang tidak menguntungkan atau tidak pernah merasa diri bersalah dengan sesiapa dek perasaan hebat menguasai jiwa. Mengalah dan memohon maaf bukan tandanya lemah atau kecundang, tetapi ia menterjemahkan hati budi, indahnya pekerti kerana kelembutan hati yang dimiliki dan perasaan sayang yang bertapak di sanubari. Yakinlah..memohon kemaafan bukan bermakna kita telah tewas mempertahankan prinsip atau menyebabkan maruah tercalar kerana terpaksa merendah diri, tetapi ianya menterjemahkan nilai murni yang terpahat kukuh di dalam diri.

Adakalanya kemaafan yang dipohon tidak pula bersambut, kononnya perbuatan yang dilakukan cukup menggoreskan, walaupun darah yang mengalir sudah kekeringan dan luka yang merobek telah sembuh tetapi parutnya tetap masih ada dan kesakitan yang dirasai amat sukar dilupakan. Sukar sangatkah untuk memberi kemaafan, rugikah kita membuang dendam bagi menjernihkan keadaan, atau kita menunggu kematian menjenguk tiba barulah kita hendak melangsaikan hutang perasaan sepenuhnya dalam diri kita. Segeralah memberi kemaafan, kerana kalau ianya dibiarkan berlarutan..kesannya diri sendiri akan menderita, fikiran menjadi kusut dan emosi juga akan terganggu. Kekecewaan, kedukaan, kehampaan, kerisauan dan kepedihan sentiasa berperang di dasar jiwa..kalau sebegini keadaannya tenangkah hidup kita?

Dalam kehidupan kita amat perlu untuk saling memberi dan juga menerima. Mohonlah kemaafan apabila membuat kesilapan dan kesalahan, apatah lagi seandainya perbuatan dan tindakan serta tutur bicara kita telah menyebabkan orang lain tidak selesa. Selain itu, bersegeralah memberi kemaafan kepada sesiapa sahaja atas segala perlakuan yang mengguris perasaan kita..kita serupa, ada kelemahan dan ada kekuatan, sebab itu kita perlu saling melengkapkan. Justeru usah kita tunggu orang lain untuk memohon maaf daripada kita, berilah kemaafan walaupun tidak diminta. Ya..memang sukar untuk memaafkan, juga sukar untuk melupakan. Siapalah kita sedangkan Allah sendiri Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah SWT; “…(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahu pun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang membuat kebajikan”. (Al-Imran :134).

Anda dan saya..kita tiada beza, punya hati dan perasaan yang perlu dijaga dan dikawal selia. Marilah sama-sama kita berusaha untuk belajar memberi kemaafan tanpa dipinta kerana kita tidak mahu ketenangan dan kedamaian jiwa tercalar dek kekerasan hati kita. Kemaafan yang diberi menandakan kemenangan diri untuk melawan nafsu marah yang terpendam persis api di dalam sekam. Kalau ada kesilapan dan kesalahan mungkin yang tidak kita sengajakan, ringankan mulut untuk menuntut kemaafan agar hati merasa tenang dan lapang dan tiada lagi kekeruhan antara dua jiwa.

Ayuh bersegeralah kita..gugurkan dendam dan luka lara, manisnya persaudaraan perlu dipelihara kerana sebagai manusia kita saling memerlukan, kerana kita mudah lupa. Justeru amat penting ingat mengingati antara kita kerana fitrah manusia cintakan kedamaian dan keharmonian dan amat memerlukan kasih dan sayang. Marilah kita menadah tangan berdoa ke hadrat Allah SWT agar hati-hati kita disatukan ke arah kebaikan. “Ya Allah, perbaikilah hati-hati kami dalam kebaikan, dan perelokkanlah hubungan antara kami, dan tunjuklah kami jalan-jalan ke syurga-Mu, dan selamatkanlah kami daripada kegelapan ke Nur-Mu dan jauhilah kami daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan fitnah, sama ada yang zahir atau yang tersembunyi”. Amin..

Moga anda dan saya..sentiasa bersedia untuk memberi kemaafan dan tidak lupa juga untuk berusaha mendapatkan keampunan. InsyaAllah..ketenangan jiwa akan menjadi hak milik kita bersama.

Bertemu lagi..

Sunday, June 20, 2010

Hargai Diri: Yakin VS Percaya

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini entah kenapa, saya begitu terkenangkan kehidupan di kampus sewaktu menuntut di UiTM pada tahun 1980 hingga tahun 1983. Tiga tahun bersama-sama sahabat, jarang terpisah membuatkan hubungan menjadi begitu akrab amat sukar untuk dilupakan, sentiasa melekat dalam ingatan. Apabila kenangan mengimbau kembali, sayu rasa hati kerana kerinduan mula bertapak di sanubari dan rasanya tidak sabar untuk bertemu kembali. Alhamdulillah, seronok mendengar khabar, sahabat semua telah berjaya, sudah berkeluarga dan bahagia pula. Indahnya kenangan bersama kalian, kemesraan yang terjalin tidak pernah pudar, masih terbayang dalam ingatan susah senang seiring sejalan, demi untuk menggenggam kejayaan yang menjadi idaman.

Hasil usaha yang berterusan serta berkat kesabaran maka kita semua telah menjadi diri kita seperti apa yang ada pada hari ini. Jadi usah teragak lagi, hargailah apa yang kita miliki dan yang penting hargai diri sendiri. Kalau kita gagal menghargai diri sendiri, usah diharapkan orang lain untuk menghargai dan menghormati kita. Kadangkala entah kenapa, kita sering melihat kehebatan orang lain, tetapi kita tidak mahu mengakui bahawa kita juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kenali diri sendiri, pasti ada kekuatan yang tersembunyi, mungkin kita tidak sedari. Kesabaran, ketabahan, kemesraan, dan kerendahan hati yang kita miliki dapat membantu kita untuk menjadi manusia yang sentiasa mensyukuri terhadap apa yang kita nikmati. Ya..bersyukurlah dengan apa saja kurniaan Ilahi, nikmat-Nya tidak terhingga kerana Allah Maha Pemurah terhadap hamba-Nya tanpa mengira siapa. Firman Allah SWT; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti aku akan tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmatku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih" (Ibrahim:7).

Kita tidak perlu menjadi orang lain untuk menjadi insan yang hebat. Jadilah diri sendiri dengan berbekalkan ilmu pengetahuan dan akhlak yang terpuji, besertakan bakat, kebolehan, kepakaran dan pengalaman yang ada dalam diri, InsyaAllah diri kita akan dihormati. Yakin diri dan percayalah pada diri sendiri bahawa dalam diri kita pasti ada keunikan dan kelebihan yang tersendiri. Kita ada cara, gaya dan identiti tersendiri yang membezakan diri kita dengan orang lain. Jadi apa tunggu lagi, kenalilah diri sendiri termasuk kualiti yang ada dalam diri. Perhebatkan apa yang telah kita miliki. Potensi yang ada perlu digilapi dan seterusnya dimanfaatkan sepenuhnya agar ianya tidak terbiar begitu sahaja kerana sungguh banyak manafaatnya bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga untuk berkongsi bersama dengan orang lain.

Elakkan rasa curiga terhadap diri sendiri serta sering membandingkan diri dengan orang lain, kerana kelak perasaan kita menjadi tidak stabil dan emosi mula mengawal diri. Kesannya terhakislah keyakinan diri, semua tindak tanduk menjadi tidak kena dan tidak menjadi. Itulah akibatnya kalau kita tidak percaya pada diri sendiri. Kita mempunyai akal, kurniaan hebat daripada Ilahi..kenapa tidak digunakan untuk melihat, mendengar, merenung dan memahami serta menghayati apa yang kita miliki terhadap segala ciptaan dan anugerah Allah Yang Maha Pemberi. Justeru, perlu sentiasa berfikiran positif kerana kita bukan mengharapkan kehebatan pada pandangan manusia semata-mata tetapi yang paling utama hebat di sisi Allah Yang Maha Berkuasa. Seorang sufi telah berkata, “Biarlah aku sederhana pada pandangan orang lain, rendah pada pandangan diri sendiri, dan tinggi pada pandangan Allah “ (Petikan Ihya’ Ulumuddin).

Ya..apabila kita mempunyai keyakinan diri, bermakna kita telah menghargai diri sendiri. Kayakinan diri menyebabkan kita lebih bersemangat kerana kestabilan emosi mula tercetus dalam diri dan seterusnya bertapak kukuh di dalam hati. Kesannya, kita berterusan mempunyai kekuatan diri, bersemangat dan sentiasa bermotivasi, seterusnya dapat merasai bahawa kita layak dan mampu untuk mencapai kejayaan serta meraih kecemerlangan. Justeru anda dan saya, usah pandang rendah pada diri sendiri kelak kita akan menjadi lemah dan tidak bermaya lagi. Firman Allah SWT; “Jangan kamu merasa lemah dan berdukacita, sebaliknya kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman” (Al-Imran:139).

Anda dan saya..ayuh kita bangkit segera, yakin diri dan hargailah diri sendiri, kita boleh dan kita mampu untuk berjaya. Usah bersedih, usah berduka, bersyukurlah sentiasa kerana ada orang yang lebih derita hidupnya daripada kita. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah memelihara dan memantapkan keyakinan diri kita, mempertingkatkan darjah keimanan kita agar kita tidak mudah tergoda dan asyik dengan keseronokan dunia sahaja. Amin...

Bertemu lagi…

Saturday, June 19, 2010

Kasih dan Sayang: Ramuan Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini sebagaimana kebiasaannya pada hujung minggu, program Tanyalah Ustaz pasti saya tontoni. Sunguh menarik sekali tajuk perbincangan hari ini, iaitu berkaitan Hak-Hak Isteri. Alangkah bagusnya seandainya tajuk sebegini ditonton oleh para suami. Ya..ia boleh membantu dalam mengeratkan hubungan, kasih sayang yang seterusnya akan membuahkan kebahagiaan. Banyak pengajaran dan iktibar yang saya perolehi dengan menonton program sebegini. Pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh para isteri, dan Alhamdulillah..jawapan yang diberi amat jelas sekali. Ya..walau apapun cerita dan luahan bicara, yang penting sedia menerima pasangan seadanya di samping berusaha terus untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri disertai pula dengan saling memberi dan memaafi serta bertoleransi. InsyaAllah..rumahtangga idaman akan dikecapi.

Sekiranya terdapat sebarang kekeruhan yang menjejaskan hubungan, tanyalah pada diri sendiri masih adakah perasaan kasih dan sayang terhadap pasangan? Jika jawapannya YA..maka ambillah langkah seterusnya. Bentangkan rasa kekecewaan atau punca kemarahan dan berusahalah mencari jalan penyelesaian. Mohonlah kemaafan, usah biarkan ia berlarutan..untungnya tiada tetapi kerugian pula yang bertimpa-timpa. Seandainya diri penuh dengan perasaan kasih dan sayang, maka mudahlah kita memberi kemaafan kerana walau apa jua dugaan yang melanda, kebaikan pasangan tetap dalam ingatan. Berbeza pula kalau hati penuh dengan kebencian dan dendam kesumat, kesilapan yang kecil akan diperbesarkan, sukar sekali untuk memohon kemaafan kerana diri tidak pernah rasa bersalah dan kesalahan orang lain yang sering diungkitkan. Jadi dalam menongkah arus kehidupan, anda pasti tahu apa yang anda idamkan..jadi layarilah sebaik mungkin bersama pasangan.

Kalau sebelah pihak sahaja berusaha keras mencari kebahagiaan dan keharmonian, sedangkan pasangan pula tidak teringin lagi untuk menoleh ke belakang dan langsung tidak menghiraukan, maka usaha tersebut akan kecundang. Apa yang pasti bagi isteri, mereka ada hak untuk mendapat kasih sayang, dan tanggungjawab suami pula untuk memenuhi dan menunaikan kewajipan. Seandainya isteri melakukan kesilapan dan kesalahan, usah bertindak kasar..menggunakan sepak dan juga terajang, tetapi didiklah isteri secara beradab dan bersopan melalui tindakan sebagai pengajaran agar isteri tidak berterusan melakukan kesilapan. Kekurangan dan kesalahan isteri kalau dibiarkan dibimbangi pula akan berpanjangan. Justeru adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memberi didikan, bukan sekadar mendiamkan diri, menyimpan perasaan kerana itu bukanlah jalan penyelesaian.

Kalau jiwa dan hati kita penuh dengan kasih dan sayang, InsyaAllah..pasangan dan orang lain juga akan mudah menyayangi dan mengasihi kita. Dalam perasaan sayang, terkandung rasa belas kasihan, yang melembutkan hati dan juga pandangan dan kesannya kita sentiasa bersedia memberi kemaafan kerana kita masih ada rasa kasih dan sayang. Oleh itu kalau kita seorang pemarah, banas baran dan suka mencari kesalahan orang, bersegeralah mengubah tabiat kerana alangkah indahnya hidup dengan penuh kasih sayang bukannya dengan perasaan penuh kebencian. Kalau usaha tidak berhasil, mohonlah pertolongan Allah Yang Maha Esa..menadah tangan berdoa sentiasa agar kehidupan kita berlimpahan dengan rahmat, kasih sayang dan kemesraan. Kelembutan tutur bicara dan kahalusan budi disertakan pula dengan akhlak terpuji akan melengkapi usaha ke arah mewujudkan keluarga bahagia. Dalam rumahtangga perbezaan darjat, pangkat dan kuasa bukannya penanda aras kepada ketenangan, kebahagian, keharmonian dan kesejahteraan, tetapi saling menghormati dan menghargai merupakan ramuan yang perlu diuli agar ianya sebati barulah terasa nikmatnya kurnian Ilahi.

Adalah sukar kalau kita mengharapkan orang lain untuk berubah, kenapa tidak kita mulakan dahulu melakukan perubahan demi kebaikan. Sebagai isteri, kadangkala kita mengharapkan suami untuk berubah tetapi diri sendiri tidak sanggup melakukan perubahan. Kenapa kita tidak mulakan, turuti kehendak suami selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam...dengan izin Allah moga kasih sayang suami semakin melimpah ruah. Firman Allah SWT; “Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum hingga mereka sendiri yang merubahnya” (Ar-Ra’du: 11).

Begitu juga halnya dalam menjalinkan persahabatan untuk berkongsi perasaan, pilihlah sahabat yang dapat membantu, bukannya dengan mereka yang membawa kita ke jalan yang lebih berliku kerana tidak dapat dinafikan kita ada kelemahan, senang terpengaruh dengan pujukan dan rayuan. InsyaAllah..bermula dari hari ini dan seterusnya, marilah sama-sama kita berusaha berubah ke arah kebaikan. Kesilapan dan kesalahan yang lepas usah diulang, kepada Allah kita mohon keampunan dan kesyukuran kerana tidak membiarkan kita berterusan hanyut dan leka dengan keseronokan dunia yang tiada noktahnya.

Anda dan saya..begitulah liku kehidupan, bersabarlah dengan ujian kerana di penghujungnya ada kemanisan. Firman Allah SWT; “Maka bersabarlah, sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa” (Hud:49). Moga jiwa dan hati kita terisi dengan perasaan penuh kasih dan sayang, terhindar daripada rasa kebencian. Setinggi harapan agar kita tergolong dalam kalangan orang yang sabar dan moga hidayah Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita. Amin...

Bertemu lagi…

Friday, June 18, 2010

Bersama Menuju Kecemerlangan

Bismillahirrahmanirrahim…

Kebiasaannya seawal jam 4.00 pagi tanpa memerlukan jam loceng saya telah terjaga daripada tidur kerana sudah terbiasa. Bangun awal pagi menyebabkan kita tidak tergopoh gapah untuk menyediakan sarapan serta menyiapkan diri ke tempat kerja. Sebenarnya puas rasa di hati apabila dapat menyediakan sarapan pagi untuk keluarga sekurang-kurangnya dapat juga mengalas perut sebelum ke sekolah dan ke tempat kerja. Beginilah tugas rutin saya sehari-hari, segalanya perlu diuruskan sendiri, walaupun penat tanggungjawab terhadap keluarga tidak boleh diketepikan kerana saya beranggapan ianya sebagai tugas hakiki. Begitulah secebis tugasan rumahtangga, tugasan pejabat lain pula ceritanya.

Dalam hidup ini, kita bukan sahaja pemimpin kepada orang lain, tetapi adakalanya juga kita perlu dipimpin oleh orang lain. Walau bagaimanapun adalah amat bermakna kalau kita juga berusaha untuk memimpin diri sendiri, ambil sedikit masa untuk berfikir dan memikirkan tentang apa yang berlaku pada hari ini. Pastikan hari ini lebih baik dari semalam, dan esok berazam untuk melakukan perkara yang lebih baik dan mendatangkan faedah daripada hari ini. Kebiasaanya permulaan awal pagi akan menterjemahkan emosi dan suasana yang bakal kita berdepan sepanjang hari. Oleh itu kalau pada awal pagi sudah dimulakan dengan perasaan kurang senang, murung, marah dan berantakan, maka petanda akan wujud unsur ketidaktenangan dan kecelaruan sepanjang hari itu. Justeru, berhati-hati dalam menyambut permulaan hari, pastikan ianya berisi dengan perbuatan dan tindak tanduk yang boleh membawa kesan terhadap ketenangan hati dan perasaan.

Ayuh kita sambut awal pagi dengan ubat penenang jiwa iaitu sebagaimana Firman Alah SWT; “Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun Tahajjud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu, moga-moga Allah akan mengangkatmu ke tingkat yang terpuji”. (Al-Isra’:79). Ya..menunaikan solat Tahajjud kebiasaanya tiada siapa yang tahu, hanya Allah dan kita sahaja, tidak mungkin ada yang nampak kerana ianya dilaksanakan sewaktu orang lain sedang nyenyak tidur. InsyaAllah..ia dapat menolong kita untuk mendekatkan diri dengan Allah. Untuk bangun tahajjud pastikan sebelum tidur pasang niat terlebih dahulu dan tidur pula sebelum jam 12.00 malam kerana ia dapat membantu kita untuk bangun lebih awal. Selain itu, tidur qailullah iaitu tidur sekejap antara 10 hingga 15 minit sebelum masuk waktu zuhur juga mampu menjadi penawar kecergasan untuk bangun malam bertahajjud. Indah sungguh permulaan seawal pagi dengan Tahajjud disambung pula dengan zikir Al-Matsurat selepas solat subuh, sebagai bekal untuk meneruskan tugasan seharian agar mendapat petunjuk Allah yang berterusan, justeru dapat menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan.

Seterusnya, permulaan pertemuan pada waktu pagi dengan sahabat pula diserikan dengan salam, agar keseluruhannya memperoleh kesejahteraan dan kedamaian. Begitulah hebatnya kesan salam apabila disebarkan, apatah lagi apabila disertakan dengan senyuman membuatkan hati merasa lapang kerana manisnya persahabatan dan persaudaraan Islam. Memberi salam dan menjawab salam, perlu sentiasa dijadikan amalan. Usah memilih orang untuk diberikan salam. Berilah salam kepada sesiapa sahaja yang kita temui tanpa mengira pangkat dan juga status serta tempat dan juga masa kerana ini bermakna kita sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda; “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, sambungkanlah hubungan persaudaraan, solatlah ketika manusia lain tidur (qiammullail), kamu akan masuk ke syurga Tuhanmu dengan selamat" (Riwayat al-Tirmizi).

Betapa hebatnya jika amalan salam ini menjadi satu budaya dalam organisasi dengan pemimpin menjadi contoh teladan kepada orang yang dipimpin dan dibalas mesra pula oleh orang yang dipimpin. Lihatlah kesannya nanti, akan suburlah perasaan saling hormat menghormati dan InsyaAllah..akan berkuranganlah konflik dalam organisasi. Maka kenapa tidak kita mulakan sahaja sekarang atau pada hari ini. Tahajjud, Al-Matsurat, dan salam serta solat lima waktu jangan dilupakan. InsyaAllah..kita akan mendapat ketenangan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Anda dan saya..kita memang akui kita mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan, tetapi kita sentiasa berazam dan bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman, disenangi kawan, dan sentiasa berusaha untuk membuat kebajikan dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. InsyaAllah..moga Allah kabulkan. Amin..

Bertemu lagi…

Thursday, June 17, 2010

Kenali Siapakah Siapa?

Bismillahirrahmanirrahim..

Semalam saya bersama teman berbincang untuk mengadakan jamuan perpisahan bagi meraikan seorang rakan yang akan bertugas di daerah yang lain. Kami agak buntu kerana dalam tempoh masa yang singkat kami kurang pasti siapa yang dapat membantu. Teringat saya akan seorang rakan yang terkenal dengan kemahiran menguruskan jamuan, pandai memasak dan ringan tulang. Alhamdulillah..tepat sekali, apabila disuarakan orang yang berkenaan mukanya nampak bercahaya kegembiraan kerana itulah antara urusan yang beliau minat untuk kendalikan, maklumlah itu memang kebolehannya.

Begitulah mudahnya apabila kita mengenali siapa yang berada di sekeliling kita. Amat baik sekiranya kita dapat mengenali akan kekuatan, kelebihan dan kelemahan mereka, apa yang disuka, sama ada orangnya gemar bercerita atau berjenaka, atau panas baran jika tidak kena gaya. Sekiranya kita lebih mengenali siapakah orang di sekeliling kita, ia akan membantu kita mudah membawa diri untuk mendekatkan diri dengan mereka. Pastinya pendekatan kita mesti berbeza dengan orang yang pendiam yang tidak suka bersosial atau dengan orang yang peramah yang sentiasa berbicara. Begitu juga halnya dengan mereka yang lembut tutur kata atau dengan yang kasar sekali apabila berkata-kata, tentulah lain sekali cara gaya kita mendekati mereka.

Kenapa amat penting untuk kita mengenali mereka? Ya..selain menjaga hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia tidak kurang amat penting untuk dipelihara. Ya..sesungguhnya manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT semata-mata (Sura al-Dzariyat 51:56). Ibadat asas dan sunnah, hablumminallah iaitu hubungan dengan Allah dan hablumminannas iaitu hubungan sesama manusia adalah termasuk dalam ruang lingkup ibadat yang bertujuan untuk mendapat dan menghasilkan kebaikan di dunia ke arah mendapat keredhaan Allah SWT sebagai bekalan di hari muka.

Dalam organisasi begitu juga, alangkah baiknya sekiranya ketua mengenali siapa anak buah yang berada di bawah kepimpinannya. Sebagai ketua elok sekali kalau dapat menyelami akan kemahiran, kebolehan, keupayaan dan kemahuan yang ada pada kakitangan di bawah jagaanya. Natijahnya, mudahlah untuk pengagihan tugas yang bersesuaian dan bertepatan dengan ciri individu dalam organisasi. Inilah yag dinamakan kepimpinan mengikut situasi yang memerlukan ketua benar-benar mengenali siapa yang dipimpin agar tanggungjawab kepimpinan dapat dilaksanakan dengan berkesan, bijak dan cekap sekali. Ya..bagi kakitangan yang suka mengelak, sentiasa mencuri masa dan bijak pula bermain kata-kata serta kelihatan sibuk memanjang tidak kira masa, sudah pasti pemantauan yang lebih perlu diberikan agar mereka sedar bahawa tindak tanduk mereka dalam pemerhatian, hanya tunggu masa untuk ditegur dan seterusnya diambil tindakan. Berbeza pula dengan kakitangan yang ternyata komited, masa bekerja dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyempurnakan tugasan yang diamanahkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, sudah pasti ketua merasa amat lega kerana kakitangan sebegini boleh diharapkan, seterusnya diyakini dan dipercayai untuk mendelegasikan tugasan.

Pengetahuan dan pengalaman saja belum tentu mencukupi, kalau tidak disertakan dengan peribadi berkualiti dan akhlak terpuji serta diiringi dengan kesungguhan dan dedikasi. Sebagaimana dapat ditafsirkan berdasarkan ungkapan yang berbunyi begini, “People don’t care how much you know, until they know how much you care”. Ya..tindakan kita menterjemahkan sejauh manakah kita memanfaatkan ilmu yang kita ada, jadi perlu menjadi orang yang peka, prihatin dan sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Sehubungan itu, sebagai pemimpin sudah semestinya kita memerlukan orang yang dipimpin untuk bersama-sama di atas satu landasan yang lurus kerana misi, visi dan matlamat adalah sama dan serupa. Justeru..kenalilah siapakah siapa kakitangan kita, agar mudah untuk menawan hati-hati mereka. InsyaAllah..kesannya mereka akan ikhlas untuk terus bekerja bersama-sama kita kerana kepuasan kerja dapat dinikmati apabila kepakaran, kemahiran, kebolehan dan keupayaan mereka dihargai.

Anda dan saya..seandainya kita berperanan sebagai pemimpin, selamilah tingkah dan perilaku anak buah kita berdasarkan pemerhatian, penyeliaan dan hasil kerja yang mereka berikan. Pastikan tiada yang menjadi parasit atau penumpang, atau sekadar memberi arahan kepada orang lain untuk melaksanakan tugasan. Sebaliknya, kalau kita adalah orang yang dipimpin, berilah kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada ketua atau pemimpin, bantu ketua untuk menyelesaikan tugas dengan sempurna agar kepercayaan dan keyakinan ketua kepada kita tidak tergugat walaupun ada orang lain yang cuba mengena.

InsyaAllah..marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar dilindungi daripada perkara-perkara yang menyebabkan rezeki yang kita perolehi menjadi tidak halal dek kerana kelalaian dan kecuaian kita, disebabkan tidak amanah dan bertanggungjawabnya kita dalam melaksanakan tugas. Moga kita di bawah lembayung rahmat Allah sentiasa. Amin...

Bertemu lagi...

Wednesday, June 16, 2010

Kenapa Kita Sering Terlupa?

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini asyik sekali berbincang dan berdiskusi hinggakan tidak saya sedari jam sudah menghampiri pukul lima petang. Yang penting perlu solat Asar terlebih dahulu sebelum melangkah pulang, kerana bimbang juga berdepan dengan kesesakan lalu lintas tanpa diduga..maklumlah perjalanan agak jauh mencecah 60 kilometer. Petang ini kebetulan pula saya ada temu janji dengan seorang teman yang sudak agak lama tidak bersua muka, tetapi saban hari mendengar suara kerana sentiasa berhubungan melalui telefon untuk mendengar khabar berita. Alhamdulillah saya tidak terlupa, kalau tidak pasti sahabat saya merasa sangat hampa kerana orang yang ditunggu tidak kunjung tiba.

Ya..terfikir juga saya kenapa kita sering terlupa, begitu mudah menabur janji tetapi sukar untuk dikota. Yang peliknya, manusia memang suka berjanji walaupun kadangkala sendiri maklum tidak mungkin akan dapat dipenuhi. Kalau ikrar dan janji dengan Allah kita boleh lupa, apatah lagi dengan janji sesama manusia..mungkin kita buat sambil lewa sahaja. Setiap hari sekurang-kurangnya lima kali kita bersaksi dengan Allah SWT dalam solat lima waktu iaitu “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah semata-mata”. Ya..janji, lafaz dan ikrar senang sekali diluahkan, tetapi kita tetap dan masih lupa...persoalannya ialah kenapa dan mengapa? Ikrar dengan Allah menjadi sia-sia kerana tanggungjawab sebagai khalifah Allah gagal kita laksanakan kerana kita sering terlupa, tetapi ingatlah..Allah tidak pernah lupa. Lupa kepada Allah akan menambah kerugian, menghilangkan nikmat dan menghalangi pengabdian, dan kesannya akan menyebabkan kekesalan yang tidak berkesudahan.

Kalau di pejabat, kita juga sering leka. Mesyuarat kalau bermula jam 9.00 pagi, jam 9.30 baru kita menunjukkan muka, bukan kerana apa tetapi sekali lagi jawapannya kita terlupa. Kenapa kita mudah lupa? Atau mungkin disebabkan kita tidak mementingkan masa, tiada disiplin diri dan mungkin juga kerana terlalu mementingkan diri sendiri. Pernahkah kita terfikir, bagi mereka yang menepati masa, alangkah bosannya mereka kerana orang yang ditunggu tak juga nampak muka, kalau ditanya jawabnya on the way saja, kadangkala rasa nak marah pun ada. Apabila berjanji tidak ditepati kelak ianya memusnahkan diri. Pasti ramai orang yang tidak percayakan kita lagi dan akhirnya tinggallah kita seorang diri kerana kita tidak boleh diharap..sering terlewat dan terlambat dan alasannya mudah sahaja, ‘saya memang terlupa’.

Kalau meminjam dan berhutang, lain pula kisahnya. Hendak membayar dan mengembalikan balik amat sukar dan perit sekali, apabila ditanya katanya terlupa selepas itu masih buat tidak tahu juga. Kenapa sering memberi alasan terlupa, tidakkah kita bimbang kelak nanti Allah benar-benar kabulkan kata-kata kita, menyebabkan kita akan terus menjadi lupa dan tidak tentu hala. Ya..hak orang jangan jadikan hak kita, tetapi kalau orang memberi dapatlah kita merasa. Elakkan diri kita daripada mencuri masa orang lain disebabkan angkara kita yang suka berlengah dan tidak menepati masa, menyebabkan orang lain yang kehilangan masa dengan sia-sia kerana menunggu kehadiran kita.

Saya dan anda..hati-hati apabila berjanji, elakkan daripada terlalu mudah mengungkap janji, gagal dikota menyebabkan tercalarlah harga diri, kerana kepercayaan dan keyakinan orang lain terhadap kita sudah tiada lagi kelak kita juga yang akan rugi. Apabila kita gagal memenuhi janji, maka orang lain tidak menghormati kita lagi kerana lumrahnya manusia berpegang kepada janji, sebab itulah ia mesti ditepati dan dipenuhi.

Anda dan saya..usah membuatkan orang lain kecewa kerana sifat alpa dan lalai kita. Bagaimana pula perasaan kita, kalau orang lain pula sering mengecewakan kita kerana janji palsu semata-mata, tentu kita akan marah sekali kerana kita menaruh harapan tinggi sepenuh hati agar apa yang dijanjikan ditepati. Apabila berjanji kalau gagal dipenuhi pasti kita hampa dan kecewa dan seterusnya tidak mempercayai sahabat kita lagi. Kesannya, hubungan yang terjalin akan tercalar, kejernihannya bertukar menjadi keruh dan kesuciannya akan tercemar.

Marilah sama-sama kita berdoa moga kita tidak tergolong dalam kalangan yang lalai dan mudah lupa, berusahalah menepati masa, kotakanlah janji yang dilafazkan, dan berfikirlah sebelum mengungkap kata-kata serta janji setia kerana dibimbangi tidak tertunai kelak buruk padahnya nanti. Usah kita biasakan diri daripada memberi alasan kononnya saya terlupa kerana lama kelamaan mungkin kita akan terjerat sendiri. Marilah sama-sama kita tadahkan tangan berdoa kehadrat Allah SWT agar tutur kata kita sentiasa terpelihara dan tindak tanduk kita sentiasa terjaga kerana kita ada Allah Yang Maha Mengetahui hatta apa saja yang terdetik di hati kita. “Ya Allah, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan perintah-Mu, Ya Allah.” Amin...

Moga anda dan saya..sentiasa berusaha untuk mendisiplin dan memimpin diri sendiri, amanah apabila berjanji, agar diri dihormati, diyakini dan dipercayai.

Bertemu lagi…

Tuesday, June 15, 2010

Mesyuarat: Keperluan VS Tuntutan

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini saya tertarik untuk berkongsi tentang persediaan diri dalam setiap situasi yang dihadapi. Dalam melaksanakan tugas kita perlu sentiasa bersedia terhadap segala kemungkinan yang kadangkala kita sendiri tidak dapat menduga. Adakalanya sewaktu leka menyiapkan tugasan yang sedia ada, tiba-tiba memo tiba di atas meja…kerana perlu segera untuk bermesyuarat dengan notis yang begitu singkat. Apakan daya, tugasan yang sedang dibuat perlu ditinggalkan, ertinya kerja yang sedia ada perlu ditangguhkan dan perlu disambung keesokan hari pula, itupun kalau ada waktu yang mengizinkan dan tiada tugasan urgent yang patut disiapkan dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Semalam rakan saya mengeluh, menceritakan perihal ketuanya apabila mengendalikan mesyuarat sewaktu bertugas luar dari pejabat. Katanya mesyuarat berakhir hampir jam 7.00 petang, seolah tiada perancangan dalam pengendalian, tidak berfokus dan kadangkala menyimpang daripada tujuan menyebabkan banyak masa yang terbuang sedangkan masih banyak lagi urusan yang perlu disempurnakan. Beliau menjelaskan kekesalan di hati, ahli mesyuarat bergegas keluar untuk menunaikan solat Asar, maklumlah masa yang ada hanya tinggal sedikit sahaja kerana tidak sampai setengah jam lagi waktu maghrib akan kunjung tiba. Ya..memang kita berbincang dan bermesyuarat kerana melaksanakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab tetapi kalau asyik bermesyuarat…jangan sampai kita terlupa terhadap tanggungjawab sebagai hamba Allah kepada Yang Maha Esa. Bukan kerana apa, kerana kita mengharapkan setiap perbincangan dan keputusan yang diambil akan mendapat petunjuk dan keberkatan agar Allah mempermudahkan segala urusan. Ibadat solat usah diambil mudah, sebagai ahli mesyuarat, pandai-pandailah mencelah..tidak takutkah kita dengan kemurkaan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Perkara pertama yang dihitung ialah solat, jika selesai solatnya barulah dihitung amalannya yang lain, jika solatnya tidak selesai, maka amalan lainnya menjadi tidak bermakna”.

Sebagai pemimpin kita bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpin. Kuatkah kita untuk menanggung dosa orang lain kerana mengheret mereka untuk bersolat pada penghujung waktu atau mungkinkah juga sampai tertinggal waktu. Seandainya solat dilaksanakan pada penghujung waktu, bimbang sekali entahkan khusyuk entahkan tidak, kerana bergegas mengejar waktu, kesannya hilang terus nikmat beribadat maka fadhilat solat gagal dicapai. Firman Allah SWT; “Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat” (Al-Baqarah:45). Ya..pertolongan Allah amat kita harapkan agar perkara yang dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat merupakan keputusan yang terbaik yang dapat kita hasilkan. Ya..segalanya banyak bergantung kepada pengerusi, bagaimana untuk mengemudi perjalanan mesyuarat agar selamat sampai ke destinasi dalam tempoh masa yang ditetapkan, kerana pengurusan masa amat perlu dititikberatkan agar mesyuarat tidak meleret daripada tujuan asal. Begitulah besarnya tanggung jawab apabila kita dilantik sebagai pengerusi untuk mengendalikan mesyuarat, usah mengambil mudah kerana di situ ada tanggungjawab dan amanah yang turut dinilai bukan sahaja oleh ahli mesyuarat tetapi yang penting oleh Allah Yang Maha Mengetahui akan apa yang tersurat dan juga yang tersirat.

Sedikit panduan untuk dikongsi tentang mengurus mesyuarat dengan berkesan yang kedapatan dalam Majalah Solusi yang menjadi bahan bacaan kegemaran saya mutakhir ini. Ya..perkara pertama yang perlu dilakukan..tanyalah diri sendiri, adakah mesyuarat ini memang diperlukan, atau adakah cara lain untuk berkongsi maklumat dan membuat keputusan supaya masa dapat dijimatkan; kedua jemputlah mereka yang benar-benar penting dan benar-benar terlibat sahaja, jadikan mesyuarat kita sesuatu yang ringkas tetapi mencapai matlamat; ketiga selaraskan mesyuarat dan pengerusi perlu berperanan sebagai koordinator iaitu mampu berhadapan dengan pelbagai perselisihan pendapat dan idea; keempat agenda mesyuarat perlu diperjelaskan agar skop perbincangan tidak tersasar atau menyimpang; kelima urusan mesyuarat perlu teratur, perbincangan difokuskan kepada satu agenda dalam satu-satu masa agar perbincangan sentiasa berada di atas landasan yang tepat dan mencapai matlamat yang diharapkan; keenam usah biarkan mesyuarat dikuasai oleh ahli tertentu sahaja, kerana mereka yang diam belum tentu tidak mempunyai idea yang bernas jadi sebagai pengerusi perlu berusaha meneroka, agar ahli tidak berdiam diri saja; ketujuh buat kesimpulan dengan jelas dan tepat agar ahli mesyuarat semua jelas tentang kata sepakat yang telah dicapai dalam mesyuarat; dan akhirnya mohonlah petunjuk daripada Yang Maha Esa agar keputusan yang dicapai sebulat suara menjadi keputusan yang terbaik dan yang paling tepat agar tindakan yang seterusnya bakal diambil akan mendapat keberkatan yang berpanjangan.

Alhamdulillah..demikianlah indahnya bermesyuarat dan sesungguhnya amalan bermesyuarat ini memang dituntut dalam Islam untuk mendapat kata sepakat dalam membuat sesuatu keputusan. Walau bagaimanapun, bagaimana kita mengendalikan mesyuarat itulah yang memberi kesan kepada keberkatan dan keredhaan Allah kerana kita tidak dapat nafikan pertolongan Allah amat kita harapkan agar dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan hidayah dalam membuat tindakan dan keputusan.

Anda dan saya, berusahalah merancang sebelum sesuatu mesyuarat dikendalikan. Biarlah jelas tujuan dan rapi persediaan agar pengurusan masa mesyuarat berjalan dengan tertib dan masa yang ada dimanafaatkan sebaik mungkin bukan bersembang atau membincangkan perkara yang tidak penting. Masa amat berharga, apabila masa berlalu pergi, usah diharapkan kita dapat berpatah balik…Justeru hargai masa kerana kehilangannya tidak mungkin dapat diganti dan dimiliki lagi.

Bertemu lagi...

Monday, June 14, 2010

Kenapa Gersang Cinta di Hati?

Bismillahirrahmanirrahim…

Hidup ini tidak selalunya indah. Memang kita mengharapkan panas sampai ke petang tetapi rupanya turun pula hujan di tengah hari. Kadangkala tiada gelombang, tiada angin tiba-tiba tsunami pula yang melanda. Begitulah ertinya sebuah kehidupan ada pasang surutnya, sekali banjir..tepian pantai turut berubah. Ya begitulah lumrahnya kehidupan, yang dirancang mungkin tidak akan berlaku, yang diharapkan juga mungkin tidak akan kesampaian kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Perjalanan dan pengalaman hidup itulah yang akan membantu mendewasakan kita, agar kita terus tabah untuk mendayung sampai ke kuala.

Petang semalam, saya dikunjungi oleh seorang teman yang begitu akrab semasa sama-sama menuntut ilmu di menara gading. Kunjungan beliau yang tidak disangka-sangka sungguh membuatkan saya teruja, maklumlah sudah lama tak bersua muka, apatah lagi untuk bertentang mata. Kedatangannya saya sambut mesra, walaupun di benak fikiran timbul persoalan, apakah gerangan membawa beliau ke mari kerana tempat tinggalnya jauh sekali melangkau lima jam perjalanan untuk sampai ke sini. Sambil bersimpuh sahabat saya mula bercerita, meluahkan perasaan terbuku di dada bukan kerana apa..tetapi kerana memohon nasihat dan pandangan apa yang patut beliau lakukan kerana diri beliau cukup terasa bahawa suami tingkahnya sungguh berbeza sama sekali, sudah tidak semesra dulu, gurau senda sudah tiada lagi, percakapan terbatas dan senyuman pula jarang berbalas. Entah apa puncanya, katanya dia sendiri tidak mengerti dan kurang pasti. Jelasnya lagi, dulu suaminya tidak sebegini, apabila beliau merajuk cepat sekali suami memujuk, walaupun kesalahan berpunca daripada dirinya..suami sentiasa mengalah tanpa diminta dan disuruh. Ya..mungkin kerana itu sahabat saya tidak pernah merasa bersalah kerana tindak tanduknya sebelum ini suami tidak kesah kerana sangkanya dirinya begitu dicintai dan disayangi menyebabkan suami langsung tidak berani memarahi.

Ya..perubahan yang berlaku pasti ada puncanya, kesilapan sendiri perlu dicari, mungkin kedapatan tempang layanan yang diberi, bertingkah laku pincang menyakitkan mata memandang atau mungkin dek kerana tutur kata dan bicara yang mengguriskan hati membuatkan suami sahabat saya terasa hati kerana merasakan dirinya tidak dihargai dan dihormati sebagai pemimpin rumahtangga yang bergelar suami. Apabila perasaan sudah terluka, pasti hubungan menjadi hambar dan tidak ceria, kesannya kemesraan terhakis sudah dan kalau dibiarkan mungkin akan menjadi barah. Sebagai isteri usah terlalu keras hati, selagi suami tidak mengabaikan keluarga, nafkah dijaga dan tunjuk ajar tidak pernah dilupa, demi kebahagiaan beralahlah saja. Ya..yakinlah sahabatku, sebagai isteri kita tidak akan rugi. Justeru mudah saja, mohonlah kemaafan daripada suami, katakan kesilapan yang lalu tidak akan berulang lagi, kerana sebagai isteri keredhaan suami mengiringi keredhaan Ilahi. Marilah kita berkongsi kata-kata seorang suami buat isterinya, mungkin boleh dijadikan panduan dalam melayari bahtera rumahtangga:

Maafkan aku, kan abadi cintaku

Janganlah kamu imbangi kemarahanku

Jangan kau pukul perasaanku

Kau tidak tahu rasanya orang kehilangan

Jangan kau suka mengadu

Cintaku akan hilang

Kulihat singa di hati ini

Jika disakiti ia akan lari.

(Petikan Imam Al-Ghazali-Mukashah Al-Qulub)

Ya benar sekali..dalam kehidupan berumahtangga, saling hormat menghormati perlu ada, perlu berani bersuara mencurah rasa untuk memahami dan saling mengenali agar mudah terungkai segala kekusutan di hati. Sekiranya timbul kekeruhan atau syak wasangka, usah biarkan ia berlarutan dan berpanjangan, segeralah mencari jalan penyelesaian sekiranya masih ada perasaan sayang. Untuk para suami, kalaupun sayang amat kepada isteri, kesilapan isteri jangan didiamkan sahaja..kelak diri sendiri yang merana apabila isteri tidak lagi menghormati suami, boleh berbicara sesuka hati kerana merasakan dirinya amat dicintai dan tidak mungkin suami mencari pengganti.

Kepada sahabat saya berpesan, mengaku sahaja sekiranya ada melakukan kesilapan dan kesalahan..kerana kelak nanti suami semakin sayang, maka rumahtangga akan kembali aman. Tawanlah hati suami dengan penuh cinta dan kasih sayang, dihiasi pula dengan senyuman dan kelembutan, kerana kecantikan semata-mata tanpa disaluti budi dan pekerti yang mulia akan menjadi sia-sia ibarat barangan tiruan, cantik di luar tetapi di dalamnya tiada berkualiti dan tidak berharga...menyebabkan ia gagal bertahan lama.

Harapan saya, moga kehidupan sahabat kembali menemui ketenangan, yang keruh kembali dijernihkan..yang penting mengakui kesilapan. InsyaAllah...keberkatan hidup yang kita harapkan dan keredhaan suami yang kita perlukan demi mendapatkan keredhaan Allah Yang Maha Penyayang. Anda dan saya, moga diri kita sentiasa di bawah lindungan dan peliharaan Allah, moga sebarang ujian yang menimpa dapat ditempuhi dengan penuh tabah dan sabar kerana InsyaAllah..kelak kemanisan dan kelazatannya akan dapat dinikmati jua. Amin.

Bertemu lagi…

Sunday, June 13, 2010

Warkah Buat Anak Ummi (3)

Bismillahirrahmanirrahim...

Ketemu sekali lagi anak-anak ummi penyejuk mata dan pendamai hati, yang sentiasa berada dalam ingatan dan melekat di sanubari. Ada sesuatu yang ingin ummi sampaikan buat pedoman anak ummi sekalian. Alhamdulillah...ummi masih diberi kekuatan untuk mencoret sesuatu sebagai kenangan sebelum ummi dijemput pergi mengadap Tuhan. Ya anakku, selagi Allah terus mengizinkan kehidupan ini, ummi berusaha untuk memanfaatkan setiap saat sebaik mungkin agar berterusan dapat berbakti dan berbudi kepada sesiapa yang masih memerlukan dan menghargai coretan dan bicara ummi, ianya hanya dapat difahami oleh mereka yang mengerti.

Anak ummi yang kesemuanya ummi sayang, semalam ummi berbincang bersama teman erti hidup dan kehidupan serta cabaran yang bakal mendatang terutama bagi anak-anak remaja sekalian kerana dunia sekarang tanpa sempadan, dunia siber menjadi pertaruhan. Sekarang internet dan facebook menjadi kegemaran, laman bersosial untuk mencari teman dan kenalan. Ramai teman tidak mengapa tetapi pastikan ia bukan sekadar untuk suka-suka kerana akibatnya banyak masa yang menjadi sia-sia kerana asyik melayari facebook tanpa mengira waktu dan ketika. Alhamdulillah..ummi juga tidak terkecuali melayari facebook milik anak-anak ummi, bukan tujuan ummi untuk menyelidiki tetapi sekadar untuk bersama dalam aktiviti yang anak-anak ummi ceburi.

Wahai buah hati ummi sekalian..dalam melayari facebook, ingin sekali ummi berpesan..sila berhati-hati dalam penulisan, menggunakan perkataan biarlah bersopan, usah segala rahsia kehidupan ingin dikhabarkan, simpanlah sedikit untuk dijadikan sempadan..bimbang ianya akan menjadi senjata yang memakan tuan. Ya..semua apa yang anak coretkan dapat dibaca dan menjadi tatapan oleh mereka yang tidak berkenaan. Oleh itu suka ummi ingatkan, adalah lebih baik mencoret sesuatu yang bermanfaat, agar perkongsian ilmu dan pengalaman secara sihat dapat diamalkan. Kadangkala ummi termalu sendiri, membaca sesetengah catatan anak remaja masa kini, bahasa yang digunakan sinis sekali seolah-olah tiada ilmu yang dipelajari. Pesanan ummi lagi..usah terlalu banyak berkongsi gambar peribadi..apatah lagi gambar yang tidak menutup aurat, terdedah di sana sini sehingga gagal dipelihara maruah diri, tanpa belas kasihan terhadap ibu bapa yang selama ini amat berbangga dan mempercayai kerana menjangkakan anak-anak begitu bersopan, rupanya lain pula cerita di belakang.

Ya anak-anakku..facebook, blog, twitter, dan myspace tidak salah sekiranya digunakan sebaik mungkin. Ia juga merupakan satu nikmat agar silaturrahim dapat dipanjangkan dan ukhuwwah fillah dapat diperhebatkan. Jadilah ia sebagai media untuk saling berutusan menegakkan kebenaran, saling nasihat menasihati demi kesejahteraan agar pengalaman yang ditempuhi dapat dikongsikan oleh orang lain untuk dijadikan pedoman dan juga panduan. Ya anakku sayang..kenapa tidak dimanfaatkan facebook untuk tujuan pembelajaran di samping bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran, mengeluarkan idea dan sumbangsaran bagi membantu mengatasi kekusutan dan kekeliruan agar sebarang masalah dapat diketemukan dengan jalan penyelesaian. Ummi tidak mahu nikmat yang ada akan mendatangkan keburukan buat diri anak-anak ummi sekalian. Di sini, sepotong syair yang begitu menarik ingin ummi kongsikan kerana ianya mengandungi penuh pengertian, dan memberi kita banyak pengajaran. Syairnya berbunyi begini;

Betapa banyak nikmat menjadi musibah bagimu,

Dan kemudahan mengundang bahaya untukmu,

Bersabarlah selalu atas perkara yang menimpamu,

Sungguh setiap perkara ada akibat,

Setiap kesulitan ada jalan keluar,

Di setiap kejernihan ada juga kekeruhan.

(Petikan Penenang Jiwa).

Ya anak-anakku..segala nikmat kemudahan yang dimilki, usah digunakan sesuka hati kerana dibimbangi akibatnya tidak terperi, merana hidup disebabkan kesilapan sendiri. Jadikan kesilapan dan pengalaman yang dilalui oleh orang lain sebagai iktibar untuk diambil pengajaran agar kesilapan yang sama tidak anak-anak semua lakukan agar ianya tidak terus berulang.

Akhir kata ummi berpesan..gunakan mata pena dan ketajaman akal fikiran untuk menulis dan membuat catatan, elakkan daripada unsur kejian dan umpatan lebih-lebih lagi terhadap saudara sesama Islam kerana telah dikhabarkan berita sejarah Islam: Seorang perempuan pendek telah datang kepada Rasulullah SAW untuk sesuatu keperluan. Setelah dia keluar, Aisyah berkata, “Wah! Pendeknya dia", Segera Rasulullah SAW berkata, ”Engkau telah mengumpat wahai Aisyah!” telah bersabada Rasulullah SAW; “Jangan kalian mengumpat. Dalamnya ada tiga keburukan; Doanya tidak dikabulkan, kebaikannya tidak diterima dan akan ditimpa kepadanya keburukan orang yang diumpat”.

Doa restu moga anak-anak ummi sentiasa memperoleh ketenangan, berhati-hati dalam tindakan, sentiasa membuat perancangan, sekiranya tersasar dari landasan segeralah kembali ke pangkal jalan dan InsyaAllah...hidup anak-anak ummi akan berterusan aman tanpa gentar dengan ujian kerana dengan izin Allah jua anak-anak akan memperoleh kekuatan dan kesejahteraan. Amin...

Bertemu lagi…

Saturday, June 12, 2010

Warkah Buat Anak Ummi (2)

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum anak-anak ummi sekalian,

Apa khabar permata hati ummi pada pagi ini? Ummi doakan anak ummi sentiasa memperoleh kesejahteraan dan di bawah perlindungan Allah Yang Maha Berkuasa sentiasa. Syukur Alhamdulillah...kita masih dapat bersua lagi kerana masih dipanjangkan umur untuk meneruskan kehidupan pada hari ini...dan esoknya kita belum pasti entah dapat ketemu lagi. Hari ini kita bercuti hujung minggu..kebetulan cuti persekolahan pula, dan anak gadis remaja ummi nun jauh di Terengganu kerana bercuti bersama keluarga di kampung.

Ya anakku sayang, di mana saja anak-anak berada maruah keluarga perlu dijaga dan dipelihara. Jagalah tutur dan kata, usah berlebihan gurau senda kerana bimbang anak-anak terlupa dan terleka sehingga akhlak dan peribadi tidak terpelihara. Pesan ummi, sentiasa menghormati orang yang lebih tua, sendainya tindakan mereka tidak menyenangkan rasa di jiwa, jangan sesekali anakku meninggikan suara atau asyik berlawan cakap sahaja, ingatlah mereka lebih berpengalaman dan lebih tua... usah dirobek perasaan mereka apatah lagi kalau sehingga menyebabkan mereka menitiskan air mata. Jadi anakku, apapun yang anakku rasa tidak selesa, beralahlah..berdiam diri lebih baik daripada berkata-kata. Kalau berbicara meluahkan rasa, bukan kemenangan yang anak peroleh, keuntungannya pula langsung tiada sebaliknya anak-anak akan dikatakan kuat melawan, tidak mahu mendengar kata serta tidak tahu menghormati orang yang lebih tua. Ingatlah pesan ummi, teguran ibu ayah, datuk dan nenek serta kaum keluaga adalah teguran kerana sayang…kerana mereka darah daging kita. Ummi yakin, InsyaAllah...anak-anak ummi sentiasa akan menjaga kehormatan walaupun kejauhan daripada pandangan mata ummi kerana anak-anak semua sudah cukup mengerti bahawa Allah Maha Mengetahui hatta apa yang tersembunyi di dalam hati.

Duhai anak gadis kesayangan ummi sekalian, kalau berbicara dengan lelaki, peliharalah nada dan intonasi. Elakkan daripada memanja-manjakan suara kerana suara yang merdu juga boleh membuatkan lelaki terbuai dan tergoda serta merosak rasa. Justeru itu anakku, berbicaralah seperti biasa dengan penuh sopan dan bertatasusila dan bukan kerana niat hendak menggoda atau mengada-ngada kerana ingin membuatkan telinga yang mendengar tertawan. Allah sendiri melarang sekiranya bersuara manja tidak tentu hala dan tidak bertempat. Firman Allah SWT; “Maka janganlah kamu berbicara dengan lembut manja kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang di dalam hatinya ada penyakit, dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai serta sopan.” (Al-Ahzab:32).

Ya anak ummi...kita pernah berbincang, mendengar dan memandang, betapa cara percakapan membuatkan orang tertawan dan tersilap perkataan yang dikeluarkan juga boleh menimbulkan kebencian.. Oleh itu berbicara dengan lembut dan sopan dan berhati-hati dalam mengeluarkan perkataan dan ungkapan kerana bimbang ia menjadi racun yang berpanjangan dan kesannya akan menyebabkan keruh hubungan sehingga memadamkan segala kemesraan.

Anak-anak ummi yang dikasihi, umur remaja merupakan satu ujian getir buat anak-anak sekalian..kerana pada peringkat ini pastinya kedengaran siulan nakal yang ingin menghampiri dan mengetuk perasaan. Justeru anakku..usah cepat tergoda dengan pujian, elakkan diri daripada dihimpit perasaan..kerana anak ummi masih muda belia dan berada dalam alam persekolahan, terlalu awal untuk bermain dengan perasaan dan mengenali erti cinta yang begitu mudah diungkap dengan kata-kata, dan akhirnya diri sendiri yang menjeruk rasa. Sebenarnya, ummi bimbang anak-anak ummi dipermainkan sekadar untuk berseronok memuaskan nafsu yang tidak berkesudahan. Anakku sayang..peliharalah batas pergaulan, berhati-hati memilih kawan kerana bimbang anak ummi akan kecundang. Ummi bukan menghalang anak ummi berkawan dan berteman..tetapi ummi sekadar memberi ingatan, kerana kawan yang baik akan dapat membantu anak ummi ke arah kebaikan kerana tersilap memilih kawan kesannya berpanjangan..kerana kawan juga akan menyebabkan kita tersilap pilih jalan dalam mengharungi ranjau kehidupan.

Tidak lupa ummi ingatkan, buat anak-anak yang ummi sayang..peliharalah aurat jangan biarkan mata-mata memandang dan melihat apa yang tidak sepatutnya anak ummi dedahkan. Aurat perlu dititikberatkan kerana ia merupakan harga diri anak-anak ummi sekalian, agar diri lebih dihormati dan tidak mudah orang lain untuk mengambil peluang dan kesempatan. Firman Allah SWT; “Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya; yang demikian lebih sesuai untuk mereka lebih dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Al-Ahzab:59).

Ya anak ummi sayang..berpakaian usahlah sendat dan singkat, elakkan daripada tipis dan jarang serta dibelah pula kiri dan kanan..hingga menembusi pandangan, silau mata yang memandang dan membuatkan mata orang lain dua kali pandang. Kasihanilah kepada kaum lelaki, bantulah mereka agar dapat memelihara pandangan, kerana mereka juga ingin menjaga keimanan dan mungkin amat sukar untuk mereka menahan godaan. Ya anakku, seindah-indah perhiasan di dunia ialah wanita solehah, peribadinya terjaga dan terpelihara kerana diri wanita itu amat berharga.

Akhir kata daripada ummi pada pagi ini..kerana kasih sayang ummi tidak berbelah bagi, doa restu ummi sentiasa mengiringi perjalanan hidup anak ummi sehari-hari. Jadikanlah diri anak ummi sebagai anak yang soleh dan solehah yang sentiasa mengingati pesanan dan berlapang dada apabila menerima teguran, suruhan Allah jangan diabaikan, larangan Allah usah dilakukan, kerana redha Allah yang sama-sama kita harap dan dambakan dalam mengharungi liku kehidupan. Amin...

Bertemu lagi…

Friday, June 11, 2010

Warkah Buat Anak Ummi (1)

Bismillahirrahmanirrahim…

Mutakhir ini alangkah gerun rasa di hati apabila membaca akhbar dan menonton berita di TV betapa anak remaja kita telah hilang harga diri kerana ingin memenuhi tuntutan nafsu dalam diri. Sanggup berzina sehingga melahirkan anak luar nikah, anak tanpa ayah dibuang bersepah-sepah tanpa ada langsung rasa bersalah dan belas kasihan. Hari ini terbaca pula kisah ibu bapa sanggup bergadai dan berhabis kerana ingin menjejaki anak gadis yang melarikan diri yang mengikut kata hati akibat cinta sesama jenis. Alangkah risau rasa di hati melihat situasi pada hari ini, kerana kita semua mempunyai anak yang amat kita sayangi..bimbang sekali bagaimanakah seterusnya kehidupan yang bakal mereka lalui. Untuk anak-anak ummi, sedikit warkah pengganti diri sekadar untuk meluahkan hasrat hati, sebagai bekalan untuk anak yang amat ummi kasihi.

Assalamualaikum anak-anak ummi,

Malam ini ummi rasa terpanggil untuk mencoret sesuatu buat tatapan anak-anak ummi. Tahukah anak-anak ummi, kadangkala hati ummi sebak dan air mata ummi bergelinang memikirkan apa bakal terjadi kepada anak ummi sekiranya ummi tiada lagi di dunia ini. Masihkah anak-anak ummi ingati betapa ummi tidak suka melihat anak-anak susah hati..kesakitan ummi tanggung sendiri, ummi ke hospital seorang diri, penderitaan ummi tidak pernah ummi kongsi kerana ummi tidak mahu anak-anak ummi bersedih hati. Tangisan anak-anak ummi sewaktu di bilik pembedahan, menjadi sumber kekuatan untuk ummi terus melayari bahtera kehidupan kerana ummi masih ada yang sayang, dan ummi bukan keseorangan. Terima kasih kerana mendoakan ummi selamat menjalani pembedahan untuk terus bersama anak-anak ummi sekalian.

Alhamdulillah...umur ummi masih panjang untuk terus berada di sisi anak-anak sekalian. Selagi ada umur, InsyaAllah...ummi tidak akan jemu menegur dan menasihati..Fahamilah anak-anakku, ummi tidak banyak meminta tetapi ummi sentiasa bersedia untuk memberi sekiranya anak-anak ummi memerlukan pertolongan dan bimbingan kerana anak-anak merupakan harta yang tidak ternilai buat ummi. Ummi sangat sayangkan anak ummi sekalian. Alangkah senangnya hati ummi sekiranya anak-anak ummi menjaga solat lima waktu kerana ia dapat membantu anak-anak ummi daripada bertindak mengikut hawa nafsu. Kadangkala ummi rasa kecewa kerana untuk mengerjakan solat lima waktu sentiasa perlu diingatkan sedangkan ianya satu kewajipan. Pasti gembira sekali hati ummi sekiranya anak-anak ummi mampu menunaikan solat tanpa bersuruh, sudah tiba masanya ummi tidak perlu lagi saban waktu mengetuk pintu, mengingatkan anak-anak tentang solat apabila sampai waktu. Tolonglah anak-anakku, ummi merayu..solat jangan sekali-kali diambil mudah kerana solat dapat mencegah anak-anak sekalian daripada perbuatan keji dan mungkar, sebagai benteng daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah. Firman Allah SWT; “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Al-Ankabut: 45).

Seandainya anak-anak mampu memelihara solat, sudah pasti ianya menjadi hadiah yang bererti buat ummi kerana ummi tidak perlu risau lagi kerana solat akan dapat membantu anak-anak ummi untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, yang mengenal pencipta dan tahu menghormati ibu dan bapa kerana ummi mengharapkan dan sentiasa berdoa agar anak-anak ummi nanti akan terpilih untuk ke syurga.

Untuk anak lelaki, ummi tidak lupa berpesan..sentiasalah menjengah rumah Allah, kerana tidak ada alasan untuk menghalang anakku berbuat demikian. Ya anak lelaki ummi seorang, solat di masjid lebih baik daripada solat di rumah, kerana di sana ada kuliah dan tazkirah..sembahyang berjemaah besar ganjaran pahalanya di samping berpeluang pula bertemu dengan mereka yang cintakan Allah lebih daripada segala-galanya. Pesan ummi seterusnya, selepas solat maghrib usah bergegas ingin pulang, atau berkejaran ke pasar malam..lebih baik membaca al-Quran semasa menunggu waktu Isyak yang jangkamasa tidak sampai satu jam. Kalau tatacara ini menjadi ikutan..alangkah sejuknya perut ummi yang melahirkan kerana mempunyai anak yang cintakan al-Quran, rumah Allah menjadi tarikan. Bagi seorang ummi kebahagiaan dan kesenangan anak-anak lebih diutamakan, ummi bersedia dan sanggup berkorban demi kesejahteraan anak-anak sekalian..kerana itu ummi tidak jemu memberi peringatan kerana tidak mahu anak-anak ummi berterusan hanyut dalam kehidupan, yang menyebabkan anak-anak ummi jauh dari landasan kebenaran dan terlupa tentang nikmat yang dimiliki hanyalah sekadar pinjaman kerana Allah Maha Penyayang.

Anak-anak ummi yang ummi sayang...seandainya kedapatan melakukan kesilapan dan kesalahan, usah malu memohon kemaafan, kepada Allah segera bertaubat mohon keampunan kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ayuh anak-anakku, sila toleh kiri dan kanan..lihatlah dan pandanglah tetapi jangan lupa untuk menilai dengan mata hati, yang baik jadikan pedoman dan teladan dan yang buruk jadikan sempadan usah pula menjadi ikutan, kerana perjalanan hidup belum tentu masih panjang kerana kematian tidak mengenal usia apabia ajalnya sudah tiba. Justeru anakku, buktikanlah cinta kepada Yang Maha Pencipta yang sentiasa memberi sebelum kita meminta. Ingatlah anakku, barangsiapa mengaku empat perkara tanpa bukti terhadap empat perkara tersebut, maka pengakuannya adalah dusta. Pertama: Barangsiapa mengaku cinta Syurga, namun tidak taat, jelas dia bohong; kedua: Siapa mengaku cinta Nabi S.A.W, namun tidak menyukai ulama dan fuqara, maka pengakuannya tidak benar; ketiga: lalu barangsiapa mengaku takut akan neraka, tetapi tidak meninggalkan maksiat, tanda dia dusta; dan keempat: Barangsiapa mengaku cinta kepada Allah SWT, padahal dia mengeluh ketika ditimpa ujian atau bala, maka pengakuannya adalah bohong; sebagaimana Rabi’ah pernah bersyair :

“Engkau derhaka

Tapi mengaku cinta pada-Nya

Inilah keanehan zamanku

Jika benar engkau cinta

Tentulah mentaati-Nya, Selalu

Pencinta akan taat kepada kekasihnya”

(Petikan: Penenang Jiwa-Imam Al-Ghazali)

Akhir kata daripada ummi..pesan ummi usah dikesampingkan, kerana ummi amat sayangkan anak ummi sekalian. Bantulah ummi selagi hayat di kandung badan, untuk menjadikan anak-anak ummi mengerti dan menghayati erti kesyukuran terhadap segala nikmat yang Allah kurniakan. Kesenangan dan harta benda merupakan ujian, tersilap langkah akan menyebabkan kita tenggelam dan karam. Sentiasalah meminta nasihat dan pandangan sekiranya berhadapan dengan kekeliruan dan kesukaran kerana ummi bimbang anak-anak ummi tersalah pilihan dan tersesat jalan menyebabkan langkah menjadi songsang, dan yang paling menakutkan sekiranya menjauhkan anak-anak daripada kebenaran.

Sekian untuk tatapan anak-anakku sayang, moga coretan ini mampu menitipkan sedikit perubahan ke arah penambahbaikan dalam melayari liku kehidupan. Doa restu ummi sentiasa mengiringi langkah kalian. Moga hidayah, rahmat dan keredhaan Allah sentiasa bersama anak-anak ummi yang tersayang. Amin...

Bertemu lagi…

Thursday, June 10, 2010

Erti Sebuah Kepercayaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam persahabatan, kita amat mengharapkan agar wujud keserasian, persefahaman, toleransi dan yang paling penting ialah saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Kepercayaan dan keyakinan merupakan satu kurniaan yang tidak dapat kita beli dengan wang ringgit tetapi ia terjelma akibat personaliti, perwatakan, tindak tanduk serta kejujuran dan keikhlasan diri. Sebagai manusia, kita tidak mampu hidup bersendirian...kita sering memerlukan bantuan dan pertolongan, jadi amat penting untuk memelihara hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia agar kehidupan kita memperoleh sejahtera bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat yang kekal abadi.

Tidak dapat dinafikan, adakalanya amat sukar untuk mencari sahabat sejati yang kita boleh bergantung harap, yang bersedia untuk bersama-sama waktu susah dan senang, bertolongan dalam menjaga maruah dan harga diri dan sentiasa berpesan dengan kebenaran dan dengan penuh kesabaran. Alhamdulillah...saya merasakan satu kurniaan yang hebat apabila kedapatan sahabat yang masih menaruh kepercayaan dan amanah dalam menjalin persahabatan, majikan dan ketua yang masih menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada saya untuk melaksanakan tugasan, serta keluarga yang sentiasa merestui dan mempercayai langkah saya untuk keluar bekerja serta berbakti kepada masyarakat.. Kepercayaan dan keyakinan yang kalian berikan merupakan satu penghargaan dan anugerah yang tidak ternilai, kerana ia bukannya tertera di kertas dan sijil tetapi tertanam di hati dan sanubari serta tidak mungkin dapat dijual beli.
Ya..bukan mudah untuk kita mempercayai seseorang, dan tidak senang untuk kita memperoleh kepercayaan daripada orang lain. Justeru apabila kita telah memperolehnya jangan sesekali kita persiakan, kerana seandainya kepercayaan terlepas daripada genggaman akibat tindak tanduk dan perbuatan maka amat sukar untuk kita meraihnya semula. Jadi, peliharalah hubungan yang sedia terjalin sebaik mungkin berbekalkan kasih sayang serta bersenjatakan kejujuran dan keimanan. InsyaAllah...silaturrahim akan kekal berpanjangan.

Sakit sekali apabila kepercayaan yang diberi telah dikhianati. Sewaktu berbaik, kita saling menyangjung dan memuji..tetapi apabila wujud kekeruhan dan tergugat keharmonian..kebaikan mudah tenggelam dan terus terpadam dalam ingatan. Yang dicari, diungkit dan diingati hanyalah kesilapan dan kesalahan, dan salah yang sedikit terus diperbesarkan, aib berterusan dibongkar tanpa merasa belas kasihan kerana untuk menunjukkan kemenangan bukan berlandaskan kebenaran.

Walau bagaimanapun anda dan saya, demi untuk kesejahteraan sebuah persahabatan kerana Allah...jangan menjadikan diri kita sebagai pendorong kepada permusuhan, sentiasa menasihati sahabat ke arah kebaikan dan yang paling penting penyakit hati perlu dihindarkan. Berlapang dada dan akuilah setiap kita ada kelemahan. Sekiranya wujud syak wasangka, usah biarkan ianya berpanjangan, bersemukalah untuk memohon penjelasan agar kekeruhan tidak berpanjangan hingga menggugat ketenangan. Sahabat sekalian, seribu kemaafan saya pohon seandainya ada kata yang mengguris rasa, ada perbuatan dan perlakuan yang merobek jiwa, kerana mungkin ia berlaku tanpa diduga dan di bawah sedar saya.

Anda dan saya...marilah sama-sama kita bersahabat dengan penuh kasih sayang, moga persahabatan kita menjurus ke arah kebaikan dan mendapat keredhaan Allah Yang Maha Esa. Justeru amat penting untuk kita saling memperingati dan berpesan agar tidak berterusan melakukan kesilapan atau kesalahan sekiranya kita benar-benar menghargai sebuah persahabatan, untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan agar manisnya persahabatan dapat sama-sama dirasai dan dinikmati. Firman Allah SWT; “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami memberi kepadanya pahala yang besar" (Al-Nisa’: 144).

Bersamalah kita memohon ke hadrat Allah SWT moga rahmat Allah sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan kita.. “Ya Allah kurniakanlah naungan rahmat-Mu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Janganlah, ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun pada kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih singkat daripada itu. Ya Allah, Ya Tuhan kami, Engkau Tuhan Yang Maha Memperkenankan segala permintaan kami," Amin...

Bertemu lagi...

Wednesday, June 2, 2010

QUNUT NAZILAH: UntukMu Palestin

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya menunggu berita..tentang perkhabaran misi bantuan ke Gaza serta bagaimana situasi di Palestin kini. Sebagai umat Islam, kita cukup terasa kerana mereka saudara kita, cubit peha kiri peha kanan juga terasa. Darah mengalir lagi di bumi Palestin..kekejaman zionis Israel tidak dapat dikawal lagi, menunjukkan taring dan kekuasaan serta asyik menunjukkan kekuatan tidak berkesudahan. Saya berkeyakinan, bagi mereka pencinta keamanan dan keharmonian yang tinggi nilai kemanusiaan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit akan bangkit menentang habis-habisan atas kekejaman dan kezaliman dari berterusan dilakukan oleh puak Israel.

Yakinlah...kita ada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Agung dan Maha Pencipta, maka kepada-Nya kita mohon pertolongan dan bantuan dan kepada-Nya jua kita berserah. Firman Allah SWT; ”Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang agung” (Surah al-Taubah 9:129).

Alhamdulillah...semalam saya mendengar berita, individu, surau dan masjid serta keselurahan rakyat dipohon bersolat hajat agar kekejaman tentera Israel dapat dimusnahkan, kesejahteraan rakyat Palestin mendapat pembelaaan seterusnya moga urusan misi bantuan ke Gaza akan dipermudahkan dan juga agar rahmat Allah yang berterusan ke atas perjuangan umat Islam Palestin. Marilah kita sama-sama agar tidak putus berdoa serta bersolat hajat dan Qunut Nazilah usah dilupakan, bantulah kerana warga Palestin amat memerlukan doa dan bantuan yang tulus ikhlas daripada kita semua kerana mereka semua saudara kita, dan hanya lautan memisahkan antara kita dan mereka.

Qunut Nazilah: Doa Memohon Perlindungan Daripada Bala Dan Musibah, Serta Menangkis Kejahatan Musuh.

Maksudnya; ”Ya Allah, kami meletakkan Kamu di batang leher musuh kami dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka. Ya Allah leburkanlah kumpulan mereka, kacau bialukan kesatuan mereka, cerai beraikan pakatan mereka, goncangkan pendirian mereka, hantarkan anjing-anjing Kamu ke atas mereka. Wahai Tuhan Yang Maha Gagah, wahai Tuhan Yang Maha Perkasa, wahai Tuhan yang bersifat murka. Ya Allah..Ya Allah..Ya Allah...Wahai Tuhan yang menurunkan al-Quran. Wahai Tuhan yang menggerakkan awan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkan mereka dan menangkan kami atas mereka..” Amin...

Anda dan saya...InsyaAllah amalkan segera, jangan bertangguh lagi kerana kita sudah tiada masa untuk berlengah, bersegeralah membantu mereka yang memerlukan. Mudah-mudahan Allah merahmati dan memberkati usaha kita semua...

Bertemu lagi...

Tuesday, June 1, 2010

Palestin - Perjuangan Belum Berkesudahan

Bismillahirrahmanirrahim...

Sepanjang perjalanan pulang semalam hati saya merasa sedikit hiba kerana kesilapan memberi jawapan terhadap persoalan yang ditanya menyebabkan sahabat hilang kawalan..marahnya bukan kepalang kerana lain yang ditanya lain pula jawapannya yang saya berikan. Inilah yang dinamakan ujian dalam persahabatan, walaupun hanya sedikit kesilapan tetapi sudah cukup untuk mengundang kemarahan kerana kita belum diuji dengan dugaan yang lebih dahsyat dan lebih hebat. Entahlah di mana silapnya, saya tersilap bicara walaupun telah berusaha untuk menyusun kata agar mereka yang mendengar tidak silap menerima atau tersilap pentafsirannya. Kemungkinan disebabkan terlalu keletihan kerana seharian berbengkel bersama rakan untuk menyiapkan laporan yang perlu disegerakan menyebabkan saya hilang fokus dan kurang pengamatan. Dalam kesayuan sepanjang perjalanan pulang, radio IKIM tetap menjadi peneman untuk menjernihkan minda yang kadangkala mengalami kekusutan.

Sungguh saya terkedu, apabila pengacara radio menyampaikan khabar berita bahawa Kapal Mavi Marmara misi bantuan antarabangsa ke Gaza yang membawa bekalan dan ubat-ubatan telah diserang oleh pihak zionis tentera Israel dan menyebabkan lebih daripada sepuluh orang terkorban syahid. Ya Allah..keinsafan terus menerjah di jiwa kerana diri saya masih melayan perasaan yang bukan-bukan, sedangkan umat Islam di Palestin merintih berjuang untuk meneruskan hidup secara aman dan Masjidil Aqsa mesti dipertahankan. Alhamdulillah...saya terus memperoleh kekuatan, kesayuan dan kesedihan terus saya lenyapkan, semangat saya terus membakar dan disemarakkan lagi apabila kedengaran kesyahduan pendengar radio IKIM yang bertubi-tubi membuat panggilan kerana menyatakan penentangan habis-habisan ke atas zionis Israel yang berterusan melakukan kekejaman.

Sebak sungguh rasa di hati apabila mendengar seorang pemanggil dalam tangisan yang sungguh meruntun jiwa berdoa kepada Yang Maha Berkuasa untuk diaminkan oleh semua pendengar radio IKIM, berdoa demi kesejahteraan dan keharmonian warga Palestin dan moga misi keamanan akan sampai ke destinasi. Saya merasa amat bangga dan teruja apabila seorang pemangggil remaja dengan kesayuan suara yang sungguh hiba dan menyentuh perasaan, menyeru remaja Malaysia sekalian agar tinggalkan budaya berseronok dan berhibur kerana nun di sana di bumi Palestin saudara kita sedang merintih menderita dan terseksa, berjuang mereka tanpa rehat dan tanpa tidur, demi maruah Islam yang perlu dipertahankan atas keyakinan Allah akan bersama mereka yang berjuang untuk agamaNya. Ayuh marilah bersegera berganding bahu dan bersepakat untuk membantu umat Islam di Palestin… Kalau tidak mampu menyertai misi bantuan atau tidak berupaya untuk menghulurkan sumbangan harta benda dan barang keperluan, memadailah dengan berdoa dan menunaikan solat hajat memohon pertolongan Allah agar merahmati perjuangan saudara kita di bumi Palestin moga mereka tidak terus ditindas dan dizalimi. Firman Allah SWT; “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah kedua antara mereka yang bertelagah, dan bertakwalah kamu kepada Allah, moga-moga kamu beroleh rahmat“ (Al-Hujurat: 11).

Untuk saya dan juga anda...wajarkah lagi kita bergembira bersuka-ria, tidur lena dibuai mimpi indah, melayan perasaan yang tidak berkesudahan dan asyik memikirkan masalah dan kekusutan yang seolah-olah tiada lagi jalan penyelesaian, sedangkan saudara kita di Palestin berterusan merana siang dan malam, diasak bedilan, bom dan juga peluru yang tidak bermata, sasaran pula tidak mengira dan tidak mengenal siapa, sama ada kanak-kanak, wanita atau golongan tua..semua menjadi mangsa kekejaman zionis Israel. Marilah kita sama-sama menadah tangan berdoa, bersolat hajat mohon pertolongan Allah agar menyelamatkan bumi Palestin daripada berterusan dibedil, ditindas dan dizalimi oleh zionis Israel yang tidak pernah tahu dan kenal erti simpati dan juga belas kasihan. Yakinlah...perjuangan saudara kita di Palestin akan terbalas jua akhirnya kalau tidak di dunia, InsyaAllah...di akhirat kelak kerana perjuangan mereka mempertahankan maruah agama semata-mata hanya kerana Allah...sebab itulah mereka tidak pernah kenal erti kalah, tidak mudah menyerah dan dalam diri mereka tiada istilah berputus asa. Perjuangan tetap mereka teruskan bagi memastikan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa tidak dicerobohi dan dikuasai oleh golongan yang tidak berperikemanusiaan. Firman Allah SWT; “Sekiranya kamu membantu Allah, maka Allah akan membantu kamu dan memperkuatkan kakimu”. (Surah Muhammad: 7). “dan ingatilah Aku, maka Aku mengingati kamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan jangan sesekali kamu kufur" (Al-Baqarah: 152).

Saya dan anda...moga apa yang berlaku di bumi Palestin dapat kita jadikan iktibar dan pedoman..agar kita dapat memikirkan betapa saudara kita ada yang lebih menderita mengalami kesukaran, kesusahan dan kesulitan, hanya berbekalkan kekuatan aqidah dan iman sahaja menjadi senjata dan tunjang untuk menghadapi perit getir dugaan mereka dalam menjalani kehidupan dan meneruskan perjuangan. Sesungguhnya umat Islam di Palestin amat memerlukan doa kita untuk mengiringi perjuangan mereka yang tidak pasti bila akan berkesudahan..."Ya Allah...bantulah saudaraku di Palestin, hanya kepadaMu Ya Allah kami mohon pertolongan serta perlindungan, dan kepada-Mu jua ya Allah kami berserah" Amin.

Bertemu lagi...