Wednesday, July 28, 2010

Warkah Buat Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya merasa amat bahagia sekali, kerana saya dipertemukan semula dengan sahabat sekampus yang dahulunya amat memahami tentang diri ini. Khabar gembira saya perolehi, banyak sungguh perubahan diri sahabat saya yang dapat saya amati. Alhamdulillah dengan pertolongan-Mu Ya Allah, sahabat saya kehidupannya kini berubah. Kegembiraan saya semakin bertambah kerana perubahan diri sahabat saya ke arah yang lebih baik kini terserlah. Saya berpegang kepada nilai persahabatan, biarlah susah dan senang sama-sama diharungi, sebagai sahabat sejati teringin sekali saya menjadi pendorong kepada kebaikan dan sanggup menegur terhadap kesilapan dan kesalahan kerana itu sebenarnya tanda sayang.

Sahabat yang dikasihi,

Usah berkecil hati seandai saya sentiasa bertanya itu dan ini. Perasaan rimas cuba jauhkan dalam diri, kerana saya tidak mempunyai agenda tersembunyi. Sebenarnya, saya sekadar ingin berkongsi kerana tidak mahu dirimu sahabat terus lalai dan leka dibuai mimpi. Duhai sahabat, dirimu cukup saya kenali..baik hati tetapi sayang sekali tidak menghargai diri sendiri. Dalam meniti hari bersamamu sahabat, perubahan dirimu sungguh ketara sekali. Pada mulanya sifat marahmu sukar untuk dikawal kerana telah menguasai diri tetapi sekarang sifat sabarmu mula terserlah dan semakin menonjol dalam diri. Kalau dulu, dalam percakapan kedapatan unsur bangga diri serta merendahkan dan memperkecilkan orang lain, tetapi kini sahabatku sudah pandai menghargai kurniaan yang Allah bagi dan kebaikan orang lain mula disanjung tinggi. Jasa dan budi juga turut dihargai. Kesannya, dirimu kini semakin dihormati.

Ya sahabatku, sebagai manusia sememangnya kita boleh melakukan perubahan diri sekiranya kita mahu melakukannya. Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa kita memerlukan sahabat sejati yang boleh membantu dan mengingati untuk terus membangunkan diri. Percayalah, betapa bahagianya hati ini, percakapanmu tidak tergopoh gapah lagi dan tindakan yang diambil tidak melulu mengikut kata hati tetapi dirimu kini lebih berhati-hati untuk bertindak mengikut situasi. Begitulah dirimu sahabat, perubahan yang dilakukan sungguh ketara sekali, sudah tidak ada sifat gelojoh dan sombong diri dan kekurangan yang ada sentiasa dicari agar kelemahan dapat diatasi.

Saya amat bangga dengan dirimu sahabat kerana bersedia untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran agar setiap keputusan yang diambil menjadi tepat. Kalau dulu dirimu tidak fokus terhadap sesuatu tugasan yang dilaksanakan tetapi sekarang sepenuh tumpuan telah dapat diberikan terhadap apa jua perkara yang dilakukan. Gurau sendamu kini juga ada sempadan dan batasan, tidak seperti dahulu dapat membuatkan orang lain ketawa menjadi satu kebanggaan dan kepuasan.

Ya sahabatku, perubahan beginilah yang sepatutnya dilakukan kerana ia mencerminkan tahap kematangan. Teringat saya wasiat kelima Hassan Al-Banna, ‘janganlah banyak ketawa, kerana orang yang berhubung dengan Allah bersifat tenang dan serius’. Dalam wasiat ini Imam Hassan Al-Banna menasihatkan orang muslim supaya tidak ketawa berlebih-lebihan kerana hati yang semarak dengan iman, sentiasa ingat kepada Allah, penuh takut kepada-Nya dan sentiasa mengharap keredhaan-Nya. Masa diisi dengan perkara yang berfaedah dan tidak dibiarkan ianya berlalu secara sia-sia.

Sahabatku, saban hari umur kita berterusan meningkat. Amal ibadat kita dibimbangi semakin merudum dek kesibukan tugas dan urusan keluarga. Kalau dulu kita istiqamah mengikuti majlis ilmu dan membaca Al-Quran tetapi kini mungkin faktor keletihan menyebabkan amal ibadat tersebut sudah jarang-jarang kita lakukan. Pernah satu ketika dahulu, antara Maghrib dan Isyak merupakan ruang waktu untuk kita membaca Al-Quran, tetapi sekarang waktu itu digunakan untuk membeli belah dan berziarah keluarga serta jiran. Justeru mulai hari ini, marilah sahabatku, kita sama-sama bertekad untuk terus membaiki diri supaya dekat dengan Ilahi. Usah dibiarkan diri hanyut lagi. Jadikanlah bacaan al-Quran sebagai santapan rohani setiap hari. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Quran kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Baqarah: 121).

Sahabatku, marilah kita mulakan hari ini untuk kita berhijrah diri ke arah yang lebih baik daripada hari yang sebelumnya. Mudah-mudahan Ramadhan yang akan menjelang tiba tidak lama lagi akan disambut dengan penuh keinsafan untuk kita meningkatkan amalan bagi mendapat kerahmatan dan keberkatanNya. Berdoalah supaya Allah kurniakan kekuatan kepada kita untuk menghidupkan waktu malam dengan Qiamullail dan tadarrus Al-Quran. Moga kita tidak berterusan kerugian dalam mengecapi nikmat dan kemanisan beribadat hanya kepada Allah Yang Maha Penyayang.

Akhir kata, maafkan saya seandainya sepanjang persahabatan kita, kedapatan tutur bicara yang telah mengguris rasa, tindakan yang telah merobek jiwa serta perlakuan yang mengundang ketidakselesaan. Saya juga tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Seandainya jalinan persahabatan antara kita menyumbang kepada kebaikan dan ketaqwaan, Alhamdulillah. Sebaliknya sekiranya persahabatan ini menjadi penyebab yang boleh menjauhkan diri kita daripada Allah SWT, maka lebih baik persahabatan ini dileraikan kerana dibimbangi kemudaratannya melebihi daripada kebaikan yang diperolehi. Ya..kita bertemu kerana Allah, kita berpisah juga kerana Allah.

Bertemu lagi…

Monday, July 26, 2010

Pengubat Hati dan Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang tadi entah kenapa, saya merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Debaran kencang di dada, perasaan terasa sayu, tertekan dan tiada rasa ketenangan di jiwa..entah kenapa dan mengapa puncanya tidak dapat saya kenal pasti. Kebetulan pula ada sahabat yang menelefon saya, justeru saya mengambil peluang untuk meluahkan apa yang sedang dirasa. Saya sebenarnya bukan mengharapkan penawar atau ubat secara segera, tetapi memadai sekiranya diberi sokongan moral agar apa yang saya alami dapat diatasi.

Jawapan sahabat, sungguh menghampakan saya, katanya dia tak tahu nak buat apa selepas penat saya bercerita. Saya tidak boleh menyalahkan dirinya kerana kemungkinan pada waktu itu beliau tidak dapat menjiwai perasaan saya yang adakalanya gembira dan terkadang juga duka nestapa menjengah tanpa diduga. Saya tidak boleh membiarkan diri dihanyut oleh perasaan resah gelisah. Saya berusaha muhasabah diri, mungkin ada perkara yang menyentuh hati, atau ada perbuatan yang dilakukan yang telah menyebabkan orang lain terguris. Ya kalau dibiarkan berterusan begini semua kerja tidak menjadi, kalau kepada orang lain pandai saya menasihati, untuk diri sendiri terlupa pula untuk mengamalkan apa yang telah dipelajari.

Lantas saya teringat kata-kata Ustaz pagi tadi iaitu sekiranya tiada ketenangan dalam jiwa dan resah gelisah melanda, berwuduklah, bacalah al-Quran, moga kesejahteraan diri akan Allah pertemukan. Segerakan solat apabila masuk waktu dan antara Maghrib dan Isyak kekalkan duduk di atas sejadah, banyak hikmatnya seandainya pada waktu itu al-Quran dibaca. Alhamdulillah, saya segera mengamalkannya bersama anak kesayangan, kami solat berjemaah dan sama-sama membaca al-Quran. Ya benar sekali, dalam diri ada ketenangan, perasaan sedih, gundah gulana telah dapat disingkirkan, maka dapatlah saya meneruskan aktiviti yang perlu dilaksanakan. Sungguh hebat pertolongan-Mu Ya Allah.

Sekadar peringatan untuk diri saya dan sahabat semua, wasiat pertama Hassan Al-Banna wajar dihayati iaitu bersegera menunaikan solat apabila mendengar azan dalam apa jua keadaan. Solat bukan hanya gerak badan dan fizikal sahaja, tetapi hendaklah dengan ikhlas dan bawalah hati untuk turut serta agar kelazatannya dapat dirasa. Menurut wasiatnya lagi, muslim juga tidak seharusnya mendahulukan kerja-kerja lain dari solat. Usah berlengah mengerjakan solat kerana keistimewaan solat tiada tandingannya.

Solat merupakan sumber kejayaan. Allah SWT berfirman maksudnya “ Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solat” (Surah Al-Mukminun: 1-2). Sukar sungguh diri ini untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Tertib dan persediaan sebelum solat amatlah penting, sumber rezki perlu dijaga, penyakit hati patut disingkir dan perbuatan maksiat perlu dijauhi. Hadirkan diri, serahkan diri dan tumpukan sepenuhnya untuk bertemu Ilahi. Lupakanlah seketika urusan dunia kerana kita ingin bersama Yang Maha Agung, Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Moga khusyuk dalam solat menjadi milik kita.

Sesungguhnya solat juga dapat memelihara kita daripada penyelewengan dan perlakuan maksiat. Firman Allah SWT maksudnya “ Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut: 45). Benar sekali, solat dengan penghayatan yang sepenuhnya akan dapat memelihara kita daripada melakukan perbuatan yang Allah murka sekiranya kita menghayati , mengamalkan dan mengambil pengajaran daripada segala apa yang dibaca dalam solat. Setiap waktu kita bersolat kita bersaksi dengan Allah SWT “ Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah semata-mata”. Demikianlah janji yang kita lafazkan yang tidak sepatutnya kita lalai dan lupa kerana kemurkaan Allah amat kita takuti. Sebenarnya sebagai manusia, kadang kala saya kecewa dengan diri sendiri disebabkan sifat lalai dan mudah lupa yang menguasaai diri. Justeru itulah kita perlu saling ingat mengingati kerana lemahnya diri terutamanya apabila diuji dengan kesenangan, kekayaan dan kemewahan. Moga Allah jauhkan diri kita daripada mudah lupa kerana yang dimiliki sebenarnya bukan hak milik mutlak kita.

Keistimewaan solat cukup hebat kerana tatkala itulah kita benar-benar berserah diri kepada Allah, menadah tangan dan berdoa memohon pertolongan dan keampunan. Solat merupakan pertolongan yang besar bagi orang yang melaksanakannya kerana ia merupakan sumber kekuatan dalam menghadapi ujian dan cabaran. Solat yang penuh khusyuk juga menjelmakan dalam diri seribu kebaikan termasuk sifat sabar dan redha dengan segala yang Allah takdirkan. Resah gelisah dalam diri dapat dihapuskan, serta ketenangan dan kesejahteraan hidup dapat dinikmati kerana setiap ujian yang menimpa dianggap sebagai ujian Allah untuk meningkatkan darjah keimanan kita. Firman Allah SWT yang bermaksud “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (Surah Al-Baqarah:153).

Anda dan saya, marilah kita bersama-sama meletakkan keyakinan terhadap segala janji Allah Yang Maha Esa. Syurga Allah benar, Neraka Allah juga benar dan kematian itu satu yang pasti. Usah kita bertangguh lagi, segerakan bersolat apabila masuk waktu apatah lagi apabila laungan azan kedengaran di telinga. Kita perlu saling ingat mengingati, supaya tidak lalai dan leka dengan urusan sehari-hari hingga menjauhkan diri kita daripada Ilahi. Moga Allah satukan hati-hati kita agar berkasih sayang kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah. Mudah-mudah diri kita di bawah peliharaan Allah sentiasa. Amin…

Bertemu lagi…

Sunday, July 25, 2010

Kasih Sayang Yang Sejati

Bismillahirrahmanirrahim..

Apabila termenung sendiri, pelbagai kenangan silam datang bertandang dalam benak pemikiran. Kadangkala ada baiknya berfikir sejenak daripada bertindak melulu tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Pengalaman mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam menjalin kemesraan dan mencurah kasih sayang dengan orang yang baru dikenali. Walaupun niat di hati tulus dan suci, kemesraan yang terjalin boleh disalah erti sekiranya kita tidak berhati-hati. Yang penting, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Begitu juga dengan diri ini. Memang sudah sifat semula jadi, mudah sungguh menjalinkan kemesraan, murah sungguh mencurah kasih dan sayang yang kadangkala mengundang kemarahan orang dek sifat cemburu yang tidak berlandaskan keimanan. Berhati-hati memberi pandangan dan nasihat, kerana sewaktu baik ia akan dijadikan pedoman tetapi apabila berlaku persengketaan, ianya dijadikan senjata untuk menikam. Nasihat ditafsirkan sebagai suatu pengajaran ke arah pembohongan walhal nasihat yang diberi bukan satu paksaan untuk dituruti. Ya..itulah lumrah kehidupan. Berhati-hati dalam menjalin kemesraan. Indah pada pandangan mata mungkin di hati lain bicara. Usah biarkan diri kita tertipu dek manis tutur kata kerana disebaliknya kita sedang dinilai dan diperiksa untuk mencari kelemahan yang ada.

Sekarang SMS menjadi media perhubungan kita kerana kalau berbual mesti mengambil masa selain kosnya juga perlu diambilkira. Mesej yang dihantar ringkas sahaja. Kadangkala maksudnya kurang jelas menyebabkan ia disalah terima. Elakkan gurauan berlebihan melalui SMS kerana bimbang ianya disalah erti menyebabkan goncang kehidupan bersama keluarga serta punah silaturrahim yang telah erat terjalin. Mutakhir ini, telefon bimbit bukan sahaja dipantau oleh suami atau isteri tetapi anak-anak juga semakin berani menjadi penyiasat terhadap ibubapa sendiri. Begitulah hebatnya segelintir anak-anak zaman ini, tiada rasa hormat terhadap ibu bapa lagi. Kadangkala saya ketawa sendiri, sepatutnya ibu bapa yang memantau anak sendiri tetapi lain pula jadinya kini.

Bagi mengelakkan penyakit hati daripada berterusan menguasai diri, berlapang dada saja terhadap ujian yang menimpa. Limpahan kasih sayang usah kedekut untuk dihulurkan kepada mereka yang masih memerlukan. Persaudaraan Islam perlu dipelihara kerana sifat-sifat muslim yang benar ialah cintanya kepada saudara dan sahabatnya dengan cinta yang tinggi, bersih daripada segala faedah, bersih daripada segala tujuan serta jernih daripada segala saduran. Cintanya ikhlas kerana Allah semata-mata, kerana mengharapkan keredhaan Allah. Itulah cinta persaudaraan yang benar yang terpancar daripada cahaya lampu wahyu dan hidayah Nabi SAW (petikan Keperibadian Muslim).

Sesungguhnya persaudaraan atas dasar iman adalah ikatan jiwa yang paling kuat, simpulan hati yang paling teguh dan perhubungan akal dan roh yang paling kudus. Ya..saya telah dapat merasai dan menikmatinya bersama rakan usrah semasa menjalani kehidupan di kampus dahulu. Ikatan ukhuwwah yang terjalin berkekalan sehingga kini walaupun terpisah jauh tetapi kesatuan hati dan pemikiran tetap utuh di dasar hati. Inilah cinta dan kasih sayang yang sejati, cinta kerana Allah berterusan kekal abadi. Sekiranya berlaku perselisihan pendapat, tidak timbul perasaan berkecil hati kerana semuanya saling memahami kerana asasnya adalah untuk mendapatkan kebenaran yang hakiki. Ukhuwwah fillah tiada tandingannya, tulus kasih sayangnya telah terbukti, kesulitan dan kesusahan dilalui bersama, ketenangan dan kesejahteraan sama-sama dinikmati. Jauh sekali daripada untuk mementingkan diri sendiri kerana semuanya ingin sama-sama dikongsi dan dikecapi. Sesungguhnya saya amat merindui kenangan lalu bersama rakan usrah yang saling menyayangi dan mengasihi kerana Allah.

Yakinlah..bahawa sesungguhnya Allah SWT akan menganugerahkan kepada hamba-Nya yang berkasih sayang kerana Allah dengan anugerah dan darjat yang lebih tinggi dan lebih besar serta nikmatnya dapat dirasa oleh mereka yang mengalaminya. Perihal ini jelas terkandung dalam hadith daripada Abu Hurairah (r.a) yang bermaksud:

“Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabatnya) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh satu malaikat untuk memerhatikannya di atas jalannya, maka tatkala dia sampai berkatalah dia ‘hendak ke mana engkau?’ lelaki itu menjawab; "aku hendak menemui seorang sudaraku di kampung itu". Malaikat bertanya lagi; "Adakah bagimu budi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?" “Tidak, aku mencintainya kerana Allah Taala”. Maka berkatalah Malaikat itu kepadanya; "Bahawasanya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, bahawa sesungguhnya Allah Taala telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah”.

Ya..sudah memadai pengajaran yang Allah bagi agar kita berkasih sayang setulus dan seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan atau pujian kerana ganjaran Allah sahaja yang kita idamkan. Usah ada syak wasangka dalam persahabatan, kelak ianya menjadi racun yang berbisa yang boleh memusnahkan ikatan nan suci.

Anda dan saya..marilah kita berkasih sayang kerana Allah kerana banyak faedahnya, dan hebat sungguh kesannya. Ketenangan diri dapat dirasai, kedamaian hati dapat dinikmati dan kesejahteraan rohani dapat dikecapi. Persahabatan bersalutkan kasih sayang yang ikhlas di hati akan membuahkan kemanisan yang enak di sanubari kerana pastinya susah dan senang diharungi bersama, sentiasa bertolongan dan saling nasihat menasihati. Moga kasih sayang antara kita terpelihara serta mendapat keredhaan dan rahmat Allah SWT dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Amin...

Bertemu lagi…

Saturday, July 24, 2010

Nostalgia Kehidupan di Kampus

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya menyelongkar rak-rak buku untuk disusun kembali supaya kelihatan kemas dan teratur. Banyak sungguh koleksi yang dikumpulkan semenjak belajar di kampus. Kedapatan buku yang belum sempat dibaca lagi tetapi setiap kali terpandang buku yang diminati saya tidak pernah lupa untuk membeli. Maka bertambah-tambahlah koleksi dalam almari yang sesetengahnya belum terusik pun lagi.

Pastinya buku-buku lama ditemui dan ditatap kembali. Buku Sepuluh Wasiat Hasan al Banna, Apa Erti Saya Menganut Islam, Risalah Usrah, Detik-Detik Masa Dalam Kehidupan Muslim serta Hadis 40 adalah antara buku yang membuatkan saya mengimbau kembali kenangan semasa menjalani kehidupan di kampus UITM, UUM dan UIAM. Sewaktu itu..betapa indahnya bersama sahabat di kampus, saban minggu ada usrah, qiamulail dan kuliah di surau. Betapa pada waktu itulah erti aurat baru saya fahami. Masih segar dalam ingatan saya, Ustaz Kusno memberi kuliah maghrib di surau UITM yang pada masa itu bertempat di Sura Gate, Dungun. Ustaz menjelaskan antaranya, “..orang perempuan kena tutup aurat, pakai tudung labuh hingga ke dada, baju jarang dan ketat tak boleh, kena jaga aurat, kalau dalam sembahyang kita menjaga aurat, di luar sembahyang pun kita kena buat perkara yang sama..” Terima kasih Ustaz, kata-katamu melekat di hati dan terngiang-ngiang di telinga sehingga ke hari ini. Apabila saya mendengarnya pada malam itu juga saya segera ke asrama kakak senior untuk meminjam tudung kerana tidak sabar untuk memakainya. Alhamdulillah..esoknya tanpa berlengah saya terus memakai tudung tanpa rasa segan atau malu kerana itu perintah Allah yang amat mudah dan perlu segera ditunaikan. Perubahan mendadak diri saya sememangnya telah mengejutkan rakan sekuliah, dan Alhamdulillah jejak langkah saya telah diikuti oleh mereka secara berperingkat. Terima kasih Kak Suraya kerana sudi meminjamkan tudung dan terima kasih sekali lagi Ustaz Kusno kerana ilmu yang diberi sungguh tidak ternilai harganya buat saya.

Begitulah detik permulaan perubahan dalam diri saya. Sewaktu itu betapa ceteknya ilmu Agama yang saya ada..hatta tentang aurat pun saya tidak ketahui. Berbeza sungguh dengan zaman ini, bahan bacaan banyak sekali, melalui internet seperti blog, facebook dan sebagainya juga ilmu boleh dikongsi. Kuliah, Halaqah, program Tanyalah Ustaz boleh diikuti menerusi TV...yang penting diri sendiri, mahu atau tidak mencari ilmu yang belum dipelajari. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah syukur, peluang bergaul bersama teman yang mempunyai minat yang sama telah membantu saya untuk menjalani kehidupan di kampus dengan penuh bermakna. Sewaktu di kampus, saya juga diamanahkan sebagai pemimpin pelajar di semua Universiti yang saya diami. Tanggungjawab dan amanah digalas berbekalkan sokongan padu sahabat sekalian. Sungguh indah pengalaman ini pasti tidak cukup wang untuk dibeli kerana nilainya tinggi sukar diperolehi.

Apabila terkenangkan apa yang telah dilalui pada zaman kampus dahulu, terasa benar kerinduan diri ini untuk mengharungi semula kemanisan pada saat itu. Sekarang tiada lagi usrah sebagai medan untuk saling berpesan dengan kebenaran, saling bertolongan dalam mengatasi kesulitan dan saling mengingati agar tidak berterusan melakukan kesilapan.

Teringat lagi antara kandungan pengisian usrah yang sering menjadi topik perbincangan kami. Antaranya ‘membalas yang makruf dan berterima kasih’. Butir perbincangan adalah berdasarkan buku Keperibadian Muslim. Satu daripada akhlak muslim yang baik lagi mulia ialah membalas budi baik dengan balasan yang lebih baik dan tidak menafikan budi baik orang. Ianya selaras dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Barangsiapa yang telah menerima budi baik hendaklah dia membalasnya” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi).

Ya..mensyukuri dan berterima kasih ke atas nasihat yang benar dan budi baik adalah tergolong di dalam akhlak muslim yang terpuji. Justeru orang yang telah membuat kebaikan kepada kita amat perlu disyukuri dan mengucapkan terima kasih kepadanya walaupun mereka tidak mengharapkan balasan daripada jasanya. Walaupun begitu, orang yang menerima budi perlu menghargai jasanya..walaupun sekadar dengan ucapan terima kasih sahaja, kalau mampu balaslah dengan balasan yang sama atau melebihi daripada jasanya.

Selain itu amat perlu untuk sentiasa ‘mengembirakan hati sesama manusia’. Ya menurut intipati buku itu lagi, muslim yang sedar lagi disinari hidayah agamanya akan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan kegembiraan di mana dia berada. Sesungguhnya, menaburkan keriangan, murah kasih sayang dan kegembiraan dalam kalangan masyarakatnya serta menanamkan bibit kegembiraan di hati manusia lain menurut lunas-lunas Islam adalah perkara yang dituntut dalam syariat Islam.

Jadilah suasana (bi’ah) Islam itu dilimpahi dengan kegembiraan, disirami oleh kasih sayang dan digenangi dengan air mata sukacita dan dipenuhi pula dengan wajah-wajah yang tersenyum simpul. Justeru itulah, Islam memberikan kegembiraan yang berlipat ganda kepada sesiapa yang mengembirakan hati orang lain, kerana InsyaAllah..Allah SWT akan mengembirakan hati kita pada hari kiamat kelak. Sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Barangsiapa berjumpa saudaranya yang muslim, dengan apa yang disukai Allah SWT dengan tujuan mengembirakan perasaan saudaranya, Allah SWT mengembirakan dia pada hari kiamat”. (Riwayat At-Tabrani dengan sanad Hasan).

Justeru anda dan saya..usah kita lupa untuk bersyukur dan berterima kasih dengan orang yang berbudi dan berjasa. Berbuat baiklah kepada mereka dan seandainya ada kesilapan yang mereka lakukan, ringankanlah untuk menghulurkan kemaafan kerana tidak ada ruginya kerana mereka pernah berjasa dengan kita. Berusahalah untuk mengembirakan hati orang lain selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Mungkin dengan sedikit kegembiraan yang kita berikan akan mampu mendekatkan dirinya kepada Allah dan seterusnya membuatkan kehidupannya kembali bersinar kerana masih ada yang sayang dan mengambil berat terhadap dirinya.

InsyaAllah..akan saya kongsikan intipati usrah yang pernah saya ikuti bersama pembaca sekalian yang amat saya sayangi dan kasihi. Yang baik jadikan pedoman yang buruk terus diketepikan. Moga kehidupan kita seterusnya memperoleh keberkatan dan mendapat hidayah Allah yang berpanjangan. Amin…

Bertemu lagi…

Friday, July 23, 2010

Ramadhan - Moga Kita Diketemukan

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang tadi saya berkesempatan untuk membaca akhbar harian berkaitan isu terkini yang sedang hangat diperkatakan. Ya..isu buang bayi, anak derhaka dan si tanggang moden adalah antara berita yang amat gerun untuk dibaca. Walau bagaimanapun, apa yang amat menarik perhatian saya ialah berkaitan pelbagai iklan yang dipaparkan bagi memastikan kemeriahan sambutan hari raya yang bakal menjelang tiba. Iklan biskut raya, baju raya, kain raya semuanya ada, tawaran hebat beserta diskaunnya sekali. Sungguh menarik kalau kita tidak berfikir dua kali, rasanya pasti semuanya hendak dibeli.

Kadangkala terdetik juga di hati saya, Ramadhan belum menjelma, persiapan raya yang menjadi perkara utama. Maafkanlah saya kalau ada yang terasa. Bukan persiapan hari raya itu salah, tetapi jangan sampai kita terlupa akan kehebatan Ramadhan yang bakal disambut nanti. Ramadhan yang lepas telah memberi kesedaran dan keinsafan kepada saya betapa kerdilnya diri ini, kerugian yang amat sangat dapat dirasai kerana tidak dapat menjalankan ibadat puasa dengan sempurna. Ya..sewaktu itu, saya telah diuji dengan kesakitan dan terpaksa berada di hospital sepanjang bulan Ramadhan 2009. Sayu sekali apabila mendengar jemaah di masjid berhampiran menunaikan solat Tarawih kerana diri ini hanya mampu terlantar di atas katil sahaja. Betapa rindunya pada waku itu untuk turut serta jemaah yang lain tetapi apakan daya, kesakitan juga Allah yang kurnia. Yang penting, ingatlah waktu sihat sebelum sakit, apabila dalam keadaan sakit banyak perkara yang kita tidak dapat lakukan, keseronokan dan kegembiraan bukan lagi menjadi keutamaan. Nikmat kesihatan tiada tandingan, perhebatkanlah amal ibadat dan rebutlah peluang keemasan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT serta untuk mendapatkan pengampunan-Nya di atas segala perbuatan mendatangkan dosa yang telah kita lakukan.

Moga Ramadhan pada tahun ini sempat saya lalui kerana Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan keberkatan. Abu Hurairah r.a menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah mengembirakan para sahabat dengan kedatangan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang berkat. Allah SWT telah mewajibkan kepada kamu puasanya (Ramadhan). Di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka dan dibelengu padanya syaitan-syaitan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang mengharamkan kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah diharamkan”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Nasaei). Begitulah motivasi Ramadhan untuk kita umatNya. Rebutlah peluang, jika tidak mahu mendapat kerugian, penyesalan tiada gunanya.

Ya..saya teringin sekali mengajak sahabat sekalian untuk bersama-sama memperbaharui azam bagi menyambut dan mengisi kedatangan Ramadhan ini sebaik mungkin. Usah terlalu memikirkan tentang kehebatan dan kemeriahan untuk sambutan hari raya semata-mata. Ramadhan hanya setahun sekali. Kalau dizinkan Allah kita akan dapat bertemu Ramadhan pada tahun ini, tetapi pada tahun hadapan belum tentu lagi. Ramadhan adalah masa dan peluang umat Islam untuk melipat gandakan kebajikan kerana inilah bulan perniagaan yang amat menguntungkan kerana ganjaran pahala yang berlipat ganda Allah akan kurniakan. Perhebatkan amal ibadat, Solat Tarawih, Witir dan Tahajjud usah diabaikan, pastikan tadarrus al-Quran saban malam kalau tidak mahu berterusan kerugian. Marilah sama-sama kita berdoa dan berharap agar dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia ini. Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sebelum tiba bulan Ramadhan dengan bermula bulan Rejab sering memperbanyakkan doa. Antaranya ialah maksudnya; “Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada kami di bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan" (Hadis riwayat Al-Tabrani).

Justeru persediaan menyambut Ramadhan perlu disegerakan bagi menzahirkan betapa gembiranya kita untuk menunggu kedatangannya. Ya..sebagai langkah segera, perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Sya’ban yang tinggal cuma dua minggu sahaja lagi. Rebutlah segera peluang yang masih terbuka sebagai persiapan menyambut Ramadhan yang InsyaAllah bakal tiba tidak lama lagi. Rasulullah SAW sendiri telah mengamalkan puasa pada bulan Sya’ban sebagaimana dinyatakan oleh ’Aisyah r.a maksudnya; “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa dalam satu bulan, melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat baginda dalam mana-mana bulan lain lebih banyak berpuasa melainkan bulan Sya’ban” (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Entah kenapa saya amat merindukan Ramadhan pada tahun ini. Mungkin kerana saya tidak dapat menyambutnya dengan penuh bererti pada tahun lepas menyebabkan saya ternanti-nanti untuk menyambutnya. Moga Allah pertemukan saya dengan Ramadhan bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan ini. Ramadhan kunanti, rasanya tak sabar lagi, kerana ingin sekali diri ini menebus kembali segala kekurangan yang telah dilalui dalam bulan Ramadhan pada tahun sebelum ini.

Anda dan saya..marilah sama-sama kita memperbaharui azam dan tekad, moga keberkatan Ramadhan dapat kita perolehi dan kehebatannya dapat kita nikmati. Harapan kita agar ia mampu menggilapkan dan membersih diri daripada sebarang penyakit hati, ringan untuk beribadah dan segala ujian dapat diatasi. Sesungguhnya Ramadhan adalah lambang kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya yang menyedari dan menginsafi akan kehebatan Allah SWT Yang Maha Pemberi atas segala yang kita miliki. Begitu agungnya kasih sayang Allah kepada kita semua. Muhasabah diri, kenali diri dan berusahalah untuk menghayati Ramadhan dengan penuh terisi melalui perbuatan, tindakan dan amalan baik yang mampu mendekatkan diri hanya kepada Ilahi. Moga Allah kurniakan kekuatan kepada kita untuk melakukan amal ibadah agar Ramadhan menjadi kenangan yang terindah buat kita semua. Mudah-mudahan Ramadhan ini dapat kita sama-sama lalui sekali lagi. Amin..

Bertemu lagi...

Wednesday, July 21, 2010

Indahnya Kenangan

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini merupakan hari ketiga saya menjalankan kajian di luar pejabat. Kalau dahulu menjalankan kajian kebiasaanya tidak bersendirian, tetapi kini lain pula caranya. Apabila bertugas berseorangan begini, yang paling merisaukan saya ialah jika tersesat arah tuju. Maklumlah masa yang dijanjikan perlu ditepati, kalau tidak ia akan menjejaskan perancangan untuk sehari yang kesannya bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi terhadap orang lain yang turut menerima tempiasnya nanti. Justeru itu, ketepatan masa merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius dalam menjalankan kajian. Alhamdulillah..setakat ini tugas yang diamanahkan telah dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama yang cukup hebat diberikan oleh pihak yang terlibat.

Sungguh manis pengalaman yang saya lalui pada hari ini. Sebagaimana biasa, saya bertolak dari rumah jam 6.20 pagi. Pengalaman pada hari pertama telah membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengalas perut dengan makanan yang agak berat kerana kajian dijalankan secara terus menerus hampir empat jam. Sebagai persediaan, saya singgah di warung untuk membeli sebungkus nasi lemak bersambalkan sotong. Sepanjang perjalanan saya terfikir sendiri di mana tempat yang terbaik untuk saya bersarapan sebelum sampai ke destinasi. Kalau melalui lebuh raya pasti tidak menjadi masalah kerana terdapat hentian rehat, jadi dapatlah menjamu selera. Alhamdulillah..akhirnya saya bertemu dengan satu kawasan lapang di tepi jalan, jadi saya mengambil keputusan untuk memberhentikan kereta. Apa lagi nasi lemak yang ada terus dibuka tanpa menoleh kiri dan kanan saya terus makan dengan berselera di dalam kereta. Saya tersenyum sendiri memikirkan apa yang saya lalui pada awal pagi hari ini. Pastinya kenangan ini terpahat di hati.

Masih segar dalam ingatan saya ketika bertugas luar ke Johor pada bulan lepas. Oleh kerana mengejar masa, makan tengahari diabaikan sahaja. Apabila tugas selesai, jam 9.00 malam barulah kami berpusing-pusing mencari warung atau restoran. Kami berusaha mencari kedai yang menjual nasi beriani tetapi kecewa waktu malam ia tidak dijual lagi. Mungkin bukan rezeki kami. Alhamdulillah..masih ada warung yang dibuka dapatlah kami menjamah nasi berlaukkan sekadar apa yang ada, yang penting perut perlu diisi dengan nasi juga. Kebetulan kami bertiga..kalau tersesat pun tidaklah gusar kerana InsyaAllah akan ada jalan keluar.

Sebenarnya dalam menjalankan kajian, yang paling utama ialah misi tercapai. Maklumat dan data diperolehi merupakan aspek yang amat penting bagi menjamin tujuan kajian dapat direalisasi. Menjalankan kajian juga memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Perlu ada kemahiran memujuk dan menggali agar apa yang diperlukan dapat diterokai secara mendalam. Yang pasti kerjasama yang baik dengan peserta kajian amat perlu dititikberatkan supaya maklumat yang diperlukan mudah diperolehi.

Sebagai penyelidik, hubungan yang baik dengan peserta kajian amat diperlukan. Pastinya, manis tutur kata, halus budi bahasa, tidak meninggi diri dan sentiasa bersedia untuk mendengar segala luahan idea akan membantu mempermudahkan kita untuk mendekati peserta yang dikaji. Kemesraan yang dihulurkan akan menyebabkan kedua-dua pihak merasa selesa. Ya..kejayaan penyelidikan yang dijalankan amat bergantung kepada peserta kajian. Justeru sebagai penyelidik, peliharalah hubungan dengan mereka dan hormatiah mereka agar mereka merasa amat dihargai dan diperlukan.

Dalam kehidupan, sememangnya kita saling memerlukan kerana kita tidak mampu bersendirian walaupun kita memiliki segalanya termasuk wang ringgit, kuasa dan kepakaran. Tidak terkecuali apabila melaksanakan pekerjaan, pastinya kerjasama yang jitu amat diperlukan agar tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan secara bersama dalam satu pasukan. Begitu juga dengan kajian, ianya tidak akan dapat disempurnakan seandainya tiada penglibatan dan kerjasama serta sokongan daripada mereka yang berkenaan. Oleh itu, hubungan yang sedia terjalin perlu diteruskan kerana ada waktunya kita memerlukan pertolongan dan bantuan. Khusus untuk peserta kajian, sungguh indah kenangan bersama kalian. Kerjasama yang diberikan sungguh mengkagumkan, sekadar ucapan terima kasih yang mampu saya berikan.

Anda dan saya..setiap kita mempunyai keistimewaan, keunikan, kepakaran dan kebolehan yang berbeza. Justeru kenali diri sendiri dan kenali juga sahabat dan saudara di sekeliling kita. Allah jadikan kita tidak serupa untuk menyedarkan kita bahawa kita manusia tidak sempurna dan saling memerlukan untuk mengurus dan mentadbir alam ini. Firman Allah SWT maksudnya; “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi alam ini” (Surah Al-Anbiya:107). Oleh itu, marilah kita saling menghargai antara satu sama lain kerana kedapatan kelebihan dan keistimewaan orang lain yang tidak ada pada diri sendiri. Fikir-fikirkanlah agar sifat sombong dan tinggi diri dapat dihindari kerana kekuasaan dan kehebatan yang dimilki belum tentu berkekalan buat selamanya kerana sebagai manusia kita sering diuji.

Mudah-mudahan kita dibekalkan dengan sifat rendah diri, indah pekerti dan baik budi supaya orang lain bersedia untuk menjalinkan persahabatan dengan kita dan seterusnya menerima kita seadanya. Suburkanlah perasaan kasih dan sayang sesama sendiri agar ukhuwwah Fillah yang tulus dan suci dapat disemai dalam diri. Rasulullah SAW bersabda maksudnya; “Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim, tidak boleh dia menzalimi dan tidak boleh membiarkan tidak menolongnya. Barangsaiapa yang memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi hajatnya. Barangsiapa melepaskan kesusahan saudaranya, maka Allah akan melepaskan kesusahannya di hari kiamat. Dan barangsiapa menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat”. (Hadis riwayat Muslim).

Moga Allah limpahkan perasaan kasih dan sayang sesama kita kerana sesungguhnya kita bersaudara. Amin…

Bertemu lagi…

Tuesday, July 20, 2010

Peringatan Agar Tidak Lupa

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini seawal jam 6.30 pagi saya telah bertolak ke Nilai, Negeri Sembilan kerana bertugas luar. Saya tiba agak awal justeru masa yang terluang diisi dengan membaca buku U Turn Ke Jalan Lurus yang kebetulan tersimpan di dalam kereta. Teringin sekali untuk saya kongsikan salah satu peringatan yang terdapat dalam buku tersebut kerana intipatinya sungguh hebat sekali untuk kita jadikan pedoman dalam mengurus dan mentadbir kehidupan di dunia ini. Peringatan yang sarat dengan pesanan dan nasihat ini sewajarnya dijadikan tangkal dan azimat di hati. Justeru itu marilah sama-sama kita hayati dan amalkan tanpa berlengah lagi. Demikianlah bunyinya...

Berfirman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai anak Adam, bersabarlah dan bertawadduklah nescaya akan kutinggikan darjatmu. Bersyukurlah kepada-Ku nescaya Aku akan tambahkan. Pintalah keampunan-Ku nescaya Aku akan mengampunkan. Apabila kamu berdoa kepada-Ku nescaya Aku akan berikan. Bertaubatlah kepada-Ku, Aku akan menerima taubatmu.

Pohonlah kepada-Ku, Aku akan berikan. Bersedekahlah, nescaya Aku akan berkatkan rezekimu. Hubungkanlah silaturrahim, nescaya Aku akan tambahkan umurmu. Pintalah daripadaKu kesejahteraan dengan kesihatan yang panjang, keselamatan dalam bersendirian, keikhlasan dalam kemahuan, warak pada Allah dalam taubat, kekayaan dalam qanaah.

Wahai anak Adam, bagaimana mungkin kamu tersangat ingin kepada ibadah, sedangkan kamu beserta dengan perut yang kenyang? Bagaimana engkau akan mencintai Allah, sedangkan engkau mencintai harta? Bagaimankah kamu sangat teringin mendapat hati yang terang, sedangkan kamu banyak tidur?

Bagaimanakah kamu akan takut kepada Allah, kerana yang kamu takut ialah kefakiran? Bagaimanakah kamu ingin mendapatkan warak sedangkan kamu tamak terhadap dunia? Bagaimanakah kamu ingin mendapatkan keredhaan Allah sedangkan kamu tidak mencintai orang miskin?

Bagaimanakah kamu tamak terhadap keredhaan, sedangkan kamu berserta kebakhilan? Bagaimanakah kamu tamak terhadap syurga sedangkan kamu berserta hati yang mencintai dunia dan pujian? Bagaimanakah kamu ingin kebahagiaan abadi di akhirat sedangkan kamu berserta ilmu yang sedikit?” (Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali).

Demikianlah petikan yang telah mampu mengetuk pintu hati saya. Ya..betapa diri ini amat jauh lagi untuk mengharapkan syurga Ilahi kerana kurangnya amal dan ilmu yang dimiliki. Kesabaran masih rapuh dalam diri. Keletihan dan kepenatan bekerja menyebabkan ibadah malam seringkali terabai dek lena dibuai mimpi. Silaturrahim juga tidak djaga dan dipelihara kerana hanya mementingkan perihal keluarga sendiri sahaja. Kadangkala rezeki yang diperoleh dirasakan atas sebab usaha sendiri sehingga terlupa bahawa Allah Yang Maha Memberi, justeru bersedekah jarang sekali dan untuk mengeluarkan zakat perlu diperingati. Kita juga sering melakukan apa yang Allah tidak suka, kerana mengharapkan pujian manusia semata-mata hatta untuk menutup aurat pun kita berkira kerana belum sampai masa. Ya..sesungguhnya untuk memasuki syurga tidak semudah yang disangka, perlu berbekalkan ilmu di dada agar kehidupan kita sentiasa berpaksikan apa yang Allah suruh dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Justeru, ayuh kita berterusan bertaubat, memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Esa. Betapa diri ini banyak melakukan dosa, moga Allah memberi pengampunan kepada kita semua. Alangkah bagusnya, seandainya bermula daripada saat ini kita gunakan segala yang ada pada kita untuk perkara yang baik-baik sahaja. Mulut, mata, telinga, tangan dan kaki digunakan secara berhati-hati belandaskan ilmu dan iman agar perkara yang mendatangkan dosa dapat dihindarkan dan ganjaran pahala yang menjadi idaman berterusan berada dalam genggaman. Allah berfirman; “Sesungguhnya Kami kembalikan ke dalam neraka Jahanam nanti ramai daripada golongan manusia dan jin, mereka mempunyai hati tetapi tidak faham dengannya, punya telinga tetapi tidak mendengar dengannya, punya mata tetapi tidak melihat dengannya. Mereka seperti binatang ternak bahkan lebih hina” (Surah Al-A’Raf :179).

Hati adalah segala-galanya. Jagalah hati, peliharalah hati dan elakkanlah daripada penyakit hati kerana ia merosakkan diri. Anda dan saya marilah sama-sama kita saling bertolongan dalam menjaga hati agar tidak terus dicemari. Hati perlu dibaja, makanan rohani perlu diisi agar hati lebih memahami dan mengerti akan kejadiaan dan kurniaan Allah Yang Maha Hebat ini. Solat lima waktu perlu disegerakan, solat malam usah diabaikan, istiqamah dalam membaca al-Quran serta berdoa dan bertaubat hendaklah selalu diamalkan. Moga kehidupan kita untuk hari ini dan akan datang akan memperoleh keredhaan dan keberkatan yang berpanjangan. Amin…

Bertemu lagi…

Sunday, July 18, 2010

Amanahkah Diri Ini?

Bismillahirrahmanirrahim…

Semalam, hari Sabtu saya telah dijemput sebagai pemerhati dalam Seminar Integriti Warga Pendidik. Alhamdulillah..sungguh bertuah diri ini kerana banyak sungguh ilmu baru saya perolehi serta pengalaman yang dikongsi juga amat berharga untuk diteladani. Syabas kepada warga pendidik, walaupun seminar diadakan pada hari Sabtu tetapi mereka tidak gagal untuk menghadirkan diri. Saya yakin, mereka datang bukan kerana terpaksa atau diarah oleh sesiapa tetapi adalah atas keikhlasan hati kerana ilmu yang dicari.

Saya sungguh tertarik dengan ungkapan penceramah, katanya mendengar ceramah sahaja tidak memadai kalau diri sendiri tidak mahu berubah atau tidak ingin untuk mengamalkan apa yang dipelajari. Integriti sungguh mendalam maknanya, sungguh indah sebutannya tetapi tanyalah diri sendiri, berintegritikah diri ini? Adakah kita berlaku jujur, ikhlas dan amanah dalam tindakan, tutur kata dan perbuatan sama ada kita diperhati atau apabila kita bersendiri? Mudahkah kita menggadai maruah dan prinsip apabila dipujuk, digoda dan dirayu atau apabila disogokkan dengan pelbagai hadiah dan juga rasuah? Ya..jawapannya mudah sekali iaitu apabila berada di mana sahaja walaupun orang lain tidak memandang dan melihat apa yang kita lakukan tetapi ingatlah Allah Maha Mengetahui. Oleh itu dalam apa jua keadaan, amanahlah pada diri sendiri, pada organisasi, serta amanah Allah amat perlu ditunaikan sebaik mungkin secara berhati-hati demi kemakmuran bumi ini. Firman Allah SWT; “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan tanggungjawab amanat (kami) kepada langit, bumi dan gunung ganang (untuk memikulnya), tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya (tidak dapat menyempurnakannya), dan manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" (Surah Al-Ahzab: 72).

Ya..dalam melayari kehidupan di dunia ini, kita amat memerlukan ilmu pengetahuan agar tindakan kita tidak tersasar dari landasan yang betul. Integriti sebenarnya mudah difahami dan dihayati. Ianya berkisar tentang harga dan nilai diri dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Yang penting, apa yang dikata hendaklah dikota; apabila bercakap hendaklah dengan hormat; apabila berkata hendaklah yang benar belaka; apabila berjanji hendaklah ditepati, apabila menerima sesuatu ucapkanlah terima kasih; dan apabila meminjam barang hendaklah dipulangkan. Ingatlah hak orang bukan hak kita dan kehidupan kita di dunia hanya sementara. Justeru amanah yang diberi usah dipersia. Amanah menjadi tunjang kepada integriti yang disulami dengan keikhlasan hati dan bukan berlaku baik apabila diperhati sahaja.

Kita perlu bijak mengawal diri, sentiasa berhati-hati dan waspada dalam gerak geri dan tutur kata, serta teliti dalam tindakan kerana amanah yang dipertanggungjawabkan amat berat untuk dilaksanakan. Sesungguhnya, yang paling dekat dengan kita ialah mati, yang paling jauh meninggalkan kita ialah masa, cabaran yang paling besar ialah nafsu dan yang paling berat pula ialah memegang amanah.

Empat perkara ini amat perlu difahami dan dihayati agar perjalanan hidup kita seterusnya diberkati dan diredhai. Pertama; bersedialah untuk menghadapi kematian kerana ianya pasti. Kita tidak dapat menjangkakan bila ia akan terjadi. Justeru tanyalah diri, sudah cukupkah bekalan untuk bertemu Ilahi kerana syurga Allah yang teringin sekali kita masuki. Kedua; masa yang ada usah dipersia kerana Allah masih bagi peluang untuk kita melaksanakan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan hati. Masa yang berlalu pergi tidak akan boleh dikutip kembali. Justeru detik masa yang ada perlu disiikan dengan perkara yang berkualiti. Ketiga; cabaran nafsu sukar sungguh untuk diatasi, seandainya tidak ada integriti serta tidak disertai dengan jati diri dan keimanan dalam diri. Justeru solat, doa, membaca al-Quran dan zikir usah dilupakan agar penyakit hati dapat dihindari. Keempat; amanah yang diterima merupakan tanggungjawab yang perlu dilangsaikan dengan penuh kejujuran, secara adil dan saksama. Seandainya amanah tidak dijaga dan dipelihara natijahnya urus tadbir dunia akan menjadi porak peranda dan ingatlah kemurkaan Allah tiada tandingannya.

Dalam apa jua tindakan, apabila merasa diri tidak diperhatikan bukannya satu jaminan untuk bebas melakukan apa sahaja yang kita inginkan. Banyak sudah kita pelajari, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Ambil iktibar daripada ungkapan ini, sudah ramai yang melakukan rasuah, maksiat, penipuan dan sebagainya yang akhirnya perbuatan mereka lambat laun diketahui umum juga. Jadi sekadar peringatan bersama, sebenarnya diri kita selalu diperhati, malaikat di kiri kanan setia mengiringi dan Allah Maha Mengetahui hatta apa yang tersembunyi di dasar hati serta yang terlintas dalam sanubari. Segala tingkah kita di dunia akan dihisab di akhirat nanti dengan bersaksikan mata, telinga, tangan, dan kaki yang akan membentangkan apa yang telah kita lakukan sepanjang menjalani kehidupan di bumi Allah ini. Jadi berwaspadalah kerana Allah jadikan kita bukan secara sia-sia, semua akan diperhitungkan di akhirat tempat yang kekal abadi.

Sering kedengaran di telinga kita butir bicara bahawa manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Perasaan kecewa sering melanda apabila kesalahan yang sama dilakukan secara berulang-ulang. Yang pasti ramai orang yang membuat kesilapan tetapi tidak ramai yang belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan. Kadangkala kita terjatuh dalam lubang yang sama lebih daripada sekali kerana kita tidak penah berusaha untuk menimbus lubang tersebut untuk mengelakkan kita daripada terus tergelincir lagi. Usah sudah terhantuk baru tengadah. Ambillah pengajaran dan iktibar dengan apa yang telah kita alami, dengari, pandang dan perhati. Yang boleh membinasakan dan memusnahkan diri sewajarnya terus diketepi, manakala yang baik pula jadikan azimat untuk dicontohi dan diteladani.

Anda dan saya..marilah kita renung sejenak erti kesyukuran, kebahagiaan dan keikhlasan kerana ia titik tolak kepada ketenangan, kesejahteraan dan kedamaian diri. Sayugia ditegaskan bahawa untuk mendapatkannya sukar sekali, amat memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana cabaran nafsu amat hebat yang perlu kita tempuhi. Dosa dan pahala usah dilupa, agar segala perbuatan kita bukan sekadar ikut suka dan sesedap rasa sahaja. InsyaAllah..kita akan dapat mengecapi kenikmatannya yang berpanjangan bukan sahaja di dunia tetapi nun di sana syurga sedia menanti.

Justeru untuk meningkatkan amalan dan kualiti peribadi, ilmu usah jemu digali dan diterokai. Semakin tinggi ilmu, semakin banyak yang kita akan ketahui kerana orang yang berilmu di sisi Allah darjatnya tinggi. Yang penting, ilmu yang dimiliki menjadi ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk dikongsi bersama dengan orang lain. Natijahnya, kemakmuran dan kesejahteraan alam ini lebih terjamin.

Mudah-mudahan kehidupan kita seterusnya akan diberkati dan diredhai dan petunjuk Allah sentiasa bersama dalam melayari kehidupan ini. Amin..

Bertemu lagi…

Tuesday, July 13, 2010

Inikah Erti Kehidupan?

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang tadi saya pulang agak lewat kerana mesyuarat berakhir jam 5.30 petang. Sebagaimana biasa, sewaktu beginilah kenderaan banyak berada di jalan raya, maklumlah semuanya berpusu-pusu mahu pulang ke rumah setelah seharian berada di tempat kerja. Selain itu, mentari pula memancar terik, menyebabkan mata menjadi sakit dan letih. Kepenatan pula amat terasa, justeru pada saat ini suasana damai dan tenang amat diperlukan agar keletihan tidak terbawa sehingga ke malam.

Alangkah beruntung sekiranya orang yang ada di sekelilng memahami situasi kita. Berusaha untuk menggembirakan hati sehinggakan rasa penat tiada lagi. Kadang kala rasa kasihan pula kepada anak, tidak sempat untuk saya bersembang panjang, bertanya khabar tentang apa yang berlaku di sekolah. Selepas solat Isyak, terus terlelap seketika dan apabila terjaga, sukar pula nak pejamkan mata. Apabila tidak buat apa, fikiran mula melayang entah ke mana, memikirkan yang bukan-bukan tiada ertinya. Benar sekali kata sahabat saya, seandainya kita biarkan diri kita kosong tanpa berbuat apa-apa, awas tentang fikiran kita, kerana ianya perlu dikawal selia, jika tidak pasti fokusnya tiada. Adakalanya kita mula memikirkan yang tidak sepatutnya menyebabkan jiwa dan hati menjadi kacau bilau dan syaitan mula mengacau.

Bagi mengelakkan fikiran daripada berterusan melayang tanpa tujuan, penuhkan waktu dengan pelbagai pengisian, usah dibiarkan kosong kerana bimbang kita fikir yang bukan-bukan. Sibukkan diri agar perkara yang remeh boleh diketepikan. InsyaAllah akhirnya kehidupan yang dilalui menjadi lebih bererti dan bermakna. Sekiranya kita tidak mampu menyendiri, carilah teman yang boleh dipercayai dan diyakini untuk berkongsi masalah yang dihadapi. Moga dengan secebis luahan, ringanlah sedikit bebanan yang tersimpan apatah lagi apabila kedapatan nasihat dan bimbingan yang diberikan untuk kita jadikan panduan.

Sebenarnya adalah lebih baik kita muhasabah diri tentang apa yang telah kita lakukan sepanjang hidup ini. Sebarang kesilapan,dan kelemahan, pastikan keesokan hari tidak diulangi lagi. Pastikan hari esok yang bakal kita hadapi dan lalui, pengisiannya lebih baik daripada semalam kerana penambahbaikan secara berterusan amat pelru dititik beratkan. Sekiranya kita sentiasa mencari kesalahan orang, apalah sangat yang boleh kita lakukan, faedahnya tiada tetapi kita sekadar membazirkan waktu sahaja. Kenapa waktu yang ada untuk kita tidak dimanfaatkan sebaik mungkin dengan perkara yang mendatangkan faedah serta menguntungkan kerana itulah yang terbaik buat kita.

Dalam kehidupan ini, semesti ada harinya kita mengalami kekecewaan dan ada masanya kita dianugerahkan kegembiraan dan kebahagiaan. Kita perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang perubahan dan kemungkinan yang tidak dijangkakan. Usah diharapkan panas sentiasa sampai ke petang, sebab ada kalanya hujan turun pada waktu tengahari. Jangan kerana sedikit musibah yang menimpa, kita menjadi menggelabah, seolah sudah berakhirlah kehidupan kita. Perasaan kecewa, runsing, sedih dan hampa menguasai jiwa dan akhirnya kehidupan bertemankan air mata sahaja. Bukankah ianya sia-sia belaka?

Usah kerana kehilangan cinta, menyebabkan hidup kita merana. Mungkin cinta yang hilang tidak baik untuk kita. Janganlah bersedih hati sehingga meragut kewarasan diri, apabila orang tersayang dijemput pergi menghadap Ilahi, kerana kematian itu pasti cuma cara dan ketikanya sahaja yang berbeza. Begitu juga, dengan alam rumah tangga, pasti ada suka duka dan pahit manis pasti dirasa. Semalam saya membaca akhbar, perihal kisah empat orang isteri yang kecewa digantung tidak bertali tanpa nafkah, serta tiada lagi kasih sayang dan simpati daripada suami terhadap isteri. Akibatnya, isteri bertindak di bawah sedar hubungan terlarang terjalin sudah demi mengisi kekosongan dalam diri dan hati. Akibatnya dosa bertambah dek kerana kecuaian suami dan kelemahan isteri sehinggakan diri tidak terkawal lagi akhirnya nafsu menguasai diri. Kesannya dosa dan pahala tidak diambil peduli lagi.

Bukan tujuan kita hendak mencari siapa yang salah, siapa yang benar. Yang penting, apa jua ujian dan musibah yang menimpa, tanganilah ia secara berhati-hati penuh waspada, agar diri kita tidak terjerumus ke lembah dosa. Senjata dan kuncinya ialah tabah dan sabar sentiasa, anggaplah ujian yang Allah beri adalah untuk menambahkan pahala buat kita. Seandainya kita dapat menangani dengan cara yang terpuji, faedah dan nikmatnya pasti berganda. Ujian yang kita hadapi sekadar untuk menguji darjah keimanan kita, iaitu sejauh mana kita mampu menghadapi kerana ganjaran pahala tersedia menanti bagi orang yang mengerti. Mohonlah pertolongan Allah apabila kita diuji, mendekatkan diri dengan Allah itu lah cara yang dikehendaki agar kita tidak berterusan hanyut dengan kesulitan dan kesedihan yang kita alami. Sesungguhnya setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Yakinlah dengan Firman Allah SWT; “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu sudah selesai (dari sesuatu urusan) kerjakanlah dengan sungguh-sunguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap”. (Surah Al Insyirah: 5-8).


Anda dan saya, mudah-mudahan Allah menjadikan kita dalam golongan orang yang sabar dan tabah dalam menghadapi ujian kehidupan, sentiasa berwaspada dalam membuat tindakan serta berhati-hati dalam membuat keputusan. Moga kehidupan kita memperoleh keberkatan. Amin…

Bertemu lagi…

Saturday, July 10, 2010

Hargai Budi Kenangi Jasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam kehidupan ini, kesunyian pasti terasa seandainya kita berseorangan. Tiada teman untuk bergurau senda, tiada keluarga tempat bermanja menyebabkan hati dan jiwa menjadi gersang kerana kepada siapa hendak disandarkan perasaan. Kita semua amat mengidamkan suasana kehidupan yang penuh ketenangan dan kedamaian yang bersulamkan kasih dan sayang. Oleh kerana ujian kita berbeza, maka cara kehidupan kita juga menjadi tidak sama kerana keperluan dan kemahuan kita tidak serupa. Justeru amat perlu kita memahami dan mengerti, hakikat perbezaan ini, agar mudah untuk kita menerima orang lain seadanya. Berkasih sayang sesama manusia tiada salahnya, yang penting batasnya ada, sempadannya usah dilupa.

Begitulah kurniaan Ilahi pada jiwa ini, mudah menyayangi dengan sesiapa sahaja yang didekati, apatah lagi seandainya yang ditemui ialah kanak-kanak yang bersih hati, rasa sayang tidak berbelah bagi. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Pengalaman sahabat, saya jadikan pedoman untuk memberi kasih dan sayang. Pernah satu ketika, saya mendengar keluhan seorang teman katanya, dek kerana mudahnya mengalir perasaan sayang, diri kita pula ditikam dari belakang. Kasih sayang yang diberi telah dikhianati, membuatkan orang lain turut membenci. Kadangkala kasih sayang dihulurkan tidak dihargai yang paling menyakitkan apabila disalah erti. Apabila disayangi, dikatakan ingin berbudi kononnya untuk mengambil hati kerana ada hasrat yang tersembunyi. Akhirnya kasih sayang yang sudah terbina ditolak ketepi dan dicaci. Segala kebaikan habis terpadam, tiada sedikit dalam kenangan. Sebaliknya kesilapan yang sedikit diperbesar-besarkan dan kepada orang lain turut dihebahkan.

Sungguh menghairankan kenapa kita menjadi orang yang sombong diri, tiada sekelumit perasaan rendah diri untuk orang yang pernah berbudi. Budi yang ditabur bukan mengharapkan balasan memadai sekadar ianya berada dalam ingatan. Sekadar peringatan untuk renungan, hargailah orang yang pernah berbudi dan kenangilah orang yang telah berjasa walaupun budi baiknya sekelumit cuma. Pandanglah wajah ayah bonda serta saudara dan sahabat kita. Betapa banyaknya budi dan jasa mereka, yang telah membuatkan kehidupan kita menjadi sangat bermakna. Sewajarnya, salah dan silap mereka kita ketepikan kerana terimalah hakikat bahawa kita ini hamba Allah yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tanyalah diri sendiri, tenangkah diri kita serta damaikah perasaan hati seandainya dalam hidup ini kita pernah menyakiti dan membuat orang lain dibenci kerana tingkah laku dan tutur kata kita yang tidak berjaga-jaga? Benar pepatah mengatakan, kerana mulut badan binasa, kerana mulutlah persahabatan tersadai dinpertengahan jalan, kasih sayang terputus tanpa ikatan, serta ukhuwwah terlerai dek lemahnya iman. Akibat tersilap tutur dan kata, boleh menggoncang rumah tangga hingga menyebabkan ia menjadi porak peranda kerana mudah menerima segala bentuk berita tanpa diperiksa akan kebenarannya. Mulut sungguh berbisa seandainya tidak berhati-hati dalam mengeluarkan cerita dan bicara, Kesannya ia membuatkan diri menjadi sengsara dan akhirnya keluarga menjadi tidak bahagia.

Alangkah bagusnya sekiranya kita berbaik sangka tidak akan timbul sengketa tanpa diduga. Seandainya ada syak wasangka, usah dibiarkan begitu sahaja. Mohonlah penjelasan agar terang duduk perkara supaya penyakit hati dapat dipadam. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, usah kita menjadi orang yang mudah lupa untuk menghargai orang yang pernah berbudi dengan kita. Kadangkala waktu susah sahaja kita memerlukan pertolongan dan bantuan orang, waktu senang dan bahagia terlupa pula untuk dikongsikan. Usah menjadi orang yang lupa daratan, sombong diri tidak tentu haluan akhirnya diri sendiri yang menanggung kerugian. Firman Allah SWT; "Janganlah engkau berjalan di atas muka bumi ini dengan sombong, sesungguhnya engkau itu tidak dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai setinggi gunung” ( Surah al-Isra’: 37).

Marilah kita mengambil masa sejenak, memikirkan perihal mereka yang pernah berbudi dan berjasa dengan kita. Berusahalah agar tidak menyakiti hati mereka walaupun ada perbuatan dan tutur katanya yang mengguris hati kita. Alangkah baiknya kalau kita berlapang dada, memberi kemaafan sahaja kerana selama ini sewaktu kita susah dan memerlukan bantuan serta bimbingan, merekalah yang sentiasa ke hadapan untuk menghulurkan pertolongan. Justeru usah sakiti hati mereka, andainya ada rasa tidak suka, ketepikan saja kerana selama ini kasih sayangnya telah dicurahkan untuk kita.

Anda dan saya, bahagianya kita sekiranya dapat menabur budi dan jasa, apatah lagi seandainya ia dihargai dan dikenang. Balasan yang diharapkan bukannya ganjaran, memadai ianya terpahat dalam ingatan diiringi doa yang berterusan agar diri ini sentiasa ringan untuk menghulurkan bantuan pada saat orang lain sangat memerlukan.

Sesungguhnya kita amat mengharapkan agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang mudah lupa dan leka, mengingati Allah hanya seketika iaitu pada kala duka dan derita sahaja. Waktu senang dan bahagia kita sering terlupa kepada Allah Yang Maha Esa apatah lagi kepada sesama manusia yang pernah berjasa dan berbudi dengan kita. Hargailah budi, kenangilah jasa.

Bertemu lagi…

Friday, July 9, 2010

Lemahnya Diri Ini

Bismillahirrahmanirrahim…

Masih terngiang-ngiang kedengaran di telinga saya apabila sahabat mengatakan bahawa apabila diri kita banyak melakukan dosa, maka kita tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Ya, saya memikirkan tentang diri sendiri betapa lemahnya diri ini, berterusan melakukan perbuatan yang Allah tidak suka, bukannya tidak tahu tentang dosa dan pahala tetapi sering kali diri ini leka dan terlena. Teringin sekali untuk saya mengoreksi diri agar saban hari diri ini bersih hatta daripada secebis kesalahan yang mendatangkan dosa. Azam dan tekad berterusan disematkan tetapi sungguh menyedihkan kerana hasrat yang diimpikan belum kesampaian.

Sebenarnya sungguh tinggi hasrat hati, untuk menjadi wanita dan isteri solehah. Betapa impian ini yang sering bersemadi di jiwa dan sanubari. Kecewa sungguh, saya masih gagal memenuhi hasrat yang dicita-citakan. Ujian getir sentiasa menanti, ujian nafsu amat sukar sekali untuk diatasi. Betapa saya amat memerlukan sokongan suami, anak-anak, teman serta sahabat sekalian. Jiwa ini merintih sedih, hiba serta kadangkala teramatlah kecewa kerana masih pincang dalam meniti liku kehidupan. Bantulah saya untuk menjadi wanita budiman yang mengutamakan perintah Allah lebih daripada segalanya. Doakan saya, agar dikurniakan Allah kekuatan diri agar tidak melakukan perbuatan yang di murkai.

Sangat kerdil dan sungguh lemah diri ini terasa, godaan dunia amat sukar untuk dilupa kerana masih impikan kebahagian dan keseronokan yang bersifat sementara. Duhai sahabat sekalian, sesungguhnya diri ini amat memerlukan bantuan dan pertolongan serta sokongan yang berterusan, agar sentiasa bertingkah laku yang menyenangkan, terhindar daripada perbuatan dosa yang menyebabkan Allah murka. Tidak sanggup lagi diri ini, untuk menjalani kehidupan seterusnya dengan perbuatan dan perkara yang sia-sia kerana nikmatnya hanya sementara sedangkan faedahnya tiada.

Adakalanya saya tewas dengan pujuk rayu syaitan dan godaan manusia dek kerana buta hati dan singkat pemikiran. Setiap malam muhasabah diri tidak pernah dilupakan, memikirkan tentang kesilapan dan kesalahan yang telah saya lakukan, tetapi amat menyedihkan dan menakutkan kerana kesilapan yang sama masih berulang. Kepadamu keluarga, anak-anak serta teman sekalian saya merayu, sekiranya masih ada perasaan sayang dan kasih terhadap diri ini, bantulah dan berilah nasihat dan sokongan agar kehidupan yang dilalui seterusnya terhindar daripada segala bentuk kemungkaran. Sesungguhnya saya amat mengharapkan ketenangan dan kebahagiaan yang berpanjangan dan berkekalan.

Khusus untuk para suami, bantulah isteri untuk masuk ke syurga nanti. Kesalahan dan kesilapan isteri usah dibiarkan berterusan. Berilah nasihat, teguran serta bimbingan, usah diabaikan tanggungjawab kepimpinan. Segala kesilapan dan kesalahan isteri harap dapat dimaafkan kerana akuilah bahawa isteri juga mempunyai kekurangan dan kelemahan. Seandainya masih ada rasa cinta di hati, kesalahan yang kecil jangan diperbesarkan, kerana faedahnya tiada, kebahagiaan dan ketenanganan juga tidak dapat dinikmati.

Bagi para isteri, marilah kita saling ingat mengingati..untuk mendapat cinta dan kasih sayang suami, kadangkala kita terlebih dahulu perlu memberi. Tanamkan rasa rendah diri apabila berhadapan dengan suami, disulami dengan kelembutan tutur kata serta manis bicara, bertingkah sopan tidak menyakitkan mata, serta berilah penghormatan sewajarnya kerana suami berhak mendapatkannya. Jadilah isteri yang mendengar kata, apabila dinasihat terima sahaja kerana tidak rugi melakukan apa yang suami suka. Terhadap suami usah ada syak wasangka, berdoa sahaja untuk kesejahteraan keluarga dan rumahtangga.

Untukmu teman serta sahabat sekalian, bersama kita bertolongan ke arah kebaikan. Peringatan usah jemu diberikan kerana diri ini terlalu lemah sekiranya dibiarkan berseorangan. Firman Allah SWT; “Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang Mukmin” (Surah Al-Dhariyat: 55). Persahabatan yang ikhlas dan suci amat saya harapkan agar kita terlepas daripada godaan syaitan, dan ujian hawa nafsu dapat dilawan. Harapan saya, agar kita memperoleh kemenangan untuk kesejahteraan diri dan ketenteram perasaan. Kesannya amal ibadat kita dapat dipertingkatkan, perkara yang keji dan mungkar dapat kita jauhkan dan InsyaAllah kehidupan kita akan memperoleh keberkatan.

Anda dan saya, marilah sama-sama kita membulatkan tekad dan berazam, untuk tidak terus melakukan kesilapan dan kesalahan yang boleh menjauhkan kita daripada segala suruhan Tuhan dan seterusnya memberatkan diri kita untuk meninggalkan segala larangan-Nya. Hanya kepada Allah kita panjatkan doa, agar hidayah dan rahmatnya sentiasa mengiringi kehidupan sementara kita di dunia ini. Amin…

Bertemu lagi…

Thursday, July 8, 2010

Kesungguhan VS Ketelitian

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya masih bertugas di luar pejabat. Keletihan mula terasa dan pemikiran menjadi kurang tajam maklumlah saya dan sahabat bekerja siang dan malam untuk menulis laporan kajian. Walau bagaimanapun keseronokan bekerja dalam pasukan menyebabkan beban tugas menjadi ringan. Apabila diri merasa tertekan, ada sahaja kata-kata selingan yang mencuit perasaan. Alhamdulillah..ketepuan pemikiran dapat dihuraikan. Indahnya kerja dalam pasukan kerana sahabat sekalian bersedia untuk bertolak ansur, bekerjasama dan saling menghargai antara satu sama lain. Ini membuatkan antara kami tiada yang terasa tersisih kerana semuanya mempunyai kepakaran dan kemahiran yang saling membantu untuk menampung kekurangan dan kelemahan. Khususnya untuk ahli pasukan kajian, saya amat bahagia bersama sahabat sekalian kerana anda begitu bersungguh-sungguh dan teliti untuk menyempurnakan tugasan sebaik mungkin. Keserasian antara kita dapat diwujudkan dan diharapkan kita dapat bertemu dan bekerja lagi dalam satu pasukan.

Kerja secara berpasukan akan gagal seandainya ada dalam kalangan ahli pasukan yang merasakan dirinya terlalu hebat, pendapat orang lain diketepikan dan ideanya sahaja yang hendak diguna pakai. Justeru jauhi sifat ingin menunjuk kononnya sayalah yang paling hebat. Usah takabbur dengan ilmu yang dimiliki, apatah lagi jika kita telah merangkul ijazah PhD. Sewajarnyalah, semakin tinggi ilmu semakin kita merendah diri agar ilmu yang dimiliki dapat sama-sama dikongsi. Sabda Rasulullah SAW; ”Orang yang merendah diri akan diangkat Allah. Orang yang takabbur akan dihina Allah”. (Riwayat Ibn Mundah dan Abu Naib). Bagi memastikan keberkesanan kerja dalam pasukan, bersedialah untuk menerima dan memberi serta ada rasa rendah diri sebab tidak semua perkara kita ketahui. Kita juga perlu belajar daripada orang lain kerana kita berbeza dalam aspek kemahiran, kepakaran, kebolehan dan pengalaman.

Dalam melaksanakan apa jua tugasan, yang paling penting ialah kesungguhan untuk menyempurnakan amanah yang diberikan. Ketelitian amat diperlukan bagi memastikan hasil kerja yang berkualiti dapat dijelmakan. Kadangkala terasa kecewa apabila ada antara kita, membuat sesuatu perkara sekadar untuk menyiapkannya sahaja tanpa memikirkan kualiti dan prestasi kerja. Kesannya, apa yang disajikan sungguh tidak enak dirasa, apabila memandang menyakitkan mata dan apabila dibaca tidak dapat difahami tajuk perkara. Elakkan daripada melaksanakan sesuatu kerja hanya secara sambil lewa dengan harapan ada orang lain yang akan membantu menyempurnakannya. Kenapa kita tidak berusaha dan bertanya bagi memastikan kerja yang dihasilkan ada kualitinya. Bukannya mengharapkan suatu tugas yang dilaksanakan benar-benar sempurna tetapi cukuplah sekiranya kita melakukan yang terbaik mengikut kemampuan dan kebolehan diri.

Apa yang penting, jangan mengambil mudah, sikap tak mengapa asal siap sudah, usah dijadikan prinsip dalam melaksanakan tugasan. Ketelitian amat penting bagi menghindari daripada terlalu banyak kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Usah memandang ringan terhadap setiap tanggungjawab yang diamanahkan, kesannya kita menjadi tidak bersungguh dan tidak cermat apabila menyempurnakan tugasan dan hasil kerja kita pasti tidak memuaskan. Akibatnya orang lain akan hilang kepercayaan dan keyakinan, akhirnya diri sendiri yang menanggung kerugian.

Anda dan saya..kita serupa masih kurang pengetahuan, pengalaman dan juga kepakaran. Justeru masih perlu belajar dan menimba pengalaman kerana proses pembelajaran pastinya berlaku secara berterusan tanpa titik noktah selagi kita diberikan kehidupan oleh Allah. Terima kasih sahabat sekalian, kenangan menyiapkan laporan kajian bersama kalian merupakan memori terindah kerana kita bersama sewaktu susah dan senang. Ukhuwwah yang terjalin sungguh murni dan indah tetap abadi dalam ingatan. Sekiranya kedapatan sebarang kesilapan dan ketelanjuran tindakan, percakapan atau gurauan, harap kita saling memaafkan kerana yang mengguriskan hati itu bukan disengajakan.

Marilah sama-sama kita berdoa agar tugasan yang telah kita laksanakan dan sempurnakan ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT serta dikira sebagai amal ibadat yang berpanjangan. Amin...

Bertemu lagi...

Wednesday, July 7, 2010

Pengorbanan VS Pengertian

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya bersama sahabat berkampung di Sepang sehingga hari Jumaat kerana perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyediakan laporan kajian. Sebagaimana biasa apabila bertugas di luar begini, kami bekerja siang dan malam bermula jam 8.00 pagi, berhenti makan, solat dan sambung semula sehingga jam 11.00 malam. Inilah yang dinamakan pengorbanan, tinggalkan keluarga buat seketika kerana ada tugasan yang perlu disempurnakan. Bekerja juga merupakan ibadah seandainya ia dilakukan secara tertib dan berhemah tanpa melibatkan unsur lagha yang menjauhkan kita daripada suruhan Allah. Bukan kami tidak mementingkan keluarga, tetapi anggaplah ianya satu latihan seandainya perpisahan benar-benar terjadi apabila kita dijemput menghadap Ilahi. Bukankah kematian itu pasti?

Bagi kaum lelaki, mencari rezeki merupakan tanggungjawab hakiki untuk menanggung keluarga termasuk isteri dan anak-anak. Ya bagi golongan wanita pula, ia sekadar untuk membantu suami bagi mengukuhkan ekonomi rumahtangga. Apabila memikirkan perihal ini..terdetik rasa di hati betapa beruntungnya seorang isteri yang kerja sepenuh masa di rumah, menyediakan makan minum untuk suami dan anak, pahalanya berganda, untungnya pun banyak. Apabila bekerja di rumah, diri lebih terpelihara dan terjaga, pergaulan terbatas dan pastinya maruah diri turut terjamin. Kepulangan suami disambut mesra dengan senyuman terukir di bibir, makanan kegemaran sudah tersedia, ketenangan hati suami sentiasa dijaga maklumlah kita wanita, redha suami paling utama agar keredhaan Allah dapat kita nikmati. Berazamlah, sentiasa membuat pembaharuan dan penambahbaikan demi kerukunan rumahtangga. Marilah kita hayati puisi 'Maafkanku Wahai Suami' yang dipetik daripada Majalah Solusi begini bunyinya...

    Kadang-kadang aku rasa
    Akulah isteri yang terlalu banyak menerima
    Sedangkan engkau tidak pernah meminta
    Kadang-kadang aku rasa
    Akulah isteri yang baru terjaga
    Sedangkan engkau tidak pernah terlena
    Kadang-kadang aku bersuara tanpa berfikir
    Semua perkataanku menjadi salah

Ujian rumahtangga perkara biasa, masam manis pasti ada...Yang penting saling memahami, bertolak ansur, saling menghargai dan saling mempercayai. Jauhi prasangka serta syak wasangka kerana bimbang apa yang kita risaukan itulah akan menjadi nyata. Sebagai isteri, berdoalah sentiasa untuk kesejahteraan suami dan juga keluarga kerana kadangkala apa yang kita rancang dan inginkan itu, tidak semestinya baik untuk kita, kerana Allah Maha mengetahui kerana Dia yang menciptakan kita. Firman Allah SWT; ”Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”. (Al-Baqarah: 216)

Bagi para isteri yang bekerja di luar rumah, usah gundah dan berdukacita kerana bekerja tiada salahnya yang penting jaga perilaku, batas pergaulan dan tutur kata. Keizinan suami jangan dilupa kerana itulah yang perlu diutamakan seandainya kita telah berkeluarga. Bergaul mesra di pejabat ada batasnya, kerana adakalanya perbualan dengan rakan setugas lebih lama daripada perbualan dengan keluarga di rumah. Justeru baiklah berjaga-jaga kerana tanpa disedari, keakraban di pejabat terbawa ke luar dan akibatnya bertunas perasaan sayang sehingga menimbulkan fitnah. Sebelum nasi menjadi bubur, berhati-hatilah..sudah banyak terpapar di akhbar, betapa cinta terlarang berlaku sudah tidak mengenal usia dan status kerana untuk berhubungan tiada masalah. Facebook, Twitter, Myspace dan blog tidak salah, terpulang kepada kita bagaimana untuk memanfaatkannya. Ya melalui facebook boleh bertemu jodoh, serta boleh juga menyalurkan nasihat, bimbingan dan tazkirah..terpulanglah kepada diri sendiri kerana kita lebih mengerti tentang tujuan dan kehendak hati.

Untuk suami, terima kasih kerana menaruh kepercayaan dan memberi keizinan untuk melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Kepercayaan yang diberi tidak akan dipersiakan, walaupun nun di luar sana terlalu banyak godaan. Doa restu dipohonkan agar diri ini tidak terjerat dengan tipu daya syaitan. Bagi anak-anak yang sentiasa memahami dan mengerti, usahlah bersedih kerana sering ditinggalkan. Walau apapun, kalian sentiasa berada dalam ingatan. Anak-anak sumber inspirasi, pembakar semangat dan seterusnya membuatkan diri ini sentiasa bermotivasi kerana harapan cukup tinggi agar yang baik diteladani.

Anda dan saya, tidak kira siapakah kita sama ada bekerja di pejabat atau sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa, kita sama dan serupa ada tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunaikan. Lakukanlah apa sahaja dengan ikhlas dan amanah, agar kepenatan tidak terasa kerana memiikirkan untuk mendapat pahala. Seandainya kita terlalu berkira, suka mengungkit dan rasa terpaksa, pastinya pahala jauh daripada kita dan paling ditakuti ianya mendatangkan dosa. Pengorbanan keluarga usah dilupa yang sentiasa bersusah payah kerana kita.

Marilah sama-sama kita berdoa agar segala yang kita lakukan akan dikira sebagai amal kebaikan dan sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan pengampunan Allah yang amat kita harapkan. ”Ya Allah! Kami memohon kepada-Mu supaya terdorong ke arah rahmat dan keampunan-Mu, selamatkanlah kami daripada segala dosa, serta berikan kami segala kebaikan. Semoga kami mendapat kejayaan syurga dan terlepas daripada seksaan azab api neraka”. Amin...

Bertemu lagi...

Tuesday, July 6, 2010

Sukarnya Menjaga Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Tepat jam 1.15 pagi tadi, saya baru saja sampai ke rumah selepas menjalankan tugas rasmi selama sehari di Muar dan Batu Pahat Johor. Ramai orang yang saya temui dan banyak pengalaman yang saya perolehi. Bersama mereka walaupun sehari, diri saya amat menginsafi tentang kesulitan hidup yang mereka hadapi sedari kecil lagi. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kehidupan mereka kini, tidak seperti dulu lagi, kerana kejayaan dan kesenangan telah dapat mereka nikmati. Untuk meninggalkan mereka bukannya mudah kerana walaupun sehari bertemu, ikatan persaudaraan terasa sudah. Saya dan sahabat berusaha untuk menjaga dan mengambil hati agar percakapan kami tiada yang mengguriskan hati. Moga pertemuan walaupun hanya seketika, kenangan manis tetap ada.

Resah gelisah sering mengundang dalam diri tanpa dipinta dan juga tidak kita sedari. Apabia tersilap butir percakapan bimbang pula orang lain terasa hati. Kadangkala saya sendiri tidak mengerti kenapa ada kalanya perasaan cepat tersentuh walaupun puncanya tidak diketahui. Begitulah ragamnya manusia, tingkahnya berbeza, dan wajahpun tidak serupa apatah lagi warna kulit jua tidak sama. Kita berbeza kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap kita punyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Kita mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang yang berlainan. Perbezaan pendapat dan juga pemikiran disatukan melalui musyawwarah. Ya kita dijadikan untuk saling kenal mengenali agar kewujudan kita dapat membantu memakmurkan bumi ini.

Kita perlu menerima hakikat yang kita berbeza. Yang penting pandai-pandailah menyesuaikan diri agar kita tidak makan hati dengan situasi yang tidak digemari. Percakapan yang tidak menyenangkan akan menyebabkan kita sakit hati, menyebabkan hubungan yang wujud menjadi tidak mesra lagi. Selain itu, kalau tidak kena gaya layanan yang diberikan, mudah benar pula berkecil hati, sedangkan sebenarnya diri ini jauh sekali untuk menyakiti. Dalam keadaan berhati-hati, tergelincir juga tingkah laku dan tutur kata hingga akibatnya orang lain rasa tidak selesa sehinggakan mahu menjauhkan diri daripada kita.

Paling membimbangkan saya, sekiranya diri kita penuh dengan penyakit hati. Pantang melihat kesenangan orang lain, perasaan dengki sukar dikawal lagi. Kejayaaan orang amat dicemburui sehinggakan tidak senang duduk kerana ingin menandingi dan mengatasi kerana dalam diri langsung tiada perasaan rendah diri. Banyak sudah kita mendengar berita, kerana dengki dan iri hati, kita sanggup mengkhianati sesama sendiri. Yang penting puaslah hati kerana melihat orang lain kecundang dan kehendak diri telah dipenuhi.

Usahlah kita mengumpat dan mengeji sesama sendiri, kerana ingin melihat orang lain tidak dihormati di samping untuk menanam rasa benci di dalam jiwa yang masih suci. Kita sering diperdaya dengan perasaan syak wasangka dalam diri. Prasangka sebenarnya permainan syaitan yang berusaha untuk meragut ketenangan dan kedamaian agar jiwa menjadi tidak tenteram. Justeru itu, usah dilayan kerana penyakit hati ini perlu dibenam dan jangan dibiarkan ianya terkesan. Sering terjadi pada diri kita, kesalahan sendiri jarang kita sedari, tetapi kesalahan orang lain pula yang dicari-cari kerana menganggap diri tiada cacat celanya. Akhirnya diri sendiri yang menanggung rugi kerana kelemahan dan kekurangan diri tidak dapat diperbaiki dan diatasi.

Firman Allah SWT; “Wahai orang yang beriman jauhilah daripada banyak berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah pula ada daripada kamu yang mengumpat sebahagian yang lain..” (Surah Al-Hujurat: 12).

Apabila tuntutan kita tidak penuhi, adakalanya perasaan marah menjadi-jadi sedangkan marah itu bukan sifat terpuji kerana ia tergolong dalam penyakit hati. Dalam keadaan marah, diri pasti menjadi tidak tentu arah menyebabkan perkara yang mudah menjadi sukar kerana marah bukannya penawar untuk menyelesaikan masalah. Apabila berada di tempat yang tinggi, kekayaan, pangkat dan kemewahan usah dijadikan alasan untuk menyombong diri. Sombong diri buruk padahnya kerana bukan sahaja dibenci manusia, sifat begini juga menyebabkan Allah murka kerana segalanya milik Allah belaka yang dipinjamkan kepada kita. Kalau di dunia manusia telah menjauhkan diri daripada kita, di akhirat pula apa yang terjadi agaknya.

Ya betapa sukarnya menjaga hati agar terhindar daripada penyakit hati. Hati yang sakit membawa penyakit, kemanisan beribadah sukar dinikmati, ketenangan dan ketenteraman jiwa jauh sekali. Hati yang sakit amat perlu dirawat kerana ia akan menjejaskan amal ibadat untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Amat membimbangkan apabila terlalu menebal penyakit hati, ayat-ayat Allah yang didengari telah gagal mengetuk hati dan sanubari dan dibiarkan sahaja berlalu pergi tanpa sedikit gentar di hati. Firman Alah SWT; “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, ialah mereka apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah keimanannya dan kepada Tuhannya sahajalah mereka bertawakkal” (Surah Al-Anfal: 2).

Justeru anda dan saya, marilah kita sama-sama berusaha merawat hati kita daripada terus berpenyakit, kerana dibimbangi amal ibadat kita menjadi sia-sia, dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasa. Al-Quran perlu sentiasa dibaca, zikir, istighfar, selawat serta doa usah dilupa dan solat lima waktu perlu dipelihara kerana ianya penawar dan pengubat hati yang sangat mujarab. Moga Allah membantu kita dan menjauhkan kita daripada sifat hasad dengki dan iri hati, khianat serta buruk sangka, was-was dan juga pemarah. InsyaAllah mudah-mudahan kita akan mendapat kekuatan, ketenangan dan kelapangan jiwa agar diri kita ringan untuk beribadah. “Ya Allah Ya Tuhan kami, tunjukkanlah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau kurniakan nikmat bagi mereka, dan bukan jalan yang Engkau murka atau jalan orang-orang yang sesat”. Amin…

Bertemu lagi…

Monday, July 5, 2010

Maafkanlah Diri Sendiri

Bismillahirrahmanirrahim…

Pagi tadi sahabat kesayangan menelefon saya, meluahkan perasaan betapa dirinya tersentuh apabila membaca coretan yang diutuskan oleh teman zaman persekolahan. Betapa dirasakan butir bicara ditujukan kepadanya kerana secara kebetulan mungkin ada yang terkena. Ya, begitulah sukarnya apabila menulis dan berkata-kata, kerana akan ada yang terasa dan seolah-olah sengaja ditulis untuk dirinya. Luahan sahabat saya itu menyebabkan saya termenung sendiri, adakah percakapan dan penulisan saya selama ini turut menghiris hati. Saya tidak menafikan, penulisan dibuat berdasarkan pengalaman, tiada niat untuk mengenakan seseorang. Hanya terdetik di hati liku kehidupan yang dialami ingin sekali dikongsi agar dapat juga dijadikan panduan dan pengajaran. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk sila ketepikan.

Memang sukar untuk memuaskan hati dan perasaan orang lain, sedangkan diri sendiri tidak terpelihara dan terjaga. Hati orang perlu sentiasa dibelai manja, tetapi diri sendiri tiada langsung yang sanggup membela. Benar sekali sahabat saya berkata “sayangilah diri sendiri, maafkan kesilapan diri, jangan mengharapkan orang lain menyayangi kita sepenuh hati. Oleh itu pertahankan diri kalau anda pasti tiada kesalahan yang anda lakukan. Siapa yang akan membela diri anda, kalau tidak anda sendiri, kerana anda lebih mengerti dan memahami”. Ya benar sekali, sayangilah..kasihanilah...maafkanlah diri sendiri. Jadi sentiasalah muhasabah diri, berlaku jujurlah terhadap diri. Kalau benar ada kesilapan yang dilakukan, mohon sahajalah kemaafan usah dibiarkan ianya berpanjangan, benang yang basah tidak perlu ditegakkan.

Kita amat perlu mengasihi diri kita sendiri. Justeru maafkanlah kesilapan dan kesalahan diri. Yang penting azam dan tekad untuk tidak mengulanginya lagi. Hakikatnya anda dan saya usah terlalu banyak berprasangka. Sentiasa mengesyaki orang lain tidak mengira masa. Elok sungguh kalau kita sentiasa berlapang dada, berfikiran positif dan bersifat terbuka, agar pemikiran kita tidak berada dalam kotak sahaja. Cubalah pandang-pandang dan tinjau apa yang berlaku di sekeliling kita agar kita mudah menerima dan tidak berada dalam dunia tersendiri sahaja. Jalan yang lurus yang berada di depan mata tidak semestinya mudah untuk dilalui kerana mungkin di atas jalanan terdapat onak serta duri. Jadi perlulah sentiasa berhat-hati agar tidak tercucuk kaki atau mungkin terbabas ke sana sini.

Sekiranya benar sayangkan diri sendiri, jauhkan diri daripada perbuatan dan tindakan yang orang lain tidak senangi apatah lagi sekiranya murka Allah yang bakal diperolehi. Kadangkala cemuhan, kritikan dan kutukan orang turut membawa kemusnahan seandainya ia dilayan tanpa tapisan. Yang penting kenali diri sendiri serta jujur terhadap diri kerana apa yang terbenam dalam hati hanya diri dan Allah sahaja yang mengetahui. Usah kita terlalu mengharapkan diri kita disayangi, dihormati dan dicintai sepenuh hati selama-lamanya, kerana kita manusia kerap kali berubah hati. Cinta Allah cinta sejati sebagaimana Syair Rabi’ah, marilah sama-sama kita hayati..
    “Bila aku hadir, Dia dengan setia menemaniku...
    Wahai orang-orang yang mencemuhku...
    Telingaku bukan untuk mendengar cemuhan kalian...
    Demi Allah..Aku hanya mencintai kekasih sejatiku..
    Oh…Tuhan betapa agung dan indah Dirimu...
    Malam-malamku terbakar kerinduan, merayu-Mu...
    Air mataku kering oleh rindu pada-Mu...
    Kepedihan ini tiada akhir dan tiada hujung...
    Diam tak terpejamkan, didera rinduku padaMu..."

Anda dan saya, sama-sama kita semarakkan cinta. Cinta kepada diri sendiri agar terhindar daripada perbuatan keji. Utamakan cinta kepada Allah Yang Maha Esa serta cinta kepada Rasul-Nya kerana yang pasti ia menjadi ikutan kita semua. Firman Allah SWT; “Katakanlah..Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu..Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Ali Imran:31).

Usah jemu kita menaruh harapan dan berdoa agar kasih sayang kita sentiasa terpelihara, cinta kita sentiasa terjaga, dan keyakinan serta keimanan kita sering dibaja agar subur sentiasa. “Ya Tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepada-Mu dan cinta kepada orang yang mencintai-Mu, termasuk kepada orang yang sayang kepada semua amalan (aktiviti) yang boleh membawa sayang kepada-Mu" (Hadis Riwayat Tirmidzi). Amin…

Bertemu lagi…

Sunday, July 4, 2010

Masa itu Amanah-Kerja Itu Ibadah

Bismillahirrahmanirrahim...

Putaran waktu begitu cepat berlalu. Detik masa begitu pantas meninggalkan kita. Andaikata waktu boleh diputarkan semula ke belakang teringin sekali saya untuk mengecapi zaman remaja yang memorinya tidak sempat saya rakam. Zaman remaja berlalu begitu pantas, mengejar ilmu kerana dibimbangi ketinggalan dalam pelajaran. Demi cita-cita keindahan masa remaja tidak saya hiraukan, kerana maruah keluarga ingin sekali saya martabatkan. Alhamdulillah segalanya Allah kabulkan, kemiskinan hidup tidak menjadi warisan dan yang paling penting ayah dan ibu sempat mengecapi kesenangan.

Masa remaja berlalu pergi penuh terisi. Tiada disulami perasaan cinta, kerana kemiskinan keluarga, cinta menjadi tidak berharga. Perasaan cinta tidak dilayan kerana kadangkala bimbang ianya menjadi satu permainan oleh orang yang disayang. Cinta diketepikan kerana cita-cita yang menjadi keutamaan. Betapa asyiknya mengejar cita, melangkah lah diri ini dari satu universiti ke satu unversiti pula tanpa sedikitpun rasa jemu dan bosan apatah lagi untuk mencari keseronokan. Cita-cita saya tiada noktahnya, pada usia penghujung 30-an masih terus menyambung pelajaran, maklumlah peluang yang ada tidak mungkin akan dilepaskan jauh sekali untuk dipersiakan. Kini dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa, ijazah kedoktoran telah berada dalam genggaman tetapi alangkah ruginya saya terasa, ilmu Agama masih belum saya mendalami dan menguasai. Kekurangan diri perlu ditebus segera, agar tidak menyesal di kemudian hari kerana ianya akan menjejaskan amal ibadat sehari-hari.

Perihal ini saya coretkan bukan niat untuk bermegahan. Harapan saya khusus buat remaja sekalian, ambillah ia sebagai pengajaran. Masa muda belia usah dipersiakan, manafaatkan ia untuk mengejar cita-cita yang diidamkan. Seandainya kalau mahu, seribu daya dan cara yang tersedia untuk dijadikan panduan. Yang paling penting teruskan usaha tanpa jemu dan bosan kerana bukannya mudah untuk mencapai kejayaan. Biarlah kita bersusah dahulu, InsyaAllah..kita akan senang kemudian.

Masa itu merupakan amanah, usah dipersiakan walaupun sesaat kerana nilainyanya terlalu tinggi tiada harga untuk dijual beli. Selagi ada usia, ilmu perlu terus diterokai, sudah tiba masanya ilmu Allah kita pelajari kerana masih banyak yang tidak diketahui. Untuk meneroka ilmu bukan bermakna perlu melalui didikan formal. Program TV Tanyalah Ustaz dan Halaqah banyak sungguh mendatangkan faedah. Usrah, tazkirah apa kurangnya, di surau masjid dapat didengar peringatannya. Selain itu, membaca juga banyak manafaatnya. Majalah Solusi serta buku-buku Agama sungguh banyak dijual di kedai tetapi terpulang kepada diri sejauh mana kesungguhan untuk memilikinya. Apa yang penting, masa perlu diisi sebaik mungkin kerana peluang yang ada terbuka sudah, jangan pula dah terhantuk baru tengadah.

Kesibukan kerja tidak membataskan waktu kita untuk mengejar impian yang masih terpendam. Kerja juga merupakan ibadah seandainya ia dilaksanakan dengan ikhlas, amanah serta penuh kejujuran. Gaji yang halal amat kita harapkan, oleh itu pastikan tanggungjawab tidak sekali-kali dipersiakan. Tugasan yang diberi perlu diselesaikan, harta benda pejabat usah dijadikan hak persendirian. Mencuri masa usah diamalkan kerana gaji yang diterima adalah berdasarkan perkiraan waktu kita bertugas di pejabat. Elakkan daripada terlalu berkira apabila diberi tugasan, kerana apabila kita memerlukan pertolongan kelak mudah orang lain menghulurkan bantuan. Memang menjadi lumrah manusia, orang berbudi kita berbahasa, budi yang baik sentiasa dikenang sehingga ke akhir hayatnya. Walau di mana kita berada, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Itulah ungkapan yang perlu kita hayati moga orang lain boleh menerima kita seadanya.

Pengalaman terlantar di katil selama tiga bulan membuatkan saya termenung panjang memikirkan apakah yang boleh saya lakukan untuk mengisi masa terluang. Betapa waktu inilah baru saya memperoleh keinsafan, betapa bermanafaatnya waktu sihat sebelum sakit. Waktu terlantar banyak perancangan yang saya fikirkan, dan yang paling utama sedikit ilmu dan pengalaman yang ada amat teringin untuk saya kongsikan melalui tulisan dan juga lisan. Sekiranya saya telah tiada dapatlah ditinggalkan sebagai warisan untuk dijadikan kenang-kenangan. Maklumlah kita manusia; “Daripada Allah kita datang, dan kepada Allah jugalah kita kembali” ( Surah Al-Baqarah;156).

Anda dan saya, sesungguhnya masa itu amanah, kerja itu ibadah. Peliharalah amanah, perhebatkan ibadah, kelak jiwa kita memperoleh ketenangan dan kedamaian. Apalah ertinya hidup seandainya diri sentiasa resah gelisah dan saban waktu diselubungi rasa bersalah. Kita amat mengharapkan apa yang kita lakukan di dunia akan dapat menjadi bekalan untuk ke akhirat kerana syurgalah menjadi idaman kita semua. Kalau ada cinta kepada Allah, segera buktikan agar nikmatnya dapat dikecapi dan kelazatannya dapat dirasai. Rabi’ah pernah bersyair..
    Engkau derhaka
    Tapi mengaku cinta pada-Nya
    Inilah keanehan zamanku
    Jika benar engkau cinta
    Tentulah mentaati-Nya selalu.
    Pencinta akan taat kepada kekasihnya!
Ya, tanda mahabbah ialah mengikuti yang dicintai dan sesekali tidak akan menentang dan mengingkarinya. Kalau benar cintakan Allah dan Rasul-Nya, buktikan segera dan jangan membuatkan orang lain tertanya-tanya akan kebenaran cinta di hati.

Mudah-mudahan cebisan waktu yang masih diperuntukkan ini, setiap saat diisi dengan penuh kebaikan. Dalam apa jua perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan, nawaitu kita menjadi tulang belakang agar ianya dikira sebagai suatu ibadah yang berpanjangan. Firman Allah SWT; “Barangsiapa melakukan kebaikan, meskipun sebesar zarah, niscaya dia akan melihat ( balasan) nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah pun ianya akan melihat (balasan) nya pula” (Surah Al-Zalzalah:7-8).

Marilah sama-sama kita berdoa, menadah tangan ke hadrat Allah SWT agar segala tindak tanduk dan perbuatan kita akan dikira sebagai amal kebaikan yang berpanjangan. “Ya Allah! Bukakan kami segala pintu kebaikan, segala pintu keberkatan, segala pintu kenikmatan, segala pintu rezeki, segala pintu kesihatan, segala pintu keselamatan dan semua pintu syurga.” Amin...

Bertemu lagi…

Saturday, July 3, 2010

Ujian Kita Berbeza

Bismillahirrahmanirrahim…

Ujian merupakan pendidikan dalam diam kerana di dalamnya terkandung seribu pengalaman. Apabila bersama-sama teman pelbagai cerita kedengaran. Setiap kita mempunyai masalah, dugaan serta ujian yang berbeza. Ujian sebenarnya untuk menilai diri sejauh mana kita mampu menghadapinya. Kadang kala kita hanya memikirkan kesusahan dan kesulitan diri sendiri menyebabkan kita membawa diri kerana mahu menyendiri. Setiap masalah perlu segera diatasi, sekiranya tidak berkemampuan untuk menghadapinya, carilah sahabat sejati yang boleh dipercayai untuk berkongsi, agar ringanlah sikit bebanan yang dideritai.

Alangkah baiknya, kalau kita tidak membandingkan diri kita dengan orang yang lebih hebat seandainya ianya menyebabkan jiwa dan hati kita tidak memperoleh ketenteraman dan ketenangan. Perasaan melonjak untuk bersama mengejar kemewahan, kesenangan dan kekayaan sehingga haram halal sanggup diketepikan. Ya, mungkin kita resah kerana tidak mendapat rumah besar, tetapi sahabat kita yang lain pula gelisah kerana hidup merata tiada tempat tinggal. Kita mungkin terasa malu dan rendah diri kerana hanya mampu milki WAJA dan tidak berkereta Mercedes, walhal ada orang lain yang hanya mampu menaiki bas dan teksi. Usah bersedih kerana di rumah tidak ada pinggan mangkuk vantage dan juga corelle, kerana kedapatan orang lain yang meraih simpati untuk mendapatkan pinggan mangkuk plastik sahaja. Kita amat risau kalau lauk ayam tidak disaji, tetapi ada yang tidur tidak lena memikirkan di mana hendak dicari nasi. Apabila sudah ada anak lelaki sedih pula kerana tiada anak perempuan lagi, sedangkan kedapatan sahabat kita yang berubat di sana sini kerana belum mendapat zuriat idaman hati. Alhamdulillah syukur kerana rumahtangga kita bahagia sedangkan kedapatan keluarga yang porak peranda anak-anak terpisah daripada ibu dan bapa. Begitulah diri kita, bahayanya kalau kehendak dan kemahuan diri sentiasa ingin dituruti, sehingga terlupa semua keperluan hidup telah dimiliki tetapi sentiasa merasakan tak cukup lagi.

Ujian hidup bukan setakat kesusahan dan kemiskinan, kekayaan dan kemewahan juga merupakan satu ujian. Kekayaan dan kesenangan yang dimilki bersertakan tinggi budi dan kaya hati pastinya dapat memakmurkan alam ini. Rezeki yang dimiliki tidak lupa untuk dikongsi. Zakat dikeluarkan, sumbangan dan sedekah juga sentiasa dihulurkan. Semakin memberi semakin menjadi, bertambahlah Allah murahkan rezeki. Alhamdulullillah jiwa orang berada yang sebegini hidupnya penuh dengan kesyukuran dan kerendahan diri. Peribadi dan peri laku Abdurrahman bin Auf dijadikan panduan dan teladan. Abdurrahman memiliki kekayaan dan juga harta tetapi kehidupannya amatlah sederhana, bersedekahnya ia tidak terkira kerana beliau menyedari kekayaan yang dimiliki adalah ujian hidup buat dirinya. Abdurrahman tidak mahu menjadi hamba harta tetapi kehambaannya hanya pada Allah Yang Maha Kuasa.

Firman Allah SWT; “Apakah manusia menyangka ia akan dibiarkan begitu sahaja dengan pengakuan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji” (Surah al-Ankabut:2).

Apabila kematian menjemput kita, tinggallah segala harta benda yang ada, rumah, kereta juga keluarga tercinta. Betapa bagusnya langkah kita, kalau berusaha bekerja seolah-olah kita hidup lama tetapi beribadah kita seolah kematian hampir dengan kita. Semalam sahabat saya bercerita, saudaranya sedang mencuci kereta tiba-tba jatuh dan meninggal dunia. Tiada siapa yang dapat menduga apabila sampai ajalnya tidak kira tua atau pun muda, samada sakit atau sedang tidur lena, sampai masanya tidak tertangguh walaupun sesaat jua. Yang penting kita sentiasa bersedia, bekalkan diri dengan ilmu Agama, bersegera membayar hutang, hak orang segera dipulangkan, sentiasa memohon dan memberi kemaafan, amal ibadat suruhan Tuhan usah diabaikan sama ada pada waktu susah ataupun senang.

Anda dan saya, sekali sekala patut kita lawati orang sakit dihospital, mengunjungi rumah anak yatim dan kebajikan serta menziarahi kematian. Moga apa yang dipandang, dilihat dan didengar dapat diambil sebagai pengajaran dan pedoman. Pengalaman dan peringatan amat perlu dalam mengharungi liku kehidupan. Kita memang perlu sering diingatkan kerana tidak dapat dinafikan kita mudah lupa dan lalai dengan kesibukan urusan dunia yang juga perlu ditunaikan. Kebahagiaan dan kesenangan hidup didunia memang kita mahu dan perlukan dan keredhaan dan petunjuk Allah amat kita harapkan dalam menguruskan kehidupan. Kesilapan dan kesalahan yang lalu jadikan pengajaran kepada Allah kita mohon keampunan. Bait syair berikut yang merintih hiba memohon keampunan diharap dapat mengetuk pintu hati kita untuk berterusan beramal dan membuat kebajikan...

Tuhanku! Aku tidak layak untuk syurgaMu

Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa neraka-Mu

Dari itu, kurniakanlah ampunan kepadaku

Ampunkanlah, dosaku

Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar.

(Ilahi lastulill firdaus..)

Marilah sama-sama kita sentiasa memohon keampunan ke hadrat Allah SWT kerana kita tidak mahu tergolong dalam kalangan orang yang rugi buat selama-lamanya. “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi” (surah al-A’Raf: 23). Amin...

Bertemu lagi…