Sunday, September 19, 2010

Langkah Kita Tiada Beza

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur untuk bersama lagi dalam meneruskan kehidupan sementara di dunia ini. Sepanjang percutian menyambut Aidilfitri pelbagai cerita menarik dan yang menggerunkan berlaku di sana sini. Yang paling tragis ialah kisah pembunuhan, membunuh diri, serta pembuangan bayi yang tidak berdosa. Khabar yang menggerunkan ini sungguh terkesan pada diri kita. Hari ini kita bergembira diiringi gelak ketawa, tetapi buat esoknya belum pasti apa yang bakal menimpa kerana ianya di luar kemampuan kita untuk mentelahnya. Walau apapun kita sering mengharapkan yang terbaik untuk kehidupan seterusnya.

Ramadhan berlalu Sawal menjelma. Kita saling bermaafan, mohon maaf zahir dan batin terhadap sebarang kesalahan dan kesilapan. Selepas sebulan berpuasa pastinya kita mahu meneruskan amal ibadat yang telah kita lakukan pada bulan lain juga. Kita ingin berubah kearah kebaikan.. ingin menjadi insan yang berakhlak mulia, bersedia memberi kemaafan dan juga tidak gentar untuk memohon kemaafan. Adalah lebih baik kita ketepikan perasaan ego yang tidak menguntungkan, kerana kita sebenarnya tidak sehebat mana kerana apabila sedikit di timpa ujian, kita mudah menjadi tidak keruan.

Anda dan saya, marilah kita jadikan roh Ramadhan dan semangat Syawal pada tahun ini sebagai pembuka jalan untuk kita menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Jika Ramadhan adalah bulan kerahmatan, pengampunan dan pembebasan, justru bulan Syawal merupakan bulan yang paling bersesuaian dan bertepatan untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Marilah kita sama-sama membulatkan tekad untuk memperbaiki diri, untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan. Al-Quran yang dibaca saban malam pada bulan Ramadhan hendaklah diteruskan walaupun hanya satu muka surat satu hari, yang penting istiqamah dengan amalan. Solat Tahajud dan Qiamulail yang menjadi amalan sepanjang Ramadhan juga wajar diteruskan agar ia menjadi satu amalan yang tidak lagi memberatkan untuk terus dilaksanakan.

Untuk merealisasikan hasrat ini, kita tidak boleh melakukan secara bersendirian. Sebagai insan yang lemah dan sentiasa diuji sudah semestinya kita memerlukan kepada sahabat yang boleh membantu dan membimbing kita, sering mengembalikan kita ke pangkal jalan apabila tersasar dari landasan serta ikhlas dalam memberi teguran apabila kita tersesat jalan. Justru sahabat sejati, yang baik budi dan tinggi pekerti amat perlu didampingi. Maka pilihlah dan dekatilah sahabat yang boleh membantu kita di kala susah dan senang dan sering mengingati apabila kita melakukan kesilapan dan kesalahan.

Perubahan diri bukan sahaja perlu dilakukan di rumah bersama keluarga, tetapi juga di tempat kerja atau di mana sahaja kita berada. Di pejabat berusahalah untuk menjadi pekerja yang amanah dan bertanggugjawab, kurang bercakap, lebih mendengar; kemudian berfikir dan menganalisis apa yang didengar agar kita bijak menapis dan menilai kerana bukan semua yang didengari itu benar belaka. Kita tumpukan perhatian untuk menyempurnakan tugasan yang diamanahkan. Sebarang rungutan cuba elakkan kerana ia membuang masa dan hanya menyakitkan jiwa sahaja sedangkan untungnya tiada.

Masing-masing sudah dewasa dan cukup matang untuk memikirkan tentang dosa dan pahala, tentang amanah dan tanggungjawab kepimpinan yang digalas, serta tentang disiplin diri dan pengurusan masa. Maka terpulanglah kepada kita bagaimana untuk mengurus diri di tempat kerja agar sentiasa berlapang dada, berfikiran positif serta yakin dengan diri sendiri. Ya ...sebagai manusia biasa, kita sering tidak merasa puas dan sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada, yang kadang kala menyebabkan kita kepenatan kerana terkejar pangkat dan juga harta. Kita sanggup membiarkan jiwa dalam kekosongan hingga menyebabkan ketenangan diri tidak dinikmati dan kesejahteraan hidup tidak dapat dikecapi.

Anda dan saya, kita serupa dan tiada beza. Dalam diri kita ada hati dan perasaan yang inginkan kedamaian dan ketenangan. Ambillah pengalaman hidup yang telah kita lalui selama ini sebagai panduan dan pedoman untuk kita merencanakan kehidupan seterusnya. Kita tidak mahu tersilap langkah lagi. Sisa usia yang Allah bagi, manfaatkan sebaik mungkin untuk kebaikan diri. Banyak telah kita pelajari bahawa apabila kematian menjenguk tiba, harta dan kekayaan ditinggalkan begitu sahaja. Oleh itu imbangilah dan berlaku adillah pada diri sendiri agar kita bukan sahaja peroleh untung di dunia tetapi juga mendapat keuntungan untuk dibawa menghadap Ilahi kerana kematian itu pasti.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah membantu kita untuk menjadi hamba yang sentiasa mensyukuri akan setiap nikmat yang dikurnia oleh Allah Yang Maha Pemberi. Mudah-mudahan petunjuk Allah sentiasa bersama kita kerana kita amat mengharapkan keredhaanNya terhadap setiap langkah, tutur kata, pandangan, pendengaran dan perbuatan kita. Amin…

Bertemu lagi…