Sunday, December 26, 2010

Kehidupan VS Impian

Bismillahirrahmanirrahim…

Minggu ini, kepenatan amat dirasai kerana masa yang ada penuh terisi. Dalam tempuh tujuh hari pelbagai ujian yang dilalui dan banyak pengalaman yang telah dialami. Ya hari Sabtu memandu ke Kuantan untuk menziarahi adik di rumah sakit, hari Ahad menghantar anak ke Rawang manakala hari-hari berikutnya saya diamanahkan sebagai pengerusi panel temuduga. Saban hari seawal pagi telah bertolak dari rumah bagi memastikan saya tidak terlewat melaksanakan amanah yang dipertangungjawabkan. Hampir maghrib baru pulang, keletihan tidak dapat digambarkan tetapi semangat yang ada membuatkan saya bertenaga untuk melangsaikan tugasan.

Ya, pasti beruntung sungguh menjadi suri rumah sepenuh masa. Anak-anak sentiasa ada di depan mata dan didikan dapat diberi sepenuh hati tanpa memerlukan pembantu atau orang gaji. Kepulangan suami dapat disambut mesra, makanan dihidang mengikut selera yang penting pahalanya pasti berganda. Diri terpelihara dan aurat pula terjaga justru maruah diri InsyaAllah terjamin. Bersyukurlah dengan apa yang ada, usah terkejar-kejar untuk nampak hebat dan bergaya sehinggakan masa untuk mendekatkan diri dengan Allah hanya tinggal seketika kerana banyak sungguh urusan dunia yang membuatkan kita lalai dan leka terhadap Allah Yang Maha Pencipta.

Saya bukan menyesal bekerja tetapi saya sedih kerana gagal menguruskan masa sebaik mungkin untuk diri sendiri, keluarga serta untuk Allah Yang Maha Esa. Nikmat yang ada hanya sementara kerana ianya boleh hilang dalam sekelip mata. Sewaktu menziarahi adik di rumah sakit, sebak menyesak di dada apabila melihat keadaan adik yang tidak mampu melangkah dan sekadar bergerak dengan kerusi roda. Begitulah kita, nikmat yang Allah kurniakan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana apabila nikmat tersebut telah tiada barulah kita merasai betapa kerdilnya diri kita. Kaki, tangan, mata, telinga dan fikiran perlu diawasi dan dijaga supaya ia kekal terpelihara kerana kurniaan Allah ini tiada tandingannya.

Paling mendukacitan ialah apabila surah al-Quran yang dulunya telah dihafal dan dimengerti maknanya kini sudah terlupa pula. Kenapa begitu jadinya?...adakah disebabkan kita tidak istiqamah membaca al-Quran saban hari atau disebabkan kita semakin lalai dan leka demi memenuhi tuntutan duniawi? Jawapannya ada pada kita. Justru anda dan saya, marilah kita muhasabah diri mencari punca dan penyebabnya kenapa semakin meningkat usia, semakin kita kesuntukan masa wal hal kematian itu pasti, dunia sekadar tempat persinggahan dan akhirat jua yang kekal abadi.

Apabila memikirkan tentang hidup dan mati, gementar dan ketakutan melanda hati kerana amal ibadat masih kurang lagi, persediaan diri pula belum mencukupi. Siang hari sebok bekerja, waktu malam sungguh penat badan terasa, mata terpejam tanpa diminta sehinggakan untuk bangun melakukan ibadat malam juga tidak terdaya. Dalam usia yang mencecah hampir separuh abad ini, perubahan diri kearah yang lebih baik amat diidamkan. Yang pasti kita bersama perlu merebut peluang dan meningkatkan amal ibadat sewaktu sehat sebelum sakit dan sewaktu senang sebelm susah. Kalau sudak uzur dan sakit apatah lagi apabila sudah terlantar di katil maka di kala itu segalanya telah menjadi sukar dan perit, hatta harta kekayaan pun akan dipandang sepi.

Tahun baru hijrah baru sahaja bermula, bertekadlah kita setiap hari untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan, berusaha dan bekerja, menuntut ilmu dan beramal kerana kita insan biasa yang mengharapkan pertolongan dan keredhaan Allah sepanjang masa. Apalah erti kemewahan dan kesenangan seandainya tidak disertai dengan keberkatan. Di mana hebatnya ilmu dan pengetahuan sekiranya ianya tidak diamalkan ke arah kebaikan. Pangkat dan darjat menterjermahkan kekuasaan justru hiasilah ia dengan sifat tawadhuk, penuh keinsafan dan kesedaran. Kuasa yang dimiliki perlu digunakan secara berhati-hati kerana tersilap langkah diri kita akan dibenci jauh sekali untuk dihormati. Berlaku saksama terhadap setiap individu di bawah seliaan kita dan sifat pilih kasih perlu diketepikan dan bertindaklah dengan penuh keadilan. Kita tidak mahu kehidupan dicemari dengan persengketaan dan permusuhan atau disaluti dengan rasa kebencian. Saling memberi dan menerima seadanya akan membuahkan kemanisan persaudaraan, saling menghormati dan berkasih sayang.

Marilah kita berazam bersungguh-sungguh untuk membaiki diri agar kesilapan lalu tidak diulangi. Al-Quran pula dijadikan santapan rohani saban hari. Kehadrat Allah kita bertaubat moga dosa yang lepas memperoleh pengampunan. Firman Allah SWT yang bermaksud Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat” (An-Naml : 46).

Ya, sesungguhnya kita tidak sanggup lagi melakukan dosa terhadap Allah Yang Maha Esa. Ya Allah peliharalah diri hambaMu ini, agar terpelihara keimanan, terjaga akhlak dan perilaku, lisan terkawal agar baik tutur kata, dan jadikanlah hati ini takut untuk melakukan perbuatan yang mendatangkan dosa, moga diri ini ringan untuk melakukan ibadat dan terus bersemangat untuk bekerja. Amin…

Bertemu lagi…

Saturday, December 18, 2010

Alasan..oh.. Alasan

Bismillahirrahmanirrahim..

Tatkala ini, keletihan begitu terasa. Penghujung tahun begini pelbagai perkara perlu dibereskan kerana tidak mahu ada kerja yang tertunda. Bertugas luar juga kadang kala agak memenatkan, tetapi ia sarat dengan pengalaman yang boleh dijadikan pedoman. Mungkin pada pandangan mata, kita nampak hebat, petah berbicara serta mengeluarkan pendapat tetapi hanya diri sendiri yang mengerti akan realiti yang dihadapi. Susah dan senang, derita dan sengsara, kekecewaan dan kekesalan, serta kesedaran dan keinsafan hanya diri yang dapat merasa. Adakalanya kerana kesebokan..masa untuk diri sendiri gagal diperuntukkan yang penting kebahagiaan dan kegembiraan orang lain lebih diutamakan.

Amat penting untuk sentiasa berhati-hati dan peka dalam berinteraksi dan berkata-kata. Usah terlalu sensitif atau cepat terasa kerana ia membuatkan diri kita sentiasa tidak selesa. Kalau kita mahu orang lain menjaga perasaan kita, maka kita juga perlu melakukan perkara yang sama. Alangkah indahnya kalau kehidupan dilimpahi dengan penuh kasih dan sayang, saling bertolongan dan saling menerima akan setiap kekuatan dan kelemahan kerana kita manusia tidak sempurna. Saling melengkapi adalah langkah yang terbaik kerana ia akan membuatkan kita saling menerima seadanya. Kehidupan ini memerlukan kekuatan, semangat, ketaatan dan keikhlasan agar kita mendapat kebaikan, kebahagiaan, serta kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Tidak dapat dinafikan, adakalanya kita memang bijak mencari dan memberi alasan seandainya kita tidak mahu melakukan sesuatu perkara. Apabila dipohon pertolongan, dikatakan tidak berkemampuan, disuruh membuat tugasan dikatakan pula tidak berpengetahuan, dinasihati agar membuat perubahan diri dikatakan pula belum sampai seru. Banyak sungguh alasan yang diberi yang kadangkala merimaskan telinga yang mendengar. Seribu satu alasan yang diberi kesannya akan merugikan diri sendiri. Diri kita mungkin tidak dipercayai lagi dan sahabat baik mengambil langkah menjauhkan diri kerana kita terlalu mementingkan diri sendiri, tidak bertolak ansur dan tidak mahu memberi.

Pastinya kita sentiasa mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan serta penambahbaikan secara berterusan. Usah menjadi orang yang bijak memberi alasan kerana bimbang sentiasa berdolak dalih akan menyebabkan kerugian yang berpanjangan. Dalam melaksanakan perintah Tuhan, berusahalah untuk tidak memberi alasan kerana dibimbangi dosa pula yang mendatang. Apabila diberi tugasan berusahalah untuk menyelesaikan dalam tempoh masa yang diberikan. Sebelum berusaha dan berikhtiar, elakkan daripada berdolak dalih mencari helah. Usah menyalahkan orang lain di atas kegagalan diri sendiri, sebaliknya carilah kesalahan, kelemahan dan kekurangan diri kerana ia dapat membantu kita membaiki diri.

Berusahalah tidak menjadi seperti orang lain tetapi jadilah diri sendiri. Yakinlah, dalam diri kita ada potensi yang boleh dicungkil dan digilap. Usah dibiarkan kehidupan kita dipenuhi dengan perkara apa yang akan kita laksanakan tetapi amat kurang dengan apa yang telah kita lakukan. Apabila apa yang dirancang tidak dilaksanakan, pastinya pelbagai alasan yang disertakan.

Kesilapan yang dilakukan, jadikan sebagai jambatan menuju kecemelangan yang perlu dijadikan pengajaran. Walaupun kita ada alasan di atas kegagalan misi yang ingin dilaksanakan, tetapi elakkan daripada memberi alasan. Sesungguhnya, kebanyakan kegagalan berlaku daripada mereka yang terlalu banyak atau suka memberi alasan. Seandainya kita bijak memberi alasan, pastinya ia menyukarkan kita untuk menempah kejayaan. Cari jalan penyelesaian bukan mencari alasan kerana alasan akan menjadi faktor kegagalan yang berpanjangan.

Begitu juga dalam menerima teguran dan nasihat ke arah kebaikan, pelbagai alasan yang diberikan kerana untuk mempertahankan prinsip yang tidak mendatangkan keuntungan dan kebaikan. Kesannya, kesilapan yang berterusan dilakukan kerana kehidupannya diwarnai dengan pelbagai alasan. Sesungguhnya, hendak seribu daya, mahu seribu cara dan kalau tidak mahu pastinya seribu dalih. Kalau ingin berjaya perlu disertakan dengan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Sekali berusaha seandainya tidak menemui kejayaan..teruskan langkah tanpa menoleh ke belakang. Lipat gandakan usaha tanpa mencari alasan kelak InsyaAllah kejayaan pasti berada dalam genggaman. Bertawakkallah setelah usaha dan ikhtiar dilakukan kerana Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada Rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az-Zumar:53).

Moga anda dan saya, tidak berterusan mencari alasan yang akan menghalang kita daripada melakukan kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi terhadap apa yang kita miliki. Diri kita serba kekurangan justru amat perlu saling bertolongan kerana kita saling memerlukan.

Bertemu lagi…

Monday, December 6, 2010

Hijrah Menuju Mardhotillah

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan umur untuk terus berada di bumi Allah ini. Sungguh banyak dan tidak terhitung nikmat Allah yang telah kita kecapi. Ada kalanya kita termalu sendiri kerana gagal mensyukuri terhadap segala kurniaan Allah Yang Maha Pemberi.

Usia kita semakin meningkat, amal ibadat pula tidak seberapa kerana kesebokan urusan dunia telah membataskan kita untuk membuat persediaan ke akhirat yang kekal abadi. Sempena sambutan Maal Hijrah ini, marilah kita bertekad dan bersatu hati , melangkah seiring untuk mencari keredhaan Ilahi. Kesilapan dan kesalahan yang lalu usah kita ulangi, hijrah ke arah yang lebih baik perlu segera dilaksana. Peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW perlu dimengerti untuk diambil pengajaran dan juga peringatan.

Moga penghijrahan yang bakal dilalui, akan membuatkan kita lebih mengerti dan memahami betapa perlu meningkatkan kualiti peribadi, lambat marah dan segera memaafkan; lembut bicara, berkata benar dan juga sopan; amal ibadat terus dipertingkatkan, cara hidup Islam terus diamalkan dan Al-Quran dan As-Sunnah menjadi pegangan dan panduan.

Antara kita usah lagi menunding jari mencari kesalahan, kesilapan yang lalu usah diulang dan segera perbetulkan agar ia tidak berpanjangan. Tidak elok persengketaan berterusan, kerana kita manusia kadangkala tersilap langkah tanpa sengaja. Salam kemaafan saya hulurkan, salah dan silap harap dimaafkan. Sempena tahun baru ini marilah kita pereratkan hubungan silaturrahim yang telah sedia terjalin. Semangat hijrah perlu dihayati moga kasih sayang yang terbina demi cinta kepada Ilahi. Untuk menjadi yang lebih baik, tuntutan hijrah amat perlu dipenuhi, ketepikan ego yang merugikan diri.

Dalam berkawan, pilihlah sahabat yang sejati yang sentiasa saling mengingati supaya maruah diri terpelihara dan harga diri terjamin. Berazamlah untuk menambah ilmu setiap hari kerana masih banyak yang belum diketahui. Kurang bercakap, banyak mendengar kerana ia mampu memberi ruang untuk lebih berfikir daripada melulu bertindak. Sifat marah, syak wasangka, sombong serta dengki khianat perlu dihapuskan, gantikan ia dengan sifat sabar, bersangka baik, tawaddhuk serta ikhlas dan amanah.

Firman Allah SWT yang bermaksud “ Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui; (iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan sahaja mereka bertawaakal” (Surah an-Nahl: 41-42)

Anda dan saya sama-sama kita berdoa semoga hidayah Allah sentiasa bersama kita kerana dibimbangi sifat lalai dan leka akan menguasai diri kita. Marilah kita berhijrah kerana Allah kerana kita hamba-Nya maka perintahNya perlu dituruti dan laranganNya perlu dipatuhi. Hubungan sesama manusia perlu dipelihara dan hubungan dengan Allah perlu dijaga. Sesungguhnya Allah Maha Pencipta, Maha Pemurah, Maha pengasih lagi Maha Penyayang.

Selamat Menyambut Awal Muharram 1432 H.

Bertemu lagi…

Setulus Cinta Rasulullah SAW

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap, Rasulullah s.a.w. dengan suara terbatas memberikan kutbah.

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengadu. Fatimah terpejam. Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku (peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.)"

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii.. (Umatku, umatku, umatku).."

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

Kini, mampukah kita mencintai seperti Baginda mencintai kita? Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Sahabat-sahabat muslim sekalian, marilah kita renungkan kembali pengorbanan Rasulullah kepada umatnya, betapanya cintanya Rasulullah kepada umatnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

Pernahkah kita menangis untuk Rasulullah s.a.w? Sedangkan di akhir hayat baginda menangis kerana kita. Renungkanlah...

Bertemu lagi...

- Artikel iluvislam.com

Silap Bicara Akibatnya Berbisa

Bismillahirrahmanirrahim…

Keletihan bertugas di luar pejabat baru-baru ini masih terasa sehingga kini. Maklumlah bekerja secara berterusan sehingga jam 12.00 malam amat memenatkan. Walau bagaimanapun semangat bekerja dalam pasukan menjadi sumber kekuatan kerana sebelum kembali ke pejabat tugasan perlu disempurnakan. Pastinya ia telah memberi pengajaran yang bermakna untuk mendisiplin dan mengurus diri agar kesihatan tidak terjejas dan minda berterusan cergas.

Dalam kesibukan, deringan telefon tetap dilayan kerana ada panggilan penting yang perlu dijawab. Fikiran agak bercelaru kerana urusan untuk ke Sabah masih belum selesai. Saya perlu membuat persediaan yang rapi untuk ke Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu kerana bimbang objektif lawatan tidak kesampaian. Pelbagai perkara yang perlu saya fikirkan justru ketenangan diri amat diharapkan. Hakikatnya inilah tugasan yang perlu dilaksanakan, sungguh mencabar dan penuh dengan pengalaman.

Sewaktu asyik melaksanakan tugasan, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat karib teman sepengajian sewaktu di Universiti dahulu. Suaranya kedengaran tersekat-sekat menandakan ada getar yang menahan di jiwa. Sebagaimana biasa dirinya saya cuba selami, untuk bertanya khabar kenapa dan apa masalah yang dihadapi. Tepat sekali tekaan saya, dalam nada yang sungguh sayu sahabat saya menjelaskan bahawa orang yang disayang telah mengecewakannya akibat daripada tidak teliti apabila berkata-kata. Esak tangisnya, menandakan kesedihan yang tidak terhingga, dirinya sebak kerana sungguh tidak disangka dirinya selama ini tidak dihargai kerana pengorbanannya hanya untuk insan yang disayangi.

Pastinya, waktu sayang diri dipuja, apabila jemu perasaan rimas mula melanda dan yang dulunya baik sekarang menjadi serba tidak kena. Ya, amat penting untuk telus dan ikhlas dalam berkata-kata kerana kalau berselindung buruk padahnya. Benar sungguh, persahabatan menjadi utuh apabila diri kita saling mempercayai, kerana harganya terlalu tinggi. Saling menghormati menjadi intipatinya, keikhlasan hati sumber kekuatannya dan kasih sayang yang tulus menjadi pelazatnya. Alangkah bagus sekiranya ia disulami dengan ketelusan dalam berbicara, serta kehalusan budi dan ketinggian pekerti yang berpaksikan kecintaan terhadap Allah Yang Maha Esa.

Berusahalah untuk tidak menyakiti atau menunjukkan kemarahan sesuka hati kerana ia menterjermahkan personaliti diri. Memang seronok melepaskan kemarahan, tetapi pertimbangkanlah kesan yang bakal menimpa oleh orang yang dimarahi. Perit pedih pasti dirasa, mungkin malamnya tidur tidak lena, siang pula sudah tiada ertinya dan wajahnya pula mampu menterjermah segalanya. Oleh itu anda dan saya, elakkan berkata-kata menurut rasa, berfikir panjang banyak baiknya. Silap berbicara buruk padahnya, dibimbangi kita akan menyesal kerana telah membuatkan orang lain merana.

Adalah lebih baik kita berusaha untuk memelihara persahabatan yang sedia terjalin, silaturrarahim yang terbina usah digugat dan ukhuwwah Islam perlu dipererat. Seandainya ada di antara kita, terlanjur kata dan tersilap bicara, pincang perilaku dan juga tindakan, harapan saya kita berusaha untuk saling memaafkan. Berusahalah untuk bekerjasama dan saling membantu untuk melengkapkan mana yang kurang. Saling menasihati amat diperlukan agar kesilapan dan kelemahan silam tidak berulang. Firman Allah SWT yang bermaksud “ Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah Al-Asr: 1-3).

Sebagai manusia, ada masanya kita terlupa kerana ujian hidup jarang melanda. Apabila kita senang dan berharta, kita terlupa tentang kemiskinan dan sengsara. Waktu kita sebok, kita gagal pula untuk memperuntukkan masa yang sepatutnya untuk mendekatkan diri ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa. Paling menyedihkan semasa bergembira dan bersukaria, kita terlupa pula tentang penderitaan dan kematian yang bakal menjenguk tiba. Ketawa kita, bahagia kita dan seronoknya kita perlu berpada kerana pada masa yang sama ada mereka yang menangis dan merintih hiba.

Mudah-mudahan, Allah SWT sentiasa memelihara diri kita daripada terus leka dan lalai. Muhasabah diri usah dilupa, moga diri kita pada hari ini lebih baik daripada semalam dan esoknya lebih baik daripada hari ini. Amin…

Bertemu lagi…

Wednesday, December 1, 2010

Mengapa Hujan Di Tengahari?

Bismillahirrahmanirrahim…


Sekarang tepat jam 11.00 malam. Saya bersama rakan sepejabat masih berada di Hotel Plaza kerana tugasan yang diamanahkan belum selesai. Di kaca televisyen, Program Halaqah sedang ke udara menceritakan tentang kehebatan Sayyidatina Khadijah sebagai isteri dan pengurus rumah tangga, yang menjadi penyejuk hati suami sepanjang masa. Kaum wanita disarankan mengambil contoh pengorbanan dan keperibadian Khadijah yang begitu tersohor dalam memainkan peranan sebagai isteri Rasuulullah SAW. Sehubungan itu, Sayyidatiana Khadijah sepatutnya dijadikan role model untuk menjadi ikutan dan panduan kita semua kerana keindahannya peribadinya tiada tandingan..


Saya sendiri terasa begitu kerdil, belum lagi mampu untuk menjadi seperti Khadijah. Sedikit ujian yang menimpa, sudah tidak tertanggung rasanya. Kadangkala kasih sayang manusia lebih diharapkan daripada kecintaan kepada Allah SWT. Benar sekali, kalau kita cinta kepada Allah, bermakna kita mampu mencintai Rasulullah SAW serta mampu menyintai suami sepenuh hati. Walaupun terdapat keruntuhan dalam rumahtangga, usah dipandang secara negatif kerana apa yang beraku ada hikmah disebaliknya. Berdoalah yang terbaik untuk kita, supaya diri kita sentiasa mengingati akan kekuasaan Allah Yang Maha Esa. Dosa dan pahala sering dijadikan asas pertimbangan supaya peraturan Allah tidak diambil ringan.


Kini entah kenapa, kasih sayang sesama manusia begitu rapuh sekali. Hari ini sayang, esok pula bertukar menjadi benci. Rindu dan ingatan sudah tiada lagi dan kesalahan dan kesilapan juga yang dicari-cari. Salah yang sedikit diperbesarkan, marahnya memuncak dan nada suaranya pula amat berbeza sekali. Begitulah kita manusia, tersilap langkah demikianlah jadinya. Panas yang diharap sampai ke petang, rupanya hujan pula pada waktu tengahari. Kasih sayang sesama manusia, adakalanya cukup teruji, oleh itu cinta abadi amat perlu dicari. Sesungguhnya, kasih sayang dan cinta perlu ada landasan hatta antara suami dan isteri. Nilailah semula cinta yang wujud, kerana cinta kepada Allah perlu mengatasi segala-galanya.


Kalau cintakan isteri, bukan bermakna segala permintaanya perlu dipenuhi; kesilapannya pula takut untuk ditegur dan dinasihati kerana bimbang isteri merajuk dan cabut lari. Yang difikirkan hanyalah sekadar untuk menghiburkan dan mengembirakan hati isteri walaupun adakalanya ia mampu bertukar menjadi racun yang secara diam memakan diri. Akhirnya suami tidak lagi dihormati, maka suami menjadi amat takut kepada isteri, bergerak sedikit laporan diberi kerana terasa diri sentiasa diawasi.


Begitu juga kita sebagi isteri, sewajarnya suami kita cintai dan kasihi kerana selepas Allah dan Rasul, maka suamilah yang mesti kita akur. Selagi suami melaksanakan amanah dan tanggungjawab, maka sewajarnya arahan suami dipatuhi, kehendak suami dipenuhi dan teguran suami dijadikan azimat dalam tindak tanduk, tutur kata dan perbuatan. Ya, sayang isteri..sayang suami mesti bermula daripada sayang dan cinta kehadrat Allah SWT kerana kesannya cinta terindah akan mampu kita miliki..


Hakikatnya, ada kalanya bukan mudah untuk berkata benar, walaupun kita ketahui apa yang salah. Saya sendiri begitu juga, kadangkala kesilapan dan kesalahan tidak terlepas jua kerana menurut cita rasa sahaja. Firman Allah SWT yang bermaksud ”Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula pada hal kamu semua mengetahui”. (Al-Baqarah :42)


Sebenarnya, setiap malam saya berazam untuk menjadi lebih baik daripada semalam, kesilapan lalu tidak diulang dan lebih banyak diam daripada berkata yang tidak mendatangkan faedah, serta berfikir panjang sebelum bertindak. Saya termenung sendiri, kerana adakalanya azam tersebut gagal dipatuhi. Alangkah bagusnya, seandainya segala masalah boleh ditolak ketepi dan berjaya diselesaikan secara berhati-hati. Diri ini rasanya tidak terdaya lagi untuk memikirkan tentang kegembiraan dan kebahagiaan diri sendiri, kerana untuk anak-anak pengorbanan perlu dilakukan seikhlas hati.


Mudah-mudahan pertolongan dan hidayah Allah sentiasa bersama kita agar keimanan terpelihara dan ketaqwaan terjaga. Amin...


Bertemu lagi...