Sunday, November 28, 2010

Kenapa Bertindak Melulu?

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini saya begitu tertarik untuk berkongsi tentang peri penting memelihara persaudaraan, silaturrahim yang terjalin usah dibiarkan terungkai dek tindakan yang tidak berpedoman dan tidak berasas. Kadangkala kita terasa diri cukup hebat untuk menjadi pendamai kepada dua hati yang sedang berselisih faham. Tanpa usul periksa kita bertindak tanpa diarah dan diminta untuk menunjukkan bahawa diri kita adalah pembela walhal tindakan kita telah menyebabkan ramai orang yang bermasam muka. Ya bukan salah menjadi pengantara, tetapi kita perlu berlaku adil tanpa menyebelahi atau memilih yang lebih disayangi sahaja.


Dalam keluarga begitu juga, anak kita bergaduh dengan anak jiran tetangga. Sebagai ibu bapa tidak perlu menyerang dan bersemuka kerana anak-anak kita, bergaduhnya hanya seketika, sekejap lagi berbaik lah mereka. Apabila ibubapa campur tangan, hubungan baik dengan tetangga akan tercalar jua tetapi anak-anak tidak ada apa-apa berkawan semula dan bermain mesra. Justru, berilah peluang anak untuk belajar menyelesaikan sendiri konflik yang dihadapi, supaya hubungan yang terjalin dapat dipelihara.


Begitu juga di rumah, perselisihan ibu bapa merupakan perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Perselisihan yang berlaku pastinya cepat reda kerana kesalahan yang dilakukan perlu diakui. Hakikatnya anak-anak kini, merasakan diri mereka cukup matang untuk bertindak, mempersoalkan itu dan ini. Paling malang seandainya ada anak-anak yang mula menunjukkan taring untuk berpihak kepada ibu atau bapa. Apabila ibu yang disebelahi, pasti bapa menjadi mangsa, kesalahan bapa dicari-cari sehinggakan bapa merasakan dirinya tidak dihargai. Kedapatan juga yang berpihak kepada bapa, maka ibu pula yang menjeruk rasa.


Duhai anak-anak sekalian, ibu dan bapa sama pentingnya kerana mereka semuanya berjasa kepada kita. Kedua-dua mereka perlu dikasihi dan dihormati kerana pengorbanan mereka tiada terhingga. Jadi berlaku adillah kepada mereka agar hati ibu dan bapa tidak terguris. Apabila diri mereka diketepikan pastinya hati kecilnya amat terluka kerana merasakan diri mereka tidak langsung dikasihi dan dihargai. Kadangkala anak-anak yang terlebih untuk menjadi pembela sedangkan antara ibu dan bapa perselisihan hanya sementara menjadi rencah dan juga perasa, selepas itu mereka kembali mesra.


Anda dan saya, belajarlah mencari kekurangan diri sendiri, kepada orang lain usah menunding jari. Kita perlu bersikap rasional, berlaku adil secara saksama. Masalah anak biarlah mereka belajar untuk menyelesaikan sendiri agar anak kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Begitu juga dalam keluarga, perselisihan ibubapa usah kita memandai untuk mencampuri kerana mereka cukup matang untuk mencari penyelesaian sendiri.


Pesanan untuk diri saya serta juga untuk semua, ibu dan bapa usah memburukkan pasangan dihadapan anak-anak kerana ia lebih memburukkan suasana. Apabila anak memburukkan bapa, segeralah ibu membela kerana dia masih bergelar suami justru maruah suami patut dijaga.


Isteri yang baik sentiasa mencari apa sahaja perlakuan yang menyenangkan hati suami. Isteri juga takut untuk melakukan perkara yang boleh menggugat keharmonian dalam rumahtangga yang telah dibina. Derhaka kepada suami amat ditakuti kerana ketakutan kehadrat Allah mengatasi segalanya. Riwayat daripada Abu Hurairah RA “orang bertanya Ya Rasulullah, manakah wanita yang baik?” Rasulullah SAW menjawab, wanita yang baik ialah wanita yang selalu mengembirakan suaminya, bila suaminya melihat kepadanya, dia selalu patuh, bila diperintah, dia tidak mahu melanggarnya sama ada pada diri mahupun harta bendanya menurut yang tidak disukai suaminya”.


Sebagai isteri, adakalanya kita menjeruk rasa, kesabaran kita juga sering teruji. Yang paling penting, syak wasangka terhadap suami sila tolak ketepi. Kecintaan kita kepada Allah mengatasi segalanya, suami dan anak-anak hanya pinjaman sementara buat kita semua. Marilah kita berusaha untuk menjadi insan yang baik hati, bermaafan sesama sendiri agar persengketaan tiada lagi.

Bertemu lagi…

Sukarnya Menjaga Hati

Bismillahirrahmanirrahim…

Minggu lepas di Pahang, minggu hadapan seminggu lagi di hotel Plaza, kemudian akan ke Pantai Timur pula. Jadual tugasan luar sungguh padat, hinggakan tidak sempat untuk menjengah apa yang berlaku di pejabat. Walau di mana saya berada, tuntutan tugas perlu dilaksanakan, kerana ia merupakan kepercayaan yang tidak wajar dipersiakan. Saya tidak pernah merasa kecewa atau kesal dengan apa yang saya lalui sebaliknya saya amat bahagia kerana saya masih diberi kepercayaan dan pengharapan untuk melaksanakan tugas secara berkesan. Terima kasih di atas keyakinan yang diberikan.


Apabila asyik bekerja, adakalnya ianya dapat membantu melupakan masalah yang melanda jiwa. Orang yang berada di sekeliling mungkin tidak menyangka bahawa dalam diri kita ada derita maklumlah air muka sentiasa ceria, senyum terukir dan sentiasa bersikap ramah mesra. Justru dengan siapa kita berhubung dan berinteraksi amat perlu diselidiki dan dikenali supaya komunikasi mesra dan sihat mudah terjalin.


Bukan mudah untuk menjaga hati, tidak senang untuk menawan hati kerana kita dijadikan Allah berbeza personaliti, cara, cita rasa, minat dan sebagainya, tetapi tidak dapat dinafikan masih kedapatan persamaan antara kita. Begitulah indahnya ciptaan Allah, agar dunia tidak sunyi dijadikan kita pelbagai warna agar mata tidak sekadar memandang benda yang sama. Pasti kesannya, kita tidak akan jemu kerana semakin ramai yang kita ketemu, semakin banyak perkara baru yang dapat kita pelajari dan ketahui. Sesungguhnya pengalaman akan mematangkan kita seandainya kita mengambil pelajaran daripadanya.


Saya sendiri tidak terlepas daripada ujian sebegini, ada ketikanya menghadapi situasi yang menguji kesabaran di hati. Sentiasa berazam untuk mempunyai kesabaran yang tinggi tetapi apakan daya kadangkala diri ini juga tidak tahan diuji apabila berdepan dengan meraka yang tidak beradab dan bersopan apabila berkata-kata, menyerang orang lain tanpa usul periksa serta suka mengugut tak kira siapa. Aduhai, rupanya masih lemah diri ini dalam menghadapi karenah manusia yang sengaja tidak mahu mengerti dan memahami serta tidak mengaku kesilapan sendiri.


Ingatlah, seandainya kita pandai marah dan melenting, orang lain seperti kita juga..sifat marah pasti ada tetapi bagaimana untuk mengawal kemarahan itulah senjata agar diri lebih dhormati. Saya seringkali tersepit, bagaimana untuk mendamaikan kekeruhan yang terjadi antara dua sahabat yang saya sayangi. Tiada niat untuk menyebelahi atau memilih yang lebih disukai, tetapi yang penting kelemahan diri perlu segera di atasi sebab itulah pentingnya saling menasihati. Kalau inginkan keadaan kembali seperti sediakala, sifat ego dan keras hati perlu diketepi. Barulah perselisihan yang berlaku dapat diatasi supaya jernih hati dan berseri air muka.


Apabila keseorangan saya termenung sendiri, kerana dalam kehidupan banyak sungguh ranjau dan duri. Banyak luahan yang terbuku di hati dipaparkan melalui penulisan kerana saya tidak mahu membicarakan menerusi perkataan dibimbangi ada yang terguris perasaan. Seandainya penulisan saya juga ingin disekat dan dihalang, kerana ingin menjaga perasaan orang yang disayang, maka terserlahlah ketidakadilan dalam memberi pandangan serta ulasan. Penulisan saya adalah berdasarkan pengalaman yang ditempuhi saban hari agar kemarahan, kegelisahan, kekecewaan dan kegusaran dapat dikurangkan serta bebanan perasaan dapat diringankan. Orang lain tidak pernah mengerti dan mengetahui, kesedihan yang dirasai, penderitaan yang dilalui serta masalah yang dihadapi. Kesabaran dan ketabahan membantu saya untuk terus tegak berdiri kerana masih ada insan yang menyayangi dan mengambil berat terhadap diri ini. Berusaha dan bertawakkal, itulah yang sepatutnya kita lakukan. Firman Allah SWT “Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan memberikannya jalan keluar, dan akan mengurniakannya rezki dari arah yang dia tidak jangkai” (Surah At-Talaq: 2-3)


Ketenangan hati sentiasa dicari dan pertolongan Allah yang sering dihajati. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita daripada sifat menunjuk dan riak dalam menabur budi dan bakti. Moga amal ibadat kita diterima dan mendapat keberkatan daripada Ilahi. Amin…

Bertemu lagi…

Wednesday, November 24, 2010

Kita Saling Memerlukan

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang ini hujan agak lebat menyebabkan saya tidak berpeluang untuk menjengah pantai berhampiran. Justru saya tinggal bersendirian di dalam bilik sambil merenung titisan hujan dan ombak laut yang memecah pantai. Sungguh hebat ciptaan Tuhan kerana keindahan pemandangan tidak dapat digambarkan. Ada pulau, laut dan daratan, dihiasi pula dengan buih ombak dilautan, pasir putih di pesisiran serta lambaian lembut daun kelapa yang menterjermahkan kekuasaan mutlak Yang Maha Esa.

Sebagai manusia, sewajarnya kita mengerti dan mengamati, bahawa Alah menjadikan sesuatu perkara itu tidak sia-sia pasti ada sebab musababnya yang tidak di capai dek akal fikiran kita. Jika dunia ini satu persinggahan buat kita, jadi marilah kita berusaha menyediakan sebanyak bekalan bagi meneruskan perjalanan sebelum kita sampai ke destinasi yang kekal abadi. Saya kadangkala amat gusar memikirkan tentang bekalan diri sendiri, kesabaran masih kurang manakala cintakan dunia masih mengundang. Akan saya berusaha untu mencari sahabat dan teman yang sentiasa bersama waktu susah dan senang kerana saya memerlukan kalian untuk sentiasa berada di atas landasan.

Hari ini kepenatan makin terasa, memurnikan laporan memerlukan pemikiran yang kritis dan tajam maklumlah harapan sahabat tidak mahu saya persiakan dan kepercayaan yang diberikan akan digalas dengan penuh tanggungjawab. Saya amat berterima kasih kepada sahabat yang masih mempercayai, meyakini dan menghargai setiap teguran, nasihat dan pandangan yang saya utarakan. Yang saya luahkan tidak semestinya diterima sebulat hati, dan kalau terdapat kekeliruan boleh dibawa berbincang kerana kadangkala saya juga melakukan kesilapan.

Dalam menjalankan tugasan, kita bukannya membuat pertandingan siapa yang menang dan siapa pula yang akan menjadi johan. Keutamaan kita ialah melaksanakan tugas dengan betul mengikut prosedur dan tatacara agar hasil yang berkualiti dapat dijelmakan. Kerja dalam pasukan bermakna perlu wujud perkongsian, bersedia bertolak ansur dan berkompromi supaya iklim kerja lebih harmonis. Kita perlu beradab dan bersopan, merendah diri juga amat diperlukan agar orang lain selesa untuk berhujah serta memberi pandangan. Kata-kata hikmat ini boleh dijadikan pedoman agar diri kita dihormati dan senang didampingi. Benar sungguh “Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalasnya dan bersikap adil ketika kuat atau berkuasa.” (Khalifah Abdul Malik bin Marwan).

Semakin berilmu kita sewajarnya semakin kita merendah diri. Sekiranya kita merasakan diri kita serba tahu dan serba mengerti, maka tertutuplah minda untuk terus meneroka dan mempelajari. Seandainya kita ingin berguru atau memperoleh ilmu baru, maka anggaplah diri kira benar-benar tidak tahu barulah kita mudah menerima dan menghayati kerana pintu hati terbuka sepenuhnyab untuk diisi. Teringat saya sewaktu mengikuti ceramah motivasi, penceramah tersebut menjelaskan “ kalau kita menghadiri sesuatu majlis ilmu, usah lah dibawa cawan yang penuh berisi air kerana kelak dibimbangi air tersebut akan tumpah dan mungkin langsung tidak dapat diisi; sebaliknya datanglah dengan cawan kosong atau separuh berisi kerana sekurang-kurangnya air yang baru dapat ditambah dan diisi”.

Anda dan saya, terimalah hakikat bahawa banyak yang belum kita pelajari dan ketahui. Jadi usah segan bertanya kerana kelak akan tersesat jalan dan susah nak kembali lagi sekiranya sudah sampai ke destinasi. Oleh itu, sebelum memulakan langkah pastikan hala tuju sudah diketahui, lakaran peta menjadi peneman sepanjang perjalanan serta pastikan ada teman yang mengiringi agar susah dan senang sama-sama dapat berusaha mengatasi. Bergerak sendiri mungkin menyusahkan diri di kemudian hari. Seandainya karam di lautan terkapai-kapailah nanti dan mungkin sudah terlewat untuk mendapatkan pertolongan dan rasa simpati.

Mudah-mudahan Allah menyatukan hati kita demi untuk mendapatkan keredhaan Ilahi. Amin…

Bertemu lagi…

Kebersamaan Penentu Kejayaan

Bismillahirrahmanirrahim…

Telah dua hari kami berkampung di Cherating. Fokus utama adalah menyiapkan laporan kajian. Dari jauh saya perhatikan betapa sahabat sekalian bersungguh-sungguh dan bertungkus lumus untuk memastikan tugasan siap disempurnakan. Pelbagai ragam yang dapat disaksikan, ada yang bermuram durja kerana laptop sudah terkena virus, tidak kurang yang riuh berbicara kerana data yang dianalisis sudah tiada, walau bagaimanapun terdapat juga yang berdiam diri seribu bahasa, khusyuk menulis begitu leka. Begitulah pelbagai reaksi dan memek muka yang dapat dipandang dan diamati yang kalau dianalisis boleh membawa seribu erti. Ya enak sungguh kerja bersama-sama, yang tidak tahu boleh bertanya dan yang berilmu boleh sama-sama berkongsi, ilmu diperturunkan seikhlas hati.

Setelah penat menggunakan fikiran, terasa lemah anggota badan. Sebelah petang kami sepakat untuk ke Kuala Kemaman. Keropok lekor, satar, pais ikan dan otak-otak menjadi pilihan untuk kami makan..berselera bukan kepalang kerana rasa seolah-olah terlepas daripada tekanan. Alhamdulillah kami kekenyangan hinggakan nak berbual pun sudah tidak larat. Kami sempat lagi membeli bekalan untuk makan malam dan nasi lemak ikan tongkol menjadi pilihan. Kemaruk sungguh, maklumlah pelbagai jenis makanan yang dijual, kalau tidak beli bimbang pula akan menyesal.

Apabila bersama begini, terasa benar akan keakraban jiwa dan hati, persis adik beradik yang boleh bertolak ansur dan bertoleransi. Yang tua dihormati dan yang muda pula disayangi. Saya amat kagumi komitmen sahabat sekalian, tanpa seliaan atau pemantauan masing-masing memahami akan amanah yang dipertanggungjawabkan. Alangkah bagusnya kalau semua ahli organisasi bersifat sedemikian, pastinya ketua senang hati kerana anak buahnya semua boleh diharapkan.

Malamnya, kami terus membuat tugasan dan suasananya agak riuh kerana tiba-tiba terdapat data yang hilang. Maka antara kami yang ada pengalaman berusaha untuk membantu agar data tersebut dapat diselamatkan. Saya tersenyum sendiri melihat gelagat spontan yang jelas membuktikan betapa seriusnya kalian dengan tugasan yang diamanahkan. Kedapatan yang hampir menangis kerana kecewa setelah penat data dianalisis, terlupa pula untuk menyimpannya. Justru analisis perlu dilakukan semula jadi perlu bersabar agar tidak kecewa dan putus asa.

Dalam menyediakan laporan, ilmu dan pengetahuan amat diperlukan, kesabaran dan ketenangan dapat membantu mengelakkan daripada kekecewaan dan ketegangan, manakala bantuan rakan-rakan merupakan sumber kekuatan kerana diri kita tidak dibiarkan bersendirian. Ya..pastinya kita utuh dalam satu pasukan, berusaha dan bersama untuk menempah kejayaan. Yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing..kerana kita tidak mahu menjadi penumpang tetapi seboleh mungkin kita berusaha untuk menyumbang. InsyaAllah, seandainya kita berusaha membantu dan mempermudahkan urusan orang lain, Allah akan membantu dan memudahkan urusan kita.

Anda dan saya, begitulah realiti dan cabaran yang kami hadapi dalam melaksanakan tugasan ini. Ketawa dan duka silih berganti, penat tiada dalam kamus kami, selagi boleh kami tetap bangun dan bangkit. Kadangkala kami buntu dan tiada idea untuk menulis sehinggakan mata terpejam tanpa kami sedari. Yang penting kami saling memahami bahawa di antara kami memang terdapat perbezaan pandangan, personaliti dan sifat tetapi kami dapat disatukan bagi mencapai sesuatu matlamat. Indah sungguh, sekiranya kita dapat menerima orang lain seadanya, kerana kekuatan yang orang lain ada mungkin tidak kita miliki. Allah jadikan kita berbeza-beza untuk kita saling bekerjasama dan saling melengkapi kerana sebagai manusia kita memang tidak sempurna. Masalah yang timbul perlu segera diatasi agar ia tidak berlarutan sehingga mengganggu ketenangan diri.

Untuk memelihara persahabatan, kesabaran amat diperlukan kerana bukan semua orang dapat memenuhi kehendak dan citarasa kita. Pastinya bukan semua orang akan menyayangi dan mengasihi kita. Kadangkala kita tidak pasti apa puncanya kerana kedapatan yang tidak suka dan tidak menyenangi diri kita tanpa diketahui mana silapnya. Usah bersikap sombong atau membesar diri kelak diri kita tidak dihormati. Kita perlu saling diingati kerana perjalanan hidup ini penuh dengan ranjau dan duri. Justru berhati-hatilah dalam melayari dan mengemudi agar diri tidak mudah hanyut dan tersasar dijalan yang tidak diredhai oleh Allah yang Maha Esa.

Jadi dalam menguruskan kehidupan, tidak dapat dinafikan susah dan senang silih berganti, kadangkala ketawa dan ada masanya menangis. Seawajarnya, kita perlu bijak mengatasi agar ia tidak mengganggu tugas dan konsentrasi. Apabila berjanji hendaklah ditepati dan amanah serta kepercayaan yang diberikan usah dikhianati. Sabda Rasulullah SAW “Ciri-ciri orang yang munafik ada tiga: Jika berbicara berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika diberi amanah dikhianati” (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih).

Mudah-mudahan Allah membantu kita samada pada waktu senang mahupun pada saat kesukaran dan kesulitan. Amin…

Bertemu lagi…

Monday, November 22, 2010

Bersama Bertolongan

Bismillahirrahmanirrahim...

Minggu ini saya bertugas luar selama seminggu di Kuantan Pahang. Kami akan bersama dalm satu pasukan untuk menyelesaikan tugas yang belum disempurnakan, menyiapkan segala bentuk laporan dan saling membantu untuk saling melengkapkan kerana antara kami kedapatan perbezaan kemahiran dan kepakaran. Ya antara kami saling memerlukan.

Bertugas luar pejabat kadangkala meyeronokkan tetapi yang menjadi kerisauan ialah sekiranya hasil yang diharapkan tidak dapat dicapai. Justru itu, kami sering bertungkus lumus siang dan malam, kerana bimbang dipersoalkan bukan sahaja oleh ketua di pejabat tetapi juga yang paling utama oleh Allah SWT supaya setiap apa yang dilakukan dapat dikira sebagai amal ibadat. Saya sendiri amat meyakini bahawa sekiranya kita amanah, ikhlas dan bertanggungjawab, kerisauan tidak perlu lagi bertapak di hati. Oleh itu, tanyalah diri sendiri…amanahkah diri ini?

Sepanjang perjalananan pasti banyak yang dapat saya amati dan pelajari maklumlah jauh perjalanan semakin luas pemandangan dan pastinya akan melalui pelbagai pengalaman. Saya masih terkenangkan sewaktu perjalanan bertugas luar di Terengganu selepas sambutan Hari Raya yang lepas. saya singgah dihentian rehat Gambang untuk minum kopi kerana terasa terlalu mengantuk maklumlah memandu seorang diri. Sewaktu menikmati minuman mata saya terpaku terhadap seorang lelaki dalam usia 40-an. Raut wajahnya jelas tanpak dalam kesusahan, tekaan saya pasti dirinya dihimpit kemiskinan. Saya memandang wajahnya sambil menyapa..”tak makan ke, kalau nak makan pesanlah saya belanja.” Lelaki tadi tersipu malu menyebabkan hati saya tersentuh mungkinkah silap sapaan saya tadi, bukan niat saya untuk merendahkan dirinya tetapi itu lah sifat saya cepat kasihan dan simpati.

Di tangan lelaki itu terdapat sekeping borang yang dibelek belakang dan depan. Pada hemat saya mungkin dia tidak tahu membaca. Saya seterusnya cuba juga berbicara bertanyakan borang apa yan berada dalam genggaman. Sayu hati saya apabila beliau menjelaskan “borang ini untuk mohon pekerjaan sama ada tukang sapu atau penyiram pokok pun jadilah”. Sekali lagi hati saya tersentuh kerana pada usia begini tiada pekerjaan tetap lagi..agaknya bagaimana dengan anak isteri. Ringan mulut saya bertanya sama ada anak-anaknya telah bersekolah kerana untuk memastikan tiada keciciran dalam pelajaran. Jelasnya beliau belum berumahtangga, untuk menanggung diri sendiri pun tidak tentu hala kerana tiada pelajaran dan tidak berharta. Sebatang pen saya hulurkan untuk mengisi borang yang berada di tangan. Alhamdulillah peniaga yang budiman di gerai berdekatan telah sudi menghulurkan bantuan untuk membantu melengkapkan borang.

Baru-baru ini sekali lagi saya bertugas luar nun jauh di Pantai Timur. Di perhentian yang sama saya singgah untuk merehatkan badan akibat keletihan setelah memandu hampir enam jam. Terkejut saya, apabila ditegur dan disapa dengan ramah mesra, senyum terukir tanda gembira, memakai t-shirt kuning yang seragam menandakan lelaki yang saya temui dahulu sudah mendapat pekerjaan yang diidamkan. Alhamdulillah kepada-Mu Ya Allah saya lafazkan kesyukuran kerana lelaki tersebut sudah memperoleh pekerjaan. Bagi saya, lelaki itu amat mengenang budi walaupun sumbangan saya tidak seberapa tetapi saya masih dikenali kerana apabila dipandang terus saya dihampiri dengan ceria dan manis muka.

Secebis kesah benar saya paparkan untuk dijadikan pengajaran. Walaupun pertolongan yang sedikit kita hulurkan tetapi dihargai oleh orang yang amat memerlukan. Anda dan saya, seandainya kita berkemampuan usah kedekut menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk wang ringgit atau kudrat; hatta khidmat kepakaran dan nasihat juga boleh dihulurkan.

Senjata utama ialah tawaddhu’ dan rendah hati, tidah mengharap untuk dipuja dan dipuji. Yakinlah apabila kita ikhlas menolong orang lain, Allah akan membantu mempermudahkan urusan kita terutama apabila berada dalam kesulitan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersikap tawaddhu’ sehingga setiap kamu tidak angkuh terhadap yang lain, dan tidak saling menindas. (Hadis Riwayat Muslim)

Mudah-mudahan segala kelebihan yang kita ada dimanfaatkan sebaik mungkin agar orang lain juga turut dapat berkongsi rasa. Pertolongan hendaklah ringan dihulurkan terutama kepada mereka yang sangat memerlukan. Mengembirakan orang lain merupakan suatu kepuasan dan membuatkan orang lain gembira membuahkan kebahagiaan yang tidak terhingga. Doa kita, moga hati kita sentiasa peka terhadap kesulitan dan kesusahan serta kemiskinan dan kedhaifan. Bersyukurlah kerana angkuh dan sombong bukannya sifat kita, moga hati kita sentiasa dipelihara oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Amin…

Bertemu lagi.

Saturday, November 20, 2010

Hijrah Untuk Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim…

Program motivasi pada pagi ini sungguh menarik perhatian saya. Bual bicara adalah berkaitan hijrah untuk perubahan demi kebaikan. Hijrah merupakan satu keperluan kerana sebagai manusia penambahbaikan perlu dilakukan secara berterusan. Dalam usaha untuk berubah, niat menjadi keutamaan dan yang pasti perlu bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan. Benar sungguh bicara tadi, kalau kita mengejar akhirat kita juga turut mendapat dunia, manakala kalau kita kejar dunia semata-mata kesannya akhirat akan lari. Begitulah peringatan penceramah agar kita sentiasa berhati-hati dan berusaha untuk mengatasi kelemahan dan kekurangan diri.

Hijrah yang ingin dilakukan memerlukan pengorbanan. Bukan mudah untuk meninggalkan sesuatu yang menjadi kebiasaan demi pembaharuan. Walau bagimanapun ianya mesti dilakukan kerana mardhotillah yang kita harapkan. Dalam melaksanakan perubahan beberapa tips telah disarankan iaitu pertama; lakukan perubahan secara fizikal. Perubahan ini memerlukan perpindahan daripada satu tempat ke tempat yang lain. Sekiranya di tempat kerja sekarang kita dianggap kakitangan yang bermasalah dan tidak amanah, dan teringin sungguh untuk berubah iaitu tidak mahu melakukan kesilapan yang lalu maka adalah lebih baik kita berhijrah atau cuba beralih arah mencari tempat bertugas yang baru. Moga dengan penghijrahan kita ke tempat baru, segala kesilapan dan kesalahan yang lalu tidak akan dilakukan lagi sebaliknya berusaha menjadi pekerja yang amanah, jujur dan bertanggungjawab kerana tugas yang dilaksanakan juga merupakan satu ibadat.

Begitu juga seandainya di kampung, nama kita tercalar disebabkan tingkahlaku kita yang mungkin tidak sengaja sehingga orang lain memandang kita sebelah mata dan tidak mempercayai kita lagi. Justru sewajarnya kita berhijrah ke kampung lain untuk membina hidup baru dengan jenama yang juga baru. Yang paling penting adalah kesungguhan kita untuk berhijrah dan berubah kerana Allah. Oleh itu segala kepayahan dan kesulitan perlu dihadapi kerana bukan senang untuk menjadi orang yang baru.

Tips yang kedua ialah berusaha untuk mencari sahabat yang berakhlak dan berbudi yang mampu mengamalkan budaya saling mengingati dan berpesan dengan kebenaran dan kebaikan. Seandainya dahulu kita berkawan dengan mereka yang tidak solat dan mengingkari suruhan Tuhan sehinggakan diri kita turut terkorban maka jauhilah kerana kelemahan diri menyebabkan kita tertewas. Carilah sandaran baru agar kita mampu berubah untuk mendapat keredhaan Allah kerana umur kita berterusan meningkat dan masa yang kita ada mungkin sudah terlalu singkat. Berubahlah sekarang dan carilah sahabat sejati yang berakhlak tinggi untuk didampingi.

Tips yang ketiga ialah penghijrahan minda iaitu termasuk cara berpakaian dan sifat kebiasaan seperti kemarahan yang tidak terkawal. Menurut penceramah lagi cara berpakaian juga merupakan satu penghijrahan tetapi pastikan ke arah yang lebih baik. Usah kita berubah kerana mengikut arus pemodenan iaitu daripada sopan berbaju kurung dan bertudung labuh kepada berseluar ketat, berbaju jarang dan bertudung singkat. Sebaliknya penghijrahan biarlah menampakkan kesungguhan untuk menutup aurat sebagaimana yang dituntut dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman agar melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya; yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani “ (Surah Al-Ahzab: 59)

Selain itu, kita juga perlu sanggup mengenepikan sifat kebiasaan demi meningkatkan kualiti peribadi agar dihormati dan dihargai. Sifat marah perlu digantikan dengan kesabaran. Seandainya sering berkata-berkata tanpa tujuan hanya menyakitkan telinga dan mengguris perasaan orang maka lebih baik diam sahaja. Lakukanlah perubahan iaitu fikirkan dahulu apa yang ingin diluahkan agar butiran bicara lebih tajam dan berkesan serta menjadi halwa telinga kerana sedap kedengaran.

Sekadar itu perkongsian saya kali ini, kerana kita sama-sama ingin melakukan perubahan kerana tidak mahu berterusan melakukan kesilapan dan kesalahan. Kelemahan diri InsyaAllah akan berusaha di atasi supaya diri kita mudah dibawa ketengah dan ketepi, kata-kata kita dipercayai, tindakan kita diyakini dan diri kita boleh diterima oleh sesiapa seadanya. Mudah-mudahan kita dibawah naungan hidayah Allah sentiasa. Amin…

Bertemu lagi…