Sunday, January 30, 2011

Janji: Mudah Dilafazkan

Bismillahirrahmanirrahim…

Telah sebulan, kita berada di tahun baru 2011. Saya bertanya diri sendiri, adakah perubahan diri dan azam semasa menyambut tahun baru telah ditunaikan. Memang mudah menanam azam, cita-cita dan hasrat. Amat senang untuk berjanji bukan sahaja berjanji pada diri sendiri tetapi juga berjanji dengan orang lain tetapi persoalannya, setakat mana kesungguhan dan tekad kita untuk melunaskan janji tersebut. Tanya pada diri sendiri, InsyaAllah kita pasti akan memperoleh jawapannya.

Diri saya juga tidak terkecuali, berazam dan bertekad untuk membuat perubahan diri; menjadi orang yang lebih baik dari sehari ke sehari. Kadangkala saya amat kecewa, hasrat tidak kesampaian dek tidak mampu berhadapan dengan ujan dan cabaran, serta godaan yang sering mendatang. Untuk melakukan perubahan, sokongan daripada orang sekelilng amat diperlukan, kerana selain daripada mengharapkan pertolongan Allah, dorongan keluarga dan sahabat sejati amat diharapkan.

Sebelum melangkah ke pejabat, saya sering berazam untuk kurang bercakap, banyak mendengar dan memerhati serta berusaha untuk amanah dengan masa. Saya berpegang kepada ungkapan yang sungguh menyentuh hati iaitu “kerja itu ibadah, masa itu amanah”. Walau bagaimanapun, adakalanya saya gagal. Apabila wujud situasi yang tidak dapat memuaskan hati, mulut ringan sahaja untuk berbicara walhal untungnya tiada. Ada ketikanya, saya berusaha menjauhkan diri daripada mereka yang sering menimbulkan kontroversi, mencetuskan konflik dan rasa tidak selesa. Saya bukan mementingkan diri sendiri, tetapi saya juga masih lemah untuk mengawal emosi, perasaan marah dan juga cepat terasa. Untuk mengelakkan daripada kekeruhan terjadi saya rela menarik diri agar kehadiran saya tidak akan mengeruhkan lagi suasana.

Saya tidak nafikan, kedapatan sahabat yang masih menghargai terhadap sedikit ilmu yang Allah anugerahkan kepada diri ini. Justeru saya tidak jemu melayan, seandainya sahabat memohon pertolongan dan bimbingan. Ilmu yang ada kalau dikongsi, InsyaAllah lebih banyak lagi yang Allah akan beri pada kita. Terima kasih kepada sahabat yang sentiasa melibatkan saya sama ada dalam projek kajian, perbincangan dan juga sumbang saran kerana ia menterjermahkan bahawa diri ini masih diperlukan walaupun sumbangan yang dapat diberikan tidak seberapa. Yang penting kita ikhlas memberi dan menerima; bukan untuk menguji kehebatan dan menunjukkan kepandaian. Setiap kita ada kekuatan dan kekurangan, dan apabila dikongsi ia akan membantu lebih memantapkan apa yang sedia ada.

Kalau hendak memikirkan apa yang orang kata, pastinya kita tidak dapat melakukan apa-apa. Kata Ustaz pagi tadi, kalau ada orang mengata, mengkritik ikut rasa, lebih baik kita diam sahaja. Bukan apa, InsyaAllah kita akan dapat pahala percuma sahaja. Ya, kadangkala kita tak tahan juga, rasa nak menjawab dan membalas pula, maklumlah mana tak geram orang asyik kenakan kita. Hanya satu cara untuk menahan gelodak rasa, ingatlah Allah ada, ada dosa dan juga pahala, ada syurga dan juga neraka. Korbankanlah perasaan marah dan geram kita kerana kesannya tiada yang baik untuk diri kita. Amat penting, apabila berjanji dengan diri sendiri, berusaha sunguh-sunguh untuk tunaikan tanpa menoleh kiri dan kanan kerana ianya perubahan ke arah kebaikan.

Selain berjanji dengan diri sendiri berjanji dengan orang lain juga amat perlu ditunaikan, usah mengambil mudah dan memandang ringan. Menurut Ustaz lagi, manusia paling sukar untuk melunaskan janji apabila berhutang. Sebelum mendapat pinjaman, pelbagai janji yang dilafazkan, dan apabila yang dihajati telah berada dalam genggaman, culas pula untuk membayar balik hatta untuk bertemu mata jauh sekali, sering mengelak dan menjauhkan diri. Justeru, kita tidak digalakkan berhutang, berpada-pada berbelanja juga apabila membuat kenduri kendara. Kadangkala kenduri sudah bertahun tetapi beban hutang masih belum langsai. Oleh itu, berbelanjalah ikut kemampuan; bersederhanalah dan elakkan daripada berhutang. Kenduri yang dibuat mengharapkan keberkatan oleh itu ia tidak sewajarnya menjadi beban. Fikirkanlah, ukur baju di badan sendiri. Usah harapkan orang memuji kehebatan kita dan bimbang dengan apa yang orang kata, kerana akibatnya diri kita yang merana.

Usah kita membiasakan diri untuk mudah menabur janji. Bimbang suatu hari nanti, seandainya kita gagal menunaikannya diri kita sudah tidak dipercayai dan diyakini. Akhirnya, kita dilabelkan sebagai pembohong, kata-kata kita tidak boleh didengar bak kata orang ‘cakap kita tidak boleh dipegang buku’. Sekira berjanji, pastikan kesungguhan untuk menepati. Seandainya diri merasakan sukar untuk menunaikan sesuatu permintaan, usah berjanji kerana membuatkan orang lain menaruh harapan yang pasti tidak kesampaian. Jangan membuatkan orang lain mengharap dan tertunggu-tunggu dengan janji kosong yang belum tentu kerana ia membuatkan ada jiwa yang merana dan amat kecewa kerana apa yang dihajati tidak diperolehi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Jangan bertengkar dengan saudaramu, jangan bergurau dengan gurauan yang menyakitkan, jangan berjanji denganya lalu anda memungkiri janji dengan nya” (Al-Bukhari: Fil Adabil Mufrad)

Marilah bersama-sama kita membersihkan jiwa dan hati untuk menjadi insan yang dikasihi Allah, dan disayangi sesama manusia. Menepati janji sifat terpuji, keikhlasan diri mencerminkan isi hati dan keluhuran budi menterjermahkan nawaitu yang sentiasa mengharapkan keredhaan dan keberkatan daripada Yang Maha Pemberi. Moga anda dan saya, diberikan kekuatan oleh Allah Yang Maha Esa untuk terus berbudi dan menabur bakti kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk meraih pahala sebagai bekalan apabila dijemput Ilahi. Amin..

Bertemu lagi…

Sunday, January 23, 2011

Keikhlasan Persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim…

Pada minggu ini saya akan bertugas luar selama tiga hari. Tugasan ini sungguh mencabar kerana saya perlu memerhati, mendengar dan mengalami pelbagai situasi untuk mendapatkan maklumat yang sahih lagi terkini. Tugas sebegini menjadi lebih ringan seandainya tidak dilakukan secara berseorangan. Saling bekerjasama dan berkongsi dalam melaksanakan tanggungjawab menyebabkan tugasan yang dilaksanakan menjadi lebih mudah. Yang penting ahli pasukan mesti saling memahami, bersedia untuk bertolak ansur dan seterusnya komited terhadap tugas yang diamanahkan. Oleh itu, dalam melaksanakan tugasan sebegini kita amat memerlukan sahabat sekerja yang sanggup memberi dan menerima seadanya.

Sesungguhnya, dalam apa jua situasi nilai sebuah persahabatan begitu tinggi dan amat saya hargai. Dalam bersahabat, pelbagai ragam dan karenah yang kita hadapi. Kalau kita tidak pandai membawa diri adakalanya kita boleh terjerat sesama sendiri. Sama ada di pejabat atau di mana sahaja… kita perlu mengenali, dalam kalangan kita siapa yang kita boleh bergantung harap, yang boleh bersama kita pada waktu susah atau senang, atau pada waktu kita dalam keadaan kesempitan atau lapang. Usah kita mengharap semua orang menyayangi dan menyukai kita kerana kita manusia mempunyai keinginan dan persepsi yang berbeza. Pastinya ada yang tidak serasi bersama kita. Terimalah hakikat bahawa dalam diam ada yang sayang dan dalam keriuhan ada juga yang tidak menyukai dan sering menyakiti.

Walau bagaimanapun, saya rasa amat bertuah dan bersyukur kerana di pejabat terasa saya di kelilingi oleh adik-adik yang penyayang dan amat prihatin. Keikhlasan terpancar pada wajah mereka kerana mereka tidak pernah membiarkan saya sendirian sama ada di kala duka atau pun gembira. Saya amat memerlukan sahabat yang ikhlas dan berbudi tinggi kerana saya tidak mahu bersahabat dengan mereka yang manis dibibir mengeluarkan kata-kata tetapi di hati pula lain bicara. Sahabat sejati mampu menjadi cermin diri, keaiban kita dijaga, maruah kita dipelihara. Kesilapan dan kelemahan kita pula tidak dibiarkan begitu sahaja. Kesakitan kita turut dirasainya, dan kegembiraan kita membuatkan diri sahabat turut merasa bahagia. Kita yakin, seandainya kita berpura-pura dalam persahabatan, pastinya suatu hari kebenarannya akan terserlah jua.

Sebenarnya, kalau diri kita terlalu disayangi juga akan membuatkan kita rasa tidak selesa dan tidak gembira. Perasaan bimbang menguasai diri, takut tidak terbalas budi dan tidak mampu untuk menjaga hati. Saya mahukan sahabat seikhlas hati, bukannya sahabat yang mempunyai agenda yang tersembunyi. Dalam persahabatan, biarlah kita saling menyangi dan mengasihi kerana Allah Yang Maha Esa. Seandainya kita menyayangi dan mencintai seseorang berlebihan, dibimbangi kita tidak dapat mengawal perasan seandainya orang yang kita sayang pergi meninggalkan kita. Berpadalah dalam menyayangi dan mengasihi agar diri kita tidak tersungkur pada kemudian hari.

Dalam menjalin persahabatan perlu ada batas dan sempadan apatah lagi yang bergelar isteri atau suami orang. Banyak sudah kedengaran cerita, teman sepejabat dijadikan kekasih sementara sekadar teman untuk bermesra. Lebih baik berwaspada, kerana bimbang nanti berputik pula perasaan cinta, rasa rindu mula melanda dan kesannya kehidupan menjadi tidak tentu hala. Justeru berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga, elakkan diri daripada bermain dengan perasaan kerana kita semua sudah dewasa, kepercayaan yang diberi usah dipersiakan. Kalau kedapatan antara kita yang tersilap langkah kerana menurut kehendak nafsu, segeralah kembali ke pangkal jalan agar tidak berterusan hanyut dibuai gelombang. Bimbang nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula akan keciciran.

Jalinan persahabatan dan berkasih sayang, pastikan ianya tidak menyimpang dan tersasar daripada landasan. Memadailah berkasih sayang kerana Allah dan bersih daripada kepentingan diri demi faedah diri sendiri. Persahabatan yang tulus hanya mengharapkan keredhaan Ilahi. Seandainya kita gagal membetulkan niat, nilai persahabatan akan menjadi sia-sia dan dikhuatiri akan memudaratkan diri kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Allah Azza Wajalla berfiman :’ orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku mereka mempunyai manabir (beberapa mimbar) dari cahaya, para nabi dan syuhada ‘ menyukai mereka ‘ (Riwayat At-Tirmidzi)

Anda dan saya, memang sukar dan payah untuk mencapai darjat cinta kerana Allah. Tiada yang mampu mencapainya kecuali orang yang benar-benar bersih jiwa dan hatinya. Marilah sama-sama kita berusaha untuk mencari cinta sejati yang hakiki iaitu mencintai Allah dan Rasul melebihi daripada segalanya. Moga cinta kita berasaskan kecintaan kepada Yang Maha Esa, mudah-mudahan kejernihan kasih sayang kita sentiasa terpelihara. Amin…

Bertemu lagi…

Sunday, January 16, 2011

Untuk Mu Isteri (2)

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini , Alhamdulillah saya masih lagi berkesempatan untuk mengikuti sambungan intipati Program Tanyalah Ustaz. Hujung minggu sajalah saya berpeluang mengikuti program ini kerana pada hari lain seawal jam 6.20 pagi saya telah keluar rumah untuk ke tempat kerja. Walau apa pun kesempatan dan ruang waktu yang ada, pastinya saya tidak akan persia. Kalau dulu, semasa remaja saya kerap mengikuti usrah dan tamrin, tetapi kini tiada lagi. Oleh itu, saya perlu berusaha untuk menambahkan ilmu melalui kaedah yang lain kerana masih banyak yang saya tidak tahu dan kurang mengerti. Yang pasti, sepanjang hayat kita perlu belajar kerana kita bukannya sempurna, perlu sentiasa diingati.

Saya sungguh tertarik dengan kata kunci ustaz pagi tadi iaitu sesuatu yang diucapkan jika lahir daripada nafsu, maka ia akan jatuh kepada nafsu; dan seandainya ia diucapkan daripada hati maka ia akan jatuh ke dasar hati. Terkesan sungguh saya dengan ungkapan tersebut. Benar sekali, kalau kita bercakap, memberi pandangan atau menasihati seseorang dengan ikhlas terbit daripada hati, maka kesannya apa yang kita utarakan mudah didengari dan diterima. Seandainya kita berbicara berlandaskan emosi, di bibir mulut lain dan di hati pula berbeza, maka orang yang mendengar percakapan kita sukar unuk menerima malah mungkin akan merasa jemu dan bosan mendengar celoteh kita. Jadi pastikan apa yang kita ucapkan perlu lahir daripada hati dan tiada kepuraan yang tersembunyi.

Kedapatan antara kita disebabkan timbul rasa curiga terhadap suami, tindakan melulu diambil dengan menyerang suami tanpa usul periksa. Adakalanya anak-anak juga turut menjadi mangasa. Wajah yang dipamerkan isteri pula masam mencuka tanpa memikirkan dosa dan pahala. Nasihat ustaz kepada kita, seandainya ingin menegur atau menasihati, jangan sesekali bertindak mengikut nafsu amarah kerana ia akan membawa padah. Alangkah baiknya kalau dilakukan solat hajat terlebih dahulu selama 7 hari atau 40 hari, banyakkkan doa dan selepas itu baru lah mengeluarkan bicara yang lahir daripada hati. InsyaAllah sama ada suami atau isteri juga anak-anak akan mudah mengerti dan menerima serta lembut hati. Anda dan saya, marilah sama-sama kita ikuti petua yang amat hebat ini. Moga sengketa tiada lagi, dan syak wasangka boleh diketepi.

Dalam melayari kehidupan, suka duka silih berganti. Isteri dan suami saling melengkapi. Sukar untuk menjadi isteri solehah seandainya suami sendiri tidak soleh. Setiap suami bercita-cita tinggi, isteri solehah sentiasa menjadi idaman di hati. Ada ketikanya, suami terlupa bahawa tanpa didikan daripada suami, darjah solehah amat sukar diperolehi. Tanggungjawab suami mendidik isteri kerana isteri hak suami. Oleh itu, usah gentar dan takut untuk menegur dan menasihati isteri agar kesilapan yang dilakukan oleh isteri tidak berterusan diulangi agar tidak menjadi kebiasaan dan amalan sehari-hari. Seandainya terdapat kelemahan dan kekurangan maka segeralah perbetulkan. Kasih sayang suami kepada isteri adalah kerana Allah dan kasih sayang isteri terhadap suami juga kerana Allah, justeru perbetulkan segera mana yang salah.

Dalam melegakan kekusutan fikiran serta kehancuran perasaan, penawar yang paling mujarab ialah dengan membaca al-Quran serta mendekatkan diri kehadrat Allah Yang Maha Esa. Menurut ustaz, ubat kesedihan ialah al-Quran, kesedihan Allah yang bagi, maka Allah jua lah yang akan melegakannya. Firman Allah SWT yag bermaksud “Jika Allah menimpakan sesuatu yang bahaya kepada mu, tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengendaki kebaikan bagi kamu, tidak ada orang yang dapat menolak kurnia-Nya” (Surah Yunus: 107).

Oleh itu bagi yang bergelar isteri ujian daripada suami pasti ada. Dugaan diberi kerana Allah sayangkan kita. Seandainya kita mampu menghadapinya dengan penuh kesabaran dan berlapang dada pastinya pahala tersedia untuk kita. Bagi isteri, taat kepada suami merupakan senjata yang menjadi bekalan untuk menuju ke syurga disamping perintah Allah tidak dilupa. Marilah kita berusaha untuk mencari sebab yang membolehkan kita masuk ke syurga hatta walaupun dengan mensedekahkan hanya sebiji kurma. Seandainya kita terluka, sedih dan kecewa, bacalah surah al-Kahfi dan surah Yassin, InsyaAllah ianya amat mustajab sebagai ubat penenang jiwa.

Moga anda dan saya tidak tersalah langkah dalam menghadai dugaan dan ujian yang melanda. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan kita, membantu kita pada saat kita kesusahan dan kepayahan, mengampunkan segala dosa kita dan memimpin kita ke jalan yang benar dan lurus agar kita mampu menjadi isteri yang solehah. Amin…

Bertemu lagi…

Saturday, January 15, 2011

Untuk Mu Isteri (1)

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini saya amat teruja dengan tajuk perbincangan Program Tanyalah Ustaz. Alangkah bagusnya seandainya program ini dijadikan sajian saban pagi oleh kita. Banyak ilmu yang boleh dipelajari, dan banyak pengetahuan baru yang dapat diperolehi. Bagi saya semakin banyak kita dengar dan pelajari, barulah ia dapat menyedarkan diri ini betapa masih banyak yang tidak saya ketahui. Al-kesah tentang suami dan isteri, ilmu ini perlu sentiasa diperbaharui hatta bagi mereka yang telah lama berkeluarga apa tah lagi bagi yang baru melayari bahtera rumah tangga.

Saya yakin, begitu ramai yang menonton program ini. Tetapi tanyalah diri sendiri setakat mana ilmu tersebut kita berusaha mengamalkannya. Saya sekadar ingin berkongsi tentang intipati perbincangan yang sungguh menarik hati. Pastinya perihal kenapa isteri tidak menghormati suami, bercakap kasar dan tiada menunjukkan kasih dan sayang dan keperluan suami tidak dihiraukan. Suami pula merasa diri tidak dihormati dan tidak dihargai, maka kesannya suami dan isteri saling menunding jari.

Terdapat lapan faktor kenapa isteri durhaka kepada suami. Antaranya disebabkan isteri memang keras hati, ditegur menjawab pula, hanya kesabaran dan doa sahaja yang mampu mempertahankan rumahtangga, kalau tak boleh sangat adalah lebih baik lepaskan sahaja kerana bimbang berterusan menanggung dosa. Kurang tarbiyah turut menjadi punca, walaupun isteri anak alim ulama tetapi didikan daripada suami diperlukan juga kerana iman tidak dapat dijual beli dan bukan perkara yang boleh diwarisi. Oleh itu kedapatan isteri yang sanggup menengking suami. Kadangkala mungkin juga disebabkan isteri mendapatkan nasihat dan pandangan yang tidak baik daripada rakan atau keluarga sendiri. Seterusnya tidak dinafikan ada suami yang dayus begitu takut untuk menegur dan menasihati isteri. Mungkin kerana bimbang isteri tersayang akan merajuk dan melarikan diri kesannya diri suami berterusan tidak dihormati dan pengorbanan suami tidak dihargai. Ingatlah para suami, dayus sifat yang keji untuk ke syurga jauh sekali.

Banyak pengajaran yang para isteri boleh pelajari. Mutakhir ini, isu rumahtangga dan penceraian menjadi bual bicara saban hari. Ya … Kalau suami beralih arah, wanita lain yang dicintai dan dikasihi..usah kita cepat menunding jari. Tanyalah diri sendiri, di mana kesilapan dan kekurangan diri. Segera lah perbaiki kerana kalau kesalahan orang lain yang dicari, maka tidak ada penambahbaikan dalam diri. Justeru, kenali lah diri kita..kekurangan yang ada perlu segera diperbaiki, kelemahan pula perlu segera diatasi agar hati suami mampu ditawan dan dimilki. InsyaAllah suami akan berbesar hati kerana perasaan suami menjadi keutamaan, kesukaan suami sentiasa disediakan dan keperluan suami sentiasa berusaha untuk dicukupkan.

Sesungguhnya taatlah kepada suami selagi ia meminta kita melakukan sesuatu yang tidak bersalahan dengan cara hidup Islam. Menurut ustaz lagi, kalau suami menyuruh kita membuat sesuatu yang menjauhkan kita daripada Allah Yang Maha Esa, maka tolak lah dengan lembut dan manis tutur kata. Contohnya kalau dahulu aurat kita begitu terjaga dan terpelihara, bertudung menutup dada berpakaian longgar dan cantik dipandang mata, tiba-tiba apabila ke luar rumah suami meminta kita menukar gaya, bertudung pendek dengan penuh bergaya, berbaju singkat dan berseluar pula sehinggakan apabila melangkah ternampak susuk badan yang seolah-olah ingin menggoda. Adalah menjadi tanggung jawab kita untuk menjelaskan kepada suami bahawa demi cinta nan setia, maruah suami ingin dipelihara kerana perlakuan isteri menterjermahkan tarbiyah yang diterima daripada suami. InsyaAllah suami kita akan mengerti dan memahami kerana akhirnya bukan kepada suami yang kita kembali tetapi kepada Allah jua akhirnya destinasi.

Ya..saya sekadar berkongsi kerana kemungkinan ada dalam kalangan kita tidak berkesempatan untuk menonton program pagi tadi. Sama-sama lah kita mengambil iktibar daripadanya. Yang baik dijadikan contoh teladan. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai ilmu yang bermanfaat. Bersegera bertindak usah berlengah kerana anda dan saya masih belum terlambat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “harta yang paling utama ialah mulut yang berzikir, hati yang bersyukur, dan seorang isteri yang solehah yang membantu suami menegakkan imannya” ( Hadis Riwayat Tirmidzi)

Mudah-mudahan diri kita sentiasa terpelihara daripada bercakap mengikut rasa. Moga Allah menjadikan hati kita lembut untuk menerima kebenaran yang nyata, berbaik sangka dan sentiasa berlapang dada. Amin…

Bertemu lagi…

Monday, January 10, 2011

Minda Positif

Bismillahirrahmanirrahim…

Dalam kehidupan, ujian demi ujian yang terpaksa dihadapi, cabaran demi cabaran sentiasa menguji diri. Masalah yang melanda sering membuat kita tidak keruan. Apabila memikirkan kesulitan dan kesusahan pastinya semua kerja tidak menjadi. Sememangnya kita tidak sukakan masalah, ingin menjauhkan diri dari masalah dan tidak mungkin kita sendiri yang sanggup mencari masalah. Kadangkala pada saat tenang, tiba-tiba ribut melanda. Ujian bukan diminta tetapi ia datang tanpa diundang dan secara tiba-tiba.

Bagi saya ujian hidup menjadi lumrah, kerap diuji dan teruji, Alhamdulillah saya masih mampu bangkit sehingga kini. Untuk mendapat kekuatan bukannya mudah, ada ketikanya sedih tidak terkira dan hampir berputus asa apatah lagi seandainya ujian daripada anak yang tercinta. Bagi seorang ibu, segala sanggup dikorbankan demi anak-anak tetapi adakah anak –anak sanggup berkorban demi kebahagiaan dan kegembiraan ibu bapa. Alangkah malang seandainya anak hanya memikirkan tentang diri sendiri, apabila masalah melanda barulah ibu bapa yang dicari. Ya…begitulah kesahnya baru satu masalah dalam keluarga belum termasuk masalah di tempat kerja atau masalah dengan saudara mara, manakala masalah diri sendiri bagaimana pula agaknya.

Saya masih teringat, ustaz dalam program motivasi pagi tadi menjelaskan bahawa apa jua masalah yang menimpa, pastikan ianya diterima dan tangani ia secara positif. Seandainya diri kita terlalu memikirkan tentang masalah dan kesusahan pastinya kekecewaan sentiasa menguasai hati. Kenapa dibiarkan diri dan fikiran kita untuk memikirkan perihal yang membuatkan kita berada dalam kerisauan sedangkan hidup mesti diteruskan. Kenapa kita terlalu memikirkan sesuatu yang boleh membuatkan kita merana dalam kehidupan..bangkitlah kita mulai dari sekarang, mengambil ujian sebagai cabaran untuk membuatkan diri kita hari ini, lebih baik daripada semalam.

Yang penting pastikan diri kita tidak melakukan kesilapan. Tidak berkata benar boleh membuatkan orang lain hilang kepercayaan dan keyakinan. Dalam kehidupan kejujuran dan keikhlasan amat diperlukan kerana nilainya tinggi tiada tandingan. Biasakan diri kita untuk berfikir dan bertindak secara positif supaya masalah yang melanda dapat dikurangkan, ujian yang menimpa dapat memberi kekuatan serta cabaran yang dihadapi dijadikan pendorong dan semangat agar terus bermotivasi. Sangat penting untuk mengurus masalah secara berkesan.

Pemikiran positif boleh membantu kita untuk membangunkan diri. Kalau kita tidak dapat berdiri sendiri, carilah sahabat sejati untuk membantu diri agar sentiasa berfikiran positif. Teguran sahabat dapat dijadikan pembakar semangat. Dalam persahabatan amat penting saling menegur demi untuk kebaikan. Usah berkecil hati atau memarahi, setiap peringatan atau teguran hendaklah diambil secara positif… berlapang dada itulah yang paling utama. Seandainya sahabat menegur tentang sifat buruk kita, berterima kasihlah kepada mereka, usah melenting dan bermasam muka. Teguran itu ibarat orang memberitahu bahawa dalam baju kita ada binatang yang berbisa. Dek perasaan sayang, sahabat tidak mahu diri kita terus menderita kerana dibimbangi binatang tersebut menggigit dan sakitnya pasti tidak terhingga. Sahabat sebenarnya tidak sanggup melihat kita berterusan menderita.

Saya sendiri pernah dianggap cuba menganggu, mengongkong dan menghalang walaupun tindakan yang diambil kerana dalam diri ini ada perasaan sayang tidak mahu sahabat berterusan melakukan kesilapan. Usah lah menjadikan diri kita dalam kalangan orang yang tidak mahu mendengar nasihat sebagaimana yang dijelaskan oleh dialog Nabi Saleh a.s kepada kaumnya yang dimuatkan dalam dalam al-Quran iaitu Firman Allah SWT yang bermaksud “ Dan aku telah memberi nasihat kepadamu, tetapi kamu tidak menyukai orang yang memberi nasihat” (Surah Al-A’raf :79).

Anda dan saya, kita sama tetapi tidak serupa. Mungkin kita jenis boleh menerima teguran seadanya dan kedapatan mereka yang amat sensitif dan cepat terasa. Teguran dan nasihat perlu diteruskan tetapi yang penting hikmah dan bijaksana agar tidak tercalar hati akibatnya mungkin sahabat menjauhkan diri.

Moga kita sentiasa berfikiran positif, memikirkan segala kebaikan disebalik setiap ujian, menerima teguran dengan penuh keikhlasan kerana dalam kehidupan amat penting untuk mengurus emosi dan juga perasaan agar kita tidak hanyut dan boleh membuatkan diri kita kecundang. Berbekalkan perasaan sayang sesama insan serta keluhuran hati yang tiada batasan, marilah kita saling menasihati demi kebaikan. Moga Allah memberi kekuatan untuk kita terus berpesan dengan kebenaran dan sifat mahmudah sentiasa dijadikan perhiasan diri agar diri kita lebih disayangi dan dihormati. Amin…

Bertemu lagi…