Saturday, February 26, 2011

Pentingnya Perkongsian

Bismillahirrahmanirrahim…

Sungguh indah kenangan di Pulau Pangkor. Selama tiga hari berada di sana, sempat juga saya menjamah laksa goreng walaupun pedas tetapi rasanya sungguh lazat. Kami menyewa satu van untuk mengeliling Pulau. Kami mengambil peluang untuk singgah di kilang memproses ikan dan sotong. Pelbagai hasilan laut dibeli sebagai ole-ole buat rakan di pejabat serta untuk keluarga yang setia menanti di rumah. Selain itu, kami turut menyaksikan keindahan alam yang amat mengagumkan. Melihat matahari terbenam juga sudah mencukupi untuk membuktikan betapa hebatnya ciptaan Ilahi. Subhanallah…

Alhamdulillah banyak sungguh yang telah saya pelajari. Sepanjang menjalankan tugas di Pangkor saya diamanahkan untuk memberi ceramah tentang tatacara menjalankan Kajian Tindakan. Ya, dalam memberi ceramah atau kursus saya cukup risau seandainya peserta tidak dapat memahami apa yang saya sampaikan. Berceramah perlukan kemahiran kerana bukan mudah untuk menarik perhatian orang agar bersama kita sepanjang kita berceramah. Wajah peserta boleh menterjemahkan seribu makna sama ada mereka suka mendengar celoteh kita, dapat memahami apa yang disampaikan atau mungkin kaedah penyampaian kita amat membosankan.

Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah kesungguhan dan keikhlasan kita untuk berkongsi ilmu yanag ada. Harapan begitu tinggi supaya ilmu yang diberi dapat disebar luaskan, dikongsi untuk sama-sama dimanfaatkan. Saya sungguh seronok apabila berpeluang menyampaikan ceramah kerana ia dapat membantu menajamkan lagi pemikiran di samping mendidik kita untuk menjadi lebih fokus terhadap apa yang dilakukan.

Sepanjang mengendalikan kursus ini, saya amat terharu melihat kesungguhan peserta untuk mempelajari perkara baru. Mereka sentiasa berada di dewan ceramah tepat pada masa; dan aktiviti kumpulan pula dilaksanakan dengan penuh kesungguhan. Begitulah kita, sepatutnya apabila datang dengan niat untuk menuntut ilmu maka berusahalah untuk menguasai ilmu tersebut semaksimum yang boleh. Bukan senang untuk berjumpa, dan bukan mudah untuk memahami dan menghayati sesuatu yang baru. Maka rebutlah peluang yang ada agar kehadiran ke kursus tidak menjadi sia-sia.

Saya teringat pesanan seorang pakar motivasi iaitu, apabila kita mendengar kuliah, ceramah atau apa jua bentuk majlis ilmu, pastikan kita hadir dengan niat yang betul. Katanya, usah kita menghadirkan diri dengan cawan yang penuh terisi airnya, kerana dibimbangi air akan tumpah atau dalam ertikata lain tiada apa yang boleh ditambah lagi; tetapi seandainya kita datang dengan cawan yang kosong atau separuh terisi, pastinya masih ada ruang untuk diisi dan dipenuhi. Ya benar sekali..kalau kita tidak tahu, kita perlu mempelajari dan mengamatinya tetapi sekiranya kita sudah tahu anggaplah ia sebagai sesi pengukuhan untuk memantapkan pengetahuan. Adakalanya, kita gemar menjadi pengkritik yang sering tercari-cari akan kekurangan dan kelemahan yang menyebabkan kita hilang fokus dan arah tujuan. Sewajarnya minda kita sentiasa positif dengan menerima kelemahan serta kekurangan serta mengerti hakikat wujudnya perbezaan.

Sebagai penceramah, tugas tersebut tidak semudah yang dijangka. Persediaan yang rapi amat perlu bagi meraih keyakinan para pendengar. Apa yang ingin disampaikan perlu dirancang secara teliti dan rapi supaya objektif kursus dapat dicapai. Penerangan perlu jelas kerana amanah yang diberi perlu dilaksanakan secara berkesan. Doa tidak boleh dilupakan, pertolongan Allah amat diperlukan agar lancar dalam memberi ucapan.

Firman Allah SWT dalam Surah Thaahaa boleh dijadikan amalan doa sebelum memberi ucapan: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, mudahkanlah untukku segala urusanku, dan lepaskanlah kekakuan daripada lidahku supaya mereka mengerti perkataanku” (Surah Thaahaa: 25-28)

Harapan saya, agar sedikit ilmu yang dikongsi akan menjadi ilmu yang bermanfaat. Alangkah baiknya kalau ianya dapat disebar luaskan kepada sesiapa yang memerlukan. Anda dan saya, moga Allah mempermudahkan kita dalam segala urusan, membimbing kita agar tidak tersasar dari landasan, dan yang paling utama kehidupan kita memperoleh keberkatan.

Bertemu lagi…

Sunday, February 20, 2011

Sukarnya Mendidik Hati

Bismillahirrahmanirrahim..

Apabila lama tidak menulis, terasa benar ada sesuatu yang kekurangan dalam diri ini. Kini baru saya sedari, seandainya kita menulis yang baik-baik, positif dan optimis secara tidak lansung ia mampu memberi impak kepada jiwa, hati dan pemikiran kita. Benar sekali, kalau kita memikirkan perkara yang baik, melakukan perbuatan yang baik dan memandang orang lain juga baik maka sekali gus membuatkan hati dan fikiran kita menjadi tenang. Memang bunyinya amat mudah, tetapi amat payah untuk dilaksanakan. Saya sendiri, adakalanya gagal untuk sentiasa berfikiran positif. Alhamdulillah ada sahabat di sekeliling yang sentiasa membantu mengingatkan saya agar dalam kehidupan hindarkan daripada penyakit syak wasangka, iri hati dan juga rasa curiga yang keterlaluan kerana dibimbangi kehidupan kita akan berkecelaruan.

Kehidupan amat sinonim dengan ujian kerana tiada ujian tiadalah kehidupan. Mungkin ujian yang kita hadapi banyak perbezaannya. Usah kita menganggap kesusahan dan kemiskinan sahaja sebagai ujian tetapi kekayaan, kemewahan, kemasyhuran dan pangkat juga merupakan satu ujian yang sangat hebat buat kita. Bayangkanlah sekiranya kekayaan yang kita miliki tidak dibelanjakan ke jalan Allah, pangkat dan kuasa yang ada pula tidak dilaksanakan dengan amanah dan kemewahan yang dikecapi pula membuatkan diri kita lupa terhadap kekuasaan Allah. Saya cukup takut dengan diri sendiri, khuatir seandainya mudah lupa dan leka, merasa riak dan takabbur terhadap kebolehan dan kepakaran yang ada walaupun saya bukanlah orang yang berharta.

Alhamdulillah dengan sedikit ilmu dan kepakaran yang ada, saya teringin sungguh untuk berkongsi dengan sesiapa sahaja. Saya tidak pernah merasakan diri ini cukup hebat dan berwibawa, Cuma sekadar untuk mempraktikkan apa yang telah dialami dan dipelajari. Semalam sahabat saya ada bersuara, katanya ia cukup bimbang orang lain tidak terikut dengan cara kerja saya, segalanya mahu disempurnakan segera. Teguran sahabat melekat di minda; bukan semua orang seperti kita. Ada kelainan cara berfikir, berkomunikasi dan cara kerja. Pastinya semua perlu diambil kira. Saya yakin, perbezaan yang ada antara kita, pasti ada titik pertemuan yang mungkin tidak disangka. Saling menerima dan saling memberi; InsyaAllah akan menghasilkan satu produk yang berkualiti.

Gembira sungguh hati saya apabila sahabat nan setia sentiasa memberi pandangan yang positif dan bermakna. Saya amat memerlukan teguran dan pandangan yang membina. Terlalu kerap menerima pujian juga boleh membuatkan penyakit hati bertunas tanpa disedari. Rasa diri hebat mula menguasai diri dan teguran yang diberi tidak diambil peduli lagi. Apabila saya amati, penyakit yang tidak sewajarnya wujud dalam organisasi ialah sifat mementingkan diri sendiri. Kehebatan diri berusaha ditonjolkan agar mendapat pujian daripada pihak atasan. Akibatnya kerja secara berpasukan semakin terhakis akibat ingin berlumba sesama sendiri. Penyakit sebegini perlu dibanteras dengan kadar segera, seandainya dibiarkan berpanjangan suasana harmonis akan terpadam dan suasana kerja tidak lagi menyeronokkan.

Begitulah ujian dalam kehidupan, dari pagi hingga ke malam tiada perhentian. Apabila di rumah ujiannya berlainan; di pejabat pula kita berhadapan dengan pelbagai dugaan. Dalam ujian, terbenam kesabaran dan ketabahan yang sememangnya mampu menguji tahap keimanan. Sesungguhnya, langkah yang diambil dalam menangani kesusahan dan penderitaan, akan membuatkan diri kita menjadi lebih matang, tidak mudah melatah dan mampu memberi kekuatan dan daya tahan yang tinggi. Benar sungguh firmah Allah SWT yang bermaksud “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : kami telah beriman’ sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Surah Al-Ankabuut: 2-3).

Hubungan manusia dengan kehidupan berkait rapat dengan ujian. Dalam ujian terselit rahmat yang tidak terduga oleh kita. Justeru, anda dan saya berhati-hati dengan ujian dan dugaan. Usah tersilap langkah dalam mencari penyelesaian. Kita bukan mengharapkan kesenangan sementara untuk kehidupan di dunia semata-mata, tetapi keredhaan Allah mesti didahulukan. Sebelum bertindak, perbetulkan niat agar ia disulami dengan penuh keikhlasan demi untuk mendapat keberkatan.

Ya, umur kita belum tentu panjang, beringatlah sentiasa kerana kehidupan kita titik penamatnya bukan di dunia ini sahaja. Tidak rugi kalau kita saling mengingati kerana kita insan biasa, kadang kala terlupa untuk bersyukur terhadap Yang Maha Pencipta. Segalanya pinjaman Allah jua, bukan milik mutlak kita. Buktikan cinta kita terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya dengan perbuatan dan amalan kita. InsyaAllah moga Allah membantu kita untuk menjadi hamba yang dikasihi Nya. Amin.

Bertemu lagi…

Sunday, February 13, 2011

Kekasih Oh Kekasih

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah umur kita masih panjang, itulah pemberian Allah untuk kita hambanya agar berterusan melakukan kebaikan. Justeru berhati-hatilah dalam tindakan termasuk juga dalam membuat sambutan terhadap apa jua hari dan program yang dirancang. Setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana semakin ramai yang menyedari dan menginsafi bahawa sambutan hari kekasih “valentine day” bukan ajaran Rasulullah SAW yang tidak sepatutnya menjadi ikutan kita. Syabas kepada akhbar yang mutakhir ini berusaha keras untuk memberi peringatan kepada pembacanya agar tidak sesekali membuat sambutan ‘berkasih sayang’ pada hari tersebut. Sesungguhnya peranan media amat hebat kesannya. Seandainya unsur pendidikan kerohanian diterapkan, pasti akan ada insan yang tersentuh perasaannya, tercuit jiwanya dan sekali gus mampu mengetuk pintu hatinya. Ya dalam berdakwah..dalam menyampai ilmu ke arah kebaikan, usah cepat merasa puas hati, jauhi daripada perasaan kecewa dan cepat berputus asa. Ingatlah, kerja dakwah tugas kita, tetapi berserahlah kepada Allah untuk memberi petunjuk dan hidayah kepada hambaNya. Yang penting kita hanya perlu berusaha.

Firman Allah SWT yang bermaksud ‘’Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat cara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agamaku” (Surah Al-Furqan:74).

Untuk anak-anakku dan para remaja sekalian, pastikan dalam benak fikiran tiada istilah hari kekasih yang menjenguk minda kalian. Kasih sayang kita tidak memerlukan hari tertentu untuk diraikan kerana ianya berterusan selagi hayat dikandung badan. Kecintaan dan kasih sayang kita kerana Allah, ketidak sukaan kita juga kerana Allah. Usah ragu-ragu untuk menolak segala bentuk budaya yang sentiasa mengintai kelalaian kita; untuk mencari ruang dan peluang untuk bertapak di hati kita. Seandainya kita tidak bersedia dengan ilmu dan amal, maka kecundanglah kita dek tuntutan hawa nafsu yang tiada batasnya.

Usah difikirkan hari kekasih, tetapi marilah sama-sama kita membesarkan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Selasa ini, 12 Rabiulawal marilah kita melangkah dan bertekad untuk terus menyemarakkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Rancangkan pengisian semaksimum mungkin agar kehebatan Rasulullah dapat diketahui, akhlak Rasulullah dapat dicontohi dan kepimpinan Rasulullah dapat diteladani. Sesungguhnya Rasulullah suri teladan yang amat perlu bagi kita umat Islam contohi agar kita tidak sesat dalam melayari kehidupan ini.

Amat kita kesali seandainya sambutan Maulidur Rasul ini diraikan sekadar sebagai memenuhi tradisi seperti mengadakan perarakan besar-besaran tetapi solat dan ibadat lain pula dikesampingkan. Yang utama jadikan titik tolak majlis yang direncanakan sebagai suatu program rutin yang boleh dilaksanakan secara berterusan samada saban minggu atau saban bulan. Sesungguhnya Rasulullah SAW amat menitik beratkan tentang pembersihan hati dan roh kerana ia merupakan pemangkin kepada kesedaran tentang halal dan haram; dosa dan pahala; serta syurga dan neraka. InsyaAllah, masyarakat hatta anak remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah akan segera melaksanakan perintah Allah dan berusaha keras untuk menjauhi perbuatan yang dimurkai Allah.

Anda dan saya, marilah kita bersama-sama untuk menonjolkan kebaikan dan kehebatan Islam dalam diri kita agar ia dapat dicontohi oleh mata yang memandang serta telinga yang mendengar. Kadang kala orang bukan Islam sendiri menjadi keliru kerana kita gagal mempamerkan kebaikan Islam dalam diri kita. Umur kita berterusan meningkat, maka sewajarnya perubahan diri perlu berlaku seiring dengan kematangan dan peredaran waktu. Saya sendiri, azam dan tekad dibuat setiap hari tetapi alangkah kecewa kerana kadang kala saya sendiri gagal untuk memenuhi. Keadaan sekeliling dan situasi yang dihadapi, sentiasa menguji ketabahan diri, perasaan marah sukar ditolak ketepi kerana kesabaran diri belum cukup tinggi.

Apabila sakit mata memandang, apabila kedengaran butiran yang membingitkan; maka ringan sahaja mulut untuk menyatakan ketidakpuasan. Akibat kelemahan diri ini, demi mengelakkan daripada penyakit hati terus bertapak memusnahkan diri, justeru saya mengambil langkah untuk berlalu pergi kerana saya tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan ujian sebegini. Begitu lah kita, tidak hebat dan tidak sempurna tetapi amat teringin untuk menjadi hamba yang dikasihi Allah, amat mengharapkan petunjuk dan hidayah Nya sentiasa kerana tidak mahu gagal lagi untuk menggantikan sifat marah kepada sifat sabar, sifat kedekut kepada pemurah, dan meletakkan kecintaan kepada Allah dan Rasul mengatasi segalanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud; “Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup. Sekali-kali tidak hanya kepada Tuhan mu lah kamu kembali (Al-Alaq: 6-8).

Mudah-mudahan 12 Rabiulawal disambut dengan penuh pengertian dan keinsafan; untuk menzahirkan kecintaan yang unggul kepada Rasululullah SAW. Ya ..sesungguhnya dan semestinya kehidupan Rasulullah merupakan model terbaik untuk dijadikan ikutan, akhlaknya relevan sepanjang zaman untuk dijadikan contoh dan juga pedoman buat semua manusia tanpa ada pengecualian.

Bertemu lagi…