Saturday, April 16, 2011

Detik Masa..Amat Berharga

Bismillahirrahmanirrahim...

Terasa agak lama saya tidak menulis..meluahkan pengalaman terhadap apa yang dialami dan yang dihadapi. Bukan saya terlupa tetapi kadang kala masa yang ada gagal diurus dan dirancang sehinggakan 24 jam yang dikurniakan tidak dapat dimanafaatkan mengikut keperluan. Segalanya perlu ada kekuatan dan kesungguhan..kesebokan tidak sepatutnya menjadi batu penghalang. Pulangnya saya dari Sabah, saban minggu saya bertugas luar..memungut data dan mengumpul maklumat. Setiap detik yang saya lalui, banyak sungguh yang saya pelajari. Ia menyedarkan diri saya betapa diri ini masih kekurangan dalam serba serbi.

Saya amat teruja untuk berkongsi cerita tentang lawatan saya ke sekolah yang dikategorikan antara yang terbaik di Terengganu. Melangkah masuk ke sekolah tersebut hati merasa tenang..jiwa terasa lapang. Suasananya sungguh menyamankan dan sekali gus menggambarkan sekolah diurus dengan penuh kasih sayang kerana yang diutamakan ialah akhlak sebagai teras kejayaan. Misi utama sekolah pula adalah untuk menerapkan akhlak al-Quran dalam segala aktiviti harian.

Apabila masuk ke kawasan sekolah saya tidak terus ke pejabat sebaliknya saya duduk seketika di bangku yang tersedia di tepi bangunan sekolah. Saya memerhatikan kedapatan pelajar berkumpul di dewan, di kantin serta di beberapa sudut di kawasan sekolah. Walaupun mereka berkumpul tetapi keadaannya amat terkawal.. tiada suara kedengaran dan tiada pelajar yang berkeliaran. Ini membuatkan perasaan ingin tahu saya membuak..apa yang sedang pelajar-pelajar lakukan. Saya terus mendapatkan dua orang pelajar yang kebetulan duduk di bangku berhampiran..pelajar ini sungguh sopan.tangan dihulurkan dengan penuh hormat..membuatkan saya senang untuk meneruskan pertanyaan.

Kini saya telah mendapat jawapan..rupanya sebelum memulakan pelajaran di dalam kelas, pelajar di sekolah ini disuapkan dahulu dengan santapan rohani..membaca al-Quran..menghafal saban hari ..setiap pagi. Pelajar tersebut menjelaskan kepada saya..memang budaya sekolah ini dalam apa jua aktiviti ..sepanjang masa akhlak al-Quran menjadi tonggak utama. Benar sungguh..sekiranya permulaaan pencarian ilmu dimulakan dengan membaca al-Quran maka kesannya pelajar akan terang hati..mudah faham apa yang dipelajari dan yang paling penting moga Allah memberkati setiap ilmu yang diperolehi. Sungguh hebat penerapan yang dilaksanakan di sekolah ini, agar kemenjadian pelajar yang dihasratkan dapat direalisasi. Naskah al-Quran sentiasa berada di tangan, dan sekiranya ada waktu terluang tiada sembang kosong yang kedengaran tetapi mulut terkumat kumit kerana menghafal ayat suci al-Quran.

Saya amat kagum, terharu dan tersentuh dengan situasi yang sebegini.. beruntung sungguh anak-anak yang terpilih ke sekolah ini..ibu bapa tidak perlu risau lagi kerana anak dididik dengan penuh teliti agar generasi al-Quran dapat dilahirkan..yakni menjadi insan yang mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Ya..anak- anak IMTIAZ sekalian, betapa kerdil terasa diri ini apabila dikhabarkan bahawa anak-anak telah dapat menghafaz lebih daripada 15 Juzuz al-Quran. Saya terdiam seketika memikirkan kesungguhan anak-anak sekalian untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta, kesucian dan keagungan al-Quran sentiasa dipelihara.

Anak-anak IMTIAZ memberi kesan yang tidak terhingga di hati saya. Dalam usia semuda itu, al-Quran sentiasa didampingi dan berada dekat di hati. Malu rasanya pada diri sendiri kerana ada ketikanya tidak istiqamah membaca al-Quran setiap hari. Hakikatnya, adakalanya kita lalai dan leka, al-Quran hanya dibaca sekali sekala, apabila ada kematian atau pada malam Jumaat sahaja. Kenapa begini jadinya..surat khabar kalau tidak dibaca membuatkan kita rasa tidak senang duduk untuk mengetahui khabar berita, tetapi al-Quran kita membuat tidak endah sahaja dan hanya dibaca sekali sekala. Rugi sungguh diri kita kerana tidak menjadikan al-Quran sebagai satu kemestian untuk dibaca setiap hari. Al-Quran amat diyakini dan telah terbukti mampu menjadi pengubat hati, mengembalikan ketenangan terhadap jiwa yang resah gelisah, serta penawar mustajab dalam melembutkan hati dan di dalamnya terkandung penuh peringatan agar tidak lupa terhadap tujuan kita dijadikan sebagai hamba Allah di dunia ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan kami turunkan daripada al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman” (Surah al-Isra’: 82). Selain itu, nasihat Ibn Masud terhadap sahabatnya yang mengadu jiwanya gelisah , hatinya tidak tenteram dan fikirannya kusut amat baik untuk dijadikan pedoman. Ibn Masud berkata kepada sahabatnya Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membaca al-Quran; atau engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah; atau engku cari waktu yang sunyi umpamanya waktu dinihari, dan engkau dirikan solat memohon kepada Allah akan ketenangan jiwa. Seandainya jiwamu belum terubat jua, maka mohonlah kepada Allah agar diberikan ketenangan kepadamu. Sebab hati yang menjadi milikmu sekarang ini bukan lagi hati mu”.

Hidup ini penuh dengan ujian dan cabaran...anda dan saya marilah kita bersama mencari ketenangan dan kedamaian dengan membaca al-Quran agar jiwa kita diisi dengan ketabahan dan kesabaran, serta dikurniakan kekuatan dalam menghadapi setiap permasalahan. Alangkah ruginya menjauhkan diri daripada al-Quran kerana ia merupakan sumber ketenangan dan sumber kejayaan serta mampu membahagikan kehidupan. Untuk anak-anak di IMTIAZ ..kalian penerus generasi al-Quran, moga kalian menjadi insan terbilang, mampu menjadi suri teladan dan contoh terbaik dalam mencipta kejayaan di dunia dengan membawa imej keperibadian yang berpandukan akhlak al-Quran.

Bertemu lagi..