Sunday, August 7, 2011

Ramadhan .. Bertemu Lagi

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah telah tujuh hari kita berpuasa. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih diberi peluang untuk bersama dalam bulan Ramadhan yang keuntungannya berganda terhadap sesiapa yang menghendakinya. Setiap kali menyambut Ramadhan, keazaman tinggi melangit untuk menjadikan Ramadhan yang dilalui pada tahun ini, sebagai Ramadhan yang terbaik dan lebih baik dari yang sebelumnya. Moga Allah kabulkan niat di hati agar diri kita tidak menyesal nanti kerana Ramadhan hanya diperuntukkan sebulan sahaja dalam setahun. Usah kita biarkan Ramadhan terlepas begitu sahaja.

Pastinya madrasah Ramadhan akan dapat membantu mendidik jiwa dan hati kita untuk ikhlas dan sabar dalam beribadat. Alangkah bagusnya, sekiranya kita peruntukkan lebih masa untuk melaksanakan Qiam-Ramadhan. Pada siang hari walaupun sebok bekerja, berusahalah mencari ruang untuk tadarus, membaca al-Quran. Moga amalan kita pada bulan Ramadhan ini dapat diteruskan pada bulan-bulan yang akan datang.

Pada usia sebegini, saya dapat rasakan betapa diri saya masih gagal untuk mendidik hati agar diri ini mempunyai ketahanan yang tinggi dalam menghadapi ujan kehidupan, ikhlas dalam beribadah dan sabar dengan setiap cabaran yang mendatang. InsyaAllah..akan saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai asas bagi mendidik hati agar hanya yakin dan bergantung harap kepada Yang Maha Esa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dalam program Tanyalah Ustaz, banyak sungguh ilmu yang saya peroleh, yang membuatkan saya sentiasa muhasabah diri memikirkan tentang kekurangan dan kelemahan diri.

Menurut Ustaz, kalau kita ingin mendapatkan pahala yang berganda dalam beribadah, keikhlasan menjadi tunjang utama. Pastikan kita beribadah kerana Allah semata-mata. Bunyi nya cukup indah, cukup mudah tetapi sukar sungguh untuk melaksanakannya. Mungkin hati kita belum cukup terdidik kerana kadang kala keikhlasan kita menjadi begitu rapuh apabila persoalan berkaitan jasa dan budi serta balasan yang kita fikirkan. Saya berusaha untuk menyisihkan rasa kecewa, rasa tidak dihargai dan tidak disayangi daripada membelengu jiwa…masalah pasti kita akan tempuhi tetapi yang paling mustahak ialah bagaimana kita menguruskannya.

Alhamdulillah syukur, pada bulan puasa ini saya kurang bertugas luar. Sekurang-kurangnya saya dapat bersama keluarga sepanjang bulan Ramadhan ini. Anak-anak merupakan orang yang paling gembira kerana mereka tidak perlu membeli makanan untuk berbuka dan bersahur seperti tahun sebelumnya. Menurut Ustaz..seorang ibu/isteri yang menyajikan makanan daripada air tangan sendiri, pastinya ganjaran pahala tidak dilupa. Sekiranya dibeli, kebersihan belum pasti terjaga dan kesucian juga tidak terjamin.

Sepanjang bulan Ramadhan ini, banyakkan doa moga keikhlasan kita mengharapkan pertolongan Allah akan dimakbulkan. Bagi saya, tiada apa yang diharapkan selain keluarga bahagia, anak-anak yang mendengar kata, lembut hati dan menghormati ibu bapa. Moga anak-anakku hidupnya tidak leka..perintah Allah tidak dilupa dan perbuatan keji dan maksiat hendaklah dijauhkan daripada kehidupan mereka. Sebagai ibu, kepada Mu Ya Allah aku memohon agar anak-anak dilindungi dan dirahmati sentiasa, dan kehidupan mereka terpelihara. Seandainya anak-anak dapat membaca isi hati ku, pasti mereka mengetahui bahawa setiap patah perkataan yang ku zahirkan buat mereka adalah disulami dengan kasih sayang yang tidak terhingga.

Alhamdulillah di tempat kerja, saban pagi program tadarus Al-Quran dilaksanakan dan ramai yang turut serta Pada ketika inilah kita saling menegur sekiranya terdapat kesilapan dalam bacaan kita. Usah malu seandainya bacaan kita tidak lancar dan masih merangkak..kerana dengan niat yang ikhlas untuk belajar InsyaAllah Allah akan membantu kita. Besar sungguh faedah disebalik program tadarus ini..kerana ia mendidik jiwa untuk berlapang dada menerima teguran dan pandangan demi kebaikan dan kebenaran.

Buat kalian, Indah sungguh sekiranya kita sebagai manusia saling bermaafan atas kesilapan lalu. Usah kita menyimpan dendam kerana umur kita belum tentu panjang..sekarang kita berjumpa..entah sekejap lagi kita mungkin berpisah buat selamanya kerana apabila sudah sampai masa..tidak kira bila dan di mana Allah akan menjemput kita..ya kematian itu pasti. Moga kehidupan kita dilalui dengan penuh kasih sayang, saling berpesan dengan kebenaran dan dengan penuh kesabaran.

Maka marilah kita sama-sama berusaha untuk menjauhkan diri dari perbuatan, tutur kata, pandangan, pendengaran dan detik hati yang boleh mengurangkan pahala puasa kita. InsyaAllah kita berusaha..usah lupa berdoa memohon pertolongan dari Allah Yang Maha Esa..berdoalah bersungguh-sungguh apa yang dihajati dengan ikhlas dan kerendahan hati kerana Allah Maha Pemberi. Setiap saat yang ada amat berharga, solat tarawikh, tadarus Al-Quran, Solat Tahajjud dan Solat Hajat usah dilupa. Kuliah dan tazkirah perlu kita turut serta kerana masih banyak yang belum dipelajari kerana kurangnya ilmu yang kita kuasai.

Moga kita dipanjangkan umur, dimurahkan rezki serta sihat tubuh badan agar dapat terus beramal dan berbakti. Amin…

Bertemu lagi.