Tuesday, May 17, 2011

Catatan Perjalanan

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah berjaya juga hasrat saya untuk mencoret sesuatu di ruangan ini. Masih gagal untuk menguruskan waktu sebaik mungkin menyebabkan saya tidak berpeluang untuk menulis catatan pengalaman yang saya tempuhi hampir sebulan ini. Sepanjang bulan ini saya bertugas luar, bermula pada penghujung April ke Telupid Sabah, kemudian ke Terengganu, seterusnya ke Kelantan, ke Terengganu lagi, selepas itu ke Baram Sarawak pula dan yang terakhir ke Nilai, Negeri Sembilan. Kedengaran perjalanan ini mungkin menyeronokkan bagi sesetengah orang, tetapi bagi saya sebagai seorang pekerja, isteri dan ibu pastinya pengorbanan yang tinggi amat diperlukan, dan kesabaran serta ketabahan pastinya menjadi tunjang kekuatan.

Tuntutan pekerjaan dan pengalaman yang dikutip telah membuatkan saya berani berdikari, mempunyai semangat yang tinggi dan adakalanya kesabaran teruji. Kalau dahulu untuk ke Terengganu saya pasti menaiki Kapal Terbang tetapi sekarang saya telah mampu memandu kereta seorang diri kerana saya perlu berkereta dari hotel ke tempat bertugas. Selama semingu bertugas di Terengganu saya berpeluang untuk mengenali lebih dekat negeri sendiri..Bukit Tunggal, Batu Rakit, Buluh Gading, Gong Badak dan Manir, saya telah mampu bersendirian ke sana. Ya saya orang Terengganu tetapi dek kemiskinan dahulu saya tidak berpeluang untuk mengenali tempat sendiri kerana yang saya tahu hanya ke sekolah dan pulang ke rumah sahaja. Tamat belajar terus bertugas di Kuala Lumpur. Sekali sekala pulang ke kampung banyak perubahan yang berlaku menyebabkan saya sering tersesat di kampung halaman yang saya cintai.

Jam 6.45 pagi saya telah bergerak dari Hotel ke Batu Rakit..apabila bertemu dengan gerai makan berhampiran Wakaf Temesu dan Gong Badak, saya berhenti untuk menjamu selera. Banyak gerai yang telah dibuka pilih sahaja..nasi minyak plihan hari pertama saya, diikuti nasi dagang dan nasi kerabu ..semuanya saya dapat menjamahnya. Harganya begitu murah..kalau dibandingkan dengan harga di Kuala Lumpur. Bayangkan hanya RM3.00 bagi sepinggan nasi minyak berlaukkan ayam dengan secawan teh. Saya ingatkan tuan kedai tersalah kira..dua kali saya bertanya..ya.memang RM3.00 harganya.

Apabila pulang saban petang, saya tidak melepaskan peluang untuk mencari makanan kegemaran..laksam, laksa, keropok dan pulut lepa amat saya gemari. Alhamdulillah, semuanya saya perolehi kerana ada dijual sepanjang perjalanan saya dari Batu Rakit ke Hotel tempat penginapan. Di Restoran KITA saya menikmati laksam dan laksa; di Restoran Suria pula saya membeli ikan bakar dan di Gong Badak saya membeli pulut lepa. Puas rasanya..apabila memandu sendiri, apa yang teringin boleh dicari.

Orang Terengganu masih seperti dahulu, ramah mesra berbudi bahasa dan tidak kedekut untuk menyapa. Kunjungan saya ke kedai makan disapa mesra, menyebabkan saya rasa selesa walaupun seorang diri menjamu selera. Bagi adik yang bertugas di Restoran KITA tidak saya lupa..belanjakan teh untuk saya kerana menunggu kuah laksam yang masih belum tersedia. Begitu lah kita..tidak kira siapa..darjat ..pangkat dan juga harta, orang berbudi kita berbahasa. Siapalah kita..hebat manakah kita..kerana segalanya milik Allah jua..dipinjamkan sementara buat seketika.

Begitulah saya, apabila bertugas di luar kawasan.setelah selesai tugasan pada sebelah petang saya mengambil peluang untuk mengenali kampung-kampung persekitaran. Percaya aatau tidak..walaupun saya orang Terengganu, Pulau Duyung saya tidak pernah sampai. Jadi pada kesempatan yang ada, saya sempat berkunjung ke sana..saya sungguh teruja kerana Pulau Duyung kini amat hebat kemajuannya ada Hotel..dan ada projek perumahan di sana. Di Batu Enam dan Manir begitu juga, kedai telah tumbuh melata..Saya agak ketinggalan dengan arus pembangunan di Terengganu kerana sekali sekala pulang ke kampung tidak berpeluang untuk melawati tempat-tempat tersebut.

Firman Allah SWT yang bermaksud “ Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada mu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan (Surah al-Qasas 28:77).

Anda dan saya, kita perlu berbaik sangka..setiap apa yang dilalui, jadikan pengajaran buat kita..kerana ianya terlalu berharga. Apa yang kita miliki hendaklah dijaga dan dipelhara kerana sendainya kita kehilangannya maka sukarlah untuk memperolehinya semula.

Bertemu lagi…