Wednesday, July 28, 2010

Warkah Buat Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya merasa amat bahagia sekali, kerana saya dipertemukan semula dengan sahabat sekampus yang dahulunya amat memahami tentang diri ini. Khabar gembira saya perolehi, banyak sungguh perubahan diri sahabat saya yang dapat saya amati. Alhamdulillah dengan pertolongan-Mu Ya Allah, sahabat saya kehidupannya kini berubah. Kegembiraan saya semakin bertambah kerana perubahan diri sahabat saya ke arah yang lebih baik kini terserlah. Saya berpegang kepada nilai persahabatan, biarlah susah dan senang sama-sama diharungi, sebagai sahabat sejati teringin sekali saya menjadi pendorong kepada kebaikan dan sanggup menegur terhadap kesilapan dan kesalahan kerana itu sebenarnya tanda sayang.

Sahabat yang dikasihi,

Usah berkecil hati seandai saya sentiasa bertanya itu dan ini. Perasaan rimas cuba jauhkan dalam diri, kerana saya tidak mempunyai agenda tersembunyi. Sebenarnya, saya sekadar ingin berkongsi kerana tidak mahu dirimu sahabat terus lalai dan leka dibuai mimpi. Duhai sahabat, dirimu cukup saya kenali..baik hati tetapi sayang sekali tidak menghargai diri sendiri. Dalam meniti hari bersamamu sahabat, perubahan dirimu sungguh ketara sekali. Pada mulanya sifat marahmu sukar untuk dikawal kerana telah menguasai diri tetapi sekarang sifat sabarmu mula terserlah dan semakin menonjol dalam diri. Kalau dulu, dalam percakapan kedapatan unsur bangga diri serta merendahkan dan memperkecilkan orang lain, tetapi kini sahabatku sudah pandai menghargai kurniaan yang Allah bagi dan kebaikan orang lain mula disanjung tinggi. Jasa dan budi juga turut dihargai. Kesannya, dirimu kini semakin dihormati.

Ya sahabatku, sebagai manusia sememangnya kita boleh melakukan perubahan diri sekiranya kita mahu melakukannya. Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa kita memerlukan sahabat sejati yang boleh membantu dan mengingati untuk terus membangunkan diri. Percayalah, betapa bahagianya hati ini, percakapanmu tidak tergopoh gapah lagi dan tindakan yang diambil tidak melulu mengikut kata hati tetapi dirimu kini lebih berhati-hati untuk bertindak mengikut situasi. Begitulah dirimu sahabat, perubahan yang dilakukan sungguh ketara sekali, sudah tidak ada sifat gelojoh dan sombong diri dan kekurangan yang ada sentiasa dicari agar kelemahan dapat diatasi.

Saya amat bangga dengan dirimu sahabat kerana bersedia untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran agar setiap keputusan yang diambil menjadi tepat. Kalau dulu dirimu tidak fokus terhadap sesuatu tugasan yang dilaksanakan tetapi sekarang sepenuh tumpuan telah dapat diberikan terhadap apa jua perkara yang dilakukan. Gurau sendamu kini juga ada sempadan dan batasan, tidak seperti dahulu dapat membuatkan orang lain ketawa menjadi satu kebanggaan dan kepuasan.

Ya sahabatku, perubahan beginilah yang sepatutnya dilakukan kerana ia mencerminkan tahap kematangan. Teringat saya wasiat kelima Hassan Al-Banna, ‘janganlah banyak ketawa, kerana orang yang berhubung dengan Allah bersifat tenang dan serius’. Dalam wasiat ini Imam Hassan Al-Banna menasihatkan orang muslim supaya tidak ketawa berlebih-lebihan kerana hati yang semarak dengan iman, sentiasa ingat kepada Allah, penuh takut kepada-Nya dan sentiasa mengharap keredhaan-Nya. Masa diisi dengan perkara yang berfaedah dan tidak dibiarkan ianya berlalu secara sia-sia.

Sahabatku, saban hari umur kita berterusan meningkat. Amal ibadat kita dibimbangi semakin merudum dek kesibukan tugas dan urusan keluarga. Kalau dulu kita istiqamah mengikuti majlis ilmu dan membaca Al-Quran tetapi kini mungkin faktor keletihan menyebabkan amal ibadat tersebut sudah jarang-jarang kita lakukan. Pernah satu ketika dahulu, antara Maghrib dan Isyak merupakan ruang waktu untuk kita membaca Al-Quran, tetapi sekarang waktu itu digunakan untuk membeli belah dan berziarah keluarga serta jiran. Justeru mulai hari ini, marilah sahabatku, kita sama-sama bertekad untuk terus membaiki diri supaya dekat dengan Ilahi. Usah dibiarkan diri hanyut lagi. Jadikanlah bacaan al-Quran sebagai santapan rohani setiap hari. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Quran kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Baqarah: 121).

Sahabatku, marilah kita mulakan hari ini untuk kita berhijrah diri ke arah yang lebih baik daripada hari yang sebelumnya. Mudah-mudahan Ramadhan yang akan menjelang tiba tidak lama lagi akan disambut dengan penuh keinsafan untuk kita meningkatkan amalan bagi mendapat kerahmatan dan keberkatanNya. Berdoalah supaya Allah kurniakan kekuatan kepada kita untuk menghidupkan waktu malam dengan Qiamullail dan tadarrus Al-Quran. Moga kita tidak berterusan kerugian dalam mengecapi nikmat dan kemanisan beribadat hanya kepada Allah Yang Maha Penyayang.

Akhir kata, maafkan saya seandainya sepanjang persahabatan kita, kedapatan tutur bicara yang telah mengguris rasa, tindakan yang telah merobek jiwa serta perlakuan yang mengundang ketidakselesaan. Saya juga tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Seandainya jalinan persahabatan antara kita menyumbang kepada kebaikan dan ketaqwaan, Alhamdulillah. Sebaliknya sekiranya persahabatan ini menjadi penyebab yang boleh menjauhkan diri kita daripada Allah SWT, maka lebih baik persahabatan ini dileraikan kerana dibimbangi kemudaratannya melebihi daripada kebaikan yang diperolehi. Ya..kita bertemu kerana Allah, kita berpisah juga kerana Allah.

Bertemu lagi…

Monday, July 26, 2010

Pengubat Hati dan Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang tadi entah kenapa, saya merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Debaran kencang di dada, perasaan terasa sayu, tertekan dan tiada rasa ketenangan di jiwa..entah kenapa dan mengapa puncanya tidak dapat saya kenal pasti. Kebetulan pula ada sahabat yang menelefon saya, justeru saya mengambil peluang untuk meluahkan apa yang sedang dirasa. Saya sebenarnya bukan mengharapkan penawar atau ubat secara segera, tetapi memadai sekiranya diberi sokongan moral agar apa yang saya alami dapat diatasi.

Jawapan sahabat, sungguh menghampakan saya, katanya dia tak tahu nak buat apa selepas penat saya bercerita. Saya tidak boleh menyalahkan dirinya kerana kemungkinan pada waktu itu beliau tidak dapat menjiwai perasaan saya yang adakalanya gembira dan terkadang juga duka nestapa menjengah tanpa diduga. Saya tidak boleh membiarkan diri dihanyut oleh perasaan resah gelisah. Saya berusaha muhasabah diri, mungkin ada perkara yang menyentuh hati, atau ada perbuatan yang dilakukan yang telah menyebabkan orang lain terguris. Ya kalau dibiarkan berterusan begini semua kerja tidak menjadi, kalau kepada orang lain pandai saya menasihati, untuk diri sendiri terlupa pula untuk mengamalkan apa yang telah dipelajari.

Lantas saya teringat kata-kata Ustaz pagi tadi iaitu sekiranya tiada ketenangan dalam jiwa dan resah gelisah melanda, berwuduklah, bacalah al-Quran, moga kesejahteraan diri akan Allah pertemukan. Segerakan solat apabila masuk waktu dan antara Maghrib dan Isyak kekalkan duduk di atas sejadah, banyak hikmatnya seandainya pada waktu itu al-Quran dibaca. Alhamdulillah, saya segera mengamalkannya bersama anak kesayangan, kami solat berjemaah dan sama-sama membaca al-Quran. Ya benar sekali, dalam diri ada ketenangan, perasaan sedih, gundah gulana telah dapat disingkirkan, maka dapatlah saya meneruskan aktiviti yang perlu dilaksanakan. Sungguh hebat pertolongan-Mu Ya Allah.

Sekadar peringatan untuk diri saya dan sahabat semua, wasiat pertama Hassan Al-Banna wajar dihayati iaitu bersegera menunaikan solat apabila mendengar azan dalam apa jua keadaan. Solat bukan hanya gerak badan dan fizikal sahaja, tetapi hendaklah dengan ikhlas dan bawalah hati untuk turut serta agar kelazatannya dapat dirasa. Menurut wasiatnya lagi, muslim juga tidak seharusnya mendahulukan kerja-kerja lain dari solat. Usah berlengah mengerjakan solat kerana keistimewaan solat tiada tandingannya.

Solat merupakan sumber kejayaan. Allah SWT berfirman maksudnya “ Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solat” (Surah Al-Mukminun: 1-2). Sukar sungguh diri ini untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Tertib dan persediaan sebelum solat amatlah penting, sumber rezki perlu dijaga, penyakit hati patut disingkir dan perbuatan maksiat perlu dijauhi. Hadirkan diri, serahkan diri dan tumpukan sepenuhnya untuk bertemu Ilahi. Lupakanlah seketika urusan dunia kerana kita ingin bersama Yang Maha Agung, Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Moga khusyuk dalam solat menjadi milik kita.

Sesungguhnya solat juga dapat memelihara kita daripada penyelewengan dan perlakuan maksiat. Firman Allah SWT maksudnya “ Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut: 45). Benar sekali, solat dengan penghayatan yang sepenuhnya akan dapat memelihara kita daripada melakukan perbuatan yang Allah murka sekiranya kita menghayati , mengamalkan dan mengambil pengajaran daripada segala apa yang dibaca dalam solat. Setiap waktu kita bersolat kita bersaksi dengan Allah SWT “ Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah semata-mata”. Demikianlah janji yang kita lafazkan yang tidak sepatutnya kita lalai dan lupa kerana kemurkaan Allah amat kita takuti. Sebenarnya sebagai manusia, kadang kala saya kecewa dengan diri sendiri disebabkan sifat lalai dan mudah lupa yang menguasaai diri. Justeru itulah kita perlu saling ingat mengingati kerana lemahnya diri terutamanya apabila diuji dengan kesenangan, kekayaan dan kemewahan. Moga Allah jauhkan diri kita daripada mudah lupa kerana yang dimiliki sebenarnya bukan hak milik mutlak kita.

Keistimewaan solat cukup hebat kerana tatkala itulah kita benar-benar berserah diri kepada Allah, menadah tangan dan berdoa memohon pertolongan dan keampunan. Solat merupakan pertolongan yang besar bagi orang yang melaksanakannya kerana ia merupakan sumber kekuatan dalam menghadapi ujian dan cabaran. Solat yang penuh khusyuk juga menjelmakan dalam diri seribu kebaikan termasuk sifat sabar dan redha dengan segala yang Allah takdirkan. Resah gelisah dalam diri dapat dihapuskan, serta ketenangan dan kesejahteraan hidup dapat dinikmati kerana setiap ujian yang menimpa dianggap sebagai ujian Allah untuk meningkatkan darjah keimanan kita. Firman Allah SWT yang bermaksud “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (Surah Al-Baqarah:153).

Anda dan saya, marilah kita bersama-sama meletakkan keyakinan terhadap segala janji Allah Yang Maha Esa. Syurga Allah benar, Neraka Allah juga benar dan kematian itu satu yang pasti. Usah kita bertangguh lagi, segerakan bersolat apabila masuk waktu apatah lagi apabila laungan azan kedengaran di telinga. Kita perlu saling ingat mengingati, supaya tidak lalai dan leka dengan urusan sehari-hari hingga menjauhkan diri kita daripada Ilahi. Moga Allah satukan hati-hati kita agar berkasih sayang kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah. Mudah-mudah diri kita di bawah peliharaan Allah sentiasa. Amin…

Bertemu lagi…

Sunday, July 25, 2010

Kasih Sayang Yang Sejati

Bismillahirrahmanirrahim..

Apabila termenung sendiri, pelbagai kenangan silam datang bertandang dalam benak pemikiran. Kadangkala ada baiknya berfikir sejenak daripada bertindak melulu tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Pengalaman mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam menjalin kemesraan dan mencurah kasih sayang dengan orang yang baru dikenali. Walaupun niat di hati tulus dan suci, kemesraan yang terjalin boleh disalah erti sekiranya kita tidak berhati-hati. Yang penting, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Begitu juga dengan diri ini. Memang sudah sifat semula jadi, mudah sungguh menjalinkan kemesraan, murah sungguh mencurah kasih dan sayang yang kadangkala mengundang kemarahan orang dek sifat cemburu yang tidak berlandaskan keimanan. Berhati-hati memberi pandangan dan nasihat, kerana sewaktu baik ia akan dijadikan pedoman tetapi apabila berlaku persengketaan, ianya dijadikan senjata untuk menikam. Nasihat ditafsirkan sebagai suatu pengajaran ke arah pembohongan walhal nasihat yang diberi bukan satu paksaan untuk dituruti. Ya..itulah lumrah kehidupan. Berhati-hati dalam menjalin kemesraan. Indah pada pandangan mata mungkin di hati lain bicara. Usah biarkan diri kita tertipu dek manis tutur kata kerana disebaliknya kita sedang dinilai dan diperiksa untuk mencari kelemahan yang ada.

Sekarang SMS menjadi media perhubungan kita kerana kalau berbual mesti mengambil masa selain kosnya juga perlu diambilkira. Mesej yang dihantar ringkas sahaja. Kadangkala maksudnya kurang jelas menyebabkan ia disalah terima. Elakkan gurauan berlebihan melalui SMS kerana bimbang ianya disalah erti menyebabkan goncang kehidupan bersama keluarga serta punah silaturrahim yang telah erat terjalin. Mutakhir ini, telefon bimbit bukan sahaja dipantau oleh suami atau isteri tetapi anak-anak juga semakin berani menjadi penyiasat terhadap ibubapa sendiri. Begitulah hebatnya segelintir anak-anak zaman ini, tiada rasa hormat terhadap ibu bapa lagi. Kadangkala saya ketawa sendiri, sepatutnya ibu bapa yang memantau anak sendiri tetapi lain pula jadinya kini.

Bagi mengelakkan penyakit hati daripada berterusan menguasai diri, berlapang dada saja terhadap ujian yang menimpa. Limpahan kasih sayang usah kedekut untuk dihulurkan kepada mereka yang masih memerlukan. Persaudaraan Islam perlu dipelihara kerana sifat-sifat muslim yang benar ialah cintanya kepada saudara dan sahabatnya dengan cinta yang tinggi, bersih daripada segala faedah, bersih daripada segala tujuan serta jernih daripada segala saduran. Cintanya ikhlas kerana Allah semata-mata, kerana mengharapkan keredhaan Allah. Itulah cinta persaudaraan yang benar yang terpancar daripada cahaya lampu wahyu dan hidayah Nabi SAW (petikan Keperibadian Muslim).

Sesungguhnya persaudaraan atas dasar iman adalah ikatan jiwa yang paling kuat, simpulan hati yang paling teguh dan perhubungan akal dan roh yang paling kudus. Ya..saya telah dapat merasai dan menikmatinya bersama rakan usrah semasa menjalani kehidupan di kampus dahulu. Ikatan ukhuwwah yang terjalin berkekalan sehingga kini walaupun terpisah jauh tetapi kesatuan hati dan pemikiran tetap utuh di dasar hati. Inilah cinta dan kasih sayang yang sejati, cinta kerana Allah berterusan kekal abadi. Sekiranya berlaku perselisihan pendapat, tidak timbul perasaan berkecil hati kerana semuanya saling memahami kerana asasnya adalah untuk mendapatkan kebenaran yang hakiki. Ukhuwwah fillah tiada tandingannya, tulus kasih sayangnya telah terbukti, kesulitan dan kesusahan dilalui bersama, ketenangan dan kesejahteraan sama-sama dinikmati. Jauh sekali daripada untuk mementingkan diri sendiri kerana semuanya ingin sama-sama dikongsi dan dikecapi. Sesungguhnya saya amat merindui kenangan lalu bersama rakan usrah yang saling menyayangi dan mengasihi kerana Allah.

Yakinlah..bahawa sesungguhnya Allah SWT akan menganugerahkan kepada hamba-Nya yang berkasih sayang kerana Allah dengan anugerah dan darjat yang lebih tinggi dan lebih besar serta nikmatnya dapat dirasa oleh mereka yang mengalaminya. Perihal ini jelas terkandung dalam hadith daripada Abu Hurairah (r.a) yang bermaksud:

“Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabatnya) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh satu malaikat untuk memerhatikannya di atas jalannya, maka tatkala dia sampai berkatalah dia ‘hendak ke mana engkau?’ lelaki itu menjawab; "aku hendak menemui seorang sudaraku di kampung itu". Malaikat bertanya lagi; "Adakah bagimu budi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?" “Tidak, aku mencintainya kerana Allah Taala”. Maka berkatalah Malaikat itu kepadanya; "Bahawasanya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, bahawa sesungguhnya Allah Taala telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah”.

Ya..sudah memadai pengajaran yang Allah bagi agar kita berkasih sayang setulus dan seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan atau pujian kerana ganjaran Allah sahaja yang kita idamkan. Usah ada syak wasangka dalam persahabatan, kelak ianya menjadi racun yang berbisa yang boleh memusnahkan ikatan nan suci.

Anda dan saya..marilah kita berkasih sayang kerana Allah kerana banyak faedahnya, dan hebat sungguh kesannya. Ketenangan diri dapat dirasai, kedamaian hati dapat dinikmati dan kesejahteraan rohani dapat dikecapi. Persahabatan bersalutkan kasih sayang yang ikhlas di hati akan membuahkan kemanisan yang enak di sanubari kerana pastinya susah dan senang diharungi bersama, sentiasa bertolongan dan saling nasihat menasihati. Moga kasih sayang antara kita terpelihara serta mendapat keredhaan dan rahmat Allah SWT dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Amin...

Bertemu lagi…