Friday, November 19, 2010

Siapa Ganggu Siapa?

Bismillahirrahmanirrahim…

Mutakhir ini, saban hari terpampang di dada akhbar isu rumahtangga dan kadar penceraian yang berterusan meningkat. Kandungan berita di akhbar pada hari ini, begitu menarik perhatian saya untuk diambil pengajaran daripadanya. Ia berkaitan isu orang ketiga dalam rumah tangga yang dikatakan penyebab kepada ketidakharmonian keluarga. Orang ketiga dipersalahkan tanpa usul periksa. Orang ketiga kemungkinan anak dara, janda hatta isteri orang. Saya tersenyum sendirian apabila Ustaz memberi reaksi yang begitu bernas sekali iaitu kenapa orang lain yang diserang dan dipersalahkan kerana kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Ya .. benar sekali pandangan yang diberi oleh ustaz tadi. Kedapatan para isteri yang turut melibatkan anak-anak untuk menyerang dan menggugut orang lain kerana memikirkan si suami diminati. Faktor ini berlaku kemungkinan suami kaya dan berpangkat tinggi maka kerisauan selalu melanda hati bimbang tergugat kedudukan sebagai isteri. Seandainya perihal itu terjadi, kita para isteri perlu mempersiapkan diri dan periksa diri sendiri. Kenalpasti kelemahan dan kekurangan diri dan berusahalah untuk memperbaiki. Mudah-mudahan suami tiada keinginan untuk mencari pengganti atau berusaha untuk kahwin lagi kerana segalanya telah mampu kita penuhi.

Wajarkah orang lain dipersalahkan? Tidakkah terlintas difikiran kita, kemungkinan orang ketiga tersebut yang diganggu dan terganggu hingga membuatkan kehidupannya tidak selesa. Justru usah bertindak melulu tanpa usul dan periksa kerana silap langkah buruk padahnya dan diri sendiri akan mendapat malu. Kita tidak perlu mengeruhkan suasana kerana kita sekadar merancang yang terbaik untuk diri kita tetapi takdir Allah mengatasi segalanya. Bukan mudah hendak ke syurga selagi kita belum diuji dan teruji. Bagi para isteri ketaatan pada suami pemangkin redha Ilahi, cabaran dan rintangan pasti hebat sekali untuk menilai pengorbanan dan kasih sayang terhadap suami. Sandainya ditakdirkan suami perlu dikongsi, berusahalah berlapang hati serta redha akan ketentuan Ilahi. Oleh itu tidak perlulah kita melenting, meminta cerai ikut suka hati. Yang penting suami berlaku adil dan tanggungjawab dijalankan sebaik mungkin.

Begitulah situasi pada hari ini. Untuk mengubat sesuatu penyakit punca penyakit perlu dikenalpasti. Bahagian luaran sahaja yang dijaga dan dirapi, tetapi hati di dalam tidak pernah dibasuh dan disuci. Maka akhirnya terserlah juga akhlak dan budi sekali bersuara sudah memadai untuk dikenali. Akhirnya kita memalukan diri sendiri kerana penyakit hati terserlah kini. Saya juga amat menyedari, bahawa diri ini juga tidak terkecuali, titik hitam sering menodai hati. Ya Allah bantulah kami insan yang lemah ini, peliharalah kami daripada dihina dan dikhianati kerana sebagai wanita dan isteri kami tidak terputus daripada diuji.

Anda dan saya sebagai isteri, seandainya ada yang meragui hati elok diminta penjelasan secara berhati-hati. Minta dihuraikan secara terperinci mengapa dan kenapa jadi begini. Kalau kita bertindak tanpa usul periksa menyebabkan suami semakin keras hati dan kesannya akan menyemarakkan perasaan tidak senang yang terbenam di hati. Suami mungkin kecewa kerana isteri yang sedia ada tidak pernah berusaha untuk memahami akan keperluan dan kehendak suami.

Pastinya kita sukar untuk merubah orang lain. Adalah lebih baik kita melakukan perubahan terhadap diri sendiri bagaimana untuk menawan hati suami. Keluarga suami perlu disayangi dan dihormati, dan orang yang suami sayang usah dicaci kerana ia menyebabkan hati suami terguris. Pada penghujung usia sebegini, tiada apa yang diharapkan lagi selain keluarga yang dikasihi. Saya tidak terlepas daripada diuji, kalau tiada kesabaran boleh terlingkup diri ini. Kadangkala kepentingan diri perlu dikorbankan, kepentingan rumahtangga perlu diutamakan. Masa untuk diri sendiri tidak dihiraukan demi kesejahteraan suami dan anak-anak sekalian.

Anak-anak pula lain ceritanya, kadangkala suka bertindak sendiri. Apabila ditimpa masalah barulah keluarga dicari. Sebagai ibu, kita tidak putus menasihati bahawa kehidupan ini tidak semudah itu untuk dilalui. Saya amat mengharapkan ketenangan dan keharmonian yang abadi kerana telah banyak ujian yang telah dihadapi. Biarlah pada akhir kehidupan nanti, tiada lagi cabaran hebat yang perlu dilalui kerana rasanya apa yang dialami sudah memadai. Untuk anak-anak saya mengharapkan agar patuh suruhan Tuhan kerana sudah banyak dikhabarkan ibubapa yang baik belum pasti anaknya juga cemerlang kerana kita didedahkan dengan pelbagai ujian. Ujian anak-anak menguji kesabaran kerana mereka merupakan harta yang tidak ternilai.

Mudah-mudahan ujian kehidupan seterusnya dapat kita hadapi dengan tabah dan sabar. Moga Allah tidak menguji dengan ujian yang tidak mampu dihadapi oleh kita. Marilah kita sama-sama mengamalkan sifat saling menghormati agar kehidupan seterusnya lebih harmoni. Sabda Rasulullah SAW “ Bukanlah termasuk umatku mereka yang tidak menghargai (memuliakan) yang lebih dewasa, dan tidak menyayanginya yang lebih kecil” (Hadis Riwayat Ahmad dan Thabrani).

Ya Allah bantulah hamba-Mu ini. Amin…

Bertemu lagi…

Wednesday, November 17, 2010

Aidiladha: Pengorbanan VS Keikhlasan

Bismillahirramanirrahim…

Hari ini saya berpeluang mendengar khutbah Aidiladha. Alhamdulillah, ia memberikan kesedaran dan keinsafan betapa kerdilnya diri ini. Mukaddimahnya dimulakan dengan tafsir surah Al Mumtahanah yang intipatinya sungguh menyusuk ke hati. Betapa kita telah ditinggalkan dengan panduan dan pedoman untuk dijadikan pegangan dan ikutan, tetapi kenapa kita masih tercari-cari dan seterusnya lalai lagi. Mungkin kita kurang ilmu, kurang pengetahuan serta tiada penghayatan menyebabkan kita sering hanyut dan keliru memilih persimpangan.

Pengorbanan Nabi Ibrahim tiada tandingan. Usia baginda dihabiskan dengan berbakti kepada Allah. Isteri dan anak sanggup ditinggalkan serta redha dan bersedia untuk mengorbankan anak kerana mematuhi perintah Allah Yang Maha Esa. Firman Alah SWT yang bermaksud “ Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka ‘Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya “ sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatupun bagi kamu (siksaan) Allah. (Ibrahim berkata) “Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali” (Surah Al-Mumtahanah: 4)

Intipati khutbah turut menyeru agar kita meningkatkan ketaqwaan dan keimanan dengan penuh keinsafan. Kita perlu melakukan pengorbanan dengan meninggalkan segala larangan Allah dan berusaha untuk mentaati semua perintah-Nya. Hanya kepada Allah kita bertawakkal dan bertaubat kerana kepada Allah kita akan kembali. Ambillah pengajaran daripada Nabi Ibrahim yang dengan penuh ketaqwaan, keimanan dan keikhlasan untuk mengorbankan anak demi kecintaannya kepada Allah. Terimalah ajaran Islam sepenuhnya kerana ia tidak akan merugikan dan tidak akan menyusahkan. Usah ragu-ragu lagi, dan jangan amalkan Islam secara serpihan mengikut sesuka hati.

Khutbah juga turut menjelaskan kenapa kita gagal dan lalai melaksanakan tanggungjawab ke hadrat Allah SWT; antaranya ialah kerana kita sukakan dunia dan kita membenci kematian. Kita terlalu teringinkan kemewahan, kesenangan, kedudukan serta pangkat menyebabkan kita kekurangan dan tidak sanggup berkorban masa untuk bersujud memohon daripada Yang Maha Esa. Apa yang dimiliki dirasakan hasil titik peluh sendiri sehinggakan terlupa untuk menghubungkaitkan dengan Allah Yang Maha Pemberi. Kita lebih suka mementingkan diri sendiri daripada kepentingan umum. Bangkitlah, kita perlu bersatu hati dan hindarkan daripada sifat mementingkan diri. Pengorbanan merupakan satu agenda yang dituntut kerana ia akan menyatukan dan mengeratkan ukhuwwah antara kita sebagai hamba Allah. Selain itu, pengorbanan yang dilakukan perlu berasaskan kepentingan Islam, bertunjangkan keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT agar diberkati dan dirahmati.

Hari ini, ibadat korban yang kita lakukan biarlah dengan penuh keinsafan kerana dibimbangi ia tidak mendapat rahmat Allah seandainya korban yang dilakukan sekadar untuk menunjukkan tahap kemampuan. Jumlah lembu yang dikorban dan disedekahkan bukan menjadi ukuran tetapi niat dihati penentu keikhlasan dan ketaqwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud “ Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikiannlah Allah telah menundukkanya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira terhadap orang yang berbuat baik”. ( Surah Al-Hajj: 37).

Jadikanlah Aidiladha ini sebagai ruang, peluang dan kesempatan untuk membina keutuhan dan kasih sayang antara kita. Saling menziarahi, saling bermaafan yakni buang yang keruh ambil yang jernih. Mengapa kita perlu menjeruk rasa dan gundah gulana kerana kita yakin Allah ada untuk membantu kita seandainya kita berhajat kepada-Nya. Marilah kita melakukan perubahan dan pengorbanan bermula pada hari ini sehingga seterusnya ke akhir hayat kita. Kita masih belum terlewat untuk berubah, kesilapan yang lepas dijadikan pengajaran, pengalaman yang ditempuh jadikanlah azimat supaya kesalahan yang lalu tidak berulang lagi. Nikmat Allah yang kita terima tidak terhingga banyaknya, justru usah tamak untuk memiliki segalanya. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurnia. Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kepada Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang yang membenci kamu dialah yang terputus. (Surah Al-Kautsar: 1-3)

Saya sekadar berkongsi intipati khutbah agar kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripadanya. Moga usaha saya yang sedikit ini tidak disalah anggap dan tidak disalah tafsir. Saya masih berkeyakinan masih ada insan yang membaca dan menghargainya. Perkongsian merupakan proses pembelajaran yang berterusan kerana banyak yang masih belum kita ketahui. Mudah-mudahan kita berlapang dada dan merendah diri untuk menerima teguran dan nasihat demi kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Amin…

Bertemu lagi…

Prasangka Membawa Rebah

Bismillahirrahmanirrahim…

Malam ini saya rasakan terlalu sunyi. Entah kenapa sukar sekali untuk melelapkan mata, banyak sungguh perkara yang menyesak di dada..muhasabah diri memikirkan tentang dimanakah silapnya diri ini dalam menjaga hubungan dengan Allah dan juga hubungan sesama manusia. Saya terkenangkan masa zaman kanak-kanak dahulu, dibesarkan dengan penuh kepayahan dan kesulitan, hidup dalam kemiskinan. Saya tidak pernah melupakan semua itu. Justru dengan penuh keinsafan dan kerendahan diri, saya berusaha untuk membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang perlu seandainya saya boleh melakukan. Saya tidak pernah merasa diri ini terlalu hebat; kerana saya sentiasa menyedari apa yang dimiliki hanya milik Allah jua sebab itulah saya berusaha untuk berkongsi walaupun ilmu yang saya ada hanya sekelumit.

Kekecewaan kadangkala melanda di hati, maklumlah apabila sedikit bantuan saya hulurkan, dikatakan saya mempunyai agenda tersembunyi iaitu untuk memikat dan menawan hati agar dikasihi dan disayangi. Kedengaran juga berpandangan, pertolongan yang dihulurkan bukan untuk semua orang tetapi membuat pilihan hanya kepada keluarga yang kaya dan hebat sahaja kerana disyaki untuk menumpang. Benar sekali, kalau kita ingin mencari kesalahan kita akan mendapatnya, tetapi kalau kita memikirkan tentang kebaikan kita juga turut memperolehnya. Segalanya terserah kepada diri sendiri untuk berprasangka baik atau sebaliknya.

Fahamilah..pertolongan yang diberikan bukan tujuan untuk dihebahkan kepada semua orang..adakalanya orang yang kita memberi pertolongan tidak perlu tahu siapa kita, memadai sekiranya hajat dan hasrat mereka dapat direalisasikan. Lumrahnya, apabila kita mengetahui orang yang telah berbakti dan berbudi, pastinya kita berusaha untuk membalasnya walaupun bukan dengan wang ringgit atau hadiah yang berharga tetapi memadai dengan berbaik sangka dan memelihara hubungan yang ada.

Kesenangan yang dimiliki bukannya sekadar untuk diri sendri. Kita sewajarnya mendidik diri agar bersedia untuk berkongsi, susah senang sama dirasa kerana ketenangan dan keharmonian jiwa yang amat kita harapkan. Sempena Aidiladha ini, bangunkanlah jiwa pengorbanan seikhlas hati dalam diri, elakkan daripada mementingkan diri sendiri serta perlu tahu menghargai dan menghormati. Bagi meraka yang sentiasa berprasangka tidak baik terhadap orang lain, hentikanlah…kerana dikhuatiri ia akan memalukan dan merugikan diri sendiri. Sebarang persengketaan usah dibiarkan berpanjangan, disimpan bak api di dalam sekam. Cantik di luar tetapi di dalamnya di penuhi titik hitam.

Dua hari yang lepas, saya berkesempatan bertemu pelajar peringkat PhD dan sarjana di sebuah universiti. Saya begitu teruja apabila sesi soal jawab berlangsung, seorang pelajar menjelaskan blog dan facebook saya sering dibaca, untuk dijadikan sumber inspirasi dalam meneruskan pengajian, menyuntik semangat yang kadangkala hampir tenggelam dan apa yang baik dijadikan pedoman. Alhamdulillah, masih ada yang menghargai penulisan saya selama ini, dan saya menjadi semakin bersemangat untuk terus menulis lagi agar perkongsian pengalaman dan ilmu dapat diteruskan selagi Allah memberi kekuatan.

Dalam pertemuan besama mereka yang berjuang dalam pelajaran, sewaktu sesi rumusan, secebis semangat sempat saya titipkan buat mereka agar sentiasa berkongsi dan bertolongan dalam menimba ilmu pengetahuan. Pastinya kejayaan yang diharapkan bersama justru kesepakatan dan perkongsian amat perlu agar semuanya berjaya melalui ujian dan cabaran yang merupakan satu proses yang memang memeritkan untuk marangkul Ijazah sarjana dan Doktor Falsafah. Saya mengerti luahan kalian, kerana saya turut melalui proses sedemikian. Justru sabarlah teruskan perjuangan kerana untuk meraih kecemerlangan ia amat memerlukan kepada pengorbanan, itulah kata-kata suntikan yang dapat saya hulurkan.

Anda dan saya, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Pertolongan dan bantuan yang diterima usah disalah tafsirkan. Bersykurlah kerana masih ada yang sudi menolong dan membantu pada saat kita memerlukan. Usah angkuh dan sombong dengan apa yang ada. Kita berusaha mendidik diri dan hati agar sentiasa bersangka baik supaya jiwa kita memperoleh ketenangan, fikiran kita tidak meracau yang bukan-bukan dan agar penyakit tidak mudah singgah di badan. Jadikanlah diri sebagai anak kunci kebaikan yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan pertolongan tanpa memilih darjat dan keturunan, pastinya khusus untuk mereka yang amat memerlukan. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Bermula sesuatu yang baik (khair) ibarat peti besi (khazanah) dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah bagi orang yang Allah jadikan dia sebagai anak kunci kebajikan dan penyelak (penghalang) kepada kejahatan. Sebaliknya, celakalah (neraka) bagi seseorang yang menjadi kunci kepada kejahatan dan penyelak (penghalang) kepada kebaikan”. ( Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Sesungguhnya dengan rendah diri, saya mohon kalian membantu saya ke arah kebaikan kerana saya tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Marilah kita berazam dan bertekah untuk menjadi kunci kebaikan. Moga Allah membantu kita dalam susah dan senang agar dipelihara dan ditingkatkan keimanan dan ketaqwaan. Amin…

Bertemu lagi…