Tuesday, February 28, 2012

Stres-Manafaatkan Dalam Diri

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah hari ini seharian tumpuan diberi untuk menulis laporan. Penatnya..rasa mengantuk turut mengiringi. Ada masanya nak menulis satu ayat pun sukar , mengambil masa untuk berfikir bagaimana untuk menulis agar mudah difahami maksudnya. Kalau tidak disertakan dengan ketelitian dan kesabaran, pastinya tugasan tergendala separuh jalan atau mungkin tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam melaksanakan tugasan sebegini, adakalanya tertekan juga..stres tidak dapat dielakkan. Ya, dalam apa keadaan pun jangan biarkan stres menguasai diri sebaliknya uruskannya sebaik mungkin berbekalkan keimanan dalam diri. Banyak sudah di khabarkan bahawa kadang kala stress memakan diri, menjadi murung dan ada yang sanggup membunuh diri. Usah diikut rasa, kelak diri yang binasa. Sepatutnya stres, tekanan..dijadikan azimat untuk membangunkan diri, menguatkan rohani dan menjadi sumber memotivasikan diri. Yakinlah, dengan iman kita yakin ujian dan cabaran itu datang daripada Allah. Pastinya, Iman menimbulkan rasa baik sangka, rasa pengharapan dan keyakinan kepada pembelaan Allah SWT.

Untuk bekerja dalam keadaan yang tenang, suasana tegang cuba elakkan. Bekerja dalam pasukan memerlukan pengorbanan perasaan. Sedikit kesilapan usah diperbesarkan, yang paling penting ialah mencari jalan penyelesaian. Segala apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi. Sesungguhnya, kita adalah penerima, Allah Yang Maha Pemberi. Seandainya kita mengharapkan sahabat yang baik, mohonlah pertolonganNya, begitu juga untuk mempermudahkan segala urusan di dunia, mohonlah daripada Yang Maha Esa..solat hajat boleh dilakukan, moga apa yang dihajati Allah akan kabulkan.

Sekiranya apa yang diharapkan tidak diperolehi, usah cepat berputus rasa. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jadi kenapa perlu rasa kecewa apabila menemui kegagalan setelah kita berusaha, kerana kita mesti yakin bahawa Allah akan bagi yang lebih baik untuk kita. Ujian Allah satu nikmat untuk menyedarkan diri agar tidak terus lalai dan leka diulit kesenangan, kegembiraan dan keseronokan. Firman Allah yang bermaksud “ Allah tidak menguji manusia melainkan sepadan dengan keupayaan mereka menghadapinya” (surah Al-Baqarah 2:286)

Saya sendiri tidak terkecuali, sering diuji dan teruji, ujian daraipada dalam diri, keluarga, sahabat serta orang di sekeliling. Kalau diikutkan kata hati, pasti memudaratkan diri. Kita perlu lebih berhati-hati dalam tindak tanduk dan perlu bijak mengawal emosi. Elakkan dan jauhkan diri daripada mereka yang gemar mencetuskan konflik, pembawa masalah dan yang sentiasa berfikiran negatif. Apabila ada yang memperkatakan yang negatif tentang kita, cuba tenang berhadapan dengannya dan tabahkan hati apabila mendengarnya. Ingatlah sebagai manusia, selagi ada mulut mereka terus berkata-kata. Usah melatah tak tentu hala. Yang pahit belum tentu menjadi racun dan yang manis belum pasti menjadi penawar. Allah sekadar menguji kita.

Bersyukur lah..bersabarlah..positifkan minda agar stres tidak terbenam di jiwa. Nilai diri sendiri. Carilah kekuatan dalam diri, manafaatkan potensi, usah dibiarkan kelemahan yang ada membelengu dan mengikat kita untuk tidak berusaha bagi meraih kecemerlangan. Berusahalah..harapkan yang baik daripada Allah SWT..InsyaAllah, Allah akan bagi yang baik untuk kita. Kenapa kita takut untuk muhasabah diri, agar lebih mengenali diri sendiri. Hati-hati dalam tutur kata dan tindakan kerana semuanya akan dikira sama ada sebagai dosa atau pahala. Saya berkeyakinan kita semua nak masuk syurga. Kita tidak perlu bertangguh untuk menjadi baik, usah berlengah untuk melaksanakan perintah Allah dan tidak perlu berkira untuk melakukan amal kebajikan. Jadi…Bersama kita berusaha untuk mendapat rahmat Allah Yang Maha Esa.

Bertemu lagi…

Monday, February 27, 2012

Kemahuan Diri ..Keperluan Hakiki

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah..sudah lama menyepi bukan bermakna melupai tetapi apakan daya adakalanya terasa seperti ketidakcukupan masa. Umur semakin meningkat, terasa sangat stamina kurang ..keletihan mudah terasa. Ya lah sudah lama Allah memberi pinjam nikmatnya yang tidak terhingga, sudah lama mengecapinya. Kadangkala Allah ingin menguji kita..kalau sedikit nikmat ditarik, adakah kita menjadi keluh kesah..tidak bermaya, atau semakin menyedarkan kita bahawa selagi nikmat kita miliki..peliharalah ia, manafaatkan sebaik mungkin….moga kehidupan diberkati dan diredhai Yang Maha Esa.

Memikirkan liku kehidupan terasa seperti tiada ruang masa untuk diri sendiri. Masa sentiasa terisi untuk memenuhi tugasan hakiki, memelihara rumahtangga, tanggungjawab dan amanah sebagai pekerja serta melangsaikan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Minggu lepas seminggu berpangkalan di Port Dickson, hujung minggu Sabtu berkejar ke Terengganu, Ahad kembali semula ke Kuala Lumpur dan hari ini di Port Dickson juga kerana masih ada tugas yang belum langsai lagi.

Penat badan, letih..tidak boleh dilayan sama sekali..saya berkeyakinan kita perlu sentiasa memberi, elakkan daripada sentiasa meminta. InsyaAllah yakinlah, apabila kita mempermudahkan urusan orang lain, Allah akan mempermudahkan urusan kita. Pastinya, amanah dan tanggungjawab usah dipersiakan, hasil kerja perlu berkualiti kerana kita setiap bulan menerima gaji. Kita mengharapkan sumber pendapatan yang halal untuk menanggung keluarga yang kita sayangi.

Sebagai manusia, saya sendiri tidak terlepas daripada sifat lalai dan leka. Paling penting ada azam dan niat untuk merubah diri kepada yang lebih baik dari sehari ke sehari. Bukan senang untuk berubah, tetapi demi untuk melakukan perubahan pastinya sahabat yang baik perlu dicari. Kenal pasti hati budi, keluhuran jiwa dan budi pekerti. Tanyalah diri sendiri, sejauh mana keikhlasan hati dalam menjalin persahabatan dengan orang di sekeliling. Dalam persahabatan, jangan terlalu mementingkan diri sendiri, tikam belakang jauh sekali, pandanglah sahabat apa yang positif dalam dirinya kerana kalau dicari kesalahan sudah pasti banyak yang akan ditemui.

Saya ingin berkongsi tentang suatu ilmu yang amat berharga yang saya peroleh melalui TV AL HIJRAH iaitu penceramah motivasi menjelaskan ada tiga perkara yang perlu diamalkan untuk menjaga hubungan sesama insan iaitu PERTAMA seni dalam komunikasi. Berbicara halus, lembut tutur kata penuh kesopanan dan tidak menyakitkan hati; KEDUA paparkan senyuman yang lahir dari dalam, bukan senyuman sekadar penghias bibir yang kadangkala pahit di pandang; dan KETIGA ialah toleransi perlu ada dalam diri kerana sebagai manusia kita berbeza..berbeza pandangan dan citarasa, berlainan pemahaman dan penerimaan serta tidak terjangka apa yang ada dalam fikiran. Oleh itu perlu bertolak ansur, jadi pendengar yang baik, buah fikiran orang lain juga perlu dihargai kerana kita tidak sehebat mana dan bukannya sentiasa betul. Justru perlu saling menghormati kerana setiap kita ada kelebihan dan kekurangan yang Allah bagi. Belajar menerima dan ikhlaskan hati apabila memberi.

Dalam kehidupan ujian hidup tidak dapat dielakkan kerana disitu terserlah tahap kesabaran dan ketabahan. Ujian menyebabkan kita menjadi kuat..malah ujian yang mendatang menyebabkan kita semakin dekat dengan Yang Maha Berkuasa. Kita tidak boleh bersendirian..kita boleh ramai kawan tetapi cari lah sahabat sejati yang boleh berkongsi pada saat susah dan senang jyang boleh memberi nasihat yang betul apabila diperlukan. Jauhkan diri daripada rakan yang suka mengadu domba kerana kalau hal orang lain diceritakan pada kita, pastinya hal kita juga mungkin disebar luaskan juga. InsyaAllah jika kita menutup keaiban orang lain, Allah akan membantu menutup keaiban kita.

Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niat kita. Kalau diperhalusi, keikhlasan pastinya terpancar sendiri tak perlu disebut dan diwar-warkan di sana sini. Moga Allah memeihara hati kita agar sentiasa ikhlas kerana NYA kerana kita amat takut kepada dosa kerana kita tak pasti sebanyak mana pahala kita. Kematian tidak boleh dijangka, yang penting kita perlu sentiasa bersedia. Marilah kita saling sentiasa mengingati antara satu sama lain moga kita tidak hanyut dengan hiasan dunia, berpadalah kita.

Bertemu lagi…

Sunday, October 2, 2011

Buat Amirah: PMR Ujian Kesabaran

Bismillahirrahmanirrahim..

Agak lama saya tak menulis. Kesebokan dan keterbatasan waktu yang ada membuatkan saya tidak mampu untuk mencuri masa yang ada. Banyak agenda dan perkara yang perlu saya dahulukan. Kedapatan sahabat yang merajuk kerana katanya saya sukar dihubungi. Adakah saya telah berubah sikap daripada seorang yang peramah menjadi orang yang pendiam atau sombong diri. Alhamdulillah apabila muhasabah diri, rasanya sifat sombong dan angkuh bukan nya ada dalam diri ini. Pastinya, mungkin silap persepsi atau interpretasi kerana saya sama seperti dahulu berasal dari kampung yang telah melalui kehidupan yang penuh liku.

Pada pandangan mata kasar, senyuman yang sentiasa mengukir melambangkan kegembiraan, kebahagian dan ketenangan. Sebagai manusia dalam melayari kehidupan kita tidak dapat lari daripada ujian. Yang membezaan kita adalah bagaimana kta berhadapan dengan ujian tersebut, kaedah mengatasinya dan seterusnya keyakinan diri bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, setiap ujian ada hikmah disebaliknya dan setiap kesabaran pasti akan dapat nikmatnya. Ya saya sendiri tidak terkecuali, masalah dan ujian sering melanda..Alhamdulillah segalanya masih mampu dihadapi berkat sokongan mereka yang ikhlas bersama saya.

Kesebokan tugas di pejabat memerlukan perancangan yang rapi supaya segala tugas dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Selain itu, tugasan rumah tangga perlu dibereskan kerana sebagai isteri dan ibu pastinya tanggungjawab tersebut perlu disempurnakan. Pagi tadi anak bongsu saya Amirah bersuara” ummi ..masa periksaan PMR nanti..kalau masak kurangkan minyak..cikgu cakap jangan makan makanan yang di beli..ummi ambik cuti ya..boleh hantar dan ambik Aby nanti”..terdiam saya memikirkan permohonan anak tersayang. Sebenarnya ..memang mejadi kebiasaan saya akan bercuti apabila anak-anak menduduki peperiksaan.. Saya ingin memastikan anak saya selamat sampai ke sekolah, dan seterus menjemput pulang apabila tamat peperiksaan. Paling penting doa restu turut diiringkan.

Sebenarnya anak-anak saya sedari kecil boleh di bilang dengan jari makan di kedai. Mereka mahukan saya menyediakan makanan untuk mereka baik sarapan pagi mahupun makan malam.. Oleh itu, setiap hari seawal jam 4.00 pagi saya telah bangun untuk memastikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dapat dilaksanakan di samping tidak lupa memastikan segala keperluan keluarga telah tersedia sebelum saya ke tempat keja. Jiran pastinya faham dengan rutin kehidupan saya..jam 5.30 pagi sudah kedengaran keriuhan suara anak saya yang bersembang sambil makan. Saya amat teruja melihatkan anak-anak sudah berada di meja..membuka tudung saji pastinya ingin menjamah masakan ummi. Hati saya menjadi puas, melihat anak-anak makan berselera, rasa penat tidak terasa kerana anak-anak sentiasa menghargai apa yang ada.

Kadang kala saya terkenang emak di kampung. Pada zaman persekolahan saya..perkara yang sama juga dilakukan oleh emak..bangun seawal pukul 3.00 pagi untuk menyediakan sarapan buat bekalan anak-anak kerana pada waktu itu kami adik beradik tidak ada duit belanja, kemiskinan keluarga ..hanya bekalan yang kami bawa..untuk ke kantin kami tak merasa..dari kejauhan kami hanya memandang sahaja. Alhamdulillah anak-anak emak semua berjaya..dan saya lihat raut wajah emak begitu ceria.. tumpang gembira kerana emak kini dijaga dan dipelihara kerana ayah sudah tiada. Jasa ibu tiada tandingannya.

Sungguh tidak saya sangka, kini saya pula melakukan tugas yang sama. Pastinya ramai yang tidak menyangka, sekiranya saya tidak bertugas luar, anak-anak tidak pernah makan di luar..hatta anak bujang saya, apabila lapar sanggup pulang ke rumah untuk menjamu selera. Alhamdulillah, walaupun sebok bekerja, dapat juga menyediakan juadah untuk keluarga..walaupun masakannya tidak seberapa tetapi cukuplah bagi saya sekiranya anak-anak suka. Itulah yang mampu saya lakukan untuk keluarga kerana saya tidak mahu dianggap mengabaikan urusan rumahtangga dek kerana kesebokan bekerja.

Untuk anakku Amirah..usah risau sayang..minggu hadapan ummi akan luangkan masa untuk bersama Mira sentiasa..doa mengiringi..moga segala usaha Mirah selama ini akan diberkati dan membuahkan hasil. Ummi harapkan Mira sabar..anak ummi telah berusaha sedaya upaya..usah gentar..bagi Ummi rezki Mira tetap ada..tawakkal sahaja..ummi tidak memaksa kerana ummi faham anak ummi sungguh rajin berusaha..elak dari rasa tertekan..kesihatan perlu di pelihara ummi redha dan menerima segalanya. Ummi sangat sayangkan Mira..Ingat Allah sentiasa…yakinlah segalanya adalah atas keizinan-Nya jua.

Bertemu lagi…