Monday, August 30, 2010

LAILATUL QADAR- Terpilihkah Diri Ini?

Bismillahirahmanirahim...

Esok tanpa kita sedari telah genap 20 hari kita berpuasa, bermakna kita sekarang berada dalam fasa ketiga Ramadhan. Sungguh cepat masa berlalu, Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya dan tidak lama lagi akan pergi meninggalkan kita.. Bagaimanakah kita melaksanakan ibadah puasa sepanjang hari-hari tersebut? Adakah kita benar-benar telah berpuasa sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT? Adakah kita berpuasa sekadar untuk menahan lapar dan dahaga? Inilah persoalan yang jawapannya hanya ada pada diri kita sendiri. Muhasabah diri amat penting untuk menilai kembali ibadah yang telah kita lakukan. Sekiranya masih wujud kelemahan dalam ibadah kita, maka kita perlu berusaha mengatasinya dengan kadar segera.

Pada saat ini, saya memikirkan tentang diri sendiri. Malu rasanya dengan Allah kerana diri ini belum mampu untuk menjadi hambaNya yang benar-benar bersyukur, melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Bimbang dan gusar sungguh hati ini sekiranya puasa yang dilakukan tidak diterima Allah dek kerana kegagalan berpuasa mata, telinga dan lidah. Kenapa diri ini amat lemah untuk memanfaatkan segala nikmat Allah sebaik mungkin? Walau apa pun saya tetap berkeyakinan bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat dan mendasari di hati ini. Ya Allah teringin sekali diri ini untuk terpilih dalalm kalangan orang yang ringan beribadat dan berjaya menghidupkan malam untuk mendekatkan diri kepadaMu Ya Allah. Betapa saya amat takut sekiranya Ramadhan ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat saya. Saya amat mengidamkan agar diketemukan dengan Lailatul Qadar yang dikurniakan Allah hanya sekali dalam setahun ini.

Hakikatnya, saya amat merindui Lailatul Qadar dan mengharapkan diketemukan walaupun hanya sekali seumur hidup. Sepuluh terakhir Ramadhan ini telah memberi keinsafan kepada saya betapa kasih sayang dan pemurahnya Allah Yang Maha Pencipta. Manakan tidak, amal ibadat kita pada malam tersebut dilipat gandakan pahalanya menyamai 1000 bulan iaitu 83 tahun 4 bulan. Bayangkanlah, betapa bertuah dan beruntungnya kita. Ganjaran dan keuntungannya telah Allah sediakan, terpulanglah kepada kita sama ada untuk merebut dan meraih setiap ruang dan peluang yang Allah telah kurniakan buat kita hamba-Nya. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pemurah.

Saya dan anda..di sepuluh akhir Ramadhan ini, marilah sama-sama kita berjanji untuk berusaha dan berlumba-lumba untuk meraih keuntungan yang berlipat ganda. Kurangkan atau hentikan terus aktiviti lain sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan ini. Usah dilayan mata yang mengantuk, badan yang letih dan kemalasan yang melanda diri. Bangkitlah dan berdoalah agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita semua kerana kita tidak mahu menjadi golongan yang berterusan lalai dengan urusan dunia, dan akibatnya kita sentiasa tergolong dalam kalangan orang yang rugi. Kehebatan, kemuliaan, dan kelebihan Ramadhan jelas terbukti berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Qadar, dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan, pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibrail) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah( malam itu) sampai terbit fajar“ (Surah Al-Qadr: 1-5).

Marilah kita berdoa dan berjanji dengan diri sendiri agar bermula pada malam ini sehingga ke akhir Ramadhan kita bangkit dengan penuh bersemangat untuk mengisi setiap ruang waktu yang ada dengan melaksanakan amal ibadah hanya untuk Allah SWT semata-mata. Usah kita memilih malam ganjil sahaja untuk melakukan ibadah kerana Lailatul Qadar ialah rahsia Allah yang kita semua tidak ketahui bila dan ketikanya ianya menjelma. Justeru teruskan beribadah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Solat Fardhu pada awal waktu dan peliharalah puasa. Malamnya disuburkan dengan solat Tarawih, solat Tahajjud, membaca Al-Quran, berzikir dan bersalawat serta ibadat sampingan yang lain. Kaum lelaki amat dituntut untuk bersama-sama iktikaf di masjid agar penumpuan sepenuhnya dapat dikhususkan untuk melakukan amal ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Lakukanlah ibadah dengan penuh kesedaran dan keinsafan kerana kehidupan kita di dunia ini bukan kekal buat selama-lamanya. Amal ibadah inilah yang akan kita bawa sebagai bekalan apabila menjadi tetamu Allah Yang Maha Berkuasa. Pastinya, bukannya harta benda, pangkat dan kemasyhuran yang menjadi ukuran di sisi Allah SWT.

Saya dan anda..berkorban, berazam dan bertekadlah kita untuk sibukkan diri dengan melakukan amal ibadah pada penghujung Ramadhan ini. Ganjaran yang amat hebat ini sudah berada di depan mata, jangan kita lepaskan begitu sahaja. Sesungguhnya inilah kelebihan anugerah Allah SWT buat kita semua. Berusahalah dan yang selebihnya kita serahkan kepada Allah Yang Maha Esa. Usah kita bertangguh lagi kerana asyik memikirkan persiapan menyambut hari raya. Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud; “Malam Al-Qadr berlaku pada sepuluh terakhir. Barangsiapa yang menghayati malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam Al-Qadr berlaku pada malam yang ganjil iaitu malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau malam yang terakhir” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Justeru kita perlu berusaha keras untuk memperoleh keampunan Allah Yang Maha Esa terhadap segala tindakan dan perbuatan kita yang mendatangkan dosa. Bersungguh-sungguhlah kita melakukan amal ibadah agar ianya diterima oleh Allah SWT. Ketulusan kita beramal akan dapat membantu mendidik tuntutan hawa nafsu dan mengelakkan diri kita daripada kesibukan urusan dunia sahaja. Besar harapan kita agar dipilih oleh Allah SWT dalam kalangan hambaNya yang dapat bertemu dengan Lailatul Qadar pada penghujung Ramadhan ini.

Mudah-mudahan Allah terus memberi kesihatan yang baik, kekuatan dan keringanan untuk kita melipat gandakan amal ibadah kita dari saat ini dan seterusnya. Moga Allah jauhkan kita daripada perasaan malas, culas, letih dan berat untuk beribadah bagi menghidupkan malam sepanjang sepuluh hari terakhir Ramadhan ini. Sesungguhnya hanya kepada-Mu ya Allah kami berserah dan bergantung harap agar dipermudahkan dalam melaksanakan amanah-Mu di muka bumi ini. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment