Saturday, November 13, 2010

Bersama Menggenggam Kejayaan

Bismillahirrahmanirrahim…

Selama tiga hari di Hotel Plaza, Alhamdulillah pasukan kerja kami dapat merealisasikan hasrat untuk menyiapkan laporan yang tertangguh disebabkan kepelbagaian tugas lain yang perlu disempurnakan. Walaupun kami tidak diawasi dan dipantau, tetapi amanah yang diberikan tidak dipersiakan. Kami bekerja sehingga jam 6.00 petang dan disambung pula pada waktu malam. Bertungkus lumus kami membuat laporan kerana apabila pulang ke pejabat kelak, pasti ada tugasan lain yang sedia menanti .

Bagi menjamin kejayaan dalam melaksanakan tugasan secara berpasukan, yang paling penting ialah ciri-ciri ahli pasukan perlu dikenal pasti. Seboleh mungkin bekerjalah dengan mereka yang komited terhadap tugasan, dedikasi dan sabar dalam kepayahan serta berfikiran terbuka dan bersedia untuk mendengar sebarang teguran atau kritikan kerana yang terbaik yang ingin dihasilkan. Justru apabila kita merasakan kita sahaja yang hebat, kita sahaja yang pandai dan kita sahaja yang tahu maka idea dan pandangan orang lain mudah diketepikan dan kesannya, ahli yang lain merasa terpinggir dan tidak diperlukan.

Dalam melaksanakan tugasan, kerja dalam pasukan amat diperlukan. Masing-masing ada kepakaran dan kelebihan yang berbeza. Terdapat yang cekap menganalisis dan mentafsir serta ada juga yang berkebolehan mengkritik dan mengeluarkan idea. Ada yang hebat berbahasa Inggeris dan kedapatan juga yang sukar menulis dalam bahasa Malaysia. Justru kemahiran dan kebolehan tersebut perlu diadunkan agar hasilnya hebat dan produknya berkualiti kerana kita dalam pasukan saling memerlukan untuk melengkapi mana yang kurang.

Justru seandainya kita diberi peluang dalam memilih ahli pasukan, bagi menjamin matlamat dan objektif tercapai pastikan pilihlah ahli pasukan yang rajin berusaha walaupun pengalaman yang ada hanya sedikit. Pilihlah ahli yang boleh fokus terhadap tugasan, yang bersama-sama berkongsi matlamat dan impian dan bukan sekadar menjadi penumpang untuk mendapatkan nama sahaja. Ahli pasukan perlu bersama susah dan senang yang penting amanah dan tanggungjawab perlu disempurnakan. Oleh itu kenalilah rakan sepejabat yang berada di sekeliling kita..kenalpasti siapakah mereka, kerana mereka pelbagai rupa, berbeza warna kulit dan juga citarasa dan yang paling penting cara mereka bekerja agar kita dapat ketahui siapa yang boleh kita harapkan untuk membantu dalam melaksanakan tugasan apatah lagi sesuatu kerja yang perlu disegerakan.

Anda dan saya, seandainya diri kita tidak terpilih untuk menjadi ahli pasukan atau tidak menjadi pilihan untuk melaksanakan tugasan penting, usah kecewa dan berdukacita kerana pasti ketua kita amat mengerti kenapa diri kita tidak dilibatkan sama. Kemungkinan kebolehan dan kepakaran kita tidak bersesuaian dengan tugasan yang hendak dilaksanakan; atau mungkin diri kita diperlukan untuk urusan lain kerana pelbagai kerja yang perlu dilakukan oleh itu ianya diagihkan berdasarkan kepakaran.

Harapan anda dan juga saya, usah kita cepat terasa. Di tempat kerja elok kita wujudkan suasana mesra agar kita dapar bekerjasama bak satu keluarga. Silaturrahim kita eratkan, kerjasama yang ada kita mantapkan, dan keserasian bekerja kita perkukuhkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Barangsiapa mahu supaya rezkinya ditambah dan umurnya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungkan silaturrahmi (silaturahim) di antara saudara-saudaranya ( Hadis Riwayat Bukhari).

Oleh itu, elakkan dari rasa rendah diri, penyakit dengki dan iri hati kerana kita sama-sama mencari rezki yang halal untuk keluarga yang dikasihi. Mudah-mudahan setiap tugasan yang kita lakukan, diniatkan kerana Allah agar dapat perhitungkan sebagai amal ibadat disisi Allah kerana ganjaran pahala yang kita harapkan dan perbuatan dosa yang kita usaha elakkan. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment