Showing posts with label liku kehidupan. Show all posts
Showing posts with label liku kehidupan. Show all posts

Monday, February 27, 2012

Kemahuan Diri ..Keperluan Hakiki

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah..sudah lama menyepi bukan bermakna melupai tetapi apakan daya adakalanya terasa seperti ketidakcukupan masa. Umur semakin meningkat, terasa sangat stamina kurang ..keletihan mudah terasa. Ya lah sudah lama Allah memberi pinjam nikmatnya yang tidak terhingga, sudah lama mengecapinya. Kadangkala Allah ingin menguji kita..kalau sedikit nikmat ditarik, adakah kita menjadi keluh kesah..tidak bermaya, atau semakin menyedarkan kita bahawa selagi nikmat kita miliki..peliharalah ia, manafaatkan sebaik mungkin….moga kehidupan diberkati dan diredhai Yang Maha Esa.

Memikirkan liku kehidupan terasa seperti tiada ruang masa untuk diri sendiri. Masa sentiasa terisi untuk memenuhi tugasan hakiki, memelihara rumahtangga, tanggungjawab dan amanah sebagai pekerja serta melangsaikan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Minggu lepas seminggu berpangkalan di Port Dickson, hujung minggu Sabtu berkejar ke Terengganu, Ahad kembali semula ke Kuala Lumpur dan hari ini di Port Dickson juga kerana masih ada tugas yang belum langsai lagi.

Penat badan, letih..tidak boleh dilayan sama sekali..saya berkeyakinan kita perlu sentiasa memberi, elakkan daripada sentiasa meminta. InsyaAllah yakinlah, apabila kita mempermudahkan urusan orang lain, Allah akan mempermudahkan urusan kita. Pastinya, amanah dan tanggungjawab usah dipersiakan, hasil kerja perlu berkualiti kerana kita setiap bulan menerima gaji. Kita mengharapkan sumber pendapatan yang halal untuk menanggung keluarga yang kita sayangi.

Sebagai manusia, saya sendiri tidak terlepas daripada sifat lalai dan leka. Paling penting ada azam dan niat untuk merubah diri kepada yang lebih baik dari sehari ke sehari. Bukan senang untuk berubah, tetapi demi untuk melakukan perubahan pastinya sahabat yang baik perlu dicari. Kenal pasti hati budi, keluhuran jiwa dan budi pekerti. Tanyalah diri sendiri, sejauh mana keikhlasan hati dalam menjalin persahabatan dengan orang di sekeliling. Dalam persahabatan, jangan terlalu mementingkan diri sendiri, tikam belakang jauh sekali, pandanglah sahabat apa yang positif dalam dirinya kerana kalau dicari kesalahan sudah pasti banyak yang akan ditemui.

Saya ingin berkongsi tentang suatu ilmu yang amat berharga yang saya peroleh melalui TV AL HIJRAH iaitu penceramah motivasi menjelaskan ada tiga perkara yang perlu diamalkan untuk menjaga hubungan sesama insan iaitu PERTAMA seni dalam komunikasi. Berbicara halus, lembut tutur kata penuh kesopanan dan tidak menyakitkan hati; KEDUA paparkan senyuman yang lahir dari dalam, bukan senyuman sekadar penghias bibir yang kadangkala pahit di pandang; dan KETIGA ialah toleransi perlu ada dalam diri kerana sebagai manusia kita berbeza..berbeza pandangan dan citarasa, berlainan pemahaman dan penerimaan serta tidak terjangka apa yang ada dalam fikiran. Oleh itu perlu bertolak ansur, jadi pendengar yang baik, buah fikiran orang lain juga perlu dihargai kerana kita tidak sehebat mana dan bukannya sentiasa betul. Justru perlu saling menghormati kerana setiap kita ada kelebihan dan kekurangan yang Allah bagi. Belajar menerima dan ikhlaskan hati apabila memberi.

Dalam kehidupan ujian hidup tidak dapat dielakkan kerana disitu terserlah tahap kesabaran dan ketabahan. Ujian menyebabkan kita menjadi kuat..malah ujian yang mendatang menyebabkan kita semakin dekat dengan Yang Maha Berkuasa. Kita tidak boleh bersendirian..kita boleh ramai kawan tetapi cari lah sahabat sejati yang boleh berkongsi pada saat susah dan senang jyang boleh memberi nasihat yang betul apabila diperlukan. Jauhkan diri daripada rakan yang suka mengadu domba kerana kalau hal orang lain diceritakan pada kita, pastinya hal kita juga mungkin disebar luaskan juga. InsyaAllah jika kita menutup keaiban orang lain, Allah akan membantu menutup keaiban kita.

Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niat kita. Kalau diperhalusi, keikhlasan pastinya terpancar sendiri tak perlu disebut dan diwar-warkan di sana sini. Moga Allah memeihara hati kita agar sentiasa ikhlas kerana NYA kerana kita amat takut kepada dosa kerana kita tak pasti sebanyak mana pahala kita. Kematian tidak boleh dijangka, yang penting kita perlu sentiasa bersedia. Marilah kita saling sentiasa mengingati antara satu sama lain moga kita tidak hanyut dengan hiasan dunia, berpadalah kita.

Bertemu lagi…

Sunday, March 13, 2011

Nostalgia Telupid

Bismillahirrahmanirrahim…

Perjalanan saya untuk sampai ke daerah Telupid terasa begitu lama. Kami bertolak dari KLIA pada jam 3.30 petang ke Kota Kinabalu kerana kapal terbang yang sepatutnya kami naik pada jam 2.00 petang dibatalkan penerbangannya. Kami tiba di Kota Kinabalu pada jam 6.45 petang dan seterusnya menaiki kapal terbang lain untuk ke Sandakan. Kami tiba di Sandakan pada pukul 9.00 malam dan menaiki kereta ke Telupid. Perjalanan dari Sandakan ke telupid mengambil masa kira-kira tiga jam. Kami tiba di Telupid pada jam 1.00 malam. Pada pukul 6.30 pagi keesokannya kami perlu berada di lobi hotel untuk ke destinasi bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Kenangan di Telupid Sabah masih segar dalam ingatan. Selama tiga hari di Telupid sungguh banyak kenangan yang menyentuh perasaan. Pengalaman yang ditempuhi membuatkan saya lebih menyedari dan meginsafi akan hakikat kehidupan. Ya bagi sesetengah orang, kesukaran dan keperitan hidup mungkin tidak pernah dirasa. Justeru, alangkah baiknya sesekali kita melawat kawasan pedalaman atau menjenguh seketika kawasan terpencil yang disaluti kemiskinan dan kesusahan agar kita lebih mengerti bahawa kehidupan ini tidak semudah yang disangkakan. Kesannya kita akan menjadi manusia yang sentiasa bersyukur atas anugerah Allah yang telah kita nikmati pada waktu siang dan malam.

Saya amat teruja, terharu dan merasa amat hiba bertemu dengan anak-anak yang dihimpit kemiskinan dan kepayahan hidup. Kedapatan yang ke sekolah dengan perut kosong dan mengharapkan kepada bantuan makanan yang disediakan di sekolah. Ada juga yang terpaksa berenang mengharungi sungai dan sanggup menempuhi kesulitan dan kepayahan demi minat yang mendalam untuk belajar menimba ilmu. Syabas anak-anak sekalian. Kalian cukup hebat. Ketabahan, kesabaran dan kekuatan semangat yang anak-anak miliki amat saya kagumi. Pada wajah kalian terpampang seribu pengharapan agar diri kalian diberi perhatian.

Sebak sungguh perasaan saya, apabila diajukan pertanyaan kepada meraka, besar nanti anak mahu menjadi apa? Dengan tangkas tanpa ragu, anak-anak itu mengatakan ‘saya mahu menjadi cikgu..saya pula nak jadi polis’. Alhamdulillah..hati saya terus berkata..akan ku doakan moga anak-anak ini berjaya untuk menjadi guru mendidik anak bangsa serta menjadi polis untuk menjaga keselamatan negara. Antara kami ada yang berlinangan air mata kerana anak-anak ini mempunyai cita-cita, walaupun dihimpit kemiskinan mereka masih menaruh harapan untuk berjaya dalam kehidupan.

Saya berkeyakinan, anak-anak ini boleh berjaya kerana di sekeling mereka ada guru-guru yang mendidik mereka dengan penuh kasih dan sayang. Khidmat bakti dicurahkan beserta dengan perasaan belas kasihan. Ya cikgu sekalian, usah dihampakan harapan anak-anak kecil itu, mereka memerlukan perhatian dan didikan agar cita-cita mereka akan menjadi kenyataan. Pastinya kita tidak mahu melihat kehidupan mereka terus dibelengu dengan kesusahan dan kesempitan. Alangkah bahagianya saya seandainya suatu hari nanti saya mendapat khabar berita bahawa anak-anak di Telupid yang pernah saya berjumpa telah berjaya mencapai cita-cita.

Buat cikgu yang sentiasa sabar dan komited dalam memberi didikan, saya merayu agar tidak jemu untuk mencurahkan kasih sayang kepada murid-murid yang dahagakan perhatian. Saya teringin untuk berkongsi serangkap kata-kata azimat sebagai pendorong untuk mu cikgu dalam melaksanakan tugasan. Hayatilah cikgu catatan yang saya petik dari sekolah di daerah Telupid yang sangat terkesan apabila dibaca:

Sebelum saya mengajar, saya membuka hati pelajar. Kalau belum ada hubungan antara hati saya dengan pelajar, saya belum boleh mengajar.Saya harus membuka hati mereka dahulu. Apabila hati telah terbuka dan saya memasukkan sesuatu ilmu barulah datang kenikmatan sebagai seorang guru. Saya mengajar tanpa menganggap untuk mencari makan. Saya anggap ia satu bakti dan cabaran bagi saya”.

Syabas cikgu. Anda mampu melakukannya dan anda berupaya dan boleh mendidik anak-anak daripada tidak tahu apa-apa kepada boleh membaca, menulis dan mengira. Bantulah anak-anak itu, kerana mereka ingin berjaya untuk mengubah kehidupan keluarga. Moga hasrat dan impian mereka tidak menjadi sia-sia.

Berat sungguh hati ini untuk meninggalkan anak-anak di Telupid. Saya berjanji dengan diri sendiri seandainya panjang umur dan murah rezki saya berhasrat untuk ke Telupid lagi bertemu dengan anak-anak yang saya tinggalkan tempoh hari. Saat meninggalkan Telupid membuatkan saya termenung sendiri. Hebat sungguh anak-anak di sini, semangat mereka begitu tinggi, kekentalan jiwa mereka telah teruji.

Kami bertolak ke Sandakan pada jam 8.00 malam. Dalam perjalanan sebelum tiba di Beluran, salah sebuah kereta yang membawa kami terlanggar lubang menyebabkan tayar pecah di tengah hutan. Kami diberikan sedikit ujian sebelum berangkat pulang. Kami terasa lapar, Alhamdulillah ada biskut untuk mengalas perut dan diagihkan sekeping seorang kerana kami kesemuanya lapan orang. Dalam pemikiran saya terus teringatkan sebilangan anak-anak yang saya tinggalkan di Telupid, saban hari ke sekolah dalam keadaan letih kerana kelaparan dan berjalan jauh untuk ke sekolah tanpa kenderaan. Anak-anak di Telupid tidak mungkin saya lupakan kerana di sana kasih telah tercurah dan bakti ingin disemai. Moga kita dapat berjumpa lagi..dalam agenda yang lain pula jika diizin Ilahi. Doa restu mengiringi agar anak-anak kalian berjaya mengapai impian. Telupid dalam ingatan.

Bertemu lagi…

Saturday, March 5, 2011

Pengorbanan dan Pengertian

Bismillahirrahmanirrahim…

Minggu hadapan saya akan ke Tongok, Sandakan Sabah kerana bertugas luar. Kebiasaan pada awal tahun sebegini, kami agak semput. Pelbagai tugas yang perlu dirancang dan disempurnakan mengikut jadual. Kedengaran mudah tetapi tanpa perancangan yang teliti perkara yang mudah juga akan menjadi payah. Terbang jauh ke bumi Sabah pastinya pelbagai pengalaman yang boleh dikutip apatah lagi tempat yang dituju tidak pernah dijejak. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar kawasan Tongok walaupun hampir keseluruhan Sabah telah saya pergi. Saya mengandaikan Tongok adalah kawasan pedalaman, mungkin perjalannya amat jauh dan memerlukan sampan kerana terpaksa merentasi sungai.

Setiap kali bertugas luar, perkara yang sukar untuk saya lakukan ialah memberitahu anak bongsu saya Amirah bahawa saya tidak akan berada disisinya selama empat hari. Saya perlu memilih waktu yang sesuai untuk menjelaskannya kerana bimbang emosinya terjejas. Betapa saya amat memerlukan pengertian daripada keluarga tersayang kerana apa yang saya lakukan merupakan satu kewajipan. Keluarga perlu mengerti bahawa pemergian saya bukan untuk bersuka ria atau sekadar melancong sahaja. Pergi saya sarat dengan tanggungjawab dan amanah demi pendidikan anak bangsa. Alhamdulillah setakat ini, sokongan sentiasa diperolehi walaupun jauh di sudut hati mereka amat memerlukan saya di sisi. Terima kasih atas pengorbanan dan pengertian kerana ummi sememangnya amat memerlukan sokongan kalian. Moga anak-anak ummi mengerti dan memahami, bahawa ummi juga mengorbankan kerinduan untuk bersama anak-anak tersayang.

Dalam melasanakan tugas, adakalanya saya perlu mendengar, memerhati dan berbicara. Saya perlu menerima hakikat bahawa tidak semua butir perkara yang keluar dari mulut kita orang lain suka mendengarnya. Kemungkinan ada yang tidak menyenangi kita, maka terimalah secara berlapang dada kerana kita manusia memang ada yang berbeza. Kalau perbezaan yang ada diperbesarkan, maka titik pertemuan akan sukar diketemukan.

Alangkah baiknya sekiranya ada yang memberitahu tentang kelemahan diri kita. Telus lebih baik daripada berahsia kerana dibimbangi kita asyik dengan diri sendiri merasa disayangi dan disukai. Bagi saya sendiri, keseronokan dan kegembiraan untuk diri sendiri sudah tidak terkejar lagi. Dalam kehidupan kebahagiaan dan kegembiraan anak-anak sahaja yang menjadi penyejuk hati. Kesedihan dan kelukaan yang anak alami amat mengguris hati. Moga anak-anak sentiasa dirahmati dan kehidupan mereka diberkati.

Sesungguhnya, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita miliki. Sepanjang lawatan saya ke pelbagai tempat dipelusuk negeri, kemiskinan dan kesengsaraan hidup sering saya temui. Tidur beralaskan papan dan makan pula beralaskan daun pisang sahaja. Bagaimana dengan diri kita..belum cukupkah dengan apa yang ada, bersyukurkah kita kepada Yang Maha Esa atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga. Seandainya Allah kurniakan kita rezki yang berlebihan, ingatlah juga kepada mereka yang memerlukan. Sedikit sedekah atau sumbangan yang dihulurkan akan diterima oleh mereka dengan penuh kesyukuran kerana pada wajah mereka terpampang segunung harapan.

Begitulah kehidupan. Setiap hari apa yang kita alami, pandang, dengar dan lihat di dalamnya terkandung pelbagai pengetahuan yang boleh dijadikan pengajaran dan membuatkan kita lebih mengerti tentang hakikat kehidupan di dunia ini. Kesedaran dan keinsafan akan lahir secara tanpa kita sedari apabila kita memandang dengan mata hati, dan berfikir dengan minda yang positif. Percakapan perlu dijaga dan usah diluahkan mengikut sesedap rasa. Hati-hati kerana dibimbangi ada hati yang terluka kerana kita tidak tahu akan penderitaan dan kepedihan kehidupan orang yang berada di sekeliling kita. Ingatlah, ketawa memanjang belum tentu melambangkan kegembiraan, senyuman menawan tidak menjamin ada kebahagiaan; dan keceriaan yang diserlahkan bukan lambang kepada ketenangan. Oleh itu, kita perlu mengenali dan memerhati serta berhati-hati kerana kita tidak mampu untuk menyelami apa yang terpahat di sanubari insan yang kita berinteraksi.

Anda dan saya, kita serupa. Ingin sekali membuatkan orang lain gembira tetapi adakalanya kita kecundang juga. Walau bagaimanapun awasi diri kita dalam menyayangi dam membenci sesorang agar kita tidak bertindak keterlaluan. Sayyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata “ cintailah kekasihmu sekadar sahaja, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadar sahaja, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti” .

Moga kita tidak cepat berputus asa dalam melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kita sekadar mampu merancang dan berusaha tetapi segala yang berlaku adalah atas kehendak dan keizinan Allah jua. Amin…

Bertemu lagi…

Sunday, January 23, 2011

Keikhlasan Persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim…

Pada minggu ini saya akan bertugas luar selama tiga hari. Tugasan ini sungguh mencabar kerana saya perlu memerhati, mendengar dan mengalami pelbagai situasi untuk mendapatkan maklumat yang sahih lagi terkini. Tugas sebegini menjadi lebih ringan seandainya tidak dilakukan secara berseorangan. Saling bekerjasama dan berkongsi dalam melaksanakan tanggungjawab menyebabkan tugasan yang dilaksanakan menjadi lebih mudah. Yang penting ahli pasukan mesti saling memahami, bersedia untuk bertolak ansur dan seterusnya komited terhadap tugas yang diamanahkan. Oleh itu, dalam melaksanakan tugasan sebegini kita amat memerlukan sahabat sekerja yang sanggup memberi dan menerima seadanya.

Sesungguhnya, dalam apa jua situasi nilai sebuah persahabatan begitu tinggi dan amat saya hargai. Dalam bersahabat, pelbagai ragam dan karenah yang kita hadapi. Kalau kita tidak pandai membawa diri adakalanya kita boleh terjerat sesama sendiri. Sama ada di pejabat atau di mana sahaja… kita perlu mengenali, dalam kalangan kita siapa yang kita boleh bergantung harap, yang boleh bersama kita pada waktu susah atau senang, atau pada waktu kita dalam keadaan kesempitan atau lapang. Usah kita mengharap semua orang menyayangi dan menyukai kita kerana kita manusia mempunyai keinginan dan persepsi yang berbeza. Pastinya ada yang tidak serasi bersama kita. Terimalah hakikat bahawa dalam diam ada yang sayang dan dalam keriuhan ada juga yang tidak menyukai dan sering menyakiti.

Walau bagaimanapun, saya rasa amat bertuah dan bersyukur kerana di pejabat terasa saya di kelilingi oleh adik-adik yang penyayang dan amat prihatin. Keikhlasan terpancar pada wajah mereka kerana mereka tidak pernah membiarkan saya sendirian sama ada di kala duka atau pun gembira. Saya amat memerlukan sahabat yang ikhlas dan berbudi tinggi kerana saya tidak mahu bersahabat dengan mereka yang manis dibibir mengeluarkan kata-kata tetapi di hati pula lain bicara. Sahabat sejati mampu menjadi cermin diri, keaiban kita dijaga, maruah kita dipelihara. Kesilapan dan kelemahan kita pula tidak dibiarkan begitu sahaja. Kesakitan kita turut dirasainya, dan kegembiraan kita membuatkan diri sahabat turut merasa bahagia. Kita yakin, seandainya kita berpura-pura dalam persahabatan, pastinya suatu hari kebenarannya akan terserlah jua.

Sebenarnya, kalau diri kita terlalu disayangi juga akan membuatkan kita rasa tidak selesa dan tidak gembira. Perasaan bimbang menguasai diri, takut tidak terbalas budi dan tidak mampu untuk menjaga hati. Saya mahukan sahabat seikhlas hati, bukannya sahabat yang mempunyai agenda yang tersembunyi. Dalam persahabatan, biarlah kita saling menyangi dan mengasihi kerana Allah Yang Maha Esa. Seandainya kita menyayangi dan mencintai seseorang berlebihan, dibimbangi kita tidak dapat mengawal perasan seandainya orang yang kita sayang pergi meninggalkan kita. Berpadalah dalam menyayangi dan mengasihi agar diri kita tidak tersungkur pada kemudian hari.

Dalam menjalin persahabatan perlu ada batas dan sempadan apatah lagi yang bergelar isteri atau suami orang. Banyak sudah kedengaran cerita, teman sepejabat dijadikan kekasih sementara sekadar teman untuk bermesra. Lebih baik berwaspada, kerana bimbang nanti berputik pula perasaan cinta, rasa rindu mula melanda dan kesannya kehidupan menjadi tidak tentu hala. Justeru berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga, elakkan diri daripada bermain dengan perasaan kerana kita semua sudah dewasa, kepercayaan yang diberi usah dipersiakan. Kalau kedapatan antara kita yang tersilap langkah kerana menurut kehendak nafsu, segeralah kembali ke pangkal jalan agar tidak berterusan hanyut dibuai gelombang. Bimbang nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula akan keciciran.

Jalinan persahabatan dan berkasih sayang, pastikan ianya tidak menyimpang dan tersasar daripada landasan. Memadailah berkasih sayang kerana Allah dan bersih daripada kepentingan diri demi faedah diri sendiri. Persahabatan yang tulus hanya mengharapkan keredhaan Ilahi. Seandainya kita gagal membetulkan niat, nilai persahabatan akan menjadi sia-sia dan dikhuatiri akan memudaratkan diri kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Allah Azza Wajalla berfiman :’ orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku mereka mempunyai manabir (beberapa mimbar) dari cahaya, para nabi dan syuhada ‘ menyukai mereka ‘ (Riwayat At-Tirmidzi)

Anda dan saya, memang sukar dan payah untuk mencapai darjat cinta kerana Allah. Tiada yang mampu mencapainya kecuali orang yang benar-benar bersih jiwa dan hatinya. Marilah sama-sama kita berusaha untuk mencari cinta sejati yang hakiki iaitu mencintai Allah dan Rasul melebihi daripada segalanya. Moga cinta kita berasaskan kecintaan kepada Yang Maha Esa, mudah-mudahan kejernihan kasih sayang kita sentiasa terpelihara. Amin…

Bertemu lagi…

Monday, January 10, 2011

Minda Positif

Bismillahirrahmanirrahim…

Dalam kehidupan, ujian demi ujian yang terpaksa dihadapi, cabaran demi cabaran sentiasa menguji diri. Masalah yang melanda sering membuat kita tidak keruan. Apabila memikirkan kesulitan dan kesusahan pastinya semua kerja tidak menjadi. Sememangnya kita tidak sukakan masalah, ingin menjauhkan diri dari masalah dan tidak mungkin kita sendiri yang sanggup mencari masalah. Kadangkala pada saat tenang, tiba-tiba ribut melanda. Ujian bukan diminta tetapi ia datang tanpa diundang dan secara tiba-tiba.

Bagi saya ujian hidup menjadi lumrah, kerap diuji dan teruji, Alhamdulillah saya masih mampu bangkit sehingga kini. Untuk mendapat kekuatan bukannya mudah, ada ketikanya sedih tidak terkira dan hampir berputus asa apatah lagi seandainya ujian daripada anak yang tercinta. Bagi seorang ibu, segala sanggup dikorbankan demi anak-anak tetapi adakah anak –anak sanggup berkorban demi kebahagiaan dan kegembiraan ibu bapa. Alangkah malang seandainya anak hanya memikirkan tentang diri sendiri, apabila masalah melanda barulah ibu bapa yang dicari. Ya…begitulah kesahnya baru satu masalah dalam keluarga belum termasuk masalah di tempat kerja atau masalah dengan saudara mara, manakala masalah diri sendiri bagaimana pula agaknya.

Saya masih teringat, ustaz dalam program motivasi pagi tadi menjelaskan bahawa apa jua masalah yang menimpa, pastikan ianya diterima dan tangani ia secara positif. Seandainya diri kita terlalu memikirkan tentang masalah dan kesusahan pastinya kekecewaan sentiasa menguasai hati. Kenapa dibiarkan diri dan fikiran kita untuk memikirkan perihal yang membuatkan kita berada dalam kerisauan sedangkan hidup mesti diteruskan. Kenapa kita terlalu memikirkan sesuatu yang boleh membuatkan kita merana dalam kehidupan..bangkitlah kita mulai dari sekarang, mengambil ujian sebagai cabaran untuk membuatkan diri kita hari ini, lebih baik daripada semalam.

Yang penting pastikan diri kita tidak melakukan kesilapan. Tidak berkata benar boleh membuatkan orang lain hilang kepercayaan dan keyakinan. Dalam kehidupan kejujuran dan keikhlasan amat diperlukan kerana nilainya tinggi tiada tandingan. Biasakan diri kita untuk berfikir dan bertindak secara positif supaya masalah yang melanda dapat dikurangkan, ujian yang menimpa dapat memberi kekuatan serta cabaran yang dihadapi dijadikan pendorong dan semangat agar terus bermotivasi. Sangat penting untuk mengurus masalah secara berkesan.

Pemikiran positif boleh membantu kita untuk membangunkan diri. Kalau kita tidak dapat berdiri sendiri, carilah sahabat sejati untuk membantu diri agar sentiasa berfikiran positif. Teguran sahabat dapat dijadikan pembakar semangat. Dalam persahabatan amat penting saling menegur demi untuk kebaikan. Usah berkecil hati atau memarahi, setiap peringatan atau teguran hendaklah diambil secara positif… berlapang dada itulah yang paling utama. Seandainya sahabat menegur tentang sifat buruk kita, berterima kasihlah kepada mereka, usah melenting dan bermasam muka. Teguran itu ibarat orang memberitahu bahawa dalam baju kita ada binatang yang berbisa. Dek perasaan sayang, sahabat tidak mahu diri kita terus menderita kerana dibimbangi binatang tersebut menggigit dan sakitnya pasti tidak terhingga. Sahabat sebenarnya tidak sanggup melihat kita berterusan menderita.

Saya sendiri pernah dianggap cuba menganggu, mengongkong dan menghalang walaupun tindakan yang diambil kerana dalam diri ini ada perasaan sayang tidak mahu sahabat berterusan melakukan kesilapan. Usah lah menjadikan diri kita dalam kalangan orang yang tidak mahu mendengar nasihat sebagaimana yang dijelaskan oleh dialog Nabi Saleh a.s kepada kaumnya yang dimuatkan dalam dalam al-Quran iaitu Firman Allah SWT yang bermaksud “ Dan aku telah memberi nasihat kepadamu, tetapi kamu tidak menyukai orang yang memberi nasihat” (Surah Al-A’raf :79).

Anda dan saya, kita sama tetapi tidak serupa. Mungkin kita jenis boleh menerima teguran seadanya dan kedapatan mereka yang amat sensitif dan cepat terasa. Teguran dan nasihat perlu diteruskan tetapi yang penting hikmah dan bijaksana agar tidak tercalar hati akibatnya mungkin sahabat menjauhkan diri.

Moga kita sentiasa berfikiran positif, memikirkan segala kebaikan disebalik setiap ujian, menerima teguran dengan penuh keikhlasan kerana dalam kehidupan amat penting untuk mengurus emosi dan juga perasaan agar kita tidak hanyut dan boleh membuatkan diri kita kecundang. Berbekalkan perasaan sayang sesama insan serta keluhuran hati yang tiada batasan, marilah kita saling menasihati demi kebaikan. Moga Allah memberi kekuatan untuk kita terus berpesan dengan kebenaran dan sifat mahmudah sentiasa dijadikan perhiasan diri agar diri kita lebih disayangi dan dihormati. Amin…

Bertemu lagi…