Friday, May 7, 2010

Betapa Kita Tidak Menghargai

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini entah kenapa saya tertinggal kaca mata di pejabat. Maknanya saya tidak akan mampu membaca kerana tidak nampak…apa lagi untuk menulis. Ya..ini baru sedikit nikmat yang Allah tarik, tanpa cermin mata kepala terasa pening, semua tidak kena disebabkan kelam sungguh penglihatan dan kabur pandangan. Betapa hebat kurniaan Alah…betapa tak ternilainya nikmat Allah tetapi kenapa kita semua sebagai hamba masih tidak sedar bahawa apa yang ada pada diri kita bukannya kita yang punya tetapi dipinjamkan oleh Allah untuk kita jaga dan pelihara dengan sempurna. Adakala kita menjadi tamak haloba seolah-olah apa yang ada semuanya hak milik kita kerana kita berusaha mendapatkannya. Sungguh merugikan kerana kita sering terlupa segala yang kita miliki dan segala apa yang ada di dunia adalah milik Allah jua yang dipinjamkan secara sementara kepada kita. Kekayaan adalah suatu ujian, kesenangan hidup juga ujian, harta dan pangkat juga merupakan satu ujian, apatah lagi kemiskinan dan kesulitan. Ia sekadar untuk menguji keimanan, mampukah kita menghadapinya dan bersediakah kita untuk berdepan dengannya tanpa apa-apa bekalan?

Saban hari kita sering didedahkan dengan berita yang sensasi, amat menakutkan yang dilalui oleh generasi masa kini. Siang tadi saya terbaca berita pelajar 16 tahun melahirkan bayi di tandas klinik selepas mengadu sakit perut kepada guru dan rakan di sekolah. Saya terfikir di dalam hati, betapa hairannya saya kenapa perubahan diri pelajar tersebut tidak disedari oleh keluarga, ibubapa serta jiran tetangga apatah lagi guru-guru yang setiap hari masuk ke kelas silih berganti. Suatu situasi yang sunguh memilukan, kemanakah sifat mengambil tahu atau ambil berat yang ada pada diri kita, anggaplah anak orang juga seperti anak kita, bukankah umat Islam semuanya bersaudara. Kebimbangan kita sekiranya keadaan sebegini dibiarkan berterusan, maka akan lahirlah lebih ramai generasi yang tidak berbapa dan mungkin kita tidak tahu asal usulnya.

Kenapa remaja sekarang sanggup bertindak sebegitu rupa. Fenomena sebegini sungguh merisaukan kerana kita semua mahu bergerak maju ke hadapan tetapi kita terlupa membawa bekalan iman dan ketaqwaan menyebabkan diri anak remaja tidak mampu bertahan menghadapi godaan hawa nafsu kerana yang diutamakan adalah keseronokan. Ya..sungguh mengharukan. Bagaimanakah kita ingin melahirkan generasi Al-Quran sendainya penyakit sebegini dibiarkan menular tanpa sekatan. Dulu sewaktu zaman kanak-kanak di kampung, prasyarat utama anak-anak perlu khatam Al-Quran sewaktu di sekolah rendah sebelum melangkah ke sekolah menengah. Begitulah hebatnya didikan yang saya terima daripada ibubapa yang tidak pernah bersekolah. Ya..kalau benar cintakan Allah, jadikanlah Al-Quran penyuluh hidup, istiqamah membaca Al-Quran setiap hari, kalau tidak boleh banyak memadailah satu muka surat sehari. Firman Allah SWT; “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhanmu, dan kami pula telah menurunkan kepada kamu Al-Quran sebagai nur cahaya yang menerangi segala apa yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak” (Al-Nisa’ :174). Yakinlah Al-Quran merupakan pemangkin dan tonggak terhadap kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Oleh itu, saya dan anda elakkan diri kita daripada menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan di dinding semata-mata. Amat menyedihkan seandainya alunan Al-Quran kedengaran sekadar untuk mengiringi jenazah pada hari kematian sahaja. Al-Quran penawar jiwa yang duka lara, pengubat hati agar tidak terus mati dan penunjuk arah agar kehidupan kita diredhai dan dirahmati. Justeru semestinya ia menjadi santapan rohani setiap hari. Anda dan saya bermula pada hari ini, marilah kita bersama-sama berikrar untuk membaca Al-Quran saban hari kerana Al-Quran adalah kalam Allah SWT dan membacanya merupakan satu ibadat. InsyaAllah..mudah-mudahan kita menjadi manusia yang beriman, yang mengenali Allah, bertaqwa kepadaNya dan natijahnya diri kita akan dapat mengecapi nikmat cinta yang sejati, iaitu cinta kepada Allah yang maha pengampun lagi maha penyayang. Moga saya dan anda istiqamah membaca Al-Quran setiap hari dan jadikan ia satu kemestian yang perlu dilaksanakan, insyaAllah...

Bertemu lagi...

Thursday, May 6, 2010

Isteri, Ibu & Pekerja

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam lewat petang baru saya pulang ke rumah kerana mesyuarat berlanjutan sehingga jam 5.30, maklumlah banyak perkara yang dibincangkan termasuk perkongsian ilmu dan juga maklumat. Sepanjang perjalanan dari Putrajaya ke Taman Ibu kota, doa dipohon agar saya selamat sampai ke rumah. Tiba di rumah tiada lagi gelaran Dr, tiada lagi Penolong Pengarah, semuanya saya tinggalkan di luar pagar kerana peranan dan tanggungjawab saya sudah berubah sebagai isteri dan juga ibu pengurus rumah. Melihat wajah anak, hati gembira, kepenatan pun hilang…walaupun perjalanan jauh menempuh kesibukan lalu lintas yang penting semuanya selamat, Alhamdulillah...

Setiba di rumah bukannya boleh terus berehat kerana tiada pembantu rumah yang membantu meringankan tugas. Seronok masak dari air tangan sendiri kerana ganjaran pahala sentiasa menanti. Ya apabila memikirkan diri sendiri, kadangkala hiba juga rasa di hati...penat bekerja saban hari hinggakan tiada masa untuk diri sendiri. Sebagai seorang ibu dan juga isteri, pasti sangat mengharapkan suami dan anak-anak memahami agar terhiburlah sedikit rasa di hati. Untuk semua para suami, sewajarnya perlu bersedia untuk berkompromi, berkongsi dalam menguruskan rumahtangga dan bersyukurlah kerana isteri sanggup bekerja untuk membantu ekonomi keluarga. Kepenatan isteri tidak pernah diadukan kepada suami kerana isteri mengharapkan suami mengerti, tidak perlu dijelaskan secara terperinci, kelesuan dan riak wajah isteri telah menterjermahkan segalanya..yang penting suami perlu sentiasa prihatin.

Dalam kehidupan penting sekali saling memberi kemaafan, disulami dengan kasih sayang dan bukan saling mempertahankan walaupun ia bukannya satu kebenaran. Jangan sesekali bertindak mengikut perasaan, berlandaskan nafsu marah dan pujuk rayu syaitan kerana kita bimbang kesannya berlarutan dan berpanjangan, sepanjang hidup jiwa tertekan dan diselubungi pula rasa terkilan. Semalam kita dikejutkan dengan berita yang menyesak dada apabila membaca iaitu “suami memijak dan menghentak kepala isteri sehingga menemui ajal akibat cemburu yang tidak dapat dikawal". Walau apapun kesalahan dan kesilapan isteri, sebagai suami sewajarnya mengawal nafsu ammarah, usah bertindak melulu mengikut gelora di dada kerana dikhuatri akan membawa padah dan pasti akhirnya menyesal tak sudah. Sebagai suami, kalau tidak mampu lagi meneruskan kehidupan bersama isteri kerana tiada lagi perasaan sayang dan cinta di hati, usah bertindak kejam terhadap isteri kerana bagi isteri syurganya bergantung kepada keredhaan suami dan juga keredhaan Ilahi. Maka sekiranya hubungan tidak boleh di selamatkan lagi, lepaskan isteri secara terhormat bukannya disimpan tanpa belas kasihan kerana isteri juga mempunyai perasaan, tidak sanggup menanggung dosa secara berterusan. Kadangkala kita juga merasa hairan kenapa institusi keluarga sekarang seolah-olah tiada bertunjang, begitu rapuh dan sering berentakan. Bukannya penceraian yang diharapkan kerana Nabi SAW bersabda “Perkara halal yang dimurkai Allah adalah perceraian suami isteri”. (Riwayat Abu Daud). Isteri pula perlu teliti, jangan bertindak sesuka hati, elakkan daripada mengikut emosi, silap sedikit terus berapi, kalau hendak memohon cerai perlu berhati-hati kerana bimbang tidak berbau syurga pula nanti. Rasulullah SAW bersabda “Siapa sahaja perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu sebab yang dapat dibenarkan, maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga”. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Ya..sama ada yang bergelar suami atau isteri, ibu atau ayah, kita ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, amanah yang perlu ditunaikan dan tanggungjawab kepimpinan yang perlu dilunaskan. Setiap kita adalah pemimpin, sama ada sebagai pemimpin rumahtangga atau pemimpin di tempat kerja tetapi yang penting laksanakan tanggungjawab kepimpinan terhadap orang yang kita pimpin kerana ada hak mereka ke atas kita. Saya dan anda jangan ambil mudah tentang tanggungjawab kita sama ada sebagai suami, isteri, ibu atau bapa serta majikan kepada pekerja kerana kita tidak akan terlepas begitu sahaja tetapi akan dipersoalkan dan diperhitungkan di akhirat kelak. Marilah kita melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan sebaik mungkin agar kehidupan kita mendapat keberkatan, dirahmati Allah sepanjang hayat dan sebagai bekalan untuk akhirat. Moga anda dan saya sentiasa di bawah perlindungan dan hidayah Allah...

Bertemu lagi...

Wednesday, May 5, 2010

Peramah vs Pendiam

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini saya agak sukar untuk melelapkan mata. Maklumlah seharian bersama teman di tempat kerja, kadangkala saya terfikir dan bimbang pula kalau ada yang tersalah kata, tersilap bicara dan terkasar bahasa hingga menyebabkan teman-teman saya terluka dan menjeruk rasa. Maklumlah hati teman perlu dijaga dan dipelihara. Rasa hormat tidak boleh dipaksa, kita tidak boleh meminta orang lain mengikut telunjuk kita apatah lagi untuk menerima sahaja apa idea kita. Saya sering tertanya, adakah betul apa yang saya kata kerana kebimbangan sentiasa meronta di jiwa, mungkin timbul salah penerimaan dan pentafsiran hingga mengakibatkan hubungan yang tersedia erat menjadi renggang. Di sini saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas sebarang kesilapan yang saya lakukan kerana ia tidak disengajakan. Anda dan saya saling memerlukan untuk menyelesaikan segala tugasan, kerana kita mempunyai kekuatan yang tersendiri dan yang paling penting saling melengkapi. Mudah-mudahan kita tidak pernah serik untuk berurusan kerana kita ada tanggungjawab yang perlu disempurnakan.

Untuk berdiam diri kadangkala kita tidak mampu, apatah lagi sekiranya kita ditakdirkan menjadi seorang yang peramah, suka berbicara dan berkenalan dengan sesiapa sahaja kerana kita memang suka berkawan. Tidak salah berkawan dan tidak salah berkenalan. Apa yang penting, hiasi tutur kata, perindahkan bicara agar ia tidak menyakiti hati orang yang mendengar. Hindari unsur sinis dan menempelak, kerana ia mengguris hati dan perasaan serta akan mencetuskan pergeseran. Elakkan daripada berkata sembarangan yang tidak mendatangkan faedah sebaliknya yang diperolehi hanyalah musibah. Waktu marah, lebih baik diam kerana perkataan yang kurang sopan dan menyakitkan mencerminkan keperibadian seseorang. Ketepikan jenaka sia-sia kerana membuatkan orang sering ketawa bukan baik kesannya. Natijahnya, kita bimbang hati menjadi lagha dan kita sering alpa dan leka. Kita tidak mahu dek kerana tersilap bicara, kita akan dibenci manusia lain di dunia dan yang peritnya kita mendapat kemurkaan Allah yang tiada tandingannya.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Ya..kadangkala berdiam diri lebih baik daripada kita berkata-kata sekiranya ia boleh mendatangkan dosa. Berdiam diri lebih menyelamatkan diri kita daripada kita berbicara yang tidak mendatangkan faedah, yang boleh menyakiti orang lain, menjerat diri kita ke dalam golongan si pengumpat dan seterusnya membawa diri kita kepada berbicara yang tidak benar belaka. Diam-diam ubi biarlah berisi. Berbicara apabila situasi memerlukan sahaja. Hati-hati berbicara agar ia dapat memberi manfaat kepada semua pendengar baik kawan mahupun lawan. Nabi saw bersabda; “Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya nerakalah lebih utama baginya..” (Riwayat abu Naim).

Saya ingin mengajak anda bersama saya agar kita sama-sama berusaha untuk berfikir sebelum berbicara, berhati-hati apabila melontarkan kata-kata, mengambilkira intonasi apabila mengeluarkan tutur bicara dan jangan lupa menilai aspek bahasa. Kita sedia maklum bahawa tidak semua orang sama macam kita, manusia dijadikan Allah berbeza bukan sahaja dari segi rupa paras, warna kulit dan jantina tetapi juga cara berfikir, cara menginterpretasi dan cara penerimaan terhadap sesuatu perkara sama ada positif atau sebaliknya..semuanya adalah mengikut selera, mengikut cita rasa terpulang kepada diri sendiri…yang penting bersangka baik akan menyelamatkan kita daripada bersengketa atau berlakunya perang dingin tanpa kita sedari. Ya..sama-sama kita mencari kelemahan dan kekurangan diri sendiri agar kita boleh memperbetulkannya dan jangan biasakan diri kita mencari kesalahan orang lain kerana ia membuatkan kita merana.. Saya dan anda, sekadar muhasabah diri ‘menasihati orang yang bersalah, tidak salah tetapi yang salah ialah memikirkan kesalahan orang lain’. Fikir-fikirkan...

Bertemu lagi...