Monday, May 31, 2010

Mengapa dan Kenapa: Remajaku Jadi Begini?

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya bersama rakan sepejabat sempat bersembang seketika apabila membaca isu semasa yang sungguh mengguris jiwa…apa nak jadi dengan anak-anak remaja kita bakal pemimpin generasi akan datang yang berterusan tersilap langkah dan ramai pula yang mengandung anak luar nikah, apabila dilahirkan tidak kenal siapa ayah, maka anak ditinggalkan, dibunuh dan ditanam.. Betapa nyawa menjadi pertaruhan..maka hiduplah mereka berpanjangan bergelumang dengan dosa yang berterusan kerana hilang sudah arah tujuan. Situasi ini terjadi adakah kerana tiada lagi yang sudi menghulurkan bantuan untuk memberi bimbingan walaupun banyak mata yang memandang juga telinga yang mendengar atau diri sendiri tidak ingin melakukan perubahan kerana asyik melayari keseronokan, kembalilah ke pangkal jalan demi kehidupan pada masa hadapan.

Kerisauan sahaja tiada faedahnya, yang penting sekarang ialah apa yang sebenarnya patut kita lakukan..untuk membantu remaja sekalian, penyakit yang menular usah dibiarkan kerana bimbang mudaratnya lebih besar terhadap sekalian penghuni alam. Ibu, ayah, jiran tetangga serta ahli masyarakat, bagaimana sewajarnya kita memulakan langkah untuk membendung penyakit remaja yang bertindak mengikut selera dan hawa nafsu ini daripada berterusan menguasai diri? Betapa sekarang jelas sudah, kedapatan anak-anak remaja kita gagal mengawal diri, hati dan peribadi..ke mana hilangnya harga diri. Bagi kita, sudah pasti ada tanggungjawab yang perlu dipenuhi mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berkualiti dalam aspek jasmani dan juga rohani kerana kehidupan kita bukan berakhir di sini, akhirat sedang menanti. Bukan masa untuk menunding jari, siapa salah, siapa benar kerana yang paling utama ialah bagaimana untuk mengatasi dan menghulurkan khidmat bakti bagi membantu mengatasi gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.

Untuk anak remaja sekalian...ingin sekali ummi berpesan, hati-hati dalam tindakan, jagalah batas pergaulan, etika pakaian jangan dipermudahkan, menutup aurat satu tuntutan agar diri terpelihara daripada mata liar yang memandang dan yang suka mengambil kesempatan. Duhai anakku, ummi merayu..maruah keluarga perlu dipelihara..kesilapan ibu ayah usah diambil kira kerana betapa besarnya pengorbanan mereka..yang diharapkan hanyalah kebahagiaan anak-anak dan mereka tidak pernah meminta.

Anak-anak sekalian..dengan rasa rendah diri ummi memohon, pilihlah rakan yang bukan tujuan untuk berseronok dan bersuka ria sahaja tetapi carilah sahabat yang boleh membawa anak ummi kepada kebaikan dan saling berpesan dengan kebenaran. Semalam ummi terkejut membaca akhbar, umur masih muda tetapi merelakan tubuh untuk dijamah kerana katanya ketagih sudah. Sedih sungguh hati ummi membaca berita yang begitu sensasi..Ya anak-anak belum terlambat lagi, mulakan langkah carilah orang yang boleh membantu..luahkan saja apa yang terbuku..kerana antara kita masih ada yang prihatin dan penyayang yang bersedia untuk mencurahkan kasih sayang sekiranya anak memerlukan. Jangan biarkan diri hanyut dengan godaan syaitan..apabila bersendirian dalam keadaan resah gelisah dan kegusaran..solat lima waktu jangan diabaikan, baca Al-Quran usah dilupakan..InsyaAllah, yakinlah akan terjelma ketenangan hati serta jiwa yang berpanjangan sebagai penawar segala kelukaan dan kekecewaan.

Rasulullah SAW bersabda; “Tidak mungkin berkumpul iman dan kufur dalam jiwa seseorang, dan tidak mungkin pula bersatu sifat jujur dan dusta padanya sekali gus sebagaimana tidak mungkin bersama sifat khianat dan amanah padanya dalam satu masa” (Hadis Riwayat Ahmad).

Untuk anak ummi dan anak remaja sekalian..belum terlewat untuk memperbetulkan kesilapan kerana ibu bapa dan masyarakat tetap sudi menerima dengan penuh kasih sayang..asalkan diri mahu lakukan perubahan serta pembaharuan. Mohonlah taubat apa yang salah dan tersilap kerana Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Anda dan saya, usah kita memejamkan mata..atau sekadar melihat masalah yang berlaku di sekeliling kita. Gejala buang bayi amat menggerunkan kita, bantulah anak remaja apa yang terdaya, bukan kita hendak menjaga tepi kain orang lain..tetapi kini apa yang berlaku tempiasnya tetap ada walaupun mereka bukan anak-anak kita tetapi umat Islam tetap bersaudara..anggaplah anak orang seperti anak kita kerana tiada ibu bapa yang merelakan anak-anak menjadi porak peranda dan ditimpa masalah yang tidak terduga. Sesungguhnya kepada Allah kita bergantung harap agar kita diberi kekuatan untuk terus membantu mereka yang sangat memerlukan.

Bertemu lagi...

Sunday, May 30, 2010

Enggan Memberi Seronok Menerima

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap hujung minggu seperti biasa, sambil menyediakan sarapan antara jam 7.00 hingga 8.00 pagi saya setia di hadapan televisyen untuk bersama program Tanyalah Ustaz. Perbincangan hari ini sungguh menarik minat saya, “Seronok Memberi” itulah tajuk yang dibual bicara. Alhamdulillah..dapat jugalah ilmu untuk pengisian rohani, pengubat jiwa dan hati. Apabila mendengar pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh pendengar, menyebabkan kita turut sama belajar melalui pengalaman orang lain. Bagaimana menjalani pelbagai liku kehidupan yang terbentang dan yang paling penting proses dan persediaan bagi menghadapi dan mengatasi setiap rintangan. Seandainya kita tiada pengalaman dan pengetahuan untuk membuat keputusan dan menguraikan segala kekusutan, bergurulah dengan orang lain yang memiliki pelbagai bidang kepakaran kerana kalau malu bertanya kita akan sesat jalan selamanya.. Belajar dan terus belajar kerana yang paling penting tanamkan perasaan cinta yang mendalam kepada ilmu agar ia membuatkan kita sentiasa tercari-cari dan merasakan diri masih ketidakcukupan setiap hari dengan ilmu Allah yang luasnya melebihi lautan.

Terdetik juga di hati saya..alangkah cantiknya kalau kita seronok memberi, bukan asyik menadah tangan untuk menerima kerana kalau sentiasa menerima menunjukkan betapa lemahnya diri kita...berterusan mengharapkan bantuan, belas ihsan dan pertolongan sama ada dalam bentuk wang ringgit, melaksanakan tugasan untuk memenuhi sesuatu tujuan atau bagi merealisasikan matlamat yang dicita-citakan. Kadangkala tugasan yang diamanahkan kepada kita, diserahkan kepada orang lain untuk menyelesaikan dan kita mahu bersenang lenang menerima hasil untuk diserahkan kepada majikan. Akhirnya diri sendiri yang rugi kerana tidak melalui proses pembelajaran serta mendapat pengalaman dalam menyempurnakan sesuatu tugasan secara terancang, sistematik dan berkualiti.

Sebenarnya tidak rugi kita memberi..kalau bukan wang ringgit, berilah masa, keringat tenaga, kemaafan, ilmu dan idea kepada sesiapa yang memerlukan. Kadangkala pernah kedengaran di telinga saya “..daripada kita bagi pada orang lain, lebih baik belanja untuk anak isteri..kita yang penat bekerja..senang-senang nak bagi..ini kan rezeki kita, banyak lagi keperluan lain yang boleh kita beli…masing-masing jaga keluarga sendirilah, kenapa nak menyusahkan orang lain..” Ya, berkira sungguh untuk memberi apa yang kita miliki kerana sangat takut berterusan rugi..kerana kita terlupa rezeki itu Allah yang bagi. InsyaAllah..usah risau sahabatku sekalian, semakin memberi semakin murah rezki dan kalau kita permudahkan urusan orang lain, InsyaAllah.. yakinlah Allah akan bantu mempermudahkan urusan kita mungkin caranya sahaja yang berbeza.

Masih ingatkah kita pada kisah sahabat zaman Rasulullah SAW; Abdurrahman bin Auf yang hartanya sungguh banyak tetapi sikapnya tidak melambangkan kekayaanya. Betapa tawadduknya beliau menjadi hamba Allah kerana tidak mahu menjadi hamba harta untuk kesenangan di dunia semata-mata. Pada suatu hari seorang sahabat berkata kepada Abdurrahman, “aku melihat hartamu terlalu banyak, bersedakahlah”. Jawab Abddurrahman, “aku sudah bersedekah…bagaimana hartaku hendak berkurang? Aku infakkan siang hari sebanyak 1000 dinar dan Allah memberikan aku 2000 dinar pada malam hari”. Ya sahabat sekalian, itulah nikmat memberi..Allah akan sentiasa cukupkan malah menambahkan lagi rezki kerana Allah amat suka terhadap orang yang suka memberi, bersedekah, ringan menghulurkan pertolongan, sering memberi sumbangan, meluangkan masa mendengar keluhan, tidak lokek memberikan salam dan menghulurkan senyuman dan sentiasa memberi kemaafan walaupun hatinya sering disakiti oleh teman dan musuh dalam diam.

Usah kita persoalkan keikhlasan hati orang yang memberi kerana itu rahsia Allah yang kita tidak ketahui dan tidak berupaya pula untuk mendasari..terpulanglah kepada pihak yang memberi untuk menilai diri sendiri. Adakah seronok memberi dan menabur budi kerana mengharapkan balasan dan penghargaan diri atau hanya mengharapkan ganjaran pahala sebagai bekalan pada hari akhirat yang bakal menjelang nanti. Sesungguhnya hanya tiga perkara yang tidak akan putus hubungan selepas kematian iaitu pertama, sedekah jariah yang kita lakukan untuk mempermudahkan urusan orang lain dalam kehidupan serta untuk memakmurkan alam; kedua, ilmu yang bermanfaat yang kita sebarkan dan ajarkan kepada orang lain yang berterusan diamalkan dan mendatangkan manafaat yang tidak berkesudahan; dan ketiga, doa daripada anak-anak yang soleh. Begitulah hebatnya hasil daripada nikmat memberi sedekah, memberi ilmu dan memberi didikan kepada anak-anak kerana faedah dan manfaatnya berpanjangan sehingga selepas kematian tidak akan terputus hubungan.

Saya dan anda..marilah kita mulakan langkah, banyak memberi kurang meminta..sudah banyak nikmat Allah yang kita terima kerana Allah tidak pernah berkira dan tidak memilih sesiapa…dengan segala yang ada pada kita baik keluarga, harta dan diri sendiri… Hati-hati dalam mentadbir dan mengurus segala yang dimiliki agar kita tidak tersasar kerana ditakuti mendatangkan dosa dan seterusnya mengheret kita ke dalam neraka kerana kita semua berusaha untuk masuk syurga. Firman Allah SWT; “Dan jika kamu ingin menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu) tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani" (Surah An-Nahl: 18).

Untuk hari ini dan seterusnya, anda dan saya marilah kita panjatkan doa kepada Allah Yang Maha Mengurnia. “Ya Allah bukalah pintu kebaikan dan tutupkan pintu kejahatan dan kemaksiatan buat hambamu ini, limpahkanlah lembayung rahmatMu yang berterusan ke atas kami kerana hambaMu ini memohon keredhaanMu dalam melayari kehidupan ini..” Amin...

Bertemu lagi...

Saturday, May 29, 2010

PUJIAN: Penyakit vs Penghargaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Cuti panjang hujung minggu ini saya mengambil peluang untuk bersama anak-anak di rumah di samping mengemas apa yang patut, maklumlah kalau hari bekerja saya tidak berkesempatan untuk menyelesaikan segala urusan tersebut dengan sempurna. Alhamdulillah anak saya bersedia untuk membantu, memadailah walaupun sekadar menyidai kain dan melipat baju, kerana itu pun sudah cukup untuk meringankan tugasan rutin saya. Anak-anak kalau dipuji sedikit sudah mencukupi, kesannya ringanlah tulang, tidak perlu disuruh berulang kali untuk membantu apa yang boleh. Terkenang sewaktu kecil dulu, saya juga begitu… Apabila dipuji semakin menjadi, yang tak disuruhpun hendak dibuat juga..kerana betapa bangganya dalam diri mendapat pujian yang tidak berbelah bagi daripada ibu dan juga bapa.

Begitulah lumrahnya manusia, pujian diberi kadangkala sebagai sumber inspirasi dan motivasi, pembakar semangat untuk terus memperhebatkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang perlu diterokai sepanjang kehidupan ini. Walau bagaimanapun pujian yang diberikan perlu daripada hati yang tulus ikhlas dan suci, bukan sekadar untuk mengambil hati atau ada udang di sebalik batu. Bagi saya, pujian kalau diberi sekali sekala tidak mengapa tetapi kalau terlalu kerap memberi pujian, khuatir pula penyakit lain yang menimpa. Ada baiknya kalau memberi pujian biarlah berpada-pada, kerana pada asalnya memang tidak ada apa-apa, tetapi mungkin akhirnya mewujudkan perasaan riak dan bangga diri tanpa diduga terhadap mereka yang dipuji. Usah terlalu puji memuji..kerana bimbang ia merosakkan hati, kalau sudah ditimpa penyakit sombong diri, amat sukar pula untuk diubati.

Sekadar untuk kita sama-sama meneliti, pujian yang diterima perlu ditapis, maklumlah risau juga kalau ia sekadar untuk membodek, atau untuk menguji…jadi mudah orang mengenali siapa sebenar diri kita, pantang dipuji terus lupa diri dan menjadi tidak keruan kerana merasakan betapa hebatnya diri. Oleh itu, hati-hati dalam menerima pujian, kerana kadang kala senjata makan tuan, kita enak menerima pujian, modal itu juga nanti yang akan digunakan apabila sudah tiada lagi persefahaman atau wujud perbalahan, yang menyebabkan hubungan menjadi suram.

Anda dan saya, elakkan daripada menghulurkan terlalu banyak pujian dan berwaspadalah apabila menerima pujian..yang boleh menyebabkan kita menjadi lalai dan leka, risau juga penyakit hati akan bertapak..kerana banyak kelemahan dan kekurangan yang kita ada. Pastinya lebih baik kita saling nasihat menasihati, untuk membina akhlak yang terpuji yang sekaligus dapat menghindarkan daripada penyakit bangga dan lupa diri, tentang kehebatan yang dimiliki. Ya kalau kita bersaudara..usah membuatkan sahabat dan saudara kita menjadi “syok sendiri” sampai terlupa akan kekurangan diri dan menyebabkan kita jauh daripada rahmat Ilahi.

Memberi pujian dan menerima pujian..kembalikan kepada yang hak kerana sehebat manakah diri kita sebagai manusia kerana segalanya dipinjamkan oleh Allah kepada kita buat sementara, dan Allah boleh mengambil balik pada bila-bila masa. Oleh itu, bersyukurlah dan peliharalah nikmat Allah sebaik mungkin dengan menggunakannya pada landasan yang betul untuk memakmurkan dunia sebagai bekalan untuk ke akhirat nanti. Segala puji hanya untuk Allah jua yang memberi kurnia tanpa dipinta. Firman Allah SWT; “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat." (Surah An-Nasr: 1-3).

Saya dan anda, kita serupa..sering mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa atas segala perbuatan, persahabatan dan keseluruhan perjalanan hidup kita kerana siapalah kita, kalau nikmat yang dikurnia sudah tiada. Moga-moga kita tidak tergolong dalam kelompok yang lupa akan asal usul kita, merasakan segala yang diperoleh atas usaha dan keringat sendiri sedangkan apa yang dimilki adalah atas kurniaan dan keizinanan Allah Yang Maha Memberi. Justeru, marilah kita sentiasa mengucap setinggi kesyukuran kerana Allah masih memberi peluang untuk terus muhasabah dan membaiki diri dalam tempoh waktu yang kita sendiri tidak ketahui kerana segalanya atas ketentuan Ilahi.

Bertemu lagi...