Friday, July 2, 2010

Kematian Itu Pasti

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang Rabu 30 Jun bersamaan 17 Rejab saya telah kehilangan seorang sahabat yang pernah berkhidmat di satu pejabat. Berita yang diterima amat mengejutkan maklumlah baru sehari lepas saya bersembang perihal dirinya bersama rakan-rakan. Paling menghibakan, pada hari selasa arwah sahabat saya sempat meluahkan perasaan tentang ujian yang dihadapinya termasuk ujian kesihatan dan juga kerja.

Alhamdulillah..saya berkesempatan menziarahi jenazah arwah di Masjid Universiti Putra Malaysia dan berpeluang pula mengiringi ke kubur. Saya amat teringin untuk mendengar talqin yang dibaca kerana sungguh menginsafkan apabila menghayatinya. Ya betapa peringatan yang dibaca oleh imam cukup bergetar, mengetuk hati dan jiwa dan InsyaAllah hati yang keras akan cair jua. Antaranya pesanan Imam muda; “Jika disoal, jawablah Islam itu Agamaku, Al-Quran itu peganganku dan Rasulullah itu ikutanku…. Sesungguhnya kehidupan dan keseronokan dunia sudah tiada lagi. Selamat tinggal sahabatku, moga dirimu ditempatkan di sisi orang yang soleh dan bertaqwa dan rohmu dicucuri rahmat". Air mata hadirin yang hadir tidak dapat ditahan, terus bercucuran diiringi esak tangis kesedihan bukan sahaja kerana perginya seorang teman tetapi kerana bacaan talqin penuh dengan pengajaran dan memberi keinsafan agar kita tidak asyik dengan kehidupan hingga terlupa tentang hakikat kematian.

Sebelum meninggal, arwah sempat menghantar email kepada saya untuk saya kongsikan bersama kalian yang sudi membaca. Beginilah tajuk bicara serta intipati cerita …

Pesan Roh Kepada Manusia

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirehat daripada seretan malaikat maut". Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu: "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh". Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya". Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku". "Adapun di dunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

Ada satu riwayat drpd Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur di mukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah S.A.W berkata:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S". "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya".

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu".

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T, maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan". Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu". Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah". Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud; "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu". Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T, maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah m ulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin,mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.

3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Sekian untuk ingatan kita bersama.

Kalau rajin, tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.

Semua di atas adalah perutusan arwah sahabat saya sebelum beliau dijemput menghadap Allah Yang Maha Esa. Ya..sahabat saya itu seolah-olah telah mengetahui bahawa kematiannya sudah hampir tiba.

Marilah sama-sama kita berdoa agar arwah ditempatkan di sisi orang yang soleh, beriman dan bertaqwa serta rohnya dicucuri rahmat. Moga segala dosanya mendapat pengampunan daripada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala kekurangan, kelemahan dan kesilapan arwah sahabat kita Ramzi bin Othman harap dapat dimaafkan dengan penuh ikhlas tanpa rasa terkilan. Al-Fatihah untukmu sahabat.

Bertemu lagi...

Thursday, July 1, 2010

Antara Dahulu dan Kini

Bismillahirrahmanirrahim…

Malam ini entah kenapa, saya begitu terkenangkan waktu remaja zaman persekolahan. Kehidupan remaja yang saya lalui amat jauh berbeza dengan kehidupan remaja sekarang. Sungguh pesat pembangunan, betapa hebatnya kemajuan, alam siber menjadi pertaruhan maklumlah sekarang kita berada di dunia tanpa sempadan. Zaman saya tidak pernah kenal apa itu komputer yang ada hanyalah typewriter. Bahan bacaan bergantung kepada khutub khanah di sekolah sahaja kerana tiada internet untuk dilayari bagi mengakses maklumat terkini. Usahkan telefon bimbit, telefon rumahpun keluarga saya tidak ada. Televisyen pula saya tidak tahu rupa bentuknya, kerana tiada orang kampung yang mampu memilikinya. Apatah lagi untuk menaiki kereta, pastinya jauh sekali sedangkan basikal pun tidak mampu hendak dibeli.

Dahulu tiada pasaraya, gedung pakaian serta TESCO dan juga Giant. Jadi tiadalah kami kenal erti shopping atau membeli belah. Apabila habis sekolah kami terus pulang ke rumah. Selepas makan tengahari yang dimasak oleh emak, kami adik beradik meniarap di lantai membuat kerja sekolah. Ketika itu, kami tiada kerusi meja, tetapi kami sungguh selesa bersila di lantai sahaja. Apabila malam tiba, kami pasang pelita kerana tiada bekalan elektrik untuk menerangi rumah. Alangkah sejuknya mandi air perigi yang dicedok dengan timba kerana pada waktu itu tiada paip air yang mengalir ke rumah. Mesin basuh pula tiada, jadi kain baju dibasuh dengan menggunakan sabun dan berus sahaja.

Walaupun cara kehidupan kami kedengarannya seolah-olah serba kekurangan, tetapi kami rasai sudah cukup sempurna dan tiada apa yang kurang. Kami sungguh gembira dengan cara hidup yang kami lalui, ketenangan dan kebahagiaan terpancar di hati. Kehidupan kami sungguh membahagiakan kerana makan pakai kami bukan pembantu rumah yang sediakan tetapi dimasak dengan air tangan emak dengan rezeki yang dibawa pulang oleh ayah. Masakan emak tidak ada yang membazir jauh sekali untuk dibuang ke dalam tong sampah, tiada lebihan yang dimasak kerana itulah saja sajian untuk kami anak beranak. KFC, Mc Donald, burger serta nugget tidak pernah kami dengar. Apa yang kami tahu, makan mesti di rumah kerana tiada restoran mahupun kafetaria yang kami nampak.

Pada zaman kami juga, setahun adalah tiga kali kami menonton filem P.Ramli dengan ihsan Jabatan Penerangan yang dipancarkan pada layar putih di padang sekolah. Maka ramailah orang kampung menonton sambil duduk beralaskan tikar. Filem P.Ramli banyak pengajarannya sebab itulah remaja pada zaman ini juga turut meminatinya.

Dahulu permainan tradisional…congkak, guli, lompat katak, lompat tempurung dan lompat tali cukup dikenali dan menjadi permainan kegemaran kami. Waktu petang kami bermain, sebelum maghrib pula kami semua sudah berada di dalam rumah. Waktu maghrib semua pintu dan tingkap tidak ada lagi yang terbuka, seandainya tidak ditutup bimbang pula kalau syaitan mencuri masuk tanpa diduga. Sebelum ayam berkokok kami telah terjaga, maklumlah kami perlu awal ke sekolah bimbang terlambat mengatur langkah.

Dulu kami tidak pernah mendengar perkataan lepak, rempit, dadah apatah lagi berkaitan sumbang mahram dan anak luar nikah. Pada zaman kami tiada kedengaran langsung tentang membuang bayi, serta membunuh sesama sendiri. Mungkin kerana dek kehidupan kami yang tidak terdedah kepada dunia luar atau kasih sayang yang dipupuk begitu kental dan utuh sekali serta nyawa manusia amat dihargai. Kehidupan kami banyak berkisar tentang kekeluargaan, kejiranan, dan kemasyarakatan. Kami hanya impikan kejayaan dalam kehidupan agar kemiskinan tidak menjadi warisan. Masa yang terluang diisi dengan pelajaran kerana memikirkan harapan emak ayah serta keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.

Teratur dan tertib sunguh kehidupan lampau, betapa hebatnya didikan yang kami terima daripada emak dan ayah yang tidak pernah bersekolah. Oh…betapa saya amat merindui saat itu, kenangan lalu sungguh meruntun kalbu. Kemiskinan dalam kehidupan telah mengajar kami erti ketabahan, kesabaran dan kesyukuran. Ya, keyakinan tetap ada dalam diri bahawa setiap kesulitan sekiranya dilalui dengan tabah dan sabar akan membuahkan kejayaan. Sabda Rasulullah SAW; “Ketahuilah bahawa kemenangan akan datang setelah kesabaran. Kelapangan akan datang setelah kesusahan dan setelah kesusahan pasti ada kemudahan” (Hadis Riwayat Ahmad).

Betapa berbezanya kehidupan remaja dulu dan kini. Sekarang tidak perlu memerahkan keringat dan mengeluarkan peluh, memadai dengan menekan butang dan memetik suis, semua kerja akan menjadi. Kalau terasa lapar, tidak perlu bergegas ke dapur lagi, kalau berwang singgah di restoran perut terisi. Remaja sekarang banyak sungguh waktu terluang, menghadap televisyen dan melayari facebook berjam-jam. Bertuah sungguh anak-anak sekarang, hendak berhubungan tiada langsung halangan kerana telefon bimbit sentiasa berada di dalam genggaman. Kalau nak diceritakan tentang pasaraya dan pusat membeli belah, kita akan temui di mana sahaja apabila melangkah, hendak shopping bukan menjadi masalah. Mudah sungguh kehidupan kini, beruntung sungguh anak-anak pada zaman ini. Bersyukurlah dengan segala nikmat anugerah Ilahi.

Firman Allah SWT; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti aku akan tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmatku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih" (Ibrahim:7).

Alhamdulillah anda dan saya..Kehidupan kita kemungkinan melalui fasa yang berbeza. Kesusahan dan kesenangan adalah ujian untuk kita. Mudah-mudahan kita sentiasa menyedari segalanya adalah anugerah Allah Yang Maha Esa diamanahkan kepada kita untuk menjaga dan menguruskannya. Moga kebaikan dan kesejahteraan milik kita bersama. “Ya Allah Ya Tuhan kami, tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang Kau kurniakan nikmat kepada mereka, dan bukan jalan orang-orang yang Kau murkai atau jalan orang-orang yang sesat” Amin...

Moga kita semua termasuk dalam kalangan hamba Allah yang bertaqwa dan beriman, sentiasa bersyukur terhadap segala nikmat yang Allah kurniakan dan mudah-mudahan segala dosa kita mendapat pengampunan.

Bertemu lagi…

Wednesday, June 30, 2010

Terpeliharakah Diri Ini?

Bismillahirrahmanirrahim…

Saya sering terdengar perkataan taqwa, tetapi sukar sekali untuk saya memahami, mendalami dan menghayati maksud taqwa yang sebenar-benarnya. Alhamdulillah, melalui Progam Tanyalah Ustaz telah membuatkan saya mendapat gambaran yang jelas tentang perilaku orang yang bertaqwa. Sungguh terperinci kupasan yang diberi dan sungguh mudah untuk kita mengenali diri sama ada adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT. Setelah mendengar ciri-ciri orang yang bertaqwa, melonjak rasa hati untuk memiliki akhlak serta budi pekerti yang menjurus kepada hamba Allah yang sejati.

Walaupun diri ini tidak dapat merangkul keseluruhan ciri peribadi dalam masa sehari, tetapi InsyaAllah..dengan tekad dan keazaman, hasrat murni yang terpahat dalam hati mohon Allah kabulkan. Sebenarnya jelas sudah di dalam Al-Quran menggambarkan orang yang beriman dan bertaqwa untuk kita semua jadikan pedoman dan mengambil pengajaran. Firman Allah SWT; iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”. (Surah Al-Imran:134).

Ya..jelas tertera kepada kita bahawa antara ciri orang bertaqwa ialah suka bersedekah sama ada waktu susah atau senang. Tanyalah diri kita, sejauh mana amalan sedekah telah kita amalkan. Usah tunggu kaya raya dan banyak wang baru hendak menghulurkan sumbangan, memberi bantuan atau bersedekah. Betapa manisnya bersedekah ketika waktu kesempitan ataupun susah, walaupun wang yang ada hanya sedikit sanggup dihulurkan walaupun cuma seringgit kepada orang yang memerlukan. Sedekah banyak atau sedikit bukannya menjadi ukuran, yang penting kita bersedekah seikhlas mungkin tanpa niat untuk menunjuk supaya orang lain tahu betapa pemurahnya kita.

Alangkah indahnya kalau kita juga mampu menahan marah kerana mereka yang bertaqwa kesabarannya amat hebat. Apabila marah kewarasan akan tergugat kerana kita telah dipengaruhi emosi dan bukannya akal fikiran dalam melaksanakan segala tindakan. Rasulullah SAW bersabda; “marah itu adalah daripada syaitan, syaitan itu adalah daripada api, api boleh dipadamkan dengan air, maka apabila kamu marah berwuduklah” (Riwayat al-Imam Ahmad). Justeru usah kita tunduk kepada syaitan, melayan perasaan marah yang tidak terkawal kerana ianya bukannya ciri-ciri orang bertaqwa. Kemarahan kita menunjukkan betapa rapuhnya hati dan perasaan kita yang gagal mengawal diri dan memelihara kualiti peribadi. Ada kalanya kedapatan mereka yang bangga menunjukkan sifat marahnya, kononnya dialah sahaja yang berani serta tidak gentar untuk berlawan, sedangkan pada hakikatnya akhlak Islam telah diketepikan. Ya..jangan marah-marah, tidak elok suka marah-marah, kerana banyak buruk daripada baiknya. Jadi bersabarlah. Firman Allah SWT; “sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar” (Al-Baqarah 153); “Dan Allah mencintai orang yang sabar” (Al-Imran: 146). InsyaAllah..moga kita tergolong dalam kalangan orang yang dicintai Allah.

Betapa hebatnya diri kita seandainya sentiasa dapat memaafkan orang lain tanpa dipinta. Memberi kemaafan suatu akhlak yang terpuji, juga melambangkan ketaqwaan diri. Ya..kenapa sukar sungguh hendak memberikan kemaafan kepada mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Kemaafan yang dihulurkan tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian sebaliknya keuntungan berganda yang kita dapat. Apabila memberi kemaafan, hati menjadi tenang, pemikiran menjadi lapang, dendam kesumat juga terpadam dan resah gelisah tidak lagi menguasai diri. Usah kedekut memberi kemaafan sedangkan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Siapalah kita yang amat bergantung kepada nikmat dan pertolongan Allah kalau suruhan Allah kita ingkar. Jadi..apa tunggu lagi berilah segera kemaafan setulus hati, walaupun diri kita disakiti. Anggaplah diri kita sedang diuji sejauh mana ketaqwaan kita kepada Ilahi.

Anda dan saya..betapa kita mengharapkan diri ini menjadi hamba yang bertaqwa, menyeru kepada yang makruf dan membantu mencegah yang mungkar. Sebagai hamba Allah, ingin sekali kita mengharapkan petunjuk-Nya agar kita sentiasa akur dengan perintah-Nya. Istighfar, selawat dan zikir usah dilupakan agar penyakit hati dapat dirawat. Mudah-mudahan kita akan dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Marilah kita panjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Allah memelihara keimanan kita kerana sungguh banyak ujian yang menunggu di depan mata yang kadangkala boleh menggugat ketenangan jiwa. “Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah kurniakan kami cara hidup (Din) yang mantap, selamat dari segala bahaya. Kami memohon ya Allah kecukupan daripada segalanya sehingga tidak sampai kami meminta-minta daripada orang lain". Amin...

Mudah-mudahan kita di bawah peliharaan Allah SWT senantiasa kerana kepada-Nya sahaja kita berserah.

Bertemu lagi…