Sunday, November 28, 2010

Kenapa Bertindak Melulu?

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini saya begitu tertarik untuk berkongsi tentang peri penting memelihara persaudaraan, silaturrahim yang terjalin usah dibiarkan terungkai dek tindakan yang tidak berpedoman dan tidak berasas. Kadangkala kita terasa diri cukup hebat untuk menjadi pendamai kepada dua hati yang sedang berselisih faham. Tanpa usul periksa kita bertindak tanpa diarah dan diminta untuk menunjukkan bahawa diri kita adalah pembela walhal tindakan kita telah menyebabkan ramai orang yang bermasam muka. Ya bukan salah menjadi pengantara, tetapi kita perlu berlaku adil tanpa menyebelahi atau memilih yang lebih disayangi sahaja.


Dalam keluarga begitu juga, anak kita bergaduh dengan anak jiran tetangga. Sebagai ibu bapa tidak perlu menyerang dan bersemuka kerana anak-anak kita, bergaduhnya hanya seketika, sekejap lagi berbaik lah mereka. Apabila ibubapa campur tangan, hubungan baik dengan tetangga akan tercalar jua tetapi anak-anak tidak ada apa-apa berkawan semula dan bermain mesra. Justru, berilah peluang anak untuk belajar menyelesaikan sendiri konflik yang dihadapi, supaya hubungan yang terjalin dapat dipelihara.


Begitu juga di rumah, perselisihan ibu bapa merupakan perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Perselisihan yang berlaku pastinya cepat reda kerana kesalahan yang dilakukan perlu diakui. Hakikatnya anak-anak kini, merasakan diri mereka cukup matang untuk bertindak, mempersoalkan itu dan ini. Paling malang seandainya ada anak-anak yang mula menunjukkan taring untuk berpihak kepada ibu atau bapa. Apabila ibu yang disebelahi, pasti bapa menjadi mangsa, kesalahan bapa dicari-cari sehinggakan bapa merasakan dirinya tidak dihargai. Kedapatan juga yang berpihak kepada bapa, maka ibu pula yang menjeruk rasa.


Duhai anak-anak sekalian, ibu dan bapa sama pentingnya kerana mereka semuanya berjasa kepada kita. Kedua-dua mereka perlu dikasihi dan dihormati kerana pengorbanan mereka tiada terhingga. Jadi berlaku adillah kepada mereka agar hati ibu dan bapa tidak terguris. Apabila diri mereka diketepikan pastinya hati kecilnya amat terluka kerana merasakan diri mereka tidak langsung dikasihi dan dihargai. Kadangkala anak-anak yang terlebih untuk menjadi pembela sedangkan antara ibu dan bapa perselisihan hanya sementara menjadi rencah dan juga perasa, selepas itu mereka kembali mesra.


Anda dan saya, belajarlah mencari kekurangan diri sendiri, kepada orang lain usah menunding jari. Kita perlu bersikap rasional, berlaku adil secara saksama. Masalah anak biarlah mereka belajar untuk menyelesaikan sendiri agar anak kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Begitu juga dalam keluarga, perselisihan ibubapa usah kita memandai untuk mencampuri kerana mereka cukup matang untuk mencari penyelesaian sendiri.


Pesanan untuk diri saya serta juga untuk semua, ibu dan bapa usah memburukkan pasangan dihadapan anak-anak kerana ia lebih memburukkan suasana. Apabila anak memburukkan bapa, segeralah ibu membela kerana dia masih bergelar suami justru maruah suami patut dijaga.


Isteri yang baik sentiasa mencari apa sahaja perlakuan yang menyenangkan hati suami. Isteri juga takut untuk melakukan perkara yang boleh menggugat keharmonian dalam rumahtangga yang telah dibina. Derhaka kepada suami amat ditakuti kerana ketakutan kehadrat Allah mengatasi segalanya. Riwayat daripada Abu Hurairah RA “orang bertanya Ya Rasulullah, manakah wanita yang baik?” Rasulullah SAW menjawab, wanita yang baik ialah wanita yang selalu mengembirakan suaminya, bila suaminya melihat kepadanya, dia selalu patuh, bila diperintah, dia tidak mahu melanggarnya sama ada pada diri mahupun harta bendanya menurut yang tidak disukai suaminya”.


Sebagai isteri, adakalanya kita menjeruk rasa, kesabaran kita juga sering teruji. Yang paling penting, syak wasangka terhadap suami sila tolak ketepi. Kecintaan kita kepada Allah mengatasi segalanya, suami dan anak-anak hanya pinjaman sementara buat kita semua. Marilah kita berusaha untuk menjadi insan yang baik hati, bermaafan sesama sendiri agar persengketaan tiada lagi.

Bertemu lagi…

Sukarnya Menjaga Hati

Bismillahirrahmanirrahim…

Minggu lepas di Pahang, minggu hadapan seminggu lagi di hotel Plaza, kemudian akan ke Pantai Timur pula. Jadual tugasan luar sungguh padat, hinggakan tidak sempat untuk menjengah apa yang berlaku di pejabat. Walau di mana saya berada, tuntutan tugas perlu dilaksanakan, kerana ia merupakan kepercayaan yang tidak wajar dipersiakan. Saya tidak pernah merasa kecewa atau kesal dengan apa yang saya lalui sebaliknya saya amat bahagia kerana saya masih diberi kepercayaan dan pengharapan untuk melaksanakan tugas secara berkesan. Terima kasih di atas keyakinan yang diberikan.


Apabila asyik bekerja, adakalnya ianya dapat membantu melupakan masalah yang melanda jiwa. Orang yang berada di sekeliling mungkin tidak menyangka bahawa dalam diri kita ada derita maklumlah air muka sentiasa ceria, senyum terukir dan sentiasa bersikap ramah mesra. Justru dengan siapa kita berhubung dan berinteraksi amat perlu diselidiki dan dikenali supaya komunikasi mesra dan sihat mudah terjalin.


Bukan mudah untuk menjaga hati, tidak senang untuk menawan hati kerana kita dijadikan Allah berbeza personaliti, cara, cita rasa, minat dan sebagainya, tetapi tidak dapat dinafikan masih kedapatan persamaan antara kita. Begitulah indahnya ciptaan Allah, agar dunia tidak sunyi dijadikan kita pelbagai warna agar mata tidak sekadar memandang benda yang sama. Pasti kesannya, kita tidak akan jemu kerana semakin ramai yang kita ketemu, semakin banyak perkara baru yang dapat kita pelajari dan ketahui. Sesungguhnya pengalaman akan mematangkan kita seandainya kita mengambil pelajaran daripadanya.


Saya sendiri tidak terlepas daripada ujian sebegini, ada ketikanya menghadapi situasi yang menguji kesabaran di hati. Sentiasa berazam untuk mempunyai kesabaran yang tinggi tetapi apakan daya kadangkala diri ini juga tidak tahan diuji apabila berdepan dengan meraka yang tidak beradab dan bersopan apabila berkata-kata, menyerang orang lain tanpa usul periksa serta suka mengugut tak kira siapa. Aduhai, rupanya masih lemah diri ini dalam menghadapi karenah manusia yang sengaja tidak mahu mengerti dan memahami serta tidak mengaku kesilapan sendiri.


Ingatlah, seandainya kita pandai marah dan melenting, orang lain seperti kita juga..sifat marah pasti ada tetapi bagaimana untuk mengawal kemarahan itulah senjata agar diri lebih dhormati. Saya seringkali tersepit, bagaimana untuk mendamaikan kekeruhan yang terjadi antara dua sahabat yang saya sayangi. Tiada niat untuk menyebelahi atau memilih yang lebih disukai, tetapi yang penting kelemahan diri perlu segera di atasi sebab itulah pentingnya saling menasihati. Kalau inginkan keadaan kembali seperti sediakala, sifat ego dan keras hati perlu diketepi. Barulah perselisihan yang berlaku dapat diatasi supaya jernih hati dan berseri air muka.


Apabila keseorangan saya termenung sendiri, kerana dalam kehidupan banyak sungguh ranjau dan duri. Banyak luahan yang terbuku di hati dipaparkan melalui penulisan kerana saya tidak mahu membicarakan menerusi perkataan dibimbangi ada yang terguris perasaan. Seandainya penulisan saya juga ingin disekat dan dihalang, kerana ingin menjaga perasaan orang yang disayang, maka terserlahlah ketidakadilan dalam memberi pandangan serta ulasan. Penulisan saya adalah berdasarkan pengalaman yang ditempuhi saban hari agar kemarahan, kegelisahan, kekecewaan dan kegusaran dapat dikurangkan serta bebanan perasaan dapat diringankan. Orang lain tidak pernah mengerti dan mengetahui, kesedihan yang dirasai, penderitaan yang dilalui serta masalah yang dihadapi. Kesabaran dan ketabahan membantu saya untuk terus tegak berdiri kerana masih ada insan yang menyayangi dan mengambil berat terhadap diri ini. Berusaha dan bertawakkal, itulah yang sepatutnya kita lakukan. Firman Allah SWT “Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan memberikannya jalan keluar, dan akan mengurniakannya rezki dari arah yang dia tidak jangkai” (Surah At-Talaq: 2-3)


Ketenangan hati sentiasa dicari dan pertolongan Allah yang sering dihajati. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita daripada sifat menunjuk dan riak dalam menabur budi dan bakti. Moga amal ibadat kita diterima dan mendapat keberkatan daripada Ilahi. Amin…

Bertemu lagi…

Wednesday, November 24, 2010

Kita Saling Memerlukan

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang ini hujan agak lebat menyebabkan saya tidak berpeluang untuk menjengah pantai berhampiran. Justru saya tinggal bersendirian di dalam bilik sambil merenung titisan hujan dan ombak laut yang memecah pantai. Sungguh hebat ciptaan Tuhan kerana keindahan pemandangan tidak dapat digambarkan. Ada pulau, laut dan daratan, dihiasi pula dengan buih ombak dilautan, pasir putih di pesisiran serta lambaian lembut daun kelapa yang menterjermahkan kekuasaan mutlak Yang Maha Esa.

Sebagai manusia, sewajarnya kita mengerti dan mengamati, bahawa Alah menjadikan sesuatu perkara itu tidak sia-sia pasti ada sebab musababnya yang tidak di capai dek akal fikiran kita. Jika dunia ini satu persinggahan buat kita, jadi marilah kita berusaha menyediakan sebanyak bekalan bagi meneruskan perjalanan sebelum kita sampai ke destinasi yang kekal abadi. Saya kadangkala amat gusar memikirkan tentang bekalan diri sendiri, kesabaran masih kurang manakala cintakan dunia masih mengundang. Akan saya berusaha untu mencari sahabat dan teman yang sentiasa bersama waktu susah dan senang kerana saya memerlukan kalian untuk sentiasa berada di atas landasan.

Hari ini kepenatan makin terasa, memurnikan laporan memerlukan pemikiran yang kritis dan tajam maklumlah harapan sahabat tidak mahu saya persiakan dan kepercayaan yang diberikan akan digalas dengan penuh tanggungjawab. Saya amat berterima kasih kepada sahabat yang masih mempercayai, meyakini dan menghargai setiap teguran, nasihat dan pandangan yang saya utarakan. Yang saya luahkan tidak semestinya diterima sebulat hati, dan kalau terdapat kekeliruan boleh dibawa berbincang kerana kadangkala saya juga melakukan kesilapan.

Dalam menjalankan tugasan, kita bukannya membuat pertandingan siapa yang menang dan siapa pula yang akan menjadi johan. Keutamaan kita ialah melaksanakan tugas dengan betul mengikut prosedur dan tatacara agar hasil yang berkualiti dapat dijelmakan. Kerja dalam pasukan bermakna perlu wujud perkongsian, bersedia bertolak ansur dan berkompromi supaya iklim kerja lebih harmonis. Kita perlu beradab dan bersopan, merendah diri juga amat diperlukan agar orang lain selesa untuk berhujah serta memberi pandangan. Kata-kata hikmat ini boleh dijadikan pedoman agar diri kita dihormati dan senang didampingi. Benar sungguh “Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalasnya dan bersikap adil ketika kuat atau berkuasa.” (Khalifah Abdul Malik bin Marwan).

Semakin berilmu kita sewajarnya semakin kita merendah diri. Sekiranya kita merasakan diri kita serba tahu dan serba mengerti, maka tertutuplah minda untuk terus meneroka dan mempelajari. Seandainya kita ingin berguru atau memperoleh ilmu baru, maka anggaplah diri kira benar-benar tidak tahu barulah kita mudah menerima dan menghayati kerana pintu hati terbuka sepenuhnyab untuk diisi. Teringat saya sewaktu mengikuti ceramah motivasi, penceramah tersebut menjelaskan “ kalau kita menghadiri sesuatu majlis ilmu, usah lah dibawa cawan yang penuh berisi air kerana kelak dibimbangi air tersebut akan tumpah dan mungkin langsung tidak dapat diisi; sebaliknya datanglah dengan cawan kosong atau separuh berisi kerana sekurang-kurangnya air yang baru dapat ditambah dan diisi”.

Anda dan saya, terimalah hakikat bahawa banyak yang belum kita pelajari dan ketahui. Jadi usah segan bertanya kerana kelak akan tersesat jalan dan susah nak kembali lagi sekiranya sudah sampai ke destinasi. Oleh itu, sebelum memulakan langkah pastikan hala tuju sudah diketahui, lakaran peta menjadi peneman sepanjang perjalanan serta pastikan ada teman yang mengiringi agar susah dan senang sama-sama dapat berusaha mengatasi. Bergerak sendiri mungkin menyusahkan diri di kemudian hari. Seandainya karam di lautan terkapai-kapailah nanti dan mungkin sudah terlewat untuk mendapatkan pertolongan dan rasa simpati.

Mudah-mudahan Allah menyatukan hati kita demi untuk mendapatkan keredhaan Ilahi. Amin…

Bertemu lagi…