Sunday, January 9, 2011

Memberi dan Menerima

Bismillahirrahmanirrahim…

Tengah hari tadi, sungguh pilu rasa di hati apabila saya menjenguk ke luar rumah saya terpandang seorang nenek tua yang saya jangka usianya sudah mencecah 80 tahun membuka plastik sampah dari sebuah rumah ke sebuah rumah demi mencari tin kosong, kotak atau apa jua barang yang boleh dijual. Sebak sungguh saya terasa ..ke manakah perginya anak cucu mereka, atau mungkinkah nenek itu tiada saudara mara. Usah kita terperanjat, di kota ini masih ramai insan yang melarat, untuk sesuap nasi pelbagai cara yang terpaksa dibuat, pelbagai ikhtiar yang perlu dilakukan. Ya..bagaimana dengan diri kita yang berkemampuan, kadangkala kita terlupa adanya insan yang begitu malang.

Betapa golongan yang sebeginilah yang perlu dibantu..hatta RM5.00 pun sudah sangat bemakna untuk nenek ini. Baginya mungkin memadai untuk sesuap nasi agar tidak kelaparan sepanjang hari. Saya masih terkenang-kenang akan jari jemari nenek tersebut terketar-ketar untuk merungkai ikatan plastik sampah. Setelah apa yang dicari telah diperolehi, nenek tersebut mengikat kembali plastik tersebut, agar sampah tidak bersepah dan terburai. Saya sangat terkesan dengan apa yang saya perhatikan, hinggakan kelazatan makanan yang tersaji di rumah terasa sukar untuk ditelan.

Semalam pula saya dikhabarkan oleh teman betapa hebatnya jamuan yang beliau hadhiri. Tidak cukup dengan lembu, kambing juga dikorban. Untuk sarapan pagi pelbagai juadah yang dihidangkan dan sehingga tengahari masih banyak yang tidak kehabisan. Mewah sungguh bagi yang berkemampuan, perit dan derita bagi mereka yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan. Begitulah kehidupan yang jauh sungguh perbezaannya. Kejadian ini, benar-benar membuatkan saya terfikir, supaya berpada-pada dengan kesenangan dan kegembiraan. Fikirkan juga masih ada golongan yang menderita. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan buat kita.

Begitulah kehidupan, ada yang susah dan ada yang senang. Allah jadikan kita untuk saling bertolongan dan saling membantu menghulurkan bantuan. Bantulah mereka yang memerlukan, biarlah tangan kanan menghulur, tanpa tangan kiri menyedari. Kadangkala kita berlaku tidak adil pada orang lain. Kita rela berhabisan belanja makan dan memberi hadiah kepada mereka yang tidak memerlukan yakni yang sudah berwang dan berpangkat pula, tetapi dengan si miskin yang derita untuk memberi RM10.00 pun mungkin kita berkira.

Anda dan saya, yakinlah bagi mereka yang memerlukan, sedikit pemberian diterima dengan penuh kesyukuran, sangat besar ertinya buat mereka. Justru marilah kita hidupkan amalan sedekah dalam diri kita untuk mereka yang benar-benar mengharapkan bantuan kita. Sesungguhnya Islam telah memperuntukkan di dalam harta orang kaya, ada hak bagi orang fakir. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Setiap muslim adalah bertanggungawab sentiasa bekerja dan berusaha supaya tangannya tidak sentiasa menjadi tangan yang menerima pemberian tetapi memberi. Rasulullah SAW telah mengisytiharkan dari atas mimbar tatkala Baginda memperingatkan supaya muslimin bersedekah dan memelihara diri dari menerima sedekah. “ Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan tangan yang di atas itu lah yang memberi dan tangan yang di bawah itulah yang meminta” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pastinya apa yang kita alami, apa yang kita pandang, dan apa yang kita dengar banyak memberi pengajaran dan pengalaman yang amat berharga buat kita. Kita masih belum terlewat untuk menghidupkan amalan sedekah, agar yang memerlukan dapat berkongsi dan turut merasa apa yang kita ada. Yakinlah, semakin banyak kita bersedekah, InsyaAllah Allah akan membantu mempermudahkan urusan kita dan rezeki daripada Allah semakin berganda. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi. Keberkatan rezeki yang kita harapkan dan rezeki halal pasti yang dicari. Abu Qatadah (r.a) berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Barangsiapa yang hendak diselamatkan oleh Allah SWT dari kesusahan hari kiamat, hendaklah dia melapangkan orang susah, atau membebaskannya dari hutang” (Riwayat Muslim)

Mudah-mudahan Allah jauhkan kita daripada sifat kedekut dan bakhil. Moga Allah gantikan dalam diri kita dengan sifat pemurah dan pemaaf. Bersedekahlah kita seikhlas hati tanpa sedikit pun perasaan bangga diri untuk menunjuk-nunjuk ataupun untuk dipuji. Bersedekah kita kepada yang benar-benar memerlukan bukannya kepada yang telah berada dan tidak mengharapkan bantuan. Moga sedekah kita akan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah Yang Maha Esa. Amin..

Bertemu lagi..

Monday, January 3, 2011

Impian VS Harapan

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini saya bercuti untuk menemani anak ke sekolah. Walaupun telah berada di Tingkatan Tiga tetapi saya tetap ingin bersamanya pada hari pertama ke sekolah setiap kali melangkah ke tahun baru. Ya anak merupakan harta yang tidak ternilai harganya. Kasih sayang tidak berbelah bagi, kesakitan anak ingin dikongsi dan doa buat anak tidak pernah putus di hati. Hari ini juga saya bangun seawal pagi, sarapan perlu disediakan agar perut anak terisi sebelum ke sekolah.

Esok merupakan hari pertama saya bekerja pada tahun 2011 ini. Dalam diri ini, hasrat begitu tinggi untuk melakukan perubahan iaitu memelihara akhlak dan juga peribadi. Kurang bercakap lebih mendengar, berbual kosong ingin sekali dijauhi agar waktu di pejabat penuh terisi kerana kerja juga merupakan satu ibadah kerana disitulah punca rezeki. Kesabaran amat diperlukan kerana sahabat di pejabat pelbagai ragam, sifat marah ingin sekali saya hindarkan kerana di pejabat juga memerlukan ketenangan. Suasana mesra dan harmoni menjadi idaman agar pulang ke rumah fikiran lapang tanpa gangguan.

Sebagaimana biasa seperti tahun-tahun yang lepas, tuntutan kerja saya banyak melibatkan tugas di luar pejabat. Pastinya tuntutan perjalanan dan penginapan saban bulan tidak pernah terkecuali. Saya amat bimbang seandainya terlebih tuntutan perjalanan kerana ianya bukan hak kita, maka apa yang kita ambil tidak terlepas akan dipersoalkan pada hari kemudian. Rezeki yang halal amat diharapkan kerana untuk keluarga rezeki tersebutlah yang dibelanjakan. Yang penting kita berusaha untuk tidak mengambil sesuatu yang bukan hak kita kerana kalau sudah rezeki ia tidak akan ke mana, dalam genggaman juga akhirnya.

Pastinya di pejabat tugas sedia menanti. Merancang, menyelidik merupakan tugas yang pasti termasuk menyediakan laporan dan juga khidmat kepakaran. Saya amat bahagia dengan tugasan yang diamanahkan kerana saya amat berminat dalam menjalankan kajian. Kepuasan tidak terhingga apabila sesuatu kajian berjaya disempurnakan kerana dalam masa yang sama saya memperoleh pelbagai pengetahuan, pengalaman dan juga kepakaran. Yang utama, semangat kerja dalam pasukan akan diteruskan kerana pelbagai kepakaran yang diperlukan untuk menyempurnakan sesuatau tugasan.

Rezeki bukan bergantung kepada pangkat dan wang ringgit sahaja. Ketua yang adil dan baik, sahabat yang setia, teman sejati dan kasih sayang yang tulus juga merupakan rezeki yang yang sangat berharga kerana ia membuatkan kehidupan kita tenang dan bahagia. Ya, gembirakah kita seandainya kehidupan kita disalut kemewahan tetapi hati tidak gembira kerana begitu ramai yang memusuhi dan menjauhi kita. Bahagiakah kita seandainya tugasan yang diberi tidak kita minati, walaupun pangkat dan kuasa kita miliki. Justeru paling mustahak kita mengetahui dan mengenal pasti apa yang dicari, apa yang kita mahu dan hajati. Elakkan mengikut kemahuan dan kehendak orang atau perasaan kecewa menyebabkan tindakan yang diambil mengikut perasaan. Menyesal kemudian tiada gunanya, justru adalah lebih baik berfikir panjang sebelum bertindak.

Tidak dapat dinafikan, cuaca bukannya sentiasa cerah, kadangkala redup dan ada ketikanya hujan disertai guruh pula. Terimalah hakikat kehidupan kita di pejabat begitu juga, bukan semua perkara dapat memenuhi selera kita. Adakalanya kedapatan yang menyakitkan mata, memudaratkan telinga serta mengguris rasa. Terimalah orang lain seadanya kerana sebagai manusia pasti kita ada kekuatan dan kelemahan yang perlu dihargai kerana Allah jadikan kita semua untuk saling melengkapi. Firman Allah SWT yang bermaksud “ Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorng lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa: (Surah Al-Hujurat: 13)

Saya mengerti, bukan mudah untuk bersabar, bukan senang untuk memaafkan tetapi kita mesti berusaha tanpa putus asa kerana sabar dan maaf merupakan sumber ketenangan yang sangat kita idamkan. Marilah kita mulakan langkah untuk mendekati diri dengan orang yang berbudi dan berbakti serta tahu menghormati. Usah ragu untuk menjauhkan diri daripada mereka yang suka mengumpat dan mengeji, kesalahan orang lain yang sentiasa dicari dan kelemahan diri sendiri tidak pernah diakui. Diam lebih baik daripada berbicara seandainya ia lebih memudaratkan diri kita. Musuh jangan dicari, sahabat yang tinggi budi hendaklah sentiasa dihargai dan dingati.

Moga anda dan saya, sentiasa memperoleh hidayah Allah dalam melayari liku kehidupan yang sentiasa mencabar dan menguji kesabaran kita. Amin…

Bertemu lagi…

Saturday, January 1, 2011

Bersegera Melakukan Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim…

Tahun 2011 telah menjenguk kita. Sebagaimana biasa, kita masih terkenangkan peristiwa dan perjalanann hidup yang telah kita lalui sepanjang tahun 2010. Bagaimana diri kita agaknya? Adakah 2010 telah menjadi satu detik manis buat kita atau masih banyak perkara yang tidak dapat dicapai, hasrat hati yang belum tertunai atau cita-cita yang belum terlaksana. Walau appun yang kita fikirkan, 2010 tetap telah berlalu meninggalkan kita..perginya tidak akan kembali, usah dikesal apa yang telah berlaku, tetapi yang penting 2011 perlu direncana dan dirancang rapi agar kehidupan sepanjang tahun ini penuh terisi, bermakna dan bernilai tinggi.

Saya sendiri saban tahun sentiasa berazam dan bertekad untuk menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya. Justeru itu, sebagai manusia biasa yang tidak terkecuali daripada sifat lalai dan leka amat memerlukan kepada keluarga yang penyayang serta sahabat sejati yang ikhlas di hati untuk saling mengingati dan menasihati supaya landasan yang betul sama-sama dijelajahi. Firman Allah SWT yang bermaksud “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran” (Surah Al-Asr : 1-3)

Ya, saya amat memerlukan kalian untuk bersama berusaha mencari kebenaran berlandaskan keimanan dan ketaqwaan serta keikhlasan. Pastinya kita semua berazam untuk melakukan perubahan. Marilah bersama menggantikan sifat pemarah yang ada dalam diri kita kepada sifat penyabar, sifat pendendam kepada pemaaf, sifat bakhil kepada pemurah dan perasaan benci kepada sayang. Syak wasangka perlu dihindarkan dan berprasangka baik amat digalakkan. Usah ego dan sombong dengan apa yang dimiliki sebaliknya bersyukurlah terhadap Allah Yang Maha Pemberi. Tawadhuk dan merendah diri akan lebih dihormati dan kita tidak akan rugi. Jauhilah daripada penyakit hati termasuk hasad dan juga dengki. Berusahalah sendiri untuk meraih kejayaan dan kecemerlangan kerana bukan mudah untuk menggapai kesenangan pasti ianya memerlukan usaha yang berterusan dan selebihnya kita serahkan kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Pastinya pada tahun ini, kita berusaha untuk tidak mencari musuh sebaliknya ukhuwwah fillah menjadi idaman. Seandainya diri saya menjadi pencetus ketidakharmonian, pastinya saya rela untuk menjauhkan diri demi kebahagiaan dan kedamaian kalian. Usia semakin meningkat, apa lagi yang diinginkan kecuali kebahagiaan dan ketenangan kerana keredhaan Allah yang amat diharapkan. Bukannya kehidupan duniawi ingin diabaikan tetapi ianya perlu berlandaskan suruhan Tuhan. Dalam apa jua tindakan, jadikanlah tuntutan Islam sebagai asas penentuan.

Sesungguhnya untuk menjaga hati amat sukar sekali. Kadangkala timbul juga persoalan dalam diri ini sejauh manakah keikhlasan hati dalam tutur kata dan perbuatan serta tindakan. Bimbang sungguh rasa di hati seandainya diri ini hanya pandai berbicara tetapi tidak mampu melaksana, hanya bijak berkata tetapi diri sendiri pun tidak sempurna mana. Yang penting kita saling menerima seadanya tanpa menghina dan memandang rendah terhadap kelemahan yang dimiliki. Bersama kita membaiki diri agar kelemahan yang ada dapat diatasi, kekurangan diri dapat diperbaiki dan kesilapan yang dilakukan tidak berterusan diulangi. Ya..anda dan saya kita saling memerlukan demi mencantikkan akhlak bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Penyayang.

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur dan dimurahkan rezki untuk menghirup udara pada tahun 2011 ini. Entah esok atau lusa kita akan diketemukan lagi atau mungkin pula dijemput Ilahi. Bersedialah kita dengan berusaha untuk mengatasi kekurangan diri serta tidak hanyut dengan tuntutan duniawi. Seimbangkanlah kemahuan diri untuk duniawi dan juga ukhrawi kerana kematian itu pasti, oleh itu bekalan perlu dibawa untuk menghadap Ilahi. Kalau dahulu, al-Quran didampingi pada malam Jumaat sahaja, kini ayuh kita jadikan Al-Quran sebagai santapan rohani saban hari, zikir Al-Ma’thurat pula menjadi senjata ketenangan hati menjadi amalan setiap waktu pagi dan petang agar diri kita peroleh kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran. Doa usah dikesampingkan kerana ia merupakan senjata kita umat Islam.

Anda dan saya, marilah kita bersama berusaha untuk membaiki akhlak dan peribadi serta meningkatkan kualiti diri. Sehebat manakah kita, seandainya harta yang dimiliki tidak diberkati, kekuasaan yang diberi disalah guna, kehebatan diri dianggap sebagai usaha sendiri dan pangkat yang dimiliki dijadikan alasan untu meninggi diri. Justeru sentiasa panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, ujian yang menimpa bertujuan untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran kita; untuk ke syurga pastinya memerlukan pengorbanan yang tinggi dan kehendak nafsu usah dituruti; perkara mungkar perlu dihindari dan perintah Allah segera dituruti..usah kita bertangguh lagi. Moga kehidupan yang bakal kita lalui pada tahun 2011 ini sentiasa berlandaskan petunjuk Ilahi. Amin..

Bertemu lagi..