Saturday, March 5, 2011

Pengorbanan dan Pengertian

Bismillahirrahmanirrahim…

Minggu hadapan saya akan ke Tongok, Sandakan Sabah kerana bertugas luar. Kebiasaan pada awal tahun sebegini, kami agak semput. Pelbagai tugas yang perlu dirancang dan disempurnakan mengikut jadual. Kedengaran mudah tetapi tanpa perancangan yang teliti perkara yang mudah juga akan menjadi payah. Terbang jauh ke bumi Sabah pastinya pelbagai pengalaman yang boleh dikutip apatah lagi tempat yang dituju tidak pernah dijejak. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar kawasan Tongok walaupun hampir keseluruhan Sabah telah saya pergi. Saya mengandaikan Tongok adalah kawasan pedalaman, mungkin perjalannya amat jauh dan memerlukan sampan kerana terpaksa merentasi sungai.

Setiap kali bertugas luar, perkara yang sukar untuk saya lakukan ialah memberitahu anak bongsu saya Amirah bahawa saya tidak akan berada disisinya selama empat hari. Saya perlu memilih waktu yang sesuai untuk menjelaskannya kerana bimbang emosinya terjejas. Betapa saya amat memerlukan pengertian daripada keluarga tersayang kerana apa yang saya lakukan merupakan satu kewajipan. Keluarga perlu mengerti bahawa pemergian saya bukan untuk bersuka ria atau sekadar melancong sahaja. Pergi saya sarat dengan tanggungjawab dan amanah demi pendidikan anak bangsa. Alhamdulillah setakat ini, sokongan sentiasa diperolehi walaupun jauh di sudut hati mereka amat memerlukan saya di sisi. Terima kasih atas pengorbanan dan pengertian kerana ummi sememangnya amat memerlukan sokongan kalian. Moga anak-anak ummi mengerti dan memahami, bahawa ummi juga mengorbankan kerinduan untuk bersama anak-anak tersayang.

Dalam melasanakan tugas, adakalanya saya perlu mendengar, memerhati dan berbicara. Saya perlu menerima hakikat bahawa tidak semua butir perkara yang keluar dari mulut kita orang lain suka mendengarnya. Kemungkinan ada yang tidak menyenangi kita, maka terimalah secara berlapang dada kerana kita manusia memang ada yang berbeza. Kalau perbezaan yang ada diperbesarkan, maka titik pertemuan akan sukar diketemukan.

Alangkah baiknya sekiranya ada yang memberitahu tentang kelemahan diri kita. Telus lebih baik daripada berahsia kerana dibimbangi kita asyik dengan diri sendiri merasa disayangi dan disukai. Bagi saya sendiri, keseronokan dan kegembiraan untuk diri sendiri sudah tidak terkejar lagi. Dalam kehidupan kebahagiaan dan kegembiraan anak-anak sahaja yang menjadi penyejuk hati. Kesedihan dan kelukaan yang anak alami amat mengguris hati. Moga anak-anak sentiasa dirahmati dan kehidupan mereka diberkati.

Sesungguhnya, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita miliki. Sepanjang lawatan saya ke pelbagai tempat dipelusuk negeri, kemiskinan dan kesengsaraan hidup sering saya temui. Tidur beralaskan papan dan makan pula beralaskan daun pisang sahaja. Bagaimana dengan diri kita..belum cukupkah dengan apa yang ada, bersyukurkah kita kepada Yang Maha Esa atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga. Seandainya Allah kurniakan kita rezki yang berlebihan, ingatlah juga kepada mereka yang memerlukan. Sedikit sedekah atau sumbangan yang dihulurkan akan diterima oleh mereka dengan penuh kesyukuran kerana pada wajah mereka terpampang segunung harapan.

Begitulah kehidupan. Setiap hari apa yang kita alami, pandang, dengar dan lihat di dalamnya terkandung pelbagai pengetahuan yang boleh dijadikan pengajaran dan membuatkan kita lebih mengerti tentang hakikat kehidupan di dunia ini. Kesedaran dan keinsafan akan lahir secara tanpa kita sedari apabila kita memandang dengan mata hati, dan berfikir dengan minda yang positif. Percakapan perlu dijaga dan usah diluahkan mengikut sesedap rasa. Hati-hati kerana dibimbangi ada hati yang terluka kerana kita tidak tahu akan penderitaan dan kepedihan kehidupan orang yang berada di sekeliling kita. Ingatlah, ketawa memanjang belum tentu melambangkan kegembiraan, senyuman menawan tidak menjamin ada kebahagiaan; dan keceriaan yang diserlahkan bukan lambang kepada ketenangan. Oleh itu, kita perlu mengenali dan memerhati serta berhati-hati kerana kita tidak mampu untuk menyelami apa yang terpahat di sanubari insan yang kita berinteraksi.

Anda dan saya, kita serupa. Ingin sekali membuatkan orang lain gembira tetapi adakalanya kita kecundang juga. Walau bagaimanapun awasi diri kita dalam menyayangi dam membenci sesorang agar kita tidak bertindak keterlaluan. Sayyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata “ cintailah kekasihmu sekadar sahaja, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadar sahaja, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti” .

Moga kita tidak cepat berputus asa dalam melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kita sekadar mampu merancang dan berusaha tetapi segala yang berlaku adalah atas kehendak dan keizinan Allah jua. Amin…

Bertemu lagi…

Saturday, February 26, 2011

Pentingnya Perkongsian

Bismillahirrahmanirrahim…

Sungguh indah kenangan di Pulau Pangkor. Selama tiga hari berada di sana, sempat juga saya menjamah laksa goreng walaupun pedas tetapi rasanya sungguh lazat. Kami menyewa satu van untuk mengeliling Pulau. Kami mengambil peluang untuk singgah di kilang memproses ikan dan sotong. Pelbagai hasilan laut dibeli sebagai ole-ole buat rakan di pejabat serta untuk keluarga yang setia menanti di rumah. Selain itu, kami turut menyaksikan keindahan alam yang amat mengagumkan. Melihat matahari terbenam juga sudah mencukupi untuk membuktikan betapa hebatnya ciptaan Ilahi. Subhanallah…

Alhamdulillah banyak sungguh yang telah saya pelajari. Sepanjang menjalankan tugas di Pangkor saya diamanahkan untuk memberi ceramah tentang tatacara menjalankan Kajian Tindakan. Ya, dalam memberi ceramah atau kursus saya cukup risau seandainya peserta tidak dapat memahami apa yang saya sampaikan. Berceramah perlukan kemahiran kerana bukan mudah untuk menarik perhatian orang agar bersama kita sepanjang kita berceramah. Wajah peserta boleh menterjemahkan seribu makna sama ada mereka suka mendengar celoteh kita, dapat memahami apa yang disampaikan atau mungkin kaedah penyampaian kita amat membosankan.

Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah kesungguhan dan keikhlasan kita untuk berkongsi ilmu yanag ada. Harapan begitu tinggi supaya ilmu yang diberi dapat disebar luaskan, dikongsi untuk sama-sama dimanfaatkan. Saya sungguh seronok apabila berpeluang menyampaikan ceramah kerana ia dapat membantu menajamkan lagi pemikiran di samping mendidik kita untuk menjadi lebih fokus terhadap apa yang dilakukan.

Sepanjang mengendalikan kursus ini, saya amat terharu melihat kesungguhan peserta untuk mempelajari perkara baru. Mereka sentiasa berada di dewan ceramah tepat pada masa; dan aktiviti kumpulan pula dilaksanakan dengan penuh kesungguhan. Begitulah kita, sepatutnya apabila datang dengan niat untuk menuntut ilmu maka berusahalah untuk menguasai ilmu tersebut semaksimum yang boleh. Bukan senang untuk berjumpa, dan bukan mudah untuk memahami dan menghayati sesuatu yang baru. Maka rebutlah peluang yang ada agar kehadiran ke kursus tidak menjadi sia-sia.

Saya teringat pesanan seorang pakar motivasi iaitu, apabila kita mendengar kuliah, ceramah atau apa jua bentuk majlis ilmu, pastikan kita hadir dengan niat yang betul. Katanya, usah kita menghadirkan diri dengan cawan yang penuh terisi airnya, kerana dibimbangi air akan tumpah atau dalam ertikata lain tiada apa yang boleh ditambah lagi; tetapi seandainya kita datang dengan cawan yang kosong atau separuh terisi, pastinya masih ada ruang untuk diisi dan dipenuhi. Ya benar sekali..kalau kita tidak tahu, kita perlu mempelajari dan mengamatinya tetapi sekiranya kita sudah tahu anggaplah ia sebagai sesi pengukuhan untuk memantapkan pengetahuan. Adakalanya, kita gemar menjadi pengkritik yang sering tercari-cari akan kekurangan dan kelemahan yang menyebabkan kita hilang fokus dan arah tujuan. Sewajarnya minda kita sentiasa positif dengan menerima kelemahan serta kekurangan serta mengerti hakikat wujudnya perbezaan.

Sebagai penceramah, tugas tersebut tidak semudah yang dijangka. Persediaan yang rapi amat perlu bagi meraih keyakinan para pendengar. Apa yang ingin disampaikan perlu dirancang secara teliti dan rapi supaya objektif kursus dapat dicapai. Penerangan perlu jelas kerana amanah yang diberi perlu dilaksanakan secara berkesan. Doa tidak boleh dilupakan, pertolongan Allah amat diperlukan agar lancar dalam memberi ucapan.

Firman Allah SWT dalam Surah Thaahaa boleh dijadikan amalan doa sebelum memberi ucapan: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, mudahkanlah untukku segala urusanku, dan lepaskanlah kekakuan daripada lidahku supaya mereka mengerti perkataanku” (Surah Thaahaa: 25-28)

Harapan saya, agar sedikit ilmu yang dikongsi akan menjadi ilmu yang bermanfaat. Alangkah baiknya kalau ianya dapat disebar luaskan kepada sesiapa yang memerlukan. Anda dan saya, moga Allah mempermudahkan kita dalam segala urusan, membimbing kita agar tidak tersasar dari landasan, dan yang paling utama kehidupan kita memperoleh keberkatan.

Bertemu lagi…

Sunday, February 20, 2011

Sukarnya Mendidik Hati

Bismillahirrahmanirrahim..

Apabila lama tidak menulis, terasa benar ada sesuatu yang kekurangan dalam diri ini. Kini baru saya sedari, seandainya kita menulis yang baik-baik, positif dan optimis secara tidak lansung ia mampu memberi impak kepada jiwa, hati dan pemikiran kita. Benar sekali, kalau kita memikirkan perkara yang baik, melakukan perbuatan yang baik dan memandang orang lain juga baik maka sekali gus membuatkan hati dan fikiran kita menjadi tenang. Memang bunyinya amat mudah, tetapi amat payah untuk dilaksanakan. Saya sendiri, adakalanya gagal untuk sentiasa berfikiran positif. Alhamdulillah ada sahabat di sekeliling yang sentiasa membantu mengingatkan saya agar dalam kehidupan hindarkan daripada penyakit syak wasangka, iri hati dan juga rasa curiga yang keterlaluan kerana dibimbangi kehidupan kita akan berkecelaruan.

Kehidupan amat sinonim dengan ujian kerana tiada ujian tiadalah kehidupan. Mungkin ujian yang kita hadapi banyak perbezaannya. Usah kita menganggap kesusahan dan kemiskinan sahaja sebagai ujian tetapi kekayaan, kemewahan, kemasyhuran dan pangkat juga merupakan satu ujian yang sangat hebat buat kita. Bayangkanlah sekiranya kekayaan yang kita miliki tidak dibelanjakan ke jalan Allah, pangkat dan kuasa yang ada pula tidak dilaksanakan dengan amanah dan kemewahan yang dikecapi pula membuatkan diri kita lupa terhadap kekuasaan Allah. Saya cukup takut dengan diri sendiri, khuatir seandainya mudah lupa dan leka, merasa riak dan takabbur terhadap kebolehan dan kepakaran yang ada walaupun saya bukanlah orang yang berharta.

Alhamdulillah dengan sedikit ilmu dan kepakaran yang ada, saya teringin sungguh untuk berkongsi dengan sesiapa sahaja. Saya tidak pernah merasakan diri ini cukup hebat dan berwibawa, Cuma sekadar untuk mempraktikkan apa yang telah dialami dan dipelajari. Semalam sahabat saya ada bersuara, katanya ia cukup bimbang orang lain tidak terikut dengan cara kerja saya, segalanya mahu disempurnakan segera. Teguran sahabat melekat di minda; bukan semua orang seperti kita. Ada kelainan cara berfikir, berkomunikasi dan cara kerja. Pastinya semua perlu diambil kira. Saya yakin, perbezaan yang ada antara kita, pasti ada titik pertemuan yang mungkin tidak disangka. Saling menerima dan saling memberi; InsyaAllah akan menghasilkan satu produk yang berkualiti.

Gembira sungguh hati saya apabila sahabat nan setia sentiasa memberi pandangan yang positif dan bermakna. Saya amat memerlukan teguran dan pandangan yang membina. Terlalu kerap menerima pujian juga boleh membuatkan penyakit hati bertunas tanpa disedari. Rasa diri hebat mula menguasai diri dan teguran yang diberi tidak diambil peduli lagi. Apabila saya amati, penyakit yang tidak sewajarnya wujud dalam organisasi ialah sifat mementingkan diri sendiri. Kehebatan diri berusaha ditonjolkan agar mendapat pujian daripada pihak atasan. Akibatnya kerja secara berpasukan semakin terhakis akibat ingin berlumba sesama sendiri. Penyakit sebegini perlu dibanteras dengan kadar segera, seandainya dibiarkan berpanjangan suasana harmonis akan terpadam dan suasana kerja tidak lagi menyeronokkan.

Begitulah ujian dalam kehidupan, dari pagi hingga ke malam tiada perhentian. Apabila di rumah ujiannya berlainan; di pejabat pula kita berhadapan dengan pelbagai dugaan. Dalam ujian, terbenam kesabaran dan ketabahan yang sememangnya mampu menguji tahap keimanan. Sesungguhnya, langkah yang diambil dalam menangani kesusahan dan penderitaan, akan membuatkan diri kita menjadi lebih matang, tidak mudah melatah dan mampu memberi kekuatan dan daya tahan yang tinggi. Benar sungguh firmah Allah SWT yang bermaksud “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : kami telah beriman’ sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Surah Al-Ankabuut: 2-3).

Hubungan manusia dengan kehidupan berkait rapat dengan ujian. Dalam ujian terselit rahmat yang tidak terduga oleh kita. Justeru, anda dan saya berhati-hati dengan ujian dan dugaan. Usah tersilap langkah dalam mencari penyelesaian. Kita bukan mengharapkan kesenangan sementara untuk kehidupan di dunia semata-mata, tetapi keredhaan Allah mesti didahulukan. Sebelum bertindak, perbetulkan niat agar ia disulami dengan penuh keikhlasan demi untuk mendapat keberkatan.

Ya, umur kita belum tentu panjang, beringatlah sentiasa kerana kehidupan kita titik penamatnya bukan di dunia ini sahaja. Tidak rugi kalau kita saling mengingati kerana kita insan biasa, kadang kala terlupa untuk bersyukur terhadap Yang Maha Pencipta. Segalanya pinjaman Allah jua, bukan milik mutlak kita. Buktikan cinta kita terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya dengan perbuatan dan amalan kita. InsyaAllah moga Allah membantu kita untuk menjadi hamba yang dikasihi Nya. Amin.

Bertemu lagi…