Showing posts with label Hijrah 1432. Show all posts
Showing posts with label Hijrah 1432. Show all posts

Sunday, February 13, 2011

Kekasih Oh Kekasih

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah umur kita masih panjang, itulah pemberian Allah untuk kita hambanya agar berterusan melakukan kebaikan. Justeru berhati-hatilah dalam tindakan termasuk juga dalam membuat sambutan terhadap apa jua hari dan program yang dirancang. Setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana semakin ramai yang menyedari dan menginsafi bahawa sambutan hari kekasih “valentine day” bukan ajaran Rasulullah SAW yang tidak sepatutnya menjadi ikutan kita. Syabas kepada akhbar yang mutakhir ini berusaha keras untuk memberi peringatan kepada pembacanya agar tidak sesekali membuat sambutan ‘berkasih sayang’ pada hari tersebut. Sesungguhnya peranan media amat hebat kesannya. Seandainya unsur pendidikan kerohanian diterapkan, pasti akan ada insan yang tersentuh perasaannya, tercuit jiwanya dan sekali gus mampu mengetuk pintu hatinya. Ya dalam berdakwah..dalam menyampai ilmu ke arah kebaikan, usah cepat merasa puas hati, jauhi daripada perasaan kecewa dan cepat berputus asa. Ingatlah, kerja dakwah tugas kita, tetapi berserahlah kepada Allah untuk memberi petunjuk dan hidayah kepada hambaNya. Yang penting kita hanya perlu berusaha.

Firman Allah SWT yang bermaksud ‘’Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat cara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agamaku” (Surah Al-Furqan:74).

Untuk anak-anakku dan para remaja sekalian, pastikan dalam benak fikiran tiada istilah hari kekasih yang menjenguk minda kalian. Kasih sayang kita tidak memerlukan hari tertentu untuk diraikan kerana ianya berterusan selagi hayat dikandung badan. Kecintaan dan kasih sayang kita kerana Allah, ketidak sukaan kita juga kerana Allah. Usah ragu-ragu untuk menolak segala bentuk budaya yang sentiasa mengintai kelalaian kita; untuk mencari ruang dan peluang untuk bertapak di hati kita. Seandainya kita tidak bersedia dengan ilmu dan amal, maka kecundanglah kita dek tuntutan hawa nafsu yang tiada batasnya.

Usah difikirkan hari kekasih, tetapi marilah sama-sama kita membesarkan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Selasa ini, 12 Rabiulawal marilah kita melangkah dan bertekad untuk terus menyemarakkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Rancangkan pengisian semaksimum mungkin agar kehebatan Rasulullah dapat diketahui, akhlak Rasulullah dapat dicontohi dan kepimpinan Rasulullah dapat diteladani. Sesungguhnya Rasulullah suri teladan yang amat perlu bagi kita umat Islam contohi agar kita tidak sesat dalam melayari kehidupan ini.

Amat kita kesali seandainya sambutan Maulidur Rasul ini diraikan sekadar sebagai memenuhi tradisi seperti mengadakan perarakan besar-besaran tetapi solat dan ibadat lain pula dikesampingkan. Yang utama jadikan titik tolak majlis yang direncanakan sebagai suatu program rutin yang boleh dilaksanakan secara berterusan samada saban minggu atau saban bulan. Sesungguhnya Rasulullah SAW amat menitik beratkan tentang pembersihan hati dan roh kerana ia merupakan pemangkin kepada kesedaran tentang halal dan haram; dosa dan pahala; serta syurga dan neraka. InsyaAllah, masyarakat hatta anak remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah akan segera melaksanakan perintah Allah dan berusaha keras untuk menjauhi perbuatan yang dimurkai Allah.

Anda dan saya, marilah kita bersama-sama untuk menonjolkan kebaikan dan kehebatan Islam dalam diri kita agar ia dapat dicontohi oleh mata yang memandang serta telinga yang mendengar. Kadang kala orang bukan Islam sendiri menjadi keliru kerana kita gagal mempamerkan kebaikan Islam dalam diri kita. Umur kita berterusan meningkat, maka sewajarnya perubahan diri perlu berlaku seiring dengan kematangan dan peredaran waktu. Saya sendiri, azam dan tekad dibuat setiap hari tetapi alangkah kecewa kerana kadang kala saya sendiri gagal untuk memenuhi. Keadaan sekeliling dan situasi yang dihadapi, sentiasa menguji ketabahan diri, perasaan marah sukar ditolak ketepi kerana kesabaran diri belum cukup tinggi.

Apabila sakit mata memandang, apabila kedengaran butiran yang membingitkan; maka ringan sahaja mulut untuk menyatakan ketidakpuasan. Akibat kelemahan diri ini, demi mengelakkan daripada penyakit hati terus bertapak memusnahkan diri, justeru saya mengambil langkah untuk berlalu pergi kerana saya tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan ujian sebegini. Begitu lah kita, tidak hebat dan tidak sempurna tetapi amat teringin untuk menjadi hamba yang dikasihi Allah, amat mengharapkan petunjuk dan hidayah Nya sentiasa kerana tidak mahu gagal lagi untuk menggantikan sifat marah kepada sifat sabar, sifat kedekut kepada pemurah, dan meletakkan kecintaan kepada Allah dan Rasul mengatasi segalanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud; “Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup. Sekali-kali tidak hanya kepada Tuhan mu lah kamu kembali (Al-Alaq: 6-8).

Mudah-mudahan 12 Rabiulawal disambut dengan penuh pengertian dan keinsafan; untuk menzahirkan kecintaan yang unggul kepada Rasululullah SAW. Ya ..sesungguhnya dan semestinya kehidupan Rasulullah merupakan model terbaik untuk dijadikan ikutan, akhlaknya relevan sepanjang zaman untuk dijadikan contoh dan juga pedoman buat semua manusia tanpa ada pengecualian.

Bertemu lagi…

Sunday, January 30, 2011

Janji: Mudah Dilafazkan

Bismillahirrahmanirrahim…

Telah sebulan, kita berada di tahun baru 2011. Saya bertanya diri sendiri, adakah perubahan diri dan azam semasa menyambut tahun baru telah ditunaikan. Memang mudah menanam azam, cita-cita dan hasrat. Amat senang untuk berjanji bukan sahaja berjanji pada diri sendiri tetapi juga berjanji dengan orang lain tetapi persoalannya, setakat mana kesungguhan dan tekad kita untuk melunaskan janji tersebut. Tanya pada diri sendiri, InsyaAllah kita pasti akan memperoleh jawapannya.

Diri saya juga tidak terkecuali, berazam dan bertekad untuk membuat perubahan diri; menjadi orang yang lebih baik dari sehari ke sehari. Kadangkala saya amat kecewa, hasrat tidak kesampaian dek tidak mampu berhadapan dengan ujan dan cabaran, serta godaan yang sering mendatang. Untuk melakukan perubahan, sokongan daripada orang sekelilng amat diperlukan, kerana selain daripada mengharapkan pertolongan Allah, dorongan keluarga dan sahabat sejati amat diharapkan.

Sebelum melangkah ke pejabat, saya sering berazam untuk kurang bercakap, banyak mendengar dan memerhati serta berusaha untuk amanah dengan masa. Saya berpegang kepada ungkapan yang sungguh menyentuh hati iaitu “kerja itu ibadah, masa itu amanah”. Walau bagaimanapun, adakalanya saya gagal. Apabila wujud situasi yang tidak dapat memuaskan hati, mulut ringan sahaja untuk berbicara walhal untungnya tiada. Ada ketikanya, saya berusaha menjauhkan diri daripada mereka yang sering menimbulkan kontroversi, mencetuskan konflik dan rasa tidak selesa. Saya bukan mementingkan diri sendiri, tetapi saya juga masih lemah untuk mengawal emosi, perasaan marah dan juga cepat terasa. Untuk mengelakkan daripada kekeruhan terjadi saya rela menarik diri agar kehadiran saya tidak akan mengeruhkan lagi suasana.

Saya tidak nafikan, kedapatan sahabat yang masih menghargai terhadap sedikit ilmu yang Allah anugerahkan kepada diri ini. Justeru saya tidak jemu melayan, seandainya sahabat memohon pertolongan dan bimbingan. Ilmu yang ada kalau dikongsi, InsyaAllah lebih banyak lagi yang Allah akan beri pada kita. Terima kasih kepada sahabat yang sentiasa melibatkan saya sama ada dalam projek kajian, perbincangan dan juga sumbang saran kerana ia menterjermahkan bahawa diri ini masih diperlukan walaupun sumbangan yang dapat diberikan tidak seberapa. Yang penting kita ikhlas memberi dan menerima; bukan untuk menguji kehebatan dan menunjukkan kepandaian. Setiap kita ada kekuatan dan kekurangan, dan apabila dikongsi ia akan membantu lebih memantapkan apa yang sedia ada.

Kalau hendak memikirkan apa yang orang kata, pastinya kita tidak dapat melakukan apa-apa. Kata Ustaz pagi tadi, kalau ada orang mengata, mengkritik ikut rasa, lebih baik kita diam sahaja. Bukan apa, InsyaAllah kita akan dapat pahala percuma sahaja. Ya, kadangkala kita tak tahan juga, rasa nak menjawab dan membalas pula, maklumlah mana tak geram orang asyik kenakan kita. Hanya satu cara untuk menahan gelodak rasa, ingatlah Allah ada, ada dosa dan juga pahala, ada syurga dan juga neraka. Korbankanlah perasaan marah dan geram kita kerana kesannya tiada yang baik untuk diri kita. Amat penting, apabila berjanji dengan diri sendiri, berusaha sunguh-sunguh untuk tunaikan tanpa menoleh kiri dan kanan kerana ianya perubahan ke arah kebaikan.

Selain berjanji dengan diri sendiri berjanji dengan orang lain juga amat perlu ditunaikan, usah mengambil mudah dan memandang ringan. Menurut Ustaz lagi, manusia paling sukar untuk melunaskan janji apabila berhutang. Sebelum mendapat pinjaman, pelbagai janji yang dilafazkan, dan apabila yang dihajati telah berada dalam genggaman, culas pula untuk membayar balik hatta untuk bertemu mata jauh sekali, sering mengelak dan menjauhkan diri. Justeru, kita tidak digalakkan berhutang, berpada-pada berbelanja juga apabila membuat kenduri kendara. Kadangkala kenduri sudah bertahun tetapi beban hutang masih belum langsai. Oleh itu, berbelanjalah ikut kemampuan; bersederhanalah dan elakkan daripada berhutang. Kenduri yang dibuat mengharapkan keberkatan oleh itu ia tidak sewajarnya menjadi beban. Fikirkanlah, ukur baju di badan sendiri. Usah harapkan orang memuji kehebatan kita dan bimbang dengan apa yang orang kata, kerana akibatnya diri kita yang merana.

Usah kita membiasakan diri untuk mudah menabur janji. Bimbang suatu hari nanti, seandainya kita gagal menunaikannya diri kita sudah tidak dipercayai dan diyakini. Akhirnya, kita dilabelkan sebagai pembohong, kata-kata kita tidak boleh didengar bak kata orang ‘cakap kita tidak boleh dipegang buku’. Sekira berjanji, pastikan kesungguhan untuk menepati. Seandainya diri merasakan sukar untuk menunaikan sesuatu permintaan, usah berjanji kerana membuatkan orang lain menaruh harapan yang pasti tidak kesampaian. Jangan membuatkan orang lain mengharap dan tertunggu-tunggu dengan janji kosong yang belum tentu kerana ia membuatkan ada jiwa yang merana dan amat kecewa kerana apa yang dihajati tidak diperolehi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Jangan bertengkar dengan saudaramu, jangan bergurau dengan gurauan yang menyakitkan, jangan berjanji denganya lalu anda memungkiri janji dengan nya” (Al-Bukhari: Fil Adabil Mufrad)

Marilah bersama-sama kita membersihkan jiwa dan hati untuk menjadi insan yang dikasihi Allah, dan disayangi sesama manusia. Menepati janji sifat terpuji, keikhlasan diri mencerminkan isi hati dan keluhuran budi menterjermahkan nawaitu yang sentiasa mengharapkan keredhaan dan keberkatan daripada Yang Maha Pemberi. Moga anda dan saya, diberikan kekuatan oleh Allah Yang Maha Esa untuk terus berbudi dan menabur bakti kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk meraih pahala sebagai bekalan apabila dijemput Ilahi. Amin..

Bertemu lagi…

Saturday, January 1, 2011

Bersegera Melakukan Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim…

Tahun 2011 telah menjenguk kita. Sebagaimana biasa, kita masih terkenangkan peristiwa dan perjalanann hidup yang telah kita lalui sepanjang tahun 2010. Bagaimana diri kita agaknya? Adakah 2010 telah menjadi satu detik manis buat kita atau masih banyak perkara yang tidak dapat dicapai, hasrat hati yang belum tertunai atau cita-cita yang belum terlaksana. Walau appun yang kita fikirkan, 2010 tetap telah berlalu meninggalkan kita..perginya tidak akan kembali, usah dikesal apa yang telah berlaku, tetapi yang penting 2011 perlu direncana dan dirancang rapi agar kehidupan sepanjang tahun ini penuh terisi, bermakna dan bernilai tinggi.

Saya sendiri saban tahun sentiasa berazam dan bertekad untuk menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya. Justeru itu, sebagai manusia biasa yang tidak terkecuali daripada sifat lalai dan leka amat memerlukan kepada keluarga yang penyayang serta sahabat sejati yang ikhlas di hati untuk saling mengingati dan menasihati supaya landasan yang betul sama-sama dijelajahi. Firman Allah SWT yang bermaksud “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran” (Surah Al-Asr : 1-3)

Ya, saya amat memerlukan kalian untuk bersama berusaha mencari kebenaran berlandaskan keimanan dan ketaqwaan serta keikhlasan. Pastinya kita semua berazam untuk melakukan perubahan. Marilah bersama menggantikan sifat pemarah yang ada dalam diri kita kepada sifat penyabar, sifat pendendam kepada pemaaf, sifat bakhil kepada pemurah dan perasaan benci kepada sayang. Syak wasangka perlu dihindarkan dan berprasangka baik amat digalakkan. Usah ego dan sombong dengan apa yang dimiliki sebaliknya bersyukurlah terhadap Allah Yang Maha Pemberi. Tawadhuk dan merendah diri akan lebih dihormati dan kita tidak akan rugi. Jauhilah daripada penyakit hati termasuk hasad dan juga dengki. Berusahalah sendiri untuk meraih kejayaan dan kecemerlangan kerana bukan mudah untuk menggapai kesenangan pasti ianya memerlukan usaha yang berterusan dan selebihnya kita serahkan kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Pastinya pada tahun ini, kita berusaha untuk tidak mencari musuh sebaliknya ukhuwwah fillah menjadi idaman. Seandainya diri saya menjadi pencetus ketidakharmonian, pastinya saya rela untuk menjauhkan diri demi kebahagiaan dan kedamaian kalian. Usia semakin meningkat, apa lagi yang diinginkan kecuali kebahagiaan dan ketenangan kerana keredhaan Allah yang amat diharapkan. Bukannya kehidupan duniawi ingin diabaikan tetapi ianya perlu berlandaskan suruhan Tuhan. Dalam apa jua tindakan, jadikanlah tuntutan Islam sebagai asas penentuan.

Sesungguhnya untuk menjaga hati amat sukar sekali. Kadangkala timbul juga persoalan dalam diri ini sejauh manakah keikhlasan hati dalam tutur kata dan perbuatan serta tindakan. Bimbang sungguh rasa di hati seandainya diri ini hanya pandai berbicara tetapi tidak mampu melaksana, hanya bijak berkata tetapi diri sendiri pun tidak sempurna mana. Yang penting kita saling menerima seadanya tanpa menghina dan memandang rendah terhadap kelemahan yang dimiliki. Bersama kita membaiki diri agar kelemahan yang ada dapat diatasi, kekurangan diri dapat diperbaiki dan kesilapan yang dilakukan tidak berterusan diulangi. Ya..anda dan saya kita saling memerlukan demi mencantikkan akhlak bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Penyayang.

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur dan dimurahkan rezki untuk menghirup udara pada tahun 2011 ini. Entah esok atau lusa kita akan diketemukan lagi atau mungkin pula dijemput Ilahi. Bersedialah kita dengan berusaha untuk mengatasi kekurangan diri serta tidak hanyut dengan tuntutan duniawi. Seimbangkanlah kemahuan diri untuk duniawi dan juga ukhrawi kerana kematian itu pasti, oleh itu bekalan perlu dibawa untuk menghadap Ilahi. Kalau dahulu, al-Quran didampingi pada malam Jumaat sahaja, kini ayuh kita jadikan Al-Quran sebagai santapan rohani saban hari, zikir Al-Ma’thurat pula menjadi senjata ketenangan hati menjadi amalan setiap waktu pagi dan petang agar diri kita peroleh kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran. Doa usah dikesampingkan kerana ia merupakan senjata kita umat Islam.

Anda dan saya, marilah kita bersama berusaha untuk membaiki akhlak dan peribadi serta meningkatkan kualiti diri. Sehebat manakah kita, seandainya harta yang dimiliki tidak diberkati, kekuasaan yang diberi disalah guna, kehebatan diri dianggap sebagai usaha sendiri dan pangkat yang dimiliki dijadikan alasan untu meninggi diri. Justeru sentiasa panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, ujian yang menimpa bertujuan untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran kita; untuk ke syurga pastinya memerlukan pengorbanan yang tinggi dan kehendak nafsu usah dituruti; perkara mungkar perlu dihindari dan perintah Allah segera dituruti..usah kita bertangguh lagi. Moga kehidupan yang bakal kita lalui pada tahun 2011 ini sentiasa berlandaskan petunjuk Ilahi. Amin..

Bertemu lagi..

Saturday, December 18, 2010

Alasan..oh.. Alasan

Bismillahirrahmanirrahim..

Tatkala ini, keletihan begitu terasa. Penghujung tahun begini pelbagai perkara perlu dibereskan kerana tidak mahu ada kerja yang tertunda. Bertugas luar juga kadang kala agak memenatkan, tetapi ia sarat dengan pengalaman yang boleh dijadikan pedoman. Mungkin pada pandangan mata, kita nampak hebat, petah berbicara serta mengeluarkan pendapat tetapi hanya diri sendiri yang mengerti akan realiti yang dihadapi. Susah dan senang, derita dan sengsara, kekecewaan dan kekesalan, serta kesedaran dan keinsafan hanya diri yang dapat merasa. Adakalanya kerana kesebokan..masa untuk diri sendiri gagal diperuntukkan yang penting kebahagiaan dan kegembiraan orang lain lebih diutamakan.

Amat penting untuk sentiasa berhati-hati dan peka dalam berinteraksi dan berkata-kata. Usah terlalu sensitif atau cepat terasa kerana ia membuatkan diri kita sentiasa tidak selesa. Kalau kita mahu orang lain menjaga perasaan kita, maka kita juga perlu melakukan perkara yang sama. Alangkah indahnya kalau kehidupan dilimpahi dengan penuh kasih dan sayang, saling bertolongan dan saling menerima akan setiap kekuatan dan kelemahan kerana kita manusia tidak sempurna. Saling melengkapi adalah langkah yang terbaik kerana ia akan membuatkan kita saling menerima seadanya. Kehidupan ini memerlukan kekuatan, semangat, ketaatan dan keikhlasan agar kita mendapat kebaikan, kebahagiaan, serta kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Tidak dapat dinafikan, adakalanya kita memang bijak mencari dan memberi alasan seandainya kita tidak mahu melakukan sesuatu perkara. Apabila dipohon pertolongan, dikatakan tidak berkemampuan, disuruh membuat tugasan dikatakan pula tidak berpengetahuan, dinasihati agar membuat perubahan diri dikatakan pula belum sampai seru. Banyak sungguh alasan yang diberi yang kadangkala merimaskan telinga yang mendengar. Seribu satu alasan yang diberi kesannya akan merugikan diri sendiri. Diri kita mungkin tidak dipercayai lagi dan sahabat baik mengambil langkah menjauhkan diri kerana kita terlalu mementingkan diri sendiri, tidak bertolak ansur dan tidak mahu memberi.

Pastinya kita sentiasa mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan serta penambahbaikan secara berterusan. Usah menjadi orang yang bijak memberi alasan kerana bimbang sentiasa berdolak dalih akan menyebabkan kerugian yang berpanjangan. Dalam melaksanakan perintah Tuhan, berusahalah untuk tidak memberi alasan kerana dibimbangi dosa pula yang mendatang. Apabila diberi tugasan berusahalah untuk menyelesaikan dalam tempoh masa yang diberikan. Sebelum berusaha dan berikhtiar, elakkan daripada berdolak dalih mencari helah. Usah menyalahkan orang lain di atas kegagalan diri sendiri, sebaliknya carilah kesalahan, kelemahan dan kekurangan diri kerana ia dapat membantu kita membaiki diri.

Berusahalah tidak menjadi seperti orang lain tetapi jadilah diri sendiri. Yakinlah, dalam diri kita ada potensi yang boleh dicungkil dan digilap. Usah dibiarkan kehidupan kita dipenuhi dengan perkara apa yang akan kita laksanakan tetapi amat kurang dengan apa yang telah kita lakukan. Apabila apa yang dirancang tidak dilaksanakan, pastinya pelbagai alasan yang disertakan.

Kesilapan yang dilakukan, jadikan sebagai jambatan menuju kecemelangan yang perlu dijadikan pengajaran. Walaupun kita ada alasan di atas kegagalan misi yang ingin dilaksanakan, tetapi elakkan daripada memberi alasan. Sesungguhnya, kebanyakan kegagalan berlaku daripada mereka yang terlalu banyak atau suka memberi alasan. Seandainya kita bijak memberi alasan, pastinya ia menyukarkan kita untuk menempah kejayaan. Cari jalan penyelesaian bukan mencari alasan kerana alasan akan menjadi faktor kegagalan yang berpanjangan.

Begitu juga dalam menerima teguran dan nasihat ke arah kebaikan, pelbagai alasan yang diberikan kerana untuk mempertahankan prinsip yang tidak mendatangkan keuntungan dan kebaikan. Kesannya, kesilapan yang berterusan dilakukan kerana kehidupannya diwarnai dengan pelbagai alasan. Sesungguhnya, hendak seribu daya, mahu seribu cara dan kalau tidak mahu pastinya seribu dalih. Kalau ingin berjaya perlu disertakan dengan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Sekali berusaha seandainya tidak menemui kejayaan..teruskan langkah tanpa menoleh ke belakang. Lipat gandakan usaha tanpa mencari alasan kelak InsyaAllah kejayaan pasti berada dalam genggaman. Bertawakkallah setelah usaha dan ikhtiar dilakukan kerana Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada Rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az-Zumar:53).

Moga anda dan saya, tidak berterusan mencari alasan yang akan menghalang kita daripada melakukan kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi terhadap apa yang kita miliki. Diri kita serba kekurangan justru amat perlu saling bertolongan kerana kita saling memerlukan.

Bertemu lagi…

Monday, December 6, 2010

Hijrah Menuju Mardhotillah

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan umur untuk terus berada di bumi Allah ini. Sungguh banyak dan tidak terhitung nikmat Allah yang telah kita kecapi. Ada kalanya kita termalu sendiri kerana gagal mensyukuri terhadap segala kurniaan Allah Yang Maha Pemberi.

Usia kita semakin meningkat, amal ibadat pula tidak seberapa kerana kesebokan urusan dunia telah membataskan kita untuk membuat persediaan ke akhirat yang kekal abadi. Sempena sambutan Maal Hijrah ini, marilah kita bertekad dan bersatu hati , melangkah seiring untuk mencari keredhaan Ilahi. Kesilapan dan kesalahan yang lalu usah kita ulangi, hijrah ke arah yang lebih baik perlu segera dilaksana. Peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW perlu dimengerti untuk diambil pengajaran dan juga peringatan.

Moga penghijrahan yang bakal dilalui, akan membuatkan kita lebih mengerti dan memahami betapa perlu meningkatkan kualiti peribadi, lambat marah dan segera memaafkan; lembut bicara, berkata benar dan juga sopan; amal ibadat terus dipertingkatkan, cara hidup Islam terus diamalkan dan Al-Quran dan As-Sunnah menjadi pegangan dan panduan.

Antara kita usah lagi menunding jari mencari kesalahan, kesilapan yang lalu usah diulang dan segera perbetulkan agar ia tidak berpanjangan. Tidak elok persengketaan berterusan, kerana kita manusia kadangkala tersilap langkah tanpa sengaja. Salam kemaafan saya hulurkan, salah dan silap harap dimaafkan. Sempena tahun baru ini marilah kita pereratkan hubungan silaturrahim yang telah sedia terjalin. Semangat hijrah perlu dihayati moga kasih sayang yang terbina demi cinta kepada Ilahi. Untuk menjadi yang lebih baik, tuntutan hijrah amat perlu dipenuhi, ketepikan ego yang merugikan diri.

Dalam berkawan, pilihlah sahabat yang sejati yang sentiasa saling mengingati supaya maruah diri terpelihara dan harga diri terjamin. Berazamlah untuk menambah ilmu setiap hari kerana masih banyak yang belum diketahui. Kurang bercakap, banyak mendengar kerana ia mampu memberi ruang untuk lebih berfikir daripada melulu bertindak. Sifat marah, syak wasangka, sombong serta dengki khianat perlu dihapuskan, gantikan ia dengan sifat sabar, bersangka baik, tawaddhuk serta ikhlas dan amanah.

Firman Allah SWT yang bermaksud “ Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui; (iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan sahaja mereka bertawaakal” (Surah an-Nahl: 41-42)

Anda dan saya sama-sama kita berdoa semoga hidayah Allah sentiasa bersama kita kerana dibimbangi sifat lalai dan leka akan menguasai diri kita. Marilah kita berhijrah kerana Allah kerana kita hamba-Nya maka perintahNya perlu dituruti dan laranganNya perlu dipatuhi. Hubungan sesama manusia perlu dipelihara dan hubungan dengan Allah perlu dijaga. Sesungguhnya Allah Maha Pencipta, Maha Pemurah, Maha pengasih lagi Maha Penyayang.

Selamat Menyambut Awal Muharram 1432 H.

Bertemu lagi…