Sunday, August 15, 2010

Ramadhan: Ujian VS Impian

Bismillahirrahmanirrahim...

Telah empat hari Ramadhan datang bertandang. Bagaimanakah agaknya amal ibadat kita sepanjang empat hari berpuasa? Yang penting, Ramadhan ini usah dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja kerana kita belum pasti akan bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun akan datang. Bagi menjamin Ramadhan penuh terisi, kekuatan jiwa dan kesungguhan diri amat perlu dalam merealisasikan hasrat agar Ramadhan tidak berlalu pergi dengan sia-sia dan kita berterusan menanggung rugi. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang akan menyesal pada kemudian hari.

Alhamdulillah..kedapatan masjid dan surau dipenuhi dengan muslimin dan muslimat untuk menunaikan solat fardhu dan solat Tarawih. Tazkirah dan kuliah subuh juga turut diadakan. Sungguh cantik pengisian Ramadhan yang dirancang dengan begitu teliti dan rapi. Yang pasti ramai yang tidak melepas peluang untuk turut serta dalam melipat gandakan amal ibadat di bulan yang penuh kerahmatan, keberkatan dan pengampunan ini. Syukur ke hadrat-Mu ya Allah kerana diri ini dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang telah lama dinanti. Jadi dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati, kepada-Mu Ya Allah dipanjatkan doa agar diberi kesihatan yang baik untuk terus menikmati kelazatan beribadat pada bulan ini.

Kalau memikirkan tentang kepenatan dan keletihan, pasti diri ini akan kecundang dalam usaha untuk menggapai impian untuk meningkatkan amalan di bulan yang keuntungannya tiada tandingan. Masakan tidak, pada hari bekerja walaupun balik tepat jam 4.30 petang, untuk keluar dari tempat letak kereta sahaja telah mengambil masa 15 minit, maklumlah semuanya ingin pulang awal ke rumah untuk membuat persiapan berbuka puasa bersama keluarga. Sepanjang perjalanan pulang kesesakan lalu lintas terpaksa dihadapi. Saya hanya mampu sampai ke rumah pada jam 6.45 atau 7.00 petang. Bagi saya memandu pada bulan ini sungguh mencabar. Kadangkala mengantuk sukar ditahan dan mata hampir terpejam. Kepenatan dalam kesesakan tidak dapat saya gambarkan tetapi kesabaran amat perlu dalam menghadapi situasi begini.

Dalam apa jua liku kehidupan yang kita hadapi, nawaitu atau niat kita menjadi menjadi tunjang dalam memenuhi impian. Seandainya niat dan kesungguhan beserta keikhlasan untuk beribadat hanya kepada Allah tertanam di dalam jiwa, InsyaAllah...bantuan Allah akan bersama kita. Yakinlah..yang penting kita hendak melakukannya, kita ingin melaksanakannya. Justeru sebagai peringatan untuk diri sendiri dan sahabat sekalian, kekuatan jiwa dan semangat yang kental amat penting untuk meringankan diri untuk beramal di bulan yang mulia ini. Usah terlalu memikirkan tentang persediaan sambutan hari raya kerana dibimbangi ia akan menjejaskan dan menganggu tumpuan amal ibadat kita. Elakkanlah keluar ke pusat membeli belah pada malam hari. Alangkah baiknya sekiranya waktu malam diperuntukkan sebaik mungkin untuk melakukan amal ibadat seperti solat berjamaah, solat Tarawih, membaca Al-Quran, solat Tahajud, serta Qiamulail.

Rebutlah peluang keemasan ini kerana Ramadhan hanya sebulan dalam setahun. Jangan biarkan diri kita terleka atau terlalai dengan kesibukan urusan dunia yang tidak akan berkesudahan kerana kita ada kehidupan yang kekal abadi selepas ini. Jadi berlaku adillah dengan diri sendiri, persediaan untuk akhirat tidak boleh dipandang sepi, kerana kematian itu pasti, cuma saat dan waktunya yang kita tidak ketahui. Bersedialah untuk menghadapinya.

Alhamdulillah..di pejabat saya majlis Tadarrus Al-Quran diadakan setiap hari dan sungguh ramai yang turut serta. Ini penanda dan pencetus kepada kebaikan dan kesejahteraan moga ukhuwwah filllah yang terjalin mendapat keberkatan. Syukur, saya dan sahabat sekalian dipilih serta diberi kekuatan dan keringanan oleh Allah untuk mendekatkan diri kepada-Nya dalam tempoh waktu yang terhad dan berharga itu. Terasa benar keakraban antara kami, walaupun baru empat hari bertadarus bersama-sama. Ya..persaudaraan Islam tidak pernah mengenal erti pangkat dan darjat, dan tidak membezakan antara yang kaya dan yang miskin. Yang pasti, kita semua bersaudara. Persaudaraan Islam dibangun berlandaskan keimanan dan ketaqwaan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Perumpamaan orang mukmin dalam saling cinta mencintai, saling kasih mengasihi dan saling bantu membantu laksana satu tubuh, apabila salah satu anggotanya merasa sakit, maka seluruh anggota tubuhnya turut merasakan sakit, seperti demam atau tidak boleh tidur” (hadith Riwayat Bukhari).

Seandainya benar kita mengasihi saudara kita, berusahalah membantu mereka ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Usah dibiarkan saudara kita hanyut dan leka dengan urusan dunia sahaja. Hulurkan bantuan apabila diperlukan. Amalan bersedekah amat digalakkan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Biarlah nikmat dunia yang Allah bagi dapat dikongsi supaya sama-sama dirasai dan dinikmati. Rebutlah peluang untuk bersedekah kerana yang pastinya ganjaran pahala menanti.

Saya dan anda, betapa kita amat mendambakan keredhaan Allah dalam menjalani kehidupan dan kemanisan beribadat amat diharapkan. Kita amat mengharapkan kasih sayang Allah dan petunjuk Allah yang berpanjangan. Sesungguhnya kita belum terlambat. Jadikanlah Ramadhan ini sebagai satu titik permulaan untuk kehidupan seterusnya. Kalau benar kita mengharapkan cinta Allah, marilah sama-sama kita bersegera bertaubat atas segala dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan. Jiwa dan hati kita perlu dibersihkan daripada sebarang kekotoran serta titik hitam. Firman Allah SWT maksudnya; “Sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang bertaubat dan menyintai orang-orang yang menyucikan dirinya” (Surah Al-Baqarah: 222).

Moga madrasah Ramadhan yang sedang sama-sama kita lalui ini, akan membuka lembaran baru dalam kehidupan kita. Singkirkan kemalasan diri untuk melakukan amal ibadat sepanjang bulan ini. Usahlah memberatkan diri untuk menghadiri majlis ilmu , tazkirah atau kuliah yang saban malam diadakan di masjid dan surau sepanjang Ramadhan ini. InsyaAllah..ilmu yang diperoleh akan dapat menjadi bekalan untuk kita agar menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Moga apa yang kita lalui dan tempuhi, serta didikan yang kita terima sepanjang bulan ini akan memenjadi pemangkin kepada kehidupan kita seterusnya pada bulan yang lain.

Harapan saya agar bulan ini akan menjadi bulan yang penuh dengan jalinan kemesraan dan kasih sayang. Ya..kita amat mengharapkan cinta Allah dan kasih sayang Allah. Pastinya, kasih sayang dalam keluarga juga turut disemarakkan. Kita juga tidak lupa untuk berkasih sayang sesama manusia kerana kita semua bersaudara. Marilah kita sama-sama berusaha untuk saling bermaafan antara kita. Kesilapan yang lalu segera dimaafkan usah dibiarkan ia meragut ketenangan perasaan. Apabila memberi kemaafan jiwa menjadi lapang dan InsyaAllah..Allah akan mempermudahkan kita dalam apa jua urusan.

Mudah-mudahan Allah kurniakan kita kesihatan yang baik untuk terus beribadat kepadaNya, kekuatan jiwa untuk menghadapi segala ujianNya dan kesabaran yang tinggi untuk menghadapi mehnah dan tribulasi dalam mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Moga Ramadhan ini merupakan Ramadhan yang penuh bererti dan bermakna buat kita semua. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment