Sunday, August 8, 2010

Perjalanan Melakar Keinsafan

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah kita kembali bersua, setelah seminggu tiada sebarang catatan yang berkesempatan saya lakarkan di ruang ini. Sepanjang minggu saya bertugas luar nun jauh beribu batu. Ya..dengan penuh bersemangat, saya memandu bersendirian ke sana. Sungguh tidak saya sangka, saya dapat melakukannya sedangkan keluarga serta rakan sepejabat tidak yakin saya dapat memandu bersendirian. Sebenarnya, bukan mereka tidak mahu menghulurkan pertolongan tetapi bagi saya ada kalanya kita perlu berdikari dan pertolongan hanya akan dipohon sekiranya keadaan amat memerlukan sahaja. Saya tidak mahu terlalu dimanjakan atas alasan kesihatan dan sebagainya kerana bimbang, apabila ada ujian yang melanda tiada pula kekuatan untuk mengatasinya.

Syukur saya telah selamat pergi dan selamat kembali serta tugas yang diamanahkan telah dapat disempurnakan dengan jayanya dengan kerjasama dan sokongan yang hebat daripada semua pihak yang terlibat. Sepanjang menjalankan tugasan saya berkesempatan bertemu muka dengan penduduk kampung yang berhampiran. Bersama mereka saya dibawa untuk mengimbau kenangan silam semasa menghayati Ramadhan di kampung halaman, maklumlah Ramadhan dah hampir menjelang. Ya..di sini saya dapat menyaksikan keghairahan mereka untuk menyambut Ramadhan yang amat mereka rindui. Persiapan yang dilakukan untuk menyambutnya dilaksanakan begitu rapi dan penuh teliti. Ramadhan hanya setahun sekali, pastinya mereka tidak mahu menanggung kerugian untuk merebut pelbagai peluang yang bakal dinikmati pada bulan ini.

Situasi di kampung banyak saya pelajari dan sungguh menginsafkan diri ini. Sesungguhnya kita belum pasti sama ada kita masih berpeluang untuk menyambut Ramadhan pada tahun ini. Apa yang penting persiapan diri untuk menyambut Ramadhan amat perlu dilakukan supaya bulan yang penuh berkat ini terisi dengan amal ibadat yang berkualiti. Ramadhan merupakan bulan nikmat yang amat besar bagi kita semua. Seandainya pada Ramadhan yang lepas kita kecundang dengan godaan nafsu sendiri, jadi untuk Ramadhan ini adalah sewajarnya segala kesilapan yang lepas kita tidak akan mengulanginya lagi. Harapan kita, kekurangan yang lepas akan ditebus kembali pada Ramadhan kali ini.

Saya tertarik dengan pengisian program Tanyalah Ustaz pagi tadi yang telah menggariskan senarai semak untuk kita memastikan agar Ramadhan tidak berlalu pergi dengan sia-sia lagi. Antara sepuluh intipati yang ingin saya berkongsi agar pengisian Ramadhan menjadi lebih bereti ialah berbuka puasa bersama keluarga atau berjamaah; membaca al-Quran; tadarrus al-Quran; Solat Tarawikh; Qiammulail; Iktikaf di masjid; bersedekah; tingkatkan amalan dan berusaha menambahkan ilmu; mengeratkan silaturahim serta menghayati sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Alangkah baiknya sekiranya pengisian tersebut dapat dilakukan sepanjang Ramadhan ini dengan harapan amal ibadat tersebut dapat diteruskan pada sebelas bulan yang lain kecuali Solat Tarawikh yang hanya berlangsung hanya sebulan dalam setahun.

Marilah kita sama-sama berazam dan bertekad untuk menutup segala cerita dosa yang lepas. Masih belum terlewat untuk kita membuka buku baru selagi Allah memanjangkan usia kita. Bertaubatlah kita dengan penuh keinsafan agar segala kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan tidak akan terus diulangi pada masa akan datang. Jadikanlah Ramadhan ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan darjat ketaqwaan dan keimanan. Yakinlah..InsyaAllah kita dapat melakukannya. Yang penting kita perlu selalu mengingatkan dan saling berpesan di antara satu sama lain agar tidak leka dan lupa untuk merebut peluang pada bulan yang pelaburannya sungguh menguntungkan ini.

Mampukah kita untuk mengisi Ramadhan dengan cara yang terbaik pada tahun ini? Ya segala jawapannya ada pada diri sendiri kerana kita yang menghendakinya. Kalau benar kita mahu menghayati dan menikmati Ramadhan ini dengan penuh bermakna, maka yang paling utama ialah niat di hati. Nawaitu, niat untuk beribadat ikhlas kerana Allah SWT kerana kita sebagai hamba wajib taat dan patuh kepada pencipta. Kedua, kita perlu ada kesungguhan dan kekuatan untuk melakukannya. Usah biarkan sedikit ruang waktu yang ada berlalu pergi begitu sahaja. Bagi yang tidak bekerja, selepas solat subuh usahlah tidur, begitu juga dengan yang bekerja apabila sampai awal di pejabat janganlah bersembang tentang kuih raya saja, sebaliknya bacalah al-Quran kalau tidak secara berseorangan, ajaklah rakan untuk bertadarrus bersama-sama. Ketiga, kesepakatan dalam rumahtangga juga perlu ada, usah dikejutkan suami atau isteri untuk menikmati sahur sahaja, tetapi lakukan ibadat malam termasuk solat Tahajud bersama-sama.

Bagi yang bertugas luar pada bulan puasa, elakkanlah diadakan aktiviti pada malam hari. Alangkah bagusnya pada waktu malam peluang diberi untuk melaksanakan ibadah sepanjang Ramadhan ini. Ini bukan bermakna, bulan Ramadhan kita tidak produktif, tetapi pastinya Ramadhan yang datangnya hanya setahun sekali ini hendak diisi dengan penuh berkualiti.

Untuk menikmati Ramadhan, pastinya pelbagai ujian yang kita tempuhi. Ujian lapar dahaga memang pasti, tetapi ujian bagi mengekang tuntutan hawa nafsu mungkin begitu mencabar sekali. Pastinya kita tidak mahu berpuasa sekadar untuk menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi kita perlu sertakan dengan akhlak yang terpuji dan terpelihara. Justeru, awasi pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki serta seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia, haram atau dosa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Puasa itu separuh kesabaran” dan Allah berfirman maksudnya; “Hanyasanya orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan” (Surah Az-Zumar: 10).

Anda dan saya, marilah kita menyambut Ramadhan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran sekiranya Ramadhan yang bakal menjelang diketemukan lagi dengan kita. Mungkin Ramadhan ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita. Justeru itu, bertekadlah untuk mengisi bulan yang penuh keberkatan dan kerahmatan ini dengan amal ibadat untuk mendekatkan diri dengan Allah Yang Maha Esa. Bertaubatlah kita terhadap segala perbuatan yang mendatangkan dosa yang telah kita lakukan dengan taubat yang bersungguh-sungguh agar perbuatan yang sama tidak kita lakukan dan ulangi lagi selepas ini. Marilah kita menadah tangan dan berdoa ke hadrat Allah SWT semoga diberi kekuatan dan keringanan untuk meningkatkan amalan pada bulan ini. “Ya Allah, kurniakanlah kepada kami nikmat Ramadhan yang amat kami rindui ini, jadikanlah ibadat kami sebagai ibadat yang berkualiti dan Ya Allah sempurnakanlah agama kami dan keimanan kami ya Allah, hanya kepadaMu sahaja kami mohon pertolongan..” Amin..


Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment