Saturday, October 2, 2010

Kebahagian Idaman Hati

Bismillahirrahmanirrahim…

Sedikit ruang waktu yang ada saya isikan dengan menulis untuk bekongsi cerita. Ia sekadar untuk memperingati diri sendiri agar tidak mudah lupa, lalai serta leka. Kita serupa, teringin sungguh untuk mengecapi keharmonian dan kebahagiaan dalam menjalani kehidupan. Tiada siapa yang suka kepada konflik, persengketaan dan kesengsaraan. Kedamaian dicari dan ketenangan ingin dikecapi. Apakan daya kita hidup di dunia ini pasti akan berhadapan dengan pelbagai karenah dan ragam manusia samada dalam rumahtangga, di tempat kerja hatta di mana saja. Demi ketenangan jiwa, kesabaran yang tinggi amat perlu dimiliki kerana ianya merupakan senjata yang paling ampuh untuk menghadai ujian dan cabaran yang tiada henti.

Kebahagian rumahtangga teringin sekali dinikmati. Justru tolak ansur perlu dijadikan asas dalam diri suami dan juga isteri. Ego yang tinggi sila buang ketepi kerana tiada baiknya kerana suami dan isteri saling memerlukan jadi amat penting hargai pasangan. Bagi isteri khususnya, usahlah cemburu buta terhadap suami yang bekerja kerana ia membuatkan suami rasa tidak selesa kesannya akan timbul syak wasangka mungkin rumahtangga akan porak peranda. Bagi pihak suami pula, bukannya salah beristeri dua tetapi tanggungjawab dan amanah terhadap keluarga usah dilupa, dan perlu berlaku adil sepanjang masa. Sesungguhnya suami dan isteri saling memerlukan serta saling melengkapi diserikan pula dengan anak yang soleh dan solehah pastinya kehidupan berkeluarga aman dan bahagia. Ya itulah menjadi idaman kita.

Mutakhir ini penceraian dalam rumahtangga seolah-olah menjadi perkara biasa. Silap sedikit lafaz cerai diluahkan suami tanpa berfikir. Isteri pula tidak kurang egonya, sering meminta cerai apabila rumahtangga dilanda badai. Dugaan dan ujian rumahtangga merupakan perkara biasa yang penting hadapinya dengan tabah dan sabar. Pandanglah wajah anak-anak yang masih mentah untuk mengerti tentang perpisahan. Carilah jalan penyelesaian, bertindak waras, serta cermat. Kadangkala kita perlu berkorban demi anak yang tersayang. Sekiranya segala usaha telah dilakukan, tetapi tiada juga titik pertemuan barulah tindakan selanjutnya diusahakan. Ya kita mengerti, kadangkala kesabaran ada had dan batasnya.

Kesabaran kita pasti ada balasannya kalau tidak di dunia InsyaAllah ganjaran di akhirat menanti. Sesungguhnya setiap ujian kehidupan adalah bertujuan untuk mematangkan diri justru ambillah secara positif. Anda dan saya, kita perlu bergantung harap kepada Allah Yang Maha Esa kerana Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Berdoalah sentiasa kerana ianya senjata yang tiada tandingannya.

Kalau di pejabat lain pula cerita. Pastinya suasana kerja yang menyeronokkan dan menyenangkan yang kita cari. Kita mengidamkan ketua yang peka dan prihatin bahawa anak buahnya berbeza kepakaran, kebolehan dan kemahiran, yang boleh dimanfaatkan mengikut keperluan. Saling menghormati dan menghargai akan membantu mengurangkan berlakunya konflik dalam organisasi. Tempat kerja adalah rumah kedua justru keceriaan dan keharmonian perlu dipelihara supaya kita tidak tertekan dengan kerja kerana yang kusut boleh bersama kita leraikan kerana kerja berpasukan amat digalakkan. Usah kita mendabik dada kononnya kitalah yang paling hebat dan cekap..perlu dihormati dan disanjung. Kenapa tidak kita berkongsi ilmu yang dianugerah Ilahi kepada mereka yang tidak mengetahui. Sepatutya semakin berilmu semakin tunduk bukannya semakin berilmu semakin meninggi. Tidak wajar kita memaksa orang untuk menghormati tetapi biarlah mereka menghormati kita dengan rela hati kerana akhlak kita yang terpuji dan kewibawaan kita yang terserlah di mata dan di hati.

Dalam melaksanakan amanah dan tanggung jawab, kepercayaan yang diberi usah di khianati. Elakkan menjadi ketua yang hanya tahu mengarah tetapi tidak mampu membimbing kerana segalanya akan dipersoalkan di akhirat kelak. Sesungguhnya masa itu amanah dan kerja itu ibadat. Lapan jam bekerja pergunakan sebaik mungkin untuk mencari rezki yang halal kerana pendapatannya akan diberi makan untuk anak isteri. Elakkan daripada mengutamakan kerja lain daripada tugas hakiki kerana amanah yang ditanggung tidak terperi. Walaupun orang lain tidak tahu apa yang kita lakukan tetapi ingatlah Allah Maha Mengetahui akan kejujuran diri dan keikhlasan hati.

Saya dan anda, marilah sama-sama kita saling memngingati kerana kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Alangkah bagusnya kalau kita saling bermaafan atas setiap kesilapan dan kesalahan. Yakinlah manusia boleh berubah justru kesilapan silam tidak perlu diungkit lagi. Berilah peuang kepada sesiapa sahaja termasuk diri sendiri untuk memperbetulkan mana yang salah, menjernihkan mana yang keruh dan meleraikan apa yang kusut. Ya kita manusia biasa, sama dan serupa tiada apa yang membezakan kita kecuali tahap keimanan dan ketaqwaan serta keikhlasan ibadat dan juga amalan.

Akhirnya, penyakit hati segeralah diubatkan, carilah penawar yang paling berkesan. Cara hidup Islam sungguh lengkap bertepatan dan bersesuaian diaplikasikan untuk semua zaman. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang eguh dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaiu al-Quran dan Sunnah RasulNya.”

Mudah-mudahan kita menjadikan bacaan al-Quran sebagi santapan rohani setiap hari, maknanya kita pelajari dan ajarannya kita ikuti agar langkah kita tidak terpesong lagi. Moga niat suci kita akan diberkati dan dirahmati Allah sentiasa. Amin..

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment