Sunday, October 3, 2010

Kehidupan Kita Berbeza

Bismillahirrahmanirrahim..

Minggu ini saya bertugas luar di Klang dan di Kuala Selangor. Membuat kajian di lapangan pastinya menyeronokkan kerana saya dapat bertemu dengan pelbagai ragam manusia yang berbeza latar belakang, cara hidup, budaya dan kepercayaan. Semakin jauh perjalanan, maka bertambahlah pengalaman. Walaupun tugas yang dijalankan sungguh mencabar dan memenatkan tetapi ilmu dan pengalaman yang diperoleh tiada ternilai harganya kerana amat sukar untuk diperolehi. Lawatan saya ke perkampungan Orang Asli contohnya telah memberi keinsafan kepada saya tentang maksud mensyukuri dan menghargai dengan apa yang kita miliki.

Saya amat teruja bertemu dengan mereka kerana kita disambut dengan penuh mesra kerana kedatangan kita untuk mengenali, bertanya khabar dan mendengar luahan rasa mereka. Sekiranya kita mahu mendapatkan kerjasama, kedatangan kita perlu bersopan, penuh hikmah dan bijaksana. Bertemu mereka perlu sekali bermanis muka, senyuman di bibir usah dilupa dan apabila berkata-kata jagalah tutur bicara, elakkan terkasar bahasa kerana mereka juga seperti kita ada perasaan dan juga harga diri. Tidak rugi merendah diri agar diri mereka mudah didekati.

Pengalaman mengajar saya bahawa sekiranya kita tidak menyombong dan meninggi diri, di mana saja kita berada kita akan mudah diterima oleh masyarakat di sekeliling. Kunjungan saya ke Pulau Mabul di Sabah juga memberi kenangan terindah dalam kehidupan saya. Kedatangan kami disambut ceria, kepulangan kami pula diiringi dengan linangan air mata sambil bertanya bilakah pula akan dapat bersua muka. Terharu sungguh perasaan saya, sewaktu berada di jeti untuk berangkat pulang, seorang ibu berlari kecil mendapatkan saya, di tangannya tergenggam dua helai T-Shirt untuk dihadiahkan kepada saya sebagai tanda kenangan dan juga ingatan. Pelukan si ibu begitu mengharukan kerana entah bila lagi akan berlaku pertemuan. Pulau Mabul tetap dalam ingatan, penghuninya tidak saya lupakan dan kepada kanak-kanak di Pulau Mabul telah tercurah kasih dan sayang, didikan serta pelajaran yang sempurna menjadi harapan.

Kehidupan di Pulau Mabul sungguh mengharukan kerana dalam seribu kepayahan didikan Agama tidak diabaikan. Masjid dimanfaat sebagai pusat menimba ilmu oleh golongan dewasa dan juga kanak-kanak. Ilmu Agama tidak dilupa, asas fardhu ain yang diutamakan. Paling mengkagumkan saya, si anak kecil sudah boleh membaca dan menghafal ayat lazim bermakna solah telah dapat dilaksanakan dengan bacaan yang sempurna. Hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih, Alhamdullah di Pulau Mabul kedapatan Ustaz dan Ustazah berjiwa murni, rela mengajar walaupun tanpa di beri gaji kerana mereka sedar ilmu agama perlu diajari, InsyaAllah rezki akan ada kerana Allah Maha Pemberi. Sungguh hebat didikan yang diterima sehingga meresap ke jiwa dan tertanam di hati. Penduduk di Pulau Mabul sedia menghulur dan memberi sekadar termampu berdasarkan rezki yang diperolehi daripada hasil tangkapan saban hari. Bagi mereka anak-anak perlu diberi ilmu dan didikan agar mereka tidak akan mewarisi kemiskinan dan kesusahan. Pandai membaca, menulis dan mengira sudah memadai, yang penting anak mereka tidak terasa terasing di dunia ini.

Selain di Pulau Mabul saya berkesempatan juga mengunjungi penempatan pelarian Rohingya. Suasananya hampir serupa walaupun ada beza. Anak-anak Rohingya tidak terkecuali amat dahagakan ilmu dan pelajaran yang sempurna untuk dijadikan bekalan hidup di kemudian hari. Kanak-kanak rela terpisah daripada ibu dan bapa kerana ingin mendapat didikan dan ilmu daripada Ustaz yang rela berbakti. Sumbangan orang ramai yang bersimpati terlalu bermakna agar tempat tinggal serta makan minum boleh disediakan untuk kanak-kanak yang mengharapkan belas ihsan. Apabila tiba di rumah tempat mereka menginap, sayu pilu hati ini melihat kanak-kanak tidur bergelimpangan di ruang tamu selepas selesai belajar membaca Al-Quran. Sungguh mengkagumkan kerana sembahyang berjamaah mereka praktikkan dan pengisian rohani diberi penekanan.

Alhamdulillah kanak-kanak tersebut cukup matang dengan kehidupan, sudah banyak pengalaman untuk mengharungi liku kehidupan, kepayahan dan kesusahan dilalui dengan penuh ketenangan. Pandangan mata mereka sungguh menyentuh rasa kerana ada riak menagih simpati dan belas ihsan agar kebajikan mereka juga tidak diabaikan kerana mereka juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Pastinya mereka juga mengharapkan kedamaian dan ketenangan, agar kesusahan dan kepayahan hidup tidak berpanjangan.

Syabas anak-anak sekalian..kerana anda semua dianugerahkan kekuatan dalaman kerana begitu banyak dugaan dan ujian hidup yang telah anak-anak tempuhi. InsyaAllah doakan suatu hari nanti Allah akan mempermudahkan segala urusan dan setiap kepayahan akan diganti dengan kesenangan. Yang penting bersyukur dan berdoa moga sentiasa terpelihara keimanan. Kesenangan belum pasti menjamin kebahagiaan kerana ianya juga merupakan satu ujian.

Firman Allah SWT yang bermaksud “ Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu, yang memberatkan tanggunganmu. Dan kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu. Kerana sesudah kesulitan itu ada ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (mengerjakan amal soleh) kerjakanlah sunguh-sungguh (amal soleh) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. (Surah Al Insyiraah 1 – 8).

Sekadar perkongsian pengalaman daripada saya, untuk kita sama-sama berkongsi suka dan duka, menginsafi diri terhadap rintihan hidup saudara kita. Anda dan saya, anak-anak kita mungkin tidak pernah mengenal erti kepahitan hidup, ada waktu terluang bawalah mereka untuk melihat sendiri erti kepayahan dan kesusahan agar mereka mempunyai kekentalan jiwa untuk menghadapi hari mendatang.

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment