Sunday, November 7, 2010

Perjalanan VS Pengalaman

Bismillahirahmanirrahim…

Hampir dua bulan bertugas luar dengan pelbagai tugasan yang diamanahkan akhirnya besok saya akan kembali berada di pejabat. Bertugas luar memang menyeronokkan kerana banyak pengalaman yang kita peroleh yang mampu mematangkan kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Tiga minggu di Selangor, seminggu di Johor dan kemudian ke Kelantan kedengaran sungguh memenatkan. Tugasan yang dilaksanakan pula berbeza saban minggu, justru persediaan diri amat perlu terutama dalam aspek pengetahuan dan juga ilmu. Oleh itu saya perlu sentiasa bersedia kerana adakalanya saya bertindak sebagai penyelidik dan ada ketikanya sebagai panel temuduga. Selain itu, tugas sebagai penceramah tidak terkecuali, juga membuat laporan dan kertas kerja. Ya tugas yang berbeza menyebabkan kita perlu sentiasa bersedia kerana tanggungjawab yang diamanah tidak dapat dijangka.

Bertugas sebagai penyelidik memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Banyak maklumat yang perlu dicari dan diterokai. Pastinya kita bertemu dengan ramai orang yang berbeza latar belakang, warna kulit dan tahap pendidikan. Justru kita perlu berhati-hati dalam mengeluarkan bual bicara kerana bimbang ada hati yang terguris. Pertanyaan atau persoalan yang dikemukakan perlu diteliti dan dinilai agar mudah difahami. Oleh itu, apabila bertemu atau berbicara dengan sesiapa sahaja, amat perlu kita mengenali dan menyelami rasa hati mereka agar percakapan kita seiring dengan cita rasa mereka.

Untuk mendapatkan maklumat, semestinya keupayaan memujuk dan merayu amat perlu agar hati yang keras mampu dicairkan. Yakinlah kita manusia, apabila dibelai hatinya akan menjadi lembut dan kesannya kita akan mendapat kerjasama yang lebih mudah daripada orang yang kita temui. Tidak rugi merendah diri, amat bagus berhemah tinggi, lemah lembut apabila berbicara, sopan bahasa serta bermanis muka, pasti pertemuan walaupun berlaku hanya seketika tetapi kesannya pasti akan meresap ke jiwa. Rasa kasih dan sayang pantas terbina bagaikan telah lama bersua muka.

Dalam apa jua pertemuan, walau sehebat manapun kita, kadangkala kita perlu bersabar untuk menjadi pendengar yang baik. Kita dikurniakan Allah dua telinga dan satu mulut justru sewajarnya kurangkan bercakap dan banyakkan mendengar kerana bimbang terlebih cakap buruk akibatnya. Menjadi pendengar yang baik akan membantu kita menyelami perasaan orang lain agar kita lebih mengenali dan dapat segera membina kemesraan kerana kita saling memerlukan. Kesannya kerjasama yang baik akan terjalin dan maklumat yang diperlukan mudah diperoleh.

Dalam setiap percakapan, perasaan marah perlu dipadam, syak wasangka hendaklah diketepikan kerana apabila ada keikhlasan ianya jelas terpancar melalui pandangan terutama apabila mata bertentang. Apa yang terkandung dan tersemat di dalam hati walaupun tidak diserlahkan tetapi dapat dirasai oleh mereka yang memandang serta yang mendengar. Kadang kala kita merasa hairan kenapa dengan kita, orang tidak suka untuk berurusan sebaliknya dengan orang lain mudah pula terjalin kemesraan. Kita tiada apa yang kurang tetapi kenapa tidak menjadi pilihan. Kita sahaja yang tahu di mana silapnya, dan apa yang mendasari di sanubari kita. Oleh itu nilailah diri dan perbetulkan segera kesilapan dan kelemahan agar tidak berterusan menjadi penghalang ke arah kebaikan.

Sebenarnya pengalaman merupakan satu proses pembelajaran yang sangat berharga dan bermakna. Pengalaman tidak boleh dijual beli, oleh itu belajarlah daripada mereka yang berpengalaman walau setinggi mana kelulusan yang kita miliki. Firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah lagi (kepadanya) adakah sama orang –orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui” (Surah Az-Zumar:9). Kita perlu sentiasa peka terhadap apa yang kita alami, apa yang kita lihat, juga terhadap apa yang kita dengar dan yang dirasai. Ya semua itu adalah pengalaman yang perlu diterjermah dan diperhalusi untuk dijadikan pengetahuan yang sangat berkualiti. Melalui penglihatan mata hati akan menyebabkan kita mudah mengenali orang lain, hati budi mudah diselami serta akhlak dan pekerti dapat diketahui.

Ya pastinya anda dan saya..tidak dapat dinafikan ilmu dan pengalaman merupakan senjata dalam memikat dan menawan hati orang lain. Kalau mahu disayangi dan disukai, kita juga perlu belajar menghargai dan menyayangi orang lain kerana Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terdetik di hati kita. Sebagai manusia kita sekadar merancang dan berusaha manakala ketentuan tetap oleh Allah Yang Maha Esa. Usah berputus asa, kecewa dan berdukacita yang penting dalam melaksanakan amanah, lakukan sebaik mungkin dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran. Moga Allah memberkati dan meredhai terhadap segala usaha, tindakan serta langkah dalam menguruskan kehidupan. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment