Sunday, November 14, 2010

Pengorbanan Bukan Satu Kerugian

Bismillahirrahmanirrahim…

Menjelang sambutan Hari Raya Haji yang akan disambut dua hari lagi, membuatkan saya terkenang Aidiladha pada tahun lepas. Tatkala itu saya tidak sekuat ini kerana ujian kesihatan yang saya hadapi. Alhamdulillah segalanya telah berlalu pergi hanya kenangan yang tersemat disanubari. Walau apapun yang terjadi sejarah yang berlalu tidak mungkin terpadam semudah itu kerana pada saat kesakitan telah menyedarkan saya tentang erti kasih dan sayang serta keikhlasan dan ketulusan hati.

Alhamdulillah saya sungguh kagum dengan pengorbanan dan perhatian yang diberi oleh keluarga yang tinggi budi dan hebat pekerti. Buat keluarga tersayang serta Mak, Pak Cik dan Mak Cik, Kak Maimun, Abang Mansor, Abang Hamzah, serta adik-adik - Yah, Rosli , Ani, Zul , adik Mat dan Mas, serta Mizan dan Sharida; kasih sayang kalian terserlah dan terbukti sehingga ke hari ini. Beruntung sungguh diri ini apabila disayangi dan dikasihi begitu sekali, tidak terbalas rasanya budi. InsyaAllah keikhlasan dan ketulusan hati kalian tidak akan saya lupakan kerana saya amat bersyukur dikurniakan keluarga yang sangat prihatin dan penyayang. Berdoalah kita, walau apa ujian melanda, kalau ada fitnah yang mereka cerita atau ada syak wasangka yang ingin memecah belahkan kita, pastikan kita pertahan kasih sayang yang terbina kerana keikhlasan dan ketelusan hati kita tiada batasnya. Hanya kita dan Allah sahaja yang tahu akan yang tersirat dalam diri kita kerana yang tersurat belum terjamin akan kebenarannya.

Sungguh tinggi pengorbanan kalian, menjaga diri ini sewaktu susah dan senang. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Saya tidak ingin menjadi orang yang tidak mengenang budi kerana pengorbanan kalian sungguh tinggi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :” Siapa yang meminta pertolongan kepada Allah, maka hendaklah kalian tolong dia, dan siapa yang datang kepada kalian dengan berbuat kebaikan, maka hendaklah kalian membalas kebaikannya secara seimbang” (Hadis Riwayat Abu Daud, Nasai dan Ahmad).

Ya hakikatnya, kita bukan sahaja perlu bersyukur kepada Allah tetapi kita juga perlu bersyukur dan berterima kasih terhadap sesama manusia yang telah berbudi dengan kita, kerana kesannya akan terjalin ikatan yang erat yang tidak mungkin terlerai walaupun ada usaha yang cuba untuk mengganggu dan menggugat. Saya sungguh berbesar hati kerana kasih sayang kalian dinikmati sehingga ke hari ini. Alhamdulillah setinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Mu Ilahi.

Sempena Hari Raya Haji ini, anda dan saya marilah kita sama-sama berkorban demi kesejahteraan dan kebahagiaan orang lain. Usah kita tamak haloba serta kedekut pula kerana apa yang ada pada diri kita elok dikongsi dengan mereka yang amat memerlukan. Jangan takut kita akan kerugian kerana Allah Maha Pemberi dan Maha Penyayang. Yakinlah ganjaran Allah pasti ada terhadap setiap pengorbanan yang kita lakukan apabila disertai dengan keikhlasan dan ketulusan.

Bertekadlah kita untuk berkorban demi keimanan dan ketakwaan kerana redha Allah yang sentiasa kita harapkan. Pastinya kesabaran akan mendatangkan kemenangan, pengorbanan pula akan mendidik hati ke arah keikhlasan. Marilah kita sama-sama berdoa agar hari-hari mendatang yang bakal kita lalui akan mendidik diri bagi mencapai kesempurnaan jiwa dan hati. Pastinya kita ingin menjadi manusia yang hebat di dunia iaitu sanggup berbudi dan berbakti, menghulurkan pertolongan serta berkorban demi kebahagiaan orang lain agar apa yang kita miliki dapat sama dikongsi. Kehidupan kita hanya sementara, justeru bantulah untuk membuatkan orang lain turut merasa bahagia.

Khusus buat keluarga tersayang, mak, kakak, abang dan adik-adik serta sahaat sekalian, berdoalah kita untuk memelihara keutuhan kasih sayang yang sedia tercipta. Terima kasih dan saya amat menghargai pengorbanan kalian menjaga saya dengan penuh kasih sayang sewaktu saya menghadapi saat getir dan memerlukan perhatian. Mudah-mudahan Allah memelihara pertautan hati kita dengan berlandaskan keimanan dan ketaqwaan. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment