Monday, November 15, 2010

Cabaran Sumber Kekuatan

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebagai manusia, kesabaran kita pasti ada batas dan hadnya. Adakala kita perlu mempertahankan diri daripada ditindas dan dihina apatah lagi kalau dicabar dan diuji. Kekuatan hati perlu dimiliki bagi menghadapi karenah manusia sebegini. Yang penting usah dilayan dan ambil peduli terhadap perkara, perbuatan dan tutur kata yang sengaja untuk menyakitkan hati. Biarkanlah ia berlalu pergi kerana apabila sudah penat diamlah nanti. Seandainya kita melayan perkara yang tidak mendatangkan faedah, pastinya ia membazir masa, menaikkan kemarahan yang merosakkan jiwa, dan memenatkan fikiran untuk melayan mereka yang kadangkala hanya tahu mencari kesalahan orang lain sahaja.

Saya tersenyum sendiri pada petang tadi, memikirkan kenapa kita suka mencari kesalahan orang lain sedangkan kesalahan sendiri tidak langsung diambil peduli. Wajarkah kita menyuruh orang lain mengikut telunjuk kita sedangkan apa yang diarahkan tidak berasas sama sekali. Ya ..kadangkala kita diuji dengan pelbagai cara. Nasihat saya usah melatah kerana setiap patah yang kita bersuara, hatta apa yang kita tulis dan bicara akan dijadikan senjata oleh musuh untuk menikam kembali di belakang kita. Dalam keadaan marah atau gembira, pastikan sopan berkata-kata, berhati-hati dalam memilih perkataan agar tidak ada yang terluka dan terkesan. Ingatlah terlajak perahu boleh dikayuh, terlajak kata buruk padahnya.

Cabaran yang diterima perlu dijadikan azimat sebagai penguat semangat untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan. Yang pasti, diri ini apabila dicabar dan diuji semakin bertambah kekuatan diri untuk berusaha mendapat apa yang diimpikan. Harapan saya jangan ada antara kita suka menjatuhkan atau melemahkan orang lain demi kepentingan diri semata-mata. Adakah kita sanggup menutup kebenaran demi kegembiraan orang yang rapat dengan kita sedangkan hati dan perasaan orang lain kita tidak pernah jaga. Fikirkanlah sejauhmana kita mampu berlaku adil dengan diri sendiri dan dengan orang lain dan tenangkah diri kita sekiranya melakukan perkara yang tidak baik terhadap orang yang tidak bersalah dan tidak berdosa.

Saya juga terkedu memikirkan situasi pada hari ini. Kedapatan anak remaja pada zaman ini hormatnya kepada orang yang lebih tua telah terhakis. Berhujah dan berkata mengikut sesedap rasa. Walaupun pengalaman hidup hanya sekelumit tetapi sudah mula menunjuk taring menggugut serta mengarahkan itu dan ini. Ibu bapa tidak lagi dihormati kerana merasa diri sudah cukup matang dan berpelajaran tinggi. Kadang kala ibu bapa yang dipersalahkan kerana mengajar anak yang bukan-bukan. Saya sendiri cukup teruji dengan dua orang anak remaja kurniaan Ilahi. Bimbang sungguh seandainya mereka tidak tahu menghormati dan menghargai, tidak berbudi dan berbakti.

Dalam melayari liku kehidupan, pelbagai dugaan dan cabaran yang saya tempuhi, Alhamdulillah ia merupakan pengalaman yang sangat bererti yang berterusan menjadi sumber kekuatan diri ini. Kadangkala timbul juga perasaan untuk memikirkan tentang kepentingan diri sendiri, tetapi ia tidak menjadi kerana memikirkan perasaan dan maruah orang lain juga perlu dikawal rapi. Apabila kita tidak menyukai sesuatu berkatalah dengan lembut dan bijaksana, bukannya dengan bertindak kasar dan menunjukkan tingkah yang kurang sopan. Firman Allah SWT yang bermasud “ Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah teman yang sangat setia. Sifat yang baik itu tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar” (Surah Fushshilat: 34-35)

Saya dan anda, marilah kita berusaha untuk menjadi orang yang bijak menilai dan mentafsir dan usah melulu bertindak tanpa memikirkan dan memperhalusi sama ada ianya benar ataupun salah. Allah kurniakan akal fkiran untuk kita berfikir sebelum bertindak. Ambil masa untuk merancang dan mengolah agar segala tindakan kita ambil tidak membuatkan kita menyesal tak sudah. Mudah-mudahan sebarang keterlanjuran tindak tanduk kita akan mendapat pengampunan daripada Yang Maha Esa. Amin..

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment