Bismillahirrahmanirrahim…
Alhamdulillah ramai sahabat yang memberi maklum balas terhadap penulisan saya berkaitan hati seorang isteri. Saya tertawa kecil apabila seorang sahabat di pejabat, berkata “tidak adil kalau salahkan suami sahaja, kemelut rumahtangga yang berlaku adakalanya berpunca daripada isteri yang cemburu buta, suka meminta-minta dan hanya fikir hendak bergaya dan cantik sahaja, tidak pernah mengambil kisah terhadap hati suami yang terluka.” Ya saya sendiri akur dengan pendapat teman saya bahawa bukan semua suami yang tidak bertanggungjawab dan gagal melaksanakan amanah kepimpinan. Begitu juga tidak semua isteri yang tidak bersyukur dengan kehadiran seorang lelaki bergelar suami tetapi tidak saya nafikan bahawa terdapat juga isteri yang tidak tahu menghargai dan berterima kasih di atas kesungguhan dan komitmen suami dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Begitu ujian yang perlu kita hadapi kerana dalam kehidupan kita sentiasa dan sering diuji. Mendapat isteri yang solehah, baik hati dan tinggi budi tetapi suami masih tidak menghargai. Dikurniakan suami yang lembut hati, penyayang dan sentiasa melindungi tetapi isteri masih tidak mensyukuri asyik meminta itu dan ini dan pergerakan suami juga sentiasa ingin diawasi. Alhamdulillah sekiranya ada di antara kita dikurniakan suami dan isteri yang saling menyayangi, sentiasa menghormati dan mensyukuri serta disaluti dengan limpahan kasih sayang saban hari. Pastinya kita tidak terlepas daripada diuji..Kuatkah kita untuk menempuh masalah yang melanda?..sudah cukup terujikah kesabaran, ketabahan dan keikhlasan dalam diri kita? Usah cepat melatah dan melenting hanya kerana memikirkan apa yang kita rasa…fikir-fikirkanlah bahawa ada orang lain yang cukup menderita dan sengsara. Kehidupan yang dilalui sentiasa tergores luka tetapi mungkin mereka berhati waja, keperitan hidupnya tidak terpancar pada wajah tetapi tidurnya sentiasa dilimpahi dengan air mata.
Justeru itu, sebagai isteri ilmu rumahtangga perlu sentiasa digali dan dicari kerana bimbang ilmu sedia ada sentiasa terhakis. Pastinya suami yang bertanggungjawab dan amanah amat perlu disayangi dan dihormati; dengarilah nasihatnya patuhilah kehendaknya; kata-katanya jadikanlah azimat, dan tegurannya jadikan pedoman selagi ianya tidak menyalahi hukum Tuhan. Para isteri..jagalah lidah usah menyakiti hati suami. Jadilah isteri solehah, penyejuk mata pendamai hati dan penenang jiwa. Apalah lagi yang kita harapkan selain daripada kasih sayang suami dan kegembiraan anak-anak. Yang penting saling menghargai dan memahami, juga saling menghormati dan mengasihi. Kepercayaan dan kasih sayang suami usah dikhianati.
Marilah kita belajar bersyukur dengan apa yang kita ada kerana kehidupan di dunia hanya sementara. Apa yang kita miliki bukan hak mutlak kita. Kalau Allah ingin menarik nikmatnya daripada kita dalam sekelip mata sahaja ia lenyap begitu sahaja. Saya juga tidak terlepas daripada ujian kehidupan..yang membuatkan saya bersemangat, tabah dan sabar kerana di hati saya masih berkeyakinan bahawa InsyaAllah setiap kesulitan ada kesenangan, setiap kesusahan pasti ada kelapangan, dan setiap penderitaan pasti ada sinar kebahagiaan. Kesabaran kunci kekuatan dan pengorbanan membuktikan kasih dan sayang.
Anda dan saya, pengorbanan kita sebenarnya tidak seberapa..belajarlah berkorban dengan penuh keikhlasan kerana ia menterjermahkan tarbiyah diri yang tinggi. Sesungguhnya harapan kita semua agar Allah meredhai setiap langkah kita..kerana bimbang sekali seandainya silap percaturan dosa menanti dan semestinya kita tidak sanggup untuk ke neraka kerana syurga idaman hati. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dalam keadaan suami meredhainya, maka dia akan masuk ke dalam syurga” (Riwayat At-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).
Oleh itu, duhai isteri, taatilah suami yang sentiasa melindungi diri kita, yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab rumahtangga, serta sentiasa memimpin kita ke jalan yang benar agar perintah Allah dipatuhi dan larangan Allah dijauhi. Mudah-mudahan setiap ujian yang dikhususkan buat kita akan menjadi perintis laluan ke syurga kerana yakinlah janji Allah itu pasti, terpulanglah kepada kita untuk melayari dan mengemudi.
Bertemu lagi…
No comments:
Post a Comment