Bismillahirrahmanirrahim…
Sebagaimana biasa, hari Ahad saya banyak menghabiskan masa dengan menonton TV seawal pagi kerana saya tidak mahu ketinggalan untuk bersama program yang saya minati iaitu Program Motivasi dan Tanyalah Ustaz. Selain itu, membaca akhbar dan menulis juga menjadi kegiatan yang sering saya lakukan pada hujung minggu ini. Banyak berita yang menarik dan juga sensasi yang saya tatapi. Kes penceraian pada usia tua turut menarik perhatian saya. Selain itu, isteri orang bercinta dengan suami orang dek penangan facebook dan SMS juga turut mencuri tumpuan saya.
Ya, begitulah fenomena yang berlaku kini. Bimbang sungguh rasa di hati kerana takut diri ini terjerat tanpa disedari. Wanita..perempuan..apabila dirinya dilimpahi dengan kata-kata lembut, dibaja dan disiram saban hari dengan penuh kasih dan sayang pastinya akan mengugatkan keimanan dan mencairkan perasaan. Kesannya suburlah cinta terlarang yang tidak akan berkesudahan yang belum tentu ada titik noktahnya. Dalam konteks ini, siapakan yang patut dipersalahkan..si suami yang bercinta dengan isteri orang atau si isteri yang melayan? atau mungkinkah suami yang membiarkan isteri hanyut tanpa bimbingan dan pedoman serta tanpa kasih sayang dan perhatian yang akhirnya menyebabkan isteri beralih pandangan? Ya ..masing-masing ada jawapan yang tersendiri dan pastinya berbeza mengikut situasi.
Kalau diperhalusi…apa yang berlaku adalah disebabkan tanggunjawab kepimpinanan yang mungkin tidak berkesan dan adakalanya diambil mudah dan tidak disempurnakan. Bagi seorang isteri, apa yag diharapkan adalah kasih sayang suami. Perhatian suami waktu menghadapi saat kesukaran amat diharapkan, suami boleh dibawa berbincang, mempunyai masa untuk bersembang, mengambil berat tentang kesihatan, diri suami dijadikan sandaran untuk meluahkan segala perasaan serta berkongsi duka, susah dan senang. Bagi isteri, suami adalah segala-galanya..kasih dan sayang tidak berbelah bagi kerana syurga yang dicari perlu mendapat keredhaan suami. Harapan isteri usah dikecewakan, kebajikan isteri jangan diabaikan, keselamatan isteri perlu dititik beratkan kerana isteri perlukan perlindungan.
Apabila isteri beralih arah kerana mencari perhatian dan kasih sayang, semudah itu kepada isteri dituduh curang tanpa memperhalusi punca kenapa ia berlaku sedemikian. Sewajarnya para suami muhasabah diri, memperbetulkan kesilapan dan kesalahan seandainya masih ada perasaan sayang. Kenapa hari ini, penceraian menjadi satu perkara yang amat mudah untuk dilakukan tanpa berfikir panjang akan akibatnya kepada anak-anak yang mungkin emosinya turut terkesan. Wahai suami, laksankanlah tanggungjawab dan amanah kepimpinan terhadap isteri dan keluarga tersayang.
Sebagai isteri, kesabaran yang tinggi amat diperlukan untuk menghadapi gelora kehidupan. Kasihan si isteri sendainya dirinya tidak diendahkan dan dibiarkan bersendirian berhempas pulas untuk menguruskan kehidupan. Usah dosa isteri sahaja yang dikira dan dihitungkan tetapi dosa sendiri tidak langsung difikirkan. Kalau suami berlaku adil, bertanggungjawab dan berkemampuan, pasti isteri tidak melarang hatta kalau mahu beristeri lebih daripada seorang.
Wahai para suami, saya merayu..ketepikan ego..korbankan kemarahan dan juga kecurigaan, peranan dan tanggungjawab sebagai suami usah dipermudahkan kerana suami tetap akan dipersoalkan tentang amanah dan tanggungjawab pada hari pembalasan. Sekiranya kedapatan sebarang kesilapan dan kesalahan, bersegeralah memohon dan memberi kemaafan. Persengketaan tidak sewajarnya dibiarkan berpanjangan, bermasam muka tidak elok dibiarkan berterusan kerana ianya akan meragut ketenangan dan kebahagiaan. Seandainya ada yang tidak berkenan di hati, bersegeralah memohon penjelasan atau menegur sebarang perbuatan yang tidak selesa mata memandang, tidak sedap telinga kedengaran atau yang menyebabkan tersentuh perasaan. Pertelingkahan usah dibiarkan berlarutan..berusahalah mencari jalan penyelesaian.
Kalau keharmonian memang sudah tidak dapat dipulihkan usah dibiarkan isteri berterusan tertekan dengan penderitaan yang tidak berkesudahan dan dibiarkan duka laranya berpanjangan. Usah didera perasaan isteri, kasihanilah isteri..deritanya tidak terperi, lepaskan dirinya secara terhormat tanpa ungkitan dan juga ugutan kerana kebahagiaan juga isteri idamkan untuk meneruskan sisa kehidupan. Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda “ Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya “ (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud)
Anda dan saya..sebagai isteri redha suami amat kita harapkan..marah suami amat menggerunkan kerana masuk syurga menjadi idaman. Mudah-mudahan amal ibadat kita di terima Tuhan dan dimatikan dalam keimanan. Amin…
Bertemu lagi…
No comments:
Post a Comment