Bismillahirrahmanirrahim…
Hari ini saya begitu tertarik untuk berkongsi tentang peri penting memelihara persaudaraan, silaturrahim yang terjalin usah dibiarkan terungkai dek tindakan yang tidak berpedoman dan tidak berasas. Kadangkala kita terasa diri cukup hebat untuk menjadi pendamai kepada dua hati yang sedang berselisih faham. Tanpa usul periksa kita bertindak tanpa diarah dan diminta untuk menunjukkan bahawa diri kita adalah pembela walhal tindakan kita telah menyebabkan ramai orang yang bermasam muka. Ya bukan salah menjadi pengantara, tetapi kita perlu berlaku adil tanpa menyebelahi atau memilih yang lebih disayangi sahaja.
Dalam keluarga begitu juga, anak kita bergaduh dengan anak jiran tetangga. Sebagai ibu bapa tidak perlu menyerang dan bersemuka kerana anak-anak kita, bergaduhnya hanya seketika, sekejap lagi berbaik lah mereka. Apabila ibubapa campur tangan, hubungan baik dengan tetangga akan tercalar jua tetapi anak-anak tidak ada apa-apa berkawan semula dan bermain mesra. Justru, berilah peluang anak untuk belajar menyelesaikan sendiri konflik yang dihadapi, supaya hubungan yang terjalin dapat dipelihara.
Begitu juga di rumah, perselisihan ibu bapa merupakan perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Perselisihan yang berlaku pastinya cepat reda kerana kesalahan yang dilakukan perlu diakui. Hakikatnya anak-anak kini, merasakan diri mereka cukup matang untuk bertindak, mempersoalkan itu dan ini. Paling malang seandainya ada anak-anak yang mula menunjukkan taring untuk berpihak kepada ibu atau bapa. Apabila ibu yang disebelahi, pasti bapa menjadi mangsa, kesalahan bapa dicari-cari sehinggakan bapa merasakan dirinya tidak dihargai. Kedapatan juga yang berpihak kepada bapa, maka ibu pula yang menjeruk rasa.
Duhai anak-anak sekalian, ibu dan bapa sama pentingnya kerana mereka semuanya berjasa kepada kita. Kedua-dua mereka perlu dikasihi dan dihormati kerana pengorbanan mereka tiada terhingga. Jadi berlaku adillah kepada mereka agar hati ibu dan bapa tidak terguris. Apabila diri mereka diketepikan pastinya hati kecilnya amat terluka kerana merasakan diri mereka tidak langsung dikasihi dan dihargai. Kadangkala anak-anak yang terlebih untuk menjadi pembela sedangkan antara ibu dan bapa perselisihan hanya sementara menjadi rencah dan juga perasa, selepas itu mereka kembali mesra.
Anda dan saya, belajarlah mencari kekurangan diri sendiri, kepada orang lain usah menunding jari. Kita perlu bersikap rasional, berlaku adil secara saksama. Masalah anak biarlah mereka belajar untuk menyelesaikan sendiri agar anak kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Begitu juga dalam keluarga, perselisihan ibubapa usah kita memandai untuk mencampuri kerana mereka cukup matang untuk mencari penyelesaian sendiri.
Pesanan untuk diri saya serta juga untuk semua, ibu dan bapa usah memburukkan pasangan dihadapan anak-anak kerana ia lebih memburukkan suasana. Apabila anak memburukkan bapa, segeralah ibu membela kerana dia masih bergelar suami justru maruah suami patut dijaga.
Isteri yang baik sentiasa mencari apa sahaja perlakuan yang menyenangkan hati suami. Isteri juga takut untuk melakukan perkara yang boleh menggugat keharmonian dalam rumahtangga yang telah dibina. Derhaka kepada suami amat ditakuti kerana ketakutan kehadrat Allah mengatasi segalanya. Riwayat daripada Abu Hurairah RA “orang bertanya Ya Rasulullah, manakah wanita yang baik?” Rasulullah SAW menjawab, wanita yang baik ialah wanita yang selalu mengembirakan suaminya, bila suaminya melihat kepadanya, dia selalu patuh, bila diperintah, dia tidak mahu melanggarnya sama ada pada diri mahupun harta bendanya menurut yang tidak disukai suaminya”.
Sebagai isteri, adakalanya kita menjeruk rasa, kesabaran kita juga sering teruji. Yang paling penting, syak wasangka terhadap suami sila tolak ketepi. Kecintaan kita kepada Allah mengatasi segalanya, suami dan anak-anak hanya pinjaman sementara buat kita semua. Marilah kita berusaha untuk menjadi insan yang baik hati, bermaafan sesama sendiri agar persengketaan tiada lagi.
Bertemu lagi…
No comments:
Post a Comment