Wednesday, November 17, 2010

Aidiladha: Pengorbanan VS Keikhlasan

Bismillahirramanirrahim…

Hari ini saya berpeluang mendengar khutbah Aidiladha. Alhamdulillah, ia memberikan kesedaran dan keinsafan betapa kerdilnya diri ini. Mukaddimahnya dimulakan dengan tafsir surah Al Mumtahanah yang intipatinya sungguh menyusuk ke hati. Betapa kita telah ditinggalkan dengan panduan dan pedoman untuk dijadikan pegangan dan ikutan, tetapi kenapa kita masih tercari-cari dan seterusnya lalai lagi. Mungkin kita kurang ilmu, kurang pengetahuan serta tiada penghayatan menyebabkan kita sering hanyut dan keliru memilih persimpangan.

Pengorbanan Nabi Ibrahim tiada tandingan. Usia baginda dihabiskan dengan berbakti kepada Allah. Isteri dan anak sanggup ditinggalkan serta redha dan bersedia untuk mengorbankan anak kerana mematuhi perintah Allah Yang Maha Esa. Firman Alah SWT yang bermaksud “ Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka ‘Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya “ sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatupun bagi kamu (siksaan) Allah. (Ibrahim berkata) “Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali” (Surah Al-Mumtahanah: 4)

Intipati khutbah turut menyeru agar kita meningkatkan ketaqwaan dan keimanan dengan penuh keinsafan. Kita perlu melakukan pengorbanan dengan meninggalkan segala larangan Allah dan berusaha untuk mentaati semua perintah-Nya. Hanya kepada Allah kita bertawakkal dan bertaubat kerana kepada Allah kita akan kembali. Ambillah pengajaran daripada Nabi Ibrahim yang dengan penuh ketaqwaan, keimanan dan keikhlasan untuk mengorbankan anak demi kecintaannya kepada Allah. Terimalah ajaran Islam sepenuhnya kerana ia tidak akan merugikan dan tidak akan menyusahkan. Usah ragu-ragu lagi, dan jangan amalkan Islam secara serpihan mengikut sesuka hati.

Khutbah juga turut menjelaskan kenapa kita gagal dan lalai melaksanakan tanggungjawab ke hadrat Allah SWT; antaranya ialah kerana kita sukakan dunia dan kita membenci kematian. Kita terlalu teringinkan kemewahan, kesenangan, kedudukan serta pangkat menyebabkan kita kekurangan dan tidak sanggup berkorban masa untuk bersujud memohon daripada Yang Maha Esa. Apa yang dimiliki dirasakan hasil titik peluh sendiri sehinggakan terlupa untuk menghubungkaitkan dengan Allah Yang Maha Pemberi. Kita lebih suka mementingkan diri sendiri daripada kepentingan umum. Bangkitlah, kita perlu bersatu hati dan hindarkan daripada sifat mementingkan diri. Pengorbanan merupakan satu agenda yang dituntut kerana ia akan menyatukan dan mengeratkan ukhuwwah antara kita sebagai hamba Allah. Selain itu, pengorbanan yang dilakukan perlu berasaskan kepentingan Islam, bertunjangkan keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT agar diberkati dan dirahmati.

Hari ini, ibadat korban yang kita lakukan biarlah dengan penuh keinsafan kerana dibimbangi ia tidak mendapat rahmat Allah seandainya korban yang dilakukan sekadar untuk menunjukkan tahap kemampuan. Jumlah lembu yang dikorban dan disedekahkan bukan menjadi ukuran tetapi niat dihati penentu keikhlasan dan ketaqwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud “ Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikiannlah Allah telah menundukkanya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira terhadap orang yang berbuat baik”. ( Surah Al-Hajj: 37).

Jadikanlah Aidiladha ini sebagai ruang, peluang dan kesempatan untuk membina keutuhan dan kasih sayang antara kita. Saling menziarahi, saling bermaafan yakni buang yang keruh ambil yang jernih. Mengapa kita perlu menjeruk rasa dan gundah gulana kerana kita yakin Allah ada untuk membantu kita seandainya kita berhajat kepada-Nya. Marilah kita melakukan perubahan dan pengorbanan bermula pada hari ini sehingga seterusnya ke akhir hayat kita. Kita masih belum terlewat untuk berubah, kesilapan yang lepas dijadikan pengajaran, pengalaman yang ditempuh jadikanlah azimat supaya kesalahan yang lalu tidak berulang lagi. Nikmat Allah yang kita terima tidak terhingga banyaknya, justru usah tamak untuk memiliki segalanya. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurnia. Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kepada Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang yang membenci kamu dialah yang terputus. (Surah Al-Kautsar: 1-3)

Saya sekadar berkongsi intipati khutbah agar kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripadanya. Moga usaha saya yang sedikit ini tidak disalah anggap dan tidak disalah tafsir. Saya masih berkeyakinan masih ada insan yang membaca dan menghargainya. Perkongsian merupakan proses pembelajaran yang berterusan kerana banyak yang masih belum kita ketahui. Mudah-mudahan kita berlapang dada dan merendah diri untuk menerima teguran dan nasihat demi kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment