Sunday, November 14, 2010

Masih Panjangkah Usia Kita

Bismillahirahmanirrahim…

Mutakhir ini, terasa benar diri ini tidak sepantas dan secergas dulu. Terlebih fikir akan memeningkan kepala, berjalan jauh kepenatan terasa dan untuk mengangkat barang yang berat sudah tidak terdaya lagi. Ya ini petanda usia semakin bertambah dan sedikit demi sedikit nikmat yang dikurniakan Allah ditarik sudah. Justru apa lagi yang hendak difikirkan, apa yang tinggal perlu dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk akal fikiran yang Allah kurnia. Berfikir sebelum bertindak, berprasangka baik perlu diamalkan kerana sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Oleh itu usah diperbesarkan kekurangan yang lalu kerana saling bermaafan amat perlu kerana ia pencentus ketenangan dan kedamaian jiwa.

Pada usia begini pelbagai penyakit akan menjenguk tiba, mengintai untuk menapak dalam diri kita. Kadangkala sakit kepala amat terasa kemungkinan disebabkan tekanan darah rendah yang selama ini di warisi atau mungkinkah penyakit darah tinggi sudah melanda maklumlah banyak perkara yang hendak difikirkan termasuk tugasan di pejabat dan urusan rumahtangga. Walau apa pun saya perlu menerima hakikat, pada usia begini Allah memberi peringatan agar kita tidak mudah lupa dan lalai kerana kesebokan urusan dunia semata-mata.

Baru-baru ini seorang sahabat saya telah meninggal dunia dalam usia yang begitu muda, masih belum berumahtangga. Dirinya tidak langsung menunjukkan tanda kurang sihat kerana itu, kematiannya berlaku di pejabat sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawab. Yakinlah, kematian tidak mengenal usia sampai masa sesaatpun tidak akan ditangguhkan. Oleh itu kenapa kita perlu bersengketa dan bermasam muka, berhasad dengki dan iri hati serta angkuh pula, kerana apabila kematian tiba, maka segala-galanya akan kita tinggalkan begitu sahaja termasuk anak, suami atau isteri tercinta.

Apabila diri ini cukup lemah terasa, takutpun ada kerana bimbang kematian sudah hampir tiba maklumlah persediaan untuk menghadap Ilahi tidak seberapa. Dalam kehidupan ini, adakalanya ketabahan dan kesabaran begitu tinggi dan ada ketikanya sedih dan hiba serta kesayuan melanda. Justru untuk mendapat kekuatan saya tidak boleh bersendiri, saya memerlukan sahabat yang baik budi dan ikhlas serta tulus hati. Adakala masalah menyesak di dada apabila tahu ada orang yang tidak menyukai kita hatta walaupun kesalahan tidak seberapa. Saya amat kecewa seandainya kerana dendam dan prasangka apa yang kita buat semuanya ditafsir buruk belaka. Untuk berbuat baik dikatakan bermuka-muka apabila berdiam diri dikatakan sombong pula. Apakan daya begitulah hakikatnya manusia menterjermah dan mentafsir mengikut citarasa sehinggakan kebenaran diketepikan sahaja.

Seandainya diri tidak mempunyai kekuatan carilah sahabat serta orang sekeliling yang mampu membawa kita ke jalan kebenaran. Tinggalkan mereka yang mendatangkan masalah serta suka mengkhianati dan memfitnah kita. Maafkanlah mereka kerana kalau kita gagal berlapang dada penyakit akan menimpa kita. Abaikan mereka dalam kamus dan diari kita kerana usia kita pun hanya tinggal tidak seberapa. Marilah kita sama-sama mencari sahabat yang memiliki nilai iman dan takwa disisi Allah agar kita sering diperingat seandainya kita terlalai dan terpesong dari landasan yang betul.

Firman Allah SWT yang bermaksud “ Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat dan mengingatkan kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang semata-mata mengharapkan keredaan Allah; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah kamu mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula melampaui kebenaran agama” ( Surah Al-Kahfi: 28)

Anda dan saya, marilah kita ketepikan perkara yang remeh temeh yang menyesak di dada. Lebih baik bemanis muka dan elak berprangsangka serta syak wasangka walhal untungnya langsung tidak ada. Berlapang dadalah kita kerana usia kita semakin hari semakin meningkat..fikirkanlah apa akan terjadi seandainya tiba-tiba kematian menjenguk kita sedangkan penyakit hati dan dendam kesumat masih bersemadi dan bertakhta di hati. Marilah kita berdoa agar sisa kehidupan yang ada dipenuhi dengan keberkatan serta disuburkan dengan perasaan kasih dan sayang. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita kesihatan yang baik untuk kita terus tegak mentaati perintahNya.

Seandainya kematian menjemput saya, kemaafan saya pohonkan kepada sekalian yang ada maklumlah mungkin tingkah laku dan tutur kata saya ada yang menyakitkan dan perbuatan saya membuatkan kebencian dalam diri kalian sukar dipadam. Ampun dan maaf saya pinta, kadangkala saya tidak sengaja kerana dalam diri saya sentiasa subur perasaan sayang dan cinta terhadap sesiapa yang akrab dengan saya. Mudah-mudahan Allah memberkati kehidupan kita. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment