Sunday, February 20, 2011

Sukarnya Mendidik Hati

Bismillahirrahmanirrahim..

Apabila lama tidak menulis, terasa benar ada sesuatu yang kekurangan dalam diri ini. Kini baru saya sedari, seandainya kita menulis yang baik-baik, positif dan optimis secara tidak lansung ia mampu memberi impak kepada jiwa, hati dan pemikiran kita. Benar sekali, kalau kita memikirkan perkara yang baik, melakukan perbuatan yang baik dan memandang orang lain juga baik maka sekali gus membuatkan hati dan fikiran kita menjadi tenang. Memang bunyinya amat mudah, tetapi amat payah untuk dilaksanakan. Saya sendiri, adakalanya gagal untuk sentiasa berfikiran positif. Alhamdulillah ada sahabat di sekeliling yang sentiasa membantu mengingatkan saya agar dalam kehidupan hindarkan daripada penyakit syak wasangka, iri hati dan juga rasa curiga yang keterlaluan kerana dibimbangi kehidupan kita akan berkecelaruan.

Kehidupan amat sinonim dengan ujian kerana tiada ujian tiadalah kehidupan. Mungkin ujian yang kita hadapi banyak perbezaannya. Usah kita menganggap kesusahan dan kemiskinan sahaja sebagai ujian tetapi kekayaan, kemewahan, kemasyhuran dan pangkat juga merupakan satu ujian yang sangat hebat buat kita. Bayangkanlah sekiranya kekayaan yang kita miliki tidak dibelanjakan ke jalan Allah, pangkat dan kuasa yang ada pula tidak dilaksanakan dengan amanah dan kemewahan yang dikecapi pula membuatkan diri kita lupa terhadap kekuasaan Allah. Saya cukup takut dengan diri sendiri, khuatir seandainya mudah lupa dan leka, merasa riak dan takabbur terhadap kebolehan dan kepakaran yang ada walaupun saya bukanlah orang yang berharta.

Alhamdulillah dengan sedikit ilmu dan kepakaran yang ada, saya teringin sungguh untuk berkongsi dengan sesiapa sahaja. Saya tidak pernah merasakan diri ini cukup hebat dan berwibawa, Cuma sekadar untuk mempraktikkan apa yang telah dialami dan dipelajari. Semalam sahabat saya ada bersuara, katanya ia cukup bimbang orang lain tidak terikut dengan cara kerja saya, segalanya mahu disempurnakan segera. Teguran sahabat melekat di minda; bukan semua orang seperti kita. Ada kelainan cara berfikir, berkomunikasi dan cara kerja. Pastinya semua perlu diambil kira. Saya yakin, perbezaan yang ada antara kita, pasti ada titik pertemuan yang mungkin tidak disangka. Saling menerima dan saling memberi; InsyaAllah akan menghasilkan satu produk yang berkualiti.

Gembira sungguh hati saya apabila sahabat nan setia sentiasa memberi pandangan yang positif dan bermakna. Saya amat memerlukan teguran dan pandangan yang membina. Terlalu kerap menerima pujian juga boleh membuatkan penyakit hati bertunas tanpa disedari. Rasa diri hebat mula menguasai diri dan teguran yang diberi tidak diambil peduli lagi. Apabila saya amati, penyakit yang tidak sewajarnya wujud dalam organisasi ialah sifat mementingkan diri sendiri. Kehebatan diri berusaha ditonjolkan agar mendapat pujian daripada pihak atasan. Akibatnya kerja secara berpasukan semakin terhakis akibat ingin berlumba sesama sendiri. Penyakit sebegini perlu dibanteras dengan kadar segera, seandainya dibiarkan berpanjangan suasana harmonis akan terpadam dan suasana kerja tidak lagi menyeronokkan.

Begitulah ujian dalam kehidupan, dari pagi hingga ke malam tiada perhentian. Apabila di rumah ujiannya berlainan; di pejabat pula kita berhadapan dengan pelbagai dugaan. Dalam ujian, terbenam kesabaran dan ketabahan yang sememangnya mampu menguji tahap keimanan. Sesungguhnya, langkah yang diambil dalam menangani kesusahan dan penderitaan, akan membuatkan diri kita menjadi lebih matang, tidak mudah melatah dan mampu memberi kekuatan dan daya tahan yang tinggi. Benar sungguh firmah Allah SWT yang bermaksud “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : kami telah beriman’ sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Surah Al-Ankabuut: 2-3).

Hubungan manusia dengan kehidupan berkait rapat dengan ujian. Dalam ujian terselit rahmat yang tidak terduga oleh kita. Justeru, anda dan saya berhati-hati dengan ujian dan dugaan. Usah tersilap langkah dalam mencari penyelesaian. Kita bukan mengharapkan kesenangan sementara untuk kehidupan di dunia semata-mata, tetapi keredhaan Allah mesti didahulukan. Sebelum bertindak, perbetulkan niat agar ia disulami dengan penuh keikhlasan demi untuk mendapat keberkatan.

Ya, umur kita belum tentu panjang, beringatlah sentiasa kerana kehidupan kita titik penamatnya bukan di dunia ini sahaja. Tidak rugi kalau kita saling mengingati kerana kita insan biasa, kadang kala terlupa untuk bersyukur terhadap Yang Maha Pencipta. Segalanya pinjaman Allah jua, bukan milik mutlak kita. Buktikan cinta kita terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya dengan perbuatan dan amalan kita. InsyaAllah moga Allah membantu kita untuk menjadi hamba yang dikasihi Nya. Amin.

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment