Saturday, August 28, 2010

Ramadhan: Kini di Penghujungnya

Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini 18 Ramadhan, bermakna kita telah menghampiri 10 hari terakhir bulan yang penuh barakah ini. Semalam kita berkesempatan menyambut hari Nuzul Quran. Sesetengah negeri bercuti umum manakala terdapat juga pejabat yang mengadakan majlis tadarus dan khatam al-Quran. Begitu juga di pejabat saya BPPDP tidak terkecuali. Sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan ini kami sama-sama berbuka puasa, solat berjemaah dan seterusnya solat Tarawikh bersama-sama bagaikan satu keluarga yang besar. Sungguh mendamaikan sekali dan harapan meninggi agar majlis ini menjadi asas kepada kekuatan ukhuwah fillah yang sedia terjalin di organisasi kami. Syukur kepada-Mu ya Allah kerana kami masih berkesempatan untuk mengecapi nikmat Ramadhan pada tahun ini.

Ya..Ramadhan masih bersama kita untuk dilalui dengan pengisian yang penuh bermakna dan bererti buat kita semua. Usah biarkan Ramadhan berlalu pergi dengan sia-sia. Walaupun majlis khatam telah diadakan, ianya bukan titik noktah untuk kita berhenti bertadarus dan membaca al-Quran. 17 Ramadhan diraikan untuk mengingatkan kita tentang nikmat Al-Quran yang diwariskan kepada kita semua sebagai petunjuk, panduan dan sumber rujukan dalam melayari kehidupan. Al Quran diturunkan pada 17 Ramadhan sebagaimana firman Allah SWT; “Bulan Ramadhan adalah bulan di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang baik dan yang bathil)" (Surah Al-Baqarah; 185).

Ramadhan menggamit pengabdian mutlak kepada Allah SWT. Bulan Ramadhan merupakan bulan ibadah baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam. Teruskan dengan penuh bersemangat dan istiqamah dalam segala amalan yang kita telah lakukan. Malam isikan dengan solat Tarawih, membaca al-Quran dan Qiammulail dan siangnya kita berpuasa. Ramadhan merupakan bulan tarbiyah yang mendidik kita untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah ;183).

Insan yang bertaqwa sungguh hebat. Orang yang bertaqwa akan mendapat kasih sayang Allah; Allah akan bersama dalam langkah dan fikirnya; mendapat petunjuk dan manfaat daripada Al-Quran; bebas daripada gangguan syaitan; diterima segala amalnya; mendapat kemudahan setelah kesulitan, firasatnya tajam dan mampu membezakan antara yang benar dan yang salah; mendapat keampunan Allah dan akhirnya berjaya memasuki syurga Allah. Begitulah hebatnya mereka yang bertaqwa kepada Allah. Pastinya teringin sungguh diri kita agar tergolong dalam kalangan hamba Allah yang bertaqwa. InsyaAllah kita belum terlambat, jadikan Ramadhan ini sebagai titik permulaan dengan kesungguhan untuk memperhambakan diri kepada Yang maha berkuasa. Usah berlengah lagi, usah bertangguh lagi kerana kita tidak pasti bila kematian akan menjemput kita nanti. Bersedialah kerana Ramadhan pada tahun hadapan belum tentu dapat kita ketemui lagi.

Pada Ramadhan ini pasti banyak amalan luar kebiasaan kita yang telah dilakukan. Alhamdulillah solat Tarawih, solat Tahajjud, Qiammullail, dan membaca al-Quran telah kita laksanakan saban malam. Memang wajar bulan ini dinamakan sebagai madrasah Ramadhan kerana ia mendidik kita untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ya bulan ini mampu membuat diri kita berfikir dan mengoreksi diri agar kesalahan yang lepas tidak diulangi lagi. Ikhlaskan hati kita untuk benar-benar mencari dan mendapatkan redha Ilahi. Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud; “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu” (Riwayat Abu Hurairah-Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban dan Baihaqi).

Saya dan anda..marilah kita bertekad dan berazam untuk bersama-sama melalui detik terakhir 10 Ramadhan ini dengan memperbanyakkan amalan agar diri kita bertambah dekat dengan Allah, berusaha untuk melaksanakan keseluruhan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita bersepakat untuk mengimarahkan Ramadhan dengan amal ibadat dan untuk diteruskan pada bulan-bulan yang lain. InsyaAllah seandainya kita sering berpesan dengan kebenaran serta dengan penuh kesabaran maka kita tidak akan lupa dan lalai dalam melaksanakan tanggunjawab sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Yang penting kita perlu saling mengingati.

Marilah kita mendidik diri agar ibadat kita pada bulan Ramadhan dilaksanakan kerana Allah SWT semata-mata dan bukannya sekadar budaya atau ikutan sahaja. Kita tidak mahu melakukan perubahan diri hanya pada bulan Ramadhan. Yang penting ianya menjadi pemangkin kepada amalan dan tidak tanduk kita untuk bulan-bulan yang seterusnya. Sesungguhnya kita amat takut ibadat kita pada bulan Ramadhan menjadi sia-sia disebabkan nawaitu atau niat kita yang tidak ikhlas untuk beribadat kerana Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud; “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam” (Riwayat Ibn Majah).

Mudah-mudahan Allah mempermudahkan amal ibadat kita semua terutamanya pada bulan Ramadhan yang pernah berkat ini, moga Lailatulqadar yang menjadi idaman hati dapat kita temui. Marilah kita sama-sama berdoa agar segala amal ibadat kita diterima Allah dan Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada Ramadhan pada tahun yang lepas buat kita semua. Amin…

Bertemu lagi...

1 comment: