Friday, October 1, 2010

Ikhlas: Senang di Sebut, Sukar di Miliki

Bismillahirrahmanirrahim…

Saya suka sekali untuk berkongsi rasa perihal pengalaman kehidupan yang telah dilalui. Sepanjang Ramadhan tekad telah dibuat, keazaman telah disemat untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangaNnya. Betapa cita-cita tinggi menggunung untuk melaksanakan semua amalan pada bulan Ramadhan sehingga bertemu Ramadhan sekali lagi pada tahun hadapan, InsyaAllah sekiranya masih diberi peluang oleh Allah SWT. Apabila tiba Syawal, bermulalah ujian yang dihadapi untuk melihat sejauh mana kesungguhan diri ini untuk menggapai hasrat di hati. Kalau tersilap langkah kecundanglah diri, terikut-ikut dengan kehendak duniawi, sebok saban hari sehinggakan tiada waktu untuk diri sendiri.

Begitulah lumrah hidup..dugaan dan cabaran sentiasa menanti..terpulanglah kepada kita semua bagaimana hendak menghadapi dan mengurus diri. Kadangkala saya tertanya sendiri, ikhlaskah diri ini dengan apa dilakukan selama ini dan mampukah untuk membetulkan niat dan hati bahawa apa yang dilakukan adalah ikhlas kerana Allah, apa yang dihadapi pahit- manisnya juga diterima sebagai ujian daripada Allah serta berlapang dada dengan apa yang berlaku dan diperoleh kerana ia merupakan suratan takdir Allah.

Ya…apabila muhasabah diri dilakukan terasa benar saya masih gagal untuk mencapai tahap hamba Allah seperti yang diidamkan. Banyak sungguh dugaan hidup yang dihadapi menyebabkan adakalanya saya tertewas juga. Alhamdulillah, sahabat sejati sentiasa saling mengingati menyebabkan diri ini sentiasa diawasi. Justru untuk merubah diri ke arah kebaikan yang pasti carilah sahabat yang baik, berada dalam suasana sekeliling yang dapat membantu kearah kebaikan dan yang paling penting pengisian ilmu perlu dilakukan secara berterusan.

Kekuatan hati..kekuatan diri perlu dibekalkan dengan ilmu. Dengan pelita ilmu, suluhlah mana yang gelap. Bertanyalah kalau tidak faham. Belajarlah kalau tidak tahu. Jauhilah perasaan riak dan angkuh, dengan mendabik dada merasakan diri serba tahu. Jangan malu, kalau tidak tentu arah tuju. Siapalah kita..banyak sungguh perkara yang kita tidak tahu. Apabila kita tidak tahu pastinya kadangkala apa yang dilakukan memalukan diri sendiri kerana ia menggambarkan kejahilan diri. Perkara mudah yang boleh kita lihat saban hari, azan berkumandang tetapi kita tetap bercakap, diberi salam tidak dijawab, dan tangan berjabat salam tetapi mata tidak sanggup bertentang.

Pastinya, kejahilan yang membawa seorang itu sakit dan merana, tidak syak lagi bahawa ubatnya ialah ilmu. Kalau gelap gelita menjadikan seseorang itu tidak melihat, tentulah terang dan cahaya akan membuka mata seseorang itu menjadi celik. Firman Allah SWT yang bermaksud “maka bertanyalah olehmu kepada mereka yang berilmu sekiranya kamu tiada mengetahuinya” (Surah Al-Anbia:7).

Jelas kini..bagi mencapai tahap keikhlasan hati ilmu dalam diri perlu diisi. Al-Quran usah diketepi, kuliah dan kelas agama wajar dihadiri. Andainya terlalu sebok dengan tugasan sehari, program Halaqah dan Tanyalah Ustaz boleh dikuti di TV. Jangan izinkan hati jadi kosong dan hancur, kerana hati yang hancur hanya akan menerbitkan rasa dendam ataupun ketakutan sepanjang hayat. Lantaran itu hati pastinya kehilangan keupayaan, kehilangan harga diri, lantas hidup sudah jadi kosong dan lengang. Oleh itu, saya dan anda.. belajarlah dan bertanyalah kalau terasa diri kita tidak tahu.

Akhirnya terpulanglah kepada diri masing-masing untuk menilai sejauhmana keikhlasan diri dalam tindak tanduk, perbuatan tutur kata hatta apa yang terdetik jauh di dasar hati kerana Allah Maha Mengetahui. Walau apapun saya dan anda tetap mahu menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa, mahu memiliki segala yang baik di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud “Maka di kalangan manusia ada yang berkata: ‘ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dunia ini’, maka tiadalah baginya di hari akhirat dan sebahagian daripada mereka ada yang berkata:’wahai Tuhan kami kurniakanlah kepada kami dunia ini perkara yang baik dan dihari akhirat juga baik dan peliharalah kami dari azab api neraka’. Mereka itulah orang-orang yang telah dikurniakan untuk mereka bahagian daripada apa-apa yang telah mereka usahakan dan Allah itu amat cepat perhitunganNya. (Al-Baqarah:200-202)

Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang mensyukuri segala nikmatNya dan sentiasa berusaha untuk ikhlaskan hati. Redha Allah amat kita harapkan kerana kematian itu pasti. Segala keseronokan dan kehebatan dunia tetap kita tinggalkan justru bekalan untuk menghadapi Ilahi usah dikesampingkan..bersedialah dari sekarang.

Bertemu lagi…

1 comment:

  1. salam, teruskan menulis...saya sentiasa mengikuti..moga Allah memberkati.

    ReplyDelete