Saturday, March 5, 2011

Pengorbanan dan Pengertian

Bismillahirrahmanirrahim…

Minggu hadapan saya akan ke Tongok, Sandakan Sabah kerana bertugas luar. Kebiasaan pada awal tahun sebegini, kami agak semput. Pelbagai tugas yang perlu dirancang dan disempurnakan mengikut jadual. Kedengaran mudah tetapi tanpa perancangan yang teliti perkara yang mudah juga akan menjadi payah. Terbang jauh ke bumi Sabah pastinya pelbagai pengalaman yang boleh dikutip apatah lagi tempat yang dituju tidak pernah dijejak. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar kawasan Tongok walaupun hampir keseluruhan Sabah telah saya pergi. Saya mengandaikan Tongok adalah kawasan pedalaman, mungkin perjalannya amat jauh dan memerlukan sampan kerana terpaksa merentasi sungai.

Setiap kali bertugas luar, perkara yang sukar untuk saya lakukan ialah memberitahu anak bongsu saya Amirah bahawa saya tidak akan berada disisinya selama empat hari. Saya perlu memilih waktu yang sesuai untuk menjelaskannya kerana bimbang emosinya terjejas. Betapa saya amat memerlukan pengertian daripada keluarga tersayang kerana apa yang saya lakukan merupakan satu kewajipan. Keluarga perlu mengerti bahawa pemergian saya bukan untuk bersuka ria atau sekadar melancong sahaja. Pergi saya sarat dengan tanggungjawab dan amanah demi pendidikan anak bangsa. Alhamdulillah setakat ini, sokongan sentiasa diperolehi walaupun jauh di sudut hati mereka amat memerlukan saya di sisi. Terima kasih atas pengorbanan dan pengertian kerana ummi sememangnya amat memerlukan sokongan kalian. Moga anak-anak ummi mengerti dan memahami, bahawa ummi juga mengorbankan kerinduan untuk bersama anak-anak tersayang.

Dalam melasanakan tugas, adakalanya saya perlu mendengar, memerhati dan berbicara. Saya perlu menerima hakikat bahawa tidak semua butir perkara yang keluar dari mulut kita orang lain suka mendengarnya. Kemungkinan ada yang tidak menyenangi kita, maka terimalah secara berlapang dada kerana kita manusia memang ada yang berbeza. Kalau perbezaan yang ada diperbesarkan, maka titik pertemuan akan sukar diketemukan.

Alangkah baiknya sekiranya ada yang memberitahu tentang kelemahan diri kita. Telus lebih baik daripada berahsia kerana dibimbangi kita asyik dengan diri sendiri merasa disayangi dan disukai. Bagi saya sendiri, keseronokan dan kegembiraan untuk diri sendiri sudah tidak terkejar lagi. Dalam kehidupan kebahagiaan dan kegembiraan anak-anak sahaja yang menjadi penyejuk hati. Kesedihan dan kelukaan yang anak alami amat mengguris hati. Moga anak-anak sentiasa dirahmati dan kehidupan mereka diberkati.

Sesungguhnya, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita miliki. Sepanjang lawatan saya ke pelbagai tempat dipelusuk negeri, kemiskinan dan kesengsaraan hidup sering saya temui. Tidur beralaskan papan dan makan pula beralaskan daun pisang sahaja. Bagaimana dengan diri kita..belum cukupkah dengan apa yang ada, bersyukurkah kita kepada Yang Maha Esa atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga. Seandainya Allah kurniakan kita rezki yang berlebihan, ingatlah juga kepada mereka yang memerlukan. Sedikit sedekah atau sumbangan yang dihulurkan akan diterima oleh mereka dengan penuh kesyukuran kerana pada wajah mereka terpampang segunung harapan.

Begitulah kehidupan. Setiap hari apa yang kita alami, pandang, dengar dan lihat di dalamnya terkandung pelbagai pengetahuan yang boleh dijadikan pengajaran dan membuatkan kita lebih mengerti tentang hakikat kehidupan di dunia ini. Kesedaran dan keinsafan akan lahir secara tanpa kita sedari apabila kita memandang dengan mata hati, dan berfikir dengan minda yang positif. Percakapan perlu dijaga dan usah diluahkan mengikut sesedap rasa. Hati-hati kerana dibimbangi ada hati yang terluka kerana kita tidak tahu akan penderitaan dan kepedihan kehidupan orang yang berada di sekeliling kita. Ingatlah, ketawa memanjang belum tentu melambangkan kegembiraan, senyuman menawan tidak menjamin ada kebahagiaan; dan keceriaan yang diserlahkan bukan lambang kepada ketenangan. Oleh itu, kita perlu mengenali dan memerhati serta berhati-hati kerana kita tidak mampu untuk menyelami apa yang terpahat di sanubari insan yang kita berinteraksi.

Anda dan saya, kita serupa. Ingin sekali membuatkan orang lain gembira tetapi adakalanya kita kecundang juga. Walau bagaimanapun awasi diri kita dalam menyayangi dam membenci sesorang agar kita tidak bertindak keterlaluan. Sayyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata “ cintailah kekasihmu sekadar sahaja, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadar sahaja, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti” .

Moga kita tidak cepat berputus asa dalam melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kita sekadar mampu merancang dan berusaha tetapi segala yang berlaku adalah atas kehendak dan keizinan Allah jua. Amin…

Bertemu lagi…

2 comments:

  1. salam kak mai...terimakasih atas perkongsian ilmu ...alangkah bagusnya kalau ramai org yg berfikiran terbuka seperti kak mai...zaman sekarang kak mai kadang kadang harta yg banyak dan mewah pun tidak menjamin kehidupan yg bahagia dan tenang...kadang kadang kita lihat org yg susah itu ,yg serba kekurangan tetapi mereka hidup lebih bahagia,dan tenang...mungkin rezeki yg mereka perolehi itu lebih berkat walaupun sedikit....terus terang saya akui yg saya lebih respect anak anak org yg susah yg berjaya cemerlang dalam pelajaran...kerana mereka berjaya belajar dlm suasana serba kekurangan...
    Mempunyai 2 org anak yg sedang meningkat remaja...sekarang ini saya merasakan berada di fasa peringkat kritikal..yg sulung baru form...baru beralih ke peringkat remaja...baru merasa ingin berkawan..peringkat cuba cuba nak buat semua benda....takut kalau tersilap percaturan...saya cuma berdoa dia mampu menjadi lebih matang sedikit dan dpt membezakan yg baik dan buruk.....

    ReplyDelete
  2. salam, Eni..begitulah ujian. Kita perlu bersiap sedia untuk menghadapinya. Kehidupan dan dugaan saling berkaitan, ketabahan dan kesabaran dapat membantu kita mengatasi ujian yang melanda. Terima kasih

    ReplyDelete