Wednesday, February 29, 2012

Ketenangan Hati..Sukar Dimiliki

Bismillahirrahmanirrahim…

Dua minggu berturut-turut saya bertugas luar..bersama rakan-rakan yang lain. Pelbagai ragam..pelbagai karenah..kerana setiap kami ada yang berbeza. Walau bagimanapun setiap perbezaan kami ketepikan, persamaan yang dicari untuk kami memastikan tanggungjawab yang dipikul dapat disempurnakan sebaik mungkin. Bekerja dalam situasi begini memerlukan kami lebih bertoleransi, agar tidak wujud konflik yang akan menggugat keharmonian yang dingini.

Sememang yang melaluinya sahaja mengerti akan tekanan yang kami hadapi, untuk menyiapkan satu tugasan yang mencabar ini. Tugasan ini memerlukan perancangan yang rapi, penganalisisan yang teliti dan penyediaan laporan yang lengkap. Sesungguhnya situasi begini mampu mencipta seribu pengalaman dan pengetahuan yang tidak dapat diperoleh walaupun kita berwang. Alhamdulillah sehingga ke hari ini semua berjalan lancar seperti yang dirancang.

Bagi saya amat rugi kalau kita tidak berusaha untuk mendapatkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sekiranya peluang tersebut berada di hadapan mata. Tanyalah pada yang tahu, belajarlah daripada mereka yang berpengalaman dan kutiplah sebanyak mungkin pengetahuan daripada mereka yang mengerti tentang hidup dan kehidupan kerana ia akan membantu mematangkan diri kita. Akhirnya, dugaan yang mendatang pasti dapat diatasi dengan penuh bijaksana.

Untuk mengapai kejayaan bukan semudah yang disangkakan. Pasti pelbagai liku yang perlu ditempuh. Kadangkala kejayaan yang diharapkan, kegagalan pula yang menjenguk kita. Kita hanya merancang Allah yang menentukan. Seandainya perihal ini yang menjadi pegangan, maka tidah akan wujud perasaan gundah gulana, kekecewaan dan rasa putus asa. Firman allah SWT yan bermaksud “Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Apabila memikirkan kekuasaan Yang Maha Esa, apa yang ada hanya pinjaman untuk kita maka sudah pasti sifat bangga diri, riak dan merasa diri kita hebat akan menjauhi kita. Sebaliknya rasa rendah diri dengan kekurangan yang ada akan membantu kita untuk menerima orang lain seadanya. Ingatlah setiap kita ada kekurangan, kelemahan, kekuatan dan keistimewaan. Jadi kenapa ada rasa iri hati, hasad dengki dan perasaan dendam di sana sini. Berbaik sangka banyak faedahnya fikiran lapang dan hati pun tenang

Harta yang tidak ternilai ialah ketenangan hidup, bersyukur dengan apa yang ada, berusaha tanpa jemu dan bertawakkal berserah kepada Allah. Sebagai manusia, kesabaran dan ketabahan merupakan satu senjata yang amat kukuh yang sukar tergugat walaupun dilanda tsunami yang dahsyat. Sabar senang disebut tetapi amat sukar untuk dihayati dam diamalkan. Kadang kala pantang dicuit terus terusik dan melenting..entah kenapa cepat melatah mengikut rasa.

Justru sahabat sekalian, marilah kita bersama menggunakan senjata sabar untuk membenteng diri. Jika ada perasaan marah, lebih elok jauhkan diri..mengambil wudhuk dan berzikir mampu menjadi penawar yang mengendurkan perasaan panas di dalam hati. Kenapa suka marah-marah..bukankah ia amat menyakitkan hati sedangkan diri kita sendiri tidak mahu disakiti. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mencari ketenangan diri dengan mendekatkan diri kepada Ilahi. Quran tersedia untuk dijadikan santapan rohani begitu juga zikir yang boleh mengubat hati. Amalkan bacaan Al Mathurat pagi dan petang InsyaAllah kita akan peroleh ketenangan yang berpanjangan.

Berjumpa lagi…

No comments:

Post a Comment