Tuesday, February 28, 2012

Stres-Manafaatkan Dalam Diri

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah hari ini seharian tumpuan diberi untuk menulis laporan. Penatnya..rasa mengantuk turut mengiringi. Ada masanya nak menulis satu ayat pun sukar , mengambil masa untuk berfikir bagaimana untuk menulis agar mudah difahami maksudnya. Kalau tidak disertakan dengan ketelitian dan kesabaran, pastinya tugasan tergendala separuh jalan atau mungkin tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam melaksanakan tugasan sebegini, adakalanya tertekan juga..stres tidak dapat dielakkan. Ya, dalam apa keadaan pun jangan biarkan stres menguasai diri sebaliknya uruskannya sebaik mungkin berbekalkan keimanan dalam diri. Banyak sudah di khabarkan bahawa kadang kala stress memakan diri, menjadi murung dan ada yang sanggup membunuh diri. Usah diikut rasa, kelak diri yang binasa. Sepatutnya stres, tekanan..dijadikan azimat untuk membangunkan diri, menguatkan rohani dan menjadi sumber memotivasikan diri. Yakinlah, dengan iman kita yakin ujian dan cabaran itu datang daripada Allah. Pastinya, Iman menimbulkan rasa baik sangka, rasa pengharapan dan keyakinan kepada pembelaan Allah SWT.

Untuk bekerja dalam keadaan yang tenang, suasana tegang cuba elakkan. Bekerja dalam pasukan memerlukan pengorbanan perasaan. Sedikit kesilapan usah diperbesarkan, yang paling penting ialah mencari jalan penyelesaian. Segala apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi. Sesungguhnya, kita adalah penerima, Allah Yang Maha Pemberi. Seandainya kita mengharapkan sahabat yang baik, mohonlah pertolonganNya, begitu juga untuk mempermudahkan segala urusan di dunia, mohonlah daripada Yang Maha Esa..solat hajat boleh dilakukan, moga apa yang dihajati Allah akan kabulkan.

Sekiranya apa yang diharapkan tidak diperolehi, usah cepat berputus rasa. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jadi kenapa perlu rasa kecewa apabila menemui kegagalan setelah kita berusaha, kerana kita mesti yakin bahawa Allah akan bagi yang lebih baik untuk kita. Ujian Allah satu nikmat untuk menyedarkan diri agar tidak terus lalai dan leka diulit kesenangan, kegembiraan dan keseronokan. Firman Allah yang bermaksud “ Allah tidak menguji manusia melainkan sepadan dengan keupayaan mereka menghadapinya” (surah Al-Baqarah 2:286)

Saya sendiri tidak terkecuali, sering diuji dan teruji, ujian daraipada dalam diri, keluarga, sahabat serta orang di sekeliling. Kalau diikutkan kata hati, pasti memudaratkan diri. Kita perlu lebih berhati-hati dalam tindak tanduk dan perlu bijak mengawal emosi. Elakkan dan jauhkan diri daripada mereka yang gemar mencetuskan konflik, pembawa masalah dan yang sentiasa berfikiran negatif. Apabila ada yang memperkatakan yang negatif tentang kita, cuba tenang berhadapan dengannya dan tabahkan hati apabila mendengarnya. Ingatlah sebagai manusia, selagi ada mulut mereka terus berkata-kata. Usah melatah tak tentu hala. Yang pahit belum tentu menjadi racun dan yang manis belum pasti menjadi penawar. Allah sekadar menguji kita.

Bersyukur lah..bersabarlah..positifkan minda agar stres tidak terbenam di jiwa. Nilai diri sendiri. Carilah kekuatan dalam diri, manafaatkan potensi, usah dibiarkan kelemahan yang ada membelengu dan mengikat kita untuk tidak berusaha bagi meraih kecemerlangan. Berusahalah..harapkan yang baik daripada Allah SWT..InsyaAllah, Allah akan bagi yang baik untuk kita. Kenapa kita takut untuk muhasabah diri, agar lebih mengenali diri sendiri. Hati-hati dalam tutur kata dan tindakan kerana semuanya akan dikira sama ada sebagai dosa atau pahala. Saya berkeyakinan kita semua nak masuk syurga. Kita tidak perlu bertangguh untuk menjadi baik, usah berlengah untuk melaksanakan perintah Allah dan tidak perlu berkira untuk melakukan amal kebajikan. Jadi…Bersama kita berusaha untuk mendapat rahmat Allah Yang Maha Esa.

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment