Wednesday, April 28, 2010

Indahnya Perkongsian

Bismillahirrahmanirrahim...

Minggu ini saya bertugas di luar pejabat, kerana meneruskan tanggungjawab menjalankan penyelidikan di lapangan. Ya, tugas ini walaupun memenatkan tetapi ianya amat menyeronokkan maklumlah saya dapat menimba ilmu dan pengalaman serta mendapat pengetahuan baru apabila berada di tempat sebenar sesuatu kajian dijalankan. Menjalankan kajian bukan satu tugas yag mudah...ilmu sahaja tidak memadai tetapi ia perlu disertakan dengan kesabaran dan komitmen yang tinggi kerana prosesnya mengambil masa yang panjang bermula dengan penyediaan kertas cadangan, pengumpulan data, penganalisisan data dan seterusnya pelaporan kajian.

Semalam saya dan ahli pasukan kajian ke Klang dan hari ini pula ke Melaka. Perjalanan yang jauh tidak terasa kerana kami sering berkongsi cerita. Kerja secara berpasukan amat menyeronokkan sekiranya ada persefahaman, kebersamaan, keserasiaan dan disertai pula dengan semangat kekitaan. Masing-masing perlu bertanggungjawab ke atas tugas yang diamanahkan. Bagi menjalankan penyelidikan, kemahiran amat diperlukan. Ya..setiap orang daripada ahli pasukan kami mempunyai kepakaran yang berbeza. Apabila kepakaran ini dikongsi bersama, pelaksanaan penyelidikan menjadi lebih mudah. Pasukan kami terdiri daripada pegawai yang berpengalaman dan juga pegawai baru. Alhamdulillah kami dapat bekerjasama dengan baik tanpa rasa sangsi dan silu..“Yang berpengalaman dihormati, yang baru disayangi..” barulah keharmonian dapat dijelmakan. Apabila yang baru digandingkan dengan yang lama, proses pembelajaran berterusan berlaku. Ini juga satu persediaan bagi melahirkan pelapis pada masa akan datang.

Sepanjang perjalanan kami bersembang panjang, membincangkan apa yang patut dilaksanakan seterusnya, fokus kami laporan kajian mesti disiapkan, jadi kami sama-sama berkongsi tanggungjawab, melaksanakan tugas sehingga selesai. Amat mendukacitakan sekiranya ada ahli pasukan yang sekadar ingin menjadi penumpang...atau ada juga yang berminat menjadi posmen, menunggu laporan siap untuk ditunjukkan kepada ketua/bos.. tidak adil bukan? Tapi awas!.. Ketua kita tahu siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang suka bercakap sahaja dan siapa yang bekerja sambil lewa. Sesungguhnya, amanah, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas amat penting...jangan bekerja apabila ada ketua/bos sahaja, sempurnakan tugas yang diamanahkan kepada kita, bekerja secara kolektif akan menghasilkan produk yang berkualiti. Saya amat selesa bersama ahli pasukan kajian kerana mereka sentiasa menepati masa, segera dalam menyediakan transkripsi dan laporan pemantauan serta amat mudah memberikan pertolongan dan dibawa berbincang. Syabas sahabat sekalian, teruskan kecemerlangan!!!

Perkongsian ilmu, pengalaman dan kemahiran perlu diteruskan, kalau tidak ilmu yang ada tidak akan menjadi ilmu yang bermanafaat..jangan kedekut membudayakan amalan perkongsian. Elakkan daripada penyakit hati iaitu hasad dengki, irihati dan buruk sangka, kerana ia membinasakan diri, meragut ketenangan, diri sentiasa terasa terancam dan sering resah meniti hari mendatang. Ya..hati yang sakit akan membuahkan penyakit.

Firman Allah SWT; “Wahai orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah pula ada daripada kamu yang mengumpat sebahagian yang lain…(Al-Hujurat:12). Ya, saya dan anda saling memerlukan.

Bersama ahli pasukan...Bersarapan sebelum memulakan tugas

Bertemu lagi..

4 comments:

  1. ilmu, selagi kita berkongsi ia akan berkembang, semakin banyak pengetahuan kita dapat, kalau kita mengajar orang lain, ilmu kita juga akan meningkat..

    ReplyDelete
  2. wahhhh ... kak mai , kita memang sealiran :-). kita mmg suka topik ni ... perkongsian ilmu

    ReplyDelete
  3. Ilmu ni jika kita berkongsi, bukan saja berkembang ilmu tu. Apa yang paling penting, konsep peranan kita menyebarkannya! Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah yang berpanjangan!

    - Arie Farid

    ReplyDelete
  4. salam, arie farid dan hy, tqvm, moga Allah memberi kekuatan untuk kak mai terus menulis

    ReplyDelete