Saturday, December 18, 2010

Alasan..oh.. Alasan

Bismillahirrahmanirrahim..

Tatkala ini, keletihan begitu terasa. Penghujung tahun begini pelbagai perkara perlu dibereskan kerana tidak mahu ada kerja yang tertunda. Bertugas luar juga kadang kala agak memenatkan, tetapi ia sarat dengan pengalaman yang boleh dijadikan pedoman. Mungkin pada pandangan mata, kita nampak hebat, petah berbicara serta mengeluarkan pendapat tetapi hanya diri sendiri yang mengerti akan realiti yang dihadapi. Susah dan senang, derita dan sengsara, kekecewaan dan kekesalan, serta kesedaran dan keinsafan hanya diri yang dapat merasa. Adakalanya kerana kesebokan..masa untuk diri sendiri gagal diperuntukkan yang penting kebahagiaan dan kegembiraan orang lain lebih diutamakan.

Amat penting untuk sentiasa berhati-hati dan peka dalam berinteraksi dan berkata-kata. Usah terlalu sensitif atau cepat terasa kerana ia membuatkan diri kita sentiasa tidak selesa. Kalau kita mahu orang lain menjaga perasaan kita, maka kita juga perlu melakukan perkara yang sama. Alangkah indahnya kalau kehidupan dilimpahi dengan penuh kasih dan sayang, saling bertolongan dan saling menerima akan setiap kekuatan dan kelemahan kerana kita manusia tidak sempurna. Saling melengkapi adalah langkah yang terbaik kerana ia akan membuatkan kita saling menerima seadanya. Kehidupan ini memerlukan kekuatan, semangat, ketaatan dan keikhlasan agar kita mendapat kebaikan, kebahagiaan, serta kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Tidak dapat dinafikan, adakalanya kita memang bijak mencari dan memberi alasan seandainya kita tidak mahu melakukan sesuatu perkara. Apabila dipohon pertolongan, dikatakan tidak berkemampuan, disuruh membuat tugasan dikatakan pula tidak berpengetahuan, dinasihati agar membuat perubahan diri dikatakan pula belum sampai seru. Banyak sungguh alasan yang diberi yang kadangkala merimaskan telinga yang mendengar. Seribu satu alasan yang diberi kesannya akan merugikan diri sendiri. Diri kita mungkin tidak dipercayai lagi dan sahabat baik mengambil langkah menjauhkan diri kerana kita terlalu mementingkan diri sendiri, tidak bertolak ansur dan tidak mahu memberi.

Pastinya kita sentiasa mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan serta penambahbaikan secara berterusan. Usah menjadi orang yang bijak memberi alasan kerana bimbang sentiasa berdolak dalih akan menyebabkan kerugian yang berpanjangan. Dalam melaksanakan perintah Tuhan, berusahalah untuk tidak memberi alasan kerana dibimbangi dosa pula yang mendatang. Apabila diberi tugasan berusahalah untuk menyelesaikan dalam tempoh masa yang diberikan. Sebelum berusaha dan berikhtiar, elakkan daripada berdolak dalih mencari helah. Usah menyalahkan orang lain di atas kegagalan diri sendiri, sebaliknya carilah kesalahan, kelemahan dan kekurangan diri kerana ia dapat membantu kita membaiki diri.

Berusahalah tidak menjadi seperti orang lain tetapi jadilah diri sendiri. Yakinlah, dalam diri kita ada potensi yang boleh dicungkil dan digilap. Usah dibiarkan kehidupan kita dipenuhi dengan perkara apa yang akan kita laksanakan tetapi amat kurang dengan apa yang telah kita lakukan. Apabila apa yang dirancang tidak dilaksanakan, pastinya pelbagai alasan yang disertakan.

Kesilapan yang dilakukan, jadikan sebagai jambatan menuju kecemelangan yang perlu dijadikan pengajaran. Walaupun kita ada alasan di atas kegagalan misi yang ingin dilaksanakan, tetapi elakkan daripada memberi alasan. Sesungguhnya, kebanyakan kegagalan berlaku daripada mereka yang terlalu banyak atau suka memberi alasan. Seandainya kita bijak memberi alasan, pastinya ia menyukarkan kita untuk menempah kejayaan. Cari jalan penyelesaian bukan mencari alasan kerana alasan akan menjadi faktor kegagalan yang berpanjangan.

Begitu juga dalam menerima teguran dan nasihat ke arah kebaikan, pelbagai alasan yang diberikan kerana untuk mempertahankan prinsip yang tidak mendatangkan keuntungan dan kebaikan. Kesannya, kesilapan yang berterusan dilakukan kerana kehidupannya diwarnai dengan pelbagai alasan. Sesungguhnya, hendak seribu daya, mahu seribu cara dan kalau tidak mahu pastinya seribu dalih. Kalau ingin berjaya perlu disertakan dengan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Sekali berusaha seandainya tidak menemui kejayaan..teruskan langkah tanpa menoleh ke belakang. Lipat gandakan usaha tanpa mencari alasan kelak InsyaAllah kejayaan pasti berada dalam genggaman. Bertawakkallah setelah usaha dan ikhtiar dilakukan kerana Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada Rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az-Zumar:53).

Moga anda dan saya, tidak berterusan mencari alasan yang akan menghalang kita daripada melakukan kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi terhadap apa yang kita miliki. Diri kita serba kekurangan justru amat perlu saling bertolongan kerana kita saling memerlukan.

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment