Sunday, January 23, 2011

Keikhlasan Persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim…

Pada minggu ini saya akan bertugas luar selama tiga hari. Tugasan ini sungguh mencabar kerana saya perlu memerhati, mendengar dan mengalami pelbagai situasi untuk mendapatkan maklumat yang sahih lagi terkini. Tugas sebegini menjadi lebih ringan seandainya tidak dilakukan secara berseorangan. Saling bekerjasama dan berkongsi dalam melaksanakan tanggungjawab menyebabkan tugasan yang dilaksanakan menjadi lebih mudah. Yang penting ahli pasukan mesti saling memahami, bersedia untuk bertolak ansur dan seterusnya komited terhadap tugas yang diamanahkan. Oleh itu, dalam melaksanakan tugasan sebegini kita amat memerlukan sahabat sekerja yang sanggup memberi dan menerima seadanya.

Sesungguhnya, dalam apa jua situasi nilai sebuah persahabatan begitu tinggi dan amat saya hargai. Dalam bersahabat, pelbagai ragam dan karenah yang kita hadapi. Kalau kita tidak pandai membawa diri adakalanya kita boleh terjerat sesama sendiri. Sama ada di pejabat atau di mana sahaja… kita perlu mengenali, dalam kalangan kita siapa yang kita boleh bergantung harap, yang boleh bersama kita pada waktu susah atau senang, atau pada waktu kita dalam keadaan kesempitan atau lapang. Usah kita mengharap semua orang menyayangi dan menyukai kita kerana kita manusia mempunyai keinginan dan persepsi yang berbeza. Pastinya ada yang tidak serasi bersama kita. Terimalah hakikat bahawa dalam diam ada yang sayang dan dalam keriuhan ada juga yang tidak menyukai dan sering menyakiti.

Walau bagaimanapun, saya rasa amat bertuah dan bersyukur kerana di pejabat terasa saya di kelilingi oleh adik-adik yang penyayang dan amat prihatin. Keikhlasan terpancar pada wajah mereka kerana mereka tidak pernah membiarkan saya sendirian sama ada di kala duka atau pun gembira. Saya amat memerlukan sahabat yang ikhlas dan berbudi tinggi kerana saya tidak mahu bersahabat dengan mereka yang manis dibibir mengeluarkan kata-kata tetapi di hati pula lain bicara. Sahabat sejati mampu menjadi cermin diri, keaiban kita dijaga, maruah kita dipelihara. Kesilapan dan kelemahan kita pula tidak dibiarkan begitu sahaja. Kesakitan kita turut dirasainya, dan kegembiraan kita membuatkan diri sahabat turut merasa bahagia. Kita yakin, seandainya kita berpura-pura dalam persahabatan, pastinya suatu hari kebenarannya akan terserlah jua.

Sebenarnya, kalau diri kita terlalu disayangi juga akan membuatkan kita rasa tidak selesa dan tidak gembira. Perasaan bimbang menguasai diri, takut tidak terbalas budi dan tidak mampu untuk menjaga hati. Saya mahukan sahabat seikhlas hati, bukannya sahabat yang mempunyai agenda yang tersembunyi. Dalam persahabatan, biarlah kita saling menyangi dan mengasihi kerana Allah Yang Maha Esa. Seandainya kita menyayangi dan mencintai seseorang berlebihan, dibimbangi kita tidak dapat mengawal perasan seandainya orang yang kita sayang pergi meninggalkan kita. Berpadalah dalam menyayangi dan mengasihi agar diri kita tidak tersungkur pada kemudian hari.

Dalam menjalin persahabatan perlu ada batas dan sempadan apatah lagi yang bergelar isteri atau suami orang. Banyak sudah kedengaran cerita, teman sepejabat dijadikan kekasih sementara sekadar teman untuk bermesra. Lebih baik berwaspada, kerana bimbang nanti berputik pula perasaan cinta, rasa rindu mula melanda dan kesannya kehidupan menjadi tidak tentu hala. Justeru berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga, elakkan diri daripada bermain dengan perasaan kerana kita semua sudah dewasa, kepercayaan yang diberi usah dipersiakan. Kalau kedapatan antara kita yang tersilap langkah kerana menurut kehendak nafsu, segeralah kembali ke pangkal jalan agar tidak berterusan hanyut dibuai gelombang. Bimbang nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula akan keciciran.

Jalinan persahabatan dan berkasih sayang, pastikan ianya tidak menyimpang dan tersasar daripada landasan. Memadailah berkasih sayang kerana Allah dan bersih daripada kepentingan diri demi faedah diri sendiri. Persahabatan yang tulus hanya mengharapkan keredhaan Ilahi. Seandainya kita gagal membetulkan niat, nilai persahabatan akan menjadi sia-sia dan dikhuatiri akan memudaratkan diri kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Allah Azza Wajalla berfiman :’ orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku mereka mempunyai manabir (beberapa mimbar) dari cahaya, para nabi dan syuhada ‘ menyukai mereka ‘ (Riwayat At-Tirmidzi)

Anda dan saya, memang sukar dan payah untuk mencapai darjat cinta kerana Allah. Tiada yang mampu mencapainya kecuali orang yang benar-benar bersih jiwa dan hatinya. Marilah sama-sama kita berusaha untuk mencari cinta sejati yang hakiki iaitu mencintai Allah dan Rasul melebihi daripada segalanya. Moga cinta kita berasaskan kecintaan kepada Yang Maha Esa, mudah-mudahan kejernihan kasih sayang kita sentiasa terpelihara. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment