Sunday, July 18, 2010

Amanahkah Diri Ini?

Bismillahirrahmanirrahim…

Semalam, hari Sabtu saya telah dijemput sebagai pemerhati dalam Seminar Integriti Warga Pendidik. Alhamdulillah..sungguh bertuah diri ini kerana banyak sungguh ilmu baru saya perolehi serta pengalaman yang dikongsi juga amat berharga untuk diteladani. Syabas kepada warga pendidik, walaupun seminar diadakan pada hari Sabtu tetapi mereka tidak gagal untuk menghadirkan diri. Saya yakin, mereka datang bukan kerana terpaksa atau diarah oleh sesiapa tetapi adalah atas keikhlasan hati kerana ilmu yang dicari.

Saya sungguh tertarik dengan ungkapan penceramah, katanya mendengar ceramah sahaja tidak memadai kalau diri sendiri tidak mahu berubah atau tidak ingin untuk mengamalkan apa yang dipelajari. Integriti sungguh mendalam maknanya, sungguh indah sebutannya tetapi tanyalah diri sendiri, berintegritikah diri ini? Adakah kita berlaku jujur, ikhlas dan amanah dalam tindakan, tutur kata dan perbuatan sama ada kita diperhati atau apabila kita bersendiri? Mudahkah kita menggadai maruah dan prinsip apabila dipujuk, digoda dan dirayu atau apabila disogokkan dengan pelbagai hadiah dan juga rasuah? Ya..jawapannya mudah sekali iaitu apabila berada di mana sahaja walaupun orang lain tidak memandang dan melihat apa yang kita lakukan tetapi ingatlah Allah Maha Mengetahui. Oleh itu dalam apa jua keadaan, amanahlah pada diri sendiri, pada organisasi, serta amanah Allah amat perlu ditunaikan sebaik mungkin secara berhati-hati demi kemakmuran bumi ini. Firman Allah SWT; “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan tanggungjawab amanat (kami) kepada langit, bumi dan gunung ganang (untuk memikulnya), tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya (tidak dapat menyempurnakannya), dan manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" (Surah Al-Ahzab: 72).

Ya..dalam melayari kehidupan di dunia ini, kita amat memerlukan ilmu pengetahuan agar tindakan kita tidak tersasar dari landasan yang betul. Integriti sebenarnya mudah difahami dan dihayati. Ianya berkisar tentang harga dan nilai diri dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Yang penting, apa yang dikata hendaklah dikota; apabila bercakap hendaklah dengan hormat; apabila berkata hendaklah yang benar belaka; apabila berjanji hendaklah ditepati, apabila menerima sesuatu ucapkanlah terima kasih; dan apabila meminjam barang hendaklah dipulangkan. Ingatlah hak orang bukan hak kita dan kehidupan kita di dunia hanya sementara. Justeru amanah yang diberi usah dipersia. Amanah menjadi tunjang kepada integriti yang disulami dengan keikhlasan hati dan bukan berlaku baik apabila diperhati sahaja.

Kita perlu bijak mengawal diri, sentiasa berhati-hati dan waspada dalam gerak geri dan tutur kata, serta teliti dalam tindakan kerana amanah yang dipertanggungjawabkan amat berat untuk dilaksanakan. Sesungguhnya, yang paling dekat dengan kita ialah mati, yang paling jauh meninggalkan kita ialah masa, cabaran yang paling besar ialah nafsu dan yang paling berat pula ialah memegang amanah.

Empat perkara ini amat perlu difahami dan dihayati agar perjalanan hidup kita seterusnya diberkati dan diredhai. Pertama; bersedialah untuk menghadapi kematian kerana ianya pasti. Kita tidak dapat menjangkakan bila ia akan terjadi. Justeru tanyalah diri, sudah cukupkah bekalan untuk bertemu Ilahi kerana syurga Allah yang teringin sekali kita masuki. Kedua; masa yang ada usah dipersia kerana Allah masih bagi peluang untuk kita melaksanakan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan hati. Masa yang berlalu pergi tidak akan boleh dikutip kembali. Justeru detik masa yang ada perlu disiikan dengan perkara yang berkualiti. Ketiga; cabaran nafsu sukar sungguh untuk diatasi, seandainya tidak ada integriti serta tidak disertai dengan jati diri dan keimanan dalam diri. Justeru solat, doa, membaca al-Quran dan zikir usah dilupakan agar penyakit hati dapat dihindari. Keempat; amanah yang diterima merupakan tanggungjawab yang perlu dilangsaikan dengan penuh kejujuran, secara adil dan saksama. Seandainya amanah tidak dijaga dan dipelihara natijahnya urus tadbir dunia akan menjadi porak peranda dan ingatlah kemurkaan Allah tiada tandingannya.

Dalam apa jua tindakan, apabila merasa diri tidak diperhatikan bukannya satu jaminan untuk bebas melakukan apa sahaja yang kita inginkan. Banyak sudah kita pelajari, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Ambil iktibar daripada ungkapan ini, sudah ramai yang melakukan rasuah, maksiat, penipuan dan sebagainya yang akhirnya perbuatan mereka lambat laun diketahui umum juga. Jadi sekadar peringatan bersama, sebenarnya diri kita selalu diperhati, malaikat di kiri kanan setia mengiringi dan Allah Maha Mengetahui hatta apa yang tersembunyi di dasar hati serta yang terlintas dalam sanubari. Segala tingkah kita di dunia akan dihisab di akhirat nanti dengan bersaksikan mata, telinga, tangan, dan kaki yang akan membentangkan apa yang telah kita lakukan sepanjang menjalani kehidupan di bumi Allah ini. Jadi berwaspadalah kerana Allah jadikan kita bukan secara sia-sia, semua akan diperhitungkan di akhirat tempat yang kekal abadi.

Sering kedengaran di telinga kita butir bicara bahawa manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Perasaan kecewa sering melanda apabila kesalahan yang sama dilakukan secara berulang-ulang. Yang pasti ramai orang yang membuat kesilapan tetapi tidak ramai yang belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan. Kadangkala kita terjatuh dalam lubang yang sama lebih daripada sekali kerana kita tidak penah berusaha untuk menimbus lubang tersebut untuk mengelakkan kita daripada terus tergelincir lagi. Usah sudah terhantuk baru tengadah. Ambillah pengajaran dan iktibar dengan apa yang telah kita alami, dengari, pandang dan perhati. Yang boleh membinasakan dan memusnahkan diri sewajarnya terus diketepi, manakala yang baik pula jadikan azimat untuk dicontohi dan diteladani.

Anda dan saya..marilah kita renung sejenak erti kesyukuran, kebahagiaan dan keikhlasan kerana ia titik tolak kepada ketenangan, kesejahteraan dan kedamaian diri. Sayugia ditegaskan bahawa untuk mendapatkannya sukar sekali, amat memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana cabaran nafsu amat hebat yang perlu kita tempuhi. Dosa dan pahala usah dilupa, agar segala perbuatan kita bukan sekadar ikut suka dan sesedap rasa sahaja. InsyaAllah..kita akan dapat mengecapi kenikmatannya yang berpanjangan bukan sahaja di dunia tetapi nun di sana syurga sedia menanti.

Justeru untuk meningkatkan amalan dan kualiti peribadi, ilmu usah jemu digali dan diterokai. Semakin tinggi ilmu, semakin banyak yang kita akan ketahui kerana orang yang berilmu di sisi Allah darjatnya tinggi. Yang penting, ilmu yang dimiliki menjadi ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk dikongsi bersama dengan orang lain. Natijahnya, kemakmuran dan kesejahteraan alam ini lebih terjamin.

Mudah-mudahan kehidupan kita seterusnya akan diberkati dan diredhai dan petunjuk Allah sentiasa bersama dalam melayari kehidupan ini. Amin..

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment