Thursday, July 1, 2010

Antara Dahulu dan Kini

Bismillahirrahmanirrahim…

Malam ini entah kenapa, saya begitu terkenangkan waktu remaja zaman persekolahan. Kehidupan remaja yang saya lalui amat jauh berbeza dengan kehidupan remaja sekarang. Sungguh pesat pembangunan, betapa hebatnya kemajuan, alam siber menjadi pertaruhan maklumlah sekarang kita berada di dunia tanpa sempadan. Zaman saya tidak pernah kenal apa itu komputer yang ada hanyalah typewriter. Bahan bacaan bergantung kepada khutub khanah di sekolah sahaja kerana tiada internet untuk dilayari bagi mengakses maklumat terkini. Usahkan telefon bimbit, telefon rumahpun keluarga saya tidak ada. Televisyen pula saya tidak tahu rupa bentuknya, kerana tiada orang kampung yang mampu memilikinya. Apatah lagi untuk menaiki kereta, pastinya jauh sekali sedangkan basikal pun tidak mampu hendak dibeli.

Dahulu tiada pasaraya, gedung pakaian serta TESCO dan juga Giant. Jadi tiadalah kami kenal erti shopping atau membeli belah. Apabila habis sekolah kami terus pulang ke rumah. Selepas makan tengahari yang dimasak oleh emak, kami adik beradik meniarap di lantai membuat kerja sekolah. Ketika itu, kami tiada kerusi meja, tetapi kami sungguh selesa bersila di lantai sahaja. Apabila malam tiba, kami pasang pelita kerana tiada bekalan elektrik untuk menerangi rumah. Alangkah sejuknya mandi air perigi yang dicedok dengan timba kerana pada waktu itu tiada paip air yang mengalir ke rumah. Mesin basuh pula tiada, jadi kain baju dibasuh dengan menggunakan sabun dan berus sahaja.

Walaupun cara kehidupan kami kedengarannya seolah-olah serba kekurangan, tetapi kami rasai sudah cukup sempurna dan tiada apa yang kurang. Kami sungguh gembira dengan cara hidup yang kami lalui, ketenangan dan kebahagiaan terpancar di hati. Kehidupan kami sungguh membahagiakan kerana makan pakai kami bukan pembantu rumah yang sediakan tetapi dimasak dengan air tangan emak dengan rezeki yang dibawa pulang oleh ayah. Masakan emak tidak ada yang membazir jauh sekali untuk dibuang ke dalam tong sampah, tiada lebihan yang dimasak kerana itulah saja sajian untuk kami anak beranak. KFC, Mc Donald, burger serta nugget tidak pernah kami dengar. Apa yang kami tahu, makan mesti di rumah kerana tiada restoran mahupun kafetaria yang kami nampak.

Pada zaman kami juga, setahun adalah tiga kali kami menonton filem P.Ramli dengan ihsan Jabatan Penerangan yang dipancarkan pada layar putih di padang sekolah. Maka ramailah orang kampung menonton sambil duduk beralaskan tikar. Filem P.Ramli banyak pengajarannya sebab itulah remaja pada zaman ini juga turut meminatinya.

Dahulu permainan tradisional…congkak, guli, lompat katak, lompat tempurung dan lompat tali cukup dikenali dan menjadi permainan kegemaran kami. Waktu petang kami bermain, sebelum maghrib pula kami semua sudah berada di dalam rumah. Waktu maghrib semua pintu dan tingkap tidak ada lagi yang terbuka, seandainya tidak ditutup bimbang pula kalau syaitan mencuri masuk tanpa diduga. Sebelum ayam berkokok kami telah terjaga, maklumlah kami perlu awal ke sekolah bimbang terlambat mengatur langkah.

Dulu kami tidak pernah mendengar perkataan lepak, rempit, dadah apatah lagi berkaitan sumbang mahram dan anak luar nikah. Pada zaman kami tiada kedengaran langsung tentang membuang bayi, serta membunuh sesama sendiri. Mungkin kerana dek kehidupan kami yang tidak terdedah kepada dunia luar atau kasih sayang yang dipupuk begitu kental dan utuh sekali serta nyawa manusia amat dihargai. Kehidupan kami banyak berkisar tentang kekeluargaan, kejiranan, dan kemasyarakatan. Kami hanya impikan kejayaan dalam kehidupan agar kemiskinan tidak menjadi warisan. Masa yang terluang diisi dengan pelajaran kerana memikirkan harapan emak ayah serta keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.

Teratur dan tertib sunguh kehidupan lampau, betapa hebatnya didikan yang kami terima daripada emak dan ayah yang tidak pernah bersekolah. Oh…betapa saya amat merindui saat itu, kenangan lalu sungguh meruntun kalbu. Kemiskinan dalam kehidupan telah mengajar kami erti ketabahan, kesabaran dan kesyukuran. Ya, keyakinan tetap ada dalam diri bahawa setiap kesulitan sekiranya dilalui dengan tabah dan sabar akan membuahkan kejayaan. Sabda Rasulullah SAW; “Ketahuilah bahawa kemenangan akan datang setelah kesabaran. Kelapangan akan datang setelah kesusahan dan setelah kesusahan pasti ada kemudahan” (Hadis Riwayat Ahmad).

Betapa berbezanya kehidupan remaja dulu dan kini. Sekarang tidak perlu memerahkan keringat dan mengeluarkan peluh, memadai dengan menekan butang dan memetik suis, semua kerja akan menjadi. Kalau terasa lapar, tidak perlu bergegas ke dapur lagi, kalau berwang singgah di restoran perut terisi. Remaja sekarang banyak sungguh waktu terluang, menghadap televisyen dan melayari facebook berjam-jam. Bertuah sungguh anak-anak sekarang, hendak berhubungan tiada langsung halangan kerana telefon bimbit sentiasa berada di dalam genggaman. Kalau nak diceritakan tentang pasaraya dan pusat membeli belah, kita akan temui di mana sahaja apabila melangkah, hendak shopping bukan menjadi masalah. Mudah sungguh kehidupan kini, beruntung sungguh anak-anak pada zaman ini. Bersyukurlah dengan segala nikmat anugerah Ilahi.

Firman Allah SWT; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti aku akan tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmatku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih" (Ibrahim:7).

Alhamdulillah anda dan saya..Kehidupan kita kemungkinan melalui fasa yang berbeza. Kesusahan dan kesenangan adalah ujian untuk kita. Mudah-mudahan kita sentiasa menyedari segalanya adalah anugerah Allah Yang Maha Esa diamanahkan kepada kita untuk menjaga dan menguruskannya. Moga kebaikan dan kesejahteraan milik kita bersama. “Ya Allah Ya Tuhan kami, tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang Kau kurniakan nikmat kepada mereka, dan bukan jalan orang-orang yang Kau murkai atau jalan orang-orang yang sesat” Amin...

Moga kita semua termasuk dalam kalangan hamba Allah yang bertaqwa dan beriman, sentiasa bersyukur terhadap segala nikmat yang Allah kurniakan dan mudah-mudahan segala dosa kita mendapat pengampunan.

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment