Sunday, July 4, 2010

Masa itu Amanah-Kerja Itu Ibadah

Bismillahirrahmanirrahim...

Putaran waktu begitu cepat berlalu. Detik masa begitu pantas meninggalkan kita. Andaikata waktu boleh diputarkan semula ke belakang teringin sekali saya untuk mengecapi zaman remaja yang memorinya tidak sempat saya rakam. Zaman remaja berlalu begitu pantas, mengejar ilmu kerana dibimbangi ketinggalan dalam pelajaran. Demi cita-cita keindahan masa remaja tidak saya hiraukan, kerana maruah keluarga ingin sekali saya martabatkan. Alhamdulillah segalanya Allah kabulkan, kemiskinan hidup tidak menjadi warisan dan yang paling penting ayah dan ibu sempat mengecapi kesenangan.

Masa remaja berlalu pergi penuh terisi. Tiada disulami perasaan cinta, kerana kemiskinan keluarga, cinta menjadi tidak berharga. Perasaan cinta tidak dilayan kerana kadangkala bimbang ianya menjadi satu permainan oleh orang yang disayang. Cinta diketepikan kerana cita-cita yang menjadi keutamaan. Betapa asyiknya mengejar cita, melangkah lah diri ini dari satu universiti ke satu unversiti pula tanpa sedikitpun rasa jemu dan bosan apatah lagi untuk mencari keseronokan. Cita-cita saya tiada noktahnya, pada usia penghujung 30-an masih terus menyambung pelajaran, maklumlah peluang yang ada tidak mungkin akan dilepaskan jauh sekali untuk dipersiakan. Kini dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa, ijazah kedoktoran telah berada dalam genggaman tetapi alangkah ruginya saya terasa, ilmu Agama masih belum saya mendalami dan menguasai. Kekurangan diri perlu ditebus segera, agar tidak menyesal di kemudian hari kerana ianya akan menjejaskan amal ibadat sehari-hari.

Perihal ini saya coretkan bukan niat untuk bermegahan. Harapan saya khusus buat remaja sekalian, ambillah ia sebagai pengajaran. Masa muda belia usah dipersiakan, manafaatkan ia untuk mengejar cita-cita yang diidamkan. Seandainya kalau mahu, seribu daya dan cara yang tersedia untuk dijadikan panduan. Yang paling penting teruskan usaha tanpa jemu dan bosan kerana bukannya mudah untuk mencapai kejayaan. Biarlah kita bersusah dahulu, InsyaAllah..kita akan senang kemudian.

Masa itu merupakan amanah, usah dipersiakan walaupun sesaat kerana nilainyanya terlalu tinggi tiada harga untuk dijual beli. Selagi ada usia, ilmu perlu terus diterokai, sudah tiba masanya ilmu Allah kita pelajari kerana masih banyak yang tidak diketahui. Untuk meneroka ilmu bukan bermakna perlu melalui didikan formal. Program TV Tanyalah Ustaz dan Halaqah banyak sungguh mendatangkan faedah. Usrah, tazkirah apa kurangnya, di surau masjid dapat didengar peringatannya. Selain itu, membaca juga banyak manafaatnya. Majalah Solusi serta buku-buku Agama sungguh banyak dijual di kedai tetapi terpulang kepada diri sejauh mana kesungguhan untuk memilikinya. Apa yang penting, masa perlu diisi sebaik mungkin kerana peluang yang ada terbuka sudah, jangan pula dah terhantuk baru tengadah.

Kesibukan kerja tidak membataskan waktu kita untuk mengejar impian yang masih terpendam. Kerja juga merupakan ibadah seandainya ia dilaksanakan dengan ikhlas, amanah serta penuh kejujuran. Gaji yang halal amat kita harapkan, oleh itu pastikan tanggungjawab tidak sekali-kali dipersiakan. Tugasan yang diberi perlu diselesaikan, harta benda pejabat usah dijadikan hak persendirian. Mencuri masa usah diamalkan kerana gaji yang diterima adalah berdasarkan perkiraan waktu kita bertugas di pejabat. Elakkan daripada terlalu berkira apabila diberi tugasan, kerana apabila kita memerlukan pertolongan kelak mudah orang lain menghulurkan bantuan. Memang menjadi lumrah manusia, orang berbudi kita berbahasa, budi yang baik sentiasa dikenang sehingga ke akhir hayatnya. Walau di mana kita berada, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Itulah ungkapan yang perlu kita hayati moga orang lain boleh menerima kita seadanya.

Pengalaman terlantar di katil selama tiga bulan membuatkan saya termenung panjang memikirkan apakah yang boleh saya lakukan untuk mengisi masa terluang. Betapa waktu inilah baru saya memperoleh keinsafan, betapa bermanafaatnya waktu sihat sebelum sakit. Waktu terlantar banyak perancangan yang saya fikirkan, dan yang paling utama sedikit ilmu dan pengalaman yang ada amat teringin untuk saya kongsikan melalui tulisan dan juga lisan. Sekiranya saya telah tiada dapatlah ditinggalkan sebagai warisan untuk dijadikan kenang-kenangan. Maklumlah kita manusia; “Daripada Allah kita datang, dan kepada Allah jugalah kita kembali” ( Surah Al-Baqarah;156).

Anda dan saya, sesungguhnya masa itu amanah, kerja itu ibadah. Peliharalah amanah, perhebatkan ibadah, kelak jiwa kita memperoleh ketenangan dan kedamaian. Apalah ertinya hidup seandainya diri sentiasa resah gelisah dan saban waktu diselubungi rasa bersalah. Kita amat mengharapkan apa yang kita lakukan di dunia akan dapat menjadi bekalan untuk ke akhirat kerana syurgalah menjadi idaman kita semua. Kalau ada cinta kepada Allah, segera buktikan agar nikmatnya dapat dikecapi dan kelazatannya dapat dirasai. Rabi’ah pernah bersyair..
    Engkau derhaka
    Tapi mengaku cinta pada-Nya
    Inilah keanehan zamanku
    Jika benar engkau cinta
    Tentulah mentaati-Nya selalu.
    Pencinta akan taat kepada kekasihnya!
Ya, tanda mahabbah ialah mengikuti yang dicintai dan sesekali tidak akan menentang dan mengingkarinya. Kalau benar cintakan Allah dan Rasul-Nya, buktikan segera dan jangan membuatkan orang lain tertanya-tanya akan kebenaran cinta di hati.

Mudah-mudahan cebisan waktu yang masih diperuntukkan ini, setiap saat diisi dengan penuh kebaikan. Dalam apa jua perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan, nawaitu kita menjadi tulang belakang agar ianya dikira sebagai suatu ibadah yang berpanjangan. Firman Allah SWT; “Barangsiapa melakukan kebaikan, meskipun sebesar zarah, niscaya dia akan melihat ( balasan) nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah pun ianya akan melihat (balasan) nya pula” (Surah Al-Zalzalah:7-8).

Marilah sama-sama kita berdoa, menadah tangan ke hadrat Allah SWT agar segala tindak tanduk dan perbuatan kita akan dikira sebagai amal kebaikan yang berpanjangan. “Ya Allah! Bukakan kami segala pintu kebaikan, segala pintu keberkatan, segala pintu kenikmatan, segala pintu rezeki, segala pintu kesihatan, segala pintu keselamatan dan semua pintu syurga.” Amin...

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment