Thursday, July 8, 2010

Kesungguhan VS Ketelitian

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya masih bertugas di luar pejabat. Keletihan mula terasa dan pemikiran menjadi kurang tajam maklumlah saya dan sahabat bekerja siang dan malam untuk menulis laporan kajian. Walau bagaimanapun keseronokan bekerja dalam pasukan menyebabkan beban tugas menjadi ringan. Apabila diri merasa tertekan, ada sahaja kata-kata selingan yang mencuit perasaan. Alhamdulillah..ketepuan pemikiran dapat dihuraikan. Indahnya kerja dalam pasukan kerana sahabat sekalian bersedia untuk bertolak ansur, bekerjasama dan saling menghargai antara satu sama lain. Ini membuatkan antara kami tiada yang terasa tersisih kerana semuanya mempunyai kepakaran dan kemahiran yang saling membantu untuk menampung kekurangan dan kelemahan. Khususnya untuk ahli pasukan kajian, saya amat bahagia bersama sahabat sekalian kerana anda begitu bersungguh-sungguh dan teliti untuk menyempurnakan tugasan sebaik mungkin. Keserasian antara kita dapat diwujudkan dan diharapkan kita dapat bertemu dan bekerja lagi dalam satu pasukan.

Kerja secara berpasukan akan gagal seandainya ada dalam kalangan ahli pasukan yang merasakan dirinya terlalu hebat, pendapat orang lain diketepikan dan ideanya sahaja yang hendak diguna pakai. Justeru jauhi sifat ingin menunjuk kononnya sayalah yang paling hebat. Usah takabbur dengan ilmu yang dimiliki, apatah lagi jika kita telah merangkul ijazah PhD. Sewajarnyalah, semakin tinggi ilmu semakin kita merendah diri agar ilmu yang dimiliki dapat sama-sama dikongsi. Sabda Rasulullah SAW; ”Orang yang merendah diri akan diangkat Allah. Orang yang takabbur akan dihina Allah”. (Riwayat Ibn Mundah dan Abu Naib). Bagi memastikan keberkesanan kerja dalam pasukan, bersedialah untuk menerima dan memberi serta ada rasa rendah diri sebab tidak semua perkara kita ketahui. Kita juga perlu belajar daripada orang lain kerana kita berbeza dalam aspek kemahiran, kepakaran, kebolehan dan pengalaman.

Dalam melaksanakan apa jua tugasan, yang paling penting ialah kesungguhan untuk menyempurnakan amanah yang diberikan. Ketelitian amat diperlukan bagi memastikan hasil kerja yang berkualiti dapat dijelmakan. Kadangkala terasa kecewa apabila ada antara kita, membuat sesuatu perkara sekadar untuk menyiapkannya sahaja tanpa memikirkan kualiti dan prestasi kerja. Kesannya, apa yang disajikan sungguh tidak enak dirasa, apabila memandang menyakitkan mata dan apabila dibaca tidak dapat difahami tajuk perkara. Elakkan daripada melaksanakan sesuatu kerja hanya secara sambil lewa dengan harapan ada orang lain yang akan membantu menyempurnakannya. Kenapa kita tidak berusaha dan bertanya bagi memastikan kerja yang dihasilkan ada kualitinya. Bukannya mengharapkan suatu tugas yang dilaksanakan benar-benar sempurna tetapi cukuplah sekiranya kita melakukan yang terbaik mengikut kemampuan dan kebolehan diri.

Apa yang penting, jangan mengambil mudah, sikap tak mengapa asal siap sudah, usah dijadikan prinsip dalam melaksanakan tugasan. Ketelitian amat penting bagi menghindari daripada terlalu banyak kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Usah memandang ringan terhadap setiap tanggungjawab yang diamanahkan, kesannya kita menjadi tidak bersungguh dan tidak cermat apabila menyempurnakan tugasan dan hasil kerja kita pasti tidak memuaskan. Akibatnya orang lain akan hilang kepercayaan dan keyakinan, akhirnya diri sendiri yang menanggung kerugian.

Anda dan saya..kita serupa masih kurang pengetahuan, pengalaman dan juga kepakaran. Justeru masih perlu belajar dan menimba pengalaman kerana proses pembelajaran pastinya berlaku secara berterusan tanpa titik noktah selagi kita diberikan kehidupan oleh Allah. Terima kasih sahabat sekalian, kenangan menyiapkan laporan kajian bersama kalian merupakan memori terindah kerana kita bersama sewaktu susah dan senang. Ukhuwwah yang terjalin sungguh murni dan indah tetap abadi dalam ingatan. Sekiranya kedapatan sebarang kesilapan dan ketelanjuran tindakan, percakapan atau gurauan, harap kita saling memaafkan kerana yang mengguriskan hati itu bukan disengajakan.

Marilah sama-sama kita berdoa agar tugasan yang telah kita laksanakan dan sempurnakan ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT serta dikira sebagai amal ibadat yang berpanjangan. Amin...

Bertemu lagi...

1 comment:

  1. Sayang ummi, aby nak jadi seperti ummi

    ReplyDelete